Tafsir Surah Yaasin Ayat 54 – 55 (Balasan di Syurga)

Yaasin Ayat 54: Walaupun semua akan dihadapkan dengan tanpa rela, akan tetapi janganlah takut kerana tidak akan kezaliman pada waktu itu.

فَاليَومَ لا تُظلَمُ نَفسٌ شَيئًا وَلا تُجزَونَ إِلّا ما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So today [i.e., the Day of Judgement] no soul will be wronged at all, and you will not be recompensed except for what you used to do.

(MELAYU)

Maka pada hari itu seseorang tidak akan dirugikan sedikit pun dan kamu tidak dibalasi, kecuali dengan apa yang telah kamu kerjakan.

 

فَالْيَوْمَ لَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا

Maka pada hari itu, tidak akan dizalimi sesiapa pun, sedikit pun.

Apabila dihadapkan di hadapan Allah ‎ﷻ, maka rekod amalan kita akan diperiksa dan Allah ‎ﷻ akan mengadili dengan adil sekali. Allah ‎ﷻ tidak pernah dan tidak akan zalim terhadap hamba-Nya. Ini kerana Allah ‎ﷻ tahu segala perbuatan kita dan Dia akan balas hanya dengan perbuatan kita sahaja. Sebelum ini telah disebut di dalam ayat 12 bahawa semua perbuatan kita akan ditulis.

إِنَّا نَحۡنُ نُحۡىِ ٱلۡمَوۡتَىٰ وَنَڪۡتُبُ مَا قَدَّمُواْ وَءَاثَـٰرَهُمۡۚ وَكُلَّ شَىۡءٍ أَحۡصَيۡنَـٰهُ فِىٓ إِمَامٍ۬ مُّبِينٍ۬
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata. (12)

Semua akan dibentangkan sampai akan mengejutkan orang-orang yang berdosa seperti disebut di dalam Kahf: 49

وَوُضِعَ الكِتٰبُ فَتَرَى المُجرِمينَ مُشفِقينَ مِمّا فيهِ وَيَقولونَ يٰوَيلَتَنا مالِ هٰذَا الكِتٰبِ لا يُغادِرُ صَغيرَةً وَلا كَبيرَةً إِلّا أَحصٰها ۚ وَوَجَدوا ما عَمِلوا حاضِرًا ۗ وَلا يَظلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seorang pun.

Kita telah sebut sebelum ini bahawa ada pendapat yang mengatakan tiada azab kubur. Salah satu alasan mereka adalah tidak patut ahli kubur itu dikenakan dengan azab, kerana mahkamah pengadilan belum ditegakkan lagi, sedangkan ia akan berlaku setelah Kiamat nanti. Sebenarnya Allah ‎ﷻ tidak perlu tegakkan mahkamah pun, kerana semua perbuatan manusia Allah ‎ﷻ sudah tahu, malah ditulis oleh para malaikat pun. Cuma Allah ‎ﷻ tegakkan mahkamah untuk menzahirkan keadilan-Nya sahaja bagi memberi peluang kepada orang berdosa mempertahankan dosanya itu. Akan tetapi kita pun tahu bahawa mereka tidak akan ada hujah pun nanti di akhirat kelak.

Apabila Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan فَالْيَوْمَ, Allah ‎ﷻ hendak suruh kita membayangkan suasana pada hari itu. Di mana kita semua akan beratur di Mahsyar dan kita akan dibentangkan dengan kitab amalan kita. Allah ‎ﷻ hendak menitipkan sebuah perasaan ke dalam hati kita bahawa hari itu adalah dekat. Maka bayangkan seolah-olah kita seperti telah ada di sana agar kita mempunyai perasaan gerun. Barulah kita seterusnya dapat menjaga agama kita. Salah satu latihan adalah dengan melihat mereka yang mengerjakan Haji di Padang Arafah. Tentang dekatnya hari itu, Allah ‎ﷻ telah sebut dalam Anbiya: 1

اقتَرَبَ لِلنّاسِ حِسابُهُم وَهُم في غَفلَةٍ مُعرِضونَ
Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).

 

وَلَا تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan kamu tidak akan dibalas melainkan apa yang kamu lakukan sahaja;

Kita akan dibalas dengan perbuatan yang kita buat sahaja. Bermakna, kalau amalan itu orang lain yang buat, kita tidak dapat pahala daripada amalan itu. Ini bermakna, kita tidak boleh sedekah pahala amalan kepada orang lain. Kecuali jikalau seseorang itu mengajar dan anak muridnya membuat amalan yang baik itu, barulah yang mengajar itu pun akan mendapat pahala juga.

Pahala itu pula sama dengan pahala dengan orang yang melakukannya, tidak dikurangkan sedikit pun. Kerana itu tidak ada orang yang ada pahala lebih besar daripada Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ selain daripada Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana beliaulah yang mula-mula masuk Islam dan ramai sahabat yang telah beliau berjaya islamkan. Setiap amalan baik orang Islam, Abu Bakr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ akan mendapat sahamnya.

Yang mengajar ilmu salah pula, dia akan mendapat dosa setiap kali anak muridnya itu melakukan kesalahan yang diajarnya itu. Kita mohon berlindung daripada mengajar yang salah kepada orang lain. Maka berhati-hatilah dalam mengajar. Jangan kita mengajar sesuatu yang tiada dalil daripada sumber Al-Qur’an dan Hadith. Ini selari dengan hadith yang selalu disalahertikan oleh pengamal bid’ah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawasanya Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka dia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.”
(Sahih Muslim No. 4831)

Ternyata semua amalan perbuatan kita akan direkodkan. Maka kalau kita buat, kita akan dapat balasan sama ada baik atau buruk. Tidak akan kita diberi dosa kalau sesuatu perbuatan itu kita tidak buat. Kalau di mahkamah dunia, berapa orang yang telah dituduh dan dijatuhi hukuman atas kesalahan yang dia tidak buat? Ini kerana mahkamah dunia dan para hakim tidak ada ilmu pengetahuan seperti Allah ‎ﷻ. Mereka hanya buat keputusan berdasarkan hujah daripada para peguam dan bukti yang ada sahaja. Malah bukti itu boleh direka-reka oleh orang yang jahat! Akan tetapi Allah ‎ﷻ tidak akan menzalimi sesiapa pun dengan memberi dosa dan mengazab orang yang tidak bersalah.

Ini semua adalah kejadian sebelum manusia dimasukkan ke dalam syurga atau neraka. Sebelum keputusan dibuat, rekod amalan akan dibentang dan diperiksa. Maka segala amalan akan keluar, segala saksi akan dipanggil dan keadilan akan dijalankan. Mahkamah Allah akan menimbang semua perkara dan selepas itu barulah dibuat keputusan sama ada layak memasuki ke dalam neraka atau ke dalam syurga. Setelah keputusan dibuat, tidak ada sesiapa pun yang mengatakan Allah ‎ﷻ tidak adil! Kalau di dunia ini, semua keputusan mahkamah akan ada sahaja yang kata tidak adil. Namun tidak pernah ditulis di dalam mana-mana ayat Al-Qur’an atau hadis yang mengatakan ada makhluk yang mempersoalkan keputusan Allah ‎ﷻ. Yang ada adalah penyesalan daripada manusia adalah seperti disebut di dalam Mulk: 10

وَقالوا لَو كُنّا نَسمَعُ أَو نَعقِلُ ما كُنّا في أَصحٰبِ السَّعيرِ
Dan mereka berkata: “Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka”.

Sebenarnya kita sudah tahu pun keadilan Allah ‎ﷻ di mana sudah pasti Allah ‎ﷻ tidak pernah zalim dan tidak akan melakukan kezaliman. Maka kenapa Allah ‎ﷻ perlu sebut? Peringatan ini hanyalah seperti seorang bapa yang memberitahu anaknya, “Ingat ya, ini ayah tau…”. Allah ‎ﷻ banyak mengingatkan tentang sifat adil-Nya dan membalas segala perbuatan kita supaya memberi motivasi kepada kita untuk beramal dengan amal kebaikan dan meninggalkan dosa. Kalau syarikat kita bekerja, belum tentu syarikat akan bayar gaji kita sepenuhnya. Akan tetapi kita tetap bekerja kerana kita mengharapkan gaji bulanan, bukan? Namun sekarang Allah ‎ﷻ akan membalas segalanya, kecil atau besar kebaikan yang kita lakukan, kenapa kita tidak ambil peluang? Kenapa kita masih lagi membuang masa dengan perkara lagha yang tidak memberi pahala? Setiap hari adakah perlu periksa FB, Insta dan X? Adakah dapat pahala kalau main game, menonton drama dan filem Korea? Bandingkan dengan janji pahala oleh Allah ‎ﷻ dengan membaca Al-Qur’an,

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

“مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لَا أَقُولُ: الم كِفْ حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ، وَلَامٌ حَرْفٌ، وَمِيمٌ حَرْفٌ.”
“Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Quran), maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan itu dilipatgandakan sepuluh kali lipatnya. Aku tidak mengatakan: ‘Alif Lam Mim’ itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan Mim satu huruf.”
(Sunan At-Tirmidzi No. 2910) Imam At-Tirmidzi berkata setelah meriwayatkan hadith ini: “Hadith ini Hasan Sahih Gharib.”


 

BALASAN KEPADA MUKMIN

Yaasin Ayat 55: Ayat Tabshir (berita gembira di akhirat). Sebelum ini Allah ‎ﷻ sebut balasan kepada hamba-Nya maka sekarang disebut satu jenis balasan iaitu tentang balasan nikmat syurga. Sebelum ini telah disebutkan tentang mereka yang tidak menerima dakwah daripada Nabi ﷺ. Kemudian disebutkan pula tentang mereka yang menerima hidayah. Ayat ini menceritakan tentang kenikmatan yang akan diperolehi oleh mereka yang menerima hidayah itu.

إِنَّ أَصحٰبَ الجَنَّةِ اليَومَ في شُغُلٍ فٰكِهونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed the companions of Paradise, that Day, will be amused in [joyful] occupation –

(MELAYU)

Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka).

 

إِنَّ أَصْحَٰبَ الْجَنَّةِ

Sesungguhnya penghuni-penghuni syurga.

Mereka ini adalah pemilik-pemilik kekal geran syurga. Mereka yang layak akan dimasukkan ke dalam الْجَنَّةِ yang dari segi bahasa bermaksud taman yang lebat sampai tidak nampak tanahnya. Ini kerana perkataan الْجَنَّةِ dalam bahasa Arab mempunyai akar kata جَنَّ (janna), yang bermaksud “menutupi”, “menyembunyikan”, atau “tidak terlihat”. Di dalam bahasa kita dipanggil ‘syurga’. Kalimah ‘syurga’ daripada bahasa Sanskrit suarga atau sawarga yang bermaksud tempat balasan bagi perbuatan yang baik. Akhirnya kita menggunakannya menjadi ‘syurga’.

Penghuni syurga akan diberikan dengan segala hak istimewa yang diberikan kepada mereka. Allah ‎ﷻ tidak mengatakan ‘Ahli Syurga’ dalam ayat ini tetapi أَصْحَٰبَ الْجَنَّةِ. Digunakan istilah ini kerana الصحابي bermaksud لازم. Maksud لازم adalah sentiasa ada bersama dan tidak berpisah. Kerana itulah kawan baik kita disebut sahabat kerana sentiasa ada bersama kita. Ini hendak menunjukkan rapatnya mereka dengan syurga nanti dan mereka tidak akan keluar dari syurga itu selama-lama seperti disebut di dalam Kahf: 3

مٰكِثينَ فيهِ أَبَدًا
Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.

Cuma ada pengecualian istilah ‘sahabat’ bagi para sahabat Nabi. Mereka tidak disyaratkan sentiasa bersama Nabi ﷺ kerana ramai sahaja para sahabat yang berjumpa Nabi ﷺ dan kemudian mereka pulang kembali ke kampung mereka tidak berjumpa pun lagi dengan baginda. Syarat untuk menjadi sahabat Rasulullah ﷺ adalah:

    • Bertemu dengan Nabi Muhammad ﷺ (sama ada secara langsung atau tidak langsung, seperti melihat atau mendengarnya).
    • Beriman kepada baginda sebagai Nabi dan Rasul.
    • Meninggal dunia dalam keadaan Islam.

Sebuah lagi pendapat ada mengatakan digunakan istilah أَصْحَٰبَ adalah kerana ahli syurga bukan hidup berseorangan di syurga kerana mereka akan ada banyak sahabat-sahabat yang akan bersama mereka. Ini adalah salah satu ciri nikmat di dalam syurga kerana kalau hidup sendirian, ia bukanlah satu nikmat kerana kita adalah makhluk sosial.

Apa lagi penerangan tentang syurga? Kita boleh dapat maklumat daripada hadith-hadith Nabi yang banyak tentang hal ini. Antaranya,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا لَنَا إِذَا كُنَّا عِنْدَكَ رَقَّتْ قُلُوبُنَا وَزَهِدْنَا فِي الدُّنْيَا وَكُنَّا مِنْ أَهْلِ الْآخِرَةِ فَإِذَا خَرَجْنَا مِنْ عِنْدِكَ فَآنَسْنَا أَهَالِينَا وَشَمَمْنَا أَوْلَادَنَا أَنْكَرْنَا أَنْفُسَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ أَنَّكُمْ تَكُونُونَ إِذَا خَرَجْتُمْ مِنْ عِنْدِي كُنْتُمْ عَلَى حَالِكُمْ ذَلِكَ لَزَارَتْكُمْ الْمَلَائِكَةُ فِي بُيُوتِكُمْ وَلَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَجَاءَ اللَّهُ بِخَلْقٍ جَدِيدٍ كَيْ يُذْنِبُوا فَيَغْفِرَ لَهُمْ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مِمَّ خُلِقَ الْخَلْقُ قَالَ مِنْ الْمَاءِ قُلْنَا الْجَنَّةُ مَا بِنَاؤُهَا قَالَ لَبِنَةٌ مِنْ فِضَّةٍ وَلَبِنَةٌ مِنْ ذَهَبٍ وَمِلَاطُهَا الْمِسْكُ الْأَذْفَرُ وَحَصْبَاؤُهَا اللُّؤْلُؤُ وَالْيَاقُوتُ وَتُرْبَتُهَا الزَّعْفَرَانُ مَنْ دَخَلَهَا يَنْعَمُ لَا يَبْأَسُ وَيَخْلُدُ لَا يَمُوتُ لَا تَبْلَى ثِيَابُهُمْ وَلَا يَفْنَى شَبَابُهُمْ ثُمَّ قَالَ ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ يَرْفَعُهَا فَوْقَ الْغَمَامِ وَتُفَتَّحُ لَهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَيَقُولُ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ وَعِزَّتِي لَأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Kami berkata: Wahai Rasulullah, kenapa kami bila berada di dekat engkau, hati kami melunak, kami zuhud di dunia dan kami termasuk ahli akhirat, tetapi bila kami bergegas meninggalkan engkau lalu kami bergaul dengan keluarga kami, mencium anak-anak kami, kami mengingkari diri kami sendiri. Rasulullah ﷺ bersabda: “Andai kalian bila pergi meninggalkanku berada dalam keadaan kalian seperti itu, nescaya para malaikat mengunjungi kalian di rumah-rumah kalian dan seandainya kalian tidak berbuat dosa, nescaya Allah menciptakan makhluk baru agar mereka berbuat dosa lalu Allah akan mengampuni mereka.” Berkata Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: Aku berkata: Wahai Rasulullah, daripada apa makhluk diciptakan? Rasulullah ﷺ menjawab: “Daripada air.” Kami bertanya: Syurga, apa bangunannya? Baginda menjawab: Bata daripada perak dan bata daripada emas, simennya minyak kasturi yang harum, tanahnya mutiara dan permata, debunya za’faran, barangsiapa memasukinya, dia bersenang-senang dengan tidak jemu, kekal, tidak mati, baju mereka tidak usang, kemudian mereka tidak lenyap.” Setelah itu baginda bersabda: “Tiga orang yang doanya tidak tertolak; imam yang adil, orang puasa saat berbuka dan doa orang yang terzalimi, doanya diangkat di atas awan dan pintu-pintu langit dibukakan, Rabb عَزَّ وَجَلَّ berfirman: Demi keperkasaan-Ku, aku akan menolongmu meski setelah selang berapa lama.”
(Jami’ Tirmidzi No. 2449 dengan sanad yang sahih)

Walaupun begitu, hadith-hadith itu sebagai bayangan sahaja kepada kita kerana di dalam hadith yang lain, Rasulullah ﷺ telah bersabda di dalam sebuah Hadith Qudsi,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَعْدَدْتُ لِعِبَادِيَ الصَّالِحِينَ مَا لَا عَيْنٌ رَأَتْ وَلَا أُذُنٌ سَمِعَتْ وَلَا خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ وَمِنْ بَلْهَ مَا قَدْ أَطْلَعَكُمْ اللَّهُ عَلَيْهِ اقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ { فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ } قَالَ وَكَانَ أَبُو هُرَيْرَةَ يَقْرَؤُهَا مِنْ قُرَّاتِ أَعْيُنٍ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dia berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah عَزَّ وَجَلَّ berfirman; “Aku persiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, dan tidak pernah terlintas pada hati manusia.” Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; “Barangsiapa di antara kalian yang benaknya telah di perlihatkan, maka bacalah, jika kalian mahu: “Seorang pun tidak akan mengetahui apa yang disembunyikan bagi mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata, sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” Sajdah: 17.
(Sahih Bukhari No. 4319)

Syarah: perhatikan susunan hadith ini. Allah ﷻ sebut mata – telinga – hati. Kenapa ikut susunan ini? Kerana mata itu hanya dapat melihat di hadapan sahaja, maka ia terhad. Akan tetapi telinga dapat mendengar dari semua arah, maka ia lebih lagi daripada mata. Namun hati itu dapat membayangkan lebih lagi walaupun benda yang tidak pernah dilihat atau didengari. Allah ﷻ beritahu kita di sini, jangankan mata yang terhad dan telinga yang lebih luas itu tidak pernah lihat dan dengar keadaan di dalam syurga, hati yang lebih luas itu pun tidak akan dapat membayangkan syurga yang amat hebat itu.

 

الْيَوْمَ فِي شُغُلٍ فَٰكِهُونَ

pada hari itu dalam kesibukan, lagi sangat gembira;

Mereka akan sibuk menikmati segala bentuk nikmat yang ada dalam syurga itu sampaikan tidak mahu melayan orang lain. Sepertimana zaman sekarang, sibuk sangat sampai kalau ada orang telefon pun tidak mahu angkat. Orang panggil pun tidak mahu jawab. Itulah maksud perkataan شُغُلٍ itu. Untuk lebih senang faham, bayangkan kanak-kanak sekarang yang bermain video game. Mereka akan tekun bermain video game sampaikan mereka tidak hiraukan keadaan sekeliling. Kadangkala emak panggil makan pun dia buat tidak kisah sahaja. Oleh kerana dek terlalu sibuk menikmati nikmat yang ada itu, ahli syurga yang di dalam شُغُلٍ itu tidak terkesan pun dengan penderitaan orang lain yang masuk ke dalam neraka. Mungkin yang masuk ahli keluarga mereka atau kenalan mereka, tetapi mereka tidak terkesan pun.

Kita di dunia pun sekali sekala sibuk juga, bukan? Dengan kerja hariannya, mengemas rumah dan segala macam hal. Namun adakah kesibukan kita itu menyenangkan? Tentu jarang menyenangkan, bukan? Adakah memenatkan? Tentu sekali! Maka sibuk di dunia tidaklah bagus, namun sibuk di syurga nanti adalah sesuatu yang sangat menyenangkan. Malah orang yang شُغُلٍ itu tidak terkesan dengan kebosanan langsung. Kerana kalau dalam dunia, orang yang tidak sibuk tiada kerja pun bosan juga, bukan? Sekiranya banyak kerja, lagilah bosan! Namun bagi ahli syurga yang di dalam شُغُلٍ itu menikmati syurga itu sendiri sudah menjadi aktiviti yang memenuhkan masa mereka sampai tidak sempat pun untuk merasa bosan walaupun sedikit.

Kenapa mereka sibuk? Kerana nikmat dalam syurga itu tidak berhenti-henti; akan ada sahaja benda baru yang lebih menarik daripada yang sebelumnya. Lagi hebat dan lebih hebat. Kalau di dunia ini, lama-kelamaan akan datang rasa bosan juga walaupun perkara yang kita lakukan itu perkara yang kita sangat minat, atau sekalipun memakan makanan yang paling digemari kerana ia adalah benda yang sama. Namun tidak akan ada bosan dengan nikmat di dalam syurga kerana ia bertambah baik dan bertambah hebat. Ini kita dapat tahu daripada Baqarah: 25

كُلَّما رُزِقوا مِنها مِن ثَمَرَةٍ رِّزقًا ۙ قالوا هٰذَا الَّذي رُزِقنا مِن قَبلُ ۖ وَأُتوا بِهِ مُتَشٰبِهًا
tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian daripada sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya)

Malah badan kita sedikitpun tidak berasa penat atau lelah untuk melakukan segala perkara itu. Kalau kita berjalan-jalan pergi melancong ke tempat peranginan serta berbelanja sakan pun penat juga, bukan? Akan tetapi badan tidak penat di syurga nanti. Makan pun tidak kenyang-kenyang maka asyik makan dan makan dan makan sahaja. Kenyang itu tidak bagus sebenarnya kerana ia menghadkan makanan yang kita boleh makan. Kerana itu Allah ﷻ menjadikan ahli syurga tidak kenyang-kenyang supaya  boleh makan dan makan lagi.

Kalimah فَٰكِهُونَ adalah jamak bagi kalimah فَاكِهٌ. Ia merujuk kepada kegembiraan yang di dalam hati dan juga dengan persekitaran. Ada orang yang walaupun suasana sekitarnya tidak seberapa, namun dia gembira; ada orang lain pula walaupun duduk di rumah yang indah dan mewah, tetapi hati tidak senang. Sebaliknya apabila digunakan kalimah فَاكِهٌ, persekitaran luar hebat, dalam hati pun ada taman. Ada juga yang mengatakan ia merujuk kepada percakapan yang menyenangkan, senda gurau bersama-sama ahli syurga yang lain. Kerana ia menunjukkan memang hati sedang gembira sangat.

Macam kita juga kadang-kadang perlu menenangkan dan merehatkan ‘healing’ diri kita, akan pergi melancong atau berjalan-jalan keluar dari tempat tinggal kita. Memang dibenarkan dalam Islam pun (asalkan bukan ke negara orang kafir kerana itu adalah haram). Pada waktu itu kita suka dan sibuk bergembira, bukan? Akan tetapi apabila kita bercuti hanyalah beberapa hari sahaja, bukan? Allah ﷻ hendak beritahu, kenikmatan di syurga nanti adalah selama-lamanya. Sentiasa sahaja dalam seronok. Seperti bercuti selama-lamanya.

Begitulah ahli syurga nanti – sibuk menikmati segala pemberian Allah ﷻ dalam syurga. Dalam dunia, kita tidak digalakkan sibuk dengan hal-hal keduniaan sangat sampai melupakan hal agama. Kita kena pandai membahagikan masa supaya banyak masa kita untuk akhirat juga. Ada benda-benda yang lagha yang kita kena korbankan (tinggalkanlah benda-benda lagha itu). Di syurga nanti, kita akan dibalas atas pengorbanan kita itu. Apabila kita tinggalkan perkara yang membuang masa di dunia ini, Allah ﷻ akan membalasnya kepada kita nanti. Kita waktu itu tidak ada kerja, tidak ada ibadah, tidak ada perkara yang merunsingkan kita lagi.

Apabila sibuk dengan nikmat yang hebat dan berbagai, penghuni syurga itu tidak akan ingat anak isteri, ibu dan ayah yang mungkin ditakdirkan masuk neraka. Akan dibuang ingatan kepada mereka. Kerana kalau ingat, dia tidak akan bergembira. Ini tidak patut kerana syurga adalah tempat untuk menerima kegembiraan dan kalau ada teringat perkara yang menyedihkan, itu tidak patut.

Selain itu, akan dibuang juga daripada mereka perasaan dengki, cemburu, sedih dan sebagainya. Ini kerana kalau ada perasaan sebegitu, memang akan mengganggu nikmat, bukan?

Perkataan فَاكِهُونَ itu menerangkan tentang seseorang yang suka sangat sampai nampak pada wajahnya. Dia sibuk di dalam kesenangannya itu. Kerana sudah tidak ada tanggungjawab lagi kepadanya melainkan untuk menikmati syurga sahaja. Tidak ada ibadat lagi di sana. Tidak perlu memikirkan tentang pekerjaan, hendak mencari duit, dan sebagainya.

Pernah tak kita pergi ke pasaraya untuk membeli keperluan kita? Bila kita sudah membeli barang, ada banyak lagi kita teringin beli tetapi duit tidak cukup. Maka setiap manusia berjuta kehendak dan keinginan yang belum Tuhan tunaikan. Mahu pergi jalan-jalan dan bermacam-macam lagi cita-cita kita. Rumah yang cantik juga hendak dimiliki tetapi tidak mampu. Semua itu belum ditunaikan. Bila masuk syurga, Allah ﷻ akan berikan apa sahaja yang kita inginkan sebelum ini, dan sibuk dia sebab nak itu dan ini. Macam kita dapat hadiah diberi kebenaran untuk mengambil apa sahaja dalam pasaraya. Tentu kelam kabut tidak menang tangan capai itu dan ini.

Ini juga adalah salah satu dalil untuk mengatakan memang syurga itu ada. Kerana kenapa Allah ﷻ jadikan manusia tetapi tidak memberikan segala keinginan mereka? Sentiasa tidak puas sahaja selama di dunia? Ini adalah kerana Allah ﷻ akan memuaskan hati mereka di syurga nanti.

Bagaimana dengan pakaian mereka? Orang lelaki tidak boleh memasuki syurga jikalau tidak diberi persalinan 70 lapis kain sutera. Di dunia dia tidak boleh pakai sebab lelaki haram memakai sutera. Kain sutera di syurga itu, tebal di dalam, nipis di luar. Sutera yang di dunia adalah cuma salinan daripada sutera yang di syurga. Diberi mahkota, gelang, loket dan wangi-wangian. Kemudian, dia akan dimandikan oleh malaikat. Barulah dimasukkan ke dalam syurga. Begitulah antara nikmat yang akan diberikan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 11 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment