LARANGAN MEROSAKKAN RUMAH IBADAT
Baqarah Ayat 114: Ini adalah rungutan (syikayah) Allah ﷻ yang ketiga. Ini adalah tentang mereka yang menghalang golongan Islam untuk menggunakan tempat ibadat untuk tujuan menjalankan agama. Mereka yang dimaksudkan itu mungkin Yahudi, Nasrani ataupun Musyrikin Mekah sebab kedua-duanya boleh dipakai dalam konteks ayat ini. Malah ia boleh jadi ditujukan kepada umat Islam sekali.
وَمَن أَظلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ اللَّهِ أَن يُذكَرَ فيهَا اسمُهُ وَسَعىٰ في خَرابِها ۚ أُولٰئِكَ ما كانَ لَهُم أَن يَدخُلوها إِلّا خائِفينَ ۚ لَهُم فِي الدُّنيا خِزيٌ وَلَهُم فِي الآخِرَةِ عَذابٌ عَظيمٌ
And who are more unjust than those who prevent the name of Allah from being mentioned in His mosques and strive toward their destruction. It is not for them to enter them except in fear. For them in this world is disgrace, and they will have in the Hereafter a great punishment.
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.
وَمَنْ أَظْلَمُ
Dan siapakah yang lebih zalim,
Apabila Allah ﷻ sebut: “Siapakah yang lebih zalim?”, bermaksud tidak ada lagi yang lebih zalim daripada golongan yang akan disebutkan ini. Bukannya Allah tanya siap yang zalim. Ini macam orang sombong berkata: “siapa lagi kuat dari aku?!” Dia bukanlah bertanya, tapi sebenarnya hendak beritahu dialah yang paling kuat.
مِمَّنْ مَّنَعَ مَسَـٰجِدَ اللَّهِ
daripada orang yang melarang masjid-masjid Allah;
Allah mengaitkan namaNya yang mulia dengan masjid-masjid itu kerana memang masjid-masjid itu mulia. Ia digunakan sebagai tempat untuk sujud dan melakukan ibadat ketaatan kepada Allah, maka ia menjadi mulia. Ini sebagaimana Allah muliakan Ka’bah dengan menggelarnya sebagai Baitullah.
Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang Musyrikin Mekah yang menghalang orang-orang Islam untuk menggunakan Masjidil Haram. Mereka telah melarang orang Islam daripada datang dan mengerjakan Umrah dan Haji (yang menyebabkan terjadinya Perjanjian Hudaybiyah). Kalau dulunya mereka melarang para sahabat رضي الله عنهم daripada mendirikan salat di Kaabah ketika mereka hidup di Mekah lagi, dan apabila mereka datang dari Madinah untuk mengerjakan Umrah, mereka juga dilarang.
Tetapi Allah ﷻ menggunakan perkataan مَسَاجِدَ dalam ayat ini, yang bermaksud ‘masjid-masjid’ (plural), menunjukkan ia bukan hanya digunakan untuk Masjidil Haram sahaja tetapi untuk masjid-masjid lain juga. Jadi, jikalau ada yang melarang masjid digunakan sebagai tempat yang sepatutnya ia digunakan, mereka juga adalah orang yang zalim. Ada juga pendapat yang mengatakan digunakan kalimah dalam bentuk jamak di sini yang merujuk kepada Masjidil Haram kerana ia adalah masjid yang agung (solat di situ bersamaan dengan 100,000 kali gandaan).
Dan dalam sejarah bukan MasjidilHaram sahaja yang terkesan, tapi ada lagi masjid-masjid lain. Sebagai contoh, apabila arahan penukaran kiblat ke Mekah, puak Yahudi menimbulkan berbagai persoalan untuk menjatuhkan umat Islam untuk menyebabkan manusia meninggalkan Islam dan juga solat. Ini nanti kita akan belajar bila sampai pada ayat penukaran kiblat nanti.
Puak Nasrani juga telah pernah merosakkan BaitulMaqdis apabila kerajaan Rom menakluk Palestin. Mereka hancurkan masjid itu dan menjadikannya tempat pembuangan sampah dan menghalang golongan Yahudi dari mengerjakan ibadah di situ. Malah mereka telah membunuh semua orang Yahudi di situ. Golongan Nasrani memandang puak Rom itu sebagai tok nenek mereka dan mereka suka apabila BaitulMaqdis itu ditidakkan kepada golongan Yahudi, maka kerana itu mereka juga termasuk di dalam kutukan di dalam ayat ini.
Ia juga boleh digunakan untuk menyebut tentang rumah-rumah ibadat ahli Kitab juga kerana tempat ibadat mereka juga sepatutnya dinamakan masjid juga – tempat sujud – kerana mereka juga sepatutnya ada ibadat sujud juga. Cuma mereka sahaja yang meninggalkannya. Mereka meninggalkan untuk disebut nama Allah ﷻ di dalamnya. Jangan lupa, kita masih lagi dalam bahagian dalam Surah Baqarah yang menyentuh juga perbuatan ahli-ahli Kitab terutama sekali Bani Israil. Jadi ayat ini ada juga bersangkutan dengan mereka.
Allah ﷻ menggunakan perkataan مَسَاجِدَ (masjid-masjid) yang ditahan di dalam ayat ini. Padahal masjid bukanlah sesuatu yang bernyawa. Ini bermaksud, masjid-masjid itu dihalang daripada menjalankan apa yang sepatutnya dijalankan – iaitu mengingatkan manusia kembali kepada Allah ﷻ. Malangnya orang yang berkuasa pula yang melarang manusia ke atas masjid.
Kenapa perbuatan melarang manusia dari masjid itu dikira sebagai paling zalim? Kerana masjid adalah tempat ibadat dan tempat penyebaran ilmu agama. Kalau manusia dilarang dari masjid, maka ilmu tidak berkembang dan manusia jadi jahil. Apabila mereka jahil maka mereka akan melakukan kesalahan agama yang menyebabkan mereka masuk neraka. Nampak tak bahayanya apabila masjid dilarang untuk mengajar? Malangnya memang masjid-masjid kita sekarang ini ada yang memang menghalang guru-guru agama yang membawa ajaran sunnah daripada mengajar. Alasan mereka adalah ditakuti masyarakat akan berpecah belah setelah guru-guru agama sunnah itu mengajar. Padahal, apa yang hendak diajar oleh guru-guru itu adalah kebenaran. Kerana larangan itulah kita boleh perhatikan ajaran-ajaran pelik-pelik sekarang bercambah. Adakah pihak agama melakukan sesuatu untuk menghalangnya? Dari kejadian GISB yang terus bebas menjalankan kegiatan mereka tanpa halangan, kita boleh katakan yang jabatan agama tidak buat kerja sebenarnya. Yang selalu menegur kesalahan ajaran sesat adalah kumpulan ustaz-ustaz Sunnah yang digelar Wahabi itulah. Tapi malangnya mereka disekat dari mengajar dengan ditidakkan dapat tauliah. Kalau mereka tetap juga mengajar, maka datanglah puak jabatan agama ini tangkap asatizah ini sedangkan lagi banyak ajaran sesat mereka pandang sebelah mata sahaja! Maka kejadian zaman dahulu telah berulang kembali dalam masyarakat kita. Perbuatan yang sama dilakukan oleh Musyrikin Mekah dilakukan oleh AJK-AJK masjid dan jabatan juga rupanya. Ilmu agama yang sebenarnya dihalang dari diajar kepada masyarakat. Sampaikan kebanyakan masyarakat terus duduk dalam kejahilan dan terus mengamalkan ajaran tok nenek yang salah dan ajaran sesat baru yang berkembang biak.
أَنْ يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ
untuk disebut nama Allah sahaja?;
Menyebut Nama Allah ﷻ bermaksud menyebut namaNya dengan maksud tauhid. Iaitu kalau menyebut namaNya, dengan fahaman Tauhid, bukannya sebut dengan cara syirik atau sebut hu, hu, hu seperti monyet. Ini memang zikir mengarut. Bukan juga pakai zikir semut dindi danda. Ini semua adalah mengarut sangat. Bukan juga zikir nama Allah dengan cara tunggal Allah, Allah, Allah…. Sebaliknya hendaklah dizikirkan nama Allah itu dengan cara yang diajar oleh Rasulullah dan para sahabat. Mereka tidak buat ajaran-ajaran mengarut rekaan manusia (diajar oleh syaitan itu).
Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang melarang manusia daripada memasuki masjid untuk menyebut nama Allah ﷻ sahaja? Iaitu mengesakan nama Allah ﷻ. Iaitu mengajar tauhid. Kenapa dilarang ajaran tauhid yang sebenar diajar kepada masyarakat? Oleh kerana ajaran tauhid telah jauh daripada masyarakat sekarang, maka apabila ada guru yang mengajar tentang tauhid – hanya menyembah Allah ﷻ sahaja; hanya berzikir menyebut nama Allah ﷻ sahaja – bukan nama ilah-ilah yang lain, masyarakat melihat guru itu mengajar perkara yang asing. Maka akan ada orang yang tidak suka kerana teguran guru itu akan terkena kepada golongan yang mengamalkan ajaran yang sesat – yang bukan tauhid.
Jadi mereka akan berusaha supaya guru yang mengajar tauhid itu tidak mengajar lagi di situ. Ini memang ada terjadi. Sudah berapa ramai guru agama yang tidak lagi dibenarkan mengajar di masjid-masjid kerana mereka mengajar tentang tauhid? Kalau mengajar feqah seperti solat dan wudhu’, tidak ada masalah; tetapi kalau ajar ajaran tauhid kepada masyarakat awam, tentu akan ada masalah. Asatizah yang berkelayakan untuk mengajar agama dihalang, asatizah yang ajar ajaran mengarut dibenarkan pula. Alasan yang digunakan adalah tidak ada tauliah. Sedangkan kalau diminta tauliah, tidak diberikan! Begitulah apabila golongan agamawan menyalahgunakan agama untuk kepentingan mereka. Mereka takut fahaman salah mereka disampaikan kepada masyarakat, maka mereka halang dan halang asatizah Sunnah dari mengajar. Bayangkan yang dihalang itu adalah asatizah yang mengajar tafsir Al-Qur’an dan hadis. Mereka halang dari disampaikan kepada masyarakat. Tidak takutkah mereka kepada Allah?
Kerana itu ada mufassir yang mentafsir ayat ini sebagai mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan menyebut nama Allah ﷻ adalah: membaca Al-Qur’an. Ini pun ada kebenarannya juga kerana pernah ada kejadian yang menghalang kelas tafsir daripada diajar kepada masyarakat dengan alasan bahawa pengajaran tafsir Al-Qur’an akan menyebabkan manusia berpecah belah. Kita tidak tahulah apakah yang dimaksudkan dengan tafsir Al-Qur’an boleh memecah-belahkan masyarakat. Mereka yang mengatakan seperti itu kena menjawab di hadapan Allah ﷻ nanti oleh kerana halangan mereka itu. Mereka itu memang jelas termasuk dalam mereka yang dikatakan dalam ayat ini.
Ada mufassir yang mengatakan yang dimaksudkan adalah Bani Israil telah dilarang daripada menyebut nama Allah ﷻ. Syaitan telah berjaya menghasut ahli agama mereka untuk melarang pengikut-pengikut mereka daripada menyebut nama Allah ﷻ. Syaitan mengatakan bahawa nama Allah ﷻ itu adalah terlalu suci untuk disebut secara terang. Maka pengikut-pengikut agama mereka tidak dibenarkan menyebutnya langsung. Sampai sekarang, mereka sampai tidak tahu dengan tepat apakah nama Tuhan mereka sendiri. Sampaikan mereka terpaksa meminjam nama tuhan penduduk setempat. Begitulah yang terjadi apabila mereka di Malaysia. Telah kecoh beberapa tahun dahulu bagaimana mereka memohon untuk menggunakan nama Allah ﷻ sebagai nama Tuhan mereka. Ini amat memalukan. Padahal kita boleh tanya mereka: “Kenapa nak pakai nama Tuhan kami? Kenapa kamu tak pakai nama tuhan kamu sendiri?” Sebenarnya, mereka sendiri sudah tidak tahu nama Tuhan mereka. Mereka tidak tahu hendak sebut bagaimana nama Tuhan mereka. Ini kerana telah lama dahulu, mereka telah dihasut oleh Syaitan untuk tidak menyebut nama Tuhan. Maka, sampai sekarang, mereka sendiri tidak tahu nama Tuhan mereka. Ini sebenarnya memalukan mereka dan membuka kelemahan agama mereka. Kita sepatutnya tanya mereka balik: “Kau tak tahu nama Tuhan kamu sendiri? Agama apakah kamu anut ini, nama Tuhan pun tidak tahu? Kucing di rumah kami pun ada nama, tapi nama Tuhan kamu, kamu tak tahu?” Semoga dengan berkata begitu menyebabkan mereka tersedar sendiri betapa agama mereka itu agama yang tidak benar.
Jadi ada banyak pendapat tentang apakah yang dimaksudkan dengan ayat ini. Sebenarnya, semua pendapat ini boleh dipakai. Kehebatan Al-Qur’an adalah ia boleh digunakan dalam banyak keadaan.
وَسَعَىٰ فِي خَرَابِهَا
Dan dia berusaha untuk merobohkan masjid itu?
Merobohkan tidak semestinya bermaksud menghancurkan fizikal masjid itu. Walaupun perobohan fizikal juga telah pernah berlaku. Malah sampai sekarang masjid-masjid ada dirobohkan seperti di India. Tapi selain dari perobohan fizikal, ia juga boleh bermaksud menghalang masjid itu dari digunakan seperti sepatutnya. Mereka berusaha untuk merosakkan amalan-amalan Sunnah dalam masjid Allah ﷻ. Mereka adalah orang yang berkuasa dalam mentadbir masjid. Jadi mereka mengawal aktiviti masjid. Mereka tidak membenarkan masjid digunakan untuk perkara-perkara yang sepatutnya dan mereka telah merosakkan aktiviti-aktiviti di dalam masjid. Jadi yang dimaksudkan dengan merobohkan itu adalah merobohkan amalan yang benar. Iaitu dengan tidak membenarkan manusia melakukan amalan yang benar di dalamnya.
Maka kita dapat lihat kesucian masjid telah tergugat. Sekarang masjid pula digunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya. Sampaikan pernah berlaku di Putrajaya, ahli masjid membenarkan majlis persandingan besar-besaran yang syirik itu dilakukan di dalam masjid! Kalau bersanding di luar pun sudah ada masalah tetapi dibenarkan masuk dalam masjid! Bergendang, menyanyi qasidah dan menari juga sudah banyak dilakukan oleh puak sesat Habib itu dan ramai sekali umat kita mengikutnya. Memang sudah teruk akidah masyarakat kita. Begitulah kalau guru yang mengajar tauhid disisihkan dari masyarakat.
Ini juga kutukan kepada golongan Yahudi yang hendak merobohkan Baitul Maqdis. Mereka hendak mendirikan rumah ibadat mereka pula di atas tanah yang telah lama menjadi masjid bagi umat Islam. BaitulMaqdis telah pernah dirobohkan oleh golongan Nasrani dan mereka pun hendak melakukan perkara yang sama juga.
Ia juga termasuk perbuatan orang jahat dalam sejarah seperti Abrahah yang hendak merobohkan Kaabah; juga termasuk puak Nasrani yang pernah menghancurkan MasjidilAqsa.
Ayat ini juga menjadi dalil bagi halangan kepada kita untuk memusnahkan mana-mana rumah ibadat termasuk rumah ibadat agama lain. Walaupun fahaman mereka sesat dan salah, akan tetapi jangan kita musnahkan rumah ibadat mereka kalau kita berkuasa pun. Alhamdulillah kerajaan kita menjaga baik hal ini dengan membenarkan segala agama diamalkan dan membina rumah ibadat mereka.
Begitulah contoh yang telah ditunjukkan oleh Saidina Umar. Apabila Palestin ditawan oleh kerajaan beliau dan beliau pergi sendiri untuk menerima kunci Palestin, beliau telah bertanya tentang BaitulMaqdis. Terkejut beliau apabila mengetahui yang BaitulMaqdis telah ditukar menjadi tempat pembuangan sampah oleh Kerajaan Roman dan malah semua penduduk Yahudi telah dibunuh. Saidina Umar dengan sedih hati telah mengarahkan BaitulMaqdis dibersihkan dan malah beliau suruh dicarikan keluarga Yahudi untuk dibawa ke situ supaya penempatan Yahudi boleh diadakan kembali. Begitulah hebatnya pemimpin agung ini. Malah apabila telah sampai waktu solat dan beliau dipersila untuk solat di rumah ibadat Kristian, beliau menolak. Kerana beliau takut nanti kalau umat Islam di kemudian hari akan mengambil alih rumah ibadat Kristian kalau mereka tahu yang Umar pernah solat di situ. Beliau hanya solat di perkarangan gereja itu sahaja.
أُولٰئِكَ ما كانَ لَهُم أَن يَدخُلوها إِلّا خائِفينَ
Orang-orang yang bersifat seperti ini, tidaklah mereka itu masuk ke dalam masjid melainkan dalam keadaan takut sahaja;
Mereka itu tidak sepatutnya dibenarkan masuk Masjidil Haram; mereka itu tidak sepatutnya senang hati sahaja masuk ke dalam masjid Allah ﷻ dan melakukan perkara yang jauh daripada amalan agama Islam yang benar. Orang-orang yang menghalang itu sepatutnya tidak layak untuk memasuki masjid Allah ﷻ. Mereka sepatutnya tidak layak memasuki masjid-masjid Allah ﷻ melainkan dengan rasa takut kepada azab Allah ﷻ. Allah telah berfirman di dalam Tawbah:18
إِنَّما يَعمُرُ مَسٰجِدَ اللَّهِ مَن ءآمَنَ بِاللَّهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَأَقامَ الصَّلوٰةَ وَءآتَى الزَّكوٰةَ وَلَم يَخشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسىٰ أُولٰئِكَ أَن يَكونوا مِنَ المُهتَدينَ
Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan salat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.
Atau ia bermaksud mereka itu apabila masuk ke masjid Allah, mereka jadi takut dalam hati mereka. Semasa Musyrikin Mekah mengawal Kaabah dan Masjidil Haram, mereka tidak membenarkan orang-orang Islam untuk datang beribadat. Allah ﷻ hendak kata di dalam ayat ini bahawa akan datang di masa hadapan nanti, mereka pula yang akan datang ke Masjidil Haram dalam ketakutan. Iaitu apabila umat Islam telah menakluk Mekah dan Masjidil Haram nanti. Ini adalah balasan dari Allah ﷻ. Oleh kerana mereka menjadikan umat Islam takut, maka kemudian Allah ﷻ telah meletakkan rasa takut di dalam hati mereka. Ayat ini turun sebelum Pembukaan Mekah. Mereka menakutkan orang Islam untuk datang. Tetapi Allah ﷻ menjanjikan di dalam ayat ini bahawa nanti keadaan akan jadi terbalik. Ini adalah salah satu ayat yang menyatakan tentang kemenangan yang akan diperolehi oleh orang Islam nanti.
Ayat ini bukanlah melarang non-Muslim dari masuk ke dalam masjid. Mereka boleh sahaja masuk ke dalam masjid dengan izin umat Islam yang menjaga masjid itu. Malangnya tok siak kita yang menjaga masjid sekarang jahil agama; takut sangat mereka apabila non-muslim hendak memasuki masjid. Sedangkan di zaman Rasulullah, baginda menerima tetamu yang belum masuk Islam lagi di masjidlah.
Atau, ia bermaksud orang-orang yang merobohkan rumah ibadah memang tidak suka dengan rumah ibadah itu. Mereka kalau masuk ke rumah ibadah pun rasa takut. Mereka takut kalau-kalau pekung di dalam dada mereka dibongkarkan di rumah ibadah itu. Mereka takut kalau-kalau penceramah akan membongkarkan kesalahan yang mereka lakukan. Ini seperti golongan munafik yang takut kalau diturunkan ayat Al-Qur’an yang membongkar apa yang ada di dalam hati mereka. Mereka jadi takut kerana hubungan mereka dengan Allah telah jauh. Ini seperti firman Allah di dalam Tawbah:64
يَحذَرُ المُنٰفِقونَ أَن تُنَزَّلَ عَلَيهِم سورَةٌ تُنَبِّئُهُم بِما في قُلوبِهِم ۚ قُلِ استَهزِئوا إِنَّ اللَّهَ مُخرِجٌ مّا تَحذَرونَ
Orang-orang yang munafik itu takut akan diturunkan terhadap mereka sesuatu surah yang menerangkan apa yang tersembunyi dalam hati mereka. Katakanlah kepada mereka: “Teruskanlah ejekan-ejekanmu (terhadap Allah dan rasul-Nya)”. Sesungguhnya Allah akan menyatakan apa yang kamu takuti itu.
Begitulah hukuman Allah terhadap mereka. Sepatutnya kita apabila masuk ke masjid atau rumah-rumah ibadat lain, sepatutnya kita rasa tenang, bukan? Tapi sebaliknya pula terhadap mereka.
Yang menarik juga adalah penggunaan kata خَائِفِينَ dalam ayat ini. Ada mufassir yang membandingkan rumah-rumah ibadat ahli Kitab sekarang. Rumah-rumah ibadat mereka kalau kita lihat sekarang adalah dalam suasana yang mengerikan. Ada patung binatang, patung makhluk yang bukan manusia atau binatang, tidak pasti apakah ia. Bukankah keadaan itu menakutkan? Padahal sepatutnya rumah ibadat kenalah dalam keadaan yang menenangkan, bukan menakutkan.
Atau ia juga bermaksud sepatutnya manusia masuk ke rumah ibadat Allah dengan rasa takut kepadaNya; takut melanggar arahanNya dan laranganNya. Rasa takut kepada Allah kena ada, kalau tidak ada rasa takut maka manusia akan buat apa-apa sahaja kezaliman. Akan tetapi golongan yang merobohkan rumah-rumah ibadat Allah itu tidak langsung ada takut dalam hati mereka seperti yang sepatutnya. Inilah orang yang paling teruk sekali. Bayangkan sampai mereka sanggup memusnahkan masjid Allah.
لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ
Bagi mereka di dunia ini satu kehinaan
Allah ﷻ boleh berikan hukuman azab kepada mereka semasa di dunia lagi iaitu mereka mendapat kehinaan. Begitulah yang terjadi kepada para penentang Nabi Muhammad ﷺ. Mereka telah dihinakan dengan diberi kekalahan demi kekalahan di tangan umat Islam. Sebagai contohnya, golongan Nasrani yang telah menghancurkan MasjidilAqsa telah dikalahkan oleh umat Islam.
Mereka juga terhina kerana mendapat kutukan dan laknat dari orang-orang yang telah dianiaya. Mereka yang telah dizalimi itu menutup mulut mereka kerana takut dizalimi lagi, akan tetapi hati mereka mengutuk dan melaknat. Maka begitulah juga keadaannya orang-orang yang menghalang asatizah Sunnah dari mengajar. Mereka akan menerima balasan Allah di dunia ini lagi. Mereka memang sedang berkuasa sekarang, akan tetapi akan sampai satu masa Allah akan jatuhkan mereka. Kita serahkan kepada Allah. Teruk sangat apa yang mereka lakukan terhadap asatizah Sunnah kita sekarang, tentu Allah tidak akan biarkan begitu sahaja.
وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
dan bagi mereka di akhirat kelak azab yang amat besar;
Mereka bukan sahaja mendapat balasan di dunia tetapi di akhirat nanti mereka akan mendapat balasan yang lebih teruk lagi. Mereka akan kekal dalam neraka dan akan diberikan dengan azab yang menghinakan. Begitulah balasan kepada orang yang menghalang ajaran yang benar dari disampaikan kepada masyarakat.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat-ayat yang seterusnya
Kemaskini: 11 November 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
