Yaasin Ayat 11: Sebelum ini tentang orang-orang yang tidak mahu menerima hidayah. Ayat ini pula adalah tentang mereka yang mahu menerima hidayah itu. Mari kita lihat sifat-sifat mereka.
إِنَّما تُنذِرُ مَنِ اتَّبَعَ الذِّكرَ وَخَشِيَ الرَّحمٰنَ بِالغَيبِ ۖ فَبَشِّرهُ بِمَغفِرَةٍ وَأَجرٍ كَريمٍ
Sesungguhnya peringatan dan amaran hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Qur’an serta dia takut kepada Tuhan Rahman yang ghaib. Berilah berita gembira kepada mereka, iaitu keampunan dan pahala.
إِنَّمَا تُنذِرُ مَنِ اتَّبَعَ الذِّكْرَ
Sesungguhnya kamu hanya boleh memberi peringatan ini, kepada orang yang hendak mengikut sahaja.
Bukan semua manusia boleh menerima peringatan. Jadi kita mestilah berdoa agar diberikan kebenaran dan dapat menerimanya. Mestilah selalu berdoa kepada Allah ﷻ supaya Allah ﷻ menunjukkan kebenaran kepada kita. Juga mestilah meminta taufik kepada Allah ﷻ agar kita dapat menerimanya. Kerana takut kita termasuk orang yang tidak menerima kebenaran pula. Kerana kadang-kadang kebenaran sudah sampai depan kita, tetapi kita pula yang tidak boleh terima. Maka berdoalah supaya Allah ﷻ memberikan taufik-Nya kepada kita untuk menerima hidayah.
Maka, dalam kita berdakwah kepada manusia, yang boleh terima adalah sebahagian kecil sahaja. Iaitu mereka yang sanggup menerima peringatan daripada Al-Qur’an. Perkataan الذِّكْرَ dalam ayat ini merujuk kepada Al-Qur’an. Ini kerana terdapat ال makrifah dalam perkataan itu maka ia merujuk kepada sesuatu yang diketahui. Sememangnya kalimah الذِّكْرَ adalah salah satu daripada nama Al-Qur’an. Ia dinamakan begitu kerana Al-Qur’an ذِكْرَ mengingatkan kita. Kerana itulah Al-Qur’an ini mesti selalu dibaca supaya ia mengingatkan kita perkara yang kita sudah tahu.
Allah ﷻ boleh sahaja sebut kalimah Al-Qur’an di sini tetapi Allah ﷻ hendak menegaskan sifat dan kegunaan Al-Qur’an itu sebagai pemberi peringatan kepada kita. Namun bagaimana ia boleh menjadi pemberi ingat kepada kita kalau kita tidak faham apa yang disebut? Kerana itu amat pelik sekali apabila umat Islam rajin membaca Al-Qur’an tetapi tidak mahu pula hendak faham apa yang Al-Qur’an sampaikan.
Ini bermakna, yang dapat menerima hidayah ini adalah mereka yang dapat menerima petunjuk-petunjuk dalam Al-Qur’an. Iaitu mereka yang dapat menerima bahawa Al-Qur’an adalah sumber utama dalam agama kita. Malangnya, masalah dengan masyarakat kita adalah mereka amat jauh dengan Al-Qur’an. Mungkin mereka hari-hari membaca Al-Qur’an, tetapi sumber agama mereka tidak ambil daripada Al-Qur’an. Ini kerana ramai yang tidak tahu pun apa yang mereka baca dan mereka hafal. Bagaikan burung belatuk sahaja, ikut sahaja apa yang disebut. Sebaliknya mereka ambil daripada kata-kata ustaz, kata-kata guru mereka atau daripada kitab-kitab yang mereka baca. Mereka tidak ambil terus daripada Al-Qur’an. Mereka sangka ustaz dan guru mereka ikut Al-Qur’an, namun sebenarnya belum tentu lagi. Geng ustaz pun ramai yang tidak faham Al-Qur’an, sebab itu banyak ajaran mengarut datang daripada golongan ustaz juga. Betapa degil dan jahilnya kebanyakan manusia, apabila dibacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka sebagai dalil, mereka masih juga mahu berkata bahawa sumber-sumber rujukan mereka lebih benar daripada ayat Al-Qur’an yang dibacakan!
Namun begitu, bukanlah pula kita sebagai orang awam ini boleh mengambil ‘terus’ hukum daripada Al-Qur’an. Ini kita tidak mampu lakukan. Kita pun tidak ajar untuk diambil terus daripada Al-Qur’an. Tidak dinafikan ramai juga yang sesat kerana memandai-mandai buat fahaman sendiri daripada ayat-ayat Al-Qur’an tanpa belajar. Maksudnya di sini, kita hendaklah ambil sumber daripada guru atau ulama’ yang menyediakan sekali ajaran yang mengandungi dalil daripada Al-Qur’an dan juga sunnah agar selepas itu apabila kita terus membaca Al-Qur’an, pemahaman kita semakin meningkat.
Oleh itu, sesiapa yang ingin dan sanggup menerima peringatan, ancaman yang ada di dalam Al-Qur’an itu akan menjadikan Al-Qur’an sebagai peringatan bagi mereka. Kalimah إِنَّمَا yang digunakan dalam ayat ini bermakna ‘hanya’. Oleh itu, hanya mereka yang bersifat seperti ini sahaja yang akan menerima dakwah. Iaitu mereka yang boleh menerima ajaran daripada Al-Qur’an.
Kalimah من pula di dalam bentuk nakirah, maksudnya sesiapa sahaja boleh ambil pengajaran daripada Al-Qur’an ini. Bukannya golongan ulama’ sahaja, bukan orang terpilih sahaja. Orang awam pun boleh asalkan mereka belajar dengan orang yang betul. Bukannya susah sangat hendak faham tafsir Al-Qur’an. Yang kata susah itu hanyalah mereka yang tidak belajar sebenarnya.
Kalimah من juga bermaksud mereka itu sedikit dan mereka itu tidak dikenali. Jadi Nabi Muhammad ﷺ dan para pendakwah tidak tahu dalam banyak-banyak orang yang didakwah, siapakah yang akan beriman. Ini kerana bukan ada cop di dahi manusia siapa yang akan beriman. Maka kita kenalah dakwah kepada semua orang. Memang ramai yang tidak akan beriman, namun ada segelintir yang mahu mendengar dan tujuan kita adalah untuk membaiki yang sedikit itulah. Ternyata yang dikejar bukanlah ramainya bilangan pengikut dan anak murid, tetapi yang dikejar adalah orang yang ikhlas hendak berubah ke arah kebenaran.
Maksud اتَّبَعَ pula: membaca, memahami, mengamalkan dan kemudiannya menyebarkan ajaran Al-Qur’an itu kepada orang lain. Maknanya, begitu luas sekali maksud اتَّبَعَ itu. Bukan hanya meletakkan di banner-banner dan sepanduk: “Kembalilah kepada ajaran Al-Qur’an” tetapi tidak belajar isi-kandungan Al-Qur’an langsung. Bukannya buat program Qur’an Hour tetapi sampai ke sudah tidak faham isi kandungan Al-Qur’an. Bukannya bertadarus khatam Al-Qur’an setiap Ramadan tetapi tidak ada usaha langsung untuk memahami apa yang dibaca. Kerana itu adalah tambahan huruf ت pada kalimah اتَّبَعَ ini yang memberi maksud kesungguhan. Ia bukan main-main, bukan sambil lewa, ia bukan setakat di mulut sahaja. Rasulullah ﷺ telah bersabda,
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِى وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ
“Wajib atas kalian berpegang tegus dengan ajaranku dan juga ajaran khulafaur rosyidin yang mendapatkan petunjuk. Gigitlah kuat-kuat ajaran tersebut dengan gigi geraham kalian”
(HR. Tirmidzi No. 2676 dan Ibnu Majah No. 42.)
Mempelajari isi-kandungan Al-Qur’an adalah dengan mempelajari tafsir. Ini kerana kalau hanya membaca sahaja tanpa memahami apakah maksud tafsir Al-Qur’an itu, kita tidak akan tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Allah ﷻ. Bukan juga tiba-tiba buat kumpulan Tadabbur tetapi tidak ada seorang pun di dalam kumpulan itu yang pernah belajar tafsir. Ini amat bahaya sekali kerana niat yang baik, tetapi kalau dilakukan dengan salah, boleh tersasar juga.
وَخَشِيَ الرَّحْمَٰنَ بِالْغَيْبِ
dan dia takut kepada Tuhan Rahman yang ghaib;
Iaitu orang yang memang tidak nampak Allah ﷻ, tetapi dia tetap takut juga kepada Allah ﷻ kerana dia tahu bahawa walaupun dia tidak nampak Allah ﷻ, namun Allah ﷻ nampak dia. Oleh itu, sifat pertama orang yang boleh menerima dakwah adalah dia boleh menerima ajaran Al-Qur’an. Sifat kedua adalah ‘takut kepada Allah’. Ini kerana kalau tidak takut dengan Allah ﷻ pun tidak berguna juga, kerana manusia yang tidak takut dengan Allah ﷻ tidak akan takut untuk membuat dosa.
Jadi الذِّكْرَ iaitu Al-Qur’an ini hanya boleh menjadi kebaikan bagi mereka yang ada dua sifat ini: mahu ikut dan takut kepada Allah ﷻ. Ini kerana kalau setakat ada ilmu sahaja tidak berguna wahai tuan-tuan. Berapa ramai yang ada ilmu namun masih lagi teruk perangai mereka? Kerana mereka tidak takut dengan Allah ﷻ! Mereka hanya ada ‘maqam ilmu’ sahaja. Orang macam inilah yang bila diberi peringatan, mereka akan jawab: “Eh aku tahulah…”, “Apa kau ingat aku jahil sangat?!” sedangkan kita beri nasihat sebab kita nampak dia seperti orang yang tidak tahu. Rupanya dia tahu, tetapi dia tidak takut sahaja sebenarnya.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ menggunakan perkataan الرَّحْمَٰنَ untuk membahasakan Diri-Nya. Kenapa tidak digunakan perkataan ‘Allah’ sahaja? Kerana dengan menggunakan kalimah الرَّحْمَٰنَ, Allah ﷻ mengingatkan kita dengan segala nikmat yang telah diberikan-Nya kepada kita. Ini kerana maksud الرَّحْمَٰنَ adalah ‘Yang Maha Pemurah’. Tidak dapat dikira berapa banyak kenikmatan yang telah diberikan oleh Allah ﷻ kepada kita semua. Apabila mengenangkan segala kemurahan Allah ﷻ kepada kita, kita sepatutnya ‘takut’ untuk melakukan sesuatu yang dapat mengecewakan-Nya. Bayangkan kalau ada orang yang telah beri kita macam-macam, tentu kita hendak buat apa yang dia suka, bukan? Kita tidak sanggup hendak mengecewakan dia, bukan? Begitu jugalah sepatutnya kita dengan Allah ﷻ. Kita mahu taat dan tidak berani serta tidak sanggup untuk ingkar kepada-Nya.
Penggunaan nama الرَّحْمَٰنَ juga bertujuan untuk menegaskan bahawa yang dimaksudkan Tuhan yang disembah oleh Nabi Muhammad ﷺ bukanlah tuhan yang mereka persekutukan dengan berhala-berhala. Jadi hendak bezakan dengan dengan akidah mereka kerana pada mereka, Allah ﷻ itu ada sekutu. Mereka sembah Allah ﷻ namun dalam masa yang sama, mereka sangka Allah ﷻ ada sekutu.
Kita pun tahu bahawa Allah ﷻ bersifat ghaib. Namun begitu, walaupun kita tidak nampak Allah ﷻ, tetapi kita sedar dengan sebenar-benar sedar bahawa Allah ﷻ sedang nampak kita. Oleh itu, walau di mana pun kita berada, kita kena sedar Allah ﷻ yang sedang melihat kita dan kerana itu kita tidak akan melakukan sesuatu yang boleh mengecewakan Allah ﷻ. Walaupun ketika berseorangan di dalam rumah, atau di negara lain yang orang tidak kenal kita, kita tidak akan melakukan perkara yang tidak molek.
فَبَشِّرْهُ
Maka berilah berita gembira kepadanya
Kepada mereka yang bersifat sebegitu, Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ berikan berita gembira. Alangkah indahnya. Apakah berita gembira itu?
بِمَغْفِرَةٍ
dengan pengampunan besar
Mereka akan mendapat pengampunan. Bukan pengampunan yang biasa, tetapi pengampunan yang besar, kerana perkataan yang digunakan adalah مَغْفِرَةٍ. Semakna dengan apa yang disebutkan oleh firman-Nya di dalam Mulk: 12
إِنَّ الَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُمْ بِالْغَيْبِ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ
Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya Yang tidak tampak oleh mereka, mereka akan memperoleh ampunan dan pahala yang besar.
Untuk pengampunan, ia ditawarkan kepada mereka yang pernah membuat dosa dahulu. Memang begitulah kita, sebelum kita mendapat hidayah, banyak kesalahan yang kita telah lakukan. Jadi apabila hendak benar-benar beriman ini, tentulah kita risaukan dengan dosa-dosa kita yang telah lalu. Maka perkara pertama yang ditawarkan adalah: jangan risau dengan dosa-dosa kamu dahulu, ia akan diampunkan oleh Yang Maha Pengampun.
Sesungguhnya pengampunan amatlah penting; kerana kalau ada dosa, maka kita mestilah mencuci dosa di dalam neraka dahulu. Tentulah kita tidak mahu, bukan? Jadi yang pertama kena dapat adalah keselamatan dari neraka.
وَأَجْرٍ كَرِيمٍ
dan pahala yang Mulia;
Yang dimaksudkan di sini adalah mereka akan dimasukkan ke dalam syurga. Tadi telah disebut penghapusan dosa, dan apabila dosa tiada, tentulah tempat yang dimasukkan seorang hamba itu adalah ke dalam syurga.
Kalimah كَرِيمٍ (kemuliaan) ini penting kerana orang yang takut hilang kedudukan mereka. Mereka yang telah didakwah oleh Nabi Muhammad ﷺ mungkin takut untuk beriman, melihatkan kesan kepada baginda dan para sahabat رضي الله عنهم yang lain. Bayangkan Nabi Muhammad ﷺ yang paling dipercayai dan dihormati di Mekah itu (sampai digelar al-Amin) pun boleh dicemuh dan dihina, apatah lagi mereka? Jadi Allah ﷻ kata jangan takut, Allah ﷻ akan beri kemuliaan kepada mereka.
Begitu juga dengan masyarakat kita, takut sangat hendak ikut jalan Sunnah kerana mereka lihat orang Sunnah ini sedikit sahaja, dicemuh oleh masyarakat, dihina dan dikutuk sentiasa. Maka kepada mereka ini juga, Allah ﷻ kata jangan takut. Jangan kejar kemuliaan di mata manusia tetapi carilah kemudian di sisi Allah ﷻ. Allah ﷻ berfirman di dalam Munafiqoon: 8
Padahal kemuliaan itu hanyalah milik Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik tidak mengetahui.
Kesimpulan daripada ayat ini, walau ramai yang tidak mahu menerima ajakan dakwah (seperti disebut dalam ayat sebelumnya), tetapi ketahuilah yang tetap ada juga manusia yang mahu mendengar dan menerima kebenaran. Iaitu mereka yang telah memasang niat dalam hati mereka untuk mencari kebenaran. Sama ada dia seorang yang kafir ataupun Muslim.
Memang orang kafir pun boleh memasang niat itu, kerana kalau tidak, bagaimana orang kafir boleh menemui Islam? Mereka masuk Islam itu adalah kerana mereka meminta ditunjukkan kebenaran kepada mereka. Mereka hendak kembali kepada agama yang sebenar, maka Allah ﷻ tunjukkan jalan kepada mereka.
Maka, kita janganlah berputus asa untuk mengajak manusia kepada kebenaran kerana akan ada manusia yang mahu menerimanya. Kita tidak tahu sama ada orang yang kita temui itu adalah jenis yang mahu menerima kebenaran atau tidak. Maka kita kena terus sampaikan dakwah kepada mereka dengan harapan supaya mereka dapat menerima dakwah kita.
Ayat ini dinamakan ayat inaabah. Inaabah maksudnya ‘keinginan dan condong kepada kebenaran’. Orang yang ada inaabah dalam hatinya, Allah ﷻ akan tarik mereka perlahan-lahan ke arah kebenaran. Allah ﷻ akan pimpin sesiapa yang Dia kehendaki. Namun sebelum itu, orang itu sendiri kenalah ada kehendak. Ini juga ada diterangkan dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 28 April 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

