HUKUM BERPERANG DI BULAN HARAM
Baqarah Ayat 217: Ayat sebelum ini telah disebut tentang kewajipan jihad. Akan tetapi adakah jihad itu perlu dilakukan sepanjang masa? Maka di dalam ayat ini disebut pengecualian yang perlu diperhatikan.
يَسأَلونَكَ عَنِ الشَّهرِ الحَرامِ قِتالٍ فيهِ ۖ قُل قِتالٌ فيهِ كَبيرٌ ۖ وَصَدٌّ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَكُفرٌ بِهِ وَالمَسجِدِ الحَرامِ وَإِخراجُ أَهلِهِ مِنهُ أَكبَرُ عِندَ اللَّهِ ۚ وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ ۗ وَلا يَزالونَ يُقٰتِلونَكُم حَتّىٰ يَرُدّوكُم عَن دينِكُم إِنِ استَطٰعوا ۚ وَمَن يَرتَدِد مِنكُم عَن دينِهِ فَيَمُت وَهُوَ كافِرٌ فَأُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۖ وَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ
SAHIH INTERNATIONAL
They ask you about the sacred month – about fighting therein. Say, “Fighting therein is great [sin], but averting [people] from the way of Allah and disbelief in Him and [preventing access to] al-Masjid al-Haram and the expulsion of its people therefrom are greater [evil] in the sight of Allah . And fitnah is greater than killing.” And they will continue to fight you until they turn you back from your religion if they are able. And whoever of you reverts from his religion [to disbelief] and dies while he is a disbeliever – for those, their deeds have become worthless in this world and the Hereafter, and those are the companions of the Fire, they will abide therein eternally.
MALAY
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu daripada ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) daripada ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).
يَسأَلونَكَ عَنِ الشَّهرِ الحَرامِ قِتالٍ فيهِ
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam Bulan Haram
Mereka bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang bolehkah berperang dalam bulan Haram? Bulan Haram adalah Rejab, DzulQaedah, DzulHijjah dan Muharram. Ini seperti disebut di dalam Tawbah: 36
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهورِ عِندَ اللَّهِ اثنا عَشَرَ شَهرًا في كِتٰبِ اللَّهِ يَومَ خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ مِنها أَربَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذٰلِكَ الدّينُ القَيِّمُ ۚ فَلا تَظلِموا فيهِنَّ أَنفُسَكُم
Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan itu.
Ulama’ khilaf sama ada pengharaman berperang di bulan-bulan Haram ini masih terpakai atau tidak. Ada yang kata ia terpakai sehingga ke hari Kiamat dan ada yang mengatakan ia telah dimansuhkan. Namun begitu ketika ayat ini diturunkan, telah menjadi adat orang Arab tidak berperang di dalam bulan-bulan Haram.
Mereka yang bertanya di dalam ayat ini bukanlah umat Islam tetapi orang kafir Quraisy. Cara mereka bertanya itu bukanlah seperti para sahabat yang hendak tahu akan tetapi kafir Quraisy itu sedang mempersoalkan dan hendak menghina Rasulullah ﷺ dan para sahabat.
Latar belakang ayat ini: ada sahabat yang dihantar oleh Nabi ﷺ untuk menjaga sempadan orang Islam. Tiba-tiba mereka terjumpa dengan orang kafir. Oleh kerana keadaan yang mencurigakan, maka terjadilah pergelutan dan orang kafir itu dibunuh. Begitulah sebagaimana telah diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim dan Ath-Thabrani رحمهم الله dalam al-Kabir, dan al-Baihaqi رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitab sunannya, daripada Jundud bin Abdullah bahawasanya Rasulullah ﷺ telah mengutus beberapa orang dan juga diutus Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, maka mereka telah bertemu dengan Ibnu al-Hadrami dan mereka membunuhnya. Maka berkata orang-orang musyrik kepada orang-orang beriman: “Kalian telah membunuh pada bulan Haram, maka Allah menurunkan ayat ini.” Ada pendapat yang mengatakan mereka tidak sedar yang waktu itu sudah masuk bulan Haram Rejab. Mereka sangka Jamadil Akhir bulan itu 30 hari.
Sahabat tersebut memang menghormati Bulan Haram akan tetapi mereka telah membuat keputusan di waktu itu untuk tetap berperang juga. Maka kejadian ini telah menyebabkan orang kafir bising menyalahkan orang Islam. Mereka kata lihatlah orang Islam itu, konon kata jaga syariat, tetapi membunuh di dalam bulan Haram.
Sahabat itu adalah Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, adik beradik kepada Zainab binti Jahsy رضي الله عنها iaitu salah seorang isteri Rasulullah ﷺ. Jadi Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ adalah sepupu kepada Rasulullah ﷺ kerana Zainab binti Jahsy رضي الله عنها merupakan sepupu baginda.
Cerita yang lebih panjangnya adalah begini:
Lantaran perintah berperang sudah turun daripada Allah ﷻ, maka pada suatu waktu di akhir Jamadil-Akhir setelah 17 bulan Rasulullah ﷺ berpindah ke Madinah, baginda telah memanggil Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bersama dengan lapan orang Muhajirin, lalu baginda memerintahkan mereka berangkat ke arah Badar, seraya menyerahkan sepucuk surat dan baginda berkata: “Segera engkau berangkat bersama teman-temanmu yang lapan ini. Setelah dua hari perjalanan barulah boleh engkau buka dan baca suratku ini. Jalankan apa yang aku perintahkan di dalamnya. Tetapi teman-temanmu yang lapan sekali-kali jangan engkau paksa menurutkan engkau.”
Setelah itu berangkatlah Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dengan lapan temannya itu, dan setelah dua hari perjalanan surat itu dibuka dan dibacanya, di antara isinya ialah memerintahkan beliau meneruskan perjalanan menuju ke Nakhlah, dan dari sana perhatikan gerak-geri orang Quraisy. Tentang berperang tidak ada perintah dan tidak ada larangan dalam surat itu. Sehabis surat dibaca oleh Abdullah bin Jahasy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ maka beliau berkata: “Sam’an wa tha’atan!” (didengar dan dipatuhi), lalu beliau berkata kepada teman-temannya itu: “Siapa di antara kalian yang ingin syahid turutkan aku, kerana aku hendak meneruskan perintah Rasulullah ﷺ. Akan tetapi barangsiapa yang enggan, boleh pulang, kerana Rasulullah ﷺ telah berpesan kepadaku dalam suratnya supaya jangan ada yang dipaksa.” Rupanya tidak ada seorang pun yang mahu pulang, melainkan semua menurut. Mereka meneruskan perjalanan ke Nakhlah. Namun begitu, di tengah jalan terdapat dua orang di antara mereka, iaitu Sa’ad bin Abu Waqash dan Utbah bin Ghazwan رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا terpaksa terpisah kerana mengejar unta mereka yang terlepas dan tersesat. Lalu Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bersama-sama dengan keenam temannya lagi meneruskan perjalanan ke Nakhlah. Ketika mereka tiba di sana kebetulan mereka bertemu dengan beberapa orang Quraisy yang mereka kenal. Ketika kedua belah pihak sudah tahu sama tahu ada lawan, bermuafakatlah Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dengan keenam temannya. Kalau kita berperang dengan mereka sekarang, bulan Rejab telah masuk, kita tidak boleh berperang di bulan yang dimuliakan. Tetapi kalau kita biarkan mereka, tentu malam ini juga mereka lekas-lekas kembali ke Makkah, dan di sana mereka akan beritahu kepada yang lain tentang kita, bahaya lebih besar akan kita hadapi. Lalu apakah jalan yang terbaik? Maka mereka telah membuat keputusan yang mereka harus diperangi sekarang juga, sebelum mereka melepaskan diri ke Mekah.
Maka Wakid bin Abdullah as-Sahmi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun memanahkan panahnya ke arah Amr bin al-Hadhrami, terkena lalu mati, manakala Usman bin Abdullah dan al-Hakam bin Kisan tertawan, tetapi Naufal saudara Usman bin Abdullah dapat meloloskan diri. Orang-orang tawanan bersama unta-unta mereka, mereka giring ke Madinah dan dibawa ke hadapan Rasulullah ﷺ. Maka setelah orang-orang tawanan dan harta rampasan itu dihadapkan kepada baginda, tidaklah kelihatan baginda gembira. Baginda berkata: “Aku tidak memerintahkan kamu berperang di bulan yang dimuliakan.” Maka kedua orang tawanan itu ditahan saja, tidak diperlakukan sebagai orang tawanan dan barang-barang rampasan itu diletakkan saja. Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dengan teman-temannya kelihatan bermuka muram, kerana mereka sedar yang mereka telah salah dan menyesal. Semua kaum Muslimin menyalahkan mereka, dan berita ini pun segera tersiar dalam kalangan kaum Quraisy, menjalar ke suku-suku Arab yang lain: Muhammad ﷺ mengizinkan berperang di bulan mulia, dia telah membunuh dengan cara yang terlarang, dia telah menawan dan dia telah merampas. Menurut adat turun-temurun segala peperangan dihentikan pada bulan yang mereka muliakan, iaitu bulan Rejab, ZulQaedah, ZulHijjah dan Muharram.
Begitu kecoh sekali berita itu sampaikan orang Quraisy mengirimkan utusan ke Madinah, menanyakan kepada baginda, apakah baginda membolehkan peperangan di bulan yang dimuliakan? Apakah tiada lagi harganya perjanjian yang telah diikat sejak zaman purbakala oleh nenek moyang kita bahawa pada bulan yang empat itu tidak boleh ada peperangan? Di saat yang demikianlah turunnya ayat ini:. “Mereka bertanya kepada engkau daripada hal bulan yang mulia, tentang berperang padanya. Katakanlah: Berperang padanya adalah soal besar!
قُل قِتالٌ فيهِ كَبيرٌ
katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar,
Perhatikan yang jawapan ini bukan daripada Nabi Muhammad ﷺ sendiri tetapi baginda tunggu jawapan daripada Allah ﷻ. Baginda tidak memandai-mandai dalam memberi jawapan. Hanya jikalau baginda tidak mendapat arahan daripada wahyu barulah baginda melakukan ijtihad. Jikalau ijtihad baginda itu salah, maka Allah ﷻ akan turunkan ayat untuk memperbetulkannya.
Di dalam ayat ini, Allah ﷻ tidak menafikan bahawa berperang dalam Bulan Haram itu memang berdosa besar. Lihatlah keadilan Islam, kalau salah tetap dikatakan salah. Walaupun yang melakukannya adalah umat Islam, walaupun saudara mara kita sendiri. Jadi ini mengajar kita jangan kita beralasan hanya untuk mempertahankan golongan kita. Begitulah keindahan Islam yang adil.
Mereka tanya tentang bulan Rejab itu akan tetapi Allah ﷻ jawab semua bulan haram berperang di dalamnya (iaitu memulai perang, kalau diserang boleh mempertahankan diri). Ini kerana kalimah قِتالٌ di dalam bentuk nakirah (umum) dan bukan القِتالٌ. Jadi ada dua kalimah قِتال di dalam ayat ini. Kalimah قِتال yang pertama merujuk kepada peperangan yang melibatkan Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan kalimah قِتال yang kedua merujuk kepada peperangan secara umum.
Dalam masa yang sama, Allah ﷻ suruh jawab yang kejadian ini tidak sengaja. Bukan sahabat itu sengaja hendak berperang dalam Bulan Haram itu. Atau, ia bermaksud ya benar peperangan yang dilakukan oleh Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu berdosa kerana ia bukan arahan Nabi ﷺ dan mereka lakukan di bulan Haram. Namun lihatlah bagaimana sikap Musyrikin Mekah itu, apabila orang Islam buat salah terus mereka nampak dan bising, padahal mereka sendiri lagi banyak buat kesalahan. Jadi di sini Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa perbuatan Musyrikin Mekah itu lebih besar dan lebih buruk.
Ada lima kesalahan mereka dan setiap satunya patut sudah boleh mereka diperangi kerana ia bukanlah kesalahan biasa. Mereka sahaja buat tidak nampak. Biasa begitulah masyarakat dunia dengan orang Islam. Kalau umat Islam buat salah sedikit sahaja, kecoh satu dunia dan kaitkan kesalahan itu dengan agama Islam – mereka kata Islam agama pengganas. Sebaliknya jika ia dilakukan oleh agama lain, mereka senyap sahaja dan tidak kaitkan dengan agama orang itu. Umpamanya, kalau orang baik yang buat salah, akan nampak pelik tetapi kalau orang jahat buat jahat, orang tidak kisah pun. Maknanya orang luar melihat orang Islam ini sebagai orang yang baik sebenarnya.
Di dalam ayat ini Allah ﷻ mengajar kepada Nabi ﷺ cara untuk menjawab soalan mereka itu. Allah ﷻ memberitahu bahawa memang berperang di Bulan Haram itu memang besar dosanya. Memang berperang dan membunuh dalam Bulan Haram itu berdosa besar sekiranya dilakukan dengan sengaja sedangkan apa yang dilakukan oleh para sahabat ketika itu adalah tidak sengaja. Maka ia dimaafkan.
وَصَدٌّ عَن سَبيلِ اللَّهِ وَكُفرٌ بِهِ
tetapi perbuatan menghalangi manusia dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya,
Mereka mengutuk dan menyalahkan umat Islam tetapi buat tidak nampak sahaja perbuatan mereka menghalang orang-orang lain daripada masuk Islam. Mereka memburukkan Islam kerana tidak mahu orang lain masuk Islam. Sudahlah mereka sendiri kufur kepada Allah ﷻ, mereka menghalang orang lain pula. Mereka telah menghalang orang lain daripada memeluk agama Islam adalah perkara yang lebih besar dan faktor ini sebenarnya sudah cukup untuk berperang dengan mereka.
Jika benar kesalahan Abdullah bin Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu memang salah, namun kesalahan mereka lebih besar lagi kerana jika dibandingkan perbuatan membunuh itu hanya mengakibatkan orang itu mati sahaja. Akan tetapi dengan menghalang manusia daripada kebenaran, menyebabkan orang itu masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya selama-lamanya. Jadi kita kena pandai menilai antara kesalahan itu.
Bukan zaman itu sahaja terjadi, namun ia berterusan zaman berzaman. Orang kafir tetap menjalankan dakyah-dakyah palsu bagi menghalang manusia daripada kenal agama sebenar. Bagaimana pula dengan tindakan pihak yang menghalang ajaran Sunnah dalam masyarakat Islam? Ini pun ada masalah. Ajaran Sunnah yang berasaskan wahyu Al-Qur’an dan Hadith dituduh sebagai sesat oleh pihak-pihak yang tidak suka dengan ajaran Sunnah. Ini pun termasuk juga menghalang manusia daripada beriman.
وَالمَسجِدِ الحَرامِ
dan (juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam)) ke Masjid Al-Haraam
Yang kedua, mereka menghalang orang Islam daripada menggunakan Masjidilharam untuk beribadat. Kalimah ini hanya menyebut MasjidilHaram sahaja, jadi salah satu pendapat adalah diambil daripada sambungan kalimah صَدٌّ (menghalang). Mereka halang orang beriman daripada beribadat di situ sedangkan mereka sendiri sebenarnya tidak layak beribadah di situ dan menjaga Ka’bah kerana mereka adalah orang-orang yang mengamalkan syirik. Mereka telah mempersendakan lambang Islam iaitu masjid yang paling mulia dalam dunia ini.
Sepatutnya ia diberikan kepada Nabi ﷺ untuk digunakan kerana Nabi ﷺ lebih layak. Namun begitu mereka telah menghalang Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم daripada beribadat di Kaabah. Sekiranya manusia lain yang datang dari jauh untuk tawaf dan menyembah berhala, mereka benarkan pula. Terkenang kita kisah yang menyayat hati terjadi kepada Rasulullah ﷺ, dan kisah itu membawa ke medan Badar.
عَنْ عَمْرُو بْنُ مَيْمُونٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ حَدَّثَهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي عِنْدَ الْبَيْتِ وَأَبُو جَهْلٍ وَأَصْحَابٌ لَهُ جُلُوسٌ إِذْ قَالَ بَعْضُهُمْ لِبَعْض أَيُّكُمْ يَجِيءُ بِسَلَى جَزُورِ بَنِي فُلَانٍ فَيَضَعُهُ عَلَى ظَهْرِ مُحَمَّدٍ إِذَا سَجَدَ فَانْبَعَثَ أَشْقَى الْقَوْمِ فَجَاءَ بِهِ فَنَظَرَ حَتَّى سَجَدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَضَعَهُ عَلَى ظَهْرِهِ بَيْنَ كَتِفَيْهِ وَأَنَا أَنْظُرُ لَا أُغْنِي شَيْئًا لَوْ كَانَ لِي مَنَعَةٌ قَالَ فَجَعَلُوا يَضْحَكُونَ وَيُحِيلُ بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَاجِدٌ لَا يَرْفَعُ رَأْسَهُ حَتَّى جَاءَتْهُ فَاطِمَةُ فَطَرَحَتْ عَنْ ظَهْرِهِ فَرَفَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأْسَهُ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِقُرَيْشٍ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَشَقَّ عَلَيْهِمْ إِذْ دَعَا عَلَيْهِمْ قَالَ وَكَانُوا يَرَوْنَ أَنَّ الدَّعْوَةَ فِي ذَلِكَ الْبَلَدِ مُسْتَجَابَةٌ ثُمَّ سَمَّى اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَبِي جَهْلٍ وَعَلَيْكَ بِعُتْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ وَشَيْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ وَالْوَلِيدِ بْنِ عُتْبَةَ وَأُمَيَّةَ بْنِ خَلَفٍ وَعُقْبَةَ بْنِ أَبِي مُعَيْطٍ وَعَدَّ السَّابِعَ فَلَمْ يَحْفَظْ قَالَ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ رَأَيْتُ الَّذِينَ عَدَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَرْعَى فِي الْقَلِيبِ قَلِيبِ بَدْرٍ
Daripada ‘Amru bin Maimun bahawa ‘Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menceritakan kepadanya, bahawa sesungguhnya pernah Nabi ﷺ solat dekat Baitullah ketika Abu Jahal dan teman-temannya sedang duduk-duduk di situ. Tiba-tiba sebahagian daripada mereka berkata kepada sebahagian yang lain, ‘Siapa daripada kalian yang akan mendatangkan tembuni unta bani fulan, dan meletakkannya di belakang Muhammad ketika dia sujud?‘ Maka bangkitlah orang yang paling malang di antara mereka. Setelah diambilnya tembuni itu, dia menunggu Nabi ﷺ sujud. maka ketika Nabi ﷺ sujud, dia meletakkan tembuni itu di atas belakang baginda iaitu di antara dua belikatnya. Aku melihat semua itu tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Kalaulah aku mempunyai kekuatan masa itu, kata Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. “Mereka pun tertawa-tawa sambil tunjuk menunjuk sesama yang lain. Rasulullah ﷺ terus dalam keadaan sujud, baginda tidak mengangkat kepalanya hingga datang Fatimah رضي الله عنها kepadanya. Setelah Fatimah رضي الله عنها membersihkan tembuni itu dari belakang baginda, barulah Rasulullah ﷺ mengangkat kepalanya seraya berdoa: “Ya Allah, berilah balasan kepada orang-orang Quraisy ini.” Sebanyak tiga kali. Doa Nabi ﷺ itu terasa berat oleh mereka. ‘Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ meneruskan, “Sebab mereka berpendapat doa di negeri Makkah itu mustajab. Kemudian Nabi ﷺ menyebut satu persatu nama-nama mereka yang terlibat itu: “Ya Allah, balaslah Abu Jahal, balaslah ‘Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah, Al Walid bin ‘Utbah, Umayyah bin Khalaf dan ‘Uqbah bin Abu Mu’aith.” Dan Nabi ﷺ ada menyebut nama yang ke tujuh tetapi kami lupa.” ‘Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Demi Tuhan yang nyawaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku telah melihat orang-orang yang disebut Nabi ﷺ tersebut, mati bergelimpangan di dalam perigi buta di Badr.”
(Sahih Bukhari No. 233)
Tafsir kedua mengambil daripada kalimah وَكُفرٌ بِهِ iaitu mereka kufur dengan MasjidilHaram iaitu tidak menggunakan ia seperti yang sepatutnya; sepatutnya di situ disembah hanya Allah ﷻ sahaja sebaliknya mereka buat sembah berhala. Mereka halang orang yang sepatutnya beribadah di situ. Mereka juga reka cara ibadah baru seperti tawaf bertelanjang.
وَإِخراجُ أَهلِهِ مِنهُ
serta mengusir penduduknya dari situ,
Ketiga, mereka telah menghalau para sahabat yang Mukmin dari tanah-tanah mereka yang mereka berhak ke atas tanah-tanah itu. Musyrikin Makkah telah menghalau mereka sampai mereka terpaksa lari ke Habasyah dan ke Madinah meninggalkan kampung halaman yang mereka cintai. Kemudian harta dan tanah mereka telah dirampas oleh puak Musyrik itu. Padahal mereka tidak layak mengambilnya.
Musyrikin Makkah itu mengeluarkan ‘ahli’ Makkah dari Makkah. Akan tetapi bukankah golongan musyrik juga penduduk Makkah? Namun begitu perkataan yang digunakan seolah-olah mereka itu bukan ahli Makkah pula. Ini adalah kerana mereka itu tidak layak duduk di Makkah seperti disebut di dalam Anbiya’: 105
وَلَقَد كَتَبنا فِي الزَّبورِ مِن بَعدِ الذِّكرِ أَنَّ الأَرضَ يَرِثُها عِبادِيَ الصّٰلِحونَ
Dan sungguh telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) al-Kitab, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang soleh.
أَكبَرُ عِندَ اللَّهِ
adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah.
Ketiga-tiga perkara yang dilakukan oleh Musyrikin Makkah itu adalah kesalahan yang lebih besar daripada berperang di Bulan Haram. Kesalahan mereka itu sudah sepatutnya diperangi tetapi setakat itu, umat Islam masih membiarkan sahaja kerana belum datang perintah untuk berperang.
وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ
Dan (ingatlah), fitnah syirik itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan
Yang keempat, mereka telah melakukan kerosakan di atas muka bumi. Jadi ini bukanlah ‘fitnah’ yang selalu digunakan dalam Bahasa Melayu. Ramai yang keliru dengan penggunaan kalimah ini. Dalam Al-Qur’an, kalimah fitnah terulang tidak kurang daripada tiga puluh kali, tidak satu pun yang mengandungi makna membawa berita bohong, atau menjelekkan orang lain. Kerana itu tidaklah tepat kalau ada yang mengertikan kalimat وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ di dalam Baqarah: 191 dan kalimat وَالفِتنَةُ أَكبَرُ مِنَ القَتلِ di dalam ayat 217 ini dengan makna memfitnah (membawa berita bohong, menjelekkan orang lain) seperti yang difahami oleh kebanyakan orang Melayu.
Fitnah yang dimaksudkan dalam ayat yang ditafsirkan ini adalah penyeksaan yang dilakukan oleh kaum musyrikin di Makkah. Itulah yang ditunjuk sebagai lebih kejam dan lebih besar dosanya daripada pembunuhan yang dilakukan oleh pasukan pimpinan ‘Abdullah Ibn Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan kelompoknya, apatah lagi jika peristiwa ini terjadi pada malam pertama bulan Rejab. Penyeksaan kaum musyrikin lebih kejam dan besar dosanya daripada pembunuhan pasukan itu, kerana ketika itu mereka belum mengetahui bahawa bulan Rejab telah tiba (mengikut satu pendapat).
Kata fitnah dalam ayat ini dapat juga difahami dalam erti seksaan yang akan dialami kaum musyrikin di hari Kemudian, lebih besar dan lebih keras sakitnya daripada pembunuhan yang dilakukan oleh anggota pasukan ‘Abdullah Ibn Jahsy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mahupun kaum musyrikin terhadap kaum muslimin.
Kalimah fitnah itu juga boleh bermaksud syirik. Fitnah syirik yang mereka lakukan itu sebenarnya lebih besar daripada berperang dan membunuh. Ini kerana jikalau kita membunuh manusia, orang itu akan mati sahaja dan memang lumrah manusia akan mati pun, sama ada kerana tua atau kerana sakit dan sebagainya. Akan tetapi sekiranya melakukan syirik, itu akan menyebabkan manusia masuk ke dalam neraka dan kekal di dalamnya.
Potongan ayat ini selalunya disebut-sebut oleh orang kita untuk mengutuk perbuatan fitnah yang dikenakan kepada mereka. Mereka sangka الفِتنَةُ di dalam ayat ini sama dengan fitnah dalam bahasa Melayu. Ini bermakna mereka tidak belajar tafsir dan kerana itu kalau hendak menilai ilmu agama seseorang, ini adalah antara ayat yang boleh menilai mereka. Kalau mereka gunakan ayat ini tentang fitnah yang digunakan dalam bahasa Melayu, jadi tahulah kita yang orang ini bukan orang berilmu. Lebih menyedihkan jikalau orang yang dipanggil ‘ustaz’ pun boleh buat kesalahan ini.
وَلا يَزالونَ يُقٰتِلونَكُم حَتّىٰ يَرُدّوكُم عَن دينِكُم إِنِ استَطٰعوا
Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu daripada agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian);
Yang kelima dan akhir sekali, walaupun umat Islam telah bertapak di Madinah pun puak Musyrikin itu masih lagi mahu memerangi puak Islam dan mereka telah bertekad tidak akan berhenti sehingga orang Islam murtad. Mereka mahu umat Islam itu kembali kepada agama syirik mereka. Padahal, umat Islam tidak mengganggu mereka pun. Ini kerana dengan naiknya agama Islam akan mengurangkan kedudukan mereka di mata masyarakat Arab sebagai penjaga Ka’bah.
Lima kesalahan yang mereka lakukan dengan sengaja itu mereka tidak nampak sedangkan satu kesalahan yang dilakukan oleh puak Islam dalam keadaan tidak sengaja itu mereka perbesar-besarkan pula.
Kalimah يَزالونَ di dalam bentuk fi’il mudhari’ yang memberi isyarat ia masih berlaku. Ia adalah peringatan kepada umat Islam sepanjang zaman bahawa orang kafir akan sentiasa sahaja memerangi umat Islam. Kita pun sudah belajar di dalam Baqarah: 120
وَلَن تَرضىٰ عَنكَ اليَهودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُم
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu).
Begitulah propaganda yang selalu diada-adakan oleh puak kafir untuk menjatuhkan nama Islam. Contohnya mereka mengatakan kepada dunia yang kita adalah agama terrorist (pengganas). Padahal agama Islam tidak mengajar umatnya menjadi pengganas. Seorang Islam tidak akan berani hendak membunuh orang lain tanpa sebab yang dibenarkan, kerana kita takutkan api neraka. Kadang-kadang yang membunuh itu adalah orang kafir dan mereka menuduh orang Islam yang bunuh kerana hendak menjatuhkan nama baik Islam. Mereka sanggup lakukan begitu kerana mereka tidak takut kepada akhirat.
Namun dek kerana propaganda mereka itu kuat maka ramai daripada orang Islam yang malu dengan Islam dan malu hendak menyampaikan agama Islam ini kepada orang-orang kafir kerana mereka sendiri tidak faham Islam. Sedangkan tugas kita adalah menyampaikan dakwah tauhid kepada umat manusia seluruhnya. Kita tidak perlu malu dengan agama Islam ini kerana ia adalah agama yang suci, benar dan mulia. Orang-orang yang malu dengan agama sendiri adalah mereka yang jahil.
Orang kafir mengutuk orang Islam dan agama Islam, sedangkan orang-orang kafir itu yang sepatutnya belajar dengan orang-orang Islam cara-cara memimpin dan cara-cara menjalani kehidupan. Dalam sejarah dunia, kerajaan yang dipimpin oleh pemerintahan Islam dan negara aman damai dan orang-orang kafir pun dapat menumpang keamanan itu. Ini boleh dikaji dalam sejarah dunia.
Jadi janganlah mereka yang hendak mengajar kita, sebaliknya merekalah yang kena belajar dengan kita. Namun malangnya ramai daripada orang-orang Islam yang tidak memahami agama sendiri dan akhirnya terpaksa belajar dengan orang-orang kafir tentang cara-cara kepemimpinan. Akhirnya orang-orang Islam yang mengikut telunjuk orang-orang kafir. Sudah jadi terbalik pula.
Jadi di sini kita diperingatkan bahawa orang kafir akan sentiasa mencuba untuk memurtadkan umat Islam. Mereka memerangi umat Islam bukannya hendak membunuh sangat akan tetapi tujuan asalnya adalah untuk umat Islam meninggalkan agama Islam. Adakah mereka berjaya? Kalimah إِنِ di dalam إِنِ استَطٰعوا boleh juga diterjemahkan ‘mereka tidak mampu’. Kerana itulah Islam masih ada dan masih kuat lagi sampai sekarang. Mereka tidak berjaya memurtadkan seluruh umat Islam akan tetapi jika dilihat secara individu ada juga berjaya dimurtadkan oleh mereka. Ada umat Islam yang terpedaya dengan diayah-diayah mereka dan ada yang masuk Kristian dan malah ada juga yang masuk agama Hindu. Kalau tidak masuk agama mereka pun mereka tidak kisah, asalkan meninggalkan agama Islam. Jadi ini mengingatkan kita untuk mendidik anak-anak kita dengan didikan agama yang lengkap supaya tidak senang tertipu dengan diayah orang kafir.
وَمَن يَرتَدِد مِنكُم عَن دينِهِ فَيَمُت وَهُوَ كافِرٌ
dan sesiapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir,
Seandainya ada umat Islam yang termakan dengan dakyah atau tidak tahan dengan tekanan daripada Musyrikin Makkah itu dan sampai menyebabkan mereka murtad, maka Allah ﷻ hendak memberi peringatan kepada mereka. Jikalau mereka buat syirik kembali dan sempat bertaubat, masih ada harapan untuk mereka. Namun jika mereka mati tanpa sempat bertaubat, maka nasib mereka adalah amat malang sekali.
Di dalam ayat ini ada disebut syarat iaitu orang itu mati di dalam keadaan murtad kufur itu. Ia menjadi perbincangan ulama’ sekiranya dia sempat bertaubat sebelum dia mati, adakah amalannya yang dahulu diterima? Bagi pendapat mazhab Syafie, amalannya tidak terhapus. Malah kalau dia telah melakukan ibadah Haji, dia tidak perlu mengulanginya. Akan tetapi bagi pendapat mazhab Hanafi dan Maliki, dia perlu mengulangi Hajinya kerana Hajinya itu telah terbatal.
فَأُولٰئِكَ حَبِطَت أَعمٰلُهُم فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ
maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat,
Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Ini merupakan peringatan kepada orang-orang Islam jikalau mereka murtad, segala amalan-amalan kebaikan yang mereka pernah lakukan akan hancur berkecai, tidak bernilai langsung.
Jikalau mereka murtad (dengan jelas dan war-warkan dia telah murtad), hukumnya di dunia lagi mereka boleh dibunuh dan jenazah mereka tidak dimandikan dan tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam yang lain. Isteri mereka pun tertalak secara automatik. Manakala jika ada saudara mereka yang kematian, mereka tidak layak mendapat bahagian daripada harta faraid. Rasulullah ﷺ bersabda dan dinukilkan di dalam Sahih Bukhari,
مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ
“Barang siapa yang mengganti agamanya (murtad), maka bunuhlah dia.”
(Sahih Bukhari No. 6922)
Di dalam hadith yang lain,
عَنِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ يَحِلُّ دَمُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ: الثَّيِّبُ الزَّانِي، وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ، وَالتَّارِكُ لِدِيْنِهِ المُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ
Daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللهُ عَنْهُ, dia berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Tidak halal darah seorang muslim kecuali kerana salah satu daripada tiga sebab: (1) orang yang telah menikah yang berzina, (2) jiwa dengan jiwa (membunuh), (3) orang yang meninggalkan agamanya (murtad), lagi memisahkan diri daripada jamaah kaum muslimin.”
(Sahih Bukhari No. 6878 dan Muslim No. 1676)
Ulama fiqh klasik daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i, dan Hanbali umumnya berpendapat bahawa murtad harus dihukum mati, tetapi dengan beberapa syarat:
-
- Diberi waktu untuk bertaubat (biasanya 3 hari).
- Tidak sekadar meninggalkan Islam, tetapi juga menyebarkan kekacauan (misalnya, mengajak orang lain untuk keluar daripada Islam, menghina Islam, atau bergabung dengan musuh Islam).
- Dilaksanakan oleh pemerintah atau mahkamah syariah, bukan oleh individu secara sembarangan.
Mereka harus dibunuh kerana mereka telah menghina Islam. Mereka telah kenal dan masuk Islam, kemudian mereka keluar dan akan memberi gambaran yang buruk terhadap Islam. Kalau mereka murtad tetapi mereka simpan sendiri sahaja dan tidak menyebarkan tentang hal itu, tidaklah mereka dibunuh oleh kerajaan Islam. Begitulah keadaan mereka di dunia sementara di akhirat kelak, Allah ﷻ lebih tahu tentang kedudukan mereka. Segala ibadah mereka akan terhapus dan tidak dikira dan mereka akan kekal dalam neraka, nauzubillah!
وَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ
dan mereka itulah ahli neraka,
Asalnya mereka Muslim dan ada harapan untuk masuk syurga. Namun jikalau mereka murtad, mereka akan menjadi ahli neraka dan mereka akan kekal dalamnya, kerana mereka memegang ‘geran’ neraka. Itulah maksud ‘ashab’.
هُم فيها خٰلِدونَ
kekal mereka di dalamnya
Mereka akan kekal di dalamnya dengan tidak ada harapan untuk masuk syurga langsung. Kekal mereka di neraka selama-lamanya. Walaupun mereka pernah menjadi Muslim, tetapi kerana mereka mati dalam keadaan kufur, mereka sama sahaja macam orang-orang kufur yang lain.
Inilah ayat yang diturunkan untuk menjelaskan duduknya perkara. Abdullah bin Jahasy رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tidak bersalah. Beliau telah bertemu dua jalan bersimpang yang keduanya berbahaya; beliau mengakui berperang di bulan yang mulia dan telah melakukan suatu pelanggaran besar. Namun membiarkan musuh itu pulang sahaja, akan membawa bahaya yang lebih besar, iaitu terus-menerusnya kufar Mekah itu beraksi menentang Islam. Maka oleh sebab rintangan dan fitnah itu daripada merekalah mulanya, ini wajib dilawan terus, ditangkis terus, dihadapi terus, sampai mereka tunduk. Pada waktu itu bukan saja perang di bulan mulia yang tidak ada lagi, malahan keamanan beragamalah yang akan tercapai.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 19 Mac 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
