Tafsir Surah al-Hijr Ayat 85 – 89 (Allah ‎ﷻ hadiahkan Fatihah kepada Nabi ﷺ)

NASIHAT KEPADA RASULULLAH ﷺ

Hijr Ayat 85: Dalil aqli. Mulai ayat ini sehingga ke hujung surah (ayat 99) adalah Perenggan Makro ke 5. Ia mengandungi motivasi dan pujukan kepada Nabi ﷺ dan para pejuang tauhid. Kita kena ingat yang surah ini diturunkan di waktu Nabi ﷺ dan para sahabatnya ditentang keras oleh Musyrikin Mekah. Maka dengan mengetahui kisah-kisah para Nabi terdahulu dapat membuatkan hati Nabi Muhammad ﷺ lebih tabah.

وَما خَلَقنَا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ ۗ وَإِنَّ السّاعَةَ لَآتِيَةٌ ۖ فَاصفَحِ الصَّفحَ الجَميلَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have not created the heavens and earth and that between them except in truth. And indeed, the Hour is coming; so forgive with gracious forgiveness.

(MELAYU)

Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, melainkan dengan benar. Dan sesungguhnya saat (kiamat) itu pasti akan datang, maka maafkanlah (mereka) dengan cara yang baik.

 

وَما خَلَقنَا السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ

Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, melainkan dengan kebenaran.

Semua dijadikan Allah ‎ﷻ dengan tujuan. Allah ﷻ bukan jadikan alam ini sebagai main-main. Allah ﷻ beritahu, tidaklah layak kalau Tuhan itu bersifat begitu. Ini penting kerana ada agama lain yang sangka tuhan main-main sahaja buat alam ini. Ini adalah pemahaman yang teruk sekali. Sedangkan Allah ﷻ ada tujuan menjadikan alam ini, iaitu untuk menzahirkan kebenaran.

Untuk kita, dunia ini dijadikan sebagai tempat ujian untuk kita. Allah ﷻ tegur mereka yang kata Allah ﷻ jadikan alam ini main-main sahaja:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
Maka apakah kalian mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kalian secara main-main (sahaja), dan bahawa kalian tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha tinggi Allah, Raja Yang sebenarnya; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Tuhan (Yang mempunyai) ‘Arasy yang mulia.
(Al-Mu’minun: 115-116)

Maka kena ingatlah yang dunia ini adalah tempat ujian dan kita akan dipertanggungjawabkan atas apa sahaja yang kita lakukan.

 

وَإِنَّ السّاعَةَ لَآتِيَةٌ

Dan sesungguhnya saat (kiamat) itu pasti akan datang,

Tujuan dijadikan alam ini adalah untuk menguji manusia selama mereka hidup di dunia, sampailah masa datangnya Hari Kiamat. Apabila Hari Kiamat sudah tiba, maka selesailah tugas langit dan bumi dan Allah ﷻ akan musnahkan dan menggantikan dengan bumi dan langit yang lain.

Yang penting, kita kena ingat yang Kiamat itu pasti akan datang. Jikalau tidak percaya adanya Hari Kiamat, maka tidak akan nampak kepentingan alam yang Allah ﷻ cipta ini. Kerana kalau tidak percaya adanya Hari Kiamat, seolah-olah Allah ﷻ suka-suka sahaja jadikan alam ini.

 

فَاصفَحِ الصَّفحَ الجَميلَ

maka abaikanlah (mereka) dengan cara yang cantik.

Kalimah الصَّفحَ daripada katadasar ص ف ح yang antara lain bermaksud lembaran (seperti suhuf Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ [lembaran Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ]). Ia digunakan untuk bermaksud menukar lembaran (‘turning the pages’) yang digunakan untuk bermaksud ‘memaafkan’. Kerana bila sudah pindah muka surat, maka sudah dilupakan muka surat yang sebelum itu.

Allah ﷻ suruh maafkan mereka, iaitu biarkan mereka. Jangan risau sangat tentang mereka yang menentang. Ini sebagai tasliah daripada Allah ﷻ kepada Nabi ﷺ dan para pendakwah. Kalau ada yang menentang, biarkanlah mereka. Biarlah Allah ﷻ sahaja yang akan balas mereka nanti. Hal ini semakna dengan apa yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

فَاصْفَحْ عَنْهُمْ وَقُلْ سَلامٌ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ
Maka berpalinglah kamu (hai Muhammad) daripada mereka dan katakanlah, “Salam (selamat tinggal).” Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yang buruk).
(Az-Zukhruf: 89)

Kalimat الصَّفحَ الجَميلَ bermaksud bila maafkan dan biarkan itu, janganlah buat dengan keras. Buat biasa sahaja, jangan sampai nampak di muka yang kita marah kepada mereka. Itulah bermaksud ‘pemaafan yang cantik’. Sebab kadang-kadang ada yang kata mereka maafkan, tetapi dengan muka yang merengus dan memek muka yang bengis. Di dalam Muzzammil: 10 juga Allah ﷻ telah beri nasihat yang sama,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Hal ini lebih-lebih lagi kerana ayat ini adalah Ayat Makkiah di mana umat Islam waktu itu tidak dibenarkan untuk membalas dengan berperang dengan golongan Musyrikin yang menindas itu. Jikalau mereka tidak mahu beriman, maka biarkanlah sahaja mereka. Tidak boleh balas lagi dan fokuslah kepada dakwah kepada orang lain pula.

Walaupun ayat ini nampaknya seperti ditujukan kepada Rasulullah ﷺ, tetapi ia juga ditujukan kepada kita. Oleh itu sebagai pengajar dan juga pendakwah yang mengajak kepada wahyu, maka kita hendaklah bersabar. Memang akan ada yang menentang kita, mengutuk kita dan menuduh kita dengan bermacam-macam tuduhan, tetapi kita janganlah membalas dengan cara yang buruk. Sebaliknya kita bermuka manis dan bercakap dengan baik kepada mereka. Ini supaya akhlak kita jangan dijadikan sebagai alasan bagi manusia untuk menolak ajaran wahyu. Mungkin hari ini mereka menolak kita, tetapi entah di hari lain mereka terkesan dengan akhlak kita yang baik.


 

Hijr Ayat 86: Ayat sebelum ini Allah ﷻ suruh Nabi ﷺ maafkan pelaku dosa yang jahat. Sekarang Allah ﷻ menerangkan tentang Diri-Nya dalam ayat ini iaitu Allah ﷻ tahu segalanya tentang kita kerana Dia yang menjadikan kita. Sebelum kita buat dosa pun Allah ﷻ sudah tahu apa yang kita akan melakukannya.

إِنَّ رَبَّكَ هُوَ الخَلّٰقُ العَليمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, your Lord – He is the Knowing Creator.

(MELAYU)

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui.

 

Allah ﷻ Maha Pencipta dan Dia kerap mencipta. Sentiasa sahaja ada benda baru yang Allah ﷻ ciptakan, kita sahaja yang tidak nampak. Termasuk yang Dia akan cipta adalah Hari Kiamat dan kemudian nanti Dia akan bangkitkan kembali semua makhluk.

Ini yang susah untuk diterima oleh manusia yang ingkar. Namun Allah ﷻ sudah berhujah dalam ayat yang lain sebagai jawapan kepada keengganan mereka itu:

أَوَلَيْسَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يَخْلُقَ مِثْلَهُمْ بَلَى وَهُوَ الْخَلاقُ الْعَلِيمُ إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَنْ يَقُولَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ فَسُبْحَانَ الَّذِي بِيَدِهِ مَلَكُوتُ كُلِّ شَيْءٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Dan tidakkah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi itu berkuasa menciptakan kembali jasad-jasad mereka yang sudah hancur itu? Benar, Dia berkuasa. Dan Dialah Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya, “Jadilah!” Maka terjadilah ia. Maka Maha suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kalian dikembalikan.
(Yaasin: 81-83)

Setelah Allah ﷻ cipta, Allah Maha Tahu dengan apa yang Dia ciptakan itu. Kalau kilang buat sesuatu alat, setelah alat itu keluar sahaja dari kilang, yang tukang buat alat itu tidak tahu menahu lagi apa sahaja berlaku kepada alat yang dia buat itu.

Akan tetapi Allah ﷻ selepas Dia cipta, segala apa yang diciptakan-Nya itu, Dia tahu segala-galanya tentang makhluk itu. Allah ﷻ tetap mengurus kita setelah menjadikan kita. Maknanya, kita sekarang ini sedang diperhatikan oleh Allah ﷻ dalam apa sahaja perbuatan dan fikiran kita. Ini kerana Allah ﷻ bukan hanya tahu apa yang kita lakukan, tetapi apa yang dalam hati kita pun Allah tahu.


 

Hijr Ayat 87: Ayat tasliah (pujukan) lagi kepada Nabi Muhammad ﷺ sebagai pembakar semangat kepada baginda. Ada satu anugerah yang amat besar telah diberikan kepada baginda.

وَلَقَد ءآتَينٰكَ سَبعًا مِّنَ المَثاني وَالقُرءانَ العَظيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly given you, [O Muḥammad], seven of the often repeated [verses]¹ and the great Qur’ān.

  • Referring to Sūrah al-Fātiḥah.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al Qur’an yang agung.

 

وَلَقَد ءاتَينٰكَ سَبعًا مِّنَ المَثاني

Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh yang dibaca berulang-ulang

Musyrikin Mekah tanya dengan nada mengejek, apa sangatlah yang diberikan kepada baginda? Allah ﷻ beritahu bahawa apa yang baginda dapat adalah sesuatu yang amat hebat. Tujuh ayat yang diulang-ulang baca itu adalah Surah Fatihah. Dalilnya adalah hadith berikut,

عَنْ أَبِي سَعِيدِ بْنِ الْمُعَلَّى أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِهِ وَهُوَ يُصَلِّي فَدَعَاهُ قَالَ فَصَلَّيْتُ ثُمَّ أَتَيْتُهُ فَقَالَ مَا مَنَعَكَ أَنْ تُجِيبَنِي قَالَ كُنْتُ أُصَلِّي قَالَ أَلَمْ يَقُلْ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ } أَلَا أُعَلِّمُكَ أَعْظَمَ سُورَةٍ قَبْلَ أَنْ أَخْرُجَ مِنْ الْمَسْجِدِ قَالَ فَذَهَبَ لِيَخْرُجَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَوْلَكَ قَالَ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ هِيَ السَّبْعُ الْمَثَانِي الَّذِي أُوتِيتُ وَالْقُرْآنُ الْعَظِيمُ
Daripada [Abu Sa’id bin Al Mu’alla رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawasanya Nabi ﷺ pernah melewatinya ketika dia sedang solat, lalu baginda ﷺ memanggilnya. Abu Said رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Aku tadi sedang solat.” Lantas aku mendatangi baginda ﷺ. Baginda ﷺ bertanya, “Apakah yang menghalangimu untuk menjawabku?” Aku menjawab, “Aku tadi sedang solat.” Baginda ﷺ bersabda: “Bukankah Allah عَزَّ وَجَلَّ berfirman: ‘Wahai orang-orang yang beriman penuhilah seruan Allah dan Rasul jika menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu (Anfaal: 24) ‘. Mahukah kalian aku ajarkan tentang surat yang paling agung sebelum aku keluar dari masjid?” Lalu Abu Sa’id رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; “Lalu Rasulullah ﷺ pergi keluar masjid, dan aku berkata, ‘Wahai Rasulullah ﷺ, mana sabdamu? ‘ Baginda ﷺ bersabda: ‘Alhamdulillah rabbil ‘aalamiin (Segala puji bagi Allah. Rabb semesta alam) adalah sab’ul matsani yang diberikan kepadaku, juga Al Qur ‘an Al ‘Azhim’.’
(Sahih Bukhari (904))

Ia dinamakan sebegitu kerana ia sentiasa sahaja dibaca, sama ada dalam solat atau pun di luar solat. Kalau dalam solat, ia dibaca pada setiap raka’at. Solat pun sentiasa dikerjakan di setiap pelusuk dunia ini. Maka amat banyak sekali Surah Fatihah ini dibacakan. Ini adalah satu penghormatan kepada Fatihah. Kalau kita belajar tafsir Surah Fatihah pun, kita akan nampak amat banyak kehebatan surah itu. Tidak habis dikaji oleh manusia.

Soalan: anda telah baca Surah Fatihah ini dari kecil lagi dan sentiasa sahaja dibaca setiap hari, bukan? Namun adakah anda sudah bosan baca surah ini? Tentu tidak, bukan? Begitu hebat sekali surah ini. Orang selalunya suka dengar lagu, bukan? Akan tetapi kalau lagu itu hari-hari dia dengar dan nyanyi, tentu tidak lama selepas itu dia akan bosan untuk mendengar lagu itu lagi dan kalau dia terpaksa dengar juga, dia akan muntah, bukan?

Namun Allah ﷻ beri kelebihan kepada surah ini, kita dah berjuta kali baca pun, tetapi masih tidak bosan lagi mendengar dan membacanya.

Satu lagi pendapat mengatakan ia merujuk kepada tujuh surah yang panjang iaitu 7 Surah Al-Baqarah, Ali Imran, An-Nisa’, Al-Maidah, Al-An’am, Al-A’raf dan Al-Anfal + Al-Bara’ah/Tawbah (Surah Anfal dan Tawbah dikira sebagai satu dan kerana itulah tidak ada Basmalah di antaranya). Akan tetapi pendapat yang lebih masyhur adalah tujuh yang dikatakan itu adalah Surah Fatihah.

 

وَالقُرءانَ العَظيمَ

dan Al-Qur’an yang agung.

Kemudian Allah ﷻ sebut Al-Qur’an pula; tetapi bukankah al-Fatihah itu sebahagian daripada Al-Qur’an? Memang ia sebahagian daripada Al-Qur’an (kalau sebut Al-Qur’an pun sudah termasuk dengan Fatihah sekali) tetapi Allah ﷻ sebut tentang Surah Fatihah secara khusus sebagai penghormatan kepadanya.

Cara ini selalu digunakan dalam Al-Qur’an apabila menyebut tentang Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ – disebut tentang para malaikat, tetapi disebut Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara khusus. Ini adalah kerana kelebihan Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Sepertimana kita kata begini: “Semua jemputan telah masuk termasuk Perdana Menteri”. Bukankah Perdana Menteri itu juga jemputan, tetapi kenapa sebut nama beliau secara khusus? Kerana ada kelebihan pada Perdana Menteri itu disebabkan kedudukannya.

Di sini juga ada isyarat bahawa Surah Fatihah itu adalah ringkasan bagi keseluruhan Al-Qur’an. Ia mengandungi topik-topik yang disentuh di dalam keseluruhan Al-Qur’an. Kerana itulah kita disuruh untuk membaca Surah Fatihah di dalam solat kita untuk mengingatkan kandungan Al-Qur’an itu. Inilah juga kenapa Al-Qur’an juga digelar sebagai Ummul Kitab.


 

Hijr Ayat 88: Ini adalah nasihat untuk Nabi Muhammad ﷺ dan juga kita. Maka ini adalah ayat Zajrun. Allah ﷻ sudah beri Al-Qur’an, maka cukuplah dengan Al-Qur’an itu, jangan harap kepada kelebihan keduniaan yang diberikan kepada orang yang ingkar.

لا تَمُدَّنَّ عَينَيكَ إِلىٰ ما مَتَّعنا بِهِ أَزوٰجًا مِّنهُم وَلا تَحزَن عَلَيهِم وَاخفِض جَناحَكَ لِلمُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do not extend your eyes toward that by which We have given enjoyment to [certain] categories of them [i.e., the disbelievers], and do not grieve over them. And lower your wing [i.e., show kindness] to the believers

(MELAYU)

Janganlah sekali-kali kamu menunjukkan pandanganmu kepada kenikmatan hidup yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (orang-orang kafir itu), dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.

 

لا تَمُدَّنَّ عَينَيكَ إِلىٰ ما مَتَّعنا بِهِ أَزوٰجًا مِّنهُم

Janganlah sekali-kali kamu memanjangkan pandanganmu kepada kenikmatan hidup yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka

Ada penekanan pada kalimah تَمُدَّنَّ itu, yang bermaksud: ‘Jangan sekali-kali’. Jangan lihat dan mengharap apa diberikan kepada أَزواجًا .أَزواجًا bermaksud kumpulan yang sama sifat di dalamnya – sama sahaja sifat mereka semua sekali. Yang dimaksudkan adalah golongan orang-orang kafir.

Kalau nampak mereka senang dan kaya, jangan kisah dengan mereka. Jangan panjang mata lihat mereka dan berharap dapat jadi seperti mereka pula. Memang mereka dapat nikmat hidup yang banyak, tetapi itu bukanlah kebaikan sebenarnya.

Ini adalah teguran kepada kita juga kerana kadang-kadang kita jadi lain pula kalau berhadapan dengan orang kaya. Adab kita menjadi baik, cakap pun lembut, kita rasa rendah diri sahaja. Padahal, sebenarnya kekayaan yang mereka ada itu bukanlah apa-apa pun.

 

وَلا تَحزَن عَلَيهِم

dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka

Janganlah bersedih hati atas penolakan mereka terhadap dakwah tauhid itu. Jangan hati kamu sedih kalau terkenangkan mereka akan dikenakan azab dan sebagainya. Apa yang mereka dapat itu adalah layak bagi mereka, patut bagi mereka. Jangan kasihankan mereka.

Jangan berharap sangat mereka beriman kerana iman ini adalah sesuatu yang mahal. Kita hanya sampaikan sahaja dakwah kepada manusia, tetapi bukanlah kita seperti penjual yang hendak sangat orang beli barangan kita. Jangan tunjukkan kita beriya-iya sangat mereka beriman kerana merekalah yang sepatutnya beriya-iya masuk Islam kerana kita yang sebenarnya telah melakukan kebaikan dengan berdakwah kepada mereka. Islam tidak memerlukan iman mereka, tetapi merekalah yang memerlukan Islam!

Cuma perhatikan di sini. Rasulullah ﷺ bersedih, bukan? Kerana baginda telah berusaha sedaya upaya baginda untuk mengajak mereka ke arah Tauhid tetapi mereka menolak. Baginda sedih kerana mereka akan dimasukkan ke dalam neraka. Namun bagaimana dengan kita? Adakah kita bersedih kerana ramai orang menolak Tauhid? Tidak patut sebenarnya. Kerana kita tidak berdakwah pun! Kalau kita berdakwah tetapi mereka menolak, barulah kita patut bersedih. Akan tetapi kalau setakat menjadi Muslim sahaja tetapi tidak mengajak orang ke arah agama Islam, maka tidak patut pun bersedih kerana kita tidak berbuat apa-apa pun, tidak kisah pun dengan mereka…

 

وَاخفِض جَناحَكَ لِلمُؤمِنينَ

dan rendahkanlah sayapmu terhadap orang-orang yang beriman.

‘Rendah diri’ itu bermaksud fokus kepada golongan yang beriman. Dalam ayat ini, Nabi Muhammad ﷺ diajar jangan berharap sangat pemimpin Mekah ikut baginda. Baginda memang mahu sangat kalau mereka beriman supaya ramai lagi akan ikut beriman.

Baginda sebenarnya berniat baik iaitu mahukan impak yang baik kalau mereka beriman – kerana kalau pemuka Mekah yang beriman, maka akan ramai lagilah orang yang akan ikut mereka beriman. Tujuan baginda itu adalah baik dan betul. Bukannya baginda mahukan kekayaan atau kuasa daripada mereka, tetapi baginda mahu lebih ramai masyarakat Arab beriman.

Macam kita pun, memang suka kalau kita dengar orang-orang besar dan yang terkenal masuk Islam. Kalau ada artis atau orang terkenal di dunia masuk Islam pun, kita suka. Malangnya kadang-kadang berita palsu yang keluar. Orang kita suka sangat sampai tergopoh-gopoh sebarkan berita yang belum pasti benar. Akhirnya memalukan diri sendiri.

Baginda diajar janganlah dikejar sangat sokongan daripada mereka yang kufur itu sampai baginda melupakan golongan yang lemah tetapi sudah beriman. Allah ﷻ suruh tetaplah bergaul dengan mereka yang lemah itu. Janganlah berharap sangat kepada golongan pemimpin dan pemuka Mekah itu sampai baginda lupakan orang-orang yang lemah yang memang sudah beriman.

Kalau baginda lupakan mereka yang lemah itu, tentu mereka akan terasa hati. Ini dibahas dalam Surah Abasa dengan panjang lebar. Iaitu apabila baginda menunjukkan muka tidak suka kepada salah seorang sahabat yang buat.

عَبَسَ وَتَوَلّىٰ
Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling,

أَن جاءَهُ الأَعمىٰ
kerana telah datang seorang buta kepadanya.

Nabi Muhammad ﷺ telah lakukan seperti yang Allah ﷻ sebut dalam ayat ini seperti disebut dalam ayat yang lain:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
Sesungguhnya telah datang kepada kalian seorang Rasul daripada kaum kalian sendiri, berat terasa olehnya penderitaan kalian, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagi kalian, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.
(At-Taubah: 128)

Maksud merendah diri itu adalah sifat tawadhuk. Sebagai contoh Rasulullah ﷺ adalah orang yang selalu bersikap lembut kepada anak-anak. Diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari, Anas bin Malik bercerita bahawa, “Dahulu ada budak kecil perempuan daripada penduduk Madinah meraih tangan Rasulullah ﷺ. Lalu dia mengajak baginda pergi ke mana saja dia suka.”

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Al Bukhari dari al-Aswad bin Yazid, dia berkata, “Aku pernah bertanya kepada ‘Aisyah رضي الله عنها: “Apakah yang biasa dilakukan Rasulullah ﷺ di rumahnya? ‘Aisyah رضي الله عنها menjawab: ‘Baginda biasa membantu keluarga; apabila mendengar suara azan, baginda segera keluar (untuk menunaikan) solat.”

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, bahwa tidak ada seorang pun yang dicintai oleh para Sahabat daripada Rasulullah ﷺ. Namun apabila mereka melihat Rasulullah, mereka tidak berdiri untuk menyambut baginda. Para Sahabat tahu bahawa Rasulullah ﷺ tidak menyukai cara seperti itu.

Rasulullah ﷺ tidak suka jika ada sahabat atau umatnya yang memujinya berlebihan. Ketika seseorang memuji secara berlebihan, ditakutkan akan menimbulkan kesan bahawa seseorang yang dipuji memiliki sifat ilahiyyah. Baginda selalu berpesan untuk menganggapnya sebagai hamba Allah dan seorang rasul.

Diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari dan Imam At Tirmidzi, Rasulullah ﷺ pernah bersabda, “Janganlah kalian berlebih-lebihan dalam memujiku, sebagaimana orang-orang Nasrani telah berlebih-lebihan memuji ‘Isa putra Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah, ‘Abdullaah wa Rasuuluhu’ (hamba Allah dan Rasul-Nya)”.

Ada sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Ibnu Majah, di mana Rasulullah ﷺ bersabda, “Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, matikanlah aku dalam keadaan miskin dan himpunkanlah aku ke dalam golongan orang fakir miskin”. Para ulama mengatakan bahawa doa tersebut diungkapkan Rasulullah ﷺ ketika baginda berkumpul dengan sahabat yang tidak memiliki kelebihan harta (miskin). Tujuan Rasulullah ﷺ mengatakannya adalah agar para sahabat yang miskin itu tidak merasa rendah diri di hadapan baginda. Malah apabila orang yang tidak kenal baginda, mereka tidak dapat membezakan antara baginda dengan para sahabat yang di sekeliling baginda kerana baginda sama sahaja dari segi cara penampilan dengan para sahabat yang lain. Baginda tidaklah berpakaian yang lain daripada mereka.


 

Hijr Ayat 89: Bagaimanakah sepatutnya sikap baginda terhadap golongan pemuka Mekah itu?

وَقُل إِنّي أَنَا النَّذيرُ المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And say, “Indeed, I am the clear warner” –

(MELAYU)

Dan katakanlah: “Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang menjelaskan”.

 

Baginda disuruh oleh Allah ﷻ untuk bercakap begini kepada golongan elit itu. Jangan rendahkan diri di hadapan mereka, tetapi sebaliknya teruskan beri ancaman kepada mereka. Semoga mereka beringat dengan mendapat ancaman-ancaman itu. Macam-macam tuduhan yang mereka kata kepada baginda malah ada yang mengancam baginda; tetapi ingatlah yang ancaman mereka itu tidak bermakna tetapi ancaman yang baginda sampaikan itulah yang bermakna.

Di sini Allah ﷻ ingatkan baginda bahawa baginda hanya penyampai sahaja. Baginda tidak boleh pastikan manusia beriman. Maka janganlah baginda bersedih kerana baginda telah sampaikan apa yang telah diamanahkan oleh Allah ﷻ. Dengan perkara yang kita tidak boleh kawal, janganlah kita bersedih kalau ia tidak berlaku. Para pendakwah kena ingat hal ini.

Baginda adalah النَّذيرُ المُبينُ. Baginda disuruh untuk sampaikan ancaman daripada Allah ﷻ dengan jelas dan tanpa sembunyi-sembunyi. Maka begitulah kita yang mengajar dan juga berdakwah kepada umat, tidak boleh tinggalkan apa-apa pun daripada ajaran wahyu. Wajib disampaikan semuanya sekali, jangan disorok-sorok. Mungkin ramai yang takut hendak sampaikan kerana hendak menjaga hati masyarakat, atau takut mereka marah kerana ditegur. Namun tidak boleh begitu, tetap kita kena sampaikan sahaja. Sama ada mereka terima atau tidak, itu terpulang kepada mereka.

Apabila baginda telah sampaikan ajaran Tauhid dengan jelas, maka yang menolak baginda adalah kerana degil sahaja, bukannya kerana tidak faham. Bagaimana mereka boleh kata tidak faham, sedangkan baginda sudah terangkan dengan jelas? Begitulah dengan kita yang berdakwah dan mengajar, kena sampaikan dengan terang dan jelas. Berikan segala dalil yang ada, bukannya kata ustaz aku cakap, tok guru aku kata, tok guru aku bermimpi dan sebagainya. Itu karut! Sepatutnya kita kena berikan dalil daripada wahyu.

Ada penegasan di dalam kalimat إِنّي أَنَا kerana kalimah إِنّي bermaksud ‘sesungguhnya aku’ dan sekali lagi digunakan kalimah أَنَا (aku). Maka ia berbunyi, “sesungguhnya aku, aku”. Selain penegasan, ia juga membawa maksud eksklusif. Iaitu Rasulullah ﷺ hanya bekerja sebagai pendakwah sahaja, tidak ada kerja lain. Ramai orang kata perniagaan itu adalah Sunnah Nabi ﷺ. Sebenarnya bukanlah sunnah sangat pun, kerana itu hanyalah pekerjaan baginda sebelum menjadi Nabi. Setelah menjadi Nabi, baginda tidak berniaga pun lagi, tetapi berdakwah dan mengajar agama sepenuh masa.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 29 November 2023

Ringkasan Surah al-Hijr


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment