Kahf Ayat 39: Dia memberi nasihat kepada sahabatnya itu. Ini adalah cara menghargai nikmat yang Allah ﷻ telah berikan. Tidak salah kalau kaya, tetapi kenalah bersyukur kepada Allah ﷻ.
وَلَولٓا إِذ دَخَلتَ جَنَّتَكَ قُلتَ ما شاءَ اللهُ لا قُوَّةَ إِلّا بِاللهِ ۚ إِن تَرَنِ أَناْ أَقَلَّ مِنكَ مالًا وَوَلَدًا
Sahih International
And why did you, when you entered your garden, not say, ‘What Allah willed [has occurred]; there is no power except in Allah ‘? Although you see me less than you in wealth and children,
Dan kenapa semasa engkau masuk ke kebunmu, engkau tidak berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu,
وَلَوْلٓا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ
Dan kenapakah tidak, ketika kamu masuk ke dalam kebun kamu, kamu berkata begini:
Kawan yang miskin dan mukmin itu memberi nasihat kepada orang yang kaya itu, “Apa kata semasa kamu masuk ke dalam kebun kamu itu, kamu mengembalikan nikmat itu kepada Allah dengan memuji-Nya?”
مَا شَاءَ اللهُ
“Yang dikehendaki Allah”;
Katakanlah dan fahamlah yang semua yang berlaku adalah hanya atas kehendak Allah ﷻ sahaja. Kebun kepunyaannya yang hebat itu adalah kerana takdir Allah ﷻ yang menjadikannya begitu.
Kita selalu sebut kalimat ini tanpa memahami maknanya. Ketahuilah yang semua yang berlaku adalah atas kehendak Allah ﷻ. Daripada sekecil-kecilnya, sampai ke sebesar-besarnya. Kereta kita boleh bergerak baik pun atas kehendak Allah ﷻ. Kita makan ubat dan kemudian sihat juga atas kehendak Allah ﷻ. Jangan kita kata ubat itu yang menyembuhkan kita.
Kita mesti menghargai Allah ﷻ dengan mengucapkan kalimah مَا شَاءَ اللهُ ini. Iaitu apabila sesuatu menggembirakan kita, maka kita ucapkan kalimah ini. Apabila kita mendapati sesuatu yang hebat dan menakjubkan, kita ucapkan kalimah ini. Bukannya ucapkan ‘subhanallah’ seperti yang orang Melayu selalu buat. Ini adalah kerana kalimah subhanallah diucapkan jika kita lihat perkara yang tidak baik. Kalimah subhanallah juga kita boleh gunakan apabila kita terkejut dengan kebodohan seseorang.
لَا قُوَّةَ
“Tidak ada daya kekuatan”;
Kita tidak ada kekuatan langsung daripada diri kita sendiri. Kita tidak ada kekuatan untuk menumbuhkan pokok yang kita tanam, atau tidak ada daya bagi kita untuk mengajak orang berhenti singgah di kedai kita. Kedai lain banyak lagi orang boleh masuk. Kita tidak ada kuasa semua itu.
إِلَّا بِاللهِ
“melainkan dengan kuasa Allah”;
Kebolehan yang kita ada adalah daripada Allah ﷻ. Kembalikan semuanya kepada Allah ﷻ. Apa-apa kemampuan dan kejayaan yang kita ada adalah kerana Allah ﷻ. Ini adalah kata-kata orang beriman itu kepada orang kafir yang kaya itu. Allah ﷻ nukilkan kata-katanya dalam Al-Qur’an kerana kebenaran yang dikatakannya itu.
Oleh itu sebelum kita melihat kebun kita, atau sebelum kita buka kedai kita, maka katakan: مَا شَاءَ اللهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ. Apabila ada orang datang, kita baca lagi. Bila orang sudah ramai, kita baca lagi. Atau apabila kita tunggu, tidak ada orang masuk, kita baca ayat yang ini juga. Apabila orang tanya bagaimana dengan perniagaan kita, sebelum kita jawab sambil kita baca juga ayat ini. Kita mengaku bahawa kita tidak ada kekuatan apa pun. Kita baca kerana kita mahu mengingatkan diri kita sendiri.
Akan tetapi yang terjadi sekarang adalah sebaliknya. Ramai yang tanya kepada guru sama ada mereka ada ‘ayat-ayat pelaris’ yang boleh mereka gunakan. Maka, guru yang ajar ajaran yang salah akan bagi ayat itu ini, benda itu dan ini. Padahal, inilah ‘ayat pelaris’ kepada kita. [Jangan tampal pula ayat ini di kedai].
Semua itu adalah atas kehendak Allah ﷻ. Bagaimana kita inginkan sesuatu itu terjadi, tetapi sekiranya Allah ﷻ tidak mengizinkan, ia tidak akan terjadi. Inilah kalimah yang kita patut sebut jikalau kita gembira dengan pemberian Allah ﷻ dari segi harta, kesenangan, kepandaian dan lain-lain lagi. Sebutlah ما شاءَ اللهُ لا قُوَّةَ إِلّا بِاللهِ.
إِنْ تَرَنِ أَنَاْ أَقَلَّ مِنْكَ مَالًا وَوَلَدًا
“Jika kamu tengok aku kurang dari kamu dari segi harta dan anak”;
Kenapa Allah ﷻ sebut ‘anak’ dalam ayat ini. Kalau harta orang tidak beriman itu, kita sudah faham. Anak yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah anak lelaki. Sebab kalau anak perempuan, perkataan lain yang digunakan. Disebut ‘anak lelaki’ adalah kerana anak lelaki adalah juga aset kepada seseorang bapa. Anak lelakilah yang banyak menolong dalam perniagaan dan dalam kerja-kerja yang boleh mendapatkan duit. Mereka juga dapat diharap untuk mempertahankan keluarga jikalau ada apa-apa masalah.
Berbeza dengan anak perempuan, bila sudah dewasa, akan meninggalkan keluarganya untuk berkahwin dengan lelaki lain. Anak perempuan itu berkhidmat dengan keluarga lain pula. Sedangkan ayah dia yang besarkan, tetapi bila sudah besar dia berkhidmat kepada keluarga lain pula. Maka anak perempuan bukanlah satu aset dalam hal ini. Malah kena keluarkan banyak wang untuk menjaga anak perempuan pula.
Ini adalah fahaman orang yang tidak beragama. Mereka hanya melihat keuntungan dunia sahaja. Bila dilihat tidak ada kepentingan ekonomi daripada anak perempuan, ramai yang tidak suka kepada anak perempuan. Padahal Islam bukan begitu. Dalam Islam, tidak ada kelebihan anak lelaki ke atas anak perempuan. Malah, anak perempuan itu sebenarnya lebih utama daripada anak lelaki. Lihatlah semua anak-anak Nabi Muhammad ﷺ yang kekal sehingga ke dewasa adalah anak perempuan, bukan? Takkan baginda rugi pula mendapat anak perempuan? Bagaimana kalau kita tidak ada anak perempuan? Bagaimana hendak berkeluarga?
Lelaki Mukmin berkata begini kerana mungkin lelaki kaya itu mempunyai anak lelaki yang ramai yang dia banggakan kerana dapat membantunya. Maka lelaki mukmin itu menegur salah faham itu kerana dia melihat kepada kebendaan semata-mata. Malah disebabkan sahabatnya itu kurang dari segi kebendaan, maka dia telah memandang rendah kepada sahabatnya itu.
Ini mengajar kita supaya jangan memandang rendah kepada orang lain yang serba kekurangan di dalam kehidupan mereka. Sebaliknya kena ingat yang rezeki itu Allah ﷻ yang tentukan. Jangan kita sombong kalau kita lebih dan orang lain kurang, kerana kelebihan yang Allah ﷻ berikan itu adalah ujian sebenarnya. Kalau sesiapa ada kelebihan, itu adalah pemberian daripada Allah ﷻ, bukannya kerana kepandaian kita sahaja. Kita hanya berusaha, namun dapat atau tidak rezeki itu adalah ketentuan daripada Allah ﷻ.
Kalau kita perhatikan nasihat dari lelaki mukmin ini, kita tidak nampak pun ada rasa rendah diri pada dirinya. Kekayaan lelaki kaya itu tidak menghalang lelaki mukmin ini untuk memberi nasihat kepadanya. Ini mengajar kita tidak perlu rasa rendah diri kalau miskin. Masalah dengan orang kita adalah, kalau miskin mereka akan rasa rendah diri sangat. Berbeza benar denga apa yang kita lihat dengan lelaki mukmin itu.
Ini kerana lelaki mukmin itu memiliki ilmu agama yang tinggi. Dia sedar yang ketentuan tentang harta dan kekayaan adalah di tangan Allah ﷻ. Dia redha dengan apa yang Allah ﷻ berikan kepadanya. Dia sesekali tidak kisah kalau lelaki kaya itu sombong dan memandangnya miskin dan hina.
Kahf Ayat 40: Sekarang kita lihat doa lelaki mukmin itu pula.
فَعَسىٰ رَبّي أَن يُؤتِيَنِ خَيرًا مِّن جَنَّتِكَ وَيُرسِلَ عَلَيها حُسبانًا مِّنَ السَّماءِ فَتُصبِحَ صَعيدًا زَلَقًا
Sahih International
It may be that my Lord will give me [something] better than your garden and will send upon it a calamity from the sky, and it will become a smooth, dusty ground,
Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan aku lebih baik daripada kebunmu, dan Dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.
فَعَسَىٰ رَبِّي أَنْ يُؤْتِيَنِ خَيْرًا مِّنْ جَنَّتِكَ
Mudah-mudahan Tuhanku akan memberi kepadaku lebih baik dari kebun kamu ini;
Lelaki mukmin itu tahu yang Allah ﷻ boleh lakukan apa sahaja. Memang lelaki pertama itu kaya dan mempunyai banyak kebun dan harta. Dia sedar dia miskin dan tidak ada seperti yang telah diberikan kepada lelaki kaya itu. Akan tetapi dia sedar yang Allah ﷻ boleh sahaja berikan yang lebih baik kepadanya kalau Allah ﷻ mahu.
Atau, ia bukanlah bermaksud pemberian di dunia, tetapi pemberian di akhirat kelak. Apakah yang lebih baik daripada kebun yang hebat itu? Itulah keampunan daripada Allah ﷻ. Itulah yang lebih baik daripada kebun-kebun di dunia itu. Yang terlebih baik adalah kalau mendapat kebun-kebun di syurga nanti. Itu tentunya lebih baik daripada apa-apa sahaja kenikmatan dalam dunia yang tidak kekal ini. Iaitu apabila Allah ﷻ ampunkan dosa dan beri rahmat kepada kita, tidak ada lagi yang lebih besar daripadanya. Maka lelaki mukmin itu berharap akan mendapat pemberian balasan di akhirat kelak kerana imannya.
وَيُرْسِلَ عَلَيْهَا حُسْبَانًا مِّنَ السَّمَاءِ
Dan mungkin Tuhan akan mengirimkan ke atasnya bala daripada langit;
Kalimah حُسْبَانًا daripada katadasar ح س ب yang bermaksud fikir; pertimbangkan; andaikan; bayangkan; pendapat; mengira; akaun. Kita gunakan kalimah ini menjadi hisab di dalam bahasa kita. Di sini kalimah حُسْبَانًا bermaksud hukuman. Maksudnya ia adalah hukuman yang dihitung dengan teliti oleh Allah ﷻ. Bencana yang Allah ﷻ kenakan itu pun adalah bencana yang sesuai dan terukur kadar dan sasarannya. Dapat dilihat di sini lelaki mukmin itu berdoa meminta diberikan hukuman kepada lelaki kaya itu.
Mungkin ada yang nampak tidak bagusnya doa sebegini. Kenapa tidak diminta sahaja lelaki itu sedar diri dan bertaubat sendiri dan kebunnya dikekalkan? Sebenarnya kebaikan itu terletak pada pengakhirannya. Nanti kita akan lihat lelaki itu sedar diri setelah kebunnya itu musnah. Maka doa lelaki mukmin itu sebenarnya baik kerana dengan datangnya musibah, barulah lelaki kaya itu sedar diri dan bertaubat.
Ada dua riwayat tentang apakah bala yang diturunkan: ada yang kata petir turun dari langit. Ada riwayat lain yang mengatakan hujan lebat yang sejuk yang berterusan sehingga menyebabkan kebunnya runtuh. Dari segi bahasa, ia lebih kepada petir yang menyebabkan kebakaran kepada sesuatu kawasan.
فَتُصْبِحَ صَعِيدًا زَلَقً
Maka jadilah kebun itu satu tanah yang licin;
Perkataan صَعِيدًا telah disebut sebelum ini. Ia bermaksud ‘berdebu’. Apabila sesuatu tanah itu tidak ada apa-apa setelah musnah, hanya tinggal debu sahaja.
Perkataan زَلَقً itu bermakna tanah yang amat datar dan berdebu, sampaikan kalau kita berjalan di atasnya, ia amat licin sehingga boleh menjatuhkan kita.
Kahf Ayat 41: Tadi azab dari atas, sekarang azab dari bawah pula.
أَو يُصبِحَ مَآؤُهَا غَورًا فَلَن تَستَطِيعَ لَهُ ۥ طَلَبًا
Sahih International
Or its water will become sunken [into the earth], so you would never be able to seek it.”
Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi”.
أَوْ يُصْبِحَ مَاؤُهَا غَوْرًا
Atau jadikan airnya surut;
Telah disebut sebelum ini bagaimana ada sungai yang mengalir di celah-celah kebun lelaki itu. Sungai itu menjadi sumber air yang menjadikan kebunnya itu subur. Namun Allah ﷻ boleh sahaja menjadikan air itu kering ditelan ke dalam bumi.
فَلَن تَستَطِيعَ لَهُ ۥ طَلَبًا
Maka kamu tidak akan dapat mencarinya lagi
Kalau Allah ﷻ sudah hilangkan air itu, tidak ada harapan untuk mencarinya lagi. Kalau mahu korek dalam lagi pun tidak akan dapat jumpa. Ini mengajar kita yang Allah ﷻ boleh beri air dan Allah ﷻ boleh hilangkan air itu.
HUKUMAN YANG DIKENAKAN
Kahf Ayat 42: Selesai sudah dialog dan kata-kata antara dua lelaki itu. Sekarang kita lihat kesan daripada doa lelaki mukmin itu.
وَأُحِيطَ بِثَمَرِهِۦ فَأَصبَحَ يُقَلِّبُ كَفَّيهِ عَلَىٰ مَآ أَنفَقَ فِيہَا وَهِىَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِہَا وَيَقُولُ يَـٰلَيتَنِى لَم أُشرِك بِرَبِّىٓ أَحَدًا
Sahih International
And his fruits were encompassed [by ruin], so he began to turn his hands about [in dismay] over what he had spent on it, while it had collapsed upon its trellises, and said, “Oh, I wish I had not associated with my Lord anyone.”
Dan segala tanaman serta hartabendanya itu pun dibinasakan, lalu jadilah dia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku!”
وَأُحِيطَ بِثَمَرِهِۦ
Dan diliputi buah-buahnya;
Kalimah أُحِيطَ bermaksud meliputi, maksudnya bencana itu meliputi keseluruhan kebunnya. Memang Allah ﷻ memberitahu yang bala telah diberikan atas kebun buah itu. Rosak binasa semuanya sekali. Bala itu meliputi keseluruhan kebunnya.
فَأَصْبَحَ يُقَلِّبُ كَفَّيْهِ
lalu dia mula membolak-balikkan tangannya;
Maka lelaki kaya itu telah memusing-musingkan tangan sebagai tanda penyesalan. Ini adalah bahasa kiasan. Kita biasa lihat orang yang menyesal akan buat bermacam-macam dengan tangan mereka. Kalau orang yang ada masalah yang teruk, mereka akan buat macam itu. Ia adalah perbuatan orang yang telah hilang segala-galanya.
عَلَىٰ مَا أَنْفَقَ فِيهَا
di atas apa yang telah dibelanjakannya;
Dia akan menyesal sangat. Iaitu mengenangkan segala perbelanjaannya untuk mengendalikan kebunnya itu. Dari segi kos dan juga dari segi usahanya.
وَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا
dan kebun itu roboh atas para-paranya;
Apabila ditimpa hujan yang lebat, para-para kebun itu akan jatuh dulu, dan kebun itu pula akan jatuh atas para-para itu. Maknanya, mula-mula para-para pokok anggur itu yang tumbang dahulu, kemudian buah anggur pula yang jatuh atas para-para itu. Ini lebih kurang sama dengan pepatah kita: sudah jatuh ditimpa tangga.
وَيَقُولُ يٰلَيْتَنِ
dan dia berkata: “aduhai celakalah aku! Alangkah baiknya kalau dulu aku”
Sekarang lelaki kaya itu amat menyesal. Dia menyesal di atas perbuatannya dahulu dan fahamannya dulu. Sekarang kerana apa yang terjadi kepadanya itu telah menyedarkannya tentang kesilapannya itu.
Dari sini kita nampak kepentingan doa lelaki mukmin itu. Walaupun zahirnya kita nampak doanya itu adalah meminta keburukan kepada orang lain, namun sebenarnya ia adalah kebaikan kerana dengan musibah yang menimpa lelaki kaya itu, barulah dia sedar diri. Begitulah bukan semua kerosakan adalah buruk. Nanti kita akan lihat di dalam kisah lain selepas ini, bagaimana Khadr merosakkan kapal orang miskin. Nampak pada zahirnya ia adalah kerosakan, akan tetapi di penghujungnya ada kebaikan.
لَمْ أُشْرِكْ بِرَبِّي أَحَدًا
tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun;
Dia menyesal sangat kerana telah mensyirikkan Allah ﷻ dulu. Dia syirikkan Allah ﷻ dengan mengatakan kebun itu akan kekal sampai bila-bila. Dia kata dia yang pandai mengurus kebunnya sampai kebunnya itu maju. Dia lupa yang kalau Allah ﷻ tidak memberikan segalanya itu kepadanya, dia tidak akan ada apa-apa. Dia telah lupa kepada Allah ﷻ. Begitulah sifat mereka yang hanya melihat perkara yang material sahaja.
Sebenarnya kita boleh lihat bahawa lelaki ini telah bertaubat. Dia akhirnya telah menyedari kesalahannya. Bala yang dikenakan kepadanya telah menyedarkan dirinya. Oleh itu, ada kebaikan dalam bala itu kerana telah dapat mengubah dirinya. Kalau dia mati dengan fahamannya itu, maka malanglah nasibnya.
Allah ﷻ mengajar kita: kalau ditimpa bala, maka kita hendaklah bertaubat kerana bala itu adalah untuk mengingatkan kita. Ia adalah untuk merendahkan diri kita supaya kita boleh terima kesalahan yang kita lakukan dan kita mahu kembali kepada kebaikan. Ini kerana kalau kita dalam kedudukan yang tinggi atau kaya, selalunya susah untuk kita menerima nasihat.
Tuhan ceritakan kisah ini untuk memberitahu kepada kita, ada perbuatan syirik dalam hal harta. Syirik itu bukan hanya sembah berhala sahaja. Bukan hanya dalam menyembah tuhan-tuhan selain Allah ﷻ sahaja. Itu adalah jenis syirik yang jelas. Akan tetapi ada lagi jenis syirik yang tidak jelas kepada kita. Namun ia juga adalah salah satu daripada perbuatan syirik.
Kahf Ayat 43:
وَلَم تَكُن لَّهُ ۥ فِئَةٌ يَنصُرُونَهُ ۥ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَمَا كَانَ مُنتَصِرًا
Sahih International
And there was for him no company to aid him other than Allah , nor could he defend himself.
Dan dia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan dia pula tidak dapat membela dirinya sendiri.
وَلَم تَكُن لَّهُ ۥ فِئَةٌ يَنصُرُونَهُ ۥ
Dan tidaklah dia akan dapati satu puak pun yang boleh menolongnya;
Kalau dulu dia banggakan keturunannya yang ramai dan pengikutnya yang ramai. Lihat lah sekarang tidak ada seorang pun yang boleh membantunya.
مِنْ دُونِ اللهِ
selain daripada Allah
Tiada ada sesiapa selain Allah ﷻ yang boleh membantu dirinya lagi. Sedarlah lelaki itu bahawa segala pengharapan sepatutnya kepada Allah ﷻ sahaja kerana Allah ﷻ sahaja yang boleh membantu.
وَمَا كَانَ مُنْتَصِرًا
Dan tidaklah dia dapat menolong dirinya sendiri.
Kalau tidak ada orang yang menolong, tentulah dia kena berharap kepada dirinya sendiri, bukan? Namun dirinya sendiri pun tidak dapat menyelesaikan kehancuran kepada kekayaannya itu.
Kahf Ayat 44:
هُنالِكَ الوَلٰيَةُ ِلِلهِ الحَقِّ ۚ هُوَ خَيرٌ ثَوابًا وَخَيرٌ عُقبًا
Sahih International
There the authority is [completely] for Allah, the Truth. He is best in reward and best in outcome.
Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).
هُنَالِكَ الْوَلٰيَةُ ِلِلهِ الْحَقِّ
Di sanalah zahirnya pertolongan hanya dari Allah;
Kalimah هُنَالِكَ asalnya bermaksud ‘di situ’. Di sini ia bermaksud ‘saat itu’. Sekarang barulah lelaki itu sedar.
Kalimah الْوَلٰيَةُ bermaksud ‘pertolongan’. Ada satu lagi qira’at iaitu dibacakan الْوِلٰيَةُ yang bermaksud ‘kekuasaan’. Akan tetapi majoriti qira’at membacanya dengan bacaan الْوَلٰيَةُ. Allah ﷻ menegaskan bahawa pertolongan itu hanya milik Allah ﷻ. Maknanya, hanya jika Allah ﷻ mahu tolong, Dia akan tolong. Kalau tidak, kita tidak akan dapat pertolongan. Tidak boleh berharap dengan diri sendiri dan tidak dengan orang lain lagi. Memang ini mengingatkan kita untuk bergantung dengan Dia sahaja. Allah ﷻ sahaja yang sebenar-benar boleh menolong dan menyelesaikan masalah.
هُوَ خَيْرٌ ثَوَابًا
Dialah sebaik-baik yang memberi pahala;
Kalimah ثَوَابًا asalnya bermaksud pulang. Di sini ia bermaksud pahala atau pulangan yang baik (balasan yang baik). Allah ﷻ sahaja yang boleh beri pahala kepada hamba-Nya. Dialah yang pandai untuk memberi balasan di akhirat kelak.
وَخَيْرٌ عُقْبًا
dan sebaik-baik pemberi kesudahan;
Allah ﷻ yang menentukan kesudahan kita semua. Dia Maha Bijaksana untuk menentukan kesudahan yang sepatutnya diterima oleh makhluk. Maka pengajaran kepada kita adalah kita kena kembali dan berserah diri kepada Allah ﷻ.
Sekian Ruku’ 5 daripada 12 ruku’ surah ini
HAKIKAT DUNIA DAN AKHIRAT
Kahf Ayat 45: Sekarang diberikan satu lagi perumpamaan. Sekarang kita lihat perumpamaan tentang kehidupan di dunia pula. Perumpamaan ini bersifat umum, iaitu ia menyentuh semua orang yang hidup di dunia ini.
وَٱضرِب لَهُم مَّثَلَ ٱلحَيَوٰةِ ٱلدُّنيَا كَمَآءٍ أَنزَلنَـٰهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ فَٱختَلَطَ بِهِۦ نَبَاتُ ٱلأَرضِ فَأَصبَحَ هَشِيمًا تَذرُوهُ ٱلرِّيَـٰحُۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىءٍ مُّقتَدِرًا
Sahih International
And present to them the example of the life of this world, [its being] like rain which We send down from the sky, and the vegetation of the earth mingles with it and [then] it becomes dry remnants, scattered by the winds. And Allah is ever, over all things, Perfect in Ability.
Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
وَاضْرِبْ لَهُمْ مَثَلَ الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا
Dan buatlah bagi mereka satu contoh bandingan kehidupan manusia di dunia ini
Daripada kisah sebelum ini, sekarang Allah ﷻ suruh buat perbandingan yang baru pula. Iaitu bandingkan kehidupan dunia ini secara keseluruhan.
كَمَاءٍ أَنْزَلْنٰهُ مِنَ السَّمَاءِ
ianya seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit
Kehidupan di dunia memerlukan air untuk hidup. Maka Allah ﷻ banyak menceritakan tentang air hujan. Daripada air hujan yang satu inilah digunakan oleh berbagai jenis tumbuhan dan haiwan dan juga kita untuk melangsungkan kehidupan. Allah ﷻ banyak suruh kita lihat kepada air hujan ini.
فَٱختَلَطَ بِهِۦ نَبَاتُ ٱلأَرضِ
maka bercampurlah air itu dengan tumbuh-tumbuhan di muka bumi;
Daripada air hujan yang turun dari langit ke bumi itu, ia masuk ke dalam tanah, maka ia digunakan oleh tumbuh-tumbuhan untuk menjadi subur. Contohnya, rumput, padi, gandum dan sebagainya. Semuanya memerlukan sumber air. Dengan ada air, maka tumbuhan dapat hidup subur.
Melalui ayat ini memberitahu kita yang air itu bercampur dengan tumbuhan itu. Zaman dahulu ada yang mengkritik Al-Qur’an tentang perkara ini. Mereka kata Al-Qur’an tersilap maklumat kerana mereka kata semua air yang disedut oleh tumbuhan kemudiannya menyejat ke atmosfera. Cuma kajian moden baru mendapati bahawa rupaya ada hampir 3% daripada air yang disedut itu terus disimpan dan digunakan oleh tumbuhan dan ditukar menjadi klorofil. Inilah salah satu mukjizat Al-Qur’an yang membuktikan ia adalah kalamullah dan bukan tulisan manusia kerana mana mungkin manusia 1,400 tahun dahulu tahu tentang perkara ini?
فَأَصْبَحَ هَشِيمًا
maka kemudian ia menjadi kering hancur;
Lama kelamaan tumbuhan itu akan menjadi warna kuning dan kemudian layu dan semakin layu kerana jangka hayat tanaman itu telah sampai. Ia menjadi semakin kering dan kering dan lama-kelamaan ia akan hancur dan kemudian menjadi debu. Tidak ada tumbuhan yang akan kekal.
تَذْرُوهُ الرِّيٰحُ
ditiup angin;
Setelah ia hancur menjadi debu, maka tumbuhan itu diterbangkan oleh angin; yang tinggal hanyalah tanah yang kosong. Dulu tanaman itu nampak hebat, tetapi sekarang tidak ada apa-apa kesan lagi.
Kehidupan dunia ini pun begitu juga. Kita hidup membesar dan kemudian menjadi tua dan kemudian akan mati. Apabila mati disimpan dalam tanah dan lama kelamaan akan hancur ditelan tanah. Peringatan untuk kita adalah: apa-apa sahaja yang kita dapat daripada kejayaan dalam dunia ini adalah kerana Allah ﷻ. Kehidupan dunia ini pasti tidak kekal.
Tujuan kisah dua lelaki ini adalah berkenaan dengan bahayanya materialisme. Manusia akan ramai yang akan terpedaya dengan keindahan dunia. Keindahan dunia inilah yang digunakan oleh Dajjal nanti apabila dia keluar dan menyesatkan manusia nanti. Dia akan menggunakan dunia dan segala keindahannya untuk memperdayakan kita. Mereka yang terkesan dengan materialisme akan senang sahaja ditipu Dajjal nanti.
وَكَانَ اللهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ مُّقْتَدِرًا
Dan Allah itu atas segala sesuatu Maha Berkuasa sungguh.
Di hujung ayat ini Allah ﷻ mengingatkan yang kekuasaan penuh adalah pada Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki. Maka kita kena serahkan segalanya kepada Allah ﷻ. Oleh kerana semua perkara dalam urusan Allah ﷻ, maka kita kena berdoa dan berharap terus kepada Allah ﷻ.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 10 Jun 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
