HUKUMAN KEPADA BANI ISRAIL YANG MELANGGAR HUKUM SABBATH
Baqarah Ayat 65: Keburukan kedua golongan Yahudi itu adalah helah mereka dalam syariat. Mereka mencari jalan dan peluang bagaimana untuk tidak taat kepada syariat. Maka mereka telah diberikan azab. Ini untuk mengingatkan golongan Yahudi yang mereka itu selamat lagi kerana Allah tahan sahaja azab dari kena mereka. Allah ingatkan dahulu ada di kalangan tok nenek mereka yang telah dikenakan azab. Jadi bertaubatlah segera sebelum mereka dikenakan dengan azab semasa di dunia lagi.
وَلَقَد عَلِمتُمُ الَّذينَ اعتَدَوا مِنكُم فِي السَّبتِ فَقُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خٰسِئينَ
And you had already known about those who transgressed among you concerning the sabbath, and We said to them, “Be apes, despised.”
Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.
وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ الَّذِينَ اعْتَدَوْا مِنْكُمْ
Dan sesungguhnya kamu tahu orang-orang yang melampaui batas dari antara kamu;
Allah ﷻ mengingatkan kesalahan yang pernah dilakukan oleh tok nenek mereka dahulu. Memang mereka tahu sejarah apa yang terjadi zaman dahulu jadi Allah ﷻ hanya mengingatkan mereka sahaja. Mereka memang belajar sejarah bangsa mereka dengan bersungguh-sungguh kerana mereka berbangga dengan tok nenek mereka. Maka Allah ﷻ hendak mengingatkan sahaja mereka tentang apakah yang terjadi kepada mereka yang melanggar perjanjian.
Apabila digunakan kalimah مِنْكُمْ (dari antara kamu), ini bermakna sebahagian sahaja yang melakukannya. Ini mengajar kita supaya menjadi adil, jangan kita pukul rata semua mereka buat.
فِي السَّبْتِ
pada hari Sabtu;
Ini adalah cerita tentang Yahudi selepas zaman Nabi Musa عليه السلام. Ia dikatakan berlaku di zaman Nabi Daud عليه السلام. Ia tentang satu golongan nelayan yang telah menangkap ikan pada hari Sabtu. Kisah ini ada disebut juga dalam A’raf:163.
وَاسأَلهُم عَنِ القَريَةِ الَّتي كانَت حاضِرَةَ البَحرِ إِذ يَعدونَ فِي السَّبتِ إِذ تَأتيهِم حيتانُهُم يَومَ سَبتِهِم شُرَّعًا وَيَومَ لا يَسبِتونَ ۙ لا تَأتيهِم ۚ كَذٰلِكَ نَبلوهُم بِما كانوا يَفسُقونَ
Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai (penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air; sedang pada hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana mereka sentiasa berlaku fasik.
Mereka telah diperintahkan oleh Tuhan untuk tidak berbuat apa-apa kerja pada hari Sabtu kerana hari itu adalah hari untuk mereka beribadat. Larangan itu sampai memasak pun tidak boleh. Kerana itu adalah hari besar mereka dan mereka kena tumpukan perhatian kepada ibadah sahaja. Alhamdulillah kita tidak dikenakan syariat seperti itu. Walaupun hari besar kita adalah hari Jumaat, tetapi kita masih lagi boleh membuat kerja. Cuma kena pergi solat Jumaat selama dua jam sahaja.
Shabbat (Bahasa Ibrani: שבת, shabbāt, “rehat/ketidakaktifan” merupakan hari rehat mingguan dalam agama Yahudi, melambangkan Hari ke-Tujuh (7) dalam Buku Kejadian, selepas penciptaan alam yang selama enam hari. Shabbat diamalkan dari waktu senja hingga kemunculan tiga bintang pada langit malam Sabtu. Dalam amalan agama Yahudi seperti Yahudi Messianik, Sabat atau Shabbat secara amnya adalah hari yang dikhususkan untuk amalan-amalan keagamaan sahaja.
Perkataan shabbat dalam Bahasa Ibrani berasal dari kata kerja shabat, dalam bahasa yang sama, yang secara harafiah bererti “berhenti”, atau shev yang bererti “duduk”. Meskipun shabbat selalunya diterjemahkan sebagai “istirehat”, terjemahan yang lebih harfiah ialah “berhenti”, dengan implikasi “berhenti daripada melakukan pekerjaan”. Jadi Sabat merupakan hari untuk berhenti bekerja, dengan implikasinya beristirehat.
Sebenarnya hari ibadah mereka juga adalah hari Jumaat juga tapi mereka yang minta ubah ke hari Sabtu:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ كَتَبَ الْجُمُعَةَ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَنَا فَاخْتَلَفَ النَّاسُ فِيهَا وَهَدَانَا اللَّهُ لَهَا فَالنَّاسُ لَنَا فِيهَا تَبَعٌ فَالْيَوْمُ لَنَا وَلِلْيَهُودِ غَدًا وَلِلنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ لِلْيَهُودِ يَوْمُ السَّبْتِ وَلِلنَّصَارَى يَوْمُ الْأَحَدِ حَدَّثَنَا عَبْدُ الصَّمَدِ حَدَّثَنَا هَمَّامٌ حَدَّثَنَا قَتَادَةُ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ مَوْلَى أُمِّ بُرْثُنٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَذَكَرَ مِثْلَهُ وَلَمْ يَذْكُرْ الْيَوْمُ لَنَا
Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘azza wajalla mewajibkan hari Jumaat atas orang-orang sebelum kita lalu mereka berselisih di dalamnya, kemudian Allah memberikan hidayah kepada kita pada hari itu, pada hari itu manusia akan mengikuti kita, hari ini adalah milik kita, Yahudi esok dan Nasrani setelahnya, Yahudi hari Sabtu dan Nasrani hari Ahad.
(Hadis Sahih Riwayat Ahmad, 10232)
Jadi, mereka memang tidak boleh membuat kerja pada hari Sabtu langsung. Tetapi ikan-ikan telah timbul dengan banyak di lautan pada hari Sabtu. Mereka nampak ikan-ikan itu sampai tidak sabar kerana mereka nampak itu peluang untuk mendapat duit yang banyak.
Jadi, mereka telah membuat jerat pada hari Jumaat supaya ikan-ikan masuk dalam jerat pada hari Sabtu. Dan mereka angkat ikan-ikan itu pada hari Ahad. Mereka menggunakan alasan bahawa mereka tidak bekerja pada hari Sabtu itu. Apabila mereka buat begitu, sebenarnya mereka hendak membuat helah dan menipu Allah ﷻ. Asal idea ini timbul adalah dari salah seorang mereka. Dia hendak makan ikan, tapi dia pun tahu tidak boleh menangkap ikan hari Sabtu. Hari lain pula ikan tak keluar. Jadi dia tangkap seekor ikan hari Jumaat dan dia ikat ikan itu dan biarkan di dalam air (kiranya tak tangkap ke luarlah). Dia tengok hari Ahad, ikan itu masih hidup terikat lagi. Maka idea ini telah digunapakai pula oleh para nelayan.
Sama juga macam kita yang cuba hendak menipu Allah ﷻ. Contohnya, kita tidak boleh pergi ke kenduri kahwin yang ada persandingan. Kerana ia adalah perbuatan syirik – menyerupai amalan penganut Hindu menyembah dewa mereka. Namun ada juga yang pergi ke majlis sebegitu dengan mengatakan mereka tidak tengok majlis sanding itu, mereka hanya makan sahaja. Ataupun mereka datang sebelum atau selepas majlis itu. Itu pun boleh dikira menipu Allah ﷻ juga.
Sama juga alasan bagi mereka yang berkata: “Kami tak pergi Majlis Tahlil… kami pergi makan sahaja.” Sama sahaja dengan alasan yang diberikan oleh golongan Yahudi terdahulu.
فَقُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خٰسِئينَ
Maka Kami titah kepada mereka: Jadilah kamu kera yang hina dina;
Ini adalah titah dalam bentuk azab kepada mereka. Ini adalah kerana kedegilan mereka dan sangkaan mereka yang mereka boleh membuat helah dengan Allah ﷻ. Oleh kerana kesalahan mereka itu, mereka telah ditukar menjadi kera (atau beruk, saya pun tak tahu apa bezanya) selama tiga hari. Dan kerana itu disebut خٰسِئينَ iaitu yang jenis hina punya. Sebab kera ada sahaja yang manusia sayang dan bela naik sekali dengan motosikal dan sebagainya. Tapi kalau sudah tua tidak boleh diguna lagi, memang kena ikut tepi tiang rumah sahaja. Kalau ada orang lalu, akan dikacaunya kalau tidak diberi makanan. Maka kera yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah jenis خٰسِئينَ punya.
Antara kera yang terhina adalah yang sampai kerabat kereta dan rumah manusia mencari makanan. Akan tetapi asalnya salah manusia juga. Ramai manusia suka beri makanan kepada kera/monyet/beruk sampaikan haiwan itu semua sudah ketagih dengan makanan manusia. Padahal mereka ada makanan mereka sendiri. Bila sudah ketagih, maka dituntutnya makanan dari manusia. Mereka jadi ganas dan tidak beradab lagi. Sebagaimana ia buruk bagi haiwan, ia juga buruk bagi manusia. Sebab itu kalau kita marah kepada orang, kita kata kepadanya: perangai macam beruk!
Dan memang mereka menjadi kera betul, bukan perangai mereka sahaja macam kera (seperti sesetengah pendapat). Selepas tiga hari, mereka mati. Tetapi, ada pula yang mengambil dari cerita ini untuk mengatakan yang manusia dijadikan dari kera pula. Ini tidak masuk akal kerana semua mereka yang menjadi kera itu telah mati selepas tiga hari. Badan mereka sahaja yang bertukar menjadi kera, tetapi akal mereka masih akal manusia.
Maka kisah itu tidak boleh dipakai kerana ia adalah kisah israiliyat. Sedangkan ada hadis Nabi ﷺ memberitahu yang mana-mana manusia yang ditukar menjadi makhluk lain, mereka hanya hidup selama tiga hari sahaja. Jadi mereka itu tidak ada baka sebenarnya. Allah ﷻ jadikan sebegini supaya ia menjadi pengajaran kepada Yahudi yang lain.
Ada dari kalangan mereka waktu itu yang membuat kesalahan ini dan ada yang tengok sahaja. Ada juga yang menegur perbuatan mereka itu. Kerana selalu tegur, golongan yang melihat sahaja pun marah kepada golongan yang menegur itu. Ini seperti yang disentuh dalam Surah al-A’raf. Yang pasti, mereka yang membuat salah itu telah menjadi kera. Tetapi khilaf di kalangan ulama’, sama ada mereka yang tengok tidak menegur itu bertukar menjadi kera juga ataupun tidak. Yang pasti, mereka yang menegur itu selamat dari ditukar menjadi kera.
Menurut riwayat dari Ibnu Ishak, Ibnu Jarir dan lbnu Abbas, semua mereka itu dikutuk sehingga berubah rupa menjadi monyet. Tetapi setelah mereka menjadi monyet itu, mereka tidak mampu makan dan tidak mampu minum, sehingga tidak sampai tiga hari sesudah perubahan rupa itu, mereka pun mati semua.
Satu riwayat pula dari Ibnul Mundzir, katanya dari Ibnu Abbas juga, bahawa segala monyet dan segala babi yang ada sekarang ini adalah dari keturunan mereka. Tetapi pada riwayat Ibnul Mundzir yang diterimanya dari al-Hasan, keturunan mereka itu terputus. Sebab itu menurut pendapat al-Hasan ini, kera dan babi yang ada sekarang tidaklah dari keturunan mereka.
Menurut Qatadah, penduduk di situ terbahagi kepada dua kerana perbuatan melanggar arahan Allah itu. Kerana ada yang menegur dan yang ditegur tidak mengendahkan. Maka yang menegur dari kalangan orang alim dan warak telah meninggalkan penduduk asal dan pergi berhijrah ke tempat lain. Satu hari mereka perasan tidak ada bunyi lagi dari penduduk asal jadi mereka datang melawat dan mereka dapati mereka telah ditukar menjadi kera. Yang muda menjadi kera sedangkan yang tua menjadi babi. Mereka masih lagi dapat mengenali ahli keluarga mereka walaupun telah ditukar. Maka mereka telah memeluk ahli keluarga mereka dan menangisi mereka itu. Tiga hari selepas itu mereka pun mati.
Perpecahan kepada kumpulan ini sebenarnya terpecah kepada tiga kumpulan seperti disebut di dalam A’raf:174
وَإِذ قالَت أُمَّةٌ مِّنهُم لِمَ تَعِظونَ قَومًا ۙ اللَّهُ مُهلِكُهُم أَو مُعَذِّبُهُم عَذابًا شَديدًا ۖ قالوا مَعذِرَةً إِلىٰ رَبِّكُم وَلَعَلَّهُم يَتَّقونَ
Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan binasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: “(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan mudah-mudahan mereka bertaqwa”.
Jadi tiga kumpulan itu adalah:
1. Yang melakukan kesalahan
2. Yang menegur
3. Yang menegur pula golongan yang menegur.
Maka yang selamat adalah mereka yang menegur seperti disebut di dalam ayat selepasnya. Ini mengajar kita bahawa kesalahan manusia hendaklah ditegur. Banyaknya terjadi kemungkaran adalah kerana orang ramai tidak menegur, yang ada ilmu tidak menegur, yang baik tidak menegur. Sampaikan yang melakukan kesalahan itu senang sahaja hati mereka buat kesalahan kerana tidak ada yang menegur. Maka untuk selamat kita kenalah menegur. Kalau teruk selain dari melakukan kesilapan adalah yang menghalang pula pihak yang cuba menegur. Sudahlah mereka tidak tegur, mereka halang pula golongan yang sanggup menegur itu! Yang selamat hanyalah yang menegur kesalahan manusia seperti disebut di dalam A’raf:164 ini,
فَلَمّا نَسوا ما ذُكِّروا بِهِ أَنجَينَا الَّذينَ يَنهَونَ عَنِ السّوءِ وَأَخَذنَا الَّذينَ ظَلَموا بِعَذابٍ بَئيسٍ بِما كانوا يَفسُقونَ
Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).
Bagaimana pula dengan orang yang tidak menangkap ikan hari Sabtu itu tapi tidak menegur? Sudahlah mereka tidak menegur, mereka halang pula orang yang menegur itu. Allah sebut mereka dilaknat seperti yang disebut dalam Maidah:78-79
لُعِنَ الَّذينَ كَفَروا مِن بَني إِسرٰءيلَ عَلىٰ لِسانِ داوودَ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ ۚ ذٰلِكَ بِما عَصَوا وَّكانوا يَعتَدونَ
Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas.
كانوا لا يَتَناهَونَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلوهُ ۚ لَبِئسَ ما كانوا يَفعَلونَ
Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan mungkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu.
Tapi ayat ini tentang mereka yang buat helah untuk mengelak dari taat kepada hukum Allah. Hukuman kepada mereka adalah ditukar menjadi kera/beruk (dan ada pendapat kata sebahagian ditukar menjadi babi). Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan mereka berperangai seperti kera dan bukanlah ditukar sampai menjadi kera. Mereka dikatakan menjadi kera kerana isyarat kepada kera yang sejenis binatang yang tidak kisah tentang halal haram, seperti mereka juga. Ini seperti disebut di dalam riwayat yang lain dari Ibnul Mundzir yang juga disertai riwayat dari Ibnul Abi Hatim, yang mereka terima dari Mujahid: “Yang disumpah Tuhan sehingga menjadi kera dan monyet itu ialah hati mereka, bukan badan mereka.”
Akan tetapi kita lebih selesa dengan pendapat yang mengatakan mereka benar-benar menjadi kera. Kerana memang Allah boleh buat. Kalau ada yang kata mungkin mereka berperangai seperti kera sahaja, janganlah ditolak kemungkinan mereka itu betul-betul bertukar menjadi kerana fizikal.
Baqarah Ayat 66:
فَجَعَلنٰها نَكٰلًا لِّما بَينَ يَدَيها وَما خَلفَها وَمَوعِظَةً لِّلمُتَّقينَ
And We made it a deterrent punishment for those who were present and those who succeeded [them] and a lesson for those who fear Allah .
Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
فَجَعَلْنٰهَا نَكٰلًا
Maka Kami jadikan seksaan kepada mereka itu sebagai satu peringatan
Kalimah نكل bermaksud sesuatu yang melarikan, menjauhkan. Maka penukaran kepada kera itu menjadi satu teladan supaya manusia selepas itu akan menjauhkan diri dari melakukan kesalahan yang sama. Supaya kita takut untuk berbuat dosa yang sama.
لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهَا
bagi orang yang ada pada masa itu;
Golongan pertama yang mendapat pengajaran adalah mereka yang mengenali golongan yang ditukar itu. Mereka yang melakukan kesalahan dan telah ditukar kepada kera itu tinggal berdekatan dengan laut – kerana kesalahan mereka itu menangkap ikan. Bermakna, kerja mereka adalah sebagai nelayan. Jadi, manusia selalunya akan lalu berdekatan dengan laluan air, maka ramailah yang boleh melihat takdir Allah ﷻ kepada mereka itu. Maka mereka boleh terus mengambil pengajaran dari kejadian itu kerana memang di depan mata mereka.
Ini menguatkan lagi pendapat yang mengatakan memang mereka telah ditukar menjadi kera secara fizikal kerana orang yang berdekatan mereka boleh nampak kejadian itu.
وَمَا خَلْفَهَا
dan orang-orang yang akan datang kemudian
Bukan mereka yang hidup sezaman dengan mereka yang ditukar sahaja yang boleh mengambil pengajaran, tetapi orang-orang yang selepas itu juga. Kita termasuk dalam ayat ini kerana kita sekarang sedang membaca kisah mereka sebagai teladan bagi kita. Maka jangan cuba nak cari helah dengan hukum Allah ﷻ.
وَمَوْعِظَةً لِّلْمُتَّقِينَ
dan sebagai satu nasihat yang amat berguna kepada-orang orang yang bertaqwa.
Kisah dan ajaran dari Al-Qur’an diberikan kepada semua. Akan tetapi bukan semua akan mengambil manfaat darinya. Ayat-ayat itu mungkin sampai kepada mereka, tapi mereka tidak ambil endah pun. Hanya orang yang bertaqwa sahaja yang akan mengambil pengajaran kerana itulah ada lam takhsis pada kalimah لِلْمُتَّقِينَ di atas. Begitulah kalau kita bertaqwa, kita juga akan mengambil pengajaran ini sebagai nasihat yang penting untuk kita. Pengajaran penting bagi kita di sini adalah janganlah kita menggunakan helah dalam agama. Ia adalah satu perbuatan yang amat buruk sekali.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 2 September 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
