Tafsir Surah Yusuf Ayat 101 – 104 (Doa Nabi Yusuf)

DOA NABI YUSUF

Yusuf Ayat 101: Kita sampai ke ayat terakhir dalam bab cerita Nabi Yusuf di dalam surah ini. Sekarang baginda memuji lagi Allah ‎ﷻ. Segala apa kelebihan yang baginda dapat, baginda pulangkan kepada Allah ‎ﷻ – semua itu dari Allah ‎ﷻ. Begitulah yang kita dapat belajar dari Nabi Yusuf عليه السلام ini; bila ada masalah, baginda rujuk kepada Allah ‎ﷻ dan bila senang pun, begitu juga baginda kembalikan kepada Allah ‎ﷻ.

رَبِّ قَد ءَاتَيتَنِى مِنَ ٱلمُلكِ وَعَلَّمتَنِى مِن تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِ‌ۚ فَاطِرَ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ‌ۖ تَوَفَّنِى مُسلِمًا وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

My Lord, You have given me [something] of sovereignty and taught me of the interpretation of dreams. Creator of the heavens and earth, You are my protector in this world and the Hereafter. Cause me to die a Muslim and join me with the righteous.”

(MALAY)

Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta’bir mimpi. (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.

 

رَبِّ قَد ءَاتَيتَنِى مِنَ ٱلمُلكِ

Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan

Kalau sebelum ini Nabi Yusuf bercakap dengan ayahnya, kemudian bercakap dengan ahli keluarganya, sekarang kita lihat baginda bercakap dengan Allah pula. Sebelum ini baginda bercakap dengan mereka ‘tentang’ Allah dan sekarang perhatikan baginda bercakap dengan Allah terus pula kerana kalimah رَبِّ di sini. Ini pun ada pengajaran kepada kita. Kita selalunya bercakap tentang Allah dan penulisan, apabila kita berdakwah dan sebagainya. Mungkin anda seorang ustaz, seorang mubaligh yang sentiasa mengingatkan manusia kepada Allah, seorang pelajar agama yang hari-hari mengadap ilmu berkenaan Allah. Akan tetapi adakah kita sendiri sentiasa berhubungan dengan Allah? Bercakap tentangNya sahaja memang bagus, akan tetapi ia tidak cukup lagi. Jangan kerana kita sudah sentiasa bercakap tentang Allah, tapi kita lupa untuk berkomunikasi dengan Allah. Kita amat perlukan hubungan kita dengan Allah setiap hari, sepanjang masa. Maka ada masanya kita berdoa, ada masanya kita bermunajat, mengadu kepada Allah. Ini pun kita boleh perhatikan di dalam Surah Fatihah, yang pada mulanya kita bercakap ‘tentang’ Allah: 

Sebelum memanjatkan doanya, Nabi Yusuf terlebih dahulu berbicara kepada keluarganya tentang kebaikan Allah di dalam Ayat 100 sebelum ini. Baginda menceritakan bagaimana Allah telah merealisasikan mimpinya, mengeluarkannya dari penjara, dan menyatukan mereka semula. Baginda bercakap tentang Allah. Namun, pada ayat ini, berlaku satu peralihan (iltifat) yang sangat penting. Baginda serta-merta berhenti bercakap kepada manusia dan mula bercakap terus kepada Allah. Doanya bermula dengan seruan peribadi: “Rabbi” (Tuhanku).

Pelajaran utamanya jelas: Belajar atau bercakap tentang Allah adalah penting, tetapi ia tidak boleh menjadi pengganti kepada perbualan peribadi yang intim dengan Allah. Bagi para pelajar, pendakwah, penceramah, atau sesiapa sahaja yang sering mendengar atau menyampaikan ceramah agama, ini adalah satu peringatan yang kuat. Tujuan utama segala ilmu yang kita peroleh adalah untuk membina dan memperdalam hubungan peribadi kita dengan Pencipta, bukan sekadar menjadikannya subjek perbincangan.

Sekarang kita perhatikan satu persatu doa baginda. Nabi Yusuf عليه السلام bersyukur kerana telah diberi dengan kuasa dalam kerajaan Mesir. Kalimah مِنَ ٱلمُلكِ bermaksud baginda diberi ‘sebahagian’ sahaja kerajaan di dunia ini iaitu Kerajaan Mesir. Tapi masih banyak lagi kerajaan di dunia dan dalam alam ini yang milik Allah. Baginda bersyukur kerana tentunya baginda pun tidak pernah bayangkan yang baginda akan diberi kerajaan sebesar itu.

Apabila ayat ini dibaca, ia memberi isyarat yang nanti Nabi Muhammad ﷺ pun akan diberikan dengan kerajaan juga. Jadi ayat ini juga memberi isyarat yang Nabi Muhammad ﷺ akan menang mengatasi musuh baginda yang waktu itu amat kuat menentang baginda di Mekah.

 

وَعَلَّمتَني مِن تَأويلِ الأَحاديثِ

dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta’wil perkara yang berlaku.

Baginda bersyukur kepada Allah ‎ﷻ kerana telah memberikan kepada baginda ilmu mengetahui ta’wil dengan tepat. Bukan sahaja mimpi tapi baginda boleh mentafsir kejadian dan kata-kata manusia. Apabila ada kalimah مِن di dalam kata-kata baginda itu, ia bermakna baginda mengaku yang baginda diberi sebahagian sahaja ilmu; bukannya baginda tahu semua perkara.

Jadi Nabi Yusuf telah menyebut dua nikmat yang telah diberikan kepada baginda: Kerajaan & ilmu ta’wil mimpi. Kaitan antara dua perkara itu, sebagaimana dijelaskan para mufassir, adalah bahawa Allah menganugerahkan kepada Nabi Yusuf dua nikmat besar: kekuasaan (kedudukan/kerajaan) dan ilmu (khususnya ilmu menakwil mimpi). Kedua nikmat ini menjadi sebab utama kemuliaan dan keberhasilan Nabi Yusuf di dunia, serta menjadi jalan untuk menegakkan keadilan dan menyebarkan kebaikan. Penting baginda ada kedua-duanya sekali. Kerana kalau Allah hanya beri baginda ilmu sahaja, tapi tidak diberikan kuasa, baginda pun tidak boleh menzahirkan ilmu itu supaya ia bermanfaat kepada manusia.

 

فَاطِرَ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ

Pencipta langit-langit dan bumi.

Allah ‎ﷻ yang telah memberikan semua itu dan Allah ‎ﷻ boleh sahaja buat begitu kerana Dialah pencipta langit dan bumi. Maka di sini Nabi Yusuf memuji kedudukan Allah. Ia juga boleh bermaksud sebagai permulaan kepada doa kedua baginda. Yang pertama, baginda mulakan dengan رَبِّ (wahai Tuhanku) dan sekarang baginda mulakan dengan فَاطِرَ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ (wahai Pencipta langit-langit dan bumi).

Kalimah فَاطِرَ yang digunakan di sini amat menarik untuk dibincangkan dari segi bahasa. Kalimah فَاطِرَ dari kata dasar ف ط ر yang bermaksud mencipta daripada tiada; belah; berpecah; retak; pecah; dipecah menjadi kepingan; asal penciptaan; Pencipta; Pemula; pecah; fitrah semula jadi; iman. Menurut para mufassir, termasuk dalam kitab-kitab tafsir klasik, kalimah “فاطر” pada ayat ini bermakna “Pencipta” atau “Yang menciptakan dari tiada” (خالق). Kalimah “فاطر” berasal dari makna “membelah” atau “memulai sesuatu dari awal tanpa contoh sebelumnya”. Dalam konteks ayat ini, “فاطر ٱلسَّمَـٰوٰتِ والأرض” bererti Allah adalah Pencipta langit dan bumi, yang menciptakan keduanya dari ketiadaan dan tanpa contoh sebelumnya.

Kenapa kalimah فاطر ini memerlukan perbincangan? Kerana pernah Ibnu Abbas berkata, يقول ابن عباس: كنت لا أعلم ما معنى فاطر، إلى أن جاءني يوما أعرابيان يشتكيان إلي في بئر تنازعاها، فقال أحد الأعرابيين: أنا فطرتها (Aku tidak tahu apa makna فاطر sehingga dua orang Arab datang berselisih tentang sebuah sumur, lalu salah satunya berkata: ‘Aku yang memulainya (فطرتها)’), maksudnya: ‘Aku yang memulai menggali sumur itu’.” Dari sini, فاطر bermakna “yang memulai” atau “yang menciptakan”. Jadi, tafsir فاطر dalam Yusuf:101 adalah “Pencipta” atau “Yang memulai penciptaan langit dan bumi dari tiada”.

Akan tetapi, kalimah فاطر sepatutnya berbeza dengan خالق. Kalau Allah maksudkan خالق, tentu Allah boleh sahaja gunakan kalimah خالق, bukan? Jadi tentu kalimah فاطر membawa maksud yang berbeza.

Imam Fakhruddin al-Razi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara “فاطر” (Fāṭir) dan “خالق” (Khāliq):

  • “خالق” bermaksud “pencipta” dalam erti kata “penentu” atau “yang mentakdirkan”. Dalam konteks Allah, ia merujuk kepada ilmu Allah yang meliputi segala sesuatu, iaitu Allah mengetahui dan menentukan segala sesuatu sebelum ia wujud. Maka, sifat “khalq” (ciptaan) berkait rapat dengan ilmu Allah yang mendahului kewujudan makhluk.

  • “فاطر” pula berasal dari kata “الفطر” yang bermaksud “membelah” atau “memulai sesuatu dari tiada”. Dalam tafsiran al-Razi, “فاطر” merujuk kepada “pengadaan” atau “penciptaan secara langsung dan inovatif”, iaitu Allah menciptakan sesuatu tanpa contoh sebelumnya, dan ini menekankan aspek kekuasaan (qudrah) Allah dalam mencipta.

Al-Razi menyimpulkan:

  • Sifat “خالق” (pencipta) menekankan aspek ilmu Allah dalam menentukan dan mentakdirkan sesuatu.
  • Sifat “فاطر” (pencipta/memulai) menekankan aspek kekuasaan Allah dalam mengadakan sesuatu dari tiada, atau mencipta secara inovatif tanpa contoh terdahulu.

Ringkasnya, “خالق” lebih kepada penetapan dan takdir (ilmu), manakala “فاطر” lebih kepada permulaan penciptaan dan pengadaan (qudrah/kekuasaan).

Ada yang mengatakan فاطر bermaksud yang mencipta dari tidak ada kepada ada. Akan tetapi mungkin istilah yang sesuai bagi hal ini adalah kalimah بَدِيعُ seperti digunakan di dalam Baqarah:117

بَديعُ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَالأَرضِ
Allah jualah yang menciptakan langit-langit dan bumi

 

أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ‌

Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat,

Nabi Yusuf عليه السلام mengaku yang Allah ‎ﷻ adalah penolong baginda sepanjang masa. Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja bersama baginda walaupun baginda dalam kesusahan dan menerima musibah dan ujian. Allah ‎ﷻ tidak pernah tinggalkan baginda.

 

تَوَفَّني مُسلِمًا

wafatkanlah aku dalam keadaan Islam

Baginda telah dapat segala nikmat yang telah disebut tadi dan banyak lagi. Sekarang baginda berdoa supaya bila sampai masa nanti, apabila telah habis ajal baginda, baginda minta dimatikan baginda sebagai seorang Muslim. Maksudnya supaya mati dalam tauhid. Ini penting kerana kita dikira dan dinilai dengan iman kita semasa kita mati. Rasulullah telah bersabda,

وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
“Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.”

[Riwayat al-Bukhari (6607)]

Masa sekarang, kalau kita sudah beriman, belum tentu kita selamat lagi kerana mungkin kita mati dalam keadaan kufur. Kita minta berlindung dari keadaan itu. Kerana itu, kita pun kena minta supaya akhir hayat kita nanti, kita masih lagi beriman sempurna.

Kenapa sebut tentang kematian pula? Ini kerana kita kena sentiasa melihat dan bersedia untuk mati. Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ nanti, apabila telah mendapat kejayaan menyebarkan agama Islam dan apabila sudah dapat mengembalikan agama tauhid di Mekah, maka baginda sudah bersedia untuk mati. Ini disebut dalam Surah an-Nasr.

Doa Nabi Yusuf di dalam ayat ini tentang kematian. Akan tetapi bukanlah baginda minta dimatikan seperti pendapat sesetengah ulama’. Tidak begitu sama sekali. Maksud baginda, apabila baginda sudah sampai ajalnya nanti. Doa sebegini boleh. Yang tidak boleh adalah doa minta mati. Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ مِنْ ضُرٍّ أَصَابَهُ
“Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu bercita-cita (meminta) untuk mati kerana sesuatu kemudaratan (musibah/kesusahan) yang menimpanya.”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 5671 & Muslim, No. 2680)

Sambungan daripada hadis di atas, sekiranya seseorang itu merasa ujian yang dihadapi sudah tidak tertanggung, Rasulullah SAW mengajar doa yang menyerahkan urusan tersebut sepenuhnya kepada Allah:

فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ فَاعِلًا، فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتِ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتِ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي
“Sekiranya dia terpaksa melakukannya (memohon sesuatu), maka hendaklah dia berdoa: ‘Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu lebih baik bagiku.'”

Kenapa Minta Mati Itu Dilarang? Terdapat hadis lain yang menjelaskan hikmah di sebalik larangan ini. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:

لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ، إِمَّا مُحْسِنًا فَلَعَلَّهُ يَزْدَادُ، وَإِمَّا مُسِيئًا فَلَعَلَّهُ يَسْتَعْتِبُ
“Janganlah salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian… kerana jika dia seorang yang baik, semoga dia dapat menambah kebaikannya. Dan jika dia seorang yang buruk (berdosa), semoga dia dapat bertaubat (meminta keredaan Allah).”

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 7235)

 

وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ

dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.

Nabi Yusuf عليه السلام berdoa semoga baginda digabungkan dengan orang-orang soleh selepas baginda wafat nanti. Di dunia, baginda waktu itu telah digabungkan dengan keluarga baginda, tetapi ada lagi yang lebih penting. Iaitu apabila mati, semoga dikumpulkan dengan orang-orang yang soleh di akhirat nanti. Iaitu semoga baginda ditempatkan di dalam syurga kerana orang soleh tempatnya di syurga. Ini sejajar dengan apa yang telah dianugerahkan kepada moyangnya Nabi Ibrahim seperti yang disebut di dalam Baqarah:130

وَلَقَدِ ٱصطَفَينَـٰهُ فِي الدُّنيا ۖ وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).

Doa yang dibacakan oleh Nabi Yusuf عليه السلام ini amatlah molek dan boleh diamalkan oleh kita dalam doa kita.

Sekian topik yang melibatkan mimpi Nabi Yusuf dan kisah Nabi Yusuf. Selepas ini kita akan lihat bagaimana Allah bercakap kepada Nabi Muhammad pula.


 

PERINGATAN KEPADA NABI MUHAMMAD

Yusuf Ayat 102: Kita sekarang sudah masuk ke ayat-ayat akhir penutup surah. Ayat ini adalah Dakwa Ketiga bagi surah ini. Dakwa terbahagi kepada tiga jenis (Tauhid, Risalah dan Akhirah). Ini adalah Dakwa tentang Risalah.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kita bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi dan Rasul yang benar kerana kisah ini datangnya dari wahyu menandakan yang baginda adalah seorang Rasul. Ini kerana kalau baginda bukan seorang Nabi, tidak mungkin baginda boleh ceritakan kisah ini dengan jelas kerana kisah ini tidak ada dalam maklumat orang Arab Mekah.

Sekarang kita masuk ke bahagian penutup Surah Yusuf ini. Dari ayat ini sampai ke hujung (ayat 111) adalah Perenggan Makro Ketiga iaitu Rumusan bagi surah ini.

Sudah habis kisah Nabi Yusuf عليه السلام dan sekarang masuk kepada penutupnya pula. Sekarang akan disebut pengajaran yang kita kena ambil dari kisah yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Kita kena ingat yang waktu surah ini diturunkan di Mekah, Nabi Muhammad ﷺ sedang dihentam dengan teruk di Mekah.

Maka Allah ‎ﷻ turunkan surah ini kerana Allah ‎ﷻ hendak memujuk hati Nabi ﷺ (tasliah). Allah ‎ﷻ mulakan surah ini dengan kisah ujian yang telah diberikan kepada Nabi Yusuf عليه السلام dan kemudian diberikan berita gembira di penghujungnya. Allah ‎ﷻ hendak ingatkan kepada Rasulullah ﷺ, walaupun permulaannya susah, tetapi penghujungnya baik. Maka Rasulullah ﷺ kenalah bersabar.

ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَ‌ۖ وَمَا كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعُوٓاْ أَمرَهُم وَهُم يَمكُرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is from the news of the unseen which We reveal, [O Muḥammad], to you. And you were not with them when they put together their plan while they conspired.

(MALAY)

Demikian itu (adalah) diantara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya.

 

ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَ‌

Demikian itu (adalah) di antara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu

Kisah Nabi Yusuf عليه السلام yang telah disebut itu adalah antara berita ghaib yang diberikan kepada baginda. Tidak ada cara bagi Nabi Muhammad ﷺ mengetahuinya sebelum itu, melainkan Allah ‎ﷻ yang beritahu kepada baginda. Ini adalah satu tanda yang baginda adalah seorang Rasul.

 

وَمَا كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعُوٓاْ أَمرَهُم

padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencana mereka

Nabi Muhammad ﷺ telah membacakan kisah Nabi Yusuf عليه السلام yang begini panjang, sedangkan baginda tidak ada pun semasa abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام itu buat rancangan mereka untuk menghilangkan Nabi Yusuf عليه السلام daripada ayah mereka.

 

وَهُم يَمكُرونَ

dan mereka sedang mengatur tipu daya.

Nabi Muhammad ﷺ pun tidak ada semasa abang-abangnya itu meletakkan Nabi Yusuf عليه السلام ke dalam telaga dan meninggalkan baginda di dalam telaga itu. Rancangan mereka itu rupanya ada sebab kenapa Allah ‎ﷻ benarkan terjadi. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak membawa Bani Israil ke Mesir.

Memang Nabi Muhammad ﷺ tidak ada waktu itu tetapi Allah ‎ﷻ beritahu kisah baginda kepada Rasulullah ﷺ sebagai pengajaran dan panduan untuk kita semua.


 

Yusuf Ayat 103: Ayat Zajrun. Adakah semua manusia akan ambil pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini?

وَمَآ أَڪثَرُ ٱلنَّاسِ وَلَو حَرَصتَ بِمُؤمِنِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And most of the people, although you strive [for it], are not believers.

(MALAY)

Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman — walaupun kamu sangat menginginkannya.

 

Nabi Muhammad ﷺ tentu berfikir, kalau sudah ada kisah ini, tentu ramailah nanti orang Yahudi akan masuk Islam, kerana Nabi Yusuf عليه السلام ini adalah Nabi besar mereka juga. Tentu mereka akan dapat lihat bagaimana kisah Nabi Yusuf عليه السلام itu ada persamaan dengan kisah Nabi Muhammad ﷺ.

Walaupun Nabi ﷺ ada berperasaan begitu, tetapi Nabi ﷺ diberitahu dalam ayat ini, jangan berharap sangat kerana walaupun baginda berharap sangat akan ramai yang masuk Islam, tetapi ramai antara mereka tidak akan beriman. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Nabi ﷺ, kalau mereka tidak beriman, kekurangan bukan pada Nabi Muhammad ﷺ tetapi pada mereka. Tidak ada salah dalam cara dakwah baginda.


 

Yusuf Ayat 104:

وَما تَسأَلُهُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ ۚ إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِلعالَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you do not ask of them for it any payment. It is not except a reminder to the worlds.

(MALAY)

Dan kamu sekali-kali tidak meminta upah kepada mereka (terhadap seruanmu ini), itu tidak lain hanyalah pengajaran bagi semesta alam.

 

وَما تَسأَلُهُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ

Dan kamu sekali-kali tidak meminta upah kepada mereka

Allah ‎ﷻ memberitahu yang Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah meminta upah pun daripada umat baginda, dalam memberitahu kisah ini. Begitu juga Nabi Muhammad ﷺ tidak meminta upah dalam dakwah baginda kepada mereka. Walaupun mungkin ada yang berkata Nabi ﷺ berdakwah kerana hendakkan kuasa, hendakkan duit dan harta, tetapi Allah ‎ﷻ tekankan yang baginda bukannya minta duit daripada mereka. Baginda bukan hendakkan pengaruh juga. Baginda melakukannya kerana mencari redha Allah ‎ﷻ.

Ayat ini juga mengajar kita yang kita tidak boleh meminta upah dalam mengajar agama ini kerana mengajar agama ini wajib dan belajar agama ini wajib. Kalau yang mengajar agama itu meminta upah untuk mengajar, bagaimana yang miskin boleh memenuhi kewajipannya belajar kalau dia tidak ada duit untuk membayar upah kepada pengajar itu?

 

إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِلعالَمينَ

ia tidak lain hanyalah pengajaran bagi semesta alam.

Baginda ditugaskan untuk menyampaikan Al-Qur’an ini dengan percuma kerana wahyu ini adalah peringatan kepada manusia. Baginda menjalankan tugas baginda dengan jujur, amanah dan ikhlas.

Habis Ruku’ 11 dari 12 ruku’ surah ini.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 31 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment