Baqarah Ayat 58: Ini adalah ayat berkenaan suruhan Allah ﷻ untuk mereka masuk ke dalam kota Palestin. Ayat 58 & 59 ini menceritakan hukuman yang dikenakan kepada tok nenek puak Yahudi yang ada di Madinah. Oleh kerana mereka tidak menjalankan jihad dengan puak Amaliqah itu, maka mereka telah dihukum sesat di Padang Tih selama 40 tahun. Kata-kata dalam ayat ini adalah kepada anak-anak puak Bani Israil yang sesat di Padang Tih. Bapa-bapa mereka telah mati dan sekarang adalah lapisan generasi yang terkemudian. Setelah keturunan sebelum mereka tidak mahu berjihad, mereka pula yang kena berjihad. Mereka berjaya menakluki kota itu dan sekarang disebut cara untuk masuk ke dalam kota itu setelah beroleh kemenangan.
وَإِذ قُلنَا ادخُلوا هٰذِهِ القَريَةَ فَكُلوا مِنها حَيثُ شِئتُم رَغَدًا وَادخُلُوا البابَ سُجَّدًا وَقولوا حِطَّةٌ نَغفِر لَكُم خَطَـٰيَـٰكُم ۚ وَسَنَزيدُ المُحسِنينَ
And [recall] when We said, “Enter this city and eat from it wherever you will in [ease and] abundance, and enter the gate bowing humbly and say, ‘Relieve us of our burdens.’ We will [then] forgive your sins for you, and We will increase the doers of good [in goodness and reward].”
Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘Ya Allah ampunilah dosa kami’; supaya Kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.
وَإِذ قُلنَا ادخُلوا هٰذِهِ القَريَةَ
Dan ingatlah ketika Kami berfirman: Masuklah kamu ke dalam bandar
Allah ﷻ berfirman kepada golongan anak-anak Yahudi yang sesat di Padang Tih, Gurun Sinai. Bandar yang dimaksudkan adalah Bandar Baitulmuqaddis di Palestin; selepas mereka sesat selama 40 tahun di padang pasir itu, mereka dititahkan jihad untuk memasuki bandar itu dan mengambilalih tempat itu. Ada juga yang kata nama bandar itu adalah ‘Jericho’. Ia akan menjadi tempat tinggal bagi mereka. Ini adalah satu nikmat daripada Allah ﷻ.
Ada kisah lain sebelum kisah yang disebut di dalam ayat ini. Di dalam bandar itu terdapat satu kaum yang gagah iaitu pahlawan (Puak Amaliqah). Mereka itu telah berbuat banyak kerosakan. Pada waktu itu, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah wafat, dan digantikan oleh murid Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang bernama Yusya’ bin Nun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi Yusya’ عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah ditugaskan oleh Allah ﷻ untuk memimpin mereka untuk menyerang kaum Amaliqah dan Allah ﷻ akan membukakan Baitulmuqaddis (Jerusalem) untuk mereka.
Dulu sebelum mereka, Allah ﷻ telah memerintahkan Bani Israil (tok nenek mereka) untuk berperang dengan puak itu dalam bandar itu dan selepas dikalahkan mereka itu, Bani Israil boleh duduk di bandar itu. Allah ﷻ telah janjikan, jikalau mereka menyerang kaum yang ada dalam bandar itu, Allah ﷻ akan memberikan kemenangan kepada mereka. Namun mereka enggan kerana takut dengan kekuatan puak Amaliqah. Dalam surah lain ada dikisahkan bagaimana mereka menyuruh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Allah ﷻ yang lawan sendiri. Selepas mereka tidak menurut perintah itulah yang menyebabkan mereka telah disesatkan di padang pasir selama 40 tahun itu. Kisah itu telah disebutkan dalam ayat sebelum ini.
Sekarang selepas kematian Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُdan selepas Nabi lain diangkat (Yusha’ bin Nun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ), iaitu selepas generasi baru lahir, dan selepas mereka melihat kepayahan mereka hidup di padang pasir setelah sekian lama, barulah mereka mahu untuk masuk menentang penduduk bandar itu. Maka selepas mereka mahu berperang, Allah ﷻ telah memberikan kejayaan kepada mereka.
Al-Qur’an tidak perlu memberikan maklumat yang banyak tentang sejarah Bani Israil ini. Tidak perlu disebutkan bilakah kejadian itu terjadi dan di manakah ia terjadi. Memang golongan Yahudi itu mengetahui dengan mendalam sejarah mereka. Mereka amat berbangga dengan sejarah mereka dan kerana itu ia telah diceritakan turun temurun. Maka, Allah ﷻ tidak perlu menyebut banyak pun – Allah ﷻ suruh mereka ingat kembali sahaja. Lagipun, Al-Qur’an bukanlah buku sejarah. Apa yang hendak disampaikan adalah pengajaran yang boleh diambil daripada sesuatu kisah itu.
فَكُلُوا مِنْهَا حَيْثُ شِئْتُمْ
Maka makanlah di mana sahaja yang kamu hendak;
Apabila mereka sudah dapat memasuki kota itu (setelah menakluki kota itu daripada penghuni sekarang), mereka boleh memilih makan di mana sahaja. Ini adalah nikmat besar yang akan diberikan kepada mereka.
رَغَدًا
dengan penuh selera;
Maknanya, makanlah banyak mana pun, sepuas-puasnya, tidak ada sekatan. Kata-kata yang sama kita telah baca apabila Allah ﷻ berkata perkara yang sama kepada Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawa dalam ayat 35 sebelum ini. Sekali lagi kata-kata yang sama telah dikatakan kepada Bani Israil.
وَقُلنا يٰئآدَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ وَكُلا مِنها رَغَدًا حَيثُ شِئتُما
Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai,
وَادْخُلُوا الْبَابَ سُجَّدًا
Dan masuklah kamu dalam pintu kota itu dalam keadaan sujud;
Inilah syarat untuk mereka yang dikenakan oleh Allah ﷻ. Seperti juga ada syarat kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Hawa semasa di Syurga, iaitu tidak boleh makan pokok larangan, begitu juga kepada Bani Israil, syarat yang dikenakan adalah masuk ke dalam kota itu dalam keadaan tunduk merendah diri.
Iaitu mereka kena sujud waktu masuk kota itu. Sekiranya mereka menunggang kuda, maka mereka hendaklah tundukkan kepala mereka – sampai rapat kepala mereka dengan tengkuk kuda itu (ini seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad ﷺ apabila memasuki kota Mekah selepas menakluknya).
Pendapat lain mengatakan dengan tawadu’ dan hati yang tunduk. Jangan sombong tetapi rendahkan diri dan hati di hadapan Allah ﷻ. Namun sebaliknya, mereka masuk dengan keadaan mengesot dengan punggung masuk dahulu. Sepatutnya masuk dengan tunduk adalah lebih mudah, bukan? Namun mereka tidak berbuat begitu. Mereka buat tidak seperti yang disuruh kerana mereka itu adalah sebuah bangsa yang degil.
وَقُولُوا حِطَّةٌ
Dan kamu katalah: “permohonan kami adalah pengampunan dosa”;
Maknanya adalah istighfar – memohon ampun kepada Allah ﷻ. Antara kesalahan mereka adalah dulu mereka tidak taat kepada arahan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk berperang dengan penduduk di badar itu. Meninggalkan jihad apabila ia sudah wajib adalah dosa besar.
Istighfar itulah syarat yang dikenakan kepada mereka – masuk dalam keadaan sujud sambil menyebut حِطَّةٌ. Maksudnya sambil meminta ampun kepada Allah ﷻ. Ia daripada kata dasar: ح ط ط yang bermaksud meletakkan sesuatu beban ke bawah, meninggalkan, merendahkan. Oleh itu maksud perkataan حِطَّةٌ asalnya adalah ‘menurunkan beban yang dibawa’ – mereka menangggung banyak dosa bebanan. Maka mereka diajar untuk memohon keampunan kepada Allah ﷻ. Sebagaimana Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diajar bagaimana cara memohon keampunan kepada Allah ﷻ, mereka juga telah diajar sendiri oleh Allah ﷻ bagaimana untuk memohon ampun.
Beruntung sekali mereka, untuk memohon ampun pun Allah ﷻ sudah ajar sekali. Macam-macam kelebihan mereka dapat. Mereka sahaja tidak mahu menghargainya.
نَغْفِرْ لَكُمْ خَطَـٰيَـٰكُم
Kami akan ampunkan dosa kamu;
Kalimah خَطَـٰيَـٰكُم daripada kata dasar: خ ط ا yang bermaksud melakukan kesalahan yang layak dihukum, meninggalkan sesuatu, sesuatu jauh tidak dapat dicapai. Di sini Allah ﷻ telah berjanji: jikalau mereka lakukan seperti yang disuruh itu, Dia akan mengampunkan dosa mereka. Cuma ikut sahaja apa yang telah disuruh.
وَسَنَزِيدُ الْمُحْسِنِينَ
dan Kami akan tambah kepada sesiapa yang berbuat baik;
Allah ﷻ akan menambah darjat mereka yang melakukan kebaikan. Allah ﷻ akan tambah dengan balasan-balasan lain kalau mereka buat begitu. Asalkan mahu taat arahan sahaja dan melakukan kebaikan (ihsan). Ada yang mengatakan الْمُحْسِنِينَ di sini bermaksud الْمُخلِصِينَ. Maksudnya mereka yang mengikhlaskan ibadah mereka hanya kerana Allah ﷻ.
Di dalam ayat ini disebut orang-orang yang muhsin الْمُحْسِنِينَ. Akan tetapi siapakah yang dimaksudkan muhsin itu? Mereka ini adalah orang yang berbuat baik dan sentiasa berbuat baik. Mereka itu berbuat baik dengan Allah ﷻ malah bukan dengan Allah ﷻ sahaja, tetapi sesama makhluk juga. Kena ada dua-dua barulah dikira bersifat muhsin. Sebagai contohnya kita membantu manusia adalah dengan menghilangkan kejahilan mereka dalam agama. Maka yang perbuatan terbaik adalah berdakwah dan mengajar manusia. Manakala ihsan paling tinggi adalah berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.
Bagaimana pula berbaik dengan Allah ﷻ? Dalam sebuah hadith popular yang dikenali dengan nama ‘Hadith Jibril’, di mana Rasulullah ﷺ menjelaskan makna ihsan sebagai berikut,
أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
“Hendaklah Engkau beribadah kepada Allah seakan-akan Engkau melihat-Nya. Kalaupun Engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”
(Hadith Riwayat Muslim (8))
Daripada hadith ini kita dapat tahu yang berbuat ihsan dalam ibadah ada dua maqam.
-
-
- Maqam muraqabah adalah menyakini bahawa Allah ﷻ melihat kita. Inilah maqam bagi kebanyakan manusia.
- Maqam musyahadah bererti kita beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan melihat-Nya iaitu melihat nama dan sifat Allah ﷻ serta pengaruhnya, bukan melihat zat Allah ﷻ secara langsung seperti diyakini oleh kaum sufi. Maqam ini lebih tinggi dibandingkan maqam muraqabah.
-
Sifat-sifat muhsin itu ada juga ditafsirkan di dalam ayat-ayat yang lain. Ia menjadi hujah dan dalil bahawa sifat ihsan itu adalah ihsan kepada Allah ﷻ dan ihsan kepada manusia kerana dua-duanya disebut di dalam Dzariyat: 16 – 19
إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ
Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.
كانوا قَليلًا مِّنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ
Dulu mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.
وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ
Dan selalu memohonkan ampunan di waktu pagi sebelum fajar (waktu sahur)
Di sini disebut dua sifat muhsin iaitu kuat melakukan solat sunat di malam hari dan kemudian mereka beristighfar kepada Allah ﷻ di waktu sahur. Ini adalah contoh ihsan kepada Allah ﷻ. Selepas itu disambung dengan ihsan kepada manusia.
وَفي أَموٰلِهِم حَقٌّ لِّلسّائِلِ وَالمَحرومِ
Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian
Baqarah Ayat 59: Ayat di atas adalah apa yang disuruh mereka buat. Namun apakah sebaliknya yang mereka buat?
فَبَدَّلَ الَّذينَ ظَلَموا قَولًا غَيرَ الَّذي قيلَ لَهُم فَأَنزَلنا عَلَى الَّذينَ ظَلَموا رِجزًا مِّنَ السَّماءِ بِما كانوا يَفسُقونَ
But those who wronged changed [those words] to a statement other than that which had been said to them, so We sent down upon those who wronged, a punishment from the sky because they were defiantly disobeying.
Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah Kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu, bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).
فَبَدَّلَ الَّذِينَ ظَلَمُوا
Maka diubah oleh orang-orang yang zalim itu
Lain yang disuruh, lain pula apa yang mereka buat. Mereka bukan masuk dengan sujud dan tunduk, sebaliknya mereka masuk dengan punggung mereka kerana melawan arahan Allah ﷻ. Atau dikatakan mereka masuk sambil merayap dengan punggung mereka. Maka ini membuka rahsia golongan Yahudi yang berada di zaman Rasulullah ﷺ di Madinah itu dan juga di mana-mana zaman. Mereka itu kaum yang amat ingkar dan menolak kebenaran.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ spesifikkan ‘orang-orang zalim’ dalam kalangan mereka kerana bukanlah semua yang berbuat begitu tetapi sebahagian sahaja.
Lagi satu, perhatikan kalimat yang Allah ﷻ gunakan adalah الَّذِينَ ظَلَمُوا (orang-orang yang zalim) sedangkan ayat ini sedang menceritakan tentang perbuatan Bani Israil itu. Allah ﷻ luaskan maksudnya di sini, iaitu sebagai pengajaran kepada kita; bukan sahaja Bani Israil itu sahaja yang dikatakan zalim kerana kesalahan itu, malah untuk sesiapa sahaja yang melakukan kezaliman yang sama. Ini termasuklah orang Melayu sendiri jikalau melakukan perkara yang sama.
قَوْلًا
perkataan;
Kalimah yang Allah ﷻ suruh mereka cakap pun mereka ubah. Mereka ubah dengan kata: حَبَّةٌ فِي شَعْرَةٍ habbatun fi sya’rani – bermaksud: biji-bijian dalam gandum. Ada juga tafsir mengatakan perkataan mereka adalah: “satu biji dalam satu rambut.” Ataupun ada yang kata mereka menukar perkataan itu menjadi: حِنطَةٌ hinthah – Satu perkataan yang bermaksud ‘minta gandum’. Mereka ubah sedikit sahaja daripada حِطَّةٌ menjadi حِنطَةٌ. Oleh itu, jikalau tidak dilihat betul-betul bunyinya seakan sama sahaja. Ini tidak jauh beza daripada apa yang dilakukan oleh golongan Asyairah iaitu Allah ﷻ sebut di dalam Al-Qur’an استَوَى tetapi mereka tambah satu huruf menjadi استَولَى.
أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِيلَ لِبَنِي إِسْرَائِيلَ { ادْخُلُوا الْبَابَ سُجَّدًا وَقُولُوا حِطَّةٌ } فَبَدَّلُوا فَدَخَلُوا يَزْحَفُونَ عَلَى أَسْتَاهِهِمْ وَقَالُوا حَبَّةٌ فِي شَعْرَةٍ
[Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Dikatakan kepada Bani Isra’il, (“masuklah kalian ke dalam pintu gerbang sambil bersujud dan katakanlah; bebaskanlah kami daripada dosa”), (Baqarah ayat 58). Namun mereka menukarnya dan masuk sambil merayap di atas punggung mereka sambil berkata: “buah gandum.”
(Sahih Bukhari (3151))
Maknanya, mereka bukan hendak tunduk kepada Allah ﷻ, tetapi fikirkan gandum sahaja. Mereka fikirkan makanan sahaja. Atau, mereka main-main dengan kalimah daripada Allah ﷻ sendiri.
Kenapa mereka ubah? Kerana nafsu mereka susah untuk taat kepada perintah Allah ﷻ. Mereka lebih senang menurut hawa nafsu mereka sahaja. Mereka ini memang umat yang amat jahat.
Di sini kita mendapat sebuah hukum iaitu menukar kalimah Allah ﷻ adalah haram dan berdosa besar. Maka ayat ini juga mengajar kita jangan ubah arahan Allah ﷻ, jangan ubah ajaran Allah ﷻ dan Rasulullah ﷺ seperti yang dilakukan oleh golongan bid’ah. Mereka itu telah lari daripada wahyu dan memandai-mandai dalam urusan agama. Akan tetapi berkenaan dengan hadith, ulama’ membenarkan jikalau maksudnya tidak lari daripada makna yang asal. Kerana itulah kita boleh lihat ada hadith yang diriwayatkan bilma’na (dengan makna yang sama, bukan dengan lafaz yang sama). Ini kerana kadang-kadang perawi tidak ingat apakah kalimah spesifik yang digunakan/disebut oleh Rasulullah ﷺ.
غَيْرَ الَّذِي قِيلَ لَهُمْ
bukan dari perkataan yang mereka disuruh katakan;
Mereka mengulang-ulang menyebut perkataan itu. Ini adalah satu perbuatan mengejek. Mereka tidak sebut apa yang Allah ﷻ suruh mereka sebut.
Maka ini mengajar kita yang berdosa besar apabila menukar perkataan yang Allah ﷻ telah pilihkan dan dikira sebagai zalim. Oleh itu, apabila ada dalam kalangan orang Islam menukar perkataan Allah ﷻ, maka mereka telah membuat satu kesalahan. Contohnya, ada yang telah telah mengubah perkataan ‘istawa’ yang telah berada dalam Al-Qur’an. Mereka mengatakan bahawa perkataan itu bermaksud ‘istawla’ – memerintah. Itu juga adalah satu satu perbuatan mengubah perkataan Allah ﷻ.
فَأَنزَلنا عَلَى الَّذينَ ظَلَموا رِجزًا مِّنَ السَّماءِ
Maka Kami timpakan ke atas orang-orang yang zalim itu bala dari langit;
Allah ﷻ murka dengan apa yang mereka lakukan dan Allah ﷻ berikan balasan yang buruk. Inilah salah satu daripada dua hukuman yang dimaksudkan dalam kumpulan ayat-ayat ini. Kalimah رِجزًا daripada kata dasar: ر ج ز yang bermaksud gemuruh, kekotoran, bencana, hukuman yang berat, kemurkaan, tidak murni, wabak, penyakit, kekejian. Bala yang dimaksudkan di sini adalah penyakit taun kerana kalimah sama رِجْزٌ digunakan di dalam hadith. Ini sebagaimana disebutkan dalam Sahih Bukhari,
عَنْ عَامِرِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ سَمِعَهُ يَسْأَلُ أُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ مَا سَمِعْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الطَّاعُونِ فَقَالَ أُسَامَةُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الطَّاعُونُ رِجْزٌ أُرْسِلَ عَلَى طَائِفَةٍ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَوْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَإِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ قَالَ مَالِك قَالَ أَبُو النَّضْرِ لَا يُخْرِجُكُمْ إِلَّا فِرَارٌ مِنْهُ
Daripada [‘Amir bin Abu Waqqas] daripada bapanya, bahawasanya dia mendengar bapanya bertanya kepada Usamah bin Zaid, “Apa yang kamu dengar daripada Rasulullah ﷺ tentang penyakit tha’un?” [Usamah] menjawab, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Tha’un adalah seksaan yang dikirim Allah kepada sekelompok orang daripada Bani Isra`il, atau kepada orang-orang sebelum kalian. Jika kalian mendengarnya berada di suatu negeri maka janganlah kalian memasukinya. Dan jika penyakit itu berada di negeri yang kalian tinggal, maka janganlah kalian keluar melarikan diri daripadanya.” Malik berkata; Abu Nadr berkata; “Tidak ada yang mengeluarkan kalian kecuali (kerana ingin) lari daripadanya.”
(Sahih Bukhari (1392))
Ramai yang mati kerana ditimpa penyakit taun itu. Ada juga yang kata penyakit yang dikenakan kepada mereka adalah bahagian dalam badan mereka dikeluarkan. Sampaikan kulit mereka seperti tersiat. Ada juga tafsir yang mengatakan mereka telah dihujani dengan batu-batu kerikil dari langit seperti yang disebut di dalam Tafsir Al-Wajiz / Syaikh Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili. Allahu a’lam.
Allah ﷻ mengulang kalimat الَّذينَ ظَلَموا sedangkan kalau digunakan عليهم pun boleh membawa maksud yang sama. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak menekankan sifat zalim mereka itu dan memberitahu kepada kita yang mereka dikenakan dengan azab adalah kerana kezaliman mereka itu, bukannya kerana Allah ﷻ suka-suka hendak kenakan azab kepada mereka.
بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ
Dengan sebab mereka berbuat fasik.
Balasan yang dikenakan kepada mereka adalah kerana kefasikan mereka yang selalu mereka lakukan. Inilah adalah akibat mereka sendiri yang degil untuk taat kepada perintah Allah ﷻ. Padahal mereka ini adalah anak cucu kepada tok nenek mereka yang telah menyembah patung anak lembu. Yang menyembah patung anak lembu itu semuanya telah dibunuh. Namun mereka yang disuruh masuk ke kota itu masih lagi tidak mengambil pengajaran.
Mereka ini telah sesat di padang pasir selama 40 tahun. Mereka telah diberi kelebihan makan makanan dari langit. Itu adalah satu nikmat dan keajaiban yang sepatutnya menguatkan iman mereka. Akan tetapi mereka masih lagi berbuat zalim dan fasik.
Perkataan yang digunakan dalam ini: يَفْسُقُونَ adalah dalam bentuk “present tense”: menunjukkan mereka masih lagi berbuat fasik. Perkataan كَانُوا bermaksud yang sudah lepas. Bermakna, mereka dahulu berbuat fasik, dan sekarang pun mereka masih berbuat fasik lagi.
Mereka telah diberikan peluang untuk membersihkan dosa mereka dengan menyebut-nyebut perkataan yang Allah ﷻ telah ajarkan mereka supaya Allah ﷻ mengampunkan dosa mereka. Ingatlah bagaimana apabila Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diajar kalimat untuk digunakan untuk memohon ampun, Allah ﷻ telah berkenan mengampunkan kesalahannya. Namun apabila diberikan perkataan untuk memohon ampun kepada Bani Israil, mereka telah mengejek perkataan itu dengan menukarnya kepada perkataan yang lain. Maka patut sangatlah azab yang dikenakan kepada mereka.
Sekian Ruku’ 6 daripada 40 ruku’ surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat seterusnya.
Kemaskini: 13 Ogos 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Contohnya, mengharamkan yang halal dan mengharamkan yang halal. Juga bermaksud jangan melanggar hukum syariat yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Juga bermaksud jangan sembah dan buat ibadat kepada ilah selain Allah ﷻ.
mengharamkan yang Halal dan menghalalkan yang haram.
LikeLike