Tafsir Surah Hud Ayat 18 – 19 (Teguran kepada pelaku bid’ah)

MEREKA YANG KERUGIAN

Hud Ayat 18: Ayat ini adalah ayat Zajrun dan Takhwif Ukhrawi. Ayat ini adalah tentang orang yang mereka-reka perkara baru dalam agama. Perkara baru dalam agama adalah ‘bid’ah‘. Jadi, ini adalah dalil Al-Qur’an tentang larangan bid’ah dalam perkara agama.

Ada banyak salah faham tentang bid’ah ini kerana itu ramai yang mengamalkan perkara bid’ah. Antaranya, mereka salah faham tentang upah dalam ibadat. Mereka itu telah mereka-reka dalam hal agama. Mereka yang kata beri sedekah itu dapat ‘pahala sedekah’. Mereka yang mendakwa boleh membuat perkara itu sedangkan tidak ada dalil daripada Al-Qur’an dan Hadith, sebaliknya dalil yang melarang memang ada.

وَمَن أَظلَمُ مِمَّنِ افتَرىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا ۚ أُولٰئِكَ يُعرَضونَ عَلىٰ رَبِّهِم وَيَقولُ الأَشهٰدُ هٰؤُلاءِ الَّذينَ كَذَبوا عَلىٰ رَبِّهِم ۚ أَلا لَعنَةُ اللَّهِ عَلَى الظّٰلِمينَ

Sahih International

And who is more unjust than he who invents a lie about Allah ? Those will be presented before their Lord, and the witnesses will say, “These are the ones who lied against their Lord.” Unquestionably, the curse of Allah is upon the wrongdoers.

Malay

Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah! Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka, dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-malaikat, Nabi-nabi, dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri): “Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka”. Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!

 

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah!

Kalimah وَمَنْ أَظْلَمُ ini adalah di dalam bentuk soalan yang dinamakan istifham inkari. Ia bentuk soalan tetapi bukan untuk bertanya tetapi untuk mengingkari fahaman sesat mereka itu. Ia adalah kemuncak kesesatan.

Ini adalah tentang mereka yang membuat perkara bid’ah dalam agama. Dalam ayat sebelum ini, Musyrikin Mekah ada yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ mereka-reka sendiri ayat Al-Qur’an dan mereka-reka perkara baru dalam agama. Itu adalah satu pembohongan yang besar. Sedangkan mereka lah sebenarnya yang reka perkara baru dalam agama.

Bagaimana pula dengan orang Islam yang reka perkara baru dalam agama? Sebagai contoh, mereka mendakwa upah solat jenazah itu dibolehkan. Mereka kata boleh mendapat pahala walaupun ambil upah dengan beranggapan yang sedekah itu sunat. Padahal tidak ada dalil yang mengatakan sedemikian.

Namun itu adalah dalil umum – memang sedekah itu baik dan digalakkan dalam Islam. Akan tetapi tidak ada dalil mengatakan terdapat pahala sedekah untuk memberi upah kepada mereka yang melakukan ibadat. Jelas sekali, perbuatan memberi upah/sedekah kepada mereka yang beribadat itu adalah bid’ah sebab tidak ada dalil.

Mereka sewenang-wenangnya mengambil dalil umum kemudian mereka menggunapakai kepada semua perkara. Itu adalah salah satu contoh penggunaan dalil yang salah. Hanya dilakukan oleh mereka-mereka yang jahil sahaja. Tambahan pula dalam ayat ke 15 tadi kita telah jelaskan bagaimana tidak boleh ambil upah dalam perkara ibadat. Memang terlalu ramai yang menggunakan dalil yang tidak berkenaan bagi membenarkan amalan bid’ah mereka.

Kenapakah perbuatan bid’ah itu berat? Kerana bid’ah itu dianggap sebagai dusta atas nama Allah ﷻ kerana Allah ﷻ tidak pernah ajar, Nabi ﷺ pun tidak pernah ajar, sahabat pun tidak lakukan. Akan tetapi mereka dakwa itu adalah perkara baik dalam agama dan Allah ﷻ suka dan akan beri pahala pula. Bila masa pula Allah ﷻ kata Dia akan beri pahala atas amalan yang direka? Perbuatan itu adalah berdusta atas nama Allah ﷻ!

Malangnya ramai yang tidak faham tentang hal ini dan mereka ikut sahaja amalan yang tidak ada dalil. Contohnya Maulid Nabi, Solat Hajat berjemaah, Majlis Tahlil dan lain-lain lagi. Allah ﷻ panggil mereka yang melakukan perkara-perkara ini adalah orang yang ‘zalim’. Alangkah buruk panggilan yang Allah ﷻ berikan kepada mereka. Tidak ada yang lebih zalim daripada mereka; merekalah yang paling zalim!

Kenapakah berat sekali tuduhan kepada mereka ini? Kerana sebelum ini telah disebut tentang bagaimana agama itu tertegak. Pertama, daripada ‘fitrah’ manusia. Kemudian, Al-Qur’an. Ketiga, dari kitab-kitab terdahulu. Selepas banyak sekali sumber rujukan itu, kenapa manusia masih lagi membuat dusta atas nama Allah ﷻ? Kenapa beramal dengan perkara yang tidak ada sumber daripada wahyu?

Kebenaran itu ada dalam nas yang sahih, iaitu Al-Qur’an dan Sunnah tetapi bagaimana manusia boleh menolak kebenaran? Iaitu apabila ada segelintir manusia yang mengeluarkan pendapat yang menyebabkan manusia lain menjadi keliru. Sepatutnya, sesuatu kebenaran itu jelas seperti Al-Qur’an, tetapi apabila manusia menggunakan akal mereka untuk mempersoalkan sesuatu perkara itu, serta mempngaruhi yang lain, akibatnya manusia ramai yang jadi keliru.

Sebagai contoh, kita semua tahu khasiat minum susu itu banyak. Namun kalau ada orang yang mempersoalkan khasiat susu, bagaimana? Dia pun keluarkan hujah-hujah yang susu itu tidak baik untuk kesihatan sebenarnya, dengan mengeluarkan pendapat orang lain, kajian orang lain dan sebagainya. Lalu, susu yang sudah diterima berkhasiat itu, telah diragui oleh orang ramai.

Begitu juga dengan dalil-dalil yang jelas nyata daripada Al-Qur’an dan Hadith. Ia telah jelas, namun ada juga manusia yang mengeluarkan pendapat yang berbagai-bagai untuk mempersoalkan kebenaran itu. Mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak dengar syarah pengajian Hadith, tetapi mereka mengeluarkan pendapat mereka sendiri. Orang yang tidak tahu, atau jahil tentang agama, akan mudah terpedaya dengan hujah-hujah mereka.

Mereka yang jahil pun turut sama berbincang tentang perkara itu. Akhirnya, perkara yang telah jelas, menjadi keliru. Itulah bahayanya apabila berbincang dengan mereka yang tidak berilmu. Kita pun boleh menjadi terkeliru kerana terpedaya dengan hujah-hujah bathil mereka.

 

أُولَٰئِكَ يُعْرَضُونَ عَلَىٰ رَبِّهِمْ

Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka,

Apabila perkataan يُعْرَضُونَ digunakan, itu bermaksud mereka akan ‘dibawa’ mengadap Allah ﷻ. Bukan mereka pergi sendiri dengan sukarela. Dalam nahu ayat yang digunakan, ada makna ‘paksaan’. Bayangkan mereka yang meronta-ronta semasa dibawa ke tali gantung. Mereka tidak mahu pergi, tetapi mereka dipaksa pergi dan dibawa pergi dengan paksa. Begitu jugalah mereka yang dibawa kepada Allah ﷻ pada hari Kiamat nanti.

Kenapa mereka dibawa mengadap Allah ﷻ? Untuk dihisab segala amalan mereka semasa di dunia. Mereka akan ditanya atas amalan yang mereka lakukan semasa di dunia. Antaranya, mereka akan ditanya dari mana mereka dapat dalil untuk mengerjakan amalan-amalan bid’ah mereka itu? Bagaimana agaknya mereka akan jawab nanti?

Kenapa disebut mereka dibawa mengadap Allah ﷻ? Bukankah semua makhluk akan dibawa mengadap Allah ﷻ? Tentulah semua makhluk akan menemui Allah ﷻ akan tetapi ayat ini menekankan kepada mereka yang telah berbuat dosa semasa mereka di dunia atau mereka yang tidak beriman. Mereka tidak sangka yang mereka kena mengadap Allah ﷻ dan alangkah malangnya pada waktu itu mereka akan mengadap Allah ﷻ di dalam keadaan Allah ﷻ sedang murka!

Ternyata mereka yang mengamalkan amalan bid’ah ini tidak sedar tentang perkara ini kerana mereka tidak yakin yang mereka kena mengadap Allah ﷻ. Inilah faktor utama menyebabkan mereka berani melakukan perkara zalim dalam agama. Namun Allah ﷻ mengingatkan mereka dalam ayat ini yang fahaman mereka itu salah. Maka berhati-hatilah dalam amalan ibadat kita setiap hari. Pastikan ia adalah amalan yang diajar oleh Nabi ﷺ.

 

وَيَقُولُ الْأَشْهٰدُ

dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi

Allah ﷻ tidak memerlukan saksi kerana Allah ﷻ maha tahu apa yang mereka telah lakukan. Namun begitu untuk menzahirkan keadilan, akan dibawakan saksi-saksi untuk menyelesaikan kes mereka nanti di akhirat. Akan tetapi siapakah yang dimaksudkan dengan ‘saksi-saksi’ itu? Mereka itu adalah dalam kalangan malaikat-malaikat, Nabi-nabi, orang-orang mukmin dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri.

Malaikat telah menurunkan wahyu dan mereka akan ditanya apakah mereka telah menjalankan tanggungjawab mereka itu. Mereka akan bersaksi bahawa mereka telah menjalankan tugas, cuma manusia yang ingkar sahaja yang tidak mahu mengikutinya.

Begitu juga para Nabi akan ditanya sama ada mereka telah sampaikan wahyu kepada umat mereka. Mereka juga akan memperkatakan perkara yang sama.

Orang-orang mukmin yang telah menjalankan tanggungjawab mereka menyampaikan dakwah juga akan menjadi saksi. Mereka akan memberitahu bahawa mereka telah berdakwah kepada orang itu dan orang ini, tetapi mereka sahaja yang tidak mahu menerimanya. Mereka akan menjadi saksi di hadapan Allah ﷻ nanti terhadap mereka yang menipu dalam hal agama iaitu mereka yang mengajar salah, yang mengamalkan amalan bid’ah.

Begitu juga, tubuh badan orang itu sendiri akan mengaku yang tuannya dulu pernah melakukan perkara-perkara yang salah dalam agama dan dalam kehidupan.

Ini berbeza dengan orang-orang Mukmin. Orang-orang mukmin akan diampunkan dosa mereka. Sebaliknya orang musyrik dan mereka yang melakukan bid’ah akan ada saksi yang akan menjadi saksi di atas perbuatan mereka di dunia dulu. Mereka tidak akan terlepas. Kadang-kadang kalau kita buat salah di dunia, tidak ada orang perasan, tidak ada orang yang nampak, maka kita terlepas. Namun ini tidak akan berlaku di akhirat nanti.

Apakah yang akan dikata oleh saksi-saksi itu nanti?:

 

هَٰؤُلَاءِ الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَىٰ رَبِّهِمْ

“Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka”.

Yang berbuat dusta waktu itu akan duduk dalam bersaf-saf, tunduk menunggu, tidak berani untuk bersuara, tidak berani hendak berbuat apa-apa.

Dalam ayat ini, perkataan هَٰؤُلَاءِ digunakan. Ia adalah kata penunjuk kepada orang yang duduk dekat dengan kita sampai kita boleh tunjuk mereka. Bermakna, mereka yang ditunjuk itu dekat sahaja, boleh nampak. Kalau kita tunjuk kepada orang yang jauh, ada kemungkinan orang yang melihat itu tidak pasti kepada siapa kita tunjuk. Apabila هَٰؤُلَاءِ digunakan, bermakna mereka dekat sahaja dan pasti tahu dengan jelas siapakah yang mereka itu yang ditunjuk, tidak syak lagi. Tidak boleh lari lagi pada waktu itu. Ke manakah hendak lari?

 

أَلَا لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظّٰلِمِينَ

Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!

Ini adalah pengumuman penting daripada Allah ﷻ. Allah ﷻ mengumumkan dalam ayat ini bahawa yang berbuat dusta atas nama Allah ﷻ dikira orang yang ‘zalim’. Maksud ‘laknat’ Allah ﷻ adalah: Allah ﷻ tidak ampun dosa dan tidak terima taubat mereka dan mereka tidak akan dimasukkan ke dalam syurga. Tidak akan ada peluang untuk masuk dalam syurga. Amat menakutkan apa yang berlaku di Akhirat kelak seperti disebut di dalam hadith,

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ زُرَيْعٍ حَدَّثَنَا سَعِيدٌ وَهِشَامٌ قَالَا حَدَّثَنَا قَتَادَةُ
عَنْ صَفْوَانَ بْنِ مُحْرِزٍ قَالَ بَيْنَا ابْنُ عُمَرَ يَطُوفُ إِذْ عَرَضَ رَجُلٌ فَقَالَ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَوْ قَالَ يَا ابْنَ عُمَرَ سَمِعْتَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي النَّجْوَى فَقَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يُدْنَى الْمُؤْمِنُ مِنْ رَبِّهِ وَقَالَ هِشَامٌ يَدْنُو الْمُؤْمِنُ حَتَّى يَضَعَ عَلَيْهِ كَنَفَهُ فَيُقَرِّرُهُ بِذُنُوبِهِ تَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا يَقُولُ أَعْرِفُ يَقُولُ رَبِّ أَعْرِفُ مَرَّتَيْنِ فَيَقُولُ سَتَرْتُهَا فِي الدُّنْيَا وَأَغْفِرُهَا لَكَ الْيَوْمَ ثُمَّ تُطْوَى صَحِيفَةُ حَسَنَاتِهِ وَأَمَّا الْآخَرُونَ أَوْ الْكُفَّارُ فَيُنَادَى عَلَى رُءُوسِ الْأَشْهَادِ { هَؤُلَاءِ الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى رَبِّهِمْ أَلَا لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ }
Telah menceritakan kepada kami [Musaddad] Telah menceritakan kepada kami [Yazid bin Zura’i] Telah menceritakan kepada kami [Sa’id] dan [Hisyam] keduanya berkata; Telah menceritakan kepada kami [Qatadah],
Daripada [Shafwan bin Muhriz] dia berkata; ketika Ibnu ‘Umar رضي الله عنهما sedang tawaf, tiba-tiba seseorang menghadangnya seraya berkata; wahai Abu ‘Abdur Rahman, atau wahai Ibnu ‘Umar apa kamu mendengar daripada Nabi ﷺ mengenai An-Najwa (bisikan di hari kiamat)? [Ibnu Umar رضي الله عنهما] menjawab: “Aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: Nanti di hari kiamat, seorang mukmin mendekat kepada Rabb-nya. Hisyam berkata; ‘Seorang mukmin mendekat hingga Dia meletakkan naungan-Nya ke atasnya, iaitu menutupi (dosa-dosa) -nya kemudian Dia berkata, “Apakah kamu mengakui dosa ini?” Dia menjawab, “Wahai Rabb-ku, saya mengetahuinya.” -sebanyak dua kali- Allah berfirman kepadanya: “Aku telah menutupinya (merahsiakannya) di dunia dan pada hari ini aku telah mengampuninya bagimu.” Kemudian diberikanlah kepadanya catatan kebaikan-kebaikannya. Adapun yang lainnya atau orang-orang kafir, maka mereka dipanggil di hadapan semua manusia dan dikatakan: “Inilah mereka yang telah mendustakan Rabb mereka, ketahuilah bahawa laknat Allah berlaku atas orang-orang yang zalim.” (Hud: 18).
(Sahih Bukhari (4317))

Kalimah الظَّالِمِينَ ada banyak makna. Secara umum, ia merujuk kepada mereka yang berbuat jahat. Orang kita sangka, buat amalan bid’ah itu kecil sahaja, namun sebenarnya ia adalah amat besar sekali. Mereka sanggup buat kerana mereka tidak belajar dan sangka itu perkara kecil sahaja, yang menyebabkan mereka tidak segan silu buat benda-benda bid’ah itu. Mereka dikatakan zalim kerana tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Amalan ibadat patutnya diajar oleh Allah ﷻ dan disampaikan oleh Rasulullah ﷺ. Akan tetapi mereka ambil pula rekaan amalan daripada manusia pula.

Mereka pula pandai berhujah (hujah bathil): “Takkan salah apa yang ustaz-ustaz itu buat”, “walaupun Nabi tak buat, tapi kalau benda baik, tak salah kalau kita buat”, “kalau niat kita ikhlas, Allah akan terima,” “takkan berdosa pula kalau aku buat begini?” dan entah berapa banyak lagi contoh-contoh hujah bathil yang mereka akan beri lagi.

Kezaliman yang paling besar adalah melakukan syirik. Bid’ah itu adalah sesuatu yang amat luas. Bid’ah ada banyak peringkat. Antara perkara bid’ah yang dilakukan dalam agama boleh termasuk dalam perkara berdosa, ada yang berdosa besar, malah ada juga yang termasuk dalam perkara syirik pun. Sekiranya bid’ah yang mereka buat itu termasuk dalam hal akidah, maka boleh boleh bertukar menjadi syirik; manakala jika bid’ah dalam hal amalan, maka ia boleh menyebabkan dosa.


 

Hud Ayat 19: Siapakah orang-orang yang zalim itu dan apakah sifat mereka? Ada tiga sifat mereka yang disebut dalam ayat ini.

الَّذينَ يَصُدّونَ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَيَبغونَها عِوَجًا وَهُم بِالآخِرَةِ هُم كٰفِرونَ

Sahih International

Who averted [people] from the way of Allah and sought to make it [seem] deviant while they, concerning the Hereafter, were disbelievers.

Malay

Orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan ugama Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkarkan hari akhirat;

 

الَّذِينَ يَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ

Orang-orang yang menghalang dari jalan Allah,

Mereka yang zalim itu menghalang diri mereka dan orang lain dari jalan Allah ﷻ. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘mereka menghalang’? Apabila kita tegur bahawa amalan yang mereka buat itu salah, fahaman mereka tentang Islam salah, bukan berdasarkan sumber yang sahih, mereka adalah antara orang yang mencerca kita dan mengajak orang lain untuk turut sama dengan mereka mencerca kita.

Mereka enggan belajar dengan orang yang dalam jalan Sunnah malah mereka akan melarang dan halang orang lain daripada belajar dengan orang yang mengajar agama berasaskan sunnah. Sudahlah mereka tidak mahu belajar, mereka halang pula orang lain daripada belajar juga – ini amat teruk sekali.

Mereka sanggup beri gelaran buruk-buruk kepada orang-orang yang mahu sunnah: mereka kata orang yang mengamalkan sunnah itu Wahabi, Kaum Muda dan sebagainya. Sampai orang lain pun yang tidak tahu apa-apa pun pandang serong terhadap kita.

Perkataan يَصُدُّونَ adalah dalam bentuk mudhaari’ (present and future continuous), bermakna ia masih berjalan lagi. Kalau dahulu, ia merujuk kepada Ahli Kitab yang tidak mahu menerima kebenaran dan kenabian Nabi Muhammad ﷺ. Mereka menghalang diri mereka daripada beriman dan dengan itu, mereka menghalang juga orang lain daripada beriman. Orang-orang yang tidak berilmu biasanya memandang tinggi terhadap mereka yang kononnya ada ilmu agama seperti Ahli Kitab itu. Apabila Ahli Kitab pun menolak Nabi Muhammad ﷺ, maka yang tidak ada kitab pun tentu juga tidak mahu menerima Nabi Muhammad ﷺ juga.

Namun, golongan ahli kitab itu adalah golongan yang dahulu, mereka telah lama berlalu. Untuk sekarang mereka yang menolak dari jalan Allah ﷻ ini masih ada lagi. Maka ayat ini bukan hanya hendak menceritakan tentang orang-orang dahulu sahaja tetapi merujuk orang-orang sekarang juga.

Dalam kalangan orang Islam di negara ini pun ada yang menghalang manusia dari jalan Sunnah. Ia akan berterusan sampai ke hari kiamat nanti. Termasuk dalam hal ini, adalah pemimpin-pemimpin masyarakat yang tidak mahu beriman dan dengan itu menghalang golongan bawahan daripada beriman juga. Mereka ini termasuk di dalam firman Allah ﷻ dalam Baqarah: 114

وَمَن أَظلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ اللَّهِ أَن يُذكَرَ فيهَا اسمُهُ وَسَعىٰ في خَرابِها
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu?

Begitulah juga dengan kalangan ‘orang-orang agama’ yang tidak mahu mengamalkan sunnah. Apabila mereka sendiri tidak mahu beriman dengan sunnah, maka masyarakat awam pun tidak berasa bersalah kalau tidak beriman dengan sunnah kerana mereka akan melihat pemimpin-pemimpin agama itu sebagai kayu ukur mereka.

Kebiasaannya kebanyakan orang awam akan melihat dan mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh ustaz-ustaz di negara ini. Sekiranya para ustaz pun tolak sunnah, apatah lagi orang awam yang memang tidak tahu tentang agama.

 

وَيَبْغُونَهَا عِوَجًا

dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong,

Mereka mencari-cari kelemahan dalam agama. Mereka akan korek dan cari sampai dapat apakah hujah yang mereka boleh kata jalan Sunnah itu salah dan nampak bengkok. Kita bagi ayat Al-Qur’an, mereka akan bagi ayat Al-Qur’an juga tetapi dengan pemahaman mereka yang salah. Mereka hendak bagi ia nampak bengkok sedangkan siratal mustaqim adalah jalan yang tegak lurus.

Kita bagi hadith sahih, mereka bagi hadith palsu/dhaif yang entah daripada kitab mana. Kita kata ini kata-kata Nabi, mereka beri kata-kata ulama’ yang mereka pilih sendiri yang selaras dengan fahaman mereka. Mereka cari dalam kitab mereka, mereka cari maklumat dalam internet dan kadang-kadang mereka reka sendiri hujah mereka.

Apabila tidak dapat beri hujah, mereka akan serang peribadi orang yang berdakwah itu. Mereka serang ulama-ulama yang membawa ajaran Sunnah. Dengan perbuatan mereka itu, mereka sebenarnya telah menjadikan jalan Allah ﷻ yang lurus itu menjadi bengkok. Sampai orang awam pun tidak mahu kepada agama. Orang awam akan pening dengan pertembungan fikiran ini dan mereka kata: kalau ahli agama pun bertelagah, agama jenis apa ini?

Sepatutnya jalan Allah ﷻ itu lurus. Senang sahaja jalan yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ, para sahabat dan mereka yang hendak mengamalkan Sunnah. Namun ramai dalam kalangan manusia yang telah bengkokkan jalan agama yang lurus dan mudah ini. Agama yang senang menjadi susah. Sebagai contoh, solat cara mereka susah, istinjak cara mereka pun susah kerana mereka menokok tambah macam-macam perkara baru dalam agama. Mereka buat begitu dengan amalan dan pemahaman bid’ah.

Termasuk dalam perkara ini adalah orang kafir yang hendak mengutuk agama Islam. Sebagai contoh, mereka akan kata bagaimana agama Islam itu teruk, sampai membenarkan orang lelaki kahwin sampai empat. Mereka itu adalah orang-orang yang jahat yang niatnya hendak menghalang manusia daripada kebenaran Islam.

 

وَهُم بِالْآخِرَةِ هُمْ كٰفِرُونَ

sedang mereka pula engkarkan hari akhirat;

Orang-orang yang kufur itu tidak percaya kepada Hari Akhirat dan kerana tidak percaya, mereka tidak takut kepada pembalasan di akhirat. Sebab itulah, mereka berani untuk berbuat apa sahaja yang nafsu mereka suruh.

Bagaimanakah pula dengan mereka yang sengaja mengamalkan bid’ah dan syirik dan menolak sunnah? Mereka juga sebenarnya tidak beriman dengan Hari Akhirat. Bermakna mereka yang buat bid’ah itu ingkar sebenarnya dengan akhirat, walaupun mereka kata mereka percaya. Mereka bukan tidak percaya dengan hari akhirat dan mereka tahu ia pasti akan terjadi. Namun perangai mereka seolah menunjukkan yang mereka tidak percaya.

Seolah-olah mereka tidak tahu bahawa mereka akan dihadapkan nanti di hadapan Allah ﷻ dan mereka kena jawab di atas perbuatan-perbuatan bid’ah mereka itu. Mereka boleh jawab kepada pendakwah-pendakwah Sunnah semasa di dunia, dengan memberi berbagai-bagai hujah batil mereka, tetapi bolehkah mereka jawab di hadapan Allah ﷻ nanti?

Hujah apa mereka hendak bawakan nanti? Hujah kitab? Hujah daripada ulama’ itu dan ini? Hujah akal mereka? Jikalau mereka tahu apakah yang akan terjadi di Akhirat nanti, mereka tentu tidak berani melakukan apa yang mereka sedang lakukan sekarang. Pasti mereka akan buat perkara yang sahih ada dalam Sunnah sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment