DOA NABI YUSUF
Yusuf Ayat 101: Sekarang baginda memuji lagi Allah ﷻ. Segala apa kelebihan yang baginda dapat, baginda pulangkan kepada Allah ﷻ – semua itu dari Allah ﷻ. Begitulah yang kita dapat belajar dari Nabi Yusuf عليه السلام ini; bila ada masalah, baginda rujuk kepada Allah ﷻ dan bila senang pun, begitu juga baginda kembalikan kepada Allah ﷻ.
رَبِّ قَد ءَاتَيتَنِى مِنَ ٱلمُلكِ وَعَلَّمتَنِى مِن تَأوِيلِ ٱلأَحَادِيثِۚ فَاطِرَ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِۖ تَوَفَّنِى مُسلِمًا وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
My Lord, You have given me [something] of sovereignty and taught me of the interpretation of dreams. Creator of the heavens and earth, You are my protector in this world and the Hereafter. Cause me to die a Muslim and join me with the righteous.”
(MALAY)
Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta’bir mimpi. (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi. Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.
رَبِّ قَد ءَاتَيتَنِى مِنَ ٱلمُلكِ
Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan
Nabi Yusuf عليه السلام bersyukur kerana telah diberi dengan kuasa dalam kerajaan Mesir. Apabila ayat ini dibaca, ia memberi isyarat yang nanti Nabi Muhammad ﷺ pun akan diberikan dengan kerajaan juga. Jadi ayat ini juga memberi isyarat yang Nabi Muhammad ﷺ akan menang mengatasi musuh baginda yang waktu itu amat kuat menentang baginda di Mekah.
وَعَلَّمتَني مِن تَأويلِ الأَحاديثِ
dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta’wil perkara yang berlaku.
Baginda bersyukur kepada Allah ﷻ kerana telah memberikan kepada baginda ilmu mengetahui ta’wil dengan tepat.
فَاطِرَ ٱلسَّمَـٰوٰتِ وَٱلأَرضِ
Pencipta langit dan bumi.
Allah ﷻ yang telah memberikan semua itu dan Allah ﷻ boleh sahaja buat begitu kerana Dialah pencipta langit dan bumi.
أَنتَ وَلِىِّۦ فِى ٱلدُّنيَا وَٱلأَخِرَةِ
Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat,
Nabi Yusuf عليه السلام mengaku yang Allah ﷻ adalah penolong baginda sepanjang masa. Allah ﷻ sentiasa sahaja bersama baginda walaupun baginda dalam kesusahan dan menerima musibah dan ujian. Allah ﷻ tidak pernah tinggalkan baginda.
تَوَفَّني مُسلِمًا
wafatkanlah aku dalam keadaan Islam
Baginda telah dapat segala nikmat yang telah disebut tadi dan banyak lagi. Sekarang baginda berdoa supaya bila sampai masa nanti, apabila telah habis ajal baginda, baginda minta dimatikan baginda sebagai seorang Muslim. Maksudnya supaya mati dalam tauhid.
Ini kerana kita dikira dan dinilai dengan iman kita semasa kita mati. Masa sekarang, kalau kita sudah beriman, belum tentu kita selamat lagi kerana mungkin kita mati dalam keadaan kufur. Kita minta berlindung dari keadaan itu. Kerana itu, kita pun kena minta supaya akhir hayat kita nanti, kita masih lagi beriman sempurna.
Kenapa sebut tentang kematian pula? Ini kerana kita kena sentiasa melihat dan bersedia untuk mati. Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad ﷺ nanti, apabila telah mendapat kejayaan menyebarkan agama Islam dan apabila sudah dapat mengembalikan agama tauhid di Mekah, maka baginda sudah bersedia untuk mati. Ini disebut dalam Surah an-Nasr.
وَأَلحِقنِى بِٱلصَّـٰلِحِينَ
dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang saleh.
Nabi Yusuf عليه السلام berdoa semoga baginda digabungkan dengan orang-orang soleh selepas baginda wafat nanti. Di dunia, baginda waktu itu telah digabungkan dengan keluarga baginda, tetapi ada lagi yang lebih penting. Iaitu apabila mati, semoga dikumpulkan dengan orang-orang yang soleh di akhirah nanti. Iaitu semoga baginda ditempatkan di dalam syurga kerana orang soleh tempatnya di syurga.
Doa yang dibacakan oleh Nabi Yusuf عليه السلام ini amatlah molek dan boleh diamalkan oleh kita dalam doa kita.
Sekian topik yang melibatkan mimpi Nabi Yusuf.
PERINGATAN KEPADA NABI MUHAMMAD
Yusuf Ayat 102: Kita sekarang sudah masuk ke ayat-ayat akhir penutup surah. Ayat ini adalah Dakwa Ketiga bagi surah ini. Dakwa terbahagi kepada tiga jenis (Tauhid, Risalah dan Akhirah). Ini adalah Dakwa tentang Risalah.
Allah ﷻ hendak memberitahu kita bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi dan Rasul yang benar kerana kisah ini datangnya dari wahyu menandakan yang baginda adalah seorang Rasul. Ini kerana kalau baginda bukan seorang Nabi, tidak mungkin baginda boleh ceritakan kisah ini dengan jelas kerana kisah ini tidak ada dalam maklumat orang Arab Mekah.
Sekarang kita masuk ke bahagian penutup Surah Yusuf ini. Dari ayat ini sampai ke hujung (ayat 111) adalah Perenggan Makro Ketiga iaitu Rumusan bagi surah ini.
Sudah habis kisah Nabi Yusuf عليه السلام dan sekarang masuk kepada penutupnya pula. Sekarang akan disebut pengajaran yang kita kena ambil dari kisah yang telah disebut dalam ayat-ayat sebelum ini. Kita kena ingat yang waktu surah ini diturunkan di Mekah, Nabi Muhammad ﷺ sedang dihentam dengan teruk di Mekah.
Maka Allah ﷻ turunkan surah ini kerana Allah ﷻ hendak memujuk hati Nabi ﷺ (tasliah). Allah ﷻ mulakan surah ini dengan kisah ujian yang telah diberikan kepada Nabi Yusuf عليه السلام dan kemudian diberikan berita gembira di penghujungnya. Allah ﷻ hendak ingatkan kepada Rasulullah ﷺ, walaupun permulaannya susah, tetapi penghujungnya baik. Maka Rasulullah ﷺ kenalah bersabar.
ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَۖ وَمَا كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعُوٓاْ أَمرَهُم وَهُم يَمكُرُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
That is from the news of the unseen which We reveal, [O Muḥammad], to you. And you were not with them when they put together their plan while they conspired.
(MALAY)
Demikian itu (adalah) diantara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencananya (untuk memasukkan Yusuf ke dalam sumur) dan mereka sedang mengatur tipu daya.
ذٰلِكَ مِن أَنۢبَآءِ ٱلغَيبِ نُوحِيهِ إِلَيكَ
Demikian itu (adalah) di antara berita-berita yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu
Kisah Nabi Yusuf عليه السلام yang telah disebut itu adalah antara berita ghaib yang diberikan kepada baginda. Tidak ada cara bagi Nabi Muhammad ﷺ mengetahuinya sebelum itu, melainkan Allah ﷻ yang beritahu kepada baginda. Ini adalah satu tanda yang baginda adalah seorang Rasul.
وَمَا كُنتَ لَدَيهِم إِذ أَجمَعُوٓاْ أَمرَهُم
padahal kamu tidak berada pada sisi mereka, ketika mereka memutuskan rencana mereka
Nabi Muhammad ﷺ telah membacakan kisah Nabi Yusuf عليه السلام yang begini panjang, sedangkan baginda tidak ada pun semasa abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام itu buat rancangan mereka untuk menghilangkan Nabi Yusuf عليه السلام daripada ayah mereka.
وَهُم يَمكُرونَ
dan mereka sedang mengatur tipu daya.
Nabi Muhammad ﷺ pun tidak ada semasa abang-abangnya itu meletakkan Nabi Yusuf عليه السلام ke dalam telaga dan meninggalkan baginda di dalam telaga itu. Rancangan mereka itu rupanya ada sebab kenapa Allah ﷻ benarkan terjadi. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak membawa Bani Israil ke Mesir.
Memang Nabi Muhammad ﷺ tidak ada waktu itu tetapi Allah ﷻ beritahu kisah baginda kepada Rasulullah ﷺ sebagai pengajaran dan panduan untuk kita semua.
Yusuf Ayat 103: Ayat Zajrun. Adakah semua manusia akan ambil pengajaran daripada kisah Nabi Yusuf عليه السلام ini?
وَمَآ أَڪثَرُ ٱلنَّاسِ وَلَو حَرَصتَ بِمُؤمِنِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And most of the people, although you strive [for it], are not believers.
(MALAY)
Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman — walaupun kamu sangat menginginkannya.
Nabi Muhammad ﷺ tentu berfikir, kalau sudah ada kisah ini, tentu ramailah nanti orang Yahudi akan masuk Islam, kerana Nabi Yusuf عليه السلام ini adalah Nabi besar mereka juga. Tentu mereka akan dapat lihat bagaimana kisah Nabi Yusuf عليه السلام itu ada persamaan dengan kisah Nabi Muhammad ﷺ.
Walaupun Nabi ﷺ ada berperasaan begitu, tetapi Nabi ﷺ diberitahu dalam ayat ini, jangan berharap sangat kerana walaupun baginda berharap sangat akan ramai yang masuk Islam, tetapi ramai antara mereka tidak akan beriman. Allah ﷻ hendak memberitahu Nabi ﷺ, kalau mereka tidak beriman, kekurangan bukan pada Nabi Muhammad ﷺ tetapi pada mereka. Tidak ada salah dalam cara dakwah baginda.
Yusuf Ayat 104:
وَما تَسأَلُهُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ ۚ إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِلعالَمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And you do not ask of them for it any payment. It is not except a reminder to the worlds.
(MALAY)
Dan kamu sekali-kali tidak meminta upah kepada mereka (terhadap seruanmu ini), itu tidak lain hanyalah pengajaran bagi semesta alam.
وَما تَسأَلُهُم عَلَيهِ مِن أَجرٍ
Dan kamu sekali-kali tidak meminta upah kepada mereka
Allah ﷻ memberitahu yang Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah meminta upah pun daripada umat baginda, dalam memberitahu kisah ini. Begitu juga Nabi Muhammad ﷺ tidak meminta upah dalam dakwah baginda kepada mereka. Walaupun mungkin ada yang berkata Nabi ﷺ berdakwah kerana hendakkan kuasa, hendakkan duit dan harta, tetapi Allah ﷻ tekankan yang baginda bukannya minta duit daripada mereka. Baginda bukan hendakkan pengaruh juga. Baginda melakukannya kerana mencari redha Allah ﷻ.
Ayat ini juga mengajar kita yang kita tidak boleh meminta upah dalam mengajar agama ini kerana mengajar agama ini wajib dan belajar agama ini wajib. Kalau yang mengajar agama itu meminta upah untuk mengajar, bagaimana yang miskin boleh memenuhi kewajipannya belajar kalau dia tidak ada duit untuk membayar upah kepada pengajar itu?
إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ لِلعالَمينَ
ia tidak lain hanyalah pengajaran bagi semesta alam.
Baginda ditugaskan untuk menyampaikan Al-Qur’an ini dengan percuma kerana wahyu ini adalah peringatan kepada manusia. Baginda menjalankan tugas baginda dengan jujur, amanah dan ikhlas.
Habis Ruku’ 11 dari 12 ruku’ surah ini.
Yusuf Ayat 105: Ayat syikayah
وَكَأَيِّن مِن آيَةٍ فِي السَّماواتِ وَالأَرضِ يَمُرّونَ عَلَيها وَهُم عَنها مُعرِضونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And how many a sign within the heavens and earth do they pass over while they, therefrom, are turning away.
(MALAY)
Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.
وَكَأَيِّن مِن آيَةٍ فِي السَّماواتِ وَالأَرضِ
Dan berapa banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi
Allah ﷻ mengutuk mereka yang tidak mahu menerima kebenaran: entah berapa banyak tanda-tanda di langit dan bumi yang mereka nampak, tetapi mereka buat tidak tahu sahaja.
يَمُرّونَ عَلَيها وَهُم عَنها مُعرِضونَ
yang mereka melaluinya, sedang mereka berpaling dari padanya.
Banyak sekali tanda-tanda yang ada, namun ramai yang lalu begitu sahaja, tidak beri perhatian pun. Apabila digunakan kalimah عَلَيها (di atasnya), maknanya mereka memang nampak sungguh kebenaran itu tetapi tidak mengendahkannya kerana kalau lalu tepi, mungkin boleh kata tidak nampak, tetapi kalau lalu dari ‘atas’, takkan tidak nampak?
Allah ﷻ hendak memberitahu Nabi Muhammad ﷺ, penolakan puak Yahudi setelah diberitahu dengan kisah benar tentang Nabi Yusuf عليه السلام ini, bukan perkara baru bagi mereka. Memang mereka semenjak dahulu lagi sudah buat perkara yang sama. Mereka bukan tidak pernah lihat tanda-tanda kebenaran itu, mereka lihat tetapi memang hati mereka jenis ‘degil’.
Sekarang mereka lihat lagi kebenaran di hadapan mata mereka, mereka dapat baca dan dengar ayat-ayat Al-Qur’an yang membenarkan apa yang mereka sendiri sudah tahu, tetapi mereka tengok sahaja, tidak mahu faham dan tadabbur.
Mereka tidak mahu mendekati Al-Qur’an. Begitulah ramai dari kalangan manusia yang degil. Kebenaran di hadapan mata pun masih tidak mahu terima lagi. Jangan kata orang Yahudi, umat Islam yang tidak mengendahkan ajaran tafsir Al-Qur’an pun begitulah juga.
Yusuf Ayat 106: Masih lagi syikayah. Ini adalah ayat yang amat penting untuk kita hayati. Bukan semua orang Islam boleh dikira beriman walaupun mereka telah Muslim.
وَما يُؤمِنُ أَكثَرُهُم بِاللهِ إِلّا وَهُم مُشرِكونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And most of them believe not in Allāh except while they associate others with Him.
(MALAY)
Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah (dengan sembahan-sembahan lain).
Kebanyakan dari manusia (termasuk yang mengaku Muslim) tidak percaya sepenuhnya dengan Allah ﷻ. Dalam mereka kata mereka percaya kepada Allah ﷻ, mereka juga melakukan syirik. Inilah masalah yang besar kepada orang Islam – kerana mereka tidak belajar apakah tauhid dan apakah syirik itu. Maka orang Islam kena belajar sampai mereka tahu apa itu syirik supaya mereka boleh tinggalkan.
Jangan jadi seperti Musyrikin Mekah yang kenal Allah ﷻ sebagai Tuhan, tetapi dalam masa yang sama mereka buat syirik kepada Allah ﷻ.
Namun apakah syirik yang dimaksudkan dalam surah ini? Ini kerana syirik itu ada banyak jenis dan apakah yang disentuh dalam surah ini? Syirik yang ditekankan dalam ayat ini adalah tentang tidak yakin kepada Allah ﷻ. Tidak bergantung kepada Allah ﷻ dengan sepenuhnya. Begitulah, ramai yang kata percaya dengan Tuhan, namun dalam masa yang sama, mereka berbuat syirik dengan tidak mempercayai sepenuhnya kepada Allah ﷻ. Mereka campur iman dengan syirik.
Yusuf Ayat 107:
أَفَأَمِنوا أَن تَأتِيَهُم غاشِيَةٌ مِن عَذابِ اللهِ أَو تَأتِيَهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Then do they feel secure that there will not come to them an overwhelming [aspect] of the punishment of Allāh or that the Hour will not come upon them suddenly while they do not perceive?
(MALAY)
Apakah mereka merasa aman dari kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka, atau kedatangan kiamat kepada mereka secara mendadak, sedang mereka tidak menyedarinya?
أَفَأَمِنوا أَن تَأتِيَهُم غاشِيَةٌ مِن عَذابِ اللهِ
Apakah mereka merasa aman dari kedatangan seksa Allah yang meliputi mereka,
Apakah orang yang syirik itu merasa aman sahaja, berbuat apa sahaja yang mereka hendak lakukan, sedangkan Allah ﷻ boleh kenakan azab pada mereka?
أَو تَأتِيَهُمُ السّاعَةُ بَغتَةً وَهُم لا يَشعُرونَ
atau kedatangan kiamat kepada mereka secara mendadak, sedang mereka tidak menyedarinya?
Atau tidakkah mereka tahu yang kiamat itu boleh sahaja datang dengan tiba-tiba waktu mereka tidak sedar? Waktu itu sudah terlambat untuk memperbaiki keadaan diri dan betulkan amal kita. Maka janganlah tunggu waktu itu kerana sudah terlambat.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 21 Disember 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an

