Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 32 (Jangan dekati Zina)

PERINTAH 7) JANGAN BERZINA

Isra’ Ayat 32: Jangan dekati zina. Ia disebut selepas larangan membunuh anak-anak terutama sekali anak perempuan. Ini adalah kerana antara faktor yang mendorong para bapa membunuh anak perempuan mereka adalah kerana takut nanti anak-anak perempuan mereka diperkosa atau berzina. Sekarang Allah ﷻ memerintahkan semua anggota masyarakat agar menghindari penyebab ke arah itu.

Sayyid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ mengaitkan penzinaan dengan zina juga. Beliau menulis bahawa dalam penzinaan terdapat pembunuhan dalam beberapa segi:

    1. Pertama pada penempatan sebab kehidupan (sperma) bukan pada tempatnya yang sah. Ini biasa disusuli dengan keinginan untuk menggugurkan yakni membunuh janin yang dikandung.
    2. Kalau anak itu dilahirkan hidup, maka biasanya ia dibiarkan begitu saja tanpa ada yang memelihara dan mendidiknya, dan ini merupakan salah satu bentuk pembunuhan juga.
    3. Penzinaan juga merupakan pembunuhan terhadap masyarakat yang merajalela di tengah-tengahnya keburukan ini, kerana di sini menjadi tidak jelas atau bercampur baur keturunan seseorang serta menjadi hilang kepercayaan dan kehormatan kepada anak zina, sehingga hubungan antara masyarakat jadi lemah yang akhirnya membawa kepada kematian umat.
    4. Di sisi lain penzinaan juga membunuh masyarakat dari segi kemudahan melampiaskan nafsu sehingga kehidupan rumah tangga menjadi sangat rapuh bahkan tidak diperlukan lagi. Keluarga menjadi sangat rapuh padahal ia merupakan wadah yang terbaik untuk mendidik dan mempersiapkan generasi muda memikul tanggungjawabnya.

Demikian lebih kurang tulis Sayyid Quthub رَحِمَهُ اللَّهُ, ketika menghubungkan ayat ini dengan ayat yang lalu.

وَلَا تَقرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And do not approach unlawful sexual intercourse.¹ Indeed, it is ever an immorality and is evil as a way.

  • i.e., avoid all situations that might possibly lead to it.

(MELAYU)

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

 

وَلَا تَقرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ

Dan janganlah kamu mendekati zina;

Dua dosa besar yang banyak disebut dalam Al-Qur’an adalah zina dan pembunuhan. Kadang-kadang Allah ﷻ sebut zina dulu dan kadang-kadang Allah ﷻ sebut pembunuhan dulu. Allah ﷻ sebut dua dosa ini kerana dua-duanya adalah dosa berat. Ini adalah kerana dua-dua termasuk di dalam Maqasid Syariah Dalam Tabir Urus

      1. Menjaga Agama
      2. Menjaga Nyawa
      3. Menjaga Akal
      4. Menjaga Keturunan
      5. Menjaga Harta

Kalau bunuh termasuk dalam maqasid Menjaga Nyawa dan Zina termasuk di dalam maqasid Menjaga Keturunan. Dua perkara ini ada kaitannya. Kadang-kadang kerana penzinaan yang telah terlanjur, menyebabkan malu di salah satu pihak, menyebabkan mereka akan berusaha untuk menutupnya. Mungkin sampai kepada membunuh pasangan zinanya itu. Atau, setelah lahirnya anak zina hasil daripada perbuatan terkutuk itu dan kerana hendak menutup kes, bayi yang baru lahir itu dilemparkan ke hutan atau ke semak begitu sahaja!

Sebelum ini Allah ﷻ telah sebut tentang pembunuhan anak dan sekarang disebut tentang zina pula kerana ia juga berat seperti bunuh – kerana ia membunuh hati. Ini bukanlah bunuh secara fizikal tetapi bunuh secara spiritual.

Allah ﷻ kata jangan ‘hampiri zina’. Allah ﷻ tidak kata jangan ‘hampiri bunuh’ kerana zina lebih senang terjadi kalau didekati. Memang bahaya kerana kalau tidak dijaga daripada terlibat, boleh menyebabkan zina. Kadang-kadang lelaki dan perempuan itu hanya ingin duduk bersembang sahaja. Namun lama-lama boleh melarat kepada perkara yang lain. Kalau dalam masyarakat kita, kes senang-senang bunuh orang jaranglah berlaku (walaupun kita nampak ia semakin banyak terjadi) seperti di negara seperti Amerika itu yang kalau berjalan seorang diri pun bahaya di malam hari kerana boleh dirompak dan dibunuh begitu sahaja. Akan tetapi kes zina ini senang sangat terjadi dan memang telah banyak terjadi setiap hari walau dalam rumah kediaman sendiri. Maka ini adalah perkara yang sangat penting untuk kita perhatikan dan jaga kerana ia sangat senang berlaku, dalam segala peringkat umur tidak kira yang muda mahupun tua.

Malangnya ia amat susah dijaga. Tambahan pula suasana masyarakat yang tidak ambil kisah pun percampuran lelaki dan wanita duduk bersama-sama bersembang (ikhtilat). Kadang-kadang yang duduk berdua itu guna alasan hendak beri dakwah kononnya, tetapi lama-lama jadi benda lain pula. Tiba-tiba sudah termengandung! Maka kena berhati-hati dengan perkara ini. Kalau mahu berdakwah kepada wanita, biar wanita juga yang dakwah kepada dia.

Maka pintu ke arah zina itu kena ditutup supaya jangan terlanjur. Konsep ini dinamakan سد ذرائع Sadd al-zara’ie yang bermaksud menghalang jalan-jalan yang membawa kepada perbuatan jenayah, dosa dan maksiat. Memang, siapa yang berada di sekeliling satu jurang, dia dikhuatirkan terjerumus ke dalamnya. Adapun pelanggaran yang tidak memiliki rangsangan yang kuat, maka biasanya larangan langsung tertuju kepada perbuatan itu, bukan larangan mendekatinya.

Kita ingatkan perkara ini kerana ramai yang sudah tertipu dengan perkara ini kerana ia amat mudah melarat, maka Allah ﷻ berfirman: jangan dekati langsung. Allah ﷻ kenal sifat kita dan kerana itu Allah ﷻ telah beri jalan keluar untuk menahan perkara itu daripada melarat. Kita mungkin sangka zina itu hanya terjadi setelah berlakunya seks, akan tetapi sebelum itu berlaku, telah berlaku zina-zina yang lain sebenarnya. Ini seperti penjelasan Rasulullah ﷺ. Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, sabda Rasulullah ﷺ:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Melalui hadith ini baru kita tahu yang ‘zina’ itu bukanlah apabila sudah mengadakan seks sahaja kerana ada banyak lagi jenis zina seperti zina mata, zina mulut, zina tangan, kaki dan sebagainya. Akan tetapi yang ada hukuman hudud dalam Islam adalah Zina Seksual sahaja dan kerana itu ramai sangka itu sahaja zina dan yang lain tidak. Alangkah ceteknya ilmu mereka.

Sebenarnya banyak lagi jenis zina dan semua ini kena dijaga kerana kalau salah satu terjadi, boleh membawa kepada zina seksual. Terutama sekali zina mata, kerana ia membawa ke tempat yang bahaya. Seperti orang selalu kata: dari mata turun ke hati. Maka kita kena jaga segala perkara itu.

Kena ambil langkah yang sepatutnya. Jangan kita tertipu kononnya kita boleh tahan diri kita kalau ada pergaulan antara lelaki dan perempuan. Sebagai lelaki dan wanita, hendaklah belajar menjaga pandangan mata. Kita sendiri pun sudah baca dan lihat perkara sebegini yang mulanya macam biasa sahaja, kawan biasa sahaja, tetapi lama kelamaan sudah jadi benda lain. Masalah ini terjadi kerana bermula dengan tidak menjaga sosial/pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Bagaimana kita menahan diri kita? Bayangkan, apabila kita melihat wanita lain, kita kena ingat yang dia itu adik dan anak orang. Kemudian bayangkan pula kalau orang ganggu anak dan adik kita, bagaimana? Tentu kita marah dan kita tidak redha, bukan? Maka janganlah kita ganggu atau cuba-cuba hendak berbaik dan rapat dengan ajnabi atau ajnabiah.

Mungkin kadang-kadang kita rasa macam kita boleh tahan daripada terjadinya zina (“kami kawan sahaja ….), maka ingat kembali tentang Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ semasa di syurga dan larangan mendekati pokok larangan. Bagaimana arahan Allah ﷻ kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Bukankah Allah ﷻ berfirman ‘jangan dekati’ pokok itu?

Allah ﷻ beri arahan begitu kerana Dia tahu yang kalau dekati sahaja pokok itu, akan ada masalah. Ringkasnya, Allah ﷻ beritahu yang ada benda yang bahaya kalau dekati sahaja pun. Ini adalah kerana daya tarikannya tinggi betul. Maka percayalah dengan nasihat dan arahan Allah ﷻ ini.

Seringkala kita dengar dalam adat orang Islam, dijaga pergaulan antara lelaki dan perempuan, kerana memang ulama’ sudah lama memang dijaga perkara ini. Mereka tidak benarkan lelaki dan perempuan duduk bersama dan duduk dalam kawasan yang dekat. Ke mana anak pergi akan ditanya, apa yang mereka baca, apa yang mereka lakukan, sentiasa diperiksa dan diperhatikan. Maka ayat ini difahami oleh mereka yang faham dan tajam akalnya. Melalui ayat ini sahaja, ulama’ telah buat jalan penyelesaian – jangan bergaul rapat antara lelaki dan wanita. Di dalam hadith-hadith pun sudah ada pengajaran tentang pergaulan lelaki dan wanita,

Terdapat riwayat daripada Saidina Abdullah Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya.
(Riwayat Muslim No. 1341)

Di dalam riwayat yang lain, mungkin ramai tahu hadith ini, daripada Saidina Abdullah Ibn Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

أَلاَ لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Ketahuilah bahawa tidaklah berdua-duan seorang lelaki dan seorang perempuan itu melainkan yang ketiganya adalah syaitan.
(Riwayat Al-Tirmidzi No. 2165)

Ketahuilah pada lelaki itu ada syahwat kehendak kepada persetubuhan. Begitu juga wanita pun ada keinginan ini juga. Apabila duduk rapat sahaja, terus ada perasaan itu. Ia lebih tinggi apabila tidak ada orang lain di situ. Syaitan akan mengambil peluang untuk mengapi-apikan nafsu ini sampai ke tahap segala sifat malu hilang asalkan dapat melampiaskan kehendak itu. Waktu akal budi sudah tidak kuat lagi, yang kuat adalah nafsu syahwat itu.

Namun kita tahu ada yang kata, apa masalah kalau berjumpa, berdating, pergi ke rumah dan sebagainya? Mereka kata, bagaimana hendak kenal hati budi bakal isteri/suami kalau tidak berjumpa dan bergaul begitu? Nanti sudah kahwin nanti baru hendak kenal kah?

Kita katakan, memang susah hendak kenal pun lelaki dan perempuan. Adakah anda rasa dengan duduk-duduk dengan kekasih itu anda akan kenal mereka? Tentu tidak kerana kalau kita dating pun, bukan kita boleh kenal mereka pun kerana mereka tidak akan tunjuk diri mereka yang sebenar. Kita pun sudah selalu dengar kisah bagaimana lelaki/perempuan itu berbeza perangainya sebelum dan selepas kahwin.

Sekiranya ada yang kata mereka kenal pasangan kekasih mereka pun, nanti lihatlah bila sudah kahwin. Sebenarnya sudah kahwin baru tahu perangai sebenar. Maka alasan hendak kenal bakal isteri atau suami sebelum menikah itu tidak boleh dipakai.

Kita menyokong usaha kerajaan dan pihak berkuasa yang mencegah khalwat. Khalwat ialah apabila berdua-duaan sahaja antara laki-laki dengan perempuan dan ini sudah termasuk mendekati zina. Oleh kerana itu, Islam mengharamkan khalwat.

Ini adalah antara usaha yang diambil oleh pihak berkuasa untuk memenuhi ‘jangan dekati zina’ ini. Akan tetapi, daripada cara pengurusannya mungkin boleh diperbaiki. Janganlah dua orang itu sudah siap selesai jimak baru diketuk pintu. Halangnya mereka dari mula lagi masuk ke dalam bilik hotel.

 

إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلاً

sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.

Allah ﷻ suruh kita berjaga-jaga sungguh kerana perbuatan zina itu amat buruk sekali dari dulu lagi. Maknanya bukan zaman sekarang ia buruk, tetapi dari dulu lagi ia sudah buruk. Maka ada dua sebab yang disebut di sini kenapa diharamkan zina.

1. Ia adalah فَـٰحِشَةً iaitu satu perbuatan yang memalukan, tidak sopan. Apabila sifat malu telah hilang daripada manusia, maka iman pun telah hilang kerana malu adalah sebahagian daripada iman. Ini seperti disebut di dalam satu hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Iman memiliki lebih daripada enam puluh cabang, dan malu adalah bahagian daripada iman”.
(Sahih Bukhari No. 8)

Rosaklah masyarakat jikalau sifat malu telah hilang daripada diri mereka. Kerana itu kita kena teruskan mengutuk perbuatan-perbuatan keji supaya manusia kekal malu untuk melakukannya. Kalau telah berlaku proses normalisasi dalam kalangan masyarakat seperti pergaulan yang bebas lelaki dan wanita, homseksual, sumbang mahram dan sebagainya, maka apa lagi yang ada harapan bagi kita? Ini seperti disebut di dalam satu hadith,

عَنْ أَبِي مَسْعُوْدٍ عُقْبَةَ بِنْ عَمْرٍو الأَنْصَارِي الْبَدْرِي رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُوْلَى، إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ.[رواه البخاري ]
Daripada Abu Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al Anshari Al Badri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesungguhnya di antara ungkapan yang dikenal manusia daripada ucapan kenabian terdahulu ialah: Jika engkau tidak malu, berbuatlah semahumu.”
(Sahih Bukhari No. 3483)


Makna hadith ini, perbuatan malu tertahan daripada melakukan kesalahan kerana sifat malu yang masih ada dalam diri manusia. Akan tetapi kalau malu itu sudah hilang, apa lagi yang boleh menghalang mereka?

Perbuatan zina memang berleluasa dari dulu sampai sekarang. Lalu bagaimana kita hendak mengawal diri kita daripada melakukannya? Tahukah anda yang pernah seorang sahabat minta kebenaran kepada Rasulullah ﷺ untuk berzina? Mari kita lihat bagaimana Nabi ﷺ menasihati sahabat itu. Mungkin kita boleh ambil pengajaran daripadanya.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ: إِنَّ فَتًى شَابًّا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ائْذَنْ لِي بِالزِّنَا. فَأَقْبَلَ الْقَوْمُ عَلَيْهِ فَزَجَرُوهُ، وَقَالُوا: مًهْ مَهْ. فَقَالَ: “ادْنُهْ”. فَدَنَا مِنْهُ قَرِيبًا فَقَالَ اجْلِسْ”. فَجَلَسَ، قَالَ: “أَتُحِبُّهُ لِأُمِّكَ؟ ” قَالَ: لَا وَاللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِأُمَّهَاتِهِمْ”. قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِابْنَتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِبَنَاتِهِمْ”، قَالَ: “أَتُحِبُّهُ لِأُخْتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِأَخَوَاتِهِمْ”، قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِعَمَّتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِعَمَّاتِهِمْ” قَالَ: “أَفَتُحِبُّهُ لِخَالَتِكَ”؟ قَالَ: لَا وَاللَّهِ، جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاكَ. قَالَ: “وَلَا النَّاسُ يُحِبُّونَهُ لِخَالَاتِهِمْ” قَالَ: فَوَضَعَ يَدَهُ عَلَيْهِ وَقَالَ: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ وَطَهِّرْ قَلْبَهُ وَحَصِّنْ فَرْجَهُ” قَالَ: فَلَمْ يَكُنْ بَعْدَ ذَلِكَ الْفَتَى يَلْتَفِتُ إِلَى شَيْءٍ
Daripada Abu Umamah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa pernah ada seorang pemuda datang kepada Nabi ﷺ lalu pemuda itu bertanya, “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku berbuat zina.” Maka kaum yang hadir memusatkan pandangan mereka ke arah pemuda itu dan mengherdiknya seraya berkata, “Diam kamu, diam kamu!” Rasulullah ﷺ bersabda, “Dekatkanlah dia kepadaku.” Maka pemuda itu mendekati Rasulullah ﷺ dalam jaraknya yang cukup dekat, lalu Rasulullah ﷺ bersabda, “Duduklah!” Pemuda itu duduk, dan Nabi ﷺ bertanya kepadanya, “Apakah kamu suka perbuatan zina dilakukan terhadap ibumu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Orang lain pun tentu tidak suka hal tersebut di lakukan terhadap ibu-ibu mereka.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap anak perempuanmu?” Pemuda itu menjawab, ‘Tidak, demi Allah, wahai Rasulullah, semoga diriku menjadi tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda menguatkan, “Orang-orang pun tidak akan suka bila hal itu dilakukan terhadap anak-anak perempuan mereka.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap saudara perempuanmu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda menguatkan, “Orang lain pun tidak akan suka bila hal tersebut dilakukan terhadap saudara perempuan mereka.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap ibu saudara (daripada pihak ayah)mu?” Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Orang lain pun tidak akan suka bila perbuatan itu dilakukan terhadap ibu saudara (daripada pihak ayah) mereka.” Rasulullah ﷺ bertanya, “Apakah kamu suka bila perbuatan zina dilakukan terhadap ibu saudara (daripada pihak ibu)mu? Pemuda itu menjawab, “Tidak, demi Allah, semoga Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.” Rasulullah ﷺ bersabda, “Orang lain pun tidak akan suka bila hal itu dilakukan terhadap ibu saudara (daripada pihak ibu) mereka.” Kemudian Rasulullah ﷺ meletakkan tangannya ke dada pemuda itu seraya berdoa: Ya Allah, ampunilah dosanya dan bersihkanlah hatinya serta peliharalah farjinya. Maka sejak saat itu pemuda tersebut tidak lagi menoleh kepada perbuatan zina barang sedikit pun.
(Musnad Ahmad No. 21185)

Lihatlah bagaimana berhemahnya dan bijaknya cara Rasulullah ﷺ menangani perkara itu. Apabila Nabi Muhammad ﷺ suruh dia sendiri bayangkan kalau ahli keluarga dia sendiri yang berzina, barulah dia sedar. Selama hari ini dia lupa yang wanita yang dia hendak berzina itu adalah anak orang, adik orang, kakak orang lain.

2. Sebab kedua zina dilarang sungguh adalah kerana ia adalah سَآءَ سَبِيلاً (jalan yang buruk). Kerana ia adalah jalan yang membawa ke neraka! Ia juga adalah jalan kepada perkara yang lebih buruk lagi. Antara yang terpenting ialah:

o Percampuran dan keturunan yang porak-peranda. Apabila seseorang lelaki berasa ragu-ragu mengenai anak yang dilahirkan oleh seorang penzina perempuan, apakah bayi itu anaknya atau anak orang lain, maka lelaki itu tidak akan mendidiknya, bahkan seterusnya tidak mahu mengurusnya. Hal itu akan menyebabkan keturunan manusia menjadi sia-sia dan dunia akan hancur. Anak itu hidup melarat dan dia sendiri akan mudah terjerumus ke lembah kehinaan. Maka kitaran itu berterusan lagi.

o Perzinaan sebenarnya membuka pintu huru-hara dan kegoncangan dalam kalangan sesama manusia kerana manusia tetap mempertahankan kehormatan. Berapa banyak peristiwa pembunuhan yang timbul kerana keinginan berzina, sehingga kadang-kadang kita mendengar sesuatu peristiwa pembunuhan, maka orang akan terus mengatakan, “Periksalah dahulu latar belakang perempuan yang terlibat!” Ini kerana manusia berkelahi kerana perempuan, sampai berbunuh kerana perempuan, negara dijajah pun boleh jadi asalnya kerana perempuan.

o Wanita yang sudah terkenal dan masyhur sebagai pelacur akan dipandang kotor oleh setiap lelaki yang waras sehingga tidak akan berlaku kemesraan antara perempuan seperti itu dengan suaminya. Dengan demikian, ketenteraman dan keserasian yang dijadikan oleh Allah ﷻ sebagai kasih dan sayang antara sesama manusia tidak akan tercapai.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 April 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment