Tafsir Surah Yusuf Ayat 107 – 108

Yusuf Ayat 107:

أَفَأَمِنُوٓاْ أَن تَأتِيَهُم غَـٰشِيَةٌ مِّن عَذَابِ ٱللَّهِ أَو تَأتِيَهُمُ ٱلسَّاعَةُ بَغتَةً وَهُم لَا يَشعُرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then do they feel secure that there will not come to them an overwhelming [aspect] of the punishment of Allāh or that the Hour will not come upon them suddenly while they do not perceive?

(MALAY)

Apakah mereka merasa aman dari kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka, atau kedatangan kiamat kepada mereka secara mendadak, sedang mereka tidak menyedarinya?

 

أَفَأَمِنُوٓاْ أَن تَأتِيَهُم غَـٰشِيَةٌ مِّن عَذَابِ ٱللَّهِ

Apakah mereka merasa aman dari kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka,

Apakah orang yang syirik itu merasa aman sahaja, berbuat apa sahaja yang mereka hendak lakukan, sedangkan Allah ‎ﷻ boleh kenakan azab pada mereka? Semasa mereka di dunia lagi Allah boleh kenakan azab kepada mereka.

Maksud “غَـٰشِيَةٌ” secara bahasa adalah sesuatu yang “menutup” atau “meliputi”. Ia merujuk kepada azab atau bencana yang menimpa ketika manusia masih hidup di dunia. Azab ini datang secara menyeluruh sehingga mereka tidak dapat melarikan diri daripadanya (seperti banjir besar kaum Nabi Nuh, atau jeritan suara yang membinasakan kaum Thamud). Amaran ini adalah supaya manusia tidak merasa aman daripada bencana duniawi yang boleh datang secara tiba-tiba sebagai balasan atas keingkaran mereka.

Apa kaitan dengan golongan Bani Israil dengan ayat ini  yang menjadi pengajaran kepada kita? Beberapa contoh kekalahan Yahudi pada zaman Rasulullah ﷺ dan para sahabat adalah sebagai berikut:

1. Pengusiran Bani Qainuqa‘ dari Madinah. Bani Qainuqa‘ adalah kelompok Yahudi pertama yang secara terang-terangan melanggar perjanjian dengan Rasulullah ﷺ setelah Perang Badar. Mereka melakukan provokasi terhadap seorang wanita Muslim, sehingga terjadi pembunuhan dan akhirnya Rasulullah ﷺ mengepung mereka selama lima belas hari. Akhirnya, mereka menyerah dan diusir dari Madinah menuju Syam, serta harta mereka diambil oleh kaum Muslimin.

2. Pengusiran Bani Nadhir. Bani Nadhir berencana membunuh Rasulullah ﷺ ketika baginda datang ke tempat mereka untuk meminta bantuan membayar diyat. Allah mengabarkan rencana jahat mereka kepada Nabi, sehingga baginda mengepung mereka dan memerintahkan mereka keluar dari Madinah. Harta dan kebun kurma mereka juga diambil oleh kaum Muslimin.

3. Kekalahan dan hukuman Bani Quraizhah. Bani Quraizhah melanggar perjanjian dengan Rasulullah ﷺ ketika Perang Ahzab (Khandaq) dengan membantu musuh. Setelah perang berakhir, Rasulullah ﷺ mengepung mereka, dan akhirnya mereka menyerah. Para lelaki Bani Quraizhah dihukum mati, sementara wanita dan anak-anak mereka dijadikan tawanan, serta harta mereka dibahagi di antara kaum Muslimin.

4. Penaklukan Khaibar. Khaibar adalah benteng Yahudi terbesar di utara Madinah. Rasulullah ﷺ dan para sahabat mengepung dan menaklukkan benteng-benteng Khaibar setelah perlawanan sengit. Kaum Yahudi Khaibar akhirnya menyerah dan diizinkan tetap tinggal dengan syarat memberikan separuh hasil pertanian mereka kepada kaum Muslimin.

Perhatikan bagaimana Allah balas rancangan jahat mereka terhadap Rasulullah dan umat Islam. Tidakkah ini sama seperti rancangan jahat abang-abang Nabi Yusuf terhadap baginda? Dan rancangan jahat terhadap Nabi Muhammad pun akan dibalas juta terhadap Musyrikin Mekah nanti.

 

أَو تَأتِيَهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ

atau kedatangan kiamat kepada mereka secara mendadak, sedang mereka tidak menyedarinya?

Atau tidakkah mereka tahu yang kiamat itu boleh sahaja datang dengan tiba-tiba waktu mereka tidak sedar? Kalau sebelum ini tentang azab ketika di dunia, sekarang azab di akhirat pula. Waktu itu sudah terlambat untuk memperbaiki keadaan diri dan betulkan amal kita. Maka janganlah tunggu waktu itu kerana sudah terlambat.

Apa kaitan dengan golongan Bani Israil dengan ayat ini  yang menjadi pengajaran kepada kita? Bukankah mereka itu perasan yang mereka itu anak-anak Tuhan dan mereka pasti akan selamat dan tidak masuk ke neraka? Dan kalaulah dimasukkan pun, hanya untuk beberapa hari sahaja?  Allah berfirman tentang sangkaan mereka ini di dalam Ma’idah:18,

وَقَالَتِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَىٰ نَحْنُ أَبْنَاءُ اللَّهِ وَأَحِبَّاؤُهُ ۚ قُلْ فَلِمَ يُعَذِّبُكُم بِذُنُوبِكُم ۖ بَلْ أَنتُم بَشَرٌ مِّمَّنْ خَلَقَ
“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: ‘Kami adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya’. Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika demikian, mengapa Dia menyeksa kamu dengan dosa-dosa kamu?’ (Tidak), bahkan kamu adalah manusia (biasa) di antara manusia lain yang diciptakan-Nya…”

Dan Allah berfirman yakinnya mereka akan selamat di dalam Baqarah:80

وَقَالُوا لَن تَمَسَّنَا النَّارُ إِلَّا أَيَّامًا مَّعْدُودَةً ۚ قُلْ أَتَّخَذْتُمْ عِندَ اللَّهِ عَهْدًا فَلَن يُخْلِفَ اللَّهُ عَهْدَهُ ۖ أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
“Dan mereka berkata: ‘Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka melainkan selama beberapa hari yang tertentu sahaja.’ Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Adakah kamu sudah mendapat janji daripada Allah sehingga Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, atau kamu hanya mengatakan terhadap Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui?'”

Adakah kita juga rasa kita selamat? Dalam sebuah eksperimen psikologi yang terkenal (The Invisible Gorilla” (Gorila yang Tidak Kelihatan) yang dijalankan oleh Christopher Chabris dan Daniel Simons pada tahun 1999), sekumpulan peserta diminta untuk menonton video pendek dan mengira bilangan hantaran bola keranjang di antara pemain yang memakai baju putih. Semasa mereka begitu fokus dengan tugasan itu, sesuatu yang aneh berlaku: seorang individu yang memakai kostum gorila berjalan perlahan-lahan melintasi skrin, berhenti di tengah, menepuk dadanya, dan kemudian berjalan keluar. Hasilnya mengejutkan—majoriti besar peserta langsung tidak perasan akan “gorila” tersebut. Tetapi apakah kaitan eksperimen aneh ini dengan kehidupan kita? Dan apakah ‘gorila’ yang mungkin kita terlepas pandang setiap hari?

Fenomena yang ditunjukkan dalam eksperimen itu dikenali sebagai inattentional blindness atau “buta kerana tidak prihatin”. Ia adalah kecenderungan psikologi manusia di mana apabila kita terlalu menumpukan perhatian pada satu perkara, kita boleh menjadi buta kepada perkara lain, walaupun ia sangat jelas dan berada tepat di hadapan mata kita. Sebagaimana di dalam ujian itu, insan beragama juga boleh begitu terlatih dalam ritual sehingga terlepas pandang mesej kemanusiaan yang menjadi intipati agama itu sendiri. Seseorang boleh menjadi terlalu fokus pada aspek teknikal—seperti mengkaji hukum-hakam, tatacara ibadah, atau analisis tatabahasa kitab suci—sehingga mereka buta terhadap isu etika dan keadilan yang berada tepat di hadapan mereka. Mereka mungkin tidak nampak ketidakadilan yang telah dilakukan terhadap orang lain yang berada di hadapan mata mereka sendiri. 


 

DAKWAH DENGAN ILMU DAN KEBIJAKSANAAN

Yusuf Ayat 108: Ayat targhib kepada tauhid. Kalau mereka leka dengan kehidupan mereka dan masih tidak mahu beriman sepenuhnya, maka beritahu ini kepada mereka:

قُل هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ أَدعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ‌ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى‌ۖ وَسُبحـٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلمُشرِكِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “This is my way; I invite to Allāh with insight, I and those who follow me. And exalted is Allāh; and I am not of those who associate others with Him.”

(MALAY)

Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”.

 

قُل هَـٰذِهِۦ سَبِيلِىٓ

Katakanlah: “Inilah jalan (agama)ku,

Beritahu sahaja mereka yang degil itu: “Inilah jalan aku”. Kena cakap dengan yakin. Mudah sahaja kata-kata ini. Beritahu kepada mereka bahawa kita ada pendirian, sama ada mereka ikut atau tidak mahu ikut, kita sudah ada pendirian kita yang mantap.

 

أَدعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ‌

aku mengajak kepada Allah 

Katakanlah yang kita mengajak kepada Allah ‎ﷻ berdasarkan penglihatan yang jelas, bukan dengan mata tertutup. Apabila mereka minta dalil, kita berikan. Mereka minta bukti, kita beri. Ini kerana agama Islam ini bukan agama buta hati, ikut sahaja. Ia adalah agama yang  berdasarkan bukti.

 

عَلىٰ بَصيرَةٍ

dengan hujah yang nyata,

Begitulah agama Islam ini, ia adalah agama yang unik. Kalau agama lain, mereka pun ada ‘iman’ dan kepercayaan mereka juga, tetapi mereka kena percaya sahaja tanpa boleh dijelaskan dengan akal yang waras. Mereka tidak ada بَصيرَةٍ, iaitu mata hati. Mata hati ini bukan mata penglihatan kita. Lihat macam Nabi Ya’qub عليه السلام, walaupun buta matanya, namun mata hatinya tidak buta.

Kita kena percaya agama ini dengan basirah (pandangan mata hati) dengan penuh yakin. Kita percaya dalam hati dan dalam masa yang sama, kita nampak apa yang disebut dalam Al-Qur’an itu benar-benar terjadi. Nabi Muhammad ﷺ sudah berjumpa dengan Allah ‎ﷻ, dan baginda pernah lihat malaikat. Jadi apa yang disebut oleh baginda adalah benda yang benar, bukan khayalan.

Kalimat عَلىٰ بَصيرَةٍ juga bermaksud agama kita ini diajar dengan jelas. Kita tidak berselindung kerana tidak ada apa yang hendak dimalukan dengan agama Islam ini. Yang mengajar sorok-sorok adalah golongan sesat kerana mereka tahu apa yang mereka ajar itu tidak ada dalil dan mengarut. Ini kita boleh lihat pada ajaran sufi tarekat yang terpaksa merahsiakan apa yang mereka ajar kepada anak murid. Begitu juga dengan Syiah yang sampai terpaksa melakukan taqiyah kerana takut mereka akan dilawan kerana memang mereka ajar itu adalah ajaran yang salah.

 

أَنَا۟ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِى‌

aku dan orang-orang yang mengikutiku

Basirah itu bukan untuk baginda sahaja tetapi kepada mereka yang ikut baginda juga. Ini kerana agama kita ini bukannya ‘blind faith’ sahaja. Agama ini ada segala bukti.

Namun malangnya ramai orang kita yang mengikut sahaja sepanjang masa. Mereka tidak memikirkan tentang dalil-dalil yang ada dan kerana itu iman mereka tidak mantap. Sedangkan Al-Qur’an inilah basirah untuk kita. Setiap kali kita membacanya, ia menguatkan  iman kita.

 

وَسُبحـٰنَ ٱللَّهِ

dan Maha Suci Allah, 

Ada muqaddar: “Aku akan sentiasa kata Allah ‎ﷻ yang maha suci.” Ertinya, menyucikan Allah ‎ﷻ, mengagungkan-Nya, dan membesarkan-­Nya daripada semua kemusyrikan, tandingan, persamaan, anak, orang tua, isteri, pembantu atau penasihat. Mahasuci dan Mahatinggi Allah ‎ﷻ daripada memiliki kesemuanya itu dengan ketinggian yang sebesar-besarnya.

 

وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلمُشرِكِينَ

dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik”.

Nabi Muhammad ﷺ tidak akan melakukan syirik. Dalam ayat ini, Nabi ﷺ tidak berkata ‘kami’ seperti dalam ayat yang lain. Walaupun tadi ada ayat وَمَنِ اتَّبَعَني (dan yang mengikutku) tetapi baginda tidak sebut tentang iman orang lain kerana akidah adalah perkara dalam hati.

Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh mengiyakan akidah yang ada dalam diri para sahabat dan orang lain kerana akidah ini kena periksa sendiri dan pastikan tidak ada syirik sendiri. Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh berkata yang pengikut baginda tidak melakukan syirik kerana baginda tidak tahu apa yang dalam hati pengikut baginda, sahabat baginda.

Begitu juga dengan kita, kita kena belajar apakah tauhid dan syirik seperti yang disampaikan dalam Al-Qur’an, dan pastikan bahawa akidah kita dan akidah Al-Qur’an adalah sama sahaja. Kena sentiasa periksa akidah dan iman kita sama ada selari dengan Al-Qur’an ataupun tidak.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 28 Mac 2019

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment