Tafsir Surah Kahfi Ayat 106 – 108 (Ajakan belajar ilmu Wahyu)

Kahf Ayat 106: Tempat kembalian mereka adalah ke neraka

ذٰلِكَ جَزآؤُهُم جَهَنَّمُ بِما كَفَروا وَاتَّخَذوٓا ءآيٰتي وَرُسُلي هُزُوًا

Sahih International

That is their recompense – Hell – for what they denied and [because] they took My signs and My messengers in ridicule.

Malay

(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.

 

ذَٰلِكَ جَزَآؤُهُمْ جَهَنَّمُ

Demikian balasan bagi mereka iaitu Neraka Jahannam; 

Balasan bagi mereka yang mengamalkan amalan syirik dan bid’ah adalah neraka. Mereka susah payah buat amalan itu tetapi akhirnya masuk neraka. Tidakkah rugi?

 

بِمَا كَفَرُوا

terhadap apa yang mereka dulu engkar dan kufur;

Ini adalah kerana mereka ingkar dengan wahyu Allah ﷻ. Mereka buat tidak endah kepada larangan-larangan dalam ayat-ayat Al-Qur’an. Al-Qur’an beritahu jangan buat amalan syirik dan bid’ah tetapi mereka buat juga. Berbagai alasan dan hujah yang mereka keluarkan untuk membenarkan apa yang mereka lakukan itu namun semuanya bukan daripada dalil yang sah.

Itu semua adalah kerana mereka tidak mahu belajar tafsir Al-Qur’an dan belajar Sunnah kerana kalau mereka belajar, mereka akan faham apakah yang mereka baca dalam Al-Qur’an. Juga pasti mereka akan faham apakah yang Nabi ﷺ katakan dalam hadith. Kalau tidak belajar atau belajar juga tetapi dengan guru yang salah, memang akan mudah sahaja tertipu.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah semua ayat-ayat Allah ﷻ itu kita ikut dan amalkan? Kufur itu bermaksud ingkar, adakah kita selamat daripada ingkar kepada ayat-ayat Allah ﷻ? Bagaimana dengan arahan Allah ﷻ untuk menutup aurat tetapi ramai yang tidak endahkan? Bagaimana dengan larangan Allah ﷻ di dalam Al-Qur’an daripada mengumpat tetapi selamba sahaja kita lakukan? Maka hendaklah ditanya soalan ini kepada diri sendiri: Adakah tidak ada langsung ayat-ayat Allah ﷻ yang kita ingkar?

 

وَاتَّخَذُوٓا ءآيٰتِي

Mereka mengambil ayat-ayat-Ku;

Macam-macam ayat mereka baca sebagai amalan mereka. Surah Yaasin, ayat Kursi dan banyak lagi. Namun sebelum mereka baca ayat-ayat itu, mereka akan baca kalimah tawasul kepada Nabi, Wali dan Malaikat dulu. Maka, apabila mereka buat begitu, mereka telah mempersendakan ayat Al-Qur’an. Ini kerana ayat Al-Qur’an juga yang melarang perbuatan mereka itu namun mereka lakukan juga. Mereka tidak endah ayat-ayat Al-Qur’an.

Mereka memang ada menggunakan ayat Al-Qur’an tetapi ayat Al-Qur’an itu sebenarnya diejek-ejek oleh mereka tanpa mereka sedari. Mereka membacakan ayat Al-Qur’an yang jelas melarang perbuatan yang mereka lakukan itu. Contohnya, mereka baca ayat Al-Qur’an yang melarang melakukan tawasul yang salah (kerana ada tawasul yang benar), namun dalam masa yang sama, mereka sendiri mengamalkan tawasul. Perbuatan itu adalah seperti mengejek ayat Al-Qur’an – mereka baca tetapi mereka berbuat yang sebaliknya daripada yang dilarang oleh ayat itu.

 

وَرُسُلِي

dan rasul-rasul (yang mengajar ayat itu);

Bukan Al-Qur’an sahaja dipersendakan tetapi Nabi ﷺ juga dipersendakan. Mereka mengaku Nabi Muhammad ﷺ itu adalah rasul mereka, tetapi suruhan Nabi ﷺ mereka tidak ikut, larangan Nabi ﷺ mereka buat. Bukankah itu mengejek namanya? Apa yang Nabi ﷺ ajar, mereka tidak belajar dan amalkan; sebaliknya mereka reka dan amalkan amalan yang entah datang dari mana.

 

هُزُوًا

sebagai ejek-ejekan.

Mereka tahu Allah ﷻ itu Tuhan dan Nabi Muhammad ﷺ itu Rasul. Mereka tahu yang Al-Qur’an dan Sunnah adalah sumber agama tetapi mereka tidak beri perhatian. Apabila mereka melakukan perkara yang dilarang oleh Al-Qur’an dan Sunnah, maka mereka sebenarnya telah mengejek-ngejek wahyu daripada Allah ﷻ itu.

Maka inilah masalah umat Islam kita pun. Jauh sangat daripada ilmu wahyu. Tidak diajar Tafsir Al-Qur’an dan syarah Hadith-hadith Nabi secara umum supaya semua orang tahu. Yang belajarnya adalah golongan tertentu seperti ustaz sahaja. Itu pun bukan semua ustaz belajar tafsir dan hadith. Ramainya belajar daripada ajaran yang bukan daripada ambilan wahyu. Akibatnya sudah bercampur aduk yang benar dengan yang salah. Maka mereka sebagai orang agama pun tidak faham hadis, ajar pula kepada orang awam yang lagilah tidak faham.

Kerana itulah sekarang berleluasa hadith-hadith yang tidak sahih. Selamba sahaja diajar oleh ustaz selebriti di media massa dan media sosial tanpa rasa bersalah dan tanggungjawab. Semua orang angguk-angguk rasa wah hebatnya ustaz ni cerita benda yang tidak pernah dengar: Nabi ada ‘first love’, Nabi makan anggur masam tetapi senyum dan banyak lagi. Dek kerana mereka ini ustaz selebriti, maka mereka terpaksa menceritakan kisah-kisah yang wow, yang orang tidak pernah dengar. Maka mereka ambil sahaja kisah daripada kitab-kitab merapu lah. Lagi pun kerana sudah selebriti, mereka tidak sempat hendak sambung belajar, mengkaji, periksa nota sebelum ajar, kerana mereka ke sana sini memenuhi agenda yang telah disusun. Mereka gunapakai sahaja apa yang mereka sempat baca dan sempat dengar.

Diajar pula kepada masyarakat yang sukakan kisah-kisah pelik tidak pernah didengar. Maka asatizah selebriti ini banyaknya lebih kepada qussas (tukar cerita) sahaja. Begitulah apabila masyarakat jauh daripada ilmu wahyu semenjak kecil lagi. Maka mudah sahaja yang jahil ‘digoreng’ dan diperbodohkan dengan kisah-kisah tidak sahih dan berdasarkan hadith dhaif sahaja. Sedangkan kalaulah masyarakat kita ini memiliki ilmu asas, mereka boleh mempersoalkan apa yang telah disampaikan. Sebenarnya kalau mereka dengar kisah yang berbunyi mengarut sedikit sahaja, boleh terus bertanyakan dalil. Malang sekali ustaz selebriti memang marah kalau ditanya dalil. Tentulah mereka marah kerana mereka ajar bukannya ada dalil, semberono sahaja diajar dan dijaja kisah dan hadith dhaif asalkan sedap dan menarik didengar.

Masalah lebih buruk lagi mereka ini sombong. Kalau ditegur oleh masyarakat, mereka melenting. Dikutuknya pula masyarakat kita yang kononnya bukannya faham kalau diberitahu dalil pun. Apabila ada yang sudah berani bertanya dan mempersoalkan mereka perli masyarakat pula kononnya sudah terlebih pandai daripada ulama dan macam-macam lagi. Begitulah kalau ditegur pula oleh orang yang berkelayakan, mereka menentang juga dengan berbagai-bagai alasan dan hujah diberikan. Maka semakin peninglah masyarakat kita untuk memahamai mana yang benar. Untuk golongan yang belajar dengan benar, dapatlah mereka menilai, namun amat menyedihkan sekali apabila kebanyakan masyarakat kita bukannya belajar tetapi suka dengar-dengar sahaja. Mereka akan lihat kepada perawakan sahaja. Mereka memandang ustaz selebriti sebagai benar kerana para ustaz sebegitu memang pandai bermain perasaan orang awam.


 

MEREKA YANG BERUNTUNG

Kahf Ayat 107: Tabshir Ukhrawi (beri gembira di akhirat). Setelah Allah ﷻ sebut tentang golongan yang rugi, Allah ﷻ imbangkan pula dengan sebut tentang golongan yang selamat.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ كانَت لَهُم جَنّٰتُ الفِردَوسِ نُزُلًا

Sahih International

Indeed, those who have believed and done righteous deeds – they will have the Gardens of Paradise as a lodging,

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).

 

إِنَّ الَّذِينَ ءآمَنُوا

Adapun orang-orang yang beriman;

Iaitu orang-orang yang beriman ‘sempurna’, tidak ada syirik kepada Allah ﷻ. Ini kerana bukan kena beriman sahaja, tetapi kena beriman ‘sempurna’, iaitu iman tanpa syirik. Untuk tahu apakah syirik, kena belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau tidak belajar, memang tidak akan tahu. Kerana sumber pengajaran tentang manakah fahaman syirik itu ada dalam Al-Qur’an.

Malangnya kebanyakan dalam masyarakat kita tidak tahu tentang perkara ini kerana mereka tidak belajar. Mereka sangka kalau mereka orang Islam tentulah mereka tidak melakukan syirik. Mereka sangka syirik itu hanyalah kalau sembah patung sahaja. Ini adalah fahaman yang salah kerana terdapat banyak lagi fahaman syirik.

 

وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Dan beramal amalan yang soleh;

Iaitu mereka beramal dengan amalan yang diambil daripada ajaran Nabi ﷺ. Mereka tidak buat amalan yang bid’ah. Amalan yang mereka lakukan, mereka pastikan yang ianya diambil dalilnya daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Mereka pastikan yang ia adalah daripada amalan sahabat-sahabat Nabi ﷺ.

Tentunya ini memerlukan pembelajaran dan kerana itulah Islam mewajibkan pembelajaran agama kepada semua penganutnya. Sekarang ini kita lihat banyak pertentangan pendapat antara umat Islam tentang mana amalan bid’ah dan tidak. Jalan penyelesaian adalah dengan ajak mereka belajar Ilmu Sunnah. Selagi tidak belajar, selama itulah akan ada percanggahan pendapat kerana cara belajar tidak sama. Yang kita kata bid’ah, mereka tidak akan faham kerana sandaran ilmu mereka berlainan daripada yang biasa mereka belajar. Kita kena sedar yang ajaran Sunnah sudah lama tidak digunakan di negara ini dan yang diamalkan sejak sekian lama adalah amalan bid’ah. Maka ramai dalam kalangan umat kita hanya nampak amalan yang sudah diterima turun temurun itu sahaja. Hasilnya mereka akan menentang kita apabila kita menegur amalan kita. Kenapa? Kerana cara belajar tidak sama.

Sebab itulah kita kena ajak mereka belajar ilmu wahyu supaya mereka janganlah terus berada dalam kejahilan. Janganlah hanya menggunakan ilmu yang kita belajar di sekolah rendah dan menengah itu sahaja. Jangan hanya menggunakan ilmu yang diajar di pondok-pondok itu sahaja. Kenalah tambah ilmu pengetahuan agama bagi pandai sikit. Ini adalah kerana banyak ajaran yang salah dan kalau tidak belajar, tidak akan tahu.

 

كَانَتْ لَهُمْ جَنّٰتُ الْفِرْدَوْسِ

bagi mereka syurga-syurga Firdaus;

Alangkah beruntungnya mereka kerana dapat dimasukkan ke dalam syurga dan syurga itu pula Tingkatan Firdaus. Kalimah الْفِرْدَوْسِ daripada katadasar ف ر د س yang bermaksud tanah subur, taman yang mengandungi segalanya, kebun, lembah yang subur, tempat terbaik di dalam syurga. Dari segi bahasa ia difahami dalam erti kebun kurma, atau kebun anggur.

Ulama’ khilaf sama ada ia berasal daripada bahasa Arab, Parsi, Suryani atau lain-lain bahasa. Ini adalah kerana ada juga kalimah di dalam Al-Qur’an yang diambil daripada bahasa selain bahasa Arab. Agama Kristian pula ambil kalimah الْفِرْدَوْسِ ini jadi Paradise. Ini kerana mereka pun sudah tidak tahu apa-apa tentang hari akhirat, maka mereka terpaksa ceduk sahaja daripada ajaran Islam. Itulah kesannya apabila kitab wahyu mereka disisihkan, menggunakan kata-kata orang agama sahaja. Seandainya kita umat Islam pun buat begitu juga, maka tidak mustahil kita pun akan ceduk amalan dan fahaman agama daripada agama lain. Ini sudah terjadi sepertimana ajaran sufi tarekat yang asalnya daripada agama Nasrani; fahaman sesat capal itu pula diambil daripada agama Hindu; Tahlilan asalnya daripada amalan agama Hindu; pembinaan kubur kita pun lama-lama sudah semakin hendak sama dengan kubur Kristian dan Hindu; dan macam-macam lagi lah.

Apakah sifat الْفِرْدَوْسِ itu? Itu adalah tingkatan syurga yang paling tinggi. Ia juga adalah di tengah. Maka ada khilaf sama ada ia tertinggi atau di tengah-tengah syurga. Yang sebetulnya ia yang paling tinggi dan kedudukannya juga di tengah-tengah. Ia menjadi tempat yang kita sepatutnya dambakan. Oleh kerana itu, apabila kita berdoa untuk masuk syurga, mohonlah untuk masuk Syurga Firdaus.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَبِرَسُولِهِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَصَامَ رَمَضَانَ كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ جَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ جَلَسَ فِي أَرْضِهِ الَّتِي وُلِدَ فِيهَا فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا نُبَشِّرُ النَّاسَ قَالَ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ وَأَعْلَى الْجَنَّةِ أُرَاهُ فَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّةِ قَالَ مُحَمَّدُ بْنُ فُلَيْحٍ عَنْ أَبِيهِ وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah, menegakkan solat, berpuasa bulan Ramadhan, maka sudah pasti Allah akan memasukkannya ke dalam syurga, baik apakah dia berjihad di jalan Allah atau dia hanya duduk tinggal di tempat di mana dia dilahirkan”. Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah tidak sebaiknya kami sampaikan berita gembira ini kepada orang-orang?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya di syurga itu ada seratus darjat (kedudukan) yang Allah sediakannya buat para mujahid di jalan Allah di mana jarak antara dua darjat seperti jarak antara langit dan bumi. Untuk itu bila kalian minta kepada Allah maka mintalah Syurga Firdaus kerana ia adalah tengahnya syurga dan yang paling tinggi. Aku pernah diperlihatkan bahawa di atas Firdaus itu adalah singgahsana-Nya Allah Yang Maha Pemurah di mana darinya mengalir sungai-sungai syurga”.
(Sahih Bukhari (2581))

Begitulah malangnya masyarakat Melayu kita yang jahil agama ini, terdapat sebuah syair yang mereka suka benar membacanya malah telah dijadikan lagu dialun dengan indah sekali oleh kumpulan nasyid tersohor negara ini. Mereka sangka ia adalah zikir yang bagus dan ada pula yang mendakwa ia adalah daripada Imam Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ. Perhatikan erti bait-bait syair popular ini:

إِلَهِي لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ أَهْلَا
وَلَا أَقوَى عَلَى النَّارِ الْجَحِيمِ
فَهَبْ لِي تَوْبَةً وَاغْفِرْ ذُنُوبِي
فَإِنَّكَ غَافِرُ الذَّنبِ الْعَظِيمِ
Wahai Tuhan ku tak layak ke Syurga-Mu
Namun aku tidak sanggup ke neraka-Mu
Terimalah taubatku dan ampuni segala dosaku
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar

Bait-bait di atas sebenarnya bukanlah zikir yang thabit daripada zikir Rasulullah ﷺ. Tidak ditemukan di dalam mana-mana kitab hadith sama ada khutub sittah (kitab hadith yang enam) seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Ibn Majah, Sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmizi,dan Sunan an-Nasai’e mahupun kitab hadith yang lainnya seperti Al-Muwaththa’ Al- Imam Malik, Musnad Imam Ahmad, Sunan ad-Darimi, Sahih Ibnu Khuzaimah, Sahih Ibnu Hibban, Mu’jam Al-Kabir, Mu’jam Al-Ausath, Mu’jam As-Saghir (at-Thabarani), Sunan ad-Daruquthni, Mustadrak Al-Hakim mahupun Sunan al-Kubra al-Bahaqi.

Sepanjang kajian, bait-bait ini dinisbahkan kepada beberapa tokoh tertentu antaranya ialah:

1. Daripada al-Imam As-Syafie رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitab Diiwaan al-Imam al-Syafie. Tidak ditemukan bait-bait di atas di dalam al-Diiwaan sebagaimana yang didakwakan.
2. Daripada Rabiatul Adawiyah. Dakwaan di atas tiada asalnya, tiada bukti yang menunjukkannya dan tiada dinuqilkan dalam mana-mana kitab kibar ulama’.
3. Daripada Syair Abu Nawas.
4. Daripada Ash-Sha’raaniyy dalam kitab I’aanah At-Taalibiin karya Ad-Dimyati As-Syafie.

Maka yang thabit adalah datangnya daripada seorang tokoh sufi bernama Ash-Sha’raaniyy sebagaimana yang dimuatkan oleh Al-Dimyaati dalam kitab I’aanah At-Taalibiin yang menyebut bahawa orang yang mengamalkan membacanya secara tetap pada hari Jumaat maka dia akan mati dalam Islam tanpa syak. Sebahagian berpendapat ia dibaca 5 kali selepas solat Jumaat. Seperti kita telah banyak sebut, golongan sufi adalah golongan jahil agama yang suka reka amalan dan meletakkan fadhilat yang berlebihan yang mereka ambil dari angin sahaja.

Maka jelas sekali bait di atas bukanlah bait zikir yang thabit daripada Rasulullah ﷺ dan ia tidak boleh diamalkan sebagai zikrullah baik ketika sesudah solat, ketika qiamullail dan sebagainya atas dasar ibadah. Sebagai umat Islam, kita seharusnya memohon kepada Allah ﷻ akan rahmatnya untuk ke syurga dan bukannya terus kata tidak layak. Maka berhentilah lagi daripada mengamalkan ‘zikir’ ini kerana ia berlawanan dengan hadith suruhan dan saranan daripada Nabi ﷺ sendiri.

Ia adalah idea karut daripada orang sufi jahil sahaja. Mereka itu suka reka fahaman-fahaman baru. Kalau kita dengar hujah mereka, boleh juga termakan sebab logik juga. Contohnya, bukankah ia nampak seperti merendahkan diri kita di hadapan Allah ﷻ? Merendah diri rasa tidak layak mendapat nikmat syurga daripada Allah ﷻ? Nampak macam baik, bukan? Sebab itulah ramai terjerumus ke dalam kesesatan sufi tarekat sebab memang akan nampak baik kalau jahil. Ia nampak baik pada akal kita sahaja tetapi tidak selari dengan wahyu. Kita telah lihat hadith Rasulullah ﷺ sendiri suruh kita minta Syurga Firdaus. Kemudian ada ayat Al-Qur’an sendiri yang ajar kita minta rumah dalam syurga. Lihat Tahreem: 11 di mana Allah ﷻ ulang doa Asiah isteri Firaun.

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذينَ ءآمَنُوا امرَأَتَ فِرعَونَ إِذ قالَت رَبِّ ابنِ لي عِندَكَ بَيتًا فِي الجَنَّةِ
Dan Allah membuat isteri Fir’aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika dia berkata: “Ya Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga

Seandainya salah cara Asiah berdoa ini, takkan Allah ﷻ ulang semula doa beliau?

 

نُزُلًا

sebagai tempat tinggal;

Kita telah pernah sebutkan sebelum ini kalimah نُزُلًا adalah hidangan tetamu yang istimewa. Hidangan itu bergantung kepada tuan rumah. Untuk orang kampung lain hidangannya, bagi orang kaya lain, untuk Perdana Menteri lain pula hidangannya dan untuk Agong pun tentulah lain. Sekarang yang tuan rumah adalah Raja Agong yang Maha Agong iaitu Allah ﷻ, maka sudah pasti ini adalah hidangan sambutan yang paling hebat.

Inilah tempat tinggal yang sebaik-baiknya yang kita kehendaki. Bandingkan dengan tempat tinggal ahli neraka yang amat teruk. Maka sekarang kita buatlah pilihan sendiri: Sama ada hendak syurga atau neraka. Akan tetapi kita sebagai manusia beriman akan tahu dan sedar bahawa jalan ke syurga berbeza sekali dengan jalan ke neraka. Hendak tahu jalan ke syurga, hendaklah telusuri ayat-ayat Al-Qur’an kerana ia telah dijelaskan di dalam Al-Qur’an sendiri.


 

Kahf Ayat 108:

خٰلِدينَ فيها لا يَبغونَ عَنها حِوَلًا

Sahih International

Wherein they abide eternally. They will not desire from it any transfer.

Malay

Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.

 

خٰلِدِينَ فِيهَا

Mereka kekal di dalamnya;

Ahli syurga bukan duduk sekejap sahaja di dalam syurga itu tetapi selama-lamanya kerana kalau duduk sekejap sahaja, tentu tidak menarik. Sepertimana juga kita kalau duduk hotel termahal sekali pun, kita pun tahu yang kita akan keluar, bukan? Maka itu mengurangkan kenikmatan duduk di hotel itu.

Manusia mahukan tempat tinggal yang tetap. Kerana itulah manusia teringin sangat untuk memiliki rumahnya sendiri dan tidaklah menyewa sampai mati. Allah ﷻ amat tahu sifat manusia begitu dan kerana itulah Allah ﷻ berikan tempat tinggal yang tetap kepada mereka yang beriman sempurna dan mengamalkan amalan soleh. Ganjarannya terbaik untuk mereka tidak akan dikeluarkan sampai bila-bila.

 

لَا يَبْغُونَ عَنْهَا حِوَلًا

Dia tidak ingin pertukaran dari syurga itu;

Kalimah حِوَلًا bermaksud tukar. Di sini kita dapat tahu yang penghuni syurga itu tidak akan mahu pun untuk keluar dari syurganya itu dan bertukar dengan tempat lain. Kalau kita di dunia sekarang, kalau ada kawan ajak keluar, kita mungkin keluar. Namun di syurga nanti, hendak keluar jumpa kawan pun tidak mahu. Sebab sedang sibuk menikmati segala nikmat-nikmat yang Allah ﷻ berikan itu.

Walaupun sudah lama duduk di dalam syurga nanti, penghuni syurga tidak akan berasa bosan dan tidak akan hendak berpindah darinya. Kalau kita di dunia, kalau sudah lama duduk di sesuatu tempat, tentulah ada rasa hendak berpindah ke mana-mana, pergi melancong sekejap ke luar negara, tetapi ini tidak akan terjadi apabila tinggal dalam syurga nanti. Nikmat yang diberikan kepada penghuninya tidak akan membosankan kerana sentiasa sahaja bertambah dan akan bertukar-tukar.

Ini adalah kerana nikmat yang Allah ﷻ berikan kepada manusia tidak akan sama. Akan berubah-ubah dan semakin baik dan semakin baik. Maka memang tidak akan menjadi bosan. Manusia akan sentiasa ternanti-nanti apakah yang mereka akan dapat. Setiap waktu teruja sahaja menunggu nikmat apa yang akan Allah ﷻ sediakan. Oh, alangkah indahnya, bukan?

Allah ﷻ akan hilangkan rasa bosan dan jemu yang sekarang ada di dunia. Ini sepertimana Allah ﷻ boleh menghilangkan rasa dengki atau ghil seperti yang disebut di dalam Hijr: 15

وَنَزَعنا ما في صُدورِهِم مِّن غِلٍّ إِخوٰنًا عَلىٰ سُرُرٍ مُّتَقٰبِلينَ
Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sehingga mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas dipan-dipan.

Bahawa di suyrga nanti penghuninya telah mencapai puncak tertinggi kemanusiaannya setelah berhasil melaksanakan peranannya di pentas hidup duniawi, maka di sana dan ketika itu Allah ﷻ mencabut dari lubuk hati manusia sumber rasa dengki dan permusuhan, sehingga yang ada di syurga tidak lain kecuali persaudaraan yang tulus lagi sangat bersahabat.

Nah, demikian juga dengan kebosanan menghadapi sesuatu. Rasa jemu dan keinginan mengganti serta selalu ingin meraih yang lebih baik, ditanamkan Allah ﷻ dalam jiwa manusia agar mereka terus mengembangkan diri di dunia dalam rangka memakmurkannya dan mencapai sukses setinggi mungkin. Akan tetapi di syurga nanti rasa jemu dan kebosanan itu tidak diperlukan lagi kerana manusia telah mencapai puncak daripada segala puncak yang dapat dicapainya, maka Allah ﷻ mencabut naluri tersebut dari dalam jiwa penghuni syurga sehingga mereka semua hidup dalam keadaan puas dan tidak mengharapkan lagi kelebihan atau peralihan kepada yang lain. Ini kerana kalau ada rasa bosan, rasa kurang dengan pemberian, maka ia akan mengurangkan nikmat di dalam syurga pula. Sedangkan syurga itu adalah tempat nikmat abadi.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Jun 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment