PERINTAH: 6) MENGHARGAI ANAK-ANAK
Isra’ Ayat 31: Ini adalah suruhan supaya jangan zalim. Ia adalah perkara ketiga dalam ‘Amalan Tiga Serangkai’ (1. Jangan syirik – 2. buat benda baik – 3. jangan zalim). Sebelum ini disebut yang rezeki itu Allah ﷻ yang tentukan. Sekarang disebut satu kesalahan yang selalu dilakukan oleh Arab Jahiliyah yang berkenaan dengan kerisauan tentang rezeki.
وَلَا تَقتُلُوٓاْ أَولَـٰدَكُم خَشيَةَ إِملَـٰقٍ نَّحنُ نَرزُقُهُم وَإِيَّاكُم إِنَّ قَتلَهُم ڪَانَ خِطـًٔا كَبِيرًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And do not kill your children for fear of poverty. We provide for them and for you. Indeed, their killing is ever a great sin.
(MELAYU)
Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.
وَلَا تَقتُلُوٓاْ أَولَـٰدَكُم خَشيَةَ إِملَـٰقٍ
Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan.
Allah ﷻ menegur perbuatan sesetengah golongan Arab Jahiliyah dahulu yang membunuh anak-anak mereka (terutama sekali anak perempuan) kerana takut anak-anak itu akan menyebabkan mereka miskin pula. Larangan itu diberikan dalam bentuk jamak (لَا تَقتُلُوٓاْ) mungkin kerana mengenangkan ia sesuatu amalan yang meluas dilakukan oleh mereka. Atau, ia adalah tanggungjawab kolektif (semua kena ambil peranan melarang perkara itu berleluasa). Kerana ia adalah perbuatan jenayah yang amat-amat buruk.
Kenapa mereka lakukan? Mereka takut mulut-mulut anak itu akan menyebabkan mereka susah kena beri makan. Mereka dengan fikiran yang pendek, buat keputusan untuk bunuh sahaja anak-anak itu sebelum menyusahkan mereka. Terutama sekali anak perempuan kerana pada mereka, anak perempuan tidak bermanfaat untuk membantu mendapatkan rezeki.
Pada mereka, anak perempuan ini ditanggung mereka, dan bila dewasa nanti diberi kepada keluarga lain sahaja apabila berkahwin. Maka tidak berbaloi dan tidak dapat memulangkan hasil kepada mereka. Ini lain dengan anak-anak lelaki yang boleh membantu menjaga kebun, bekerja dan sebagainya. Bila anak-anak itu berkahwin, anak lelaki itu akan bawa isterinya yang boleh membantu di dapur di rumah. Maka semakin bertambah tenaga kerja jadinya.
Maka di sini Allah ﷻ mengingatkan supaya jangan bunuh anak-anak kerana takut kekayaan akan rosak atau hilang. Ini kerana memang ada yang bunuh anak-anak mereka kerana takut miskin. Mereka takut mereka jatuh miskin kalau anak-anak mereka ramai dan mereka tidak cukup wang untuk tanggung anak-anak itu.
Ayat ini ditujukan kepada semua manusia kerana ia tidak dihadkan kepada orang Islam sahaja. Ramai yang berkira-kira dalam menguruskan kehidupan mereka sampaikan kalau isteri mengandung, mereka sudah risau. Walaupun tidaklah mereka bunuh anak-anak perempuan mereka, tetapi sebagaimana Arab Jahiliyah takut rezeki mereka berkurang, dan kena menanggung anak perempuan yang tidak berbaloi, zaman sekarang pun masih ada lagi yang berfikiran begitu. Ramai yang rasa bala kalau dapat anak perempuan sebaliknya rasa berbangga kalau dapat anak lelaki.
Akan tetapi jangan lihat kepada bunuh anak seperti itu sahaja. Kerana kita mungkin tidak terfikir pun untuk bunuh anak. ‘Bunuh anak’ boleh jadi sama ada dalam bentuk jasmani atau rohani. Bentuk jasmani itu adalah dengan mengambil nyawa mereka. Yang pasti, kalau bunuh anak sendiri setelah anak itu lahir. Namun ini juga termasuk kalau guna pil perancang keluarga. Ada yang tidak mahu anak sampai buat perancangan keluarga (makan pil atau pakai kondom).
Maka ayat ini dijadikan dalil kepada ulama’ yang berpegang haram untuk merancang keluarga (tanzim al-usrah) tanpa sebab yang munasabah – iaitu sebab takut miskin sahaja. Kalau memang doktor nasihatkan atas sebab kesihatan, maka bolehlah kalau hendak rancang keluarga.
Akan tetapi ada juga yang berpendapat menjarakkan anak itu tidak salah. Kaedah ini dinamakan Tanzim al-Nasal yang merujuk kepada usaha untuk menjarakkan anak dengan menggunakan kaedah-kaedah seperti memakan ubatan pil perancang, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur, memakai kondom, melakukan azal (ejakulasi luar rahim), dan mengeluarkan air mani daripada kemaluan wanita selepas selesai persetubuhan dan memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara. Kaedah ini diharuskan dengan syarat-syarat:
-
-
- Iktikad bahawa jika Allah ﷻ ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.
- Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
- Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.
-
Ini berdalilkan athar daripada Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا:
كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالقُرْآنُ يَنْزِلُ
Kami dahulu melakukan `azal pada zaman Rasulullah ﷺ sedangkan al-Qur’an sedang turun.
(Hadith Riwayat Bukhari No. 5209)
Ertinya, tiada larangan daripada Al-Qur’an tentang perkara itu kerana jika ia dilarang nescaya Al-Qur’an akan menyatakan larangan. Maka ini adalah pendapat yang lebih mesra untuk kita di zaman ini yang mungkin hendak menjarakkan anak. Ia boleh asalkan tidaklah sampai terus menghilangkan keupayaan mengandung di masa hadapan.
Ada juga ulama’ yang mengatakan menghalang persenyawaan bayi di dalam rahim itu boleh, tetapi makruh. Akan tetapi tidak ada yang membolehkan untuk menggugurkan anak setelah terjadi persenyawaan. Ini kerana ia sama dengan membunuh juga. Iaitu telah ada nyawa di dalam janin itu. Cuma ulama’ tidak sepakat, berapakah umur janin itu. Pendapat yang masyhur mengatakan umur itu 120 hari. Namun ada penyelidikan yang mengatakan lagi awal pun sudah ada nyawa pada janin itu. Allahu a’lam.
Membunuh anak itu juga boleh jadi dalam bentuk rohani. ‘Bunuh rohani’ itu adalah dengan tidak ajar agama kepada anak-anak kita. Agama tidak diajar tetapi hanya diajar perkara lain sahaja (akademik). Mereka bukannya tidak hantar anak belajar, tetapi mereka tidak hantar untuk belajar agama. Mereka tetap hantar anak mereka untuk belajar supaya dapat sijil dan dapat bekerja dan menyara hidup mereka.
Contohnya, hantar anak ke sekolah Inggeris kerana rasa di sekolah itu anak itu akan pandai dan senang dapat kerja. Walaupun di sekolah jenis itu tidak ada Matapelajaran Agama. Itulah pembunuhan rohani namanya kalau tidak hantar anak untuk belajar agama. Mereka tidak hantar ke pengajian begitu kerana takut miskin, takut anak tidak dapat kerja dan jatuh miskin.
Ia boleh jadi sampaikan anak itu tidak kenal agama langsung. Mereka rasa kalau anak-anak mereka belajar agama sahaja (pergi ke sekolah madrasah atau sekolah tahfiz), anak-anak itu tidak dapat kerja dan jadi miskin.
نَحنُ نَرزُقُهُم وَإِيّاكُم
Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu.
Allah ﷻ ingatkan supaya jangan takut anak-anak itu tidak ada rezeki kerana Dia yang akan memberi rezeki kepada mereka, bukannya kita. Setiap orang sudah ditetapkan rezeki buat mereka. Kerja beri rezeki adalah kerja Allah ﷻ, maka kenapa kamu sibuk rasa kamu yang beri rezeki kepada anak-anak itu? Kemudian kamu pula rasa yang kamu tidak mampu memberi rezeki maka kamu bunuh mereka. Memanglah kamu tidak boleh beri rezeki kerana rezeki bukannya di tangan kamu tetapi di tangan Allah ﷻ!
Kemudian Allah ﷻ tambah yang bukan anak-anak itu sahaja yang diberi rezeki oleh-Nya, tetapi kamu sebagai ibubapa sekali pun. Kamu sibuk-sibuk fikirkan rezeki anak sedangkan kamu dapat rezeki pun daripada Allah ﷻ juga, bukan? Kalau kamu boleh hidup dengan rezeki yang Allah ﷻ beri, takkan anak-anak kamu tidak boleh hidup pula?
Maka Al-Quran memberikan ajaran budi buat seluruh manusia dalam segala zaman. Jangan membunuh anak kerana takut miskin. Kesukaran hidup dapat diatasi, baik secara sendiri-sendiri, atau secara bersama. Antara cara Allah ﷻ sampaikan rezeki kepada orang miskin adalah dengan institusi zakat. Islam menyediakan satu pintu dalam harta orang kaya, yang wajib dikeluarkannya untuk membantu orang miskin. Itulah kehebatan zakat. Penguasa ditugaskan untuk mengambil harta itu dari tangan si kaya dan diberikan kepada si miskin.
Sepatutnya di dalam masyarakat Islam tidak boleh ada orang yang melarat. Ibnu Hazmi رَحِمَهُ اللَّهُ mujtahid Andalusia yang terkenal itu berkata: “Kalau di dalam sebuah kampung terdapat orang yang mati kelaparan, maka seisi kampung itu dikenakan hukuman diyat.” Maka kerana itu sangat banyak anjuran di dalam Al-Qur’an tentang memberi sedekah selain daripada zakat. Kalau zakat itu adalah sedekah wajib, tetapi Allah ﷻ juga menjanjikan ganjaran besar bagi orang yang melakukan sedekah sunat.
Kerana itulah ayat 31 ini adalah tentang larangan membunuh anak kerana miskin, tetapi bermula ayat 26 sehingga ayat 30 sebelum ini dianjurkan manusia untuk membantu manusia yang lain, jangan membazir supaya ada duit untuk bantu orang lain. Allah ﷻ juga mengajar kita tentang rezeki dan tentang infaq. Maka setelah ada semua itu, setelah masyarakat Islam faham tentang hal ini, sepatutnya tidak ada keraguan tentang rezeki anak-anak. Begitulah kalau anjuran di dalam Al-Qur’an yang mulia ini diamalkan oleh sesuatu masyarakat.
Balaghah: Kenapa di dalam ayat ini, disebut tentang rezeki anak itu, kemudian baru disebut rezeki ayahnya? Dari segi balaghah, khitab dalam ayat ini ditujukan kepada orang yang mampu, yakni Allah ﷻlah yang memberi rezeki anak-anak itu dan juga rezeki ibubapa. Lain halnya dengan apa yang disebutkan di dalam surat Al-An’am, khitab-nya ditujukan kepada orang miskin. Allah ﷻ telah berfirman di dalam An’am: 151
وَلَا تَقْتُلُوْٓا اَوْلَادَكُمْ مِّنْ اِمْلَاقٍۗ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَاِيَّاهُمْ ۚ
Dan janganlah kalian membunuh anak-anak kalian kerana kemiskinan. Kami akan memberi rezeki kepada kalian dan kepada mereka.
Perhatikan di dalam ayat An’am ini, yang disebut adalah rezeki kepada ibubapa, kemudian baru disebut kepada anak-anak itu. Maka ada keterbalikan dari segi susunan ayat. Ayatnya lebih kurang sahaja, tetapi kalau diperhatikan ada keterbalikan. Kenapa? Ada keindahan dan ketepatan susunan kalimat yang digunakan dalam ayat ini. Dalam ayat ini juga Allah ﷻ sebut pemberian rezeki itu diberikan kepada anak dahulu kerana ibubapa risau anaknya (kalau lahir) tidak dapat makan. Maka Allah ﷻ beritahu yang Dia akan beri rezeki kepada anak itu.
Ini berbeza dengan ayat Al-An’am: 151 di mana disebut rezeki kepada ibubapa dahulu kerana mereka takut mereka yang tidak dapat makan (bukan anak itu). Mereka takut rezeki mereka berkurang kalau dapat anak (tambahan satu mulut pula yang hendak diberi makan).
Satu lagi perbezaan: An’am: 151 menyebut tentang orang yang miskin. Maka Allah ﷻ beritahu yang mereka akan diberi rezeki yang kemudian akan disalurkan kepada anak. Akan tetapi dalam Isra’: 31 tentang orang yang belum lagi miskin, tetapi ‘takut’ jadi miskin خَشيَةَ إِملَـٰقٍ kerana anak itu nanti bila lahir. Maka Allah ﷻ beritahu jangan takut kerana anak itu nanti akan datang dengan rezekinya sekali. Kerana itu Allah ﷻ sebut rezeki itu diberikan kepada anak-anak itu dahulu
Ada satu lagi pengajaran yang kita boleh ambil apabila Allah ﷻ susun sebegini. Rezeki bagi anak-anak itu diberikan kepada penjaganya. Tujuan rezeki itu asalnya adalah untuk anak-anak itu, tetapi tentulah bapanya yang mendapat gaji di pejabatnya. Ini seperti orang kita kata ‘rezeki anak’. Sama juga dengan golongan yang kaya, mereka itu kaya supaya mereka menyalurkan harta dan bantuan kepada orang-orang yang lemah dan miskin. Bukannya harta itu mereka bolot sendiri, tetapi ingatlah yang ada bahagian orang lain di dalam rezeki yang Allah ﷻ berikan kepadanya itu. Ini kita boleh faham daripada hadith ini,
عَنْ سَعْدِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ يَكُونُ حَامِيَةَ الْقَوْمِ أَيَكُونُ سَهْمُهُ وَسَهْمُ غَيْرِهِ سَوَاءً قَالَ ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ يَا ابْنَ أُمِّ سَعْدٍ وَهَلْ تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ إِلَّا بِضُعَفَائِكُمْ
Daripada Sa’d bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; Aku bertanya; “Wahai Rasulullah, seorang laki-laki yang menjadi pelindung bagi suatu kaum, apakah bahagiannya sama dengan bahagian yang lainnya?” Nabi ﷺ menjawab; “Celaka kamu ini wahai Ibnu Ummi Sa’d, tidaklah kalian diberi rezeki dan dimenangkan kecuali kerana adanya orang-orang lemah daripada kalian.”
(Sahih Bukhari No. 1411)
Syarah: Di dalam hadith ini, kita dapat tahu yang Sa’d bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ rasa orang yang di atas itu lebih hebat dan lebih tinggi kedudukan daripada orang yang lemah, yang miskin dan dilindungi. Rasulullah ﷺ menempelak beliau dan memberitahu yang kedudukan dan rezeki yang mereka dapat itu kerana untuk diberikan kepada orang yang di bawah mereka.
Di dalam hadith yang lain perkara ini diulang maksudnya,
أَبَا الدَّرْدَاءِ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ابْغُونِي الضُّعَفَاءَ فَإِنَّمَا تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ بِضُعَفَائِكُمْ
[Abu Ad Darda` رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] berkata; aku mendengar Rasulullah ﷺ berkata: “Carikan orang-orang lemah untukku, sesungguhnya kalian diberi rezeki dan diberi kemenangan kerana orang-orang lemah kalian.”
Sunan Nasa’i (2227) disahihkan oleh Darussalam
Ayat ini mengingatkan kita yang Allah ﷻlah yang menguruskan rezeki kepada hamba-Nya. Manusia memang tidak akan mampu untuk memberi rezeki kepada semua orang. Oleh itu bagi para pemimpin yang risaukan rezeki rakyatnya, sampai mereka buat perancangan untuk merancang keluarga, menghadkan anak, mencatu makanan dan sebagainya, mereka itu sebenarnya tidak kenal Allah ﷻ. Mereka sangka mereka boleh menguruskan rezeki manusia, namun sebenarnya tidak. Ini seperti Thanos (filem Avenger) yang risaukan sumber makanan penduduk alam, maka dia membuat keputusan untuk mematikan separuh daripada makhluk di dalam alam.
Ayat ini juga mengingatkan kita yang pemberi rezeki kita adalah Allah ﷻ. Oleh itu kenalah taat kepada Allah ﷻ. Jangan mengharap rezeki daripada Allah ﷻ, tetapi arahan-Nya kita abaikan pula. Macam kita dapat makan daripada ayah kita, takkan dengan ayah kita kita kurang ajar pula, bukan? Kalau Allah ﷻ yang beri rezeki kepada kita dan kita hendakkan kepada rezeki itu, adakah tidak patut kita taat kepada segala arahan-Nya? Pelik bukan, kalau kita tidak taat. Sebagai contoh, ada orang yang kerana takut sangat perniagaan dia terganggu, sanggup terus bekerja walaupun sudah masuk waktu solat.
إِنَّ قَتلَهُم كانَ خِطئًا كَبيرًا
Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.
Pembunuhan anak-anak sama ada dengan cara jasmani atau rohani adalah satu dosa besar. Kalimah خِطئًا daripada katadasar خ ط ا yang bermaksud melakukan kesalahan, kesilapan, kejahatan. Ini adalah kerana dosa ini melibatkan akidah kepercayaan manusia, bukan hanya perbuatan membunuh itu sahaja. Ini kerana mereka anggap diri mereka yang memberikan rezeki kepada anak itu. Sedangkan yang memberi rezeki itu adalah Allah ﷻ.
Ia tidak sama dengan الخطأ al-khata’. Ini adalah kerana الخطأ adalah kesalahan yang dilakukan tanpa sengaja sedangkan الخطء al-khith adalah kesalahan yang dilakukan dengan sengaja. Penegasan bahawa pembunuhan adalah dosa sengaja ditekankan kerana ketika itu sebagian anggota masyarakat Jahiliah menduganya baik dan benar.
Di dalam hadith juga disebut ia termasuk dosa besar.
وَعَنْ اِبْنِ مَسْعُودٍ – رضي الله عنه – قَالَ سَأَلْتُ رَسُولَ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – أَيُّ اَلذَّنْبِ أَعْظَمُ? قَالَ: – أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا, وَهُوَ خَلَقَكَ. قُلْتُ ثُمَّ أَيُّ? قَالَ: ثُمَّ أَنْ تَقْتُلَ وَلَدَكَ خَشْيَةَ أَنْ يَأْكُلَ مَعَكَ. قُلْتُ: ثُمَّ أَيُّ? قَالَ: ثُمَّ أَنْ تُزَانِيَ حَلِيلَةَ جَارِكَ – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ
Daripada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ, ‘Dosa apakah yang paling besar?’ Baginda menjawab, ‘Engkau menjadikan sekutu bagi Allah, padahal Dialah yang menciptakanmu.’ Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa?’ Baginda menjawab, ‘Engkau membunuh anakmu kerana takut ia akan makan bersamamu.’ Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa?’ Baginda bersabda, ‘Engkau berzina dengan isteri tetanggamu.’”
(Muttafaqun ‘alaih)
(HR. Bukhari, no. 6001 dan Muslim, no. 86)
Lihatlah dosa membunuh anak kerana takut anak itu akan menjatuhkan ekonomi keluarga diletakkan selepas dosa syirik. Malah ia disebut sebelum dosa berzina dengan isteri jiran. Maka ia adalah dosa yang amat besar.
Satu lagi sebab ia adalah dosa besar adalah kerana bersangka buruk dengan Allah ﷻ. Iaitu sangka Allah ﷻ tidak berikan rezeki kepada anak itu. Kalau kita bersangka buruk dengan manusia pun sudah teruk, apatah lagi kalau bersangka buruk dengan Allah ﷻ.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 29 April 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

One thought on “Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 31 (Jangan bunuh anak kerana takut miskin)”