Tafsir Surah al-Maidah Ayat 20 – 26 (Perintah masuk Palestin)

Maidah Ayat 20: Allah ‎ﷻ menyebut tentang arahan yang diberikan kepada Bani Israel pada zaman Nabi Musa عليه السلام. Mereka telah diarahkan untuk memasuki BaitulMaqdis di Palestin. Dalam ayat-ayat sebelum ini telah disebut yang Bani Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Allah ‎ﷻ. Sekarang disebut salah satu daripada perlanggaran itu.

Allah ‎ﷻ telah memberikan contoh apa yang terjadi apabila manusia meninggalkan amar makruf nahi mungkar. Kesannya akan ada golongan yang degil. Hati mereka akan menjadi keras dengan tidak patuh kepada arahan Allah ‎ﷻ. Dan inilah yang telah berlaku kepada golongan Yahudi.

Di dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberi contoh kepada kita apa yang terjadi kepada Bani Israel ketika kenabian Nabi Musa عليه السلام. Zaman Nabi Musa عليه السلام sendiri mereka sudah degil. Sebelum mengajak mereka berjihad, Nabi Musa عليه السلام telah mengingatkan mereka tentang banyak nikmat yang telah diberikan kepada mereka. Inilah disebut dalam ayat 20 ini.

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يٰقَوْمِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنبِيَاءَ وَجَعَلَكُم مُّلُوكًا وَءآتَٰكُم مَّا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًا مِّنَ الْعٰلَمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention, O Muḥammad], when Moses said to his people, “O my people, remember the favor of Allāh upon you when He appointed among you prophets and made you possessors¹ and gave you that which He had not given anyone among the worlds.

  • Of all that you need – specifically, homes, wives and servants. Or “sovereigns,” i.e., those of independent authority.

(MALAY)

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu ketika Dia mengangkat nabi-nabi di antaramu, dan dijadikan-Nya kamu sebagai pemerintah, dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun diantara umat-umat yang lain”.

 

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يَٰقَوْمِ اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللهِ عَلَيْكُمْ

Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya: “Hai kaumku, ingatlah nikmat Allah atasmu

Ini adalah kata-kata dakwah daripada Nabi Musa عليه السلام, di mana baginda mengingatkan kepada umatnya dengan nikmat yang Allah‎ ﷻ telah berikan kepada Bani Israel. Memang banyak nikmat yang mereka dapat.

 

إِذْ جَعَلَ فِيكُمْ أَنبِيَاءَ

ketika Dia mengangkat nabi-nabi di antaramu,

Kemudian baginda menyenaraikan beberapa nikmat yang penting. Pertamanya, baginda mengingatkan mereka dengan betapa banyaknya Nabi yang diangkat dalam kalangan Bani Israel. Telah disebut sebelum ini, seribu Nabi telah diutuskan kepada mereka sahaja.

 

وَجَعَلَكُم مُّلُوكًا

dan dijadikan-Nya kamu sebagai pemerintah, 

Sebelum ini telah disebut nikmat dari segi spiritual dan sekarang disebut nikmat keduniaan pula (material). Dalam kalangan mereka juga ada pemerintah yang ramai, iaitu mereka memerintah dalam hal dunia dan juga hal agama. Ini memang pernah berlaku suatu masa dahulu. Mereka telah diberikan kuasa pemerintahan. Tidaklah mereka menjadi raja tetapi mereka jenis yang ada kuasa seperti Nabi Yusuf عليه السلام. Baginda bukan raja tetapi menteri.

Waktu itu mereka memang berkuasa sebab mereka ada Nabi Yusuf عليه السلام dan selepas itu pun mereka menjadi kaum elit di Mesir. Itulah sebabnya mereka ramai di Mesir, sehinggalah kaum Qibti telah menakluki Mesir dan menjadikan Bani Israel sebagai hamba mereka. Oleh itu, apabila Nabi Musa عليه السلام diutuskan kepada mereka, ketika di mana pada waktu itu mereka adalah hamba kepada bangsa Qibti yang diketuai oleh Firaun.

Perbincangan penggunaan bahasa: Semasa menyebut tentang Nabi, Allah ‎ﷻ menggunakan kalimah فيكم (dalam kalangan kamu). Ini memang tepat kerana tentulah Nabi itu dalam kalangan mereka dan Nabi sedikit sedangkan pengikutnya yang ramai. Akan tetapi apabila menyebut kerajaan, digunakan kalimah جعلكم (menjadikan kamu) seolah-olah mereka semua dijadikan sebagai raja, sedangkan kita pun tahu yang raja selalunya seorang sahaja, bukannya kesemua mereka.

Penjelasan: Digunakan kalimah secara kolektif kerana satu-satu kerajaan itu dinisbahkan kepada keseluruhan negeri itu. Contohnya kalau kerajaan Abbasiyah, disebut keseluruhan nama pemerintahan itu, bukannya disebut nama seorang Khalifah, bukan? Kerana memang yang terlibat dalam memerintah bukannya seorang, tetapi ramai.

Ada satu lagi penjelasan daripada kitab tafsir seperti Ibnu Kathir. Disebut ‘malik’ tetapi tidaklah khusus tentang raja sesuatu negeri. Namun ia digunakan secara umum. Bermaksud setiap orang adalah ‘raja’ bagi rumahnya. Maknanya mereka telah diberikan dengan rahmat yang banyak termasuk kesenangan material mereka di rumah mereka.

 

وَءآتَٰكُم مَّا لَمْ يُؤْتِ أَحَدًا مِّنَ الْعٰلَمِينَ

dan diberikan-Nya kepadamu apa yang belum pernah diberikan-Nya kepada seorang pun di antara umat-umat yang lain”

Dan sekarang Nabi Musa عليه السلام menyebut nikmat ketiga dan disebut secara umum sahaja. Ada banyak lagi perkara yang mereka dapat yang tidak diberikan kepada orang lain pada zaman mereka. Ia merangkumi nikmat spiritual dan nikmat material yang lain.

Bukanlah mereka sentiasa mendapat kelebihan itu. Ayat ini hanya menyebut umat yang hidup di zaman Nabi Musa عليه السلام sahaja. Untuk keadaan sekarang, mereka telah ditarik daripada menikmati kelebihan itu. Ini kerana sekarang umat Islamlah yang mendapat kelebihan dan terpilih sebagai umat akhir zaman. Ini seperti yang telah disebut dalam ayat seperti Ali Imran:110

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia


 

Maidah Ayat 21: Setelah diingatkan dengan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada mereka, sekarang mereka diberi arahan untuk berjihad. Untuk memasuki Kota Palestin, mereka mesti menjalankan jihad. Dan tentunya jihad memerlukan keberanian dan kekuatan hati.

يٰقَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خٰسِرِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O my people, enter the Holy Land [i.e., Palestine] which Allāh has assigned to you and do not turn back [from fighting in Allāh’s cause] and [thus] become losers.”

(MALAY)

Hai kaumku, masuklah ke ‘tanah suci’ yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang merugi.

 

يٰقَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ

Hai kaumku, masuklah ke tanah suci

Ini adalah waktu Nabi Musa عليه السلام diarahkan oleh Allah ‎ﷻ untuk mengarahkan Bani Israel supaya masuk ke dalam ‘Kota Suci’. Ini adalah selepas mereka telah menyeberangi Laut setelah mereka diselamatkan daripada Firaun.

Ulama’ tafsir khilaf tentang Kota Suci yang disebut dalam ayat ini. Pendapat yang selalu disebut adalah ia merujuk kepada BaitulMaqdis yang berada di Palestin. Ia adalah Jurusalem.

Ada juga yang kata ia adalah Jericho, iaitu di Syam ketika itu. Di situlah tempat Nabi Ya’kub‎ عليه السلام tinggal sebelum baginda pergi ke Mesir mengikut Nabi Yusuf عليه السلام.

Dan ada lagi beberapa pendapat tentang apakah Kota Suci yang dimaksudkan. Mereka disuruh masuk dan menjadikan tempat itu sebagai ibukota Islam. Waktu itu kota itu ditawan dan didiami oleh puak Amaliqah yang ganas.

 

الَّتِي كَتَبَ اللهُ لَكُمْ

yang telah ditentukan Allah bagimu, 

Allah ‎ﷻ telah menetapkan daerah itu untuk mereka kerana itu adalah tempat asal mereka. Kalau mereka masuk sahaja, mereka akan mendapat kemenangan. Inilah maksud كَتَبَ (telah Dia tuliskan) dalam ayat ini. Allah‎ ﷻ minta mereka masuk sahaja dan mereka pasti akan dapat menewaskan puak Amaliqah itu walaupun mereka itu kuat dan ganas.

 

وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَىٰ أَدْبَارِكُمْ

dan janganlah kamu lari ke belakang

Waktu itu sudah nampak mereka takut untuk masuk ke dalam kota itu. Mereka lemah semangat dan takut untuk berperang dengan puak Amaliqah yang sedang berada di kota itu. Maka Nabi Musa عليه السلام telah mengingatkan mereka supaya jangan berpusing balik ke belakang dengan tidak melakukan jihad.

 

فَتَنقَلِبُوا خٰسِرِينَ

maka kamu menjadi orang-orang yang merugi.

Kalau kamu berpatah balik, kamu akan rugi dunia akhirat. Rugi dunia kerana daerah yang sepatutnya menjadi hak kamu, kamu lepaskan. Dan rugi akhirat kerana kamu melawan arahan Allah ‎ﷻ dan akan diazab kerana perbuatan itu.

Maka kesalahan besar mereka pada waktu itu adalah kerana tidak menyahut seruan jihad. Mereka degil untuk mengikut arahan.


 

Maidah Ayat 22: Inilah kata-kata mereka apabila mendengar seruan jihad daripada Nabi Musa عليه السلام.

قَالُوا يٰمُوسَىٰ إِنَّ فِيهَا قَوْمًا جَبَّارِينَ وَإِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا حَتَّىٰ يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِن يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِنَّا دٰخِلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O Moses, indeed within it is a people of tyrannical strength, and indeed, we will never enter it until they leave it; but if they leave it, then we will enter.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Hai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar daripadanya. Jika mereka keluar daripadanya, pasti kami akan memasukinya”.

 

قَالُوا يٰمُوسَىٰ إِنَّ فِيهَا قَوْمًا جَبَّارِينَ

Mereka berkata: “Hai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang-orang yang gagah perkasa,

Mereka berkata di dalam kota itu pada waktu itu terdapat puak Amaliqah yang gagah perkasa dan ganas. Mereka adalah keturunan salur galur Kaum Aad maka tubuh badan mereka besar.

Umat Nabi Musa عليه السلام itu lemah semangat dan tidak percaya dan yakin dengan janji Allah ‎ﷻ untuk memberi kejayaan kepada mereka. Maka mereka telah menolak untuk memasuki kota itu.

 

وَإِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا حَتَّىٰ يَخْرُجُوا مِنْهَا

sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka keluar darinya. 

Mereka kata mereka tidak mahu masuk selagi puak Amaliqah itu ada di dalamnya. Inilah alasan yang mereka berikan.

 

فَإِن يَخْرُجُوا مِنْهَا فَإِنَّا دٰخِلُونَ

Jika mereka keluar darinya, pasti kami akan memasukinya”.

Mereka kata: Kalau puak Amaliqah itu sudah keluar, barulah mereka hendak masuk. Sedangkan Allah ‎ﷻ sudah berjanji, kalau masuk sahaja akan diberikan kemenangan kepada mereka. Dalam kes ini, telah bertemu perintah Allah ‎ﷻ dan suasana. Mereka terkesan dengan suasana waktu itu, sampai mereka sanggup menolak arahan Allah ‎ﷻ dan buang ke tepi sahaja janji Allah ‎ﷻ itu.

Mereka sudah menjadi puak yang sudah naik lemak dan keras kepala. Sebab sebelum itu mereka sudah mendapat pelbagai nikmat sampai mereka berasa mereka itu orang yang istimewa. Bayangkan, mereka pernah diselamatkan dengan dapat menyeberangi laut yang terbelah, memperolehi air yang keluar dari batu, dan terlalu banyak nikmat lagi. Jadi mereka berkehendakkan pemberian yang istimewa lagi. Mereka hendak kaum Amaliqah itu keluar sendiri.


 

Maidah Ayat 23: 

قَالَ رَجُلَانِ مِنَ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْعَمَ اللهُ عَلَيْهِمَا ادْخُلُوا عَلَيْهِمُ الْبَابَ فَإِذَا دَخَلْتُمُوهُ فَإِنَّكُمْ غٰلِبُونَ وَعَلَى اللهِ فَتَوَكَّلُوا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said two men from those who feared [to disobey] upon whom Allāh had bestowed favor, “Enter upon them through the gate, for when you have entered it, you will be predominant.¹ And upon Allāh rely, if you should be believers.”

  • i.e., If you obey the command of Allāh trusting in Him, He will fulfill His promise to you.

(MALAY)

Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat atas keduanya: “Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman”.

 

قَالَ رَجُلَانِ مِنَ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْعَمَ اللهُ عَلَيْهِمَا

Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi nikmat ke atas keduanya:

Ada dua orang yang beriman dalam kalangan Bani Israel itu yang berani bercakap. Seorangnya bernama Yusya’ ibnu Nun dan seorang lagi bernama Kalib ibnu Yufana.

Mereka takut dengan Allah ‎ﷻ, iaitu takut untuk tidak mengikut perintah Allah ‎ﷻ apabila Allah ‎ﷻ telah mengeluarkan perintah untuk memasuki ke dalam Kota dan berperang.

Allah ‎ﷻ telah memberikan kepada kedua-duanya nikmat kenabian kerana Yusya’ itu akan menjadi Nabi selepas ketiadaan Nabi Musa عليه السلام. Ini juga boleh membawa maksud nikmat tidak membuat dosa.

 

ادْخُلُوا عَلَيْهِمُ الْبَابَ

“Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, 

Mereka mengajak umat Bani Israel untuk menyerang melalui pintu kota. Mereka pun tahu terdapat puak ganas di dalam kota itu tetapi mereka lebih percaya dan yakin dengan janji Allah ‎ﷻ.

 

فَإِذَا دَخَلْتُمُوهُ فَإِنَّكُمْ غٰلِبُونَ

maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang. 

Kerana mereka yakin dengan janji Allah ‎ﷻ yang kalau mereka masuk terus dan menyerang, mereka akan mendapat kemenangan. Sedikit sahaja akan berlakunya pertempuran kalau ada pun. Dari segi logik ia memang masuk akal kerana bilangan mereka amat ramai sekali pada waktu itu sehingga mencecah beratus ribu menurut riwayat.

 

وَعَلَى اللهِ فَتَوَكَّلُوا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman”.

Mereka mengingatkan orang lain untuk bertawakal kepada Allah ‎ﷻ jika mereka mengaku mereka orang beriman. Tawakal itu maksudnya ikut perintah Allah ‎ﷻ, maka hendaklah ikut sahaja perintah Allah ‎ﷻ dan apa yang akan jadi selepas itu serah sahaja kepada Allah ‎ﷻ.


 

Maidah Ayat 24: Inilah jawapan kaum Bani Israel apabila mereka disuruh untuk memasuki Kota BaitulMaqdis.

قَالُوا يٰمُوسَىٰ إِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا أَبَدًا مَّا دَامُوا فِيهَا فَاذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقٰتِلَا إِنَّا هٰهُنَا قٰعِدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O Moses, indeed we will not enter it, ever, as long as they are within it; so go, you and your Lord, and fight. Indeed, we are remaining right here.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Hai Musa, kami sekali sekali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja”.

 

قَالُوا يٰمُوسَىٰ إِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا أَبَدًا مَّا دَامُوا فِيهَا

Mereka berkata: “Hai Musa, kami sekali sekali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada di dalamnya,

Mereka berkata yang mereka tidak akan memasuki kota itu sampai bila-bila. Mereka kata tidak perlu beri kata semangat lagi, buang masa sahaja kerana mereka tetap tidak akan masuk, selagi kaum Amaliqah itu berada dalam kota.

Lihatlah bagaimana mereka menyebut nama baginda Nabi Musa عليه السلام sahaja sedangkan sebelum ini mereka telah diberi motivasi oleh dua orang lain. Namun mereka tidak mengendahkan pendapat yang telah diberikan sebelum ini oleh dua orang lelaki itu.

Mereka bangkang hukum Allah ‎ﷻ yang memerintahkan mereka berjihad dan dalam masa yang sama, menolak arahan daripada Rasul mereka.

Sehubungan dengan hal ini, alangkah baiknya apa yang dikatakan oleh para sahabat رضي الله عنهم pada hari Perang Badar kepada Rasulullah ﷺ, iaitu ketika Rasulullah ﷺ meminta pendapat mereka untuk berangkat memerangi pasukan kaum musyrik yang datang untuk melindungi kafilah yang dipimpin oleh Abu Sufyan.

Ketika kafilah itu terlepas daripada penghadangan mereka, dan pasukan kaum musyrik yang terdiri atas sembilan ratus sampai seribu orang lelaki bersama semua perbekalan dan persenjataannya mendekati kepada pasukan kaum muslim, maka Abu Bakar رضي الله عنه mengemukakan pendapatnya, dan ternyata pendapatnya itu baik. Kemudian sebahagian daripada sahabat yang terdiri dalam kalangan kaum Muhajirin mengemukakan pula pendapatnya, sedangkan Rasulullah ﷺ sendiri bersabda:

“أَشِيرُوا عليَّ أَيُّهَا الْمُسْلِمُونَ”.

Berikanlah saranan kalian kepadaku, hai kaum muslim!

Rasulullah ﷺ tidak sekali-kali tidak berkata demikian kecuali untuk memberitahu kepada para sahabat dalam kalangan Ansar, kerana hari itu mereka yang majoriti. Maka Sa’d ibnu Mu’az رضي الله عنه (pemimpin mereka) berkata:

Wahai Rasulullah, seakan-akan engkau menyindir kami. Demi Tuhan yang telah mengutusmu dengan membawa kebenaran, seandainya engkau hadapkan kami ke laut ini, lalu engkau memasukinya, nescaya kami pun akan memasukinya pula bersamamu, tanpa ada seorang pun yang tertinggal daripada kami. Kami sama sekali tidak segan untuk menghadapi musuh kami esok hari, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang teguh da­lam perang dan pantang mundur dalam medan perang. Mudah-mudahan Allah ‎ﷻ menampakkan kepadamu sikap kami yang akan membuat engkau senang hati, maka bawalah kami dengan berkah dari Allah ‎ﷻ.

Mendengar perkataan Sa’d رضي الله عنه dan semangatnya yang berkobar-kobar untuk menghadapi medan perang, maka hati Rasulullah ﷺ menjadi gembira.

Imam Bukhari رحمه الله telah meriwayatkannya di dalam kitab Al-Magazi dan kitab Tafsir melalui berbagai jalur daripada Mukhariq. Lafaz yang diketengahkannya di dalam kitab Tafsir daripada Abdullah adalah seperti berikut:
Pada hari Perang Badar, Al-Miqdad berkata, “Wahai Rasulullah, kami (orang-orang Ansar) tidak akan mengatakan kepadamu seperti yang pernah dikatakan oleh Bani Israel kepada Musa عليه السلام, iaitu: ‘kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja’ (Al-Maidah: 24). Tetapi berangkatlah engkau, dan kami akan bersama denganmu.” Maka seakan-akan Al-Miqdad membuat Rasulullah ﷺ sangat gembira.

 

فَاذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقٰتِلَا إِنَّا هٰهُنَا قٰعِدُونَ

pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja”.

Lihatlah betapa kurang ajarnya mereka. Mereka dengan berani dan sombongnya berkata Nabi Musa عليه السلامlah sahaja yang pergi sendiri dengan ‘Tuhan kamu’. Seolah-olah Allah ‎ﷻ itu bukan tuhan mereka juga. Lihatlah betapa bongkak dan angkuhnya mereka itu.

Mereka sanggup berkata yang mereka hendak duduk tunggu kemenangan sahaja. Lafaz yang digunakan adalah قَاعِدُ iaitu bukan duduk jenis جلس kerana duduk قَاعِدُ itu bermaksud duduk dengan jangkamasa yang lama.


 

Ayat 25: Sekarang kita akan masuk kisah bagaimana ada golongan Yahudi yang sesat selama 40 tahun di padang pasir.

قَالَ رَبِّ إِنِّي لَا أَمْلِكُ إِلَّا نَفْسِي وَأَخِي فَافْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْفٰسِقِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Moses] said, “My Lord, indeed I do not possess [i.e., control] except myself and my brother, so part us¹ from the defiantly disobedient people.”

  • Or “distinguish us” or “judge between us.”

(MALAY)

Berkata Musa: “Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu”.

 

قَالَ رَبِّ إِنِّي لَا أَمْلِكُ إِلَّا نَفْسِي وَأَخِي

Berkata Musa: “Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. 

Ini adalah kata-kata Nabi Musa عليه السلام dalam keadaan ghaflah, sudah tidak boleh buat apa, tidak tahu hendak berbuat apa lagi. Baginda kata baginda tidak ada kuasa menjaga jiwa manusia. Yang boleh baginda kawal adalah diri baginda dan jiwa saudaranya, Nabi Harun عليه السلام. Ini adalah kerana Nabi Harun عليه السلام pun seorang Nabi juga, jadi memang boleh diharap. Walaupun ada juga Yusha’ dan Kalib yang juga menyokong baginda, tetapi mereka itu bukan Nabi.

Habis ikhtiar baginda untuk berdakwah dan mengajak umatnya yang degil itu. Baginda sudah tidak tahu hendak buat apa lagi. Itulah sebab baginda berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ yang dinaqalkan di dalam ayat ini. Ini mengajar kita untuk sentiasa mengadu kepada Allah ‎ﷻ. Kita kena tahu yang usaha kita terhad sahaja dan sampai masanya, kita hanya dapat berserah kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

Kita pun tahu yang Nabi Musa عليه السلام itu kuat semangatnya, berjiwa kental serta keras dan kuat hatinya. Akan tetapi kita boleh lihat baginda sudah ghaflah dalam ayat ini. Bayangkan Bani Israel itu sudah diselamatkan daripada Firaun yang sudah lama menindas mereka. Mereka nampak sendiri bagaimana Allah ‎ﷻ telah menunjukkan bantuan-Nya dengan ahli sihir, dibelah laut sampai mereka boleh menyeberang dengan selamat dan kemudian telah menenggelamkan Firaun.

Jadi mereka sebenarnya sudah nampak bantuan Allah ‎ﷻ yang boleh diberikan dengan cara yang tidak disangka-sangka, tidak mampu difikirkan dengan akal. Akan tetapi apabila disuruh menyerang kota itu, mereka enggan dan berani menolak perintah Allah ‎ﷻ pula? Memang jenis degil sangat mereka itu! Barulah kita faham kenapa Nabi Musa عليه السلام pun sudah tidak mampu bertahan dengan mereka lagi.

 

فَافْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْفٰسِقِينَ

Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu”.

Baginda memohon supaya dipisahkan hubungan mereka dengan umat mereka yang degil itu. Selepas apa yang dilakukan oleh baginda, mereka masih berdegil juga lagi dan kurang ajar. Untuk masuk ke tempat yang Allah ‎ﷻ telah janjikan kepada mereka pun mereka masih tidak mahu lagi. Oleh itu baginda tidak mahu mempunyai kaitan dengan mereka lagi.

Mengikut tafsir daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, doa ini bermaksud: apa-apa sahaja balasan azab bagi mereka minta diberikankanlah; dan apa-apa sahaja balasan kebaikan yang kami patut dapat, maka minta diberikanlah juga.


 

Ayat 26: Selepas menerima do’a daripada Nabi Musa عليه السلام, Allah ‎ﷻ telah buat membuat keputusan. Maka ini adalah keputusan Allah ‎ﷻ.

قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ أَرْبَعِينَ سَنَةً يَتِيهُونَ فِي الْأَرْضِ فَلَا تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْفٰسِقِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “Then indeed, it is forbidden to them for forty years [in which] they will wander throughout the land. So do not grieve over the defiantly disobedient people.”

(MALAY)

Allah berfirman: “(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (padang Tiih) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu”.

 

قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ أَرْبَعِينَ سَنَةً

Allah berfirman: “Maka sesungguhnya negeri itu diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, 

Daerah BaitulMaqdis itu haram dimasuki oleh mereka selama 40 tahun. Generasi mereka yang degil untuk masuk itu tidak akan dapat masuk. Mereka akan mati di Padang Pasir Tih. Dan yang dapat masuk pun adalah generasi selepas mereka iaitu generasi yang lahir semasa mereka sesat dalam padang pasir itu. Oleh kerana lamanya mereka di padang pasir itu, maka akan lahir generasi yang baru.

 

يَتِيهُونَ فِي الْأَرْضِ

mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi 

Mereka sesat dalam kawasan yang sempit sahaja tetapi mereka kebingungan untuk mencari jalan keluar. Dalam riwayat mengatakan di sinilah Nabi Musa عليه السلام wafat. Doa Nabi Musa عليه السلام untuk dipisahkan daripada umatnya dimakbulkan dengan diwafatkan baginda.

Begitulah balasan azab yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka. Allah ‎ﷻ telah ‘memenjarakan’ mereka. Allah ‎ﷻ tidak memerlukan gari dan jaring untuk memenjarakan hamba-Nya. Allah ‎ﷻ penjarakan mereka di padang pasir sahaja. Allah ‎ﷻ mampu buat kerana alam ini semuanya milik Allah ‎ﷻ. Dia boleh jadikan apa sahaja yang Dia kehendaki.

Padang Tiih tempat mereka disesatkan itu bukannya besar pun. Ada tafsir yang mengatakan ia sepanjang 90 batu dan selebar 27 batu. Ada pula tafsir yang kata 30 batu x 18 batu sahaja. Dan bilangan mereka waktu itu dikatakan seramai 600 ribu orang. Kiranya memang tempat yang amat sempit bagi mereka.

Di sinilah yang mereka mendapat naungan awan di atas mereka, apabila dahaga Nabi Musa عليه السلام disuruh untuk memukul batu dan air keluar darinya; dan di sini jugalah manna dan salwa diturunkan bagi mereka. Kisah ini telah disebut di dalam Surah Baqarah.

Mereka tetap mendapat rahmat itu semua kerana dalam kalangan mereka ada Nabi Musa عليه السلام, Nabi Harun عليه السلام, Yusha’ dan juga Kalib. Dan mungkin juga, mereka telah bertaubat dan kerana taubat mereka itu, mereka tetap diberikan dengan rahmat dan nikmat daripada Allah ‎ﷻ.

Mungkin timbul persoalan: bukankah seolah-olah Nabi Musa عليه السلام turut teraniaya di dalam ‘hukuman penjara’ kerana baginda turut sama sesat sekali dengan umatnya yang degil? Bukan begitu. Seperti juga kalau di hospital, pesakit tidak boleh keluar tetapi doktor boleh keluar masuk lagi. Atau keadaan di penjara, di mana warden penjara boleh keluar masuk penjara, cuma banduan sahaja yang tidak boleh keluar. Nabi Musa عليه السلام bagaikan seorang doktor yang tidak sakit dan warden penjara. Jadi tidaklah Allah ‎ﷻ seksa baginda.

Nabi Harun عليه السلام dan Nabi Musa عليه السلام wafat semasa kaum Bani Israel sesat di Padang Tih itu. Malah semua generasi itu meninggal dunia kecuali Yusha’ dan Kalib sahaja. Yusha’ diangkat menjadi Nabi menggantikan Nabi Musa عليه السلام dan bagindalah yang menjadi pemimpin mengeluarkan Bani Israel dari Padang Tih dan memerangi puak Amaliqah di BaitulMaqdis itu.

 

فَلَا تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْفٰسِقِينَ

Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu”.

Nabi Musa عليه السلام dipujuk: Janganlah berdukacita tentang kaum baginda yang fasik itu. Mereka tidak layak mendapat belas kasihan baginda dan orang mukmin. Memang patut mereka dikenakan dengan balasan itu.

Allah ‎ﷻ menceritakan kisah buruk kaum Bani Israel itu kerana mereka itu mengaku mereka anak dan kekasih Allah ‎ﷻ. Namun beginikah sikap anak atau kekasih Allah ‎ﷻ itu? Jangan perasanlah.

Sekian Ruku’ 4 dari 16 ruku’ dalam surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Oktober 2021


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

 

Tafsir Surah Kahfi Ayat 105 – 110 (Nabi Muhammad manusia juga)

Ayat 105:

أُولٰئِكَ الَّذينَ كَفَروا بِئآيٰتِ رَبِّهِم وَلِقائِهِ فَحَبِطَت أَعمٰلُهُم فَلا نُقيمُ لَهُم يَومَ القِيٰمَةِ وَزنًا

Sahih International

Those are the ones who disbelieve in the verses of their Lord and in [their] meeting Him, so their deeds have become worthless; and We will not assign to them on the Day of Resurrection any importance.

Malay

Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

 

أُولَٰئِكَ

Orang yang bersifat seperti ini;

Iaitu orang-orang yang buat syirik dan buat amalan ibadat yang bidaah seperti yang kita telah sebutkan dalam ayat sebelum ini.

 

الَّذِينَ كَفَرُوا بِئآيٰتِ رَبِّهِمْ

ialah mereka-mereka yang kufur dengan ayat-ayat Tuhan mereka; 

Mereka itu sebenarnya kufur dengan wahyu Allah. Mereka tidak hiraukan ajaran dalam wahyu dan kerana itu mereka tidak belajar. Ini adalah kerana mereka rasa ia tidak penting. Maka mereka terus menjadi jahil dalam agama. Kalau sumber dalam agama pun mereka tidak belajar (tafsir Qur’an), macam mana mereka nak faham agama?

Jadi, jangan sangka kalau lahir dalam keluarga Muslim, nama pun nama Muslim, mengamalkan sesetengah ajaran Islam, tidak tinggalkan solat dan puasa, tapi kalau ajaran wahyu tidak diendahkan, maka mereka itu boleh jadi kufur. Kufur di mata Allah walaupun mereka nampak Muslim di mata manusia. Ini yang kita amat takut.

Ini kita kena faham dan luaskan fahaman kita. Jangan kita sangka orang bukan Islam sahaja yang boleh ‘kufur’. Kalau orang Islam, tapi wahyu mereka langgar, mereka juga kufur, kerana makna kufur adalah ‘engkar’.

 

وَلِقَائِهِ

dan kufur dengan perjumpaan denganNya;

Mereka engkar perjumpaan mereka dengan Allah yang pasti berlaku. Mereka macam tidak ingat yang mereka nanti akan kena mengadap Allah dan kena jawab atas segala perbuatan mereka itu. Maka kalau ada amalan mereka bukan dari agama, maka macam mana mereka nak jawab nanti? Mereka tidak takutkah bertemu dengan Allah nanti?

 

فَحَبِطَتْ أَعْمٰلُهُمْ

Maka gugur semua amal ibadat mereka;

Amalan-amalan syirik dan bidaah itu tidak ada pahala. Gugur segala amalan itu dan tidak diganti dengan pahala langsung, malah akan dapat dosa. Inilah masalah yang besar dalam amalan kita kalau tidak faham perkara ini.

Dan bukan itu sahaja, kalau kita ada masalah dengan tauhid, maka segala amalan yang kita lakukan walaupun ikhlas, walaupun ikut syarak dan ikut sunnah, tidak ada nilai. Segala amalan itu akan musnah begitu sahaja. Kerana syarat untuk amalan diterima adalah seorang itu kenalah seorang Muslim. Tapi kalau dia ada fahaman syirik, maka itu tandanya dia bukan seorang Muslim sejati dan amalan orang kafir tidak diterima.

 

فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ وَزْنًا

Maka Kami tidak buat baginya pertimbangan pada hari kiamat sebarang timbangan;

Malang sekali mereka yang sebegitu kerana tidak ada satu benda yang boleh dibuat kira sebagai pahala. Tidak ada amal ibadat yang layak untuk ditimbang. Kerana ibadat mereka adalah ibadat yang syirik dan bidaah.

Bidaah sebenarnya adalah satu kerja yang mengganti kerja Nabi. Kerana yang sepatutnya memberitahu manusia tentang amal ibadat adalah kerja Nabi. Dan mereka yang buat amal ibadah yang syirik dan bidaah adalah menipu atas nama Allah. Ini terjadi apabila dia kata Tuhan akan beri pahala sekian-sekian kalau buat amalan itu, padahal Allah tak pernah cakap pun.

Atau apabila mereka kata amalan mereka itu walaupun Nabi tak buat tapi ianya adalah ‘bidaah hasanah’, Allah suka kalau kita buat, padahal Nabi tidak pernah kata tentang amalan bidaah hasanah itu. Status ‘bidaah hasanah’ itu mereka sendiri yang letak.


 

Ayat 106:

ذٰلِكَ جَزاؤُهُم جَهَنَّمُ بِما كَفَروا وَاتَّخَذوا ءآيٰتي وَرُسُلي هُزُوًا

Sahih International

That is their recompense – Hell – for what they denied and [because] they took My signs and My messengers in ridicule.

Malay

(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.

 

ذَٰلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ

Demikian balasan bagi mereka iaitu Neraka Jahannam; 

Dan balasan bagi mereka yang mengamalkan amalan syirik dan bidaah adalah neraka. Mereka susah payah buat amalan itu tapi akhirnya masuk neraka. Tidakkah rugi?

 

بِمَا كَفَرُوا

terhadap apa yang mereka dulu engkar dan kufur;

Ini adalah kerana mereka engkar dengan wahyu Allah. Mereka buat tak endah kepada larangan-larangan dalam ayat-ayat Qur’an. Qur’an beritahu jangan buat amalan syirik dan bidaah tapi mereka buat juga. Berbagai alasan dan hujah yang mereka keluarkan untuk membenarkan apa yang mereka lakukan itu tapi semuanya bukan dari dalil yang sah.

Itu semua adalah kerana mereka tidak mahu belajar tafsir Qur’an dan belajar Sunnah. Kerana kalau mereka belajar, mereka akan faham apakah yang mereka baca dalam Qur’an. Dan mereka akan faham apakah yang Nabi katakan dalam hadis. Kalau tidak belajar atau belajar juga tapi dengan guru yang salah, memang akan tertipu.

 

وَاتَّخَذُوا ءآيٰتِي

Mereka mengambil ayat-ayatKu;

Macam-macam ayat mereka baca sebagai amalan mereka. Surah Yaasin, ayat Kursi dan macam-macam lagi. Tapi sebelum mereka baca ayat-ayat itu, mereka akan baca kalimah tawasul kepada Nabi, Wali dan Malaikat dulu. Jadi, apabila mereka buat macam itu, mereka telah mempersendakan ayat Qur’an. Kerana ayat Qur’an juga yang melarang perbuatan mereka itu tapi mereka lakukan juga. Mereka tidak endah ayat-ayat Qur’an.

Mereka memang ada pakai ayat Qur’an tapi ayat Qur’an itu sebenarnya diejek-ejek oleh mereka tanpa mereka sedari. Kerana mereka membacakan ayat Qur’an yang jelas melarang perbuatan yang mereka lakukan itu. Contohnya, mereka baca ayat Qur’an yang melarang melakukan tawasul yang salah (kerana ada tawasul yang benar), tapi dalam masa yang sama, mereka sendiri mengamalkan tawasul. Itu seperti mengejek ayat Quran – mereka baca tapi mereka berbuat yang sebaliknya dari yang dilarang oleh ayat itu.

 

وَرُسُلِي

dan rasul-rasul (yang mengajar ayat itu);

Bukan Qur’an sahaja dipersendakan tapi Nabi juga dipersendakan. Kerana mereka kata Nabi Muhammad adalah rasul mereka, tapi suruhan Nabi mereka tak ikut, larangan Nabi mereka buat. Bukankah itu mengejek namanya?

 

هُزُوًا

sebagai ejek-ejekan.

Mereka tahu Allah itu Tuhan dan Nabi Muhammad itu Rasul. Mereka tahu yang Qur’an dan Sunnah adalah sumber agama. Tapi mereka tidak beri perhatian. Dan apabila mereka melakukan perkara yang dilarang oleh Qur’an dan Sunnah, maka mereka sebenarnya telah mengejek-ngejek wahyu dari Allah itu.


 

Ayat 107: Tabshir Ukhrawi.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحاتِ كانَت لَهُم جَنّٰتُ الفِردَوسِ نُزُلًا

Sahih International

Indeed, those who have believed and done righteous deeds – they will have the Gardens of Paradise as a lodging,

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).

 

إِنَّ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Adapun orang-orang yang beriman;

Iaitu orang-orang yang beriman ‘sempurna’, tidak ada syirik kepada Allah. Kerana bukan kena beriman sahaja, tapi kena beriman ‘sempurna’. Iaitu iman tanpa syirik. Dan untuk tahu apakah syirik, kena belajar tafsir Qur’an. Kalau tidak belajar, memang tidak akan tahu. Kerana sumber pengajaran tentang manakah fahaman syirik itu ada dalam Qur’an.

Malangnya ramai dari masyarakat kita tidak tahu tentang perkara ini kerana mereka tidak belajar. Mereka sangka kalau mereka orang Islam tentulah mereka tidak melakukan syirik. Mereka sangka syirik itu hanyalah kalau sembah patung sahaja. Ini adalah fahaman yang salah kerana banyak lagi fahaman syirik.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Dan beramal amalan yang soleh;

Iaitu mereka beramal dengan amalan yang diambil dari ajaran Nabi. Mereka tidak buat amalan yang bidaah. Amalan yang mereka lakukan, mereka pastikan yang ianya diambil dalilnya dari Qur’an dan Sunnah. Mereka pastikan yang ianya adalah dari amalan sahabat-sahabat Nabi. Tentunya ini memerlukan pembelajaran dan kerana itulah Islam mewajibkan pembelajaran agama kepada semua penganutnya.

Janganlah terus berada dalam kejahilan. Janganlah hanya pakai benda yang kita belajar di sekolah rendah dan menengah itu. Kenalah tambah ilmu pengetahuan agama bagi pandai sikit. Ini adalah kerana banyak ajaran yang salah dan kalau tidak belajar, tidak akan tahu.

 

كَانَتْ لَهُمْ جَنّٰتُ الْفِرْدَوْسِ

bagi mereka syurga-syurga Firdaus;

Alangkah beruntungnya mereka kerana dapat dimasukkan ke dalam syurga dan syurga itu pula Tingkatan Firdaus. Itu adalah tingkatan syurga yang paling tinggi. Oleh kerana itu, apabila kita berdoa untuk masuk syurga, mohonlah untuk masuk Syurga Firdaus.

Nabi telah bersabda: “Jika kalian memohon syurga kepada Allah, maka mintalah kepadaNya Syurga Firdaus, kerana ia merupakan syurga yang paling tengah sekaligus syurga paling tinggi, dan darinya sungai-sungai syurga mengalir.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

 

نُزُلًا

sebagai tempat tinggal;

Inilah tempat tinggal yang sebaik-baiknya yang kita kehendaki. Bandingkan dengan tempat tinggal ahli neraka yang amat teruk. Kita pilihlah mana yang kita hendak. Sama ada nak syurga atau neraka.


 

Ayat 108:

خٰلِدينَ فيها لا يَبغونَ عَنها حِوَلًا

Sahih International

Wherein they abide eternally. They will not desire from it any transfer.

Malay

Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.

 

خٰلِدِينَ فِيهَا

Mereka kekal di dalamnya;

Ahli syurga bukan duduk sekejap sahaja di dalam syurga itu tapi selama-lamanya. Kerana kalau duduk sekejap sahaja, tentu tidak menarik. Macam juga kita kalau duduk hotel termahal sekali pun, kita pun tahu yang kita akan keluar, bukan? Maka itu mengurangkan kenikmatan duduk dalam hotel itu.

Manusia mahukan tempat tinggal yang tetap. Kerana itulah manusia teringin sangat untuk memiliki rumahnya sendiri dan tidaklah menyewa sampai mati. Dan Allah tahu sifat manusia begitu dan kerana itulah Allah berikan tempat tinggal yang tetap kepada mereka yang beriman sempurna dan mengamalkan amalan soleh. Mereka tidak akan dikeluarkan sampai bila-bila.

 

لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلًا

Dia tidak ingin pertukaran dari syurga itu;

Dan penghuni syurga itu tidak akan mahu pun untuk keluar dari syurganya itu. Kalau kita di dunia sekarang, kalau ada kawan ajak keluar, kita mungkin keluar. Tapi di syurga nanti, nak keluar jumpa kawan pun tak mahu. Sebab sedang sibuk menikmati segala nikmat-nikmat yang Allah berikan kepadanya.

Walaupun sudah lama duduk di dalam syurga nanti, penghuni syurga tidak akan rasa bosan dan tidak akan hendak berpindah darinya. Kalau kita di dunia, kalau sudah lama duduk di sesuatu tempat, tentulah ada rasa nak pindah mana-mana, pergi melancong sekejap ke luar negara, tapi ini tidak akan terjadi apabila tinggal dalam syurga nanti.

Ini adalah kerana nikmat yang Allah berikan kepada manusia tidak akan sama. Akan berubah-ubah dan semakin baik dan semakin baik. Jadi memang tidak akan jadi bosan. Jadi manusia akan sentiasa ternanti-nanti apakah yang mereka akan dapat.


 

Ayat 109:

قُل لَّو كانَ البَحرُ مِدادًا لِّكَلِمٰتِ رَبّي لَنَفِدَ البَحرُ قَبلَ أَن تَنفَدَ كَلِمٰتُ رَبّي وَلَو جِئنا بِمِثلِهِ مَدَدًا

Sahih International

Say, “If the sea were ink for [writing] the words of my Lord, the sea would be exhausted before the words of my Lord were exhausted, even if We brought the like of it as a supplement.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.

 

قُلْ لَّوْ كَانَ الْبَحْرُ مِدَادًا لِّكَلِمٰتِ رَبِّي

Katakanlah: Kalaulah lautan itu dijadikan dakwat untuk tulis kalimat-kalimat Tuhanku;

Allah suruh kita bayangkan kalau semua lautan di dunia ini dijadikan dakwat untuk menulis segala nikmat-nikmat yang Allah berikan. Ambil satu kalimat sahaja sudah cukup sebagai bandingan. Contohnya, perkataan ‘Rahmat’. Satu perkataan itu pun tak cukup tangan hendak ditulis. Kerana makna kalimat itu amat luas. Rahmat Allah amat luas.

‘Kalimat’ itu juga bermaksud hukum-hukumNya dan ayat-ayat yang menunjukkan kekuasaanNya. Juga segala perbuatanNya, kerana Allah tidak pernah berhenti dari melakukan sesuatu. Setiap masa ada sahaja yang dilakukanNya.

 

لَنَفِدَ الْبَحْرُ

sudah tentu akan habis kering lautan itu 

Maka kerana banyak sekali perbuatanNya dan rahmatNya, maka tidak mungkin akan dapat ditulis semua sekali walaupun habis air laut itu dijadikan sebagai dakwat.

 

قَبْلَ أَنْ تَنْفَدَ كَلِمٰتُ رَبِّي

sebelum habis kalimat-kalimat Tuhanku;

Tak akan mampu tulis dan sebelum habis tulis, seluruh air laut yang dijadikan dakwat itu akan kering.

 

وَلَوْ جِئْنَا بِمِثْلِهِ مَدَدًا

walaupun Kami datangkan dengan lautan yang sebanyak itu juga; 

Kalau Allah datangkan lagi tujuh lautan lagi pun dijadikan sebagai dakwat, tidak akan mampu untuk menulisnya.


 

Ayat 110: Khulasah surah.

قُل إِنَّما أَناْ بَشَرٌ مِّثلُكُم يوحىٰ إِلَيَّ أَنَّما إِلٰهُكُم إِلٰهٌ واحِدٌ ۖ فَمَن كانَ يَرجو لِقاءَ رَبِّهِ فَليَعمَل عَمَلًا صٰلِحًا وَلا يُشرِك بِعِبادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Sahih International

Say, “I am only a man like you, to whom has been revealed that your god is one God. So whoever would hope for the meeting with his Lord – let him do righteous work and not associate in the worship of his Lord anyone.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.

 

قُلْ إِنَّمَا أَنَاْ بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ

Katakanlah (Wahai Muhammad): Bahawasanya aku ini manusia biasa seperti kamu juga;

Kita diajar dalam ayat ini yang Nabi Muhammad itu pun  manusia biasa juga. Maka baginda bukanlah anak Tuhan ataupun manusia jenis lain. Jadi banyak perkara yang baginda tidak tahu kerana baginda juga manusia biasa. Antaranya, baginda tidak tahu ilmu ghaib melainkan apa yang baginda diberitahu sahaja.

Maka akidah kita sebagai Ahli Sunnah adalah baginda seorang manusia biasa, cuma bezanya baginda diberi wahyu dan kita tidak diberi wahyu. Bagaimana dengan kita sekarang pula? Kita adalah orang yang *belajar* wahyu Allah. Guru-guru sepatutnya belajar dan mengajar wahyu Allah. Tapi sekarang di masjid-masjid, kebanyakan guru yang mengajar itu tidak mula belajar pun lagi Qur’an 30 juzuk.

Kalau mereka sendiri tidak belajar, bermakna mereka tidak memandang tinggi Qur’an. Kalau mereka tak belajar, mereka sendiri tidak faham agama. Bagaimanakah mereka hendak mengajar perkara yang benar kalau mereka sendiri tak tahu? Mereka itulah ulama yang jahat. Selalunya mereka hendak dapat duit sahaja. Tapi mereka mengaku sebagai ulama. Padahal Nabi kata dia tinggalkan Qur’an dan Sunnah kepada kita supaya kita tidak sesat.

Bukan itu sahaja, mereka kata orang yang belajar Qur’an dan Sunnah pula yang sesat. Mereka kata kita bawa ajaran baru pula sedangkan kita bawa ajaran sunnah dari Nabi. Sedangkan mereka yang amalkan amalan yang bukan dari agama.

Contohnya, Qur’an melarang tawassul, tapi mereka pula yang menjadi kepala majlis-majlis yang mengamalkan tawassul. Maka, kita kena tanya ustaz-ustaz yang mengajar itu sama ada mereka sudah belajar tafsir Qu’ran 30 juzuk atau belum. Kerana itu adalah ilmu asas yang wajib dipelajari.

Ayat ini juga hendak menekankan bahawa Nabi tidak tahu perkara ghaib. Maka di awal surah ini telah diceritakan bagaimana Musyrikin Mekah tanya tiga soalan kepada baginda dan baginda tidak dapat jawab. Baginda tidak tahu apakah jawapan kepada soalan mereka yang bertanya kepadanya jikalau Allah tidak memberitahu kepada baginda. Ini menunjukkan Nabi tidak mengetahui perkara ghaib. Kalau Nabi sendiri pun tidak tahu, bagaimana ada yang kata guru-guru mereka mengetahui perkara ghaib? Adakah guru mereka lebih hebat dari Nabi?

Ayat ini juga sebagai dalil untuk mengatakan Nabi Muhammad itu adalah manusia. Tidak ada kelebihan melainkan apa yang diberikan oleh Allah sahaja. Ini penting kerana ada yang mengatakan Nabi bukan manusia biasa. Ada yang sampai kepada tahap memuja Nabi. Ada juga yang sampai mengatakan Nabi Muhammad masih hidup lagi dan memantau apa yang terjadi dalam dunia ini.

Ada juga masyarakat Islam kita yang jahil menyanyi dan melagukan Marhaban yang di dalamnya mengandungi bait-bait yang mengatakan Nabi Muhammad menghadiri majlis Marhaban mereka. Takkan Nabi hidup lagi sedangkan sebagai manusia biasa, Nabi sudah wafat sekian lama. Itu semua adalah pemahaman sesat. Mereka buat itu adalah kerana tidak faham apakah yang mereka baca itu kerana mereka jahil.

Dalam ayat ini, Nabi disuruh untuk mengajar kepada manusia bahawa segala pujian hanya untuk Allah sahaja. Jangan kita jadi macam masyarakat Kristian yang memuja Nabi Isa berlebihan sampaikan mereka memberikan taraf tuhan kepada baginda. Tapi kalau umat Islam pun meninggikan kedudukan Nabi Muhammad melebihi sifat manusia, maka lama kelamaan umat Islam pun puja Nabi Muhammad sebagaimana Kristian memuja Nabi Isa.

 

يُوحَىٰ إِلَيَّ

Aku telah diberi wahyu;

Beza Nabi Muhammad dan kita adalah baginda telah diturunkan wahyu kepadanya. Kita pula yang belajar ini adalah penerima wahyu. Kita telah terima ajaran wahyu dari guru-guru kita. Dan kita akan mengajar kepada masyarakat balik.

Apakah perkara utama yang disampaikan dalam wahyu yang diberikan kepada baginda?

 

أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ

Bahawasanya Tuhan kamu yang layak dipuja dan disembah adalah Tuhan yang satu;

Inilah adalah khulasah kepada wahyu Qur’an. Hanya Allah sahaja ilah dan tidak ada yang lain. Wali, Nabi dan Malaikat bukan ilah kerana mereka tidak ada sifat ilah. Benda-benda lain pun tidak ada sifat ilah. Jadi kena faham apakah maksud ‘ilah’ itu sendiri. Secara ringkasnya ia adalah tempat sandaran hati kita. Iaitu tempat kita berharap. Maka ini sepatutnya diberikan kepada Allah sahaja.

Tapi masyarakat kita ada yang mengamalkan syirik kerana berharap kepada benda seperti cincin keramat, contohnya. Mereka kata lepas mereka pakai cincin keramat itu, rezeki mereka bertambah. Padahal rezeki itu diberikan oleh Allah. Jadi bila mereka kata cincin itu beri rezeki, maka mereka telah melakukan syirik.

Atau ada yang kata, selepas mereka dimandikan oleh seseorang ‘ustaz’ untuk buang sial dia, kehidupannya sudah semakin baik. Itu semua adalah fahaman yang syirik kerana yang menyelesaikan masalah kita adalah Allah. Yang tertipu dengan perkara ini adalah mereka yang jauh dari wahyu sahaja.

 

فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ

Sesiapa yang berharap untuk berjumpa dengan Tuhannya,

Inilah pengharapan yang kita kena simpan dalam diri kita – untuk bertemu dengan Allah. Tidakkah kita ingin untuk bertemu dengan Allah yang telah menjadikan kita? Oleh itu berniatlah untuk bertemu dengan Allah kerana itulah nikmat yang paling besar sekali.

Apabila kita berharap untuk bertemu dengan Allah, maka kita boleh menolak sifat kebendaan (materialisme) dalam diri kita. Apabila kita telah menyemat keinginan itu dalam diri kita, keindahan dunia ini tidak membawa makna apa-apa kerana hendak berjumpa dengan Allah itu yang lebih utama.

Hasilnya dunia ini hanya sebagai tempat untuk kita berbuat amal supaya kita akan dibalas dengan baik di akhirat kelak. Tujuan hidup kita bukanlah di dunia ini, tapi untuk menuju kepada akhirat.

 

فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صٰلِحًا

Maka hendaklah dia buat amal soleh;

Kalau hendak bertemu dengan Allah hendak beramal iaitu amal ibadat yang datang dari Qur’an dan Hadis. Dan ini memerlukan pembelajaran yang berterusan. Kena luangkan masa untuk belajar agama dan melihat kepada ayat-ayat Qur’an dan hadis untuk dapat memastikan sama ada sesuatu amalan itu sunnah atau tidak.

Tapi masyarakat buat amalan bidaah kerana diajar oleh guru-guru agama yang tidak mengamalkan sunnah. Tapi golongan inilah yang menguasai suasana keagamaan sekarang. Merekalah yang dipanggil untuk mengajar umat manusia sekarang ini. Merekalah yang dipanggil untuk menjawab kemusykilan agama masyarakat di TV dan media lain.

Tapi apa yang mereka ajarkan itu adalah tidak tepat. Maka kita sendiri kena belajar supaya dapat membezakan mana yang benar dan mana yang tidak.

 

وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا

Dan jangan sekali-kali dia mempersekutukan dalam ibadat kepada Tuhannya dengan satu apa pun;

Jangan buat amalan syirik dalam ibadat. Maka, jangan bertawasul (tawasul yang salah). Contohnya bila makan ubat, sepatutnya baca nama Allah sahaja. Jangan sebut nama lain, termasuk nama Nabi Muhammad sekalipun. Kerana yang menyembuhkan kita adalah Allah, bukan Nabi Muhammad. Tapi manusia sekarang, nak makan ubat sahaja, baca selawat kepada Nabi. Janganlah buat begitu kerana ia boleh membawa kepada syirik kalau ada sangkaan yang Nabi boleh menyembuhkan. Jangan letak harapan kepada Nabi tapi sangkutlah harapan kita kepada Allah sahaja.

Dan ada banyak lagi perkara syirik yang manusia tidak faham. Maka kena belajar tafsir Qur’an supaya dapat faham apakah syirik itu supaya kita dapat tinggalkan.

Allahu a’lam. Lompat ke surah seterusnya, Surah Maryam.

Kemaskini: 28 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain