Tafsir Surah Yusuf Ayat 102 (Bukti Kenabian Rasulullah)

PERINGATAN KEPADA NABI MUHAMMAD

Yusuf Ayat 102: Kita sekarang sudah masuk ke ayat-ayat akhir penutup surah. Ayat ini adalah Dakwa Ketiga bagi surah ini. Dakwa terbahagi kepada tiga jenis (Tauhid, Risalah dan Akhirah). Ini adalah Dakwa tentang Risalah. Sekarang kita masuk ke bahagian penutup Surah Yusuf ini. Dari ayat ini sampai ke hujung (ayat 111) adalah Perenggan Makro Ketiga iaitu Rumusan bagi surah ini.

Kisah Nabi Yusuf telah tamat di dalam ayat sebelum ini. Sebaik sahaja kisah Nabi Yusuf a.s. mencapai kesimpulannya, Allah s.w.t. memulakan satu kelas induk dalam komunikasi ilahi. Sekarang Allah bercakap terus kepada Nabi Muhammad. Di ayat-ayat terakhir inilah terletaknya sebuah komentar agung daripada Allah. Ia adalah sebuah ulasan bukan sahaja tentang kisah itu sendiri, tetapi tentang kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. dan hakikat wahyu itu sendiri. Di sinilah rahsia-rahsia itu terungkap. Sekarang akan disebut pengajaran yang kita kena ambil dari kisah yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Kita kena ingat yang waktu surah ini diturunkan di Mekah, Nabi Muhammad ﷺ sedang dihentam dengan teruk di Mekah. Maka Allah ‎ﷻ turunkan surah ini kerana Allah ‎ﷻ hendak memujuk hati Nabi ﷺ (tasliah). Allah ‎ﷻ mulakan surah ini dengan kisah ujian yang telah diberikan kepada Nabi Yusuf عليه السلام dan kemudian diberikan berita gembira di penghujungnya. Allah ‎ﷻ hendak ingatkan kepada Rasulullah ﷺ, walaupun permulaannya susah, tetapi penghujungnya baik. Maka Rasulullah ﷺ kenalah bersabar.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi dan Rasul yang benar kerana kisah ini datangnya dari wahyu menandakan yang baginda adalah seorang Rasul. Ini kerana kalau baginda bukan seorang Nabi, tidak mungkin baginda boleh ceritakan kisah ini dengan jelas kerana kisah ini tidak ada dalam maklumat orang Arab Mekah.

ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَ‌ۖ وَمَا كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعُوٓاْ أَمرَهُم وَهُم يَمكُرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is from the news of the unseen which We reveal, [O Muḥammad], to you. And you were not with them when they put together their plan while they conspired.

(MALAY)

Demikian itu (adalah) diantara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya.

ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَ‌

Demikian itu (adalah) di antara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu

Selepas ayat 101, kisah Yusuf berakhir. Kemudian, secara tiba-tiba, dari ayat 102 hingga 111, Allah s.w.t. mengalihkan firman-Nya secara langsung kepada Nabi Muhammad, kerana digunakan kalimah إِلَيكَ‌. Ini adalah satu isyarat yang amat penting, satu peralihan yang disengajakan. Allah seolah-olah berfirman, “Semua yang telah engkau baca tadi, kisah kesabaran, pengkhianatan, dan kemenangan itu, adalah untukmu.” Ini menjadikan Nabi Muhammad sebagai “penerima manfaat pertama” surah ini. Ia bukan sekadar sebuah kisah sejarah; ia adalah hadiah peribadi daripada Allah untuk memberikan kelegaan, kekuatan, dan ketenangan kepada Rasul-Nya yang sedang menghadapi cabaran hebat di Mekah.

Tapi tentulah ayat ini bukan untuk baginda sahaja. Bagi kita sebagai pembaca dan pengkaji Al-Qur’an, pemahaman ini mewujudkan satu hubungan yang istimewa antara kita dan Rasulullah. Apabila kita mencari ketenangan dalam Surah Yusuf, kita sebenarnya sedang berkongsi “hadiah istimewa yang sama” yang telah diterima oleh Rasulullah s.a.w., menghidupkan semula pengalaman baginda mencari kekuatan melalui firman Allah yang sama. Hebatnya surah ini, mesti ada mana-mana bahagian yang menyentuh anda kerana ia seperti menceritakan kehidupan anda, bukan? 

Di dalam ayat sebelum ini, doa Nabi Yusuf akhir sekali adalah وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ (gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh). Surah ini adalah Surah Makkiah, berkemungkinan besar diturunkan di hujung-hujung masa baginda di Mekah. Selepas itu baginda berhijrah ke Madinah apabila baginda terpaksa meninggalkan Mekah. Dan di Madinah, bukankah baginda digabungkan dengan para sahabat yang memberi perlindungan kepada baginda? Jadi doa Nabi Yusuf أَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ Allah penuhi bagi Nabi Muhammad semasa di dunia lagi. Tapi kena baginda membaca ayat ini pertama kali, baginda tidak tahulah yang ia akan terjadi. Baginda masih tetap kena menghadapi karenah golongan Musyrikin di Mekah itu. Tapi Allah sudah ada perancangan untuk Nabi kita ini.

Kisah Nabi Yusuf عليه السلام yang telah disebut itu adalah antara berita ghaib yang diberikan kepada baginda. Tidak ada cara bagi Nabi Muhammad ﷺ mengetahuinya sebelum itu, melainkan Allah ‎ﷻ yang beritahu kepada baginda. Ini adalah satu tanda yang baginda adalah seorang Rasul. Tidak mungkin baginda tahu kisah Nabi Yusuf dengan fakta-fakta sebegini melainkan ia mestilah dari Allah. Ada yang menuduh baginda menciplak kisah-kisah itu dari kitab-kitab Yahudi atau Nasrani tapi ia tidak mungkin! Nabi terus tinggal di Mekah dan tidak ada diberitakan baginda belajar dengan ahli kitab mana-mana pun. Memang baginda ada keluar Mekah tapi untuk masa  yang singkat sahaja dan tidak mungkin dapat belajar kisah itu dari sesiapa pun. Kalau pun dikatakan baginda menciplak, tapi kalau diperhatikan banyak kisah-kisah ini tidak sama dengan apa yang ada di dalam kitab mereka.

Apakah yang terlintas di fikiran anda apabila mendengar perkataan “yang ghaib”? Selalunya, kita akan memikirkan tentang malaikat, syurga, atau neraka. Namun, Surah Yusuf memperluaskan definisi kita. Ayat-ayat terakhir ini mengajar kita bahawa “yang ghaib” (ٱلغَيبِ) juga merangkumi sejarah manusia yang telah hilang dari catatan dunia, di mana satu-satunya saksi yang tinggal hanyalah Allah. Al-Qur’an tidak akan membazirkan wahyu untuk memberitahu kita perkara yang boleh kita fikirkan sendiri. Ia datang untuk mendedahkan apa yang mustahil untuk kita ketahui. Perincian perbualan rahsia abang-abang Yusuf adalah bukti mutlaknya. Mustahil bagi Nabi Muhammad s.a.w., yang tidak boleh membaca atau mempelajari kitab-kitab lama, untuk mengetahui butiran ini. Hanya ada satu saksi lain kepada perbualan rahsia itu: Allah. Fakta bahawa baginda mampu menyampaikannya dengan begitu tepat membuktikan bahawa sumbernya adalah ilahi—daripada Allah, Saksi Yang Maha Agung.

 

وَمَا كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعُوٓاْ أَمرَهُم

padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencana mereka

Nabi Muhammad ﷺ telah membacakan kisah Nabi Yusuf عليه السلام yang begini panjang, sedangkan baginda tidak ada pun semasa abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام itu buat rancangan mereka untuk menghilangkan Nabi Yusuf عليه السلام daripada ayah mereka. Iaitu telah disebut di dalam Ayat 15,

فَلَمَّا ذَهَبُواْ بِهِۦ وَأَجمَعُوٓاْ أَن يَجعَلُوهُ فِى غَيَـٰبَتِ ٱلجُبِّ‌ۚ
Maka tatkala mereka membawanya dan mereka sepakat memasukkannya ke dasar sumur

Ketika itu mereka telah sepakat dan membulatkan tekad untuk melakukan rancangan mereka itu. Kisah ini hanya boleh diketahui oleh wahyu yang Allah sampaikan kerana mereka tidak cerita kepada orang lain. Ianya ada di dalam Kitab Taurat dan hanya para pendeta Yahudi sahaja yang mengetahuinya. Terdapat kisah seorang pendeta Yahudi (habr/ahbar) yang masuk Islam kerana mendengar Nabi Muhammad ﷺ membaca dan menceritakan kisah Nabi Yusuf. Menurut riwayat yang disebut oleh Ibn Abbas, seorang pendeta Yahudi yang mahir membaca Taurat datang kepada Nabi ﷺ dan mendapati baginda sedang membaca Surah Yusuf. Pendeta itu sangat terkejut kerana kisah Nabi Yusuf yang dibaca oleh Nabi Muhammad ﷺ sama seperti yang terdapat dalam Taurat. Beliau bertanya: “Wahai Muhammad! Siapa yang mengajarkanmu kisah ini?” Nabi ﷺ menjawab: “Allah yang mengajarkannya kepadaku.” Pendeta itu pulang dan memberitahu kaumnya: “Sesungguhnya Muhammad membaca kisah Yusuf sebagaimana yang diturunkan dalam Taurat.” Lalu beliau membawa beberapa orang Yahudi lain, mereka mengenali Nabi ﷺ melalui sifat-sifat kenabian dan melihat tanda kenabian di belakang baginda. Mereka mendengar sendiri bacaan Surah Yusuf dan akhirnya mereka semua memeluk Islam kerana kebenaran yang mereka saksikan.

 

وَهُم يَمكُرونَ

dan mereka sedang mengatur tipu daya.

Nabi Muhammad ﷺ pun tidak ada semasa abang-abangnya itu meletakkan Nabi Yusuf عليه السلام ke dalam telaga dan meninggalkan baginda di dalam telaga itu. Rancangan mereka itu rupanya ada sebab kenapa Allah ‎ﷻ benarkan terjadi. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak membawa Bani Israil ke Mesir. Memang Nabi Muhammad ﷺ tidak ada waktu itu tetapi Allah ‎ﷻ beritahu kisah baginda kepada Rasulullah ﷺ sebagai pengajaran dan panduan untuk kita semua.

Di sinilah kita menemui kunci kepada komentar ilahi ini. Daripada semua babak dalam kisah Yusuf, Allah memilih satu momen spesifik untuk memulakan pesanan-Nya kepada Nabi di ayat 102: “Dan engkau (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka menetapkan rancangan mereka, dan semasa mereka menjalankan tipu dayanya.” Perhatikan keajaiban sastera di sini. Allah tidak merujuk kepada mimpi Nabi Yusuf atau pertemuannya dengan ayahandanya. Sebaliknya, Allah menyorot kembali kepada muslihat rahsia abang-abang Nabi Yusuf. Mengapa? Kerana mesej ini direka khusus untuk menenangkan hati Nabi yang pada ketika itu juga sedang berhadapan dengan “abang-abangnya” (kaum Quraisy) yang bermesyuarat secara rahsia untuk merancang kejatuhannya.

Hubungan yang paling menakjubkan ialah bagaimana rancangan terhadap Nabi Yusuf mencerminkan secara tepat dua fasa utama penganiayaan terhadap Nabi di Mekah:

1. Cadangan pertama terhadap Nabi Yusuf: “Campakkanlah dia ke suatu tempat yang jauh terpencil.” Ini selari dengan peristiwa pemulauan Bani Hasyim dan Bani Muthalib selama tiga tahun. Ia adalah salah satu peristiwa penting dalam sejarah awal Islam. Ketika dakwah Nabi Muhammad ﷺ semakin berkembang dan mendapat banyak pengikut, kaum Quraisy merasa terancam dan memutuskan untuk mengambil tindakan tegas. Mereka sepakat untuk memboikot secara total Bani Hasyim dan Bani Muthalib, baik yang Muslim mahu pun yang masih kafir, kecuali Abu Lahab yang memilih memihak Quraisy. Pemulauan ini meliputi larangan berjual beli, menikah, dan berinteraksi sosial dengan anggota Bani Hasyim dan Bani Muthalib. 

2. Cadangan kedua terhadap Nabi Yusuf: “Bunuhlah Yusuf.” Ini mencerminkan rancangan terakhir kaum Quraisy untuk membunuh Rasulullah kerana berbagai-bagai rancangan yang mereka lakukan tidak berjaya. Akhirnya, mereka sepakat dengan cadangan Abu Jahl, iaitu setiap kabilah Quraisy memilih seorang pemuda yang gagah, lalu mereka bersama-sama menyerang dan membunuh Nabi Muhammad ﷺ dengan satu pukulan serentak. Dengan cara ini, darah baginda akan tersebar di antara banyak kabilah, sehingga Bani Hasyim tidak mampu menuntut balas terhadap semua kabilah Quraisy dan akhirnya hanya akan menerima diyat (wang tebusan darah). Akan tetapi rancangan itu juga akhirnya gagal dengan peristiwa Hijrah.

Allah seolah-olah berkata, “Engkau tidak bersama mereka dahulu, dan engkau juga tidak bersama mereka (Quraisy) sekarang. Tetapi Aku tahu setiap rancangan mereka.” Ini adalah jaminan bahawa kita tidak perlu risau tentang muslihat orang lain, kerana Perancang Terbaik sedang menguruskan segalanya dan ini mengajar kita Let Go and let God. Allah berfirman di dalam Ali Imran:54

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
“Dan mereka (orang-orang kafir) membuat tipu daya, dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan Allah sebaik-baik yang membalas tipu daya.”

Memang yang utama di dalam kisah Nabi Yusuf ini adalah rancangan abang-abang Nabi Yusuf itu. Akan tetapi kalimah yang digunakan adalah أَجمَعُوٓاْ dan يَمكُرُونَ di dalam bentuk umum sahaja tapi spesifik kepada abang-abang itu. Dan bukankah ada banyak lagi rancangan jahat di dalam surah ini?

1. Para pedagang yang jumpa Nabi Yusuf dalam telaga itu juga merancang untuk sorok baginda dan jual baginda, bukan? Mereka boleh sahaja cari ini anak siapa dan pulangkan balik, tapi mereka nampak peluang boleh buat duit.

2. Al-Aziz Mesir apabila jumpa Nabi Yusuf itu tidaklah juga tanya mana kampung baginda untuk pulangkan baginda tapi telah buat rancangan untuk menjadikan baginda sebagai hamba di rumahnya kerana nampak Nabi Yusuf itu ada kelebihan.

3. Isteri Al-Aziz buat rancangan untuk menggoda Nabi Yusuf dan kemudian rancangan untuk mendapatkan sokongan dari wanita-wanita elit di Mesir itu.

4. Para pemimpin di Mesir juga bergabung buat rancangan untuk memenjarakan Nabi Yusuf setelah mereka perhati yang kes baginda itu boleh jadi skandal besar di Mesir. Mereka tahu baginda tidak bersalah tapi mereka tetap hantar baginda ke penjara.

Pengajaran kepada kita adalah kita tidak perlu tahu apa rancangan jahat manusia terhadap kita. Kita mungkin dapat rasa ada orang yang merancang, tapi kita tidak ada cara untuk tahu apakah rancangan mereka dan bagaimana mereka akan menjalankan rancangan itu. Mungkin rancangan mereka hendak mematikan gerakan ajaran Sunnah di negara kita ini kerana ia semakin tersebar (kerana ia lebih mesra akal), maka ramai yang tidak suka. Bagaimana mereka tidak suka memandangkan semakin ramai orang beralih kepada ajaran Sunnah dan semakin banyak kesalahan fahaman mereka disebarkan? Ini kerana ia membuka pekung di dalam ajaran mereka sendiri yang tidak selari dengan wahyu. Mereka marah kerana ajaran dan fahaman tok nenek mereka turun temurun sedang ditinggalkan. Mereka tetap juga hendak jaga ajaran tok nenek itu (sebab apa, kita tak tahu lah). Jadi mereka hendak tutup mulut asatizah Sunnah dengan gam, hina, tuduh, tidak beri tauliah dan sebagainya. Dan berbagai lagi rancangan jahat mereka, tapi Allah tahu apa rancangan mereka. Dan sebagaimana Allah gagalkan rancangan jahat kepada Nabi Yusuf dan Nabi Muhammad, Allah juga boleh gagalkan rancangan mereka terhadap gerakan Sunnah. Antara rancangan mereka adalah dengan menuduh ustaz ini kata itu dan ini yang bunyinya sesat. Tapi apabila ada yang mencari-cari benarkan ustaz itu cakap begitu, tidak jumpa pula, bukan? Contohnya mereka tuduh kita menjisimkan Allah, tapi tidak pernah pun ada bukti asatizah sunnah kata begitu.

 

Struktur Cermin

Dalam psikologi komunikasi dan pembelajaran, Konsep Primacy and Latency Effect menyatakan bahawa manusia cenderung mengingati permulaan dan pengakhiran sesuatu dengan paling jelas. Kalau ceramah yang panjang, selalunya yang diingati adalah perkara yang mula-mula sekali dan yang di hujung sekali. Al-Qur’an sering menggunakan teknik ini dengan cara yang luar biasa, di mana ayat-ayat pembukaan dan penutup sebuah surah saling berkaitan. Ini dinamakan Struktur cermin. Struktur cermin ini bukan secara kebetulan; ia direka untuk mendalami pemahaman kita. Surah Yusuf adalah contoh yang sempurna, di mana ayat-ayat pembukaan (1-3) dan penutup (102-111) saling berbicara dan berkaitan seolah-olah seperti cermin.

Pertama, kita lihat Ringkasan Ayat 102-111 ini,

Sekarang kita bandingkan dengan ayat-ayat permulaan surah ini dan kita kaitkan dengan ayat-ayat penghujung.

Jadi kita boleh lihat kaitan antara ayat-ayat permulaan dan penutup. Allah telah mula sebut di permulaan dan kemudian Allah kuatkan lagi di ayat-ayat penghujung. Di dalam Ayat 1, Allah kata الر ۚ تِلكَ. Penggunaan huruf-huruf الر bukan cara penggunaan kalimah manusia biasa, tapi ia datang dari Allah semata-mata. Dan apabila digunakan kalimah تِلكَ yang asalnya menunjuk kepada sesuatu yang jauh, ia merujuk kepada Kitab Induk Al-Qur’an yang datang dari Allah yang di langit. Maka ia bukanlah kata-kata rekaan manusia dan apa kata Allah pula di dalam Ayat 111? ما كانَ حَديثًا يُفتَرىٰ (ia bukanlah cerita yang dibuat-buat). Jadi ia apa? Allah kata di dalam Ayat 1 bahawa ia adalah ءآيٰتُ الكِتٰبِ. Apabila ia ءآيٰتُ maka ia bukan kata-kata manusia biasa kerana ia adalah tanda-tanda yang mempunyai makna yang lebih besar lagi. Kemudian Allah sebut di dalam Ayat 1 yang Qur’an adalah dalam bentuk الكِتٰبِ dan kemudian di dalam Ayat 111 diberitahu pula yang ia adalah حَديثًا. Kalau الكِتٰبِ ia merujuk kepada sifatnya yang ditulis dan apabila digunakan حَديثًا ia merujuk kepada sifatnya yang disebut/dibaca. Ini kerana Al-Qur’an ada dua-dua elemen ini.

Dari Kitab yang Jelas (الكِتٰبِ المُبينِ) kepada Ucapan yang Bukan Rekaan (ما كانَ حَديثًا يُفتَرىٰ). Di awal surah, Allah memperkenalkan Al-Qur’an sebagai “kitab (kitab) yang jelas”. Di penghujungnya, Allah memperincikan maksudnya dengan menyatakan ia “bukanlah ucapan (hadith) yang direka-reka”. Kemudian apabila Allah sebut Al-Qur’an sifatnya المُبينِ, ia bermaksud Al-Qur’an memperjelaskan. Memperjelaskan apa? Itulah Allah sebut di dalam Ayat 111 تَصديقَ الَّذي بَينَ يَدَيهِ (membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya) iaitu kitab-kitab yang ada pada tangan Ahli Kitab. Mana yang benar, Allah tetapkan; mana yang mereka ubah, Allah perbetulkan. Kerana itu menarik kalau kita baca juga kisah Nabi Yusuf ini di dalam kitab mereka kerana kita boleh bandingkan mana kisah yang mereka pegang selama ini tapi salah sebenarnya.

Dan kemudian Allah kata وَتَفصيلَ كُلِّ شَيءٍ (dan menjelaskan segala sesuatu). Jelaskan apa? Selepas itu Allah sebut هُدًى وَرَحمَةً (petunjuk dan rahmah). Maka dengan kisah Nabi Yusuf ini Allah jelaskan apa itu petunjuk dan apa itu rahmah. Kita mungkin ada faham apa itu rahmah. Tapi pemahaman kita tidak semestinya benar, jadi kena lihat bagaimana rahmah Allah berjalan dalam kisah Nabi Yusuf ini.

Pada permulaannya, Allah menyatakan Dia menurunkan Al-Qur’an dalam bahasa Arab (قُرءٰنًا عَرَبِيًّا). Kalimah قُرءٰنًا sendiri sudah memberi makna bacaan, bermaksud orang yang menyebutnya hanya membacanya kepada orang lain, bukannya dia buat sendiri. Di penghujungnya, Dia menjelaskan mengapa pilihan ini sendiri adalah satu bentuk “petunjuk” dan “rahmat”. Ia bukan untuk mengagungkan satu bangsa, tetapi kerana Allah telah melengkapkan bahasa ini dengan kualiti yang menjadikannya sesuai untuk menyampaikan firman terakhir-Nya kepada seluruh umat manusia. Ini rahmat Allah yang telah memilih bahasa Arab sebagai bahasa pengantar Al-Qur’an. Bahasa Arab Al-Qur’an bukan hanya untuk bangsa Arab sahaja tetapi ia dipelajari dan bangsa lain pun sangat mahir di dalamnya dan mereka pun menyampaikan mesej Al-Qur’an ini. Walaupun bahasa mereka lahir bukanlah bahasa Arab.

Jadi bahasa Arab ini bukan orang Arab sahaja. Perhatikan perbincangan kita di dalam Ayat 2 dan kepentingan belajar bahasa Arab:

إِنّآ أَنزَلنٰهُ قُرءٰنًا عَرَبِيًّا
Sesungguhnya Kami menurunkannya Al-Qur’an dengan berbahasa Arab

Malah ramai Non-Arab hebat dalam bahasa Arab dan lebih baik lagi dari orang Arab yang biasa. Ini dibuktikan oleh sejarah, di mana ulama’ bukan Arab sangat ramai seperti Hamiduddin Farahi dari India dan Imam Fakhruddin al-Razi dari Parsi yang menjadi pakar tafsir kerana kefasihan mereka dalam bahasa Al-Qur’an sampai mengagumkan penutur asli Arab itu sendiri. Ini adalah rahmat Allah yang menjadikan mesej-Nya universal.

Perhatikan di dalam Ayat 111 Allah sebut, Supaya Kalian Memahami (لَعَلَّكُم تَعقِلونَ) dan di dalam Ayat 2 Allah kata Al-Qur’an itu Bagi Kaum yang Mahu Beriman (لِقَومٍ يُؤمِنونَ). Al-Qur’an ini hebat, tapi bagi orang yang mahu sahaja. Yang mahu kenal Allah dan cara menjadi hamba yang sejati, sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk mendalami maksud ayat-ayat Kalam Allah ini. Ini adalah hubungan yang indah antara intelek (akal) dan hati (iman). Al-Qur’an diturunkan untuk difahami oleh akal, tetapi manfaat terbesarnya hanya akan diraih oleh mereka yang membuka hati untuk beriman. Kena ada keinginan dan kena ada kefahaman. Mahu tahu tapi tak sanggup belajar, tidak ada gunanya juga. Tapi malangnya ramai yang masih tidak diberikan dengan keinginan ini. Ilmu Tafsir dan Tadabbur Al-Qur’an sangat jauh dari mereka. Mereka rasa selesa sahaja dengan tidak apa-apa tentang Al-Qur’an. Mereka agaknya rasa mereka pasti akan masuk syurga kerana mereka sudah beragama Islam. Mereka hidup di dunia tunggu mati dan tunggu masuk syurga agaknya. Tapi bolehkah mereka masuk syurga tanpa faham dan mengamalkan kehendak Allah?

Dari Kisah Terbaik (أَحسَنَ القَصَصِ) kepada Pelajaran yang Mengesankan (عِبرَةٌ).  Di awal surah, Allah menjanjikan “kisah terbaik”. Kehebatannya datang dari tiga sumber: kehebatan نَحنُ Pengarangnya (Allah, yang bukan sahaja mengarang cerita tetapi mengarang realiti itu sendiri), kehebatan عَلَيكَ Penerima pertamanya (Nabi Muhammad), dan kehebatan Kisah itu sendiri أَحسَنَ القَصَصِ. Ketiga-tiganya hebat. Di penghujungnya, Allah mendedahkan tujuan teragung di sebalik semua kehebatan ini: untuk menjadi عِبرَةٌ bagi mereka yang berfikiran murni (لِأُولِي الأَلبابِ). Kalimah عِبرَةٌ berakar daripada kata kerja yang bermaksud “menyeberang”. Ia adalah sebuah pelajaran yang begitu mendalam sehingga ia menyeberangi batasan akal dan menyentuh hati, menyebabkan air mata menyeberang dari mata. Kenapa? Kerana hati mereka yang suci itu tersentuh dengan pengajaran dari Allah. Bukan semua orang dapat, jadi kita berharap kita pun termasuk orang-orang sebegini.

Sekarang kita kaji sedikit kaitan antara Ayat 3 dan Ayat 102 dan ada sedikit perbincangan nahwu sedikit. Kita perhatikan kalimah ‘wahyu’ pula. Di dalam Ayat 3 digunakan kalimah أَوحَينآ (Kami telah wahyukan) dan di dalam Ayat 102 digunakan kalimah نُوحِيهِ pula. Kalimah نُوحِيهِ (Kamu sedang wahyukannya dan akan wahyukan) di dalam bentuk fi’il mudhari (present and continuous tense) sedangkan kalimah أَوحَينآ di dalam bentuk fi’il madhi (past tense). Ayat 3 adalah di awal dan Ayat 102 di penghujung. Sepatutnya ketika di awallah digunakan fi’il mudhari’ (sebelum kisah diberikan) dan setelah kisah selesai, barulah disebut ‘telah’ diwahyukan, bukan? Tapi sekarang Allah letak terbalik pula. Tentu ada sebab kerana Allah tidak akan buat silap dan buat perkara yang sia-sia.

Allah menggunakan fi’il madhi (أَوحَينآ) di dalam permulaan Surah Yusuf kerana Al-Qur’an telah diwahyukan sebelum itu kepada Nabi Muhammad. Dan kisah di dalam Surah Yusuf ini adalah tambahan kepada kisah-kisah yang telah diberikan kepada baginda sebelum itu. Dan apabila kisah dan pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf telah disampaikan, Allah menggunakan fi’il mudhari’ pula kerana Allah akan terus memberikan wahyu kepada baginda نُوحِيهِ selepas ini. Ada banyak lagi pengajaran kepada baginda. Tambahan pula surah ini masih lagi Surah Makkiyah.

Kita sambung lagi. Di dalam Ayat 3 Allah berfirman وَإِن كُنتَ مِن قَبلِهِ لَمِنَ الغٰفِلينَ (engkau sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang tidak mengetahui). Dan kemudian di dalam Ayat 102 Allah berfirman وَمَا كُنتَ لَدَيهِم (dan engkau tidak berada pada sisi mereka). Dua-dua ini ada persamaan. Kenapa Nabi tidak tahu, الغٰفِل? Kerana baginda tidak ada bersama mereka ketika mereka buat segala rancangan mereka.

Rasulullah tidak tahu tentang apa? Disebut di dalam Ayat 102 أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ (berita-berita yang ghaib), bukan? Kalau disebut perkara ٱلغَيبِ kita selalu bayangkan Tuhan, jin, malaikat, bukan? Sekarang Allah mengajar kita yang berita yang kita tidak tahu juga adalah berita ghaib. Iaitu perkara yang terjadi dahulukala yang kita tidak ada bersama mereka, itu pun berita ghaib. Ini sama macam apa yang terjadi kepada Pemuda Kahfi yang hanya Allah sahaja tahu kisah mereka kerana tidak ada sesiapa yang boleh beritahu tentangnya melainkan Allah sahaja. Itulah kerja Al-Qur’an iaitu menceritakan perkara yang kita takkan tahu dengan akal kita sendiri. Kalau perkara kita boleh fikirkan, Allah tidak perlu beritahu kita, bukan?

Di dalam Surah Yusuf ini kita disuruh untuk melihat apa yang berlaku dengan Nabi Yusuf dan abang-abangnya, bukan? Ayat sebut di dalam Ayat 7 لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ لِّلسَّآٮِٕلِينَ (Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya). Kerana pada perlakuan mereka itu ada pengajaran kepada kita. Dan nanti selepas ini kita akan melihat apakah perlakuan ‘abang-abang’ Nabi Muhammad pula dan apa yang mereka telah lakukan. Begitulah kadang-kadang perbuatan orang yang rapat dengan kita lebih pedih.

Berikut adalah pengajaran ringkas yang boleh diambil:

1. Bukti Kenabian yang Mutlak: Kisah Nabi Yusuf yang sangat terperinci ini adalah sebahagian daripada berita ghaib yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Memandangkan baginda tidak hadir semasa peristiwa itu berlaku dan tidak mempelajarinya daripada mana-mana kitab, ketepatan fakta ini menjadi bukti kuat bahawa baginda adalah seorang Rasul yang benar.

2. Wahyu sebagai Hadiah dan Penghibur Hati (Tasliah): Ayat ini merupakan peralihan daripada kisah sejarah kepada hadiah peribadi daripada Allah untuk memujuk hati Nabi Muhammad ﷺ yang sedang dihentam hebat oleh kaum Quraisy di Mekah. Ia memberikan pengajaran bahawa setiap permulaan yang susah akan berakhir dengan kemenangan.

3. Definisi “Ghaib” yang Lebih Luas: Perkataan “ghaib” dalam ayat ini tidak hanya merujuk kepada malaikat atau syurga, tetapi juga merangkumi sejarah manusia yang telah hilang dari catatan dunia, di mana satu-satunya saksi yang tinggal hanyalah Allah.

4. Persamaan Ujian Antara Para Nabi: Rancangan jahat abang-abang Nabi Yusuf mencerminkan secara tepat ujian yang dihadapi Nabi Muhammad ﷺ. Rancangan membuang Nabi Yusuf selari dengan pemulauan Bani Hasyim, manakala rancangan membunuh Nabi Yusuf mencerminkan pakatan Quraisy untuk membunuh Nabi Muhammad sebelum peristiwa Hijrah.

5. Allah adalah Perancang Terbaik: Kita tidak perlu merasa bimbang atau terbeban untuk mengetahui setiap rancangan jahat manusia terhadap kita. Cukuplah kita tahu bahawa Allah menjadi saksi kepada setiap perbincangan rahsia dan Dialah sebaik-baik pembalas tipu daya.

6. Konsep Let Go and Let God: Pengajaran ini mengajak kita untuk melepaskan kerisauan tentang muslihat orang lain kepada Allah. Sebagaimana Allah menggagalkan rancangan terhadap Nabi Yusuf dan Nabi Muhammad ﷺ, Allah juga mampu menggagalkan rancangan jahat manusia pada zaman sekarang.

7. Kepentingan ‘Ibrah (Pelajaran yang Menyeberangi Hati): Tujuan akhir kisah ini adalah sebagai ‘ibrah, iaitu pelajaran yang sangat mendalam sehingga ia menyeberangi batasan akal dan menyentuh hati orang-orang yang berfikiran murni.

Kuiz Soalan Jawapan Pendek

Jawab soalan-soalan berikut dalam dua hingga tiga ayat, berdasarkan pemahaman daripada teks sumber.

1. Apakah tema utama atau “Dakwa” yang diketengahkan dalam Surah Yusuf ayat 102?

2. Mengapakah Allah menurunkan Surah Yusuf kepada Nabi Muhammad ﷺ ketika baginda berada di Mekah?

3. Bagaimanakah penceritaan kisah Nabi Yusuf dalam ayat 102 menjadi bukti bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang Rasul yang benar?

4. Siapakah yang dimaksudkan sebagai “penerima manfaat pertama” Surah Yusuf, dan mengapa?

5. Bagaimanakah doa Nabi Yusuf, وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ, dipenuhi oleh Allah untuk Nabi Muhammad ﷺ semasa hayat baginda?

6. Selain daripada malaikat atau syurga, apakah maksud lain bagi perkataan “ٱلغَيبِ” (yang ghaib) seperti yang dijelaskan dalam tafsir surah ini?

7. Mengapakah Allah secara spesifik menyorot kembali kepada momen muslihat rahsia abang-abang Nabi Yusuf dalam ayat 102 ketika berfirman kepada Nabi Muhammad ﷺ?

8. Huraikan dua persamaan utama antara rancangan jahat terhadap Nabi Yusuf dan penganiayaan yang dihadapi oleh Nabi Muhammad ﷺ di Mekah.

9. Apakah yang dimaksudkan dengan “Struktur Cermin” dan bagaimana ia diaplikasikan dalam Surah Yusuf?

10. Terangkan perbezaan dan kepentingan linguistik penggunaan kata kerja أَوحَينآ (fi’il madhi) dalam ayat 3 dan نُوحِيهِ (fi’il mudhari’) dalam ayat 102.

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks Sumber
Risalah
Salah satu daripada tiga jenis Dakwa (tuntutan utama) dalam surah Al-Qur’an, yang merujuk kepada tema kenabian atau kerasulan.
Tasliah
Pujukan hati. Ia merujuk kepada cara Allah ‎ﷻ memujuk dan menenangkan hati Nabi Muhammad ﷺ melalui wahyu ketika baginda menghadapi kesusahan dan penentangan hebat di Mekah.
ٱلغَيبِ (Al-Ghaib)
Berita-berita yang ghaib. Konteks surah ini memperluaskannya untuk merangkumi bukan sahaja perkara seperti malaikat dan syurga, tetapi juga sejarah manusia yang telah hilang yang hanya Allah sahaja menjadi saksinya.
Struktur Cermin
Satu teknik sastera dalam Al-Qur’an di mana ayat-ayat pembukaan dan penutup sebuah surah saling berkaitan, berbicara, dan mencerminkan tema yang sama untuk mendalami pemahaman pembaca.
Fi’il Mudhari’
Istilah tatabahasa Arab untuk kata kerja yang menunjukkan perbuatan yang sedang berlaku atau akan berterusan pada masa hadapan (contoh: نُوحِيهِ – Kami sedang/akan mewahyukannya).
Fi’il Madhi
Istilah tatabahasa Arab untuk kata kerja yang menunjukkan perbuatan yang telah berlaku pada masa lampau (contoh: أَوحَينآ – Kami telah mewahyukan).
عِبرَةٌ (‘Ibrah)
Sebuah pelajaran yang begitu mendalam sehingga ia mampu “menyeberangi” batasan akal untuk menyentuh hati, menyebabkan seseorang itu terkesan sehingga menitiskan air mata.
أَحسَنَ القَصَصِ (Ahsan al-Qasas)
Gelaran untuk kisah Nabi Yusuf, yang bermaksud “kisah terbaik”. Kehebatannya datang dari kehebatan Pengarangnya (Allah), Penerimanya (Nabi Muhammad ﷺ), dan kisah itu sendiri.
Dakwa
Tuntutan atau tema utama sesebuah surah dalam Al-Qur’an. Ia terbahagi kepada tiga jenis: Tauhid (Keesaan Allah), Risalah (Kenabian), dan Akhirah (Hari Kemudian).
Habr/Ahbar
Gelaran yang digunakan untuk seorang pendeta atau sarjana Yahudi yang mahir dalam kitab Taurat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Januari 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 102 (Bukti Kenabian Rasulullah)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz
    1. Tema utama atau “Dakwa” bagi Surah Yusuf ayat 102 adalah tentang Risalah (kenabian). Ayat ini berfungsi sebagai bukti bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah seorang Rasul yang benar kerana baginda menyampaikan berita ghaib yang hanya boleh datang melalui wahyu daripada Allah.
    2. Allah menurunkan Surah Yusuf di Mekah untuk memujuk hati Nabi Muhammad ﷺ (tasliah). Ketika itu, baginda sedang dihentam dengan teruk, maka Allah menceritakan kisah Nabi Yusuf yang bermula dengan ujian berat tetapi berakhir dengan berita gembira untuk mengingatkan baginda agar bersabar kerana penghujungnya akan baik.
    3. Kisah ini menjadi bukti kenabian kerana Nabi Muhammad ﷺ tidak mungkin mengetahui perincian rahsia rancangan abang-abang Nabi Yusuf. Maklumat ini tidak ada dalam pengetahuan orang Arab Mekah, dan baginda tidak pernah belajar daripada mana-mana ahli kitab, membuktikan sumbernya adalah wahyu ilahi.
    4. “Penerima manfaat pertama” Surah Yusuf ialah Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Ini kerana Allah mengalihkan firman-Nya secara langsung kepada baginda (menggunakan kalimah إِلَيكَ‌), menjadikan surah ini sebuah “hadiah peribadi” untuk memberikan kelegaan, kekuatan, dan ketenangan kepada baginda.
    5. Doa Nabi Yusuf untuk digabungkan dengan orang-orang soleh dipenuhi untuk Nabi Muhammad ﷺ semasa di dunia lagi. Selepas menempuh kesukaran di Mekah, baginda berhijrah ke Madinah di mana baginda digabungkan dengan para sahabat yang soleh yang memberi perlindungan dan sokongan kepada baginda.
    6. Dalam konteks surah ini, “ٱلغَيبِ” juga merangkumi sejarah manusia yang telah hilang dari catatan dunia di mana satu-satunya saksi yang tinggal hanyalah Allah. Perincian perbualan rahsia antara abang-abang Yusuf adalah contoh berita ghaib jenis ini yang mustahil diketahui oleh manusia tanpa wahyu.
    7. Allah menyorot momen ini kerana ia direka khusus untuk menenangkan hati Nabi Muhammad ﷺ. Pada ketika itu, baginda juga sedang berhadapan dengan “abang-abangnya” (kaum Quraisy) yang sedang bermesyuarat secara rahsia untuk merancang kejatuhan baginda, sama seperti yang dilakukan oleh abang-abang Nabi Yusuf.
    8. Dua persamaan tersebut adalah: pertama, cadangan untuk “mencampakkan Yusuf ke tempat jauh” selari dengan peristiwa pemulauan Bani Hasyim oleh kaum Quraisy. Kedua, cadangan untuk “membunuh Yusuf” mencerminkan rancangan terakhir kaum Quraisy untuk membunuh Rasulullah ﷺ secara serentak.
    9. “Struktur Cermin” ialah teknik sastera di mana ayat-ayat pembukaan dan penutup sesebuah surah saling berkaitan dan mencerminkan tema yang sama. Dalam Surah Yusuf, ayat 1-3 (permulaan) dan 102-111 (penutup) saling berbicara, contohnya memperkenalkan Al-Qur’an sebagai “Kitab yang Jelas” di awal dan menghuraikannya sebagai “Ucapan yang Bukan Rekaan” di akhir.
    10. Penggunaan أَوحَينآ (telah Kami wahyukan) di awal surah menunjukkan Al-Qur’an telah pun diwahyukan sebelum itu dan kisah Yusuf adalah tambahan. Penggunaan نُوحِيهِ (sedang/akan Kami wahyukan) di akhir surah pula menandakan bahawa proses pewahyuan akan terus berlanjutan kepada Nabi Muhammad ﷺ selepas kisah ini.

    Like

Leave a comment