Tafsir Surah Yaasin Ayat 18 – 19 (Percaya Sial Majal)

Yaasin Ayat 18: Biasanya apabila penyebar tauhid datang dan ditolak oleh masyarakat, maka bala akan didatangkan kepada masyarakat itu. Kalau menolak, maka akan didatangkan bala umum, contohnya kemarau kepada penduduk tempat itu. Ini diberikan untuk merendahkan ego mereka yang terlalu tinggi. Begitulah manusia biasa menjadi sombong kerana hidup senang sangat. Kena ingat, bukanlah kedatangan para Rasul membawa bala pula; memang mereka itu sudah ke arah kemusnahan, kedatangan para Rasul itu sebenarnya untuk menyelamatkan penduduk tempat itu.

Oleh kerana penduduk Antokiah itu telah menolak tabligh daripada Rasul-Rasul itu, maka mereka telah ditimpa dengan bala. Seharusnya ia dapat merendahkan ego mereka, sebaliknya lihatlah apa yang mereka katakan kepada para Rasul itu.

قالوا إِنّا تَطَيَّرنا بِكُم ۖ لَئِن لَّم تَنتَهوا لَنَرجُمَنَّكُم وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنّا عَذابٌ أَليمٌ

Sahih International

They said, “Indeed, we consider you a bad omen. If you do not desist, we will surely stone you, and there will surely touch you, from us, a painful punishment.”

Malay

Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami ditimpa sial kerana kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti, tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai daripada pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

 

قَالُوا إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ

Mereka kata “kami ditimpa sial kerana kamu”.

Apabila hujah daripada para Rasul itu tidak dapat dijawab dengan intelek dan hujah bernas, maka para penentang hanya mampu membuat tuduhan sahaja. Di sini mereka tuduh para Rasul itu yang membawa sial. Kalau zaman sekarang, apabila kita beri dalil daripada Al-Qur’an dan Sunnah, para penentang pun hanya ada satu tuduhan sahaja: “Wahabi!”. Begitulah manusia apabila tidak ada hujah, mereka akan gunakan tuduhan kosong sahaja. Ada juga yang tuduh tulisan di celiktafsir ini ‘tafsir Wahabi’, dan kita tanya balik apa tafsiran yang sebenarnya (kalau tafsiran kita salah), tetapi biasanya ‘krik, krik’ sampai ke sudah. Maknanya mereka tidak ada hujah, hanya tuduhan sahaja. Apabila kita jelaskan yang tafsiran ini atas apa yang kita belajar, adakah yang tidak setuju itu ada belajar tafsir, pun senyap juga.

Sial yang mereka maksudkan di dalam ayat ini adalah tidak turun hujan dan sebagainya. Mereka kata para Rasul itulah yang membawa bala dan sial itu. Dulu tidak ada, tetapi bila mereka datang, terjadi pula kemarau itu. Memang ada kaum  yang sebegitu, menyalahkan para Rasul pula. Ayat ini semakna dengan apa yang disebutkan di dalam firman-Nya yang menceritakan perihal kaum Firaun di dalam A’raf: 131:

فَإِذَا جَاءَتْهُمُ الْحَسَنَةُ قَالُوا لَنَا هَذِهِ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَطَّيَّرُوا بِمُوسَى وَمَنْ مَعَهُ أَلا إِنَّمَا طَائِرُهُمْ عِنْدَ اللَّهِ
Kemudian apabila datang kepada mereka kemakmuran, mereka berkata, “Ini adalah kerana (usaha) kami.” Dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka lemparkan sebab kesialan itu kepada Musa dan orang-orang yang bersertanya. Ketahuilah, sesungguhnya kesialan mereka itu adalah ketetapan daripada Allah.

Juga telah disebut di dalam Naml: 47

قالُوا اطَّيَّرنا بِكَ وَبِمَن مَّعَكَ ۚ قالَ طٰئِرُكُم عِندَ اللهِ ۖ بَل أَنتُم قَومٌ تُفتَنونَ
Mereka menjawab: “Kami mendapat nasib yang malang, disebabkan kamu dan orang-orang yang bersertamu”. Saleh berkata: “Nasibmu ada pada sisi Allah, (bukan kami yang menjadi sebab), tetapi kamu kaum yang diuji”.

Perkataan تَطَيَّرْ diambil daripada perkataan طَيَّرْ (tayr) yang bermaksud ‘burung’, ‘terbang’. Orang-orang jahiliah selalu melepaskan burung untuk menilik nasib. Ia juga dikaitkan dengan kesialan. Ini adalah satu perkara khurafat (percaya tanpa bukti). Kepercayaan ini tidak boleh dipegang langsung. Bagaimana boleh burung tahu tentang apa yang akan terjadi? Atau burung menyebabkan sial?

Jadi, apabila perkataan تَطَيَّرْنَا digunakan dalam ayat ini, ia menceritakan bagaimana penduduk kota itu merasakan bahawa pendakwah-pendakwah yang datang itu membawa sial kepada mereka. Memang sudah menjadi sunnatullah, jikalau umat menolak dakwah daripada para Nabi, Allah ‎ﷻ akan menurunkan bala kepada mereka. Boleh jadi dalam bentuk kemarau, tanaman tidak tumbuh dan berbagai lagi kesusahan. Selalunya, orang yang tidak mahu menerima ajakan dakwah adalah kerana mereka sombong dengan kesenangan mereka. Maka, Allah ‎ﷻ akan menghilangkan kesenangan mereka itu untuk menurunkan ego mereka supaya mereka senang menerima dakwah.

Ia juga sebagai penunjuk bahawa penyampai dakwah itu adalah benar dalam dakwah mereka. Sebagai contoh, kita boleh lihat dalam ayat dalam surah lain, bagaimana apabila Firaun menolak dakwah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka telah dikenakan dengan berbagai-bagai bala. Maka, orang yang menggunakan akalnya, tentu berfikir yang mereka dikenakan bala kerana melawan utusan Allah ‎ﷻ.

Jadi, memang benar penduduk kota dalam ayat ini telah dikenakan dengan bala daripada Allah ‎ﷻ. Itu tidak dinafikan. Namun yang menjadi masalahnya, mereka meletakkan kesalahan itu pada salah tempat. Mereka menyalahkan pendakwah itu pula padahal mereka yang salah. Mereka kata pendakwah-pendakwah itulah yang membawa sial sampai mereka telah terkena bala itu. Sepatutnya bala-bala itu mengingatkan mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu salah dan mereka kena bertaubat dan menerima dakwah pendakwah-pendakwah itu. Sepatutnya mereka fikirlah apa salah mereka sampai Allah ‎ﷻ kenakan bala tersebut. Namun yang mereka lakukan adalah sebaliknya. Mereka bertambah menentang lagi. Mereka ancam pula para Rasul itu.

Ayat ini juga menegur tentang salah faham masyarakat tentang sial. Mereka meletakkan sial pada sesuatu benda yang mengarut. Masyarakat Melayu tidak terkecuali, seperti kebanyakan budaya lain, juga memiliki berbagai kepercayaan karut (tahyul) tentang sial yang diwariskan secara turun-temurun. Beberapa di antaranya mungkin memiliki kemiripan dengan kepercayaan di budaya lain, namun ada juga yang khas Melayu. Berikut beberapa contoh kepercayaan karut masyarakat Melayu tentang sial:

  • Kucing hitam melintas: Sama seperti kepercayaan umum, kucing hitam melintas di depan seseorang atau kenderaan sering dianggap membawa nasib buruk atau menghalangi rezeki.
  • Burung hantu berbunyi di malam hari: Dipercayai sebagai petanda akan ada kematian atau khabar duka di kampung tersebut.
  • Anjing melolong di malam hari: Sama seperti burung hantu, lolongan anjing di malam hari juga sering dikaitkan dengan petanda kematian atau kejadian buruk.
  • Memecahkan pinggan atau gelas tanpa sengaja: Dipercayai membawa pertengkaran atau nasib malang. Namun, ada juga yang percaya jika pecahnya banyak sekaligus, membawa rezeki.
  • Payung terbuka di dalam rumah: Dipercayai membawa kesialan atau rezeki yang kurang.
  • Duduk di atas bantal: Dipercayai akan menyebabkan bisul.
  • Menyapu rumah pada waktu malam: Dipercayai akan “menyapu” keluar rezeki.
  • Memberi barang tajam (pisau, gunting) sebagai hadiah: Dipercayai akan memutuskan silaturahmi, kecuali jika penerima memberikan kembali wang kecil sebagai “penebus”.
  • Terjatuh ketika hendak keluar rumah: Dianggap sebagai petanda buruk untuk urusan yang akan dikerjakan. Sebaiknya menunda atau lebih berhati-hati.
  • Melihat jenazah dibawa melintas: Ada yang percaya harus berhenti sejenak dan mendoakan agar tidak tertimpa musibah serupa.
  • Menggunting kuku pada waktu malam: Dipercayai memendekkan umur atau membawa nasib buruk.
  • Menyanyi di dapur: Dipercayai akan mendapatkan suami atau isteri yang tua.
  • Makan nasi yang jatuh: Dipercayai akan mendapat rezeki yang berlimpah (namun ada juga yang mengaitkannya dengan hal lain).
  • Telinga berdesing: Telinga kanan berdesing dipercayai ada orang yang membicarakan kebaikan, sedangkan telinga kiri bererti ada yang membicarakan keburukan.
  • Mata berkedip: Mata kanan berkedip dipercayai akan bertemu orang jauh atau mendapat rezeki, sedangkan mata kiri bererti akan bersedih atau ada khabar buruk.
  • Tersedak saat makan: Dipercayai ada orang yang sedang merindukan atau membicarakan kita.
  • Hari tertentu untuk melakukan pekerjaan penting: Ada anggapan bahawa hari-hari tertentu kurang baik untuk memulai usaha atau melakukan perjalanan jauh.
  • Memakai baju terbalik tanpa sengaja: Dipercayai akan mendapat malu atau kejadian yang kurang baik.

Mengapa Kepercayaan Ini Bertahan? Kepercayaan karut ini bertahan dalam masyarakat Melayu kerana beberapa faktor:

  • Warisan Budaya: Diturunkan dari generasi ke generasi melalui cerita lisan dan praktik sehari-hari.
  • Psikologi: Manusia cenderung mencari penjelasan untuk kejadian yang tidak dapat dijelaskan secara rasional, terutama kejadian buruk.
  • Pengalaman Kebetulan: Jika suatu kejadian buruk terjadi setelah melakukan sesuatu yang dianggap sial, hal ini dapat memperkuat kepercayaan tersebut meskipun hanya kebetulan.
  • Solidaritas Sosial: Kepercayaan bersama dapat memperkuat ikatan sosial dalam masyarakat.

Pandangan Islam:

Dalam Islam, kepercayaan terhadap tahyul yang mengaitkan kesialan dengan benda, haiwan, waktu, atau tindakan tertentu tanpa kehendak Allah ‎ﷻ adalah dilarang. Umat Islam diajar untuk bertawakal sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ dan menyakini bahawa segala sesuatu terjadi atas izin-Nya. Tidak ada kekuatan lain yang dapat mendatangkan kebaikan atau keburukan kecuali Allah ‎ﷻ. Meskipun demikian, beberapa kepercayaan karut ini mungkin masih dipraktikkan oleh sebahagian masyarakat Melayu kerana faktor budaya dan kurangnya pemahaman agama yang mendalam. Penting bagi umat Islam untuk menjauhi kepercayaan karut yang bertentangan dengan akidah Islam dan menggantinya dengan keyakinan yang benar kepada Allah ‎ﷻ.

Rasulullah ﷺ sendiri telah pernah menegur umat tentang hal ini,

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ، قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ‏”‏ لاَ طِيَرَةَ، وَخَيْرُهَا الْفَأْلُ ‏”‌‏.‏ قَالُوا وَمَا الْفَأْلُ قَالَ ‏”‏ الْكَلِمَةُ الصَّالِحَةُ يَسْمَعُهَا أَحَدُكُمْ ‏”‌‏.‏
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, “Tidak ada Thiyarah, dan petanda terbaik adalah Fal.” Mereka bertanya, “Apakah Fal itu?” Baginda bersabda, “Perkataan yang baik yang didengar oleh salah seorang daripada kamu (dan dianggap sebagai petanda yang baik).
(Sahih al-Bukhari No. 5754)

Bagaimana orang zaman sekarang menolak para pendakwah? Mereka ada yang kata sial yang dibawa oleh pendakwah Sunnah adalah perpecahan dalam kalangan masyarakat. Mereka kata dulu kita orang Islam satu Malaysia hidup aman damai sahaja, apabila datang golongan yang mengaku Salafi ini, pecah belah habis masyarakat Islam; amalan yang dahulunya telah diamalkan zaman berzaman, tiba-tiba ada puak ini datang kata ia bid’ah!

 

لَئِن لَّمْ تَنتَهُوا

Jika kamu tidak berhenti;

Mereka suruh para Rasul itu berhenti daripada menyeru mereka untuk mengesakan Allah ‎ﷻ dan menghina tuhan sembahan mereka; kerana mereka juga mempunyai agama yang sesat yang mereka amalkan. Mereka rasa, apabila tuhan mereka telah dihina, itulah sebabnya bala diturunkan kepada mereka. Mereka mahu pendakwah-pendakwah itu berhenti daripada berdakwah. Inilah yang dikehendaki oleh golongan penentang – jangan cakap, jangan dakwah. Mereka tidak senang. Maka mereka akan gunakan pelbagai cara untuk senyapkan para pendakwah. Sepatutnya kalau tidak bersetuju, maka berilah hujah balas, tetapi tidak begitu tindakan daripada mereka.

 

لَنَرْجُمَنَّكُمْ

kami pasti akan rejam kamu.

Perkataan رجمَ bermaksud merejam dengan batu. Atau membuang sesuatu macam sampah. Dalam ayat itu, mereka ada meletakkan huruf لَ bermaksud mereka pasti akan melakukannya. Rejam itu tidak semestinya sampai mati, kalau baling dengan batu pun dikira rejam juga. Mungkin mereka hendak kata, lepas ini kalau kami nampak kamu lagi, kami akan ramai-ramai baling kalian dengan batu!

Jadi tadi mereka beri balas hujah para Rasul dengan tuduhan para Rasul itu bawa sial, maka seterusnya mereka hendak gunakan kekerasan. Mungkin kerana mereka lebih kuat, lebih ramai, ada kuasa dan pengaruh, maka kekerasan sahajalah yang mereka ada. Hujah? Itu belakang kira, kata mereka. Janji pendakwah ini senyap dahulu.

Dalam Islam memang ada hukuman rejam iaitu apabila lelaki atau wanita muhsan (yang telah pernah menikah) berzina. Namun sekarang apakah kesalahan para pendakwah itu? Kerana berdakwah, memberi ingat, bagi nasihat. Itu pun hendak direjamnya mereka ini. Begitu teruknya penduduk kampung ini.

 

وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ

dan kami akan mengenakan kalian dengan azab yang pedih daripada kami;

Mereka sudah beri ancaman bunuh kepada para Rasul itu. Kemudian mereka kata, sebelum mereka rejam sampai mati para Rasul itu, mereka akan kenakan seksaan dulu iaitu dipijak-pijak para Rasul itu beramai-ramai sampai patah tulang-tulang para Rasul itu.

Bagaimana kesan ayat ini kepada Rasulullah ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم? Mereka juga sedang baca kisah ini, bukan? Di sini Allah ‎ﷻ hendak sediakan Rasulullah ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم yang mereka akan menghadapi golongan penentang seperti ini juga nanti dalam dakwah mereka. Kerana sejarah penolakan akan berulang zaman ke zaman. Lihatlah apa yang terjadi kepada Nabi Muhammad ﷺ sendiri? Baginda pernah direjam dengan batu apabila baginda berdakwah ke Taif. Manakala para sahabat رضي الله عنهم ada yang diseksa hingga ada yang dibunuh kerana mereka beriman dengan Nabi. Jadi Allah ‎ﷻ mahu mengingatkan kepada mereka yang ancaman dan dugaan seperti itu telah pernah terjadi zaman dulu lagi dan tidak mustahil ia juga akan terjadi kepada mereka. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Baqarah: 214

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”

Jadi para penentang Islam mungkin akan menggunakan kekerasan kalau tidak dapat menolak Islam dengan hujah. Akan tetapi, orang Islam pun ada menggunakan cara yang sama juga, bukan? Kalau ada orang mengutuk Islam, bakar naskhah Al-Qur’an, tidak lama lagi adalah yang ancaman bunuh, cubaan menangkap orang itu dan sebagainya. Maknanya orang Islam yang jahil ada menggunakan kekerasan juga, jangan buat tidak tahu. Sama sahaja orang Islam sebegitu dengan orang kafir. Kalau di negara kita ada buat benda yang sama, netizen sekejap sahaja akan dapat tahu alamat orang yang jadi viral itu dan sekejap lagi keluarlah video baru orang yang jadi viral itu, tetapi kali ini dengan muka yang lunyai dan pecah kerana telah dirimbok oleh orang Islam yang datang mencari lelaki itu.

Ini bukan cara yang benar. Kita sudah cakap, orang yang menggunakan kekerasan ini adalah orang yang tiada hujah dan bukti. Kalau kita pun guna kekerasan, maka ia mencanangkan kepada seluruh dunia yang agama Islam ini tidak ada hujah, menggunakan kekerasan dari dahulu lagi (kerana tuduhan orang kafir adalah Islam disebarkan dengan peperangan). Jadi kita secara langsung telah memalukan agama Islam sendiri tanpa kita sedar.

Apa pengajaran bagi kita sebagai pendakwah? Ayat ini mengajar kita yang kalau kita dakwah dengan benar dan ikhlas, pasti akan ada tentangan daripada masyarakat. Masyarakat takkan sedang-senang hendak menerima dakwah. Ada yang gunakan mulut sahaja, ada yang gunakan kekerasan; yang pasti, pasti akan ada penolakan. Yang pelik kalau kita dakwah, semua orang terima dengan senang hati. Kalau ini yang terjadi, maknanya ada masalah dengan dakwah kita sebab tidak ada orang terasa hati dan sakit hati dengan dakwah kita. Kerana sunnatullah zaman berzaman, pasti akan ada penentangan kepada dakwah yang mengajak ke jalan yang benar.


 

Yaasin Ayat 19: Ini adalah jawapan para Rasul itu di atas dakwaan salah penduduk kota itu.

قالوا طٰئِرُكُم مَّعَكُم ۚ أَئِن ذُكِّرتُم ۚ بَل أَنتُم قَومٌ مُّسرِفونَ

Sahih International

They said, “Your omen is with yourselves. Is it because you were reminded? Rather, you are a transgressing people.”

Malay

Rasul-rasul itu menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau”.

 

قَالُوا طَائِرُكُم مَّعَكُمْ

Rasul-rasul itu berkata: sial itu asalnya daripada kamu;

Lihatlah bagaimana para Rasul itu tidak menidakkan bala yang diterima oleh penduduk bandar itu. Menunjukkan memang benar mereka terkena bala. Akan tetapi para Rasul itu mengingatkan bahawa sebab mereka ingkar tidak mahu terima tauhid itulah yang menyebabkan Allah ‎ﷻ menurunkan bala kepada mereka. Memang musibah dan bala yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada umat manusia adalah kerana kesalahan tangan-tangan mereka sendiri seperti disebut di dalam Rum: 41

ظَهَرَ الفَسادُ فِي البَرِّ وَالبَحرِ بِما كَسَبَت أَيدِي النّاسِ
Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia

Apabila para rasul itu berkata begini, maka penduduk tempat itu sepatutnya melihat apakah kesalahan mereka dan memperbetulkannya. Namun tidak, mereka sebaliknya menjadi lebih ingkar lagi.

Nabi Muhammad ﷺ pun ada mengalami kecaman yang sama juga. Mereka kata Nabi ﷺ telah memecah-belahkan kaum Quraish kerana dakwah baginda. Maka mereka telah menyuruh Abu Talib untuk memujuk Nabi ﷺ meninggalkan dakwahnya. Namun Nabi ﷺ menjawab: walaupun kalau mereka boleh meletakkan bulan di tangan kanan dan matahari di tangan kirinya, baginda tidak akan berhenti.

Perhatikan juga kalimah yang digunakan di sini adalah طٰئِرُكُم مَّعَكُمْ dan bukannya طٰئِرُكُم بِكُم seperti di dalam ayat sebelum ini: تَطَيَّرنا بِكُم. Apabila digunakan kalimah مَّعَكُمْ, ia memberi maksud berbeza. Maksudnya begini: hujah sial yang kamu gunakan itu hanya ada di dalam fikiran kamu sahaja, kamu tidak ada hujah balas, maka kamu reka alasan ini di dalam fikiran kalian sahaja.

 

أَئِن ذُكِّرْتُم

(Adakah kamu sangka bala itu datang kerana kami) beri peringatan kepada kamu?

Para Rasul itu menegaskan yang bala musibah itu bukan sebab mereka beri tazkirah kepada penduduk bandar itu. Peringatan itu mengajak mereka buat perkara-perkara yang baik. Takkan sebab suruh buat perkara yang baik, boleh turun bala pula? Memang tidak patut betul tuduhan mereka itu. Takkan kita boleh cakap kerana budak itu pergi sekolahlah dia menjadi mat rempit, bukan? Kerana sekolah tempat belajar ilmu dan adab, tidak sepatutnya disalahkan kalau budak itu yang menjadi rosak.

Begitulah sebab mereka ingkar terhadap peringatan, yang menyebabkan bala itu turun kepada mereka. Ini adalah kerana mereka ingkar kepada ajakan tauhid. Sepatutnya mereka mengambil peringatan yang diberikan oleh para Rasul itu dan mengamalkannya. Namun mereka tidak buat begitu. Mereka sebaliknya menjadi semakin ingkar.

 

بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ

Bahkan kamu adalah kaum yang melampau batas.

Mereka itu telah melampau dalam beragama kerana mereka buat syirik kepada Allah ‎ﷻ dengan menyembah berhala atau ma’bud bathil yang lain. Selain daripada menyembah berhala, ada banyak lagi had yang mereka telah langgar. Tidak disebut dalam Al-Qur’an apakah yang mereka telah lakukan kerana tentu terlalu banyak kesalahan yang mereka lakukan.

Mereka juga telah melampau di dalam menolak ajakan dakwah para Rasul itu. Mulanya mereka tuduh Para Rasul itu bawa sial, kemudian lebih teruk lagi mereka hendak menggunakan kekerasan. Itu adalah antara perbuatan-perbuatan مُسْرِفُ (melampau) mereka yang kita boleh dapat daripada ayat-ayat dalam Surah Yaasin ini. Mungkin ada banyak lagi yang mereka telah buat.

Ketiganya mereka telah melampau dari segi pemikiran. Boleh fikir pula mudarat yang mereka terima itu adalah kerana sial seseorang. Ini adalah kata-kata orang yang bodoh dan karut. Orang Islam pun boleh melampau dalam pemikiran seperti ini. Ada yang mengangkat orang gila sebagai wali, ada yang sanggup meminum air basuhan kaki tok guru, ada yang mengangkat Nabi Muhammad ﷺ sebagai Tuhan dan bermacam-macam lagi fikiran karut yang timbul dalam kalangan umat Islam. Ini semua terjadi apabila sudah jauh daripada ilmu wahyu, sepertimana golongan penduduk kampung dalam kisah Surah Yaasin ini juga.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 Mei 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment