Penutup dan Konklusi
Sekarang mari kita bincangkan Komposisi Cincin bagi Makro Ketujuh dan terakhir Surah Baqarah ini. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Makro Ketujuh ini (ayat 178 – 242). Di dalam Bahagian ini dijelaskan tentang perbezaan antara iman dan kufur, dengan fokus kepada tugas memerdekakan Ka’bah daripada pegangan orang kafir. Allah ﷻ juga menyebut tentang Kuasa-Nya ke atas makhluk termasuk menghidupkan yang telah mati. Selepas itu Allah ﷻ menekankan tentang Hari Akhirat dan kepentingannya. Selain daripada itu terdapat juga hukum hakam tentang muamalat. Walaupun nampak banyak sekali topik yang dimuatkan di dalam Bahagian ini tetapi nanti kita akan tunjukkan bagaimana semuanya ada kaitan antara satu sama lain. Pertama, kita lihat di dalam bentuk yang besar dahulu.
Makro ini boleh dipecahkan lagi kepada yang lebih kecil.
Penjelasan:
[A6]/[A6′] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini Allah ﷻ mengajak untuk kembali kepada-Nya; ia juga mengandungi doa para Mujahideen kepada Allah ﷻ untuk membantu mereka memerangi orang kafir; dan ada ajakan untuk beriman dengan Rasulullah ﷺ.
[A7]/[A7′] – Di dalam dua Bahagian ini mengandungi anjuran infak sebelum datangnya Hari Akhirat.
[A8]/[A8′] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini mengandungi penerangan tentang Allah ﷻ dan kuasa-Nya yang amat luas.
[A9] – Di Bahagian tengah ini Allah ﷻ memberitahu kita yang Dia membantu sesiapa yang Dia kehendaki. Kemudian Allah ﷻ memberitahu yang Dia adalah Wali kepada orang beriman. Di sini Allah ﷻ memberi jaminan bahawa walaupun umat Islam ketika itu lemah dan sedikit sahaja jumlahnya, jangan risau kerana Allah ﷻ akan beri bantuan dan kemenangan kepada mereka.
Yang lebih menarik, Bahagian A’ ini kalau diperhatikan, ia berulang-ulang topik di antara menyebut kuasa Allah ﷻ di dalam menghidupkan dan mematikan dengan infak. Ini menunjukkan kaitan antara dua perkara ini. Allah ﷻ mengingatkan yang kita semua pasti mati dan akan dihidupkan kembali; dan perkara yang akan menyelamatkan kita setelah kita dihidupkan semula di akhirat adalah infak. Perhatikan susunan ini:
Bukan itu sahaja. Allah ﷻ juga mengulang tema adalah iman dan amal. Ia mengajar kita yang iman ini bukan hanya di hati sahaja akan tetapi ia perlulah dibuktikan dengan perbuatan kita. Perhatikan susunan ini:
Akhir sekali, Allah ﷻ mengulang-ngulang antara kisah dan hukum. Ini kerana manusia suka dengan kisah dan tidaklah kita bosan hanya membaca tentang hukum hakam sahaja. Perhatikan:
Di dalam Komposisi Cincin di atas, boleh dilihat ada lagi 4 cincin yang lebih kecil. Yang Pertama adalah ayat 243 – 251.
Yang Kedua adalah Komposisi Cincin Ayat Kursi. Boleh rujuk penjelasan tentang ayat itu.
Yang Ketiga adalah tentang infak dan telah dimasukkan di hujung ayat 274.
Dan yang Keempat adalah Komposisi Cincin tentang Riba di dalam ayat 275 – 281.
Penambahan Fadhilat Surah
Di awal surah ini telah disebut tentang hadith-hadith kelebihan Surah Baqarah. Sekarang kita tambahkan lagi beberapa hadith yang lain.
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Aku bersama Nabi ﷺ duduk di masjid, dan seorang laki-laki sedang solat, kemudian dia berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِأَنَّ لَكَ الْحَمْدَ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الْمَنَّانُ، بَدِيعُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ، يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ، يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ
‘Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, bahwa segala puji hanya bagi-Mu, tidak ada ilah (yang berhak disembah) kecuali Engkau semata, Maha Pemberi Karunia, Pencipta langit dan bumi, Wahai Yang Memiliki Keagungan dan Kemuliaan, Wahai Yang Maha Hidup dan Maha Berdiri Sendiri.’
Maka Nabi ﷺ bersabda:
لَقَدْ دَعَا اللَّهَ بِاسْمِهِ الْأَعْظَمِ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ، وَإِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى
‘Sungguh dia telah berdoa kepada Allah dengan Nama-Nya yang paling agung (Ism Al-A’zham), yang apabila Dia diseru dengannya, Dia pasti mengabulkan, dan apabila Dia dimintai dengannya, Dia pasti memberi’.”
Sunan Abu Daud: Kitab Ash-Shalat (No. Hadith 1495). Juga diriwayatkan oleh At-Tirmidzi (No. 3475) yang menghasan sahihkan, serta An-Nasa’i dan Ibnu Majah. Hadith ini dinilai sahih oleh Syekh Al-Albani.
Penjelasan: Hadith ini menunjukkan keutamaan besar doa yang mengandungi nama-nama Allah ﷻ yang mulia ini. Lafaz “يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ” (Ya Hayyu Ya Qayyum) adalah sebagian daripada Ayat Kursi (Baqarah:255), yang menunjukkan kaitan antara doa ini dan keutamaan Ayat Kursi sebagai sebahagian daripada Surah Al-Baqarah.
Kita selalu memikirkan tentang syaitan dan bagaimana untuk mengelak syaitan dari mengganggu kita. Nah, dengan membaca Surah Baqarah di rumah ia dapat menghalau syaitan dari rumah kita. Maklumat ini kita dapat daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:
“إِنَّ الشَّيْطَانَ يَخْرُجُ مِنَ الْبَيْتِ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِيهِ”
“Sesungguhnya syaitan akan keluar dari rumah apabila ia mendengar Surah Al-Baqarah dibacakan di dalamnya.”
-
Penjelasan: Riwayat ini disebutkan oleh Ad-Darimi dalam Sunannya dan juga diriwayatkan dari jalur lain oleh Ath-Thabarani dalam Al-Kabir. Para ulama hadith menilai sanadnya sahih. Ini adalah riwayat ma’ruf (dikenal) meskipun bukan daripada sabda Nabi ﷺ secara langsung, namun daripada perkataan sahabat besar seperti Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang tidak mungkin berbicara tentang hal ghaib kecuali daripada Nabi ﷺ. Hadis ini menguatkan hadith yang telah pernah dikongsikan sebelum ini tentang Surah Al-Baqarah mengusir syaitan. Konsistensi membaca Surah Al-Baqarah di rumah akan menciptakan lingkungan yang lebih damai dan terlindungi daripada gangguan syaitan.
Namun mungkin timbul beberapa soalan? Hendak dibaca semua ayatkah? Soalan ini penulis pernah tanya kepada ustaznya dan jawapan yang diterima amat menyayat hati sampai sekarang: “Para sahabat apabila diberitahu tentang hal ini, mereka tidak pun kena tanya baca semua sekali atau tidak…”
Baik, soalan kedua mungkin kena baca setiap hari kah? Adakah baca sekali seumur hidup atau setiap kali pindah? Untuk menjawab soalan ini, ada hadith yang boleh dijadikan sandaran,
Daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:
“إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ سَنَامًا وَسَنَامُ الْقُرْآنِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا سَمِعَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ خَرَجَ مِنْهُ، وَإِنَّهَا لَا تُقْرَأُ فِي بَيْتٍ فَيَدْخُلُهُ الشَّيْطَانُ ثَلَاثَ لَيَالٍ”
“Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada puncaknya, dan puncak Al-Qur’an adalah Surah Al-Baqarah. Sesungguhnya syaitan, apabila ia mendengar Surah Al-Baqarah dibacakan di suatu rumah, ia akan keluar dari rumah tersebut. Dan sesungguhnya ia tidak akan masuk ke rumah yang di dalamnya dibacakan (seluruh) Surah Al-Baqarah selama tiga malam.”
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi (No. 2877) dan dia berkata hadith ini hasan gharib; Diriwayatkan juga oleh Ad-Darimi dalam Sunan-nya; Sanad hadith ini terdapat beberapa perbincangan dalam kalangan ulama hadith, namun banyak yang cenderung menguatkannya atau menganggapnya hasan lighairihi (hasan kerana adanya riwayat-riwayat pendukung lain), terutama bagian tentang pengusiran syaitan.
Akhir sekali, kita sebagai orang yang sudah hampir dengan Al-Qur’an mestilah hendak selalu membacanya, bukan? Maka bagaimana cara untuk sentiasa mudah membaca Al-Qur’an? Dengan menghafalnya! Maka sekarang ada satu kelebihan kepada penghafal Surah Baqarah (dan Ali Imran).
Perhatikan juga hadith berikut:
يُؤْتَى بِالْقُرْآنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَهْلِهِ الَّذِينَ كَانُوا يَعْمَلُونَ بِهِ تَقْدُمُهُ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانَ تُحَاجَّانِ عَنْ صَاحِبِهِمَا
Daripada An-Nawwas bin Sam’an Al-Kilabi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Al-Qur’an akan didatangkan pada Hari Kiamat, dan orang-orang yang mengamalkannya. Yang paling depan adalah Surah Al-Baqarah dan Ali ‘Imran, keduanya akan membela (menjadi hujjah bagi) orang yang mengamalkannya (atau membacanya/menghafalnya)’.”
(Sahih Muslim No. 805)
Penjelasan: Frasa “orang-orang yang mengamalkannya” (الَّذِينَ كَانُوا يَعْمَلُونَ بِهِ) sangat penting untuk kita perhatikan. Ini menunjukkan bahawa keutamaan ini bukan hanya bagi mereka yang membaca atau menghafal semata, tetapi juga bagi mereka yang berusaha memahami dan menerapkan ajaran Al-Qur’an dalam kehidupan mereka.
Penghafal Surah Baqarah semenjak zaman Nabi ﷺ sendiri sudah ada kedudukan yang tinggi dalam kalangan para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ. Buktinya dalam Perang Hunain, kaum Muslimin awalnya terpukul mundur dan keadaan mereka kucar-kacir dan pecah belah malah ada yang sudah bertempiaran lari. Melihat situasi kritikal ini, Nabi Muhammad ﷺ tetap teguh di posisinya. Baginda kemudian berseru dengan suara lantang:
أَنَا النَّبِيُّ لَا كَذِبْ، أَنَا ابْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبْ
اللَّهُمَّ نَزِّلْ نَصْرَكَ!
يَا أَصْحَابَ السَّمُرَةِ!
(atau riwayat lain: يَا أَهْلَ سُورَةِ الْبَقَرَةِ!)
“Aku adalah Nabi, tidak ada dusta. Aku adalah putera Abdul Muthalib.”
“Ya Allah, turunkanlah pertolongan-Mu!”
“Wahai para sahabat As-Samurah (para sahabat yang berjanji setia di bawah pohon, merujuk kepada Ahli Bai’atur Ridhwan)! (Atau riwayat lain: Wahai penghafal Surah Al-Baqarah!)”
Peristiwa ini diriwayatkan dalam Sahih Muslim (Kitab Al-Jihad wa As-Siyar, No. 1776) dan Sahih Bukhari (Kitab Al-Maghazi, Bab Ghazwat Hunain, No. 4315) daripada Al-Bara’ bin ‘Azib رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ.
Penjelasan: Panggilan khusus kepada “penghafal Surah Al-Baqarah” menunjukkan kedudukan istimewa mereka. Surah Al-Baqarah adalah surah terpanjang dalam Al-Qur’an, mengandung banyak hukum, ajaran, dan kisah-kisah penting. Menghafal seluruh surah ini menunjukkan tingkat keilmuan, kesabaran, dan komitmen yang tinggi terhadap agama. Pada masa itu, para penghafal Al-Qur’an (termasuk Al-Baqarah) adalah para ulama, fuqaha, dan pemimpin spiritual umat. Mereka adalah orang-orang yang paling memahami ajaran Islam, paling teguh imannya, dan paling berani dalam membela agama. Nabi ﷺ memanggil mereka kerana baginda tahu bahawa mereka adalah orang-orang yang memiliki keberanian iman yang luar biasa, tidak mudah goyah, dan akan menjadi tulang belakang dalam mengembalikan semangat pasukan. Mereka adalah orang-orang yang hatinya dipenuhi dengan Kalamullah dan siap berkorban demi agama.
Sebagai penutup, sekarang diberikan ringkasan topik yang telah dibincangkan di dalam keseluruhan Surah Baqarah ini sebagai rujukan.
Mari kita lihat kembali keseluruhan Komposisi Cincin Surah Baqarah dan kita berikan penjelasan kaitan antara keseluruhan Makro itu.
Surah ini boleh dipecahkan kepada dua panel, [ABC] dan [C’B’A’], yang menjadi ‘cermin’ kepada panel yang lain. Kedua-dua panel ini disatukan dengan tema yang di tengah-tengah, [D]. Panel yang pertama, [ABC], kebanyakannya menyentuh tentang Bani Israil, memperkenalkan tema iman dan kufur. Namun yang banyaknya mengandungi contoh-contoh kekufuran mereka yang menjadi pengajaran kepada umat Islam, supaya kita jangan jadi seperti mereka.
Di dalam Bahagian [A] – Mukmin & Musyrik, kita telah diperkenalkan dengan kriteria orang beriman (Ayat 2-5). Kemudian topik berpindah kepada penjelasan tentang orang kafir terutama sekali tentang golongan Munafik (Ayat 6-20). Selepas ini kita akan melihat contoh-contoh perbuatan golongan Bani Israil, yang memberi isyarat sifat-sifat Munafik yang ada pada mereka.
Di dalam Bahagian [B] – Kritikan ke atas Bani Israil, Allah ﷻ dengan panjang lebar menyentuh tentang satu kumpulan yang sepatutnya kumpulan Muslim, akan tetapi mereka tidak bertindak sebagai Muslim yang sepatutnya. Maka banyak disentuh tentang sejarah mereka dan penekanan tentang bagaimana mereka telah diberi wahyu akan tetapi mereka tidak mengamalkan seperti yang sepatutnya.
Di dalam Bahagian [C] – Legasi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengajar tentang agama Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mengajak Bani Israil untuk berpegang dengan agama baginda kerana baginda pun adalah Nabi dan Datuk mereka juga.
Di dalam panel kedua, [C’B’A’] yang menjadi cermin kepada panel sebelumnya, fokus bertukar kepada umat Islam yang baru iaitu umat Nabi Muhammad ﷺ. Di dalam panel sebelum ini ayat-ayat banyaknya khitab kepada Bani Israil dan sekarang khitab ditujukan kepada orang-orang beriman. Kalau panel sebelum ini disebut kegagalan Bani Israil berpegang dengan agama Datuk mereka Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sekarang disebut umat Islam iaitu umat Nabi Muhammad ﷺ ini berpegang dengan ajaran dan fahaman Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Surah Baqarah ini berkisar tentang Ka’bah yang menjadi tema di tengah-tengah iatu Bahagian [D] (Penukaran Kiblat ke arah Kaʿbah). Ia fokus kepada perubahan besar arah kiblat dari Jerusalem ke arah Kaʿbah, dan ini menjadi satu perkara penting bagi orang beriman yang mengadap ke arahnya setiap kali solat, dan itulah tempat Umrah dan Haji. Bahagian ini juga menjadi titik pertukaran rasmi umat Islam dari Bani Israil kepada Bani Ismail dengan penubuhan komuniti Muslim yang baru. Dengan ini umat Islam yang baru ini telah mengambil tempat kedudukan mulia sebagai umat Islam daripada Bani Israil. Dengan ini kita mempunyai tanggungjawab penting dan berat iaitu meneruskan legasi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka kita belajar tentang apakah yang kita perlu lakukan sebagai umat Islam yang baru.
Pemilihan, Arahan & Ujian
Yang menariknya, kita boleh perhatikan tema-tema yang berulang-ulang sepanjang surah ini. Kita bahagikan kepada tiga: Tanggungjawab, Arahan dan Ujian. Semua ini diberi oleh Allah ﷻ dan kita boleh lihat ia disebut berkali-kali di dalam surah ini.
Pemilihan, merujuk kepada kedudukan yang telah diberikan kepada satu-satu kumpulan. Pemilihan ini ditentukan oleh Allah ﷻ.
Ujian, merujuk kepada berbagai-bagai ujian yang diberikan kepada kumpulan yang telah menerima tanggungjawab itu.
Arahan, merujuk kepada hukum hakam yang telah diberikan oleh Allah ﷻ kepada umat Islam.
Perhatikan, di dalam Bahagian [A], Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (mewakili keseluruhan manusia), telah dipilih oleh Allah ﷻ untuk memikul tanggungjawab sebagai Khalifah di dumi. Baginda kemudian telah diuji dengan pohon larangan. Maka baginda telah dihantar ke bumi dan baginda telah diberi dengan arahan hukum hakam yang perlu dipenuhi untuk mendapat keampunan daripada Allah ﷻ.
Di dalam Bahagian [B] pula kita telah melihat Bani Israil telah dipilih oleh Allah ﷻ sebagai Umat Pilihan di bumi. Mereka telah diberi dengan arahan yang terdapat di dalam Kitab Taurat dan mereka telah berkali-kali diuji dan yang mereka berkali-kali juga gagal, yang menyebabkan kedudukan mereka sebagai Umat Pilihan telah ditarik dan diganti dengan umat Nabi Muhammad ﷺ.
Di dalam Bahagian [C], kita diberitahu yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga telah diuji. Setelah baginda berjaya melepasi ujian itu, maka baginda telah dipilih oleh Allah ﷻ sebagai imam bagi manusia. Dengan pemilihan itu, baginda telah diberikan dengan beberapa arahan, antaranya untuk membina Ka’bah dan membersihkannya.
Di dalam Bahagian [D], penduduk Madinah pada zaman Nabi Muhammad ﷺ – meliputi umat Islam dan Yahudi telah diuji dengan pertukaran kiblat dari Jurusalem ke Mekah. Dari semenjak itu, mereka diberi arahan untuk solat mengadap ke arah Kiblat yang baru. Para sahabat telah taat kepada arahan itu maka mereka telah dipilih sebagai umat Islam terbaru, mengambil kedudukan Bani Israil sebelum itu.
Di dalam Bahagian [C’], umat Islam yang baru ini telah diingatkan bahawa telah pemilihan itu, mereka akan berhadapan dengan banyak ujian, termasuk ujian dari segi harta dan nyawa. Untuk menghadapinya, mereka telah diberikan dengan berbagai arahan hukum hakam yang terhadap di dalam Bahagian [B’] dan [A’].
Jikalau kita susun, kita akan nampak satu pola susunan yang menarik:
Perhatikan, bagi Bahagian A dan A’ (Kisah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan khitab kepada umat Islam), ia menggunakan pola yang sama (PUA) Pemilihan – Ujian – Arahan. Kemudian kalau diperhatikan pada Bahagian B dan B’ (Kisah Bani Israil dan Penukaran Arah Kiblat), pola yang digunakan adalah terbalik. Akhir sekali digunakan susuan pola yang berlainan pula bagi Kisah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak sama dengan pola-pola di sekelilingnya.
Kesimpulan
Begitulah kita telah belajar Surah Baqarah yang menjadi surah yang terpanjang di dalam Al-Qur’an. Kita telah tunjukkan bahawa susunan di dalam Surah ini mempunyai tujuan tertentu yang tersusun dan mempunyai simetri, walaupun ia adalah surah yang panjang. Kalau kita tidak belajar hal ini, kita akan jadi keliru dan sangka surah ini kelam kabut susunannya, sekejap tentang ini dan sekejap tentang hal lain pula. Oleh kerana ia surah yang panjang, maka kita akan menemui lagi kehebatan susunan yang Allah ﷻ telah adakan di dalam surah ini. Namun cukuplah di sini menjadi bukti bahawa susunan Surah Baqarah ini amat hebat! Semoga rahsia susunan ini akan terbongkar lebih lagi apabila ada kajian lain yang dibuat tentangnya. Tidak akan habis ayat-ayat Al-Qur’an kalau kita terus menggalinya.
Allahu a’lam. Habislah sudah tafsir Surah Baqarah ini, alhamdulillah. Selepas ini kita akan mula belajar tafsir Surah Ali Imran. Surah Ali Imran adalah surah yang berpasangan dengan Baqarah. Kita akan lihat ada persamaan antara keduanya. Keduanya saling lengkap melengkapi sesama sendiri.
Kemaskini: 27 Julai 2025
Rujukan:
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)







