[Maknanya: tajuk ini hendak menekankan yang apabila kita belajar nama-nama Allah ﷻ, kita dapat tahu dan sedar bahawa Allah ﷻlah yang mencipta alam ini.]
Sesungguhnya di antara hal utama dan bermanfaat yang dapat meninggikan darjat seorang hamba dan membantunya dalam mengenal Allah ﷻ, mewujudkan kecintaan serta pujian kepada-Nya adalah dengan merenungkan dan mentadabburi nama-nama Allah ﷻ yang baik dan sifat-sifat-Nya yang mulia di dalam penciptaan alam semesta.
[Dengan mengetahui nama Allah ﷻ yang berkait dengan penciptaan alam semesta ini, ia akan meningkatkan cinta kita kepada Allah ﷻ. Maknanya kita bukanlah tengok sahaja alam ini dengna mata kasar kita, tetapi kita melihat dengan mata hati kita juga. Kemudian, kita kaitkan dengan nama-nama Allah ﷻ. Kita bukannya tidak tahu yang alam ini Allah ﷻ yang jadikan, tetapi dengan refleksi sebegini, akan lebih menaikkan cinta kita kepada Allah ﷻ.]
Selain itu, bahawasanya alam semesta ini, dari langit dan bumi, matahari dan bulan, malam dan siang, gunung-ganang, lautan, gerak dan diamnya makhluk, semua ini termasuk sebahagian daripada pengaruh nama-nama Allah ﷻ dan sifat-sifat-Nya. “Semuanya mengisyaratkan kepada nama-nama Allah ﷻ dan hakikatnya, menyeru dan menunjukkan kepadanya, mengabarkan dengan lisan dan keadaannya, sebagaimana yang pernah dikatakan,
Perhatikanlah fenomena alam semesta ini, sesungguhnya Dia adalah:
Dari Al-Malik (Raja) Yang Maha tinggi, (yang menyampaikan) risalah kepadamu
Dia telah menggariskan di dalamnya, seandainya engkau mahu merenungkan garisnya
(Mahu engkau tahu) bahawa segala sesuatu (sesembahan) selain Allah adalah batil
Fenomena alam tersebut mengisyaratkan untuk menetapkan sifat bagi Rabbnya
Yang diam dan yang berbicara menunjukkan akan semua itu
[Alam-alam ini menjadi tanda dan pengajaran bagi kita sebenarnya. Ia memberitahu kita bahawa yang berkuasa hanya Allah ﷻ sahaja, bukan alam. Contohnya matahari tidak ada kuasa.
Alam memang tidak bercakap tetapi ia sedang memberi isyarat kepada Allah ﷻ. Yang faham adalah mereka yang menggunakan akal.]
Untuk mengenal Allah ﷻ ada tiga asas:
1. Sesuatu yang tidak wujud tidak dapat mencipta apa-apa. Tidak akan terjadi sesuatu tiba-tiba tanpa ada yang menjadikannya.
2. Makhluk-makhluk adalah kesan-kesan yang dapat disaksikan bagi menceritakan sifat pencipta. Mungkin kita tidak tahu siapa Allah ﷻ namun kita tahu sedikit sifat Allah ﷻ. Contohnya, bila kita tengok kerusi, kita tahu yang membuatnya bukanlah tukang kasut. Bukanlah semua sifat pembuat itu kita tahu kerana sebahagian sahaja.
3. Sesiapa yang tidak ada sesuatu itu tidak boleh memberi sesuatu itu. Contohnya matahari tidak ada apa-apa maka ia tidak boleh memberi kehidupan. Ia tidak ada kasih sayang maka ia tidak boleh beri kasih sayang. Ia digunakan untuk menafikan sifat Tuhan kepada selain Allah ﷻ. Macam berhala mana boleh beri manusia makan sebab dia pun manusia yang memberinya makan.
Bab yang kita sedang bincangkan ini termasuk dalam perkara ke 2 di atas.
Pernahkah engkau melihat sesuatu yang lebih menunjukkan akan sifat-sifat Sang pencipta dan kesempurnaan sifat-Nya serta hakikah nama-nama-Nya daripada makhluk-makhluk-Nya? Ini termasuk semulia-mulia ilmu dan pengetahuan.
Semua nama Allah ﷻ memiliki sifat yang khusus bagi-Nya, kerana nama-nama Allah ﷻ mencakup sitat-sifat kesempurnaan dan pujian, dan setiap sifat-Nya memiliki kelaziman (pasif pada dirinya sendiri) dan perbuatan (yang kena kepada selainnya)-baik yang memerlukan objek mahupun tidak.
[Nama Allah ﷻ bukan sekadar nama sahaja tetapi ia juga mengandungi Sifat-Nya. Tidak sama dengan manusia yang namanya hanya nama sahaja. Sebagai contoh, orang yang bernama Ghani, tidak semestinya kaya, bukan? Namun apabila Allah ﷻ namanya al-Ghani, memang Allah Maha Kaya.
Nama dan sifat Allah ﷻ ada yang bersifat ‘lazim’ dan ada yang bersifat ‘muta’addi’ (ini adalah dua istilah yang digunakan dalam pembelajaran bahasa Arab). Apakah maksud ‘lazim’ dan ‘muta’addi’?
✍️ Lazim: sesuatu yang berdiri sendiri. Contoh apabila kita kata sesuatu itu cantik. Cantiknya itu tidak ada kaitan dengan orang lain.
✍️ Muta’addi: ada yang berkaitan dengan selain daripadanya. Sebagai contoh bila seseorang itu dikatakan penyayang, maka tentu ada yang disayanginya. Maknanya ada perbuatan yang dilakukan kepada orang lain.
Sebagai contoh, kita lihat sifat Rahman Allah. Ini memang sifat yang kita boleh bayangkan kehebatan Allah ﷻ. Allah boleh memberi rezeki yang banyak kepada makhluk, tidak kira sama ada mereka itu mukmin atau tidak.]
Perbuatan Allah Ta’ala memiliki keterkaitan dengan objeknya yang merupakan kelazimannya. Hal itu terwujud dalam penciptaan, perintah, pahala, dan larangan-Nya. Semua itu termasuk pengaruh nama-nama Allah yang baik dan kelazimannya. Tidak mungkin ditiadakan objeknya dari perbuatan-Nya, atau ditiadakan perbuatan-Nya dari sifat-Nya, dan tidak mungkin ditiadakan sifat-Nya dari nama-nama-Nya, demikian pula nama dan sifat-Nya dari Dzat-Nya.
[‘Terkaitan dengan objeknya’ adalah orang yang terkesan dengan sifat Allah ﷻ itu. Sebagai contoh, apabila dikatakan Allah ﷻ bersifat Rahman, kita sebagai makhluk terkena atau mendapat kesan daripada sifat Rahman Allah itu dan ini kita boleh lihat di mana-mana asalkan kita mahu membuka mata hati kita.
Dalam semua perintah Allah ﷻ ada sifat Rahman Allah. Walaupun kita mungkin tidak nampak. Walaupun arahan Allah ﷻ itu dalam menjalankan hukuman hudud kepada manusia.
Mari kita lihat contoh Hukuman Hudud ini. Memang kita nampak macam ganas dan manusia zaman sekarang kononnya sudah meninggalkan ‘kekejaman’ ini. Memang nampak ia kejam kepada orang yang dibunuh itu tetapi mengapa kita tidak melihat dari sudut mereka yang telah dizalimi sebelum itu? Iaitu mereka yang telah menjadi mangsa orang yang hendak dihukum itu.
Kenapa kita hendak membela orang yang telah melanggar hukum tetapi tidak menghiraukan hati mangsa? Kita yang tidak terlibat, mungkin kita pun kasihan juga kepada orang yang dikenakan dengan hukum hudud (potong tangan atau hukum pancung) tetapi bagaimana pula dengan ahli keluarga mangsa?]
Oleh kerana itu, disebutkan dalam Al-Qur’an pengingkaran terhadap orang-orang yang mengabaikan dari-Nya perintah, larangan, pahala, dan sangsi-Nya, dan bahawasanya orang yang mengatakan hal tersebut kepada-Nya, tidaklah mengagungkan Allah dengan sebenarnya.
[Ini tentang orang yang menidakkan sifat-sifat Allah ﷻ yang sepatutnya dinisbahkan kepada-Nya. Mereka tahu nama Allah ﷻ tetapi tidak mengaitkan nama-nama itu dengan sifat-sifat Allah ﷻ seperti yang sepatutnya. Mereka setakat tahu, ini nama Allah ﷻ, itu nama Allah ﷻ. Namun setakat itu sahaja kerana mereka tidak belajar makna-makna nama itu.
Itulah sebab kita kena kenal nama dan sifat-sifat Allah ﷻ supaya kita benar-benar mengenali Dia. Disebabkan tidak kenallah yang mengakibatkan kita asyik membuat kesilapan demi kesilapan yang sama.
Mengenal itu kena mengenali terlebih dahulu, kena belajar dahulu. Katakanlah kita tidak tahu bahayanya raksa (merkuri), tentulah kita tidak mengambil kisah pun jika hendak pegang raksa itu. Namun apabila kita sudah diberitahu yang kesannya amat berbahaya untuk keselamatan kita, maka barulah kita berhati-hati dengannya, bukan?
Sebagaimana sekarang kita kenal virus Covid-19. Pada peringkat awal dahulu, ramai yang mengatakan ia hanyalah virus biasa sahaja (seperti demam biasa sahaja mereka kata). Namun, lama-kelamaan kita tahu kesannya sangat teruk, amat senang untuk dijangkiti dan susah pula untuk diubati, malah tiada penawar berkesan ditemui sehingga hari ini dan sudah terlalu ramai yang telah menemui maut akibat virus ini. Maka kita sanggup duduk di rumah berhari-hari sehingga berbulan lamanya dan memakai topeng muka kalau kita keluar. Itu kerana kita sudah kenal bahayanya virus itu. Kalau tidak kenal, kalau masih menyangka ia adalah pandemik*?
Maka manusia yang tidak mengenali Allah ﷻ sebagaimana yang sepatutnya akan meninggalkan arahan Allah ﷻ dan melakukan larangan-Nya dengan selamba sahaja.]
Sebagaimana Allah telah berfirman tentang para pengingkar kenabian, kerasulan dan diturunkannya kitab-kitab,
وَمَا قَدَرُوا اللّٰهَ حَقَّ قَدۡرِهٖۤ اِذۡ قَالُوۡا مَاۤ اَنۡزَلَ اللّٰهُ عَلٰى بَشَرٍ مِّنۡ شَىۡءٍ
“Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan semestinya di kala mereka berkata: “Allah tidak menurunkan sesuatupun kepada manusia.” (QS. Al-An’aam: 91)
Allah Ta’ala berfirman tentang para pengingkar hari kiamat, pahala dan azab,
وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ وَالْأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَالسَّمَاوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ
“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yangsemestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. (QS. Az-Zumar: 67)
[Apabila tidak kenal Allah, maka manusia akan berkata dengan perkataan yang tidak layak dengan Allah. Ini kerana mereka tidak kenal Allah. Ada manusia yang mereka-reka pemahaman tentang Allah dari akal mereka sendiri. Maka itu adalah perkara yang amat buruk sekali.]
Allah Ta’ala berfirman tentang orang-orang yang menyamakan antara dua hal yang berbeza, antara yang baik dan yang jahat, yang kafir dan yang mukmin,
أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَن نَّجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَوَاءً مَّحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ
“Apakah orang-orang yang membuat kejahatan itu menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, iaitu sama antara kehidupan dan kematian mereka. Amat buruklah apa yang mereka sangka itu. [Jaatsiyah: 21]
Allah menjelaskan bahawa ini adalah hukum yang jelek dan tidak layak bagi-Nya, bagi nama dan sifat-Nya. Allah berfirman:
أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ
فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami. Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya; tidak ada ilah (yang berhak disembah) selain Dia, Rabb (Yang mempunyai ‘Arsy yang mulia.” (Al-Mukminun: 115-116) maksudnya, Mahasuci Allah dari prasangka dan perkiraan yang tidak layak dengan nama dan sifat-Nya.
Permisalan seperti ini sangat banyak dalam Al-Qur’an, yang intinya Allah menafikan dari diri-Nya hal-hal yang menyelisihi ketentuan nama dan sifat-Nya, kerana hal tersebut mengharuskan peniadaan Allah dari kesempurnaan-Nya dan dari kelaziman nama dan sifat-Nya.
Oleh kerana itu, di antara hal yang paling bermanfaat bagi seorang hamba dalam hal ini adalah merenungkan, memperhatikan kelaziman, dan makna nama-nama Allah yang baik atas kesempurnaan dan keagungan penciptanya dan bahawasanya Allah Ta’ala menyempurnakan dan mengukuhkan penciptaan-Nya,
“Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang” (Al-Mulk: 3). Setiap nama dari nama-nama Allah yang baik mengharuskan adanya pengaruh dari penciptaan dan pengaturan alam semesta.
[Sekarang kita lihat antara contoh nama-nama Allah ﷻ. Nanti kita akan belajar nama-nama ini satu persatu.]
Nama Allah Al-Hamid Al-Majid (Yang Maha Terpuji) mencegah dari ditinggalkan manusia dalam keadaan sia-sia, tidak diperintah dan tidak dilarang, tidak diberi pahala atau seksa.
[Allah ﷻ amat terpuji dan Dia memuji kalau kita buat benda baik. Allah ﷻ terpuji maknanya Dia tidak akan buat perkara yang tidak layak bagi-Nya. Semua benda Allah ﷻ buat pasti kita sanjung sebab terlalu hebat. Ini termasuklah penciptaan kita, tidaklah lahir, hidup dan kemudian mati begitu sahaja.
Kalau manusia yang membuat sesuatu, kadangkala kita pun kehairanan (“Eh kenapalah dia buat macam ini?”) Namun Allah ﷻ tidak akan berbuat begitu. Segala penciptaan-Nya dipuji dan kita tidak akan terfikir ia adalah sia-sia sahaja. Jika difikirkan kalau perkara itu adalah sia-sia maka itu salah satu sifat yang cela.]
Demikian pula nama Allah “Al-Hakim” (Yang Maha bijaksana) tidak sejalan dengan hal tersebut.
[Kalau Allah ﷻ bijaksana, maka tentulah apa sahaja yang Allah ﷻ buat adalah baik dan hebat. Cuma kita sahaja kadangkala tidak faham. Kerana itulah ada manusia yang mempersoalkan apa yang Allah ﷻ telah takdirkan. Contoh seperti Presiden Trump dilantik menjadi Presiden Amerika, ada yang hairan dan persoalkan kenapalah dia boleh menjadi Presiden? Semuanya dalam perancangan Allah ﷻ. Kita sahaja yang tidak faham kenapa Allah ﷻ takdirkan begitu. Tentu ada perkara yang Allah ﷻ telah rancangkan.
Sebagaimana kita berdakwah kepada orang, tetapi dia tidak mahu terima. Mungkin kita hairan kenapa orang itu tidak terima. Namun bayangkan, manusia terbaik iaitu Nabi Muhammad ﷺ berdakwah pun ada yang tidak terima. Maka jangan salahkah cara, teknik atau apa-apa sifat daripada pendakwah kerana Allah ﷻ yang belum memberikan hidayah kepadanya.]
Dan nama Allah “Al-Malik” (Yang Maharaja) dan “Al-Hayyu” (Yang Mahahidup) mencegah dari ditiadakannya perbuatan dari Allah. Bahkan hakikat kehidupan itu sendiri adalah perbuatan, setiap yang hidup itu pasti berbuat. Keberadaan Allah Ta’ala sebagai Sang pencipta dan Yang Maha Berdiri Sendiri merupakan konsekuensi dari hidupnya.
[Sebagaimana seketul batu yang kita katakan tidak hidup sebab tidak berbuat apa-apa. Jadi kita kenalah terima apa-apa yang terjadi adalah kerana perbuatan daripada Allah ﷻ. Cuma kita sahaja tidak faham kenapa Allah ﷻ buat dan bagaimana Allah ﷻ buat.]
Nama Allah “As-Samii” (Yang Maha Mendengar) dan “Al-Bashir” (Yang Maha Melihat) mengharuskan ada yang Dia dengar dan Dia lihat.
[Bila Allah ﷻ mendengar dan melihat, tentulah ada benda yang Allah ﷻ dengar dan lihat. Maka kita kena hati-hati dengan segala perbuatan dan percakapan kita]
Nama Allah “Al-Khaliq” (Yang Maha Mencipta) mengharuskan adanya makhluk ciptaan-Nya, “Ar-Razzaq” (Yang Maha Memberi Rezeki) dan “Al-Malik” (Yang Maha Merajai) mengharuskan adanya kerajaan, pengaturan, pemberian dan pencegahan, kebaikan, keadilan, pahala dan siksa.
[Bila Allah ﷻ yang memberikan rezeki, maka Dia juga yang menyekat rezeki. Namun kadang-kadang kita berikan kuasa itu kepada manusia pula kerana ada yang kata menteri menyebabkan kami miskin dan sebagainya.
Bila Allah ﷻ jadi Raja, tentulah ada perkara yang dirajai, diarah, dikawal]
Nama Allah “Al-Barru” (Yang Maha baik), “Al-Muhsin” (Yang Maha baik), “Al-Mu’thi” (Yang Maha Memberi) dan “Al-Mannan” (Yang Maha Memberi) dan selainnya mengharuskan adanya pengaruh dan dampaknya.
[Yang memberi nikmat kepada kita seperti matahari, udara dan sebagainya semua datang daripada Allah ﷻ. Mudah sahaja kita mendapat semua perkara itu. Ini kerana sifat-sifat Allah ﷻ yang baik dan beri kebaikan kepada kita. Ada haiwan yang kita senang sahaja dapat kawal walaupun binatang-binatang itu lebih kuat dan besar daripada kita.
Allah ﷻ yang memudahkan kehidupan ini bagi kita kerana kita bukanlah makhluk terkuat, terpantas dalam dunia ini. Namun begitu Allah ﷻ menjadikan kita yang paling bijak. Supaya kita dapat hidup di dunia ini.]
Nama Allah “Al-Ghaffar” (Yang Maha Mengampuni), “At-Tawwab” (Yang Maha Menerima Taubat), “Al-‘Afwa” (Yang Maha Memaafkan) mengharuskan adanya perbuatan dosa manusia yang diampuni-Nya, adanya taubat yang diterima, dan kejahatan yang dimaafkan, demikianlah keadaan semua nama Allah yang baik.
[Apabila Allah ﷻ sebut Dia Maha Pengampun, maka tentulah ada kebarangkalian makhluk-Nya ada yang berdosa. Kalau tidak, buat apa Allah ﷻ menjadi Maha Pengampun dan Pemaaf? Sebagaimana riwayat hadith seperti di bawah menyatakan, kalaulah kita tidak berdosa dan tidak meminta ampun, maka Allah ﷻmenghapuskan kita dan menjadikan makhluk lain yang akan berdosa dan akan meminta ampun. Ini kerana sifat Allah ﷻ Maha Pengampun.
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, daripada Nabi ﷺ:
وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ، وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ ، فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ
“Demi Dzat yang diriku berada ditanganNya, jika kalian tidak berbuat dosa Allah akan hilangkan kalian dan Allah akan datangkan kaum lain yang berdosa, lalu mereka pun minta ampun kepada Allah, Allah pun ampuni dosa mereka.” (HR. Imam Muslim 2.749)
Maknanya, kita semua akan pasti membuat dosa. Allah ﷻ pun sudah ada makhluk yang tidak membuat dosa, iaitu para malaikat. Jadi Allah ﷻ tidak perlu membuat makhluk yang tidak berdosa lagi. Maka Allah ﷻ menjadikan kita supaya kita ada membuat kesalahan dan akan meminta ampun kepada-Nya kerana Dia suka kita minta ampun kepada-Nya.
Allah ﷻ memuji manusia yang taat kepada-Nya di hadapan malaikat. Malaikat tidak pelik kalau mereka taat dan takut kepada Allah ﷻ kerana mereka nampak benda-benda ghaib. Namun kita yang tidak nampak Allah ﷻ dan tidak nampak alam kerajaan Allah ﷻ ini, bila kita takut kepada-Nya dan taat kepada-Nya, memang ia adalah sesuatu yang hebat.
Semua nama-nama Allah ﷻ ada maksud di sebaliknya yang kita kena belajar dan perhalusi. Bukanlah nama kosong sahaja sebagaimana nama rekaan manusia. Contoh Parti Keadilan, tidak semestinya parti itu adil. Ada orang bernama Nur Islam, tidak semestinya melambangkan Islam. Ada yang nama Qawwi, tidak semestinya kuat.
[Memanglah kita tidak suka musibah yang terjadi ke atas kita tambahan pula yang bertimpa-timpa. Anak meninggal, suami isteri meninggal, cerai berkali-kali, bertunang asyik putus, siapa yang mahu? Namun ketahuilah yang ada hikmah di dalamnya kerana apa sahaja yang Allah ﷻ lakukan, tentulah ada kebaikannya. Kita sahaja yang tidak nampak.
Namun begitu, kadangkala kita akhirnya nampak juga setelah sekian lama, mungkin mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Pada ketika itu mulalah kita berkata: “Patutlah aku tak jadi tunang dengan A, dapatlah aku kenal dengan B, lagi baik insannya; dengan ibubapa A dua-dua meninggal, dia kena duduk dengan pakcik dia. Tapi pakcik dia orang senang, dapatlah bagi pendidikan yang lebih kat dia.. sekarang dah jadi doktor dah.. kalau dengan ibubapa dia, mungkin tak mampu…. etc.”
Namun begitu, ketika dugaan itu menimpa diri, memang kita akan berasa amat perit dan pedih serta sedih sekali tetapi kalau kita yakin dengan perancangan Allah ﷻ, kita pasti akan dapat menerimanya. Walaupun kita mungkin tidak faham lagi pada waktu itu kenapa sesuatu itu terjadi.]
Barangsiapa yang merenungkan nama-nama dan sifat-sifat Allah dalam alam semesta, maka hal tersebut akan menunjukkan hamba kepada iman terhadap kesempurnaan Rabb Ta’ala dalam nama-nama dan sifat-sifat-Nya serta perbuatan-perbuatan Allah yang terpuji.
Allah Ta’ala, dalam setiap takdir-Nya memiliki hikmah yang mendalam, tanda-tanda kekuasaan-Nya yang jelas dan pengenalan kepada hambaNya tentang nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Selain itu, menyeru mereka untuk mencintai, mengingat, bersyukur, dan beribadah kepada-Nya dengan nama-nama-Nya yang baik.
[Sebagai contoh lihat Rum: 48 – 50
ٱللَّهُ ٱلَّذِى يُرْسِلُ ٱلرِّيَٰحَ فَتُثِيرُ سَحَابًا فَيَبْسُطُهُۥ فِى ٱلسَّمَآءِ كَيْفَ يَشَآءُ وَيَجْعَلُهُۥ كِسَفًا فَتَرَى ٱلْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَٰلِهِۦ فَإِذَآ أَصَابَ بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦٓ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ
Allah, Dialah yang mengirim angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila hujan itu turun mengenai hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya, tiba-tiba mereka menjadi gembira.
Ini merupakan sejenis awan yang dikenali sebagai ‘Stratus’ iaitu awan yang rata. Hujan yang turun tidak diikuti dengan petir dan kilat. Sebab itu ada hujan tiba-tiba turun sahaja tanpa kilat dan petir. Jadi ini merupakan sejenis hujan yang tenang sahaja.
وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلِ أَن يُنَزَّلَ عَلَيْهِم مِّن قَبْلِهِۦ لَمُبْلِسِينَ
Dan Sesungguhnya sebelum hujan diturunkan kepada mereka, mereka benar-benar telah berputus asa.
فَٱنظُرْ إِلَىٰٓ ءَاثَٰرِ رَحْمَتِ ٱللَّهِ كَيْفَ يُحْىِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَآ إِنَّ ذَٰلِكَ لَمُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Maka perhatikanlah bekas-bekas rahmat Allah, bagaimana Allah menghidupkan bumi yang sudah mati. Sesungguhnya (Tuhan yang berkuasa seperti) demikian benar-benar (berkuasa) menghidupkan orang-orang yang telah mati. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Hati manusia yang sugul pun boleh bertukar menjadi gembira apabila hujan diturunkan kepada mereka. Dalam masa yang sama, Allah ﷻ juga boleh menghidupkan hati yang mati. Ini terjadi kalau dapat dilihat pada kesan rahmat daripada Allah ﷻ. Ia berlaku apabila kita melihat perbuatan Allah ﷻ dalam alam ini.]
Setiap nama mengandung ibadah khusus di dalamnya -baik secara ilmu, pengenalan dan keadaan. Hal ini tidak terwujud, kecuali dengan perenungan, persaksian yang bermanfaat tentang nama yang sesuai dengannya. Orang yang paling sempurna peribadahannya adalah orang yang melaksanakan konsekuensi nama-nama dan sifat-sifat yang telah dikhabarkan-Nya kepada manusia.
[Manusia yang sempurna adalah yang mengenali nama-nama Allah ﷻ dan mengambil pengajaran daripada nama-nama itu. Makin banyak tahu, maka makin banyak penyerahan kepada Allah ﷻ, makin banyak pemahaman tentang Allah ﷻ.]
Dia tidak terhalang oleh salah satu nama dalam melaksanakan konsekuensi nama yang lain. Contohnya: ketika dia melaksanakan konsekuensi nama Allah ‘Al-Qadiir” (Yang Mahakuasa) dia tidak tercegah untuk beribadah atau melaksanakan konsekuensi nama Allah yang lain iaitu “Al-Halim” (Yang Maha lembut) dan “Ar-Rahim” (Yang Maha Pemurah), dan tidak terhalang oleh nama Allah “Al-Mu’thi” (Yang Maha Pemberi) dari pengamalan nama Allah “Al-Maani” (Yang Maha Pencegah) dan tidak terhalang oleh pengamalan nama Allah yang bersifat kecintaan, kebaikan, kemuliaan, kelembutan dan pemberian keutamaan dari pengamalan nama Allah yang bersifat keadilan, kemuliaan, keagungan, kebesaran dan lain sebagainya.
Inilah metode orang-orang sempurna yang berjalan menuju kepadaNya dan itulah jalan yang bersumber dari metode Al-Qur’an.
[Maksudnya di sini dia terima SEMUA nama-nama Allah ﷻ. Dia tidaklah menolak mana-mana nama Allah ﷻ. Sebagaimana penganut Kristian yang sudah menjadi pening kerana hanya menerima Tuhan bersifat rahman sahaja… sedangkan Allah ﷻ ada juga mempunyai sifat menghukum, sifat keras dan sebagainya. Pada orang yang alim, dia tahu Allah ﷻ mempunyai banyak sifat dan tidaklah melihat sifat-sifat itu berlawanan. Ada masa sifat ini yang lebih, ada masa lain sifat lain pula yang lebih.
Contohnya Allah ﷻ boleh berbuat apa sahaja, tetapi Dia bersifat lembut dengan hamba-Nya. Tidaklah hanya buat begitu sahaja. Memang Allah ﷻ boleh berbuat apa sahaja, tetapi apa yang Allah ﷻ lakukan adalah dalam bentuk lemah lembut dan kasih sayang. Jika manusia diberikan kuasa untuk boleh berbuat apa sahaja, mesti ada yang menggunakan kuasa itu dengan kekerasan, bukan?
Sebagaimana kita dengan emak ayah kita. Memang ada kalanya mereka garang tidak memberi kita makan apa sahaja yang kita hendak makan. Namun, kalau kita selalu meminta dan merayu kepada mereka, akhirnya mereka akan beri juga. Mereka memang ada kuasa ke atas kita, tetapi kerana kita merayu, maka mereka berilah juga. Ini kerana mereka juga ada sifat belas kasihan kepada kita. Allah ﷻ tentu lebih lagi kasih dan sayang kepada hamba-Nya.
Kalau kita lihat sifat Allah ﷻ yang boleh berbuat apa sahaja, agaknya kita rasa tidak perlu untuk kita meminta apa sahaja kepada Allah ﷻ. Akan tetapi dalam masa yang sama, kalau kita ingat yang Allah ﷻ ada sifat Halim dan Rahim itu, maka kita tergerak untuk meminta kepada-Nya. Sifat-sifat Allah ﷻ seiringan, bukanlah satu mengalahkan yang lain.
Satu lagi sifat Allah ﷻ adalah memberi tetapi dalam masa yang sama Allah ﷻ menahannya pula. Ini seolah-olah seperti berlawanan pula, bukan? Kedua-dua sifat Allah ﷻ ini bekerja sebenarnya. Ini kerana ada masa Allah ﷻ memberi dan ada kala Allah ﷻ menyekat. Sebagai contoh, kita tahu yang memberi rezeki adalah Allah ﷻ; tetapi kadangkala kita lupa yang menahan rezeki itu juga Allah ﷻ.
Kadangkala Allah ﷻ memberi pangkat, tetapi kadangkala Allah ﷻ menahan kita daripada naik pangkat. Yang bagi pangkat, Dia, yang tahan pun Dia juga. Janganlah pula salahkan orang lain.
Para ustaz pun kadangkala ada masalah untuk memahami perkara ini. Bila anak murid ramai, dia suka tetapi bila ada ustaz lain mengajar dan mengambil anak muridnya, dia marah pula. Sedangkan yang memberikan anak murid itu adalah Allah ﷻ dan yang memberikan anak murid kepada ustaz lain pun, Dia juga. Maka kalau kita faham hal ini, tidaklah kita gelabah dan terasa hati.
Apabila gagal untuk memahami akan hal inilah yang menyebabkan kita marah kepada kerajaan apabila ekonomi merudum, seolah-olah kerajaan pula yang menyekat rezeki kita. Sedangkan Allah ﷻ juga yang menyekat rezeki kita, bukan? Itu adalah suasana berbeza yang Allah ﷻ wujudkan sebagai ujian bagi kita. Jadi, janganlah kita lihat satu sifat sahaja, tetapi lupa kepada sifat yang lain pula. Jika kita beriman dengan satu nama sahaja, maka kita akan ada masalah nanti, akan murung pula nanti.
Semua ini adalah atas sifat keadilan Allah ﷻ. Allah ﷻ itu maha adil. Namun ada yang tidak faham. Ada yang tanya kalau Allah ﷻ adil, kenapa tidak diberikan ganjaran syurga sahaja kepada semua manusia? Jawabnya cuba lihat contoh keadaan situasi universiti kita. Kalaulah semua yang masuk universiti itu diberi kelulusan yang sama, sama ada yang ada belajar atau tidak, adakah itu adil? Tentulah tidak. Ia hanya layak kepada yang belajar dan berusaha sahaja. Cuba bayangkan seseorang itu memasuki universiti untuk menjadi doktor, tetapi dia tidak belajar pun, adakah anda yakin untuk mendapat rawatan dan nasihat perubatan daripadanya ?]
وَلِلَّهِ الأَسماءُ الحُسنىٰ فَادعوهُ بِها
“Hanya milik Allah asma-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asma-ul husna.” (Al-A’raaf: 180).
Kata-kata doa di dalam ayat ini mencakup doa mas’alah (permintaan) dan doa ibadah. Allah Ta’ala menyeru hamba-hamba-Nya untuk mengenal diri-Nya melalui nama-nama dan sifat-sifat-Nya, dan untuk memuji diri-Nya dengan nama-nama dan sifat-sifat-Nya, serta beribadah kepada-Nya sesuai dengan konsekuensi nama-nama dan sifat-sifat tersebut.
[Selepas mengenali nama-nama Allah ﷻ itu, ada reaksi kita terhadap nama-nama itu. Ada nama yang kita kena takut, ada yang kena berharap, ada yang kena redha, ada yang kena merayu, ada yang kena doa dan pelbagai reaksi lagi]
Allah Ta’ala mencintai nama-nama dan sifat-sifat-Nya serta mencintai pengaruhnya dalam ciptaan-ciptaan-Nya, kerana sesungguhnya hal ini merupakan kelaziman kesempurnaan-Nya. Allah Ta’ala membukakan bagi hamba-hamba-Nya, pengenalan terhadap-Nya serta pemahaman tentang nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Allah menyeru hamba-hamba-Nya di dalam Al-Qur’an untuk mengenal-Nya melalui dua jalan:
1) Memperhatikan makhluk-makhluk ciptaan-Nya, kerana hal tersebut lebih memahamkan manusia kepada nama-nama dan sifat-sifat-Nya.
2) Merenungkan ayat-ayat Allah.
Pertama memperhatikan tanda-tanda kekuasaan Allah yang tersirat.
Kedua, merenungkan ayat-ayat Allah yang tersurat.
Kedua-duanya merupakan pintu yang luas dalam mengenal Rabb Yang Maha Terpuji dan Sesembahan Yang Maha mulia. Maha suci Allah yang telah memperkenalkan DiriNya kepada makhlukNya dengan semua bentuk pengenalan dan menunjukkan mereka kepadanya dengan berbagai macam metode serta membuka bagi mereka semua jalan dan Allah menancapkan baginya jalan yang lurus, memperkenalkan dan menunjukkan kepadanya,
[Kalimah ‘ayat’ itu bermaksud ‘tanda’ sebenarnya. Di sini kita dapat tahu yang ayat itu ada dua jenis: ayat yang dilihat dan ayat yang dibaca. Yang dilihat itu adalah tanda pada alam dan yang dibaca itu adalah ayat-ayat Al-Qur’an. Kita menggunakan kedua-dua jenis ayat ini untuk mengenal Allah ﷻ.
Semua ada peluang untuk mengenal Allah ﷻ dengan tahap mereka. Pelajar dengan cara mereka, orang awam dengan cara mereka, seorang Professor mungkin lebih lagi kefahamannya. Namun yang penting mereka cuba memahami Allah ﷻ. Kita kena berusaha mengenal Allah ﷻ dengan cara melihat alam dan dengan cara tadabbur ayat-ayat Al-Qur’an.
Perkara ini perlu dilakukan berterusan dan bukannya apabila sudah terkena musibah baru hendak terfikir. Dalam keadaan senang dan susah kena ingat kepada Allah ﷻ dan mengambil pengajaran daripada apa sahaja yang berlaku. Jangan dalam masjid sahaja ingat Allah ﷻ. Ia dimulai dengan mempelajari nama-nama Asmaul Husna ini.]
لِّيَهْلِكَ مَنْ هَلَكَ عَن بَيِّنَةٍ وَيَحْيَىٰ مَنْ حَيَّ عَن بَيِّنَةٍ وَإِنَّ اللَّهَ لَسَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Iaitu agar orang yang binasa itu binasanya dengan keterangan yang nyata dan agar orang yang hidup itu dengan keterangan nyata (pula). Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Anfal:42)
[Kalau seseorang itu kufur bukan kerana kecelaruan agama tetapi kerana dia sendiri tidak mengambil peluang. Ini kerana dia tidak mengikut keterangan yang Allah ﷻ telah berikan. Mereka sebenarnya tahu mana yang baik, tetapi cuma degil tidak mahu ikut sahaja. Kita sahaja sangka mereka jahil tidak tahu, tetapi sebenarnya mereka tahu.
Orang-orang yang masuk Islam itu beritahu yang dulu semasa mereka luar Islam pun mereka sudah tahu kebenaran, tetapi mereka sahaja yang menolaknya.
Namun sebaliknya orang yang berjaya adalah kerana mereka mengikut keterangan yang Allah ﷻ telah berikan dalam wahyu. ]
Sambung ke bab yang seterusnya
Rujukan: Kuliah Ustaz Adli Saad syarahan kitab Fikih Asma’ul Husna
Tk
LikeLike