
Ayat 41: Ayat Takhwif Duniawi. Ayat sebelum ini adalah tentang mereka yang tidak mempedulikan ayat-ayat Al-Qur’an, tidak mahu belajar Tafsir Al-Qur’an. Jadi, apakah sambungan firman Allah tentang mereka?
فَإِمّا نَذهَبَنَّ بِكَ فَإِنّا مِنهُم مُّنتَقِمونَ
And whether [or not] We take you away [in death], indeed, We will take retribution upon them.
Oleh itu (bertenanglah engkau, kerana) kalaulah Kami wafatkan engkau (sebelum Kami perlihatkan kepadamu azab yang akan menimpa mereka), maka sesungguhnya Kami tetap menyeksa mereka.
فَإِمَّا نَذْهَبَنَّ بِكَ
Kalaulah Kami ambil engkau
Perkataan نَذْهَبَنَّ dari kata dasar ذ ه ب yang bermaksud ‘pergi’, ”bawa’, ambil’. Maksudnya dalam ayat ini adalah ‘wafat’kan – iaitu diambil nyawa Nabi Muhammad.
Maksudnya, jikalau Allah wafatkan baginda sebelum Allah perlihatkan kepada baginda dengan azab yang akan menimpa mereka yang tidak mahu mempelajari dan berpegang dengan Al-Qur’an, tidak menghiraukan Al-Qur’an, malah menentang ajaran Al-Qur’an.
Kerana ayat sebelum ini tentang mereka yang tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana Nabi Muhammad tetap akan mati apabila sudah sampai masanya. Mungkin baginda tidak dapat melihat kesudahan mereka yang menolak untuk menerima wahyu Al-Qur’an.
Kalimah نَذْهَبَنَّ juga boleh bermaksud, kalau Allah ‘bawa’ keluar dari Nabi Muhammad dari Mekah. Apa akan jadi kalau Allah pindahkan baginda dari Mekah? Tidakkah rugi penduduk Mekah itu? Tidakkah bahaya untuk mereka?
فَإِنَّا مِنْهُم مُّنتَقِمُونَ
maka sesungguhnya Kami tetap menyeksakan mereka.
Apakah balasan kepada mereka yang tidak menghiraukan ayat-ayat Al-Qur’an? Balasan kepada mereka adalah azab. Walaupun mungkin Nabi tidak nampak azab yang dikenakan kepada mereka, tapi Allah nak beritahu kepada baginda, mereka tetap juga akan dikenakan dengan azab itu. Jangan risau tentang perkara itu. Apabila Allah kata ‘tetap’, ia pasti akan berlaku.
Maksud kedua, kalau Allah membawakan Nabi Muhammad keluar dari Mekah, tentu mereka akan dikenakan dengan azab yang akan menghancurkan mereka. Mereka tak kena azab waktu itu adalah kerana Nabi Muhammad ada bersama mereka. Kalaulah Nabi sudah tiada di situ lagi, tentu mereka dah kena azab sudah kerana kesyirikan yang mereka telah lakukan.
Dalam sejarah para Rasul, kita boleh melihat bagaimana bila seseorang Rasul itu disuruh pergi meninggalkan kaumnya, maka itu tanda bahawa mereka akan dikenakan dengan azab. Maka bahaya kalau Nabi sudah tinggalkan mereka dan pergi ke tempat lain. Mereka sahaja yang tidak faham.

Ayat 42:
أَو نُرِيَنَّكَ الَّذي وَعَدنٰهُم فَإِنّا عَلَيهِم مُّقتَدِرونَ
Or whether [or not] We show you that which We have promised them, indeed, We are Perfect in Ability.
Atau sekiranya Kami (hendak) memperlihatkan kepadamu apa yang Kami janjikan kepada mereka (dari azab seksa itu), maka Kami tetap berkuasa terhadap mereka.
أَوْ نُرِيَنَّكَ الَّذِي وَعَدْنٰهُمْ
Atau sekiranya Kami memperlihatkan kepadamu apa yang Kami janjikan kepada mereka
Atau mungkin sahaja Allah tunjukkan kepada baginda, bagaimana mereka dikenakan dengan azab seksa yang telah dijanjikan kepada mereka. Mereka telah dijanjikan dengan ancaman azab jikalau tidak menghiraukan Al-Qur’an. Mereka boleh dikenakan azab itu di hadapan mata Nabi Muhammad.
Dan memang ada balasan yang memang Nabi nampak sendiri, seperti kejadian Perang Badr dan Uhud. Peperangan itu adalah cara bagaimana Allah tunjukkan azab yang dikenakan kepada penentang baginda. Kerana itulah dalam Perang Badr, yang kena bunuh adalah pemuka-pemuka Quraish dan penentang baginda yang paling kuat.
فَإِنَّا عَلَيْهِم مُّقْتَدِرُونَ
maka Kami tetap berkuasa terhadap mereka.
Allah berkuasa untuk memberi azab kepada mereka. Allah Maha Berkuasa dalam segala-gala hal. Allah Maha Berkuasa ke atas mereka dan Allah boleh beri azab kepada mereka bila-bila masa pun.
Allah boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki ke atas mereka. Ikut Allah lah sama ada Dia hendak mengazab mereka depan mata Nabi atau tidak, di dunia atau di akhirat sahaja. Kerana ada kemungkinan Allah tidak azab mereka di dunia, tapi diazab di akhirat kelak.
Ayat 43: Dalil Wahyi
فَاستَمسِك بِالَّذي أوحِيَ إِلَيكَ ۖ إِنَّكَ عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ
So adhere to that which is revealed to you. Indeed, you are on a straight path.
Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Qur’an yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.
فَاسْتَمْسِكْ بِالَّذِي أُوحِيَ إِلَيْكَ
Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Qur’an yang telah diwahyukan kepadamu;
Kalimah اسْتَمْسِ bermaksud ‘berpegang dengan kuat sungguh’. Tidak lepaskan langsung. Pegang dengan kemas. Kita dapat tahu kerana kalimah اسْتَمْسِ adalah dalam wazan yang banyak huruf, maka ini menunjukkan peningkatan dari kalimah yang biasa. Maknanya ada penekanan dalam ayat ini.
Maknanya, bukan pegang biasa, tapi pegang sungguh. Oleh itu jangan putus semangat berpegang dengan Al-Qur’an, walau ramai yang menolak. Seramai mana pun yang menentang, tetap kena sampaikan juga kepada manusia.
Walau apa pun terjadi, maka tetapkan pendirian kita dengan Al-Qur’an ini. Teruskan belajar tafsir untuk memahami ayat-ayat Al-Qur’an. Maka akan bertambah keyakinan kita kepada Al-Qur’an.
Maknanya kita kena belajar Tafsir Al-Qur’an, kena faham, kena selalu baca, kena amalkan dan akhir sekali kena sebarkan, kena ajar kepada orang lain. Kalau setakat kita sahaja yang faham, masih tak cukup lagi. Kena melakukan keseluruhan perkara itu barulah dikatakan berpegang sungguh dengan Al-Qur’an itu.
Kepada yang sudah belajar, kena selalu baca dan menelaah pelajaran tafsir yang mereka sudah pelajari. Kerana Al-Qur’an ini perlu diulang-ulang dalam bentuk bacaan dan juga tadabbur. Semakin banyak kita ulang, semakin banyak kita akan faham.
Kita kena pastikan yang kehidupan kita mengikut aliran yang dikehendaki oleh Allah. Maka hendaklah kita selalu periksa cara kehidupan dengan landasan Al-Qur’an. Untuk melakukannya, kita kena selalu baca Al-Qur’an.
Mungkin kita terjumpa perkara yang kita tidak lakukan lagi, atau kita jumpa kesalahan diri kita yang dilakukan kerana kita lupa kepada mana-mana ayat. Bila baca balik, baru teringat dan baru betulkan diri balik.
إِنَّكَ عَلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ
kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.
Selagi berpegang dengan Al-Qur’an, kita akan berada atas jalan yang lurus. Maka, kalau orang kita yang buat tak kisah dengan Al-Qur’an, bagaimana? Adakah cukup dengan membaca sahaja, tapi tak faham?
Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad. Baginda kena sampaikan wahyu kepada manusia kerana baginda telah berada di atas jalan yang benar. Tapi kita kena baca ianya ditujukan kepada kita juga.
Kalau kehidupan kita sama seperti yang dilandaskan dengan Al-Qur’an, maka kehidupan kita di atas jalan yang lurus. Itu pun kalau kehidupan kita selari dengan Al-Qur’an juga. Kalau Nabi Muhammad, memang sudah selari.
Kita selalu meminta jalan yang lurus di dalam surah Fatihah, dan kita baca setiap hari doa permintaan kepada jalan yang lurus itu dalam solat kita. Ketahuilah, hanya dengan Al-Qur’an ini sahajalah yang dapat membawa kita di atas jalan yang lurus itu. Al-Qur’an inilah yang boleh memandu kita ke jalan yang lurus.
Masalahnya, ada yang rasa mereka berpegang dengan Al-Qur’an berdasarkan apa yang disebut oleh guru dan ustaz mereka. Mereka sendiri tak belajar tafsir kerana mereka kata mereka ‘tak layak’ nak belajar Tafsir Al-Qur’an.
Al-Qur’an itu mereka kata, memerlukan ilmu yang tinggi untuk mula belajar. Mereka kata, orang yang tahap ustaz sahaja yang boleh faham. Malah, mereka kata ustaz pun belum tentu boleh faham Al-Qur’an.
Jadi mereka sangka apa yang diajar oleh guru dan ustaz mereka itu sudah sama dengan kehendak Al-Qur’an. Itu adalah sangkaan mereka sahaja. Mereka tak tahu yang ustaz mereka sendiri pun tak belajar dan tak pegang ajaran dalam Al-Qur’an sebab ustaz itu sendiri tak belajar Al-Qur’an.
Ustaz mereka itu pula sangka guru kepada guru mereka pun ikut Al-Qur’an juga. Semuanya atas sangkaan. Mereka sangka, kerana status seseorang itu ‘ustaz’, tentunya dia sudah belajar dan faham Al-Qur’an. Atau mereka sangka sudah tentu amalan dan aqidah ustaz mereka itu bertepatan dengan Al-Qur’an.
Belum tentu lagi sebenarnya. Kena periksa betul-betul. Kena tanya dia sendiri, dah belajar tafsir Al-Qur’an kah belum? Kalau dia sendiri tidak belajar tafsir Qur’an, maka dia sendiri sudah ada masalah.
Ayat 44: Manusia akan ditanya tentang Al-Qur’an nanti di akhirat. Apa nak jawab kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an?
وَإِنَّهُ لَذِكرٌ لَّكَ وَلِقَومِكَ ۖ وَسَوفَ تُسئلونَ
And indeed, it is a remembrance for you and your people, and you [all] are going to be questioned.
Dan sesungguhnya Al-Qur’an itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan).
وَإِنَّهُ لَذِكْرٌ لَّكَ وَلِقَوْمِكَ
Dan sesungguhnya Al-Qur’an itu memberikan peringatan kepadamu dan kepada kaummu;
Peringatan dalam Al-Qur’an diberikan kepada manusia kerana manusia selalu lupa. Oleh itu, mereka akan diingatkan berkali-kali di dalam Al-Qur’an. Sebab itulah kita kena selalu membaca Al-Qur’an. Supaya kita sentiasa diingatkan. Jangan bila sudah habis belajar kita sudah sangka yang kita sudah faham semuanya.
Ia juga bermaksud ‘arahan’ kepada kita. Al-Qur’an itu mengandungi hukum dan arahan yang perlu kita ikuti. Maka untuk ikuti arahan dalam Al-Qur’an, kenalah faham dulu, bukan? Ramai orang kata mereka taat dengan agama, mahu taat kepada Al-Qur’an. Tapi kalau tak belajar lagi, macam mana mereka nak tahu apakah yang perlu ditaati?
Ia juga bermaksud kita perlulah menggunakan Al-Qur’an itu untuk mengingati Allah. Kerana dalam ayat-ayat Al-Qur’an, banyak disebutkan tentang Allah. Dengan mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang. Setiap ayat Al-Qur’an akan mengingatkan kita kepada Allah.
Ia juga memberi isyarat kepada kita bahawa Al-Qur’an ini perlulah menjadi zikir kita. Sebaik-baik zikir adalah dengan menggunakan ayat Al-Qur’an. Zikir Nabi selalunya adalah ayat-ayat Al-Qur’an.
Malangnya, masyarakat kita ramai yang menggunakan zikir-zikir lain dan kurang menggunakan Al-Qur’an. Zikir-zikir lain itu, mereka sanggup baca beratus dan beribu kali, tapi Al-Qur’an mereka tidak gunakan sebagai zikir mereka.
Tambah malang lagi, ramai yang menggunakan zikir yang tidak diajar oleh Nabi. Itu sudah jadi bidaah. Mereka tinggalkan yang lebih baik dan buat pula benda yang patut mereka lakukan.
Dan untuk menjadikan Al-Qur’an itu sebagai zikir, kita sepatutnya menghafal Al-Qur’an itu. Supaya di mana-mana sahaja, kita boleh terus membaca ayat Al-Qur’an, tidak perlu ada mushaf Al-Qur’an pun. Tetapi berapa banyak ayat yang kita hafal?
Semoga ini menjadi motivasi kepada kita untuk menghafal Al-Qur’an sebanyak mungkin. Mungkin bukanlah jadi haafiz, tapi sekurang-kurangnya ada surah-surah yang kita boleh jadikan bacaan harian kita semasa sedang memandu, sedang berjalan dan sebagainya.
Ayat ini juga memberi isyarat bahawa dengan Al-Qur’an, ia akan memuliakan kita kerana kita akan diingati. Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad itu diingati dan disebut-sebut sampai ke hari ini kerana Al-Qur’an. Al-Qur’an itu telah menjadi penghormatan kepada Nabi dan juga kepada sahabat baginda.
Oleh kerana mereka telah memegang Al-Qur’an itu dengan kemas, mereka telah dapat memerintah dunia satu masa dahulu. Dan mereka telah sebarkan Al-Qur’an ini ke merata tempat sampai ia telah sampai kepada kita. Dan kerana itulah, kita berterusan menyebut nama mereka.
Ya, Islam suatu waktu dulu memang kuat dan terkenal kerana umat Islam waktu itu rapat dan mengamalkan ajaran Al-Qur’an. Tapi lihatlah apabila Muslim sudah meninggalkan ajaran Al-Qur’an, kita tidak ada nilai lagi di mata dunia. Kita diperlekehkan, tidak dipandang tinggi.
Memang benarlah Al-Qur’an itu telah meninggikan nama baginda. Nampak sekali pandang macam wahyu Al-Qur’an itu telah menyusahkan Nabi tapi sebenarnya ia menaikkan nama baginda. Dan nama orang Arab pun sekali naik. Orang sanjung para sahabat Nabi itu sampai sekarang. Dan orang Arab itu pun terkenal di dunia sampai sekarang. Sedangkan waktu Nabi dulu dunia tak kisah pun tentang mereka. Semua itu dengan berkat Al-Qur’an.
Apabila dikatakan Nabi Muhammad dan kaum baginda dimuliakan dan terkenal kerana Al-Qur’an, ini tidaklah merujuk kepada bangsa Quraish sahaja. Memang ada pendapat sebegini: mereka mengatakan ayat ini sebagai isyarat kepada kemuliaan bangsa Quraish. Tapi kalau kita luaskan maksud ayat ini sebagaimana pendapat Qurtubi, ia menyentuh mana-mana sahaja umat Nabi Muhammad, tidak kira zaman dan tidak kira bangsa.
Al-Qur’an itu bukan untuk Nabi sahaja tapi untuk umatnya juga. Maka kalau kita mengaku yang kita ini adalah umat Nabi Muhammad, maka kita hendaklah menjadikan Al-Qur’an itu sebagai peringatan untuk kita.
وَسَوْفَ تُسْئلُونَ
dan kamu akan ditanya kelak
Ini adalah ayat amaran kepada kita. Kita akan ditanya apa yang kita buat dengan Al-Qur’an ini? Adakah kita telah belajar tentang isi kandungannya dan telah amalkan?.
Kita akan ditanya di akhirat kelak. Kita akan ditanya sama ada kita telah menunaikan hak yang dituntut atas kita seperti yang tertulis dalam Al-Qur’an ini. Kalau tidak belajar, bagaimana nak tahu?
Bukan itu sahaja, kita juga akan ditanya sama ada kita sudah sampaikan ajaran Al-Qur’an ini kepada orang lain atau tidak? Ini adalah soalan yang berat sekali. Kerana ramai yang tidak berdakwah.
Mereka kalau belajar pun, mereka akan belajar sendiri sahaja. Mereka tidak ajak orang lain belajar sekali kerana mereka rasa malu. Takut orang kata mereka ‘pelik’ pula kerana belajar tafsir Al-Qur’an.
Dan mereka tidak berani nak tegur kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Orang lain buat salah yang bertentangan dengan Al-Qur’an, mereka lihat sahaja dan tidak tegur. Nanti kita akan ditanya nanti: kenapa kamu tidak tegur? Kenapa kamu biarkan sahaja dia buat benda yang salah?
Apa yang kita nak jawab di hadapan Allah Taala nanti apabila Allah tanya kita tentang semua soalan-soalan itu?
Ayat 45: Dalil Naqli Ijmali (kerana tidak disebut nama Rasul)
وَاسئل مَن أَرسَلنا مِن قَبلِكَ مِن رُّسُلِنا أَجَعَلنا مِن دونِ الرَّحمٰنِ ءآلِهَةً يُعبَدونَ
And ask those We sent before you of Our messengers; have We made besides the Most Merciful deities to be worshipped?
Dan bertanyalah kepada mana-mana Rasul yang Kami telah utuskan sebelummu; pernahkah Kami memberi hukum menetapkan sebarang tuhan untuk disembah, selain dari Allah Yang Maha Pemurah.
وَاسْئلْ مَنْ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رُّسُلِنَا
Dan tanyalah kepada mana-mana Rasul yang Kami telah utuskan sebelummu;
Macam mana nak tanya kepada Rasul-rasul itu, sedangkan para Rasul yang terdahulu itu semuanya sudah wafat?
Maknanya, Nabi Muhammad disuruh tanya kepada pengikut-pengikut mereka. Kerana ada orang Yahudi dan Nasrani di kalangan mereka. Tanya kepada mereka, adakah Rasul-rasul mereka dulu pernah suruh kaumnya menyembah ilah selain Allah?
Tentu tidak pernah. Dan mereka tidak dapat menipu kerana kitab-kitab yang diutuskan kepada Rasul-rasul itu masih ada lagi sedikit sebanyak. Boleh diperiksa jikalau mereka menipu.
Dan malah memang ada lagi di dalam kitab-kitab mereka tentang perkara ini. Walaupun banyak sudah diubah, tapi masih ada lagi. Sebagai contoh, boleh rujuk kepada Deuteronomy 4:35
Engkau diberi melihatnya untuk mengetahui, bahawa Tuhanlah Allah, tidak ada yang lain kecuali Dia.
Dan dalam Deuteronomy 6:4
Dengarlah, hai orang Israel: TUHAN itu Allah kita, TUHAN itu esa!
Satu lagi pendapat mengatakan yang Nabi disuruh tanya terus kepada Rasul-rasul itu semasa baginda mi’raj ke langit. Bukankah Nabi Muhammad telah dapat bertemu dengan Rasul-Rasul yang dahulu semasa baginda mi’raj? Imam Qurtubi mengatakan memang baginda ada bertanyakan perkara ini apabila baginda bertemu dengan mereka. Selepas baginda mengimani mereka solat di MasjidilAqsa, baginda telah bertanya perkara ini kepada mereka. Akan tetapi tidak ada hadis yang kita jumpa tentang perkara ini.
Atau, ianya sebagai isyarat bahawa, kalaulah Nabi Muhammad tanya mereka pun, jawapan yang sama akan diberikan – tidak langsung ada ilah lain untuk disembah. Maknanya, tidak perlu tanya pun sudah tahu.
أَجَعَلْنَا مِن دُونِ الرَّحْمَٰنِ ءآلِهَةً يُعْبَدُونَ
pernahkah Kami menjadikan selain dari Allah Yang Maha Pemurah, sebarang ilah untuk disembah?
Pernahkah Nabi-nabi dahulu suruh umat mereka menyembah ilah yang lain? Dalam Injil dan Taurat ada suruh tak? Tentu mereka menidakkannya. Kerana semua Rasul membawa ajaran tauhid yang sama.
Ayat 46: Ayat 46 – 56 adalah Perenggan Makro Kelima dan ia menceritakan seruan Nabi Musa kepada Firaun.
Ayat 46 ini adalah jenis Dalil Naqli Tafsili kerana ada disebut nama Nabi Musa a.s. Mungkin masyarakat Mekah sudah tahu serba sedikit tentang Nabi Musa. Kerana mereka dulu pun ada agama – kerana mereka kata mereka ikut Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Tapi mereka tidak tahu kisah baginda secara terperinci kerana mereka cetek agama.
Allah membawakan kisah Nabi Musa ini untuk memberitahu bahawa penolakan Nabi Muhammad kerana baginda miskin dan tidak berpengaruh bukanlah penolakan yang baru. Nabi Musa a.s. juga pernah ditolak oleh Firaun atas sebab yang sama juga.
وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِئآيٰتِنا إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَإيهِ فَقالَ إِنّي رَسولُ رَبِّ العٰلَمينَ
And certainly did We send Moses with Our signs to Pharaoh and his establishment, and he said, “Indeed, I am the messenger of the Lord of the worlds.”
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Musa dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami, kepada Firaun dan kaumnya, lalu dia berkata: “Sesungguhnya aku ini ialah Rasul dari Tuhan sekalian alam”.
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِئآيٰتِنَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإيهِ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Musa dengan membawa tanda-tanda (mukjizat-mukjizat) Kami, kepada Firaun dan para pemimpin,
Tanda yang dimaksudkan adalah mukjizat-mukjizat. Nabi Musa telah menunjukkan mukjizat baginda bagaimana tongkat baginda menjadi ular dan apabila baginda memasukkan tangan ke ketiak baginda, tangannya itu bercahaya.
‘Firaun’ adalah nama gelaran yang diberikan kepada pemerintah Mesir sahaja, dan dikatakan yang nama Firaun semasa zaman Nabi Musa yang sebenar adalah al-Walid.
Nabi Musa telah menunjukkan mukjizat-mukjizat itu kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya, iaitu ahli kabinet beliau yang terdiri dari ahli keluarganya juga.
Walaupun disebut Musa diutuskan kepada ‘Firaun dan pembesar-pembesarnya’, ianya merangkumi semua rakyat sekali kerana pengikut akan mengikut pemimpin. Pengikutnya itu semuanya taat kepada agama Firaun kerana manusia mengikut agama ketua mereka.
فَقَالَ إِنِّي رَسُولُ رَبِّ الْعٰلَمِينَ
lalu baginda berkata: “Sesungguhnya aku ini ialah Rasul dari Tuhan sekalian alam”.
Nabi Musa disuruh untuk memperkenalkan diri baginda kepada Firaun. Memang kena kenalkan kedudukan baginda. Memang dulu baginda adalah anak angkat Firaun dan duduk di istana. Tapi sekarang, baginda sudah diutuskan sebagai Rasul. Status sudah berlainan maka kena kenalkan diri balik. Kerana sekarang Nabi Musa datang sebagai Nabi dan Rasul.
Ayat 47: Selepas Nabi Musa menyampaikan dakwah kepada mereka, apa tindakan mereka?
فَلَمّا جاءَهُم بِئآيٰتِنا إِذا هُم مِّنها يَضحَكونَ
But when he brought them Our signs, at once they laughed at them.
Maka apabila dia datang kepada mereka dengan membawa tanda-tanda kekuasaan Kami, mereka dengan serta-merta mencemuh dan menggelakkan (apa yang dibawanya) itu.
فَلَمَّا جَاءَهُم بِئآيٰتِنَا
Maka apabila dia datang kepada mereka dengan membawa tanda-tanda kekuasaan Kami,
Nabi Musa telah datang dengan membawa mukjizat-mukjizat kepada mereka; baginda juga telah menyampaikan ajaran wahyu yang telah dipelajarinya dari bapa mertuanya, Nabi Syuaib a.s. (mengikut satu pendapat) dan wahyu yang baginda dapat terus dari Allah.
Wahyu itu belum lagi Taurat kerana baginda hanya dapat Taurat apabila baginda telah menyeberang lautan. Jadi ini adalah wahyu yang baginda dapat terus dari Allah.
إِذَا هُم مِّنْهَا يَضْحَكُونَ
mereka dengan serta-merta gelakkan (apa yang dibawanya) itu.
Mereka ketawa kerana mengejek-ngejek dakwah yang dibawa oleh Nabi Musa. Mereka mempersendakan kerana mereka degil. Mereka memperlekehkan apa yang dibawa oleh baginda. Mereka pandang rendah, pandang remeh semua tanda-tanda itu dan wahyu-wahyu Nabi Musa. Salah satu sebabnya adalah kedudukan Nabi Musa yang rendah kalau dibandingkan dengan Firaun.
Samalah juga begini yang dilakukan kepada Nabi Muhammad oleh Musyrikin Mekah. Sama juga yang dilakukan kepada penyebar tauhid zaman sekarang pun. Mereka yang degil akan tetap tolak ajaran tauhid dan mempersendakan mereka yang membawanya.
Allahu a’lam. Lompat ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 27 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Taimiyyah Zubair
Tafsir Maariful Qur’an, Mufti Shafi Usmani