Tafsir Surah Yusuf Ayat 9 – 14 (Perancangan Jahat)

Ayat 9: Keadaan ke 3. Ini adalah ujian pertama yang dihadapi oleh Nabi Yusuf عليه السلام. Iaitu menerima pakatan jahat dan tipu helah saudara-saudaranya.

اقتُلوا يوسُفَ أَوِ اطرَحوهُ أَرضًا يَخلُ لَكُم وَجهُ أَبيكُم وَتَكونوا مِن بَعدِهِ قَومًا صٰلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Kill Joseph or cast him out to [another] land; the countenance [i.e., attention] of your father will [then] be only for you, and you will be after that a righteous people.”¹

  • i.e., You can repent thereafter.

(MALAY)

Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu daerah (yang tak dikenal) supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja, dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik”.

 

اقتُلوا يوسُفَ

Bunuhlah Yusuf 

Kita boleh agak bahawa kata-kata dalam ayat ini adalah dari hasutan syaitan. Inilah hasutan syaitan dari dahulu lagi – ingat kembali kisah Habil dan Qabil? Bukankah syaitan sentiasa menyuruh manusia membunuh manusia yang lain?

Dan kisah Habil dan Qabil itu adalah kerana berpunca daripada perasaan cemburu juga – sama seperti abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام yang cemburukan baginda. Dalam ayat ini, tidak disebut siapa yang bercakap. Jadi kita boleh agak yang ini adalah perbincangan di antara mereka (setelah dihasut oleh syaitan).

 

أَوِ اطرَحوهُ أَرضًا

atau buanglah dia ke suatu daerah

Walaupun terkeluar cadangan untuk bunuh Nabi Yusuf عليه السلام, tetapi ada yang berasa lembut hati maka tidak jadi pula untuk membunuh. Maka mereka menukar rancangan untuk membuang Nabi Yusuf عليه السلام jauh-jauh (akhirnya nanti mereka letakkan Nabi Yusuf عليه السلام ke dalam telaga).

Kalimah اطرَح bermaksud buang sesuatu yang rasa tidak ada harga, seperti membuang pembalut gula-gula ke dalam tong sampah. Tidak disebut tempat yang khusus (sebab أَرضًا dalam isim nakirah), maksudnya mana-mana pun, asalkan jauh dari mereka.

 

يَخلُ لَكُم وَجهُ أَبيكُم

supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja,

Kalimah يَخلُ dari kalimah خ ل و yang bermaksud menyendiri. Dari sinilah terjadinya kalimah khalwah (bersendirian dengan Allah ‎ﷻ atau bersendirian lelaki dan wanita). Apabila bersendiri, fikiran kita pun tertumpu kepada Allah ‎ﷻ atau orang yang kita bersendiri itu.

Maksud dalam ayat ini: memberi tumpuan, beri perhatian. Mereka hendakkan perhatian ayah mereka tertumpu kepada mereka sahaja (kerana selama ini mereka rasa ayah mereka hanya memberikan perhatian kepada Nabi Yusuf عليه السلام dan Bunyamin sahaja). Bila saingan sudah tidak ada, mereka rasa ayah mereka akan sayang kepada mereka dan berikan perhatian kepada mereka.

Rancangan mereka ini memang ekstrim. Begitulah apabila berbuat sesuatu kejahatan, ia menjadi lebih teruk apabila terdapat ramai (seperti abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام ini – mereka kata mereka عُصبَةٌ). Dalam psikologi, ini dipanggil ‘mob mentality’. Bila sudah ramai, mereka menjadi berani dan semua orang terikut-ikut dengan pendapat ramai dan takut untuk melawan.

Katakanlah kalau seorang dari ahli kumpulan itu bersuara melawan apa yang dikatakan oleh semua ahli kumpulan, dia pula yang akan diserang oleh kumpulan itu. Maka walaupun ada yang tidak bersetuju tetapi mereka selalunya akan ikut sahaja kecuali kalau dia seorang yang berani.

 

وَتَكونوا مِن بَعدِهِ قَومًا صٰلِحينَ

dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik”.

Mereka membuat rancangan selepas itu barulah hendak bertaubat dan menjadi orang baik pula. Mereka sangka, bila ayah mereka sudah beri perhatian kepada mereka, tidaklah mereka jadi jahat lagi – ini kerana mereka rasa mereka berperangai teruk hanya kerana ayah mereka tidak berikan perhatian terhadap mereka.

Tambahan pula anak yang baik sudah tidak ada untuk dibandingkan dengan mereka, jadi mereka akan nampak baiklah pula. Mereka lepas itu berhajat akan jadikan ayah mereka berbangga dengan mereka.

Ini adalah satu lagi emosi yang bahaya. Dalam psikologi, ini dipanggil ‘twisted love’. Ada orang yang ada masalah kawal emosi sampai sanggup buat jahat kerana cinta. Sebagai contoh, mereka sanggup membunuh atau mencederakan orang yang mereka sangka menjadi saingan mereka dalam mendapatkan orang yang mereka mahukan. Ini bahaya dan ini boleh menjadi masalah besar dalam diri manusia.

Oleh itu, manusia kenalah belajar mengawal emosi mereka. Masalahnya, pendidikan di dunia sekarang, kebanyakannya tidak menjurus ke arah pengawalan emosi. Sekolah cuma mengajar membaca dan mengira sahaja. Oleh itu, kita sebagai orang yang pandai, jangan ringankan masalah emosi ini – maka kita kena berikan perhatian kepada pengukuhan emosi anak-anak kita. Kena didik mereka untuk pandai kenal emosi mereka kerana kalau tidak dikawal, mereka akan buat benda-benda yang jahat.


 

Ayat 10:

قالَ قائِلٌ مِّنهُم لا تَقتُلوا يوسُفَ وَأَلقوهُ في غَيٰبَتِ الجُبِّ يَلتَقِطهُ بَعضُ السَّيّارَةِ إِن كُنتُم فٰعِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Said a speaker among them, “Do not kill Joseph but throw him into the bottom of the well; some travelers will pick him up – if you would do [something].”

(MALAY)

Seorang di antara mereka berkata: “Janganlah kamu bunuh Yusuf, tetapi masukkanlah dia ke dasar sumur supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir, jika kamu hendak berbuat”.

 

قالَ قائِلٌ مِّنهُم

Seorang di antara mereka berkata: 

Tidak pasti siapakah yang berkata dalam ayat ini, tetapi dari segi bahasa, kita tahu yang dia adalah seorang yang paling berpengaruh di kalangan mereka. Jadi ada pendapat yang mengatakan (mungkin) yang berkata ini adalah abang mereka yang paling tua. Oleh kerana dia abang besar, maka dia berani untuk memberi pendapatnya yang mungkin tidak popular dengan yang lain.

 

لا تَقتُلوا يوسُفَ

“Janganlah kamu bunuh Yusuf,

Dia berkata jangan bunuh Yusuf عليه السلام sebab bunuh itu benda yang berat. Kalau hendak mendapatkan kasih ayah pun takkanlah sampai hendak kena berbuat begitu sekali.

 

وَأَلقوهُ في غَيٰبَتِ الجُبِّ

tetapi buanglah dia ke dasar sumur

Walaupun dia tidak sampai hati untuk membunuh, tetapi dia masih marah kepada Yusuf عليه السلام kerana dia gunakan وَأَلقوهُ (buangkanlah dia). Maknanya, bukan biarkan sahaja, siap hendak buang lagi.

Kalimah غَيابَة dari kalimah asal غ ي ب yang bermaksud tidak nampak (ghaib). Kerana itulah kubur juga dipanggil غَيابَة kerana tidak nampak apa yang ada di dalam kubur itu. Sementara kalimah الجُبِّ bermaksud ‘telaga’. Iaitu telaga yang besar.

Oleh itu, غَيابَتِ الجُبِّ adalah telaga yang jauh dari pandangan orang lain. Boleh diterjemah sebagai ‘telaga musafir’ – digunakan oleh musafir dalam perjalanan mereka – bukannya telaga di sesuatu tempat tinggal yang banyak digunakan penduduk. Jadi telaga ini adalah jenis telaga yang dikorek dan ia berada dalam perjalanan musafir dan ia jauh dari orang. Ini kerana sekali sekala sahaja orang datang ke telaga sebegitu.

Maknanya telaga ini bukan telaga yang biasa kerana ada nama lain bagi telaga iaitu بئر (bi’ir). Kalau telaga yang ada binaan di sekelilingnya, itu adalah بئر. Dan kalau tidak ada, cuma ada lubang sahaja, ia adalah الجُبِّ. Maknanya telaga ini tidak terjaga sangat kerana ia digunakan sekali sekala sahaja.

 

يَلتَقِطهُ بَعضُ السَّيّارَةِ

supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir,

Kalimah لقط maksudnya diambil dan digunakan untuk budak yang diambil di perjalanan. Iaitu budak-budak yang hilang dari kumpulan dan diambil oleh orang yang jahat. Dan لقطة adalah sesuatu yang kita jumpa di tengah jalan, contohnya kita terjumpa beg duit, dan kita ambil. Jadi, التقط adalah sesuatu yang kita terjumpa.

Jadi ini adalah harapan mereka kalau mereka buang Nabi Yusuf عليه السلام ke telaga yang jauh. Sebenarnya memang susah pun rancangan mereka ini kerana mereka hendak meletakkan Nabi Yusuf عليه السلام di telaga yang jauh dari orang – kebarangkalian ada orang datang ke situ adalah tipis sebenarnya.

Mereka berfikiran, tentu ada kafilah yang akan datang ke telaga itu dalam perjalanan mereka dan nanti akan terjumpa Nabi Yusuf عليه السلام di situ. Dalam riwayat, ada disebut semasa Nabi Yusuf عليه السلام hendak dibuang ke dalam telaga itu, baginda cuba berpegang kepada baju abangnya – sampaikan bajunya tercabut dan baginda terlepas ke dalam telaga akhirnya. Disebutkan bahawa sebelum jatuh ke dasar, Jibrail عليه السلام menahan dan sambut baginda dan meletakkan baginda di atas batu dalam telaga itu.

 

إِن كُنتُم فٰعِلينَ

jika kamu hendak berbuat”.

Yang berkata itu telah memberikan cadangannya dan dia sambung: kalau hendak buat juga. Ini adalah kata-kata untuk menyedapkan hati sahaja. Mereka itu sebenarnya buat perkara yang jahat, tetapi konon hendak berbuat baik (tidak bunuh sudah dikira baik bagi mereka). Oleh itu, perbuatan mereka itu memang tidak baik langsung.

Ini kerana mereka hendak tinggalkan Nabi Yusuf عليه السلام di kawasan yang tidak ada orang, jadi yang jumpa itu pun adalah kafilah yang sesat sampai ke situ. Dalam riwayat disebutkan bagaimana mereka itu sepatutnya tidak sampai pun di situ kalau bukan Allah ‎ﷻ yang bawa mereka ke situ. Maknanya, semua itu adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ.

Setelah mendengar cadangan dari abang mereka itu, adik beradik yang lain pun setuju dengan cadangan tersebut.


 

Ayat 11: Tapi untuk menjayakan rancangan mereka, mereka kena pujuk dahulu ayah mereka. Lihat bagaimana cara mereka pujuk.

قالوا يٰأَبانا ما لَكَ لا تَأمَنّا عَلىٰ يوسُفَ وَإِنّا لَهُ لَنٰصِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O our father, why do you not entrust us with Joseph while indeed, we are to him sincere counselors?

(MALAY)

Mereka berkata: “Wahai ayah kami, apa sebabnya kamu tidak mempercayai kami terhadap Yusuf, padahal sesungguhnya kami adalah orang-orang yang mengingini kebaikan baginya.

 

قالوا يٰأَبانا

Mereka berkata: “Wahai ayah kami,

Ini adalah rancangan mereka untuk memujuk bapa mereka untuk melepaskan Nabi Yusuf عليه السلام untuk mengikuti mereka supaya mereka dapat menjalankan rancangan jahat mereka itu. Mereka tahu yang Nabi Yaaqob عليه السلام sangat sayangkan Nabi Yusuf عليه السلام dan tidak mahu berenggang dengan beliau. Maka mereka kena ada rancangan untuk memujuk ayah mereka.

 

ما لَكَ لا تَأمَنّا عَلىٰ يوسُفَ

apa sebabnya kamu tidak mempercayai kami terhadap Yusuf,

Kalimat ما لَكَ bermaksud: “Apa tak kena dengan kau?” Lihatlah bagaimana kurang ajarnya mereka bercakap dengan ayah mereka. Awal-awal lagi mereka telah mempersoalkan bapa mereka, seorang Nabi.  Mereka mempersoalkan Nabi Ya’qub عليه السلام kenapa tidak percayakan mereka.

Kalimah لا تَأمَنّا (tidak percaya kami) adalah satu tuduhan yang tidak patut diberikan kepada seorang ayah, apatah lagi seorang Nabi. Mereka kata begini kerana mereka nampak Nabi Ya’qub عليه السلام tidak melepaskan Yusuf عليه السلام dari pandangan. Ke mana sahaja Nabi Ya’qub عليه السلام pergi, Nabi Yusuf عليه السلام sentiasa ada bersama. Nabi Y’aqub عليه السلام tidak membiarkan Nabi Yusuf عليه السلام bersendirian bersama dengan abang-abang baginda.

Nota Tajwid: Asal perkataan لا تَأمَنّا ialah لا تَأمَنُنَا ‘Laa tak-ma-nu-na‘, yang bermaksud, “Engkau tidak percayakan kami.” Tetapi telah digabungkan kedua-dua ن itu menjadi satu ن sahaja yang ada syaddah.

Sebab itulah ketika membaca, kita perlu memuncungkan bibir sewaktu nun sabdu (macam hendak cium orang), seolah-olah kita hendak sebut ‘tak-ma-nu-na’ tetapi ‘nu’ itu tidak disebut. Ia digantikan dengan muncung.

Maka jadilah Laa Tak-man(muncung)na. Dari segi bacaan tiada beza. Cuma perlu buat isyarat mulut muncung tu. Kaedah ini dipanggil Al-Isymam الإشمام.

 

وَإِنّا لَهُ لَنٰصِحونَ

padahal sesungguhnya kami adalah orang-orang yang mengingini kebaikan baginya.

Mereka sekarang mengaku yang mereka berniat baik terhadap Nabi Yusuf عليه السلام, adik mereka. Apabila ada takdim pada kalimah لَهُ (didahulukan dan bukan dalam format bahasa Arab yang biasa), ia hendak menekankan yang kononnya mereka mengatakan Nabi Yusuf عليه السلام itu seorang yang rapat dengan mereka yang mereka sayang dan kononnya hendak mengatakan yang mereka sebenarnya prihatin dengan Nabi Yusuf عليه السلام. Kita tahu dari kisah mereka yang sebenarnya mereka tidak begitu, bukan?


 

Ayat 12: Sekarang mereka menyatakan apa yang mereka hendak Nabi Ya’qub lakukan.

أَرسِلهُ مَعَنا غَدًا يَرتَع وَيَلعَب وَإِنّا لَهُ لَحٰفِظونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Send him with us tomorrow that he may eat well and play. And indeed, we will be his guardians.”

(MALAY)

Biarkanlah dia pergi bersama kami besok pagi, agar dia (dapat) makan-makan dan (dapat) bermain-main, dan sesungguhnya kami pasti menjaganya”.

 

أَرسِلهُ مَعَنا غَدًا

Biarkanlah dia pergi bersama kami esok pagi,

Ini adalah dialog Nabi Ya’qub عليه السلام dan anak-anaknya. Mereka meminta Nabi Ya’qub عليه السلام biarkan Nabi Yusuf عليه السلام bermain dengan mereka esok. Mereka hendak keluar dari rumah dan bergembira dan mereka kata, biarlah Nabi Yusuf عليه السلام ikut mereka kali ini.

 

يَرتَع وَيَلعَب

agar dia (dapat) makan-makan dan (dapat) bermain-main,

Kalimah يَرتَع digunakan apabila binatang ternak makan. Binatang ternak makan dengan enak dan banyak. Digunakan di sini kerana mereka hendak berkata yang esok Nabi Yusuf عليه السلام dapat makan sedap-sedap dengan mereka. Mereka akan gembirakan Nabi Yusuf عليه السلام dengan makanan.

Bukan itu sahaja, Nabi Yusuf عليه السلام akan dapat bermain dan bergembira dengan mereka. Maknanya mereka hendak bawa Nabi Yusuf عليه السلام berkelah dengan mereka. Ini adalah rancangan mereka untuk membawa Nabi Yusuf عليه السلام jauh daripada Nabi Ya’qub عليه السلام.

 

وَإِنّا لَهُ لَحٰفِظونَ

dan sesungguhnya kami pasti menjaganya”.

Dan untuk melembutkan hati Nabi Ya’qub عليه السلام, mereka berjanji akan menjaga Nabi Yusuf عليه السلام dengan baik – Sekali lagi kita lihat ada takdim pada kalimah لَهُ. Ini kerana mereka hendak menekankan yang mereka akan jaga dia dengan baik-baik sangat, kononnya.

Mereka cakap begini supaya dapat menenangkan hati Nabi Ya’qub عليه السلام supaya baginda membenarkan Nabi Yusuf عليه السلام mengikut mereka dalam rancangan mereka itu.


 

Ayat 13:   Ayat ini merupakan balasan jawapan daripada Nabi Ya’qub عليه السلام. Hebat jawapan daripada Nabi Ya’qub عليه السلام ini. Kita akan lihat bagaimana ada dua emosi di dalam ayat ini.

قالَ إِنّي لَيَحزُنُني أَن تَذهَبوا بِهِ وَأَخافُ أَن يَأكُلَهُ الذِّئبُ وَأَنتُم عَنهُ غٰفِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Jacob] said, “Indeed, it saddens me that you should take him, and I fear that a wolf would eat him while you are of him unaware.”

(MALAY)

Berkata Ya’qub: “Sesungguhnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkanku dan aku khawatir kalau-kalau dia dimakan serigala, sedang kamu lengah dari padanya”.

 

قالَ إِنّي لَيَحزُنُني أَن تَذهَبوا بِهِ

Berkata Ya’qub: “Sesungguhnya kepergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkanku

Emosi yang pertama yang disebut oleh Nabi Ya’qub عليه السلام adalah kesedihan.

Kenapa baginda kata baginda ‘sedih’? Ini agak pelik kerana sedih itu selalunya untuk perkara yang telah berlaku. Pada waktu dialog ini berlaku, Nabi Yusuf عليه السلام belum lagi pergi bersama mereka. Ini kerana baginda sudah tahu yang perkara ini tidak dapat dielakkan dari berlaku dan baginda sudah siap sedia sedih kerana Nabi Yusuf عليه السلام tidak akan bersamanya lagi.

Walaupun mereka belum buat lagi, tetapi baginda sudah tahu niat mereka. Ini menunjukkan kebijaksanaan baginda yang dapat baca apa kehendak anak-anaknya itu. Manakan tidak baginda sangsi, sedangkan dahulu tidak pernah pun mereka hendak berbuat baik dan sekarang tiba-tiba hendak buat baik pula – mesti ada udang di sebalik batu; dan nampak sangat mereka beriya-iya hendak bawa Nabi Yusuf عليه السلام. Ini menunjukkan mesti ada rancangan mereka yang tidak baik.

 

وَأَخافُ أَن يَأكُلَهُ الذِّئبُ

dan aku khawatir kalau-kalau dia dimakan serigala,

Ini adalah emosi baginda yang kedua: takut. Takut adalah untuk perkara yang belum berlaku lagi.

Lihat kalimah yang digunakan: apabila digunakan الذِّئبُ, dengan alif lam makrifah, ia bermakna Ya’qub عليه السلام kenal serigala itu (kerana alif lam makrifah digunakan untuk sesuatu yang dikenali – spesifik). Ini mungkin kerana Nabi Ya’kub عليه السلام tahu yang kawasan yang mereka hendak bawa itu ada banyak serigala. Seolah-olah baginda sudah tahu tetapi baginda tidak bercakap dengan jelas kepada mereka.

Boleh juga bermakna الذِّئبُ itu ditujukan sebagai isyarat kepada mereka kerana baginda tahu yang abang-abangnya itu akan jadi seperti ‘serigala’ untuk membaham dan menyakiti Nabi Yusuf عليه السلام.

Kalau ikutkan, baginda tidak mahu mereka ambil Nabi Yusuf عليه السلام pergi bersama mereka, tetapi kita telah baca dari kalimah لَيَحزُنُني itu yang Nabi Ya’qub عليه السلام sudah dapat agak. Tetapi tidaklah baginda tahu dengan pasti kerana baginda tidak tahu perkara ghaib. Walaupun baginda Nabi, tapi baginda tidak tahu perkara ghaib. Ini kerana kalau baginda tahu dengan pasti apakah yang mereka akan lakukan, tentu baginda tidak membenarkan mereka bawa Yusuf عليه السلام bersama.

Anak-anaknya itu menangkap kata-kata Nabi Ya’qub عليه السلام ini dan mereka akan menggunakannya sebagai alasan kehilangan Nabi Yusuf عليه السلام nanti.

 

وَأَنتُم عَنهُ غٰفِلونَ

sedang kamu lengah dari padanya”.

Kalimah غافِلونَ bermaksud tidak tahu apa yang terjadi – ghaflah, tidak beri perhatian. Iaitu mereka tidak jaga Nabi Yusuf عليه السلام dengan sebenarnya.

Sememangnya mereka tidak akan tahu apa yang terjadi kepada Nabi Yusuf عليه السلام nanti. Ini kerana selepas mereka tinggalkan baginda dalam telaga itu, mereka tidak tahu dengan nasib Nabi Yusuf عليه السلام, bukan? Mereka tidak sangka yang Nabi Yusuf عليه السلام nanti akan menjadi pembesar dan mereka datang berjumpa dengan baginda dan mereka tidak kenal baginda.


 

Ayat 14: Nabi Ya’qub عليه السلام telah menyebut kerisauan baginda, tetapi anak-anaknya itu tidak mahu mengalah. Mereka tetap berhujah lagi. Sememangnya mereka beriya-iya sungguh.

قالوا لَئِن أَكَلَهُ الذِّئبُ وَنَحنُ عُصبَةٌ إِنّا إِذًا لَّخٰسِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “If a wolf should eat him while we are a [strong] clan, indeed, we would then be losers.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Jika dia benar-benar dimakan serigala, sedang kami golongan (yang kuat), sesungguhnya kami kalau demikian adalah orang-orang yang merugi”.

 

قالوا لَئِن أَكَلَهُ الذِّئبُ وَنَحنُ عُصبَةٌ

Mereka berkata: “Jika dia benar-benar dimakan serigala, sedang kami golongan (yang kuat), 

Nabi Ya’qub عليه السلام cakap tentang kesedihan baginda dan ketakutan kalau Nabi Yusuf عليه السلام dimakan serigala. Tetapi anak-anaknya itu cuma dapat jawab bahagian serigala sahaja; kerana mereka tentu tidak boleh hendak halang baginda daripada merasa sedih.

Mereka hendak berkata, tidak mungkin serigala hendak makan sedangkan mereka ramai dan kuat. Memang tidak patut kalau serigala dapat mencederakan Nabi Yusuf عليه السلام sedangkan mereka ramai.

 

إِنّا إِذًا لَّخٰسِرونَ

sesungguhnya kami kalau demikian adalah orang-orang yang merugi”.

Dan kalau benar terjadinya sebegitu, tentu mereka jadi orang yang rugi. Tentu mereka lemah sangat. Maksud mereka: tidak mungkin ia akan jadi begitu, wahai ayahanda.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 20 Mac 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Surah Yusuf Ayat 5 – 8 (Hubungan anak dan bapa)

Ayat 5:

قالَ يٰبُنَيَّ لا تَقصُص رُءياكَ عَلىٰ إِخوَتِكَ فَيَكيدوا لَكَ كَيدًا ۖ إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “O my son, do not relate your vision to your brothers or they will contrive against you a plan. Indeed Satan, to man, is a manifest enemy.

(MALAY)

Ayahnya berkata: “Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka merancang rancangan terhadapmu. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia”.

 

Lihatlah apa kata Nabi Ya’qub عليه السلام dalam ayat ini. Kita selalunya tidak layan sangat mimpi budak-budak, bukan? Tetapi lihatlah bagaimana Nabi Ya’qub عليه السلام melayan dan mendengar apa yang disampaikan oleh anaknya itu. Ini menunjukkan yang baginda adalah seorang ayah yang baik dan kita kena perhatikan dan cuba untuk menirunya dengan melayan anak-anak kita dengan sebaik mungkin.

Ini penting kerana kalau dari waktu mereka kecil kita tidak layan mereka, nanti bila mereka sudah besar, jangan hairan dan mengeluh kalau mereka tidak mahu bercakap dengan kita lagi. Ini kerana semasa mereka memerlukan kita, kita tidak layan mereka sebaik-baiknya, maka balasannya nanti, apabila kita memerlukan mereka, mereka sudah tidak mahu melayan kita lagi.

Ini kerana mereka berasa jauh sahaja dengan kita kerana semasa mereka kecil, kita tidak ambil perhatian dengan perasaan dan kehendak mereka. Ini adalah pengajaran yang amat penting untuk kita perhatikan.

Dan lihatlah juga Nabi Yusuf عليه السلام ini, baginda terus pergi kepada ayahnya untuk menceritakan apa yang telah berlaku untuk mendapatkan nasihat baginda. Ini juga hebat kerana selalunya kalau kita lihat, perkara ini tidak berlaku sekarang. Selalunya seorang anak itu tidak mengadu kepada ayahnya kerana selalunya mereka akan pergi mengadu kepada emak mereka. Kerana selalunya ayah garang dan tidak melayan anaknya, bukan?

Ini menunjukkan kepada kita, Nabi Ya’qub عليه السلام adalah seorang yang pandai menjaga anaknya sampai anaknya sendiri rasa senang dan selesa untuk berjumpa dan mengadu dengannya. Oleh itu Nabi Ya’qub ini adalah ‘model contoh’ untuk seorang ayah. Kita kena belajar apa yang baginda lakukan dan cuba mencontohi baginda.

 

قالَ يٰبُنَيَّ

Ayahnya berkata: “Hai anakku, 

Lihatlah kalimah yang Nabi Ya’qub gunakan untuk memanggil anaknya: يا بُنَيَّ (wahai anakku yang tercinta). Ini adalah panggilan lembut seorang ayah kepada anaknya – panggilan manja. Maka begitulah kita juga kena gunakan kalimah yang lebih kurang sama dengan anak kita. Cakap dengan lembut, dengan penuh kasih sayang dengan mereka.

Jangan mengeluh kalau anak mengganggu kita – mungkin kita sedang bercakap waktu itu, sedang menyelesaikan pekerjaan penting, sedang kepenatan, sedang menonton TV, sedang kepeningan dengan entah apa masalah, sedang kepenatan – apa sahaja, tetaplah panggil anak kita dengan panggilan sayang dan kasih. Jangan tengking dan marahkan mereka.

 

لا تَقصُص رُءياكَ عَلىٰ إِخوَتِكَ

janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, 

Nabi Ya’qub عليه السلام menasihati Nabi Yusuf عليه السلام supaya jangan beritahu kepada adik beradiknya kerana takut mereka akan dengki. Takut mereka akan buat rancangan yang akan menyusahkan Nabi Yusuf عليه السلام.

Maknanya, Nabi Ya’qub عليه السلام sudah tahu sebelum adanya mimpi itu, abang-abangnya sudah mengganggu Nabi Yusuf عليه السلام kerana tidak suka kepadanya. Kalau mereka tahu baginda dapat mimpi seperti itu, maka lagilah mereka akan bertambah dengki lagi dengan baginda. Tentu akan bertambah-tambah kebencian mereka terhadapnya.

 

فَيَكيدوا لَكَ كَيدًا

maka mereka merancang rancangan terhadapmu.

Allah ‎ﷻ menggunakan ‘كيد’ dalam ayat ini dan bukan ‘مكر’. Keduua-duanya digunakan dalam bahasa Arab sebagai ‘rancangan’, tetapi tidak sama di antara keduanya. Kalimah مكر adalah rancangan jahat untuk merosakkan seseorang. Dan kalau كيد pula, ia boleh digunakan mungkin rancangan untuk kebaikan ataupun untuk kejahatan.

Ini menunjukkan  yang Nabi Ya’qub عليه السلام tidak pasti apa yang abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام itu akan buat. Cuma baginda suruh Nabi Yusuf عليه السلام berjaga-jaga sahaja. Ini menunjukkan kebijaksanaan baginda.

Mimpi itu bererti bahawa kelak semua saudara Yusuf عليه السلام akan tunduk dan menghormatinya dengan penghormatan yang sangat besar; kerana kelak mereka akan bersujud kepadanya demi menghormati, mengagungkan, dan memuliakannya.

Maka Ya’qub عليه السلام merasa khawatir jika Yusuf عليه السلام menceritakan mimpinya itu kepada saudara-saudaranya, kerana mereka pasti akan merasa dengki terhadapnya, lalu mereka akan membuat tipu daya untuk membinasakannya.

Tentang mimpi, Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

Dari Abu Qatadah رضي الله عنه, dari Rasulullah ﷺ sabdanya: 

“Mimpi yang baik datang dari Allah ‎ﷻ, dan mimpi yang buruk dari syaitan. Maka siapa bermimpi yang dibencinya, hendaklah dia meludah ke kiri, kemudian berlindung kepada Allah ‎ﷻ dari kejahatan syaitan, nescaya tidak akan membahayakannya. Dan jangan menceritakan mimpi itu kepada siapa pun. Maka siapa bermimpi dengan mimpi yang baik, bergembiralah dan jangan mencerita-ceritakannya kecuali kepada orang yang dikasihi.”

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2109.

Ia menunjukkan yang baginda sedar dengan realiti semasa. Baginda sedar yang tidak semestinya anak-anaknya itu walaupun anak seorang Nabi, mereka itu semuanya baik sahaja. Ini mengajar kita yang kalau kita sudah cuba mendidik anak kita dengan ajaran baik pun, tidak semestinya mereka akan menjadi baik.

Lihatlah Nabi Ya’qub عليه السلام ini – baginda adalah seorang Nabi namun anak baginda ada yang tidak baik. Begitu juga Nabi Nuh عليه السلام yang ada anak yang tidak mahu ikut baginda. Kalau tidak sedar tentang perkara inilah yang menyebabkan ramai ibubapa marah kalau guru di sekolah marahkan anak mereka. Mereka kata anak mereka baik, di rumah senyap sahaja, tidak mungkin di sekolah berperangai buruk pula? Itu adalah perasan mereka sahaja.

Ini juga mengajar bahawa kita tidak boleh mengawal orang lain dan kita kenalah bersabar sahaja dengan mereka. Memang kita tidak dapat kawal segala apa yang orang di bawah kita lakukan, bukan? Masa anak kita kecil, bolehlah kalau kita hukum mereka, tahan mereka, paksa mereka, tetapi kalau mereka sudah besar sedikit, bagaimana?

Nanti apabila mereka sudah besar, kita akan sedar yang kita hanya boleh nasihatkan mereka sahaja dan berikan ajaran sebaik mungkin, tetapi hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang mampu menjaga mereka dan berikan hidayah kepada mereka, bukan kita. Maka terimalah hakikat yang kita memang tidak boleh kawal mereka dan ini kadang-kadang susah untuk kita terima.

Ayat ini ada kaitan dengan dugaan Nabi Muhammad ﷺ. Baginda juga diganggu oleh kaum keluarga baginda semasa berdakwah di Mekah. Ini kerana yang menentang baginda termasuk ahli keluarga baginda sendiri. Jadi biasa sahaja kalau adik beradik dan ahli keluarga kita sendiri tidak bersama dengan kita dan tidak suka dengan dakwah kita. Ini adalah dugaan.

 

إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُبينٌ

Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia

Nabi Ya’qub عليه السلام takut syaitan akan mengambil kesempatan dengan mimpi itu pula nanti. Ini kerana syaitan akan membisikkan cadangan-cadangan jahat ke dalam hati abang-abangnya nanti. Syaitan tidak akan melepaskan peluang kerana dia memang amat memusuhi keturunan Bani Adam dan akan berbuat apa sahaja untuk menyesatkan manusia.


 

Ayat 6:

وَكَذٰلِكَ يَجتَبيكَ رَبُّكَ وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأويلِ الأَحاديثِ وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ وَعَلىٰ آلِ يَعقوبَ كَما أَتَمَّها عَلىٰ أَبَوَيكَ مِن قَبلُ إِبرٰهيمَ وَإِسحٰقَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ عَليمٌ حَكيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And thus will your Lord choose you and teach you the interpretation of narratives [i.e., events or dreams] and complete His favor upon you and upon the family of Jacob, as He completed it upon your fathers before, Abraham and Isaac. Indeed, your Lord is Knowing and Wise.”

(MALAY)

Dan demikianlah Tuhanmu, memilih kamu (untuk menjadi Nabi) dan diajarkan-Nya kepadamu sebahagian dari ta’bir mimpi-mimpi dan disempurnakan-Nya nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Ya’qub, sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmat-Nya kepada dua orang bapamu sebelum itu, (iaitu) Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

 

وَكَذٰلِكَ يَجتَبيكَ رَبُّكَ

Dan kerana kesempurnaan inilah, Tuhanmu telah memilihmu

Kalimah كَذٰلِكَ dalam ayat ini diterjemahkan: ‘kerana kesempurnaan inilah’, kerana ia bukanlah ayat perbandingan kerana tidak ada apa yang hendak dibandingkan.

Nabi Ya’qub menggunakan kalimah يَجتَبيكَ (memilihmu). Ada maksud tertentu kenapa ijtiba’ ini berbeza dengan kalimah lain yang digunakan untuk ‘pemilihan’. Memang ada lagi kalimah-kalimah lain. Sebagai contoh, kalimah ‘ikthiar’ itu digunakan kalau memilih berdasarkan kebaikan. Tetapi kalau digunakan kalimah ijtiba’, ia bermaksud pemilihan berdasarkan kepada kebolehan.

Ini seperti mengambil orang untuk bekerja dengan kita – ini kerana mereka ada kelebihan dan kebolehan untuk melakukan kerja itu. Akan tetapi, apa yang Nabi Yusuf عليه السلام telah lakukan sampai baginda dikatakan ada kebolehan itu? Kalau hendak kirakan, baginda tidak berbuat apa-apa pun lagi. Memang baginda akan ada kelebihan dan itu bukan setakat dapat mimpi sahaja kerana dalam surah ini nanti kita akan lihat bagaimana orang kafir pun mendapat mimpi yang benar juga.

Walaupun baginda belum lagi mendapat kelebihan-kelebihan itu tetapi sebenarnya Nabi Ya’qub عليه السلام dapat lihat yang anaknya itu ada kelebihan kerana akhlaknya baik. Jadi baginda dapat memahami tentang mimpinya itu. Maknanya baginda telah nampak kebijaksanaan pada anaknya itu.

Dalam ayat ini tentang mimpi yang pertama. Nanti akan ada dua kisah lagi tentang mimpi. Iaitu mimpi raja dan mimpi dua orang banduan dalam penjara. Kedua mereka itu nanti akan tanya apakah maksud mimpi mereka itu. Tetapi lihatlah bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام tidak minta ditadbir mimpinya sendiri dan ini menunjukkan yang baginda tahu apakah maksud mimpinya itu. Maknanya, baginda sudah ada kelebihan mentadbir mimpi walaupun baginda masih kecil lagi.

 

وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأويلِ الأَحاديثِ

dan diajarkan-Nya kepadamu sebahagian dari ta’wil kata-kata 

Selalu apabila digunakan kalimah تَأويلِ untuk Nabi Yusuf عليه السلام ini dikatakan tentang kelebihan baginda meramal maksud mimpi. Tetapi cuba lihat kembali bagaimana kalimah yang digunakan adalah الأَحاديثِ (kata-kata). Oleh itu, baginda boleh mengetahui maksud bagi sesuatu peristiwa, sesuatu perkara yang berlaku – bukan setakat mimpi sahaja. Kalau ada orang bercakap dengan baginda, baginda boleh tahu apakah maksud yang disampaikan. Dan ini adalah mukjizat Nabi Yusuf عليه السلام.

Dari segi bahasa, ada 3 jenis kalimah yang digunakan untuk interpretasi sesuatu yang susah dan kompleks untuk difahami:

  • takwil – digunakan dalam bentuk umum.
  • ifta’ (dari sinilah menjadi kalimah ‘mufti’ iaitu orang yang ada ilmu untuk mengambil hukum dari persoalan manusia)
  • tadbir – Ini digunakan khusus untuk mimpi.

Kita lihat bagaimana Nabi Ya’qub عليه السلام menggunakan kalimah تَأويلِ, maknanya bukan tadbir mimpi sahaja, tetapi Nabi Yusuf عليه السلام boleh tahu mem’baca manusia’ – kerana الأَحاديثِ tidak bermaksud mimpi sahaja, tetapi termasuk dengan percakapan juga. Maksudnya apabila baginda jumpa orang dan tengok sedikit sahaja, baginda akan tahu apakah yang tersembunyi dan yang tersirat. Bukanlah baginda boleh membaca hati orang pula, tetapi dari tanda-tanda yang ada, baginda boleh agak.

Tentang mimpi yang benar, orang Islam pun boleh dapat mimpi yang benar. Iaitu akan diberikan kepada mereka yang benar dan jujur dalam kehidupan mereka. Tetapi kena berhati-hatilah kerana ramai yang menyalahgunakan mimpi ini. Ada golongan tarekat dan sufi yang menggunakan mimpi untuk membenarkan ajaran sesat mereka.

Mereka reka amalan dan kata mereka dapat dalam mimpi. Entah jin mana yang datang dalam mimpi mereka tetapi mereka kata itu adalah wali. Atau mereka kata Nabi Muhammad ﷺ sendiri yang ajar sesuatu amalan dalam mimpi mereka. Padahal yang ajarkan kepada mereka adalah syaitan yang menjelma dalam bentuk orang alim atau Nabi Muhammad ﷺ. Bagaimana mereka boleh mendapat mimpi yang benar, sedangkan amalan mereka banyak yang syirik dan bidaah?

 

وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ وَعَلىٰ آلِ يَعقوبَ

dan disempurnakan-Nya nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Ya’qub,

Kalimat يُتِمُّ نِعمَتَهُ عَلَيكَ (disempurnakan nikmat-Nya atasmu) maksudnya Allah ‎ﷻ akan menyempurnakan nikmat dengan melantik Nabi Yusuf عليه السلام menjadi Nabi.

Kalimat عَلىٰ آلِ يَعقوبَ (atas keluarga Ya’qub عليه السلام) bermaksud keluarga mereka pun akan mendapat berkat. Ini kerana kejadian yang terjadi itu bukan untuk Nabi Yusuf عليه السلام sahaja tetapi untuk keluarga mereka juga. Ini menunjukkan yang Nabi Ya’qub عليه السلام berbangga dengan anaknya itu. Dan baginda sudah nampak yang masa hadapan Nabi Yusuf عليه السلام akan cerah.

 

كَما أَتَمَّها عَلىٰ أَبَوَيكَ مِن قَبلُ إِبرٰهيمَ وَإِسحٰقَ ۚ

sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmat-Nya kepada dua orang bapamu sebelum itu, (iaitu) Ibrahim dan Ishak.

Kelebihan yang diberikan kepada baginda itu adalah kesinambungan dari kelebihan yang telah diberikan kepada keluarga mereka dari zaman Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ishak عليه السلام lagi. Mereka turun temurun mendapat pangkat kenabian itu.

Oleh itu, dalam ayat ini, Nabi Ya’qub عليه السلام memberi amaran dan dalam masa yang sama, memberi berita gembira kepada Nabi Yusuf عليه السلام. Ini mengajar kita supaya jangan bagi amaran dan marah sahaja kepada anak kita. Kita janganlah negatif sangat dengan anak-anak. Dan dalam perkara ini ada kesilapan dalam cara didikan ramai ibubapa.

Kalau kita perhatikan, ramai yang selalu merungut sahaja tentang anak-anak mereka: “Kenapa kamu tak jadi macam anak orang sebelah?”, “Kenapa kamu tak jadi pandai macam sepupu kamu?” dan sebagainya. Kata-kata seperti ini semua akan memusnahkan jati-diri budak itu. Sepatutnya kalau kita hendakkan anak kita menjadi seseorang yang yakin dengan diri dia sendiri dan menjadi lebih baik, kenalah bagi semangat kepada mereka.

Kita dahulu pun bukannya hebat sangat, bukan? Semua daripada kita memerlukan masa untuk meningkat naik dari kecil menuju ke usia remaja. Dalam meningkat naik itu, memang kita amat memerlukan sokongan dari orang-orang yang kita hormati seperti ibubapa kita. Maka ibubapa kenalah belajar cara-cara psikologi dengan anak-anak supaya didikan yang diberikan lebih baik.

 

إِنَّ رَبَّكَ عَليمٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ maha tahu apakah yang akan diberikan kepada Yusuf عليه السلام. Allah ‎ﷻ dengan kebijaksaan-Nya akan melakukan sesuatu yang baik bagi baginda.

Habis Ruku’ 1 dari 12 ruku’ surah ini.


 

Ayat 7:  Jadi inilah ringkasan permulaan kisah Nabi Yusuf عليه السلام dalam surah ini. Surah Yusuf mengandungi 4 Dakwa penting:

1. Tauhid – Allah ‎ﷻ sahaja yang Maha Mengetahui perkara ghaib. Surah ini adalah kisah Nabi Yusuf عليه السلام dan perkara tauhid yang kita kena pegang dalam kisah ini adalah: Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib. Dari kisah yang panjang itu, kita dapat tahu yang Nabi Yusuf عليه السلام dan Nabi Ya’qub عليه السلام pun tidak mengetahui tentang perkara ghaib walaupun mereka itu para Nabi.

2. Tauhid – Allah ‎ﷻ sahaja yang ada kuasa mengurus. Hanya Allah ‎ﷻ yang mengurus dan mentadbir segala sesuatu dan Dia tidak memberi kepada selain-Nya kuasa mengurus itu melainkan dalam asbab yang dibenarkan.

Dalam surah ini kita akan baca pelbagai ikhtiar dilakukan oleh Nabi Ya’qub عليه السلام dan lain-lain karektor dalam surah ini tetapi yang berlaku hanyalah dalam kehendak Allah ‎ﷻ sahaja. Dalam surah ini ada 15 keadaan yang berlaku pada Nabi Yusuf عليه السلام dalam keadaan yang berbeza-beza untuk menceritakan dua perkara ini – iaitu Allah ‎ﷻ yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan Dialah sahaja yang Maha Berkuasa.

3. Risalah – Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi benar yang dipilih oleh Allah ‎ﷻ. Bukti baginda adalah Nabi, baginda dapat memberitahu kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini kerana baginda menerima wahyu dari Allah ‎ﷻ.

4. Akhirat – Tentang orang yang menderita untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Untuk mereka itu akhirnya akan berjaya. Walaupun mereka susah dalam kehidupan mereka, tetapi kesudahannya mereka akan berjaya di akhirat kelak.

لَقَد كانَ في يوسُفَ وَإِخوَتِهِ آيٰتٌ لِّلسّائِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Certainly were there in Joseph and his brothers signs for those who ask, [such as]

(MALAY)

Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.

 

لَقَد كانَ في يوسُفَ وَإِخوَتِهِ آيٰتٌ

Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya

Dalam ayat ini, ada dua karektor sedang disebut: Nabi Yusuf عليه السلام dan adik beradiknya. Abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام tidak suka kepada baginda. Mereka tidak suka Yusuf عليه السلام pergi kepada bapa mereka dan rapat sangat. Dari sini, kita dapat agak yang mereka pun nampaknya tidak baik dengan bapa mereka sendiri. Ini adalah kerana mereka tidak suka cara bapanya melayan Yusuf عليه السلام.

Dan beginilah masalah yang dihadapi oleh masyarakat: kadang-kadang mereka menyalahkan adik beradik yang tidak ada masalah dalam keluarga. Mereka merungut dan berkata adik itu yang disayangi, bukannya mereka. Dan mereka jadikan itu sebagai alasan untuk mereka menjadi jahat, nakal dan pemberontak (dengan alasan kerana mak ayah aku tidak sayangkan aku).

Fikiran mereka keliru sangat sampaikan mereka berasa masalah mereka bermula dengan anak yang seorang itu. Mereka jadikan adik beradik mereka sebagai ‘kambing hitam’ untuk kesilapan dalam kehidupan mereka sendiri.

Akan tetapi, tidak dinafikan yang kadang-kadang benar juga ada ibubapa yang pilih kasih. Ini pun tidak dapat dipersalahkan kerana perangai anak-anak pun lain-lain – ada banyak jenis anak-anak kita ini. Dan normal kalau anak itu baik, tentu mak ayah akan sayang kepada anak itu lebih lagi.

Maka kenalah pandai ambil hati emak dan ayah – ikutkan kata mereka kalau nak disayangi oleh mereka. Yang jadi masalahnya kalau menyalahkan orang lain sahaja di atas kekurangan kita. Kalau seorang yang baik, dia akan lihat kepada dirinya sendiri dulu, sebelum hendak menyalahkan orang lain.

Jadi ada tanda pada kisah mereka ini. Bukan sahaja dari Nabi Yusuf عليه السلام tetapi juga dari adik beradiknya sekali. Dalam kisah mereka terdapat pengajaran yang kita kena ambil tahu. Apakah tanda itu? Itulah tanda bahawa Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa dalam setiap perkara.

 

لِّلسّائِلينَ

bagi orang-orang yang bertanya.

Yang dimaksudkan ‘bertanya’ dalam ayat ini adalah orang Yahudi. Mereka yang menimbulkan persoalan tentang Bani Israil dan Allah ‎ﷻ sedang jawab kepada mereka. Kepada mereka pun akan mendapat pengajaran – tentang bagaimana Bani Israil dapat berada di Mesir (sedangkan mereka asalnya dari tempat lain) dan kisah ini sepatutnya cukup bagi mereka untuk masuk Islam, kerana kisah ini hebat.

Kisah dan kandungan surah ini menjawab persoalan yang dikemukakan untuk golongan Yahudi pada waktu itu untuk membantah kerasulan Nabi Muhammad ﷺ. Musyrikin Mekah telah bertanya kepada puak Yahudi bagaimana hendak berhujah dan menolak Nabi Muhammad ﷺ. Maka puak Yahudi suruh tanya tentang kisah Nabi Yusuf عليه السلام kerana kisah itu mereka tahu ada dalam kitab mereka sahaja – orang Arab tentu tidak tahu.

Dan apabila Nabi Muhammad ﷺ boleh menceritakan tentang Nabi Yusuf عليه السلام, maka ini menjadi hujah dan dalil bahawa baginda memang seorang Rasul – kerana kisah ini bukanlah dari sejarah bangsa Arab, maka tentu Nabi Muhammad ﷺ mendapat dari wahyu Allah ‎ﷻ. Maka tentulah Nabi Muhammad ﷺ itu menjadi dalil bahawa memang benar baginda seorang Rasul.


 

Ayat 8: Ini adalah keadaan ke 2. Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa apa yang Nabi Ya’qub عليه السلام bimbangkan itu tetap tidak dapat disekat. Walaupun baginda sudah memberikan nasihat kepada Yusuf عليه السلام supaya jangan menyebut apa yang baginda mimpikan itu kerana takut adik beradiknya tahu dan ambil tindakan, perkara itu tetap juga terjadi. Kerana itu semua ada dalam taqdir Allah ‎ﷻ dan Allah ‎ﷻ yang mahukan ia terjadi begitu.

إِذ قالوا لَيوسُفُ وَأَخوهُ أَحَبُّ إِلىٰ أَبينا مِنّا وَنَحنُ عُصبَةٌ إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When they said, “Joseph and his brother¹ are more beloved to our father than we, while we are a clan. Indeed, our father is in clear error.

  • Benjamin, who was born of the same mother as Joseph.

(MALAY)

(Iaitu) ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) lebih dicintai oleh ayah kita dari pada kita sendiri, padahal kita (ini) adalah satu golongan (yang kuat). Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata.

 

إِذ قالوا لَيوسُفُ

ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf

Dalam ayat ini, ada tawkid (huruf ل pada لَيوسُفُ) pada Nabi Yusuf عليه السلام, menunjukkan penekanan dari mereka – kerana mereka benci sungguh kepadanya. Mereka memang ada iri hati terhadapnya. Memang selalunya kalau anak kesayangan emak atau ayah tidak akan disenangi oleh adik beradik yang lain.

 

وَأَخوهُ

dan saudara kandungnya

Yang dimaksudkan adalah adiknya yang bernama Bunyamin. Mereka ada 12 adik beradik. Tetapi mereka datang dari berlainan emak. 10 dari mereka dari satu emak manakala Nabi Yusuf عليه السلام adalah satu emak dengan adiknya Bunyamin.

 

أَحَبُّ إِلىٰ أَبينا مِنّا

lebih dicintai oleh ayah kita dari pada kita sendiri,

Mereka sudah tahu yang bapa mereka lebih sayangkan Nabi Yusuf عليه السلام dan Bunyamin. Tetapi lihat bagaimana susunan ayat ini: ‘Yusuf dan adiknya lebih disayangi’, bukannya: ‘ayah kita lebih sayang mereka lagi’.  Ini menunjukkan ada penekanan pada Yusuf عليه السلام dan adiknya, bukannya Nabi Ya’qub عليه السلام.

Maknanya mereka lebih marah kepada Nabi Yusuf عليه السلام dan Bunyamin kerana mereka berdua adalah anak yang baik dan menjadikan mereka nampak teruk (bila ada yang baik, nampaklah mereka jadi teruk). Mereka lebih marah kepada Yusuf عليه السلام dan Bunyamin daripada mereka marah kepada Nabi Ya’qub عليه السلام.

Adakah Nabi Ya’qub عليه السلام bersalah kerana terlebih sayang kepada dua anaknya itu? Kita kena faham bahawa perasaan kasih Nabi Ya’qub عليه السلام itu adalah secara naluri biasa dan bukan kerana syar’i. Memang perasaan baginda sayang kepada dua beradik itu bukan dibuat-buat. Dan oleh kerana begitu, maka Nabi Ya’qub عليه السلام tidak bersalah. Kesalahan hanya berlaku apabila tidak berlaku adil dari segi pemberian.

Kenapa Nabi Ya’qub عليه السلام menyayangi Nabi Yusuf عليه السلام dan adiknya Bunyamin?

  1. Kerana keduanya masih kecil berbanding abang-abang tirinya. Mengikut sesetengah riwayat, ibu mereka berdua telah meninggal sewaktu mereka kecil lagi.
  2. Tambahan pula, Nabi Ya’qub عليه السلام telah mengetahui kedudukan Nabi Yusuf عليه السلام yang gemilang sama ada melalui ilham atau melalui wahyu.
  3. Di samping itu, kecantikan dan perwarakan Nabi Yusuf عليه السلام telah menarik perhatian Nabi Ya’qub عليه السلام.

 

وَنَحنُ عُصبَةٌ

padahal kita (ini) adalah satu golongan

Kalimah عُصبَةٌ bermaksud kumpulan yang kuat yang terdiri dari 5 – 10 orang. Dari kalimah inilah jadi asabiyyah – yang bermaksud perkauman yang melebihkan keturunan dan puak sendiri.

Abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام berasakan mereka lebih kuat kerana mereka lebih ramai dari Yusuf عليه السلام dan Bunyamin. Mereka rasa kekuatan kekeluargaan 10 orang mereka itu lebih kuat dan mereka rasa berlagak dengan kumpulan sendiri. Mereka rasa mereka patut lebih disayangi oleh bapa mereka.

Padahal Nabi Ya’qub عليه السلام lebih sayangkan dua adik beradik itu kerana memang bersifat dan berakhlak baik kalau dibandingkan dengan abang-abang mereka. Terutama sekali Nabi Yusuf عليه السلام yang bakal menjadi Nabi, maka tentu Nabi Ya’qub عليه السلام sayangkannya lebih lagi kerana akan meneruskan perjuangannya nanti.

 

إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata.

Sekarang mereka mengutuk ayah mereka pula. Mereka rasa ayahnya buat silap dengan lebih sayang kepada dua beradik itu. Begitulah sifat dengki manusia tidak ada batasan. Sudahlah mereka bencikan dua beradik itu, sekarang mereka salahkan ayah mereka pula.

Kalimah ضَلالٍ dalam ayat ini bukan bermaksud ‘sesat’, tetapi ‘silap’. Jangan kita silap terjemah pula kerana dalam ayat Qur’an yang lain, ada digunakan kalimah ضَلالٍ untuk membawa maksud ‘sesat’. Jadi kita kena pandai lihat kepada konteks ayat.

Begitulah bahayanya perasaan dengki dalam hati. Ia sampai boleh membawa kepada pembunuhan. Dengki juga menghilangkan pahala amal kebaikan seperti api memakan kayu api seperti disebut dalam hadith.

Nabi Muhammad ﷺ diriwayatkan bersabda: “Kedengkian memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Riwayat Abu Daud)

Alamat dengki:

  1. Tidak boleh melihat orang lain mendapat kesenangan.
  2. Merasa suka apabila melihat orang lain mendapat kesusahan, di mana mereka yang dengki akan berkata: “Padan muka dia”.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 April 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Surah Yusuf Ayat 1 – 4 (Kisah terhebat)

Pengenalan:

Para sahabat telah meminta kisah yang indah kepada Rasulullah ﷺ maka Allah ‎ﷻ turunkan Surah Yusuf ini. Yang menariknya, surah ini dari awal hingga akhirnya adalah kisah tentang Nabi Yusuf عليه السلام sahaja. Ini berlainan dengan surah-surah lain kerana kalau dalam surah lain, ada bercampur-campur banyak kisah.

Sebagai contoh, kisah Nabi Musa عليه السلام banyak dalam Al-Qur’an tetapi tidaklah diperuntukkan keseluruhan satu surah untuk kisahnya. Namun Surah Yusuf ini tidak putus dari awal hingga akhir adalah kisah tentang Nabi Yusuf عليه السلام sahaja. Ini adalah sesuatu yang hebat.

Secara ringkasnya, ada 4 perkara yang Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam surah ini. Oleh itu, surah ini mempunyai empat Dakwa:

  1. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang mengetahui perkara ghaib. Para Nabi pun tidak tahu. Maka ini adalah akidah yang kita kena pegang sentiasa. Jangan kita kata yang para Nabi pun tahu tentang perkara ghaib juga. Ini kita belajar dalam kisah-kisah para Nabi dalam surah ini.
  2. Allah ‎ﷻ berkuasa penuh di atas segala-galanya, bukan Nabi – sama ada semasa mereka hidup ataupun mati. Kuasa tasarruf (mengurus) hanya ada pada Allah ‎ﷻ sahaja. Terdapat kisah bermacam ikhtiar yang dibuat oleh Nabi Ya’qub, Nabi Yusuf, adik beradik Nabi Yusuf عليه السلام dan mereka yang lain dalam kisah ini tetapi apa yang berlaku adalah dengan izin dan kehendak Allah ‎ﷻ sahaja.
  3. Surah ini untuk menghiburkan hati Nabi Muhammad ﷺ. Ia diturunkan di Mekah. Ia memberitahu yang orang Mekah yang menentang Rasulullah ﷺ akhirnya akan mengalah sepertimana adik beradik Nabi Yusuf عليه السلام juga. Walaupun pada peringkat permulaannya mereka bersikap buruk terhadap Nabi Yusuf عليه السلام namun akhirnya mereka ikut nasihat baginda juga. Oleh itu Rasulullah ﷺ tidak perlu bimbang sangat dengan layanan Musyrikin Mekah itu – baginda akan menang akhirnya.
  4. Semua Nabi apabila dipilih menjadi Nabi tidak boleh hidup bebas tetapi mereka akan diuji dengan tugas. Mereka tidak boleh hidup seperti orang lain lagi kerana mereka itu mempunyai tugas yang amat besar. Mereka mesti menjalankan tugas mereka menyampaikan dakwah dan sepanjang masa itu mereka akan diuji. Begitu juga dengan umat yang mengaku mengikuti Nabi dan sanggup untuk menyambung kerja Nabi untuk berdakwah, maka, mereka juga akan diuji. Tetapi sebagaimana Allah ‎ﷻ selamatkan para Nabi, begitu juga Allah ‎ﷻ akan selamatkan mereka yang menyambung tugas para Rasul itu.

Ada satu lagi kisah tentang surah ini: ada orang Yahudi yang bertanyakan soalan kepada Nabi Muhammad ﷺ, iaitu “Kenapakah Bani Israil ada di Mesir dan kenapa mereka keluar dari Mesir?” Sebenarnya, mereka sengaja bertanyakan soalan untuk merendahkan Nabi Muhammad ﷺ. Maka Allah ‎ﷻ jawab soalan kenapa Bani Israil ada di Mesir dengan Surah Yusuf ini; dan tentang kenapa mereka meninggalkan Mesir, itu dijawab di dalam Surah Taha yang banyak menceritakan tentang Nabi Musa عليه السلام.

Surah ini Surah Makkiyyah. Ia diturunkan selepas kematian isteri baginda, Khadijah رضي الله عنها dan bapa saudaranya Abu Talib. Tahun kematian mereka dinamakan Tahun Kesedihan. Dan kena pula dengan nama Yusuf yang berasal dari أ س ف yang bermaksud ‘sedih’. Oleh kerana kesedihan yang amat sangat pada Nabi Muhammad ﷺ, maka, Allah ‎ﷻ menghiburkan baginda dengan menurunkan surah ini.

Allah ‎ﷻ menjadikan 15 keadaan yang berbeza dalam kisah ini dan kita akan kupaskan satu persatu nanti. Dalam Surah Hud sebelum ini, Dakwa kedua surah itu adalah hanya Allah ‎ﷻ yang mengetahui perkara ghaib dan kuasa tasarruf Allah ‎ﷻ meliputi segalanya. Surah Yusuf  ini pula menceritakan kisah Nabi Yusuf عليه السلام untuk membuktikan perkara itu. Allah ‎ﷻ memberikan contoh bagaimana dua sifat itu hanya ada pada Allah ‎ﷻ sahaja. Apabila diyakini kedua sifat Allah ‎ﷻ itu, maka barulah kita dapat terima dan yakin bahawa hanya Dia lah sahaja yang layak disembah.

Surah Hud menunjukkan bahawa tiada seorang pun walaupun seorang alim yang mengetahui perkara ghaib dan mempunyai kuasa tasarruf. Surah Yusuf ini pula membawakan kisah tentang Nabi Ya’qub عليه السلام yang tidak mempunyai kedua sifat tadi walaupun beliau seorang Rasul dan berketurunan Nabi.


 

Ayat 1: Walaupun surah ini panjang, namun dari segi Makro, ia boleh dibahagikan kepada 3 Perenggan sahaja. Ayat 1 & 2 adalah Perenggan Makro Pertama di mana Allah ‎ﷻ hendak menceritakan tujuan penurunan Al-Qur’an.

الر ۚ تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Yūsuf: (The Prophet) Joseph.

Alif, Lām, Rā.¹ These are the verses of the clear Book.

  • See footnote to 2:1.

(MALAY)

Alif, laam, raa. Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Qur’an) yang nyata (dari Allah).

 

الر

Alif, laam, raa.

Sekali lagi ada Huruf-huruf Muqatta’ah dalam ayat ini. Kita sudah bincangkan dengan panjang lebar dalam surah-surah yang lain tentangnya. Boleh rujuk kepada perbincangan dalam Surah Ghafir.

 

تِلكَ ءآيٰتُ الكِتٰبِ المُبينِ

Ini adalah ayat-ayat Kitab (Al Qur’an) yang nyata

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Al- ur’an ini adalah jelas nyata. Ia adalah jelas nyata kepada mereka yang mahu belajar sahaja. Kalau kita telah belajar tafsir Al-Qur’an, maka kita akan pasti bahawa Al-Qur’an ini jelas dari Allah ‎ﷻ dan bukannya rekaan Rasulullah ﷺ atau selainnya.

Dan apabila digunakan kalimah المُبينِ, bermakna dalam surah ini akan ada dalil naqli sahaja. Iaitu kisah-kisah yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ kepada kita. Kisah yang ada dalam surah ini diambil daripada wahyu dan bukan rekaan dari Rasulullah ﷺ.


 

Ayat 2:

إِنّا أَنزَلنٰهُ قُرءٰنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We have sent it down as an Arabic Qur’ān¹ that you might understand.

  • i.e., revealed in the Arabic language.

(MALAY)

Sesungguhnya Kami menurunkannya Al Qur’an dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya.

 

إِنّا أَنزَلنٰهُ قُرءٰنًا عَرَبِيًّا

Sesungguhnya Kami menurunkannya Al Qur’an dengan berbahasa Arab,

Al-Qur’an dari segi bahasa adalah ‘sesuatu yang banyak dibaca’ dan ini terbukti kerana Al-Qur’an yang ada di tangan kita sekarang ini banyak sekali dibaca malah dihafal oleh sangat ramai orang di seluruh dunia.

Dan Al-Qur’an itu telah diturunkan dalam bahasa Arab. Jadi kalau kita baca kitab terjemahan, itu bukanlah Al-Qur’an. Kita kena faham terdapat perbezaan di antara ‘terjemahan’ dan Al-Qur’an itu sendiri kerana Al-Qur’an itu hendaklah di dalam bahasa Arab. Terjemahan itu tidak mungkin tepat dan tidak akan ada terjemahan yang tepat kerana itu adalah salah satu pendapat sahaja tentang maksud satu-satu ayat Al-Qur’an kerana ayat Al-Qur’an ada banyak makna dan tidak mungkin dapat diterjemahkan sepenuhnya. Ini adalah kerana Al-Qur’an itu adalah bahasa yang kaya dan tidak mungkin dapat diterjemahkan dengan sempurna. Cuma kita gunakan kitab terjemahan itu sebagai panduan sahaja.

Apabila dikatakan Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab, ini bermakna yang Allah ‎ﷻ menurunkan terus Al-Qur’an itu di dalam bahasa Arab, maksudnya bukan menggunakan kalimah dari Nabi Muhammad ﷺ. Al-Qur’an itu sememangnya telah siap diturunkan dalam bahasa Arab dan bukanlah Nabi Muhammad ﷺ yang mengeluarkannya dalam bahasa Arab pula.

Dan ini berbeza dengan hadith. Memang hadith juga adalah wahyu juga tetapi Nabi ﷺ diberikan ilham dan kefahaman kepada baginda dan baginda sendiri yang menggunakan bahasa baginda untuk menjelaskan apa yang baginda faham. Jadi, hadith tidak diturunkan dalam bahasa Arab, tetapi menggunakan bahasa Nabi Muhammad ﷺ sendiri.

Allah ‎ﷻ menggunakan bahasa Arab kerana bahasa Arab adalah bahasa yang paling jelas, paling terang, paling luas, dan paling banyak perbendaharaan kata-katanya untuk mengungkapkan pelbagai pengertian untuk meluruskan jiwa manusia. Kerana itulah Allah ‎ﷻ menurunkan Kitab-Nya yang paling mulia dengan bahasa yang paling mulia di antara bahasa-bahasa lainnya yang disampaikan-Nya kepada rasul yang paling mulia melalui perantaraan malaikat yang paling mulia.

Dan penurunannya terjadi di bahagian bumi yang paling mulia, serta awal penurunannya (Al-Qur’an) terjadi di dalam bulan yang paling mulia, iaitu bulan Ramadan; sehingga sempurnalah kitab Al-Qur’an ini dari pelbagai seginya.

 

لَعَلَّكُم تَعقِلونَ

agar kamu memahaminya.

Al-Qur’an itu diturunkan dalam bahasa yang kita boleh baca dan faham, supaya kita boleh memikirkan apakah yang disampaikan di dalamnya. Ia adalah untuk kebaikan kita tetapi kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, bagaimanakah kebaikan itu boleh diambil?


 

Ayat 3: Ayat ini sehingga ke ayat 101 adalah Perenggan Makro yang Kedua. Dalam perenggan ini, Allah ‎ﷻ hendak menceritakan Kisah Nabi Yusuf عليه السلام dan Keluarga Nabi Ya’qub عليه السلام.

Surah ini diturunkan sebagai menjawab soalan dari puak Yahudi. Bagi puak Musyrikin Mekah, setelah tidak ada cara lagi untuk berlawan hujah dengan Nabi Muhammad ﷺ, maka mereka telah meminta idea dari Yahudi yang berada di Yathrib (nama lama Madinah) bagaimanakah cara hendak mematahkan hujah baginda. Ini kerana mereka tahu yang Yahudi mempunyai kitab wahyu.

Puak Yahudi menyuruh Musyrikin Mekah bertanyakan kisah Nabi Yusuf عليه السلام. Mereka kononnya hendak memerangkap Nabi Muhammad ﷺ kerana memang tidak ramai yang mengetahui kisah Nabi Yusuf عليه السلام itu. Kalau ada yang tahu hanyalah mereka yang ada kitab wahyu, dan tidak ada kisah sebegitu dalam sejarah dan tamadun Arab.

Oleh itu, apabila kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini diceritakan dalam Bahasa Arab, ia menjadi satu bukti yang Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang Rasul, kerana tidak pernah ada kisah ini disebut dalam bahasa Arab. Jadi tentunya baginda hanya dapat kisah ini dari wahyu yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ.

نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ بِما أَوحَينا إِلَيكَ هٰذَا القُرءآنَ وَإِن كُنتَ مِن قَبلِهِ لَمِنَ الغٰفِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We relate to you, [O Muḥammad], the best of stories in what We have revealed to you of this Qur’ān although you were, before it, among the unaware.

(MALAY)

Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al Qur’an ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui.

 

نَحنُ نَقُصُّ عَلَيكَ أَحسَنَ القَصَصِ بِما أَوحَينا إِلَيكَ هٰذَا القُرءآنَ

Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al Quran ini kepadamu,

Kalimah القَصَصِ dari katadasar ق ص ص yang bermaksud ‘ikut jejak langkah’. Digunakan untuk merujuk kepada kisah yang diberitahu berkali-kali (kerana macam ulang jejak langkah sebelum itu). Oleh itu, القَصَصِ adalah kisah yang disampaikan dari generasi ke generasi.

Akan tetapi kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini tidak ada di dalam sejarah bahasa Arab, tetapi ia ada di dalam riwayat Orang Yahudi. Dan mereka memang sukakan kisah ini dan selalu disebut dalam tradisi mereka dan diulang cerita kepada keturunan mereka.

Satu lagi asbabun nuzul surah ini adalah kerana permintaan para sahabat sendiri. Di dalam sebuah hadith disebutkan penyebab turunnya ayat ini yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir رحمه الله.

Disebutkan bahawa telah menceritakan kepadaku Nasr ibnu Abdur Rahman Al-Audi, telah menceritakan kepada kami Hakam Ar-Razi, dari Ayyub, dari Amr (yakni Ibnu Qais Al-Mala-i), dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang menceritakan bahawa para sahabat pernah berkata, “Wahai Rasulullah, ﷺ, alangkah baiknya seandainya engkau menceritakan kisah-kisah kepada kami.” Maka turunlah firman-Nya: Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik. (Yusuf: 3)

Sekarang sekarang kisah ini disampaikan pula dalam Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ. Dan sekarang kita dapat membacanya dan menjadi kisah yang menakjubkan zaman berzaman.

 

وَإِن كُنتَ مِن قَبلِهِ لَمِنَ الغٰفِلينَ

dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui.

Kalimah الغافِلينَ bermaksud ‘orang yang tidak tahu’. Kalimah ‘ghaflah’ ada dua jenis – dari segi intelektual atau spiritual. Nabi ﷺ dikatakan sebagai ‘ghaflah’ dalam ayat ini. Maksudnya baginda pun tidak tahu kisah ini wujud.

Dan bukan baginda sahaja, kerana digunakan kalimah لَمِنَ الغافِلي (sebahagian dari mereka yang tidak tahu) yang bermaksud masyarakat Arab pun tidak tahu dan baginda adalah salah seorang daripada mereka.

Allah ‎ﷻ katakan ini adalah أَحسَنَ القَصَصِ (kisah terbaik). Tetapi, mungkin kita tidak terasa begitu kerana kisah ini tidak disampaikan dengan menarik. Oleh itu, walaupun Allah ‎ﷻ sebut yang kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini adalah kisah terbaik, namun susah pula untuk orang kita hendak terima yang ini adalah kisah terbaik, bukan?

Lebih-lebih lagi jika ingin menjadikan kisah ini menarik kepada kanak-kanak kerana sekarang sudah ada pelbagai perkara yang lebih menarik perhatian mereka seperti rancangan TV dan kartun serta “games” di hujung jari sahaja. Jadi kisah seperti kisah para Nabi ini tidak menarik perhatian mereka, malangnya. Dan ini berpunca kerana kita tidak pandai bercerita kepada mereka.

Ini adalah kerana selalunya apabila kita ceritakan kepada mereka, tidak ada nilai hiburan untuk mereka menyebabkan mereka berasa bosan. Dan kerana itu, kisah para Nabi ini terpaksa berlawan dengan semua rancangan TV dan semua “games”, bukan? Kita kena sedar yang manusia sifatnya sukakan elemen hiburan. Walaupun sebenarnya hiburan itu tidak tahan lama pun.

Sebagai contoh, kalau kita sudah tengok filem sekali, selalunya sudah tidak mahu hendak tengok lagi, bukan? Akan tetapi bukankah Al-Qur’an ini kita selalu ulang-ulang baca? Tetapi walaupun kita sudah baca beribu kali, kita tidak akan berasa bosan membacanya, bukan? Jadi kita kena pandailah bercerita dengan menggunakan kaedah penceritaan Al-Qur’an. Dan untuk mendapatkannya, kenalah belajar dahulu tafsir Al-Qur’an.

Oleh itu, ada cabaran untuk menjadikan Kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini menarik kerana mungkin ada yang berasa seperti sudah pernah mendengar kisah ini di sekolah rendah, jadi tidak ada kesan hiburan lagi di dalamnya. Oleh itu kita kena tahu apa hujungnya supaya kita tahu apakah kebaikan untuk kita tahu dari kisah ini.

Allah ‎ﷻ berkata kisah ini ada ibrah – pengajaran. Ia adalah dari katadasar yang bermaksud menyeberangi air (sungai atau laut dan sebagainya). Ia digunakan kerana apabila sesuatu kisah itu memberi kesan kepada hati kita, ia sampai mengalirkan air mata kita (air menyeberangi dari mata meleleh ke pipi). Memang ada kisah yang kita tidak dapat tahan dari mengalirkan air mata, bukan?

Dan begitulah nanti dalam kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini kita akan belajar dan kita akan nampak bagaimana kisah ini kena tepat sungguh dengan kita. Memang asalnya menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf, tetapi sebenarnya kita seolah-olah sedang membaca kisah kita kerana ada kaitan rapat dengan diri kita. Dan kerana inilah kisah ini dikatakan sebagai ‘kisah yang hebat’.

Ada banyak karektor yang kita akan berjumpa nanti tetapi nama-nama mereka tidak disebut pun. Nama mereka hanya dibincangkan dalam kitab tafsir sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ tidak sebut dalam Al-Qur’an kerana nama mereka tidak penting. Yang penting adalah kisah mereka. Yang hanya disebut adalah nama Nabi Yusuf عليه السلام dan Nabi Ya’qub عليه السلام sahaja.

Ini menunjukkan yang Allah ‎ﷻ hanya berikan maklumat yang penting sahaja. Kita akan belajar bagaimana dalam surah ini Allah ‎ﷻ akan beri kajian tentang manusia dengan cara yang amat hebat sekali. Kalau ada yang dapat menjalankan kajian tentang psikologi manusia dengan menggunakan surah ini, tentu ia akan menjadi amat hebat.


 

Ayat 4: Nanti kita akan belajar tentang 4 kisah permulaan dan seterusnya kisah-kisah lain. Sekarang dimulakan dengan kisah permulaan. Selalunya, manusia akan ingat kisah yang besar-besar, tetapi lupa kisah-kisah kecil. Allah ‎ﷻ bawakan kepada kita sekarang kisah yang kecil mengenai seorang anak kecil yang bercakap dengan bapanya.

إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Of these stories mention] when Joseph said to his father,¹ “O my father, indeed I have seen [in a dream] eleven stars and the sun and the moon; I saw them prostrating to me.”

  • The prophet Jacob (upon whom be peace)

(MALAY)

(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku”.

 

إِذ قالَ يوسُفُ لِأَبيهِ يٰأَبَتِ

(Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku,

Permulaan kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini bermula dengan mimpi baginda.  Mari kita lihat dialog di antara Nabi Yusuf عليه السلام dengan ayahnya, Nabi Ya’qub عليه السلام.

Baginda menggunakan kalimah يا أَبَتِ (wahai bapaku) dengan ayahnya itu. Ini menunjukkan yang Nabi Yusuf عليه السلام bercakap dengan nada lembut dan hormatkan ayahnya. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan terhadap ibubapa kita. Cuma lihat bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام lakukan dan bandingkan dengan anak-anak kita sekarang.

Ada anak-anak kita yang kecil, apabila perlukan perhatian kita, bagaimana caranya? Kadang-kadang kita dengar mereka menjerit memanggil kita, bukan? Tetapi lihat bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام yang waktu itu muda juga, tetapi baginda menggunakan bahasa dan budi bicara yang baik.

 

إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ

sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku”.

Baginda memberitahu kepada ayahnya, bahawa baginda telah bermimpi yang sebelas (11) bintang, matahari dan bulan, sujud kepada baginda. Apakah maksud bintang, matahari dan bulan itu?

  • 11 bintang itu adalah adik beradik baginda.
  • Matahari itu adalah ayahnya. Dan ada yang kata matahari itu emak baginda kerana matahari dalam Arab berjantina perempuan.
  • Bulan itu adalah emaknya. Dan kalau ambil pendapat yang mengatakan matahari itu emak, maka bulan adalah ayahnya (Nabi Ya’qub).

Takwil mimpi Nabi Yusuf عليه السلام ini baru terjadi sesudah selang empat puluh tahun (40) kemudian, pendapat lain mengatakan sesudah lapan puluh (80) tahun. Ia terjadi ketika Nabi Yusuf عليه السلام mempersilakan kedua orang tuanya untuk menduduki kursi singgahsananya, sedangkan semua saudaranya berada di hadapannya dan ini disebut dalam ayat 100:

{وَخَرُّوا لَهُ سُجَّدًا وَقَالَ يَا أَبَتِ هَذَا تَأْوِيلُ رُؤْيَايَ مِنْ قَبْلُ قَدْ جَعَلَهَا رَبِّي حَقًّا}

Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf. Dan berkata Yusuf “Wahai ayahku, inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan.”

Mimpi Nabi Yusuf عليه السلام ini adalah wahyu walaupun baginda belum lagi menjadi Nabi (bakal Nabi). Dan dari mimpi ini, Nabi Ya’qub عليه السلام tahu yang Nabi Yusuf عليه السلام akan menjadi seorang Nabi.

Mari lihat kalimat لي ساجِدينَ. Dari susunan ini, kita tahu yang susunan ini tidak normal seperti kebiasaan bahasa Arab. Baginda berkata begitu kerana baginda terkejut sangat sampai tersasul baginda berkata-kata. Ini kerana baginda tidak sangka yang bintang, matahari dan bulan itu akan sujud kepadanya.

Ada juga pendapat yang mengatakan Nabi Yusuf عليه السلام sudah tahu siapakah yang dimaksudkan dengan bintang, matahari dan bulan itu. Ini kita tahu dari penggunaan kalimah ساجِدينَ yang digunakan. Ini adalah kerana dari segi nahu, bintang, matahari dan bulan itu adalah benda, dan sepatutnya digunakan kalimah muannast (feminin), tetapi Nabi Yusuf عليه السلام menggunakan kalimah ساجِدينَ yang hanya digunakan untuk kehidupan bernyawa seperti manusia. Jadi ini menguatkan pendapat yang mengatakan baginda sudah tahu siapakah yang dimaksudkan dengan bintang, matahari dan bulan itu.

Nota: ada pula ajaran sesat yang mengajar ayat ini adalah ‘ayat pengasih’. Kononnya apabila bersama dengan pasangan, maka baca ayat ini. Dan untuk disayangi masyarakat, baca 3 kali selepas solat.

Ayat ini bukanlah ayat pengasih. Tidak ada apa-apa makna dalam ayat ini yang mengandungi doa supaya orang kasih kepada kita. Kita telah baca maknanya, dan telah baca tafsirnya, tidak ada kena mengena dengan pengasih, bukan?

Maka, ayat ini tidak menanggung kehendak pengamalnya. Ini macam hendak tolak kereta, tetapi menggunakan pen. Apakah kaitan pen dengan perbuatan menolak kereta? Katakanlah ada orang keretanya tersadai, maka, dia meminta bantuan kita untuk menolaknya. Kita pun berlari ke rumah sebab hendak mengambil pen untuk tolak kereta itu. Tidakkah bodoh tindakan itu?

Sekian, Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 24 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al Qur’an.