Yusuf Ayat 100: Kisah Nabi Yusuf adalah antara naratif yang paling menyentuh hati dan lengkap dalam Al-Qur’an. Kita mungkin sudah biasa dengan plot utamanya: mimpi, perigi, godaan, penjara, dan akhirnya kekuasaan. Namun, seperti lautan, Al-Qur’an menyimpan kedalaman yang tidak terhingga. Walaupun kita berulang kali menyelaminya, sentiasa ada mutiara hikmah baru yang menanti untuk ditemui.
Tulisan ini cuba mendedahkan beberapa pengajaran yang berwawasan dan mungkin mengejutkan, yang digali daripada perbincangan mendalam tentang satu ayat sahaja (Ayat 100) dari Surah Yusuf. Ini membuktikan betapa luasnya kebijaksanaan yang terkandung dalam kalam Allah, di mana renungan yang teliti boleh membuka pintu kepada pemahaman yang tidak pernah kita jangkakan. Ia mengingatkan kita tentang satu hakikat yang indah: …pada akhirnya, walaupun setelah menghabiskan seumur hidup merenungi Al-Qur’an, kita akan menyedari bahawa kita hanya mampu membawa pulang beberapa titisan hikmahnya; kita tidak akan sekali-kali dapat memiliki seluruh lautan itu…
وَرَفَعَ أَبَوَيهِ عَلَى ٱلعَرشِ وَخَرُّواْ لَهُ ۥ سُجَّدًاۖ وَقَالَ يَـٰٓأَبَتِ هَـٰذَا تَأوِيلُ رُءيَـٰىَ مِن قَبلُ قَد جَعَلَهَا رَبِّى حَقًّاۖ وَقد أَحسَنَ بِىٓ إِذ أَخرَجَنِى مِنَ ٱلسِّجنِ وَجَآءَ بِكُم مِّنَ ٱلبَدوِ مِنۢ بَعدِ أَن نَّزَغَ ٱلشَّيطَـٰنُ بَينِى وَبَينَ إِخوَتِىٓۚ إِنَّ رَبِّى لَطِيفٌ لِّمَا يَشَآءُۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلعَلِيمُ ٱلحَكِيمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And he raised his parents upon the throne, and they bowed to him in prostration.¹ And he said, “O my father, this is the explanation of my vision of before. My Lord has made it reality. And He was certainly good to me when He took me out of prison and brought you [here] from bedouin life after Satan had induced [estrangement] between me and my brothers. Indeed, my Lord is Subtle in what He wills. Indeed, it is He who is the Knowing, the Wise.
- That of greeting and respect, which was lawful until the time of Prophet Muḥammad (ṣ). Prostration to any person or object other than Allāh was then prohibited conclusively.
(MALAY)
Dan dia menaikkan kedua ibu-bapanya ke atas singgahsana. Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf. Dan berkata Yusuf: “Wahai ayahku inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
وَرَفَعَ أَبَوَيهِ عَلَى العَرشِ
Dan ia menaikkan kedua ibu-bapanya ke atas singgahsana.
Nabi Yusuf عليه السلام menaikkan ibubapa baginda ke pentas/singgahsana. Ini kalau kita bayangkan baginda berada di atas pentas takhta dan menaikkan ibubapanya ke atas. Kalau dalam mimpi baginda yang disebut di awal surah ini, mereka berdua inilah yang diisyaratkan sebagai matahari dan bulan.
Menghormati Ibu Bapa Bukan Sekadar Kasih Sayang, Tetapi Juga Status
Apabila keluarganya tiba di Mesir, Nabi Yusuf menunjukkan dua peringkat penghormatan yang sangat teliti kepada kedua ibu bapanya, menangani keperluan emosi mereka yang paling dalam. Kita kena ingat yang ketika usia meningkat, ibu bapa yang dahulunya menjadi pelindung kita seringkali bertukar peranan. Mereka mungkin kehilangan kebebasan, merasa tidak selamat, dan bimbang menjadi tidak relevan. Nabi Yusuf AS memahami fitrah ini dengan sempurna.
Tindakan pertama baginda adalah “menarik kedua ibu bapanya ke dalam pelindungannya” (ءَاوَىٰٓ إِلَيهِ أَبَوَيهِ) seperti yang telah disebut di dalam Ayat 99. Ini adalah isyarat fizikal, seperti pelukan hangat, yang memberikan kasih sayang dan rasa selamat. Ia adalah cara baginda memberitahu mereka, “Kini, emak dan ayah berada di bawah jagaan saya. Semuanya akan baik-baik saja.” Ia secara langsung meredakan kebimbangan dan rasa tidak selamat yang mungkin mereka rasai.
Tindakan kedua pula adalah “menaikkan mereka ke atas takhta” (وَرَفَعَ أَبَوَيهِ عَلَى العَرشِ). Ini lebih daripada sekadar isyarat kasih sayang. Ia adalah satu tindakan untuk menangani kebimbangan tentang status dan relevansi. Dengan meletakkan mereka di tempat tertinggi, baginda memastikan mereka tidak merasa rendah diri atau terintimidasi oleh kedudukan baginda. Ia adalah tentang memberikan penghormatan dan mengekalkan status mereka sebagai ibu bapa yang mulia. Ini kerana mungkin mereka rasa rendah diri kerana dahulu mereka yang menjaga baginda dan berada di kedudukan atas, tapi sekarang ia sudah terbalik. Tapi Nabi Yusuf memberi isyarat yang mereka masih lagi tinggi di sisi baginda.
Pengajaran ini amat mendalam: apabila menjaga ibu bapa yang semakin tua, tindakan kita bukan sahaja perlu menunjukkan kasih sayang, tetapi juga perlu membuat mereka merasa dihormati, dihargai, dan status mereka sebagai ibu bapa sentiasa terpelihara. Takhta kerajaan adalah sesuatu yang tinggi dan boleh menjadi pemisah di antara manusia, bukan? Jadi apabila baginda menaikkan mereka ke atas pentas takhta, baginda menghilangkan jurang perbezaan itu. Orang lain mungkin kena memandang tinggi kepada baginda, tapi ibubapa baginda tidak perlu. Jadi mereka tidak perlu fikir yang mereka sekarang bercakap dengan Al-Aziz Mesir, tapi bercakap dengan anak mereka sendiri. Baginda tetap anak mereka tidak kira betapa tinggi pun kedudukan baginda di mata dunia. Begitulah kedudukan dalam dunia ini, bukan ada apa-apa pun kalau dibandingkan dengan pangkat ibu dan bapa yang akan sentiasa tinggi sahaja.
Penghormatan ini menjadi lebih mendalam apabila kita mengkaji simbolisme ‘takhta’ (العَرشِ) itu sendiri. Ia bukan sekadar sofa istimewa atau kerusi kehormat. Takhta adalah pusat kekuasaan. Bayangkan ia seperti “Pejabat Oval” seorang presiden atau “Kerusi Hakim Mahkamah Agung”. Ia adalah simbol pekerjaan, autoriti, dan tempat di mana keputusan-keputusan penting negara dibuat. Dengan meletakkan ibu bapanya di atas takhta miliknya, Nabi Yusuf secara simbolik menyampaikan mesej yang amat kuat: “Kedudukan dan pekerjaan saya, setinggi mana pun ia di mata dunia, tidak akan menjadi penghalang antara kita. Emak dan ayah masih mempunyai status tertinggi dalam hidup saya dan dialu-alukan walaupun di pusat kekuasaan saya.”
Ini sangat bertentangan dengan sikap moden di mana kita mungkin cenderung berkata, “Ayah, ini kerja saya, tolong jangan campur tangan,” atau “Ibu, ini kehidupan profesional saya.” Kisah ini mengajar kita untuk merendah diri dan memastikan bahawa kejayaan atau kesibukan kita tidak sekali-kali membuat ibu bapa merasa tersisih. Mereka sentiasa berhak mendapat tempat di “takhta” kita. Ini penting kerana apabila kita sudah bekerjaya dan kita yang menjaga mereka, ibubapa pula yang bergantung kepada kita, bukan? Mereka duduk di rumah kita, memerlukan duit dari kita, mereka pun sudah lemah dan tidak larat lagi, ada kemungkinan seorang anak akan rasa tinggi diri dan sudah lupa jasa ibubapa yang menjaganya dahulu. Maka Allah ingatkan anak supaya jangan meninggi diri seperti disebut di dalam Isra’:24
وَٱخفِض لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرحَمهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًا
Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil”.
Secara literal, ayat ini bermaksud ‘merendahkan sayap’ kita. Ini kerana جَنَاحَ bermaksud sayap burung. Seekor burung merendahkan sayapnya ketika ia hendak mendekat dan bercumbu dengan betinanya. Begitu juga ketika ia melindungi anak-anaknya. Jadi kita boleh lihat sunnah Nabi Yusuf ini menaikkan ibubapa baginda ke atas takhta dan memeluk mereka. Inilah جَنَاحَ ٱلذُّلِّ baginda. Bagi kita, dengan cara kita yang kita lakukan untuk menghormati mereka. Mereka mungkin duduk di kampung, pelajaran tidak tinggi, akan tetapi kedudukan mereka sebagai ibu dan bapa kita melayakkan mereka mendapat sanjungan dan penghormatan dari kita. Bercakaplah dengan rendah diri dengan mereka dan lakukan apa sahaja yang kita mampu untuk menggembirakan mereka. Selalunya ibu bapa ini tidak perlukan banyak, hanya penghormatan dari kita.
Ini sangat penting kita ingat kerana ibu bapa kita datang dari era yang berlainan. Mereka rasa asing dengan dunia yang sudah berubah. Maka kitalah yang kena menjadikan mereka selesa. Kita kena bantu mereka di dunia kita yang serba canggih ini. Kita yang kena jaga mereka. Dan ia mungkin menjadi cabaran kerana bukan semua ibubapa mudah dijaga. Ada yang sudah nyanyuk, ada yang cepat melatah, ada yang cepat terasa hati dan sebagainya. Ini semua adalah cabaran usia mereka dan kita telah diingatkan yang ini bukanlah tugas yang mudah. Tidak ada sesiapa yang kata ia mudah. Tapi ia perlu dilakukan.
Ya kadangkala ibubapa boleh menjengkelkan. Mereka sudah jadi seperti budak-budak pula kalau kita perhatikan. Tapi ini biasa sahaja kerana Allah pun sudah beritahu kita, bukan? Lihat Yaasin:68
وَمَن نُّعَمِّرهُ نُنَكِّسهُ فِي الخَلقِ ۖ أَفَلا يَعقِلونَ
Dan sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?
Tapi kalau ini berlaku kepada anda, kena ingat yang anda dulu pun lagi teruk menjengkelkan. Anda berak kencing sana sini, melalak tak tentu tempat, lari ke sana sini dan sebagainya. Tapi ibubapa anda bersabar dengan anda, bukan? Mereka tidaklah jual anda kepada orang lain. Jadi sekarang anda pula yang diuji oleh Allah untuk melayan kerenah ibu bapa anda pula.
Dan bukan ibubapa sahaja, malah sesiapa sahaja yang di bawah jagaan kita. Mereka itu layak menerima cinta, perlindungan dan hormat dari kita. Kena ada tiga-tiga baru lengkap. Malangnya ini berkemungkinan kita telah tidak penuhi. Ada orang yang kita bagi satu atau dua sahaja. Contohnya anak kita, kita berikan cinta dan perlindungan, tapi bagaimana dengan penghormatan?
وَخَرُّواْ لَهُ ۥ سُجَّدًا
Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada Yusuf.
Ibu bapa Nabi Yusuf عليه السلام, adik beradiknya semua sujud kepada baginda. Ini memerlukan perbincangan yang agak panjang untuk kita kaji. Pendapat yang masyhur, ini adalah sebagai sujud penghormatan dan waktu itu tidak haram lagi, maka boleh dilakukan. Hal ini masih diperbolehkan di dalam syariat mereka, bilamana memberikan salam penghormatan kepada orang besar, yakni boleh bersujud kepadanya. Hal ini diperbolehkan sejak zaman Nabi Adam عليه السلام sampai kepada syariat Nabi Isa عليه السلام. Kemudian dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ, hal ini telah diharamkan, dan hanya dikhususkan kepada Allah ﷻ Tuhan sekalian alam. Demikianlah ringkasan dari apa yang dikatakan oleh Qatadah dan lain-lainnya. Ini kita akan bincangkan lagi selepas ini dengan pendapat yang lain.
Di dalam sebuah hadith disebutkan bahawa ketika Mu’az رضي الله عنه tiba di negeri Syam, beliau mendapati mereka masih bersujud kepada uskup-uskup mereka. Maka Muaz pun apabila pulang bertemu dengan Rasulullah, beliau telah sujud kepada baginda. Ketika Mu’az رضي الله عنه bersujud kepada Rasulullah ﷺ, baginda bertanya, “Apakah yang engkau lakukan ini, hai Mu’az?” Mu’az رضي الله عنه menjawab, “Sesungguhnya aku melihat penduduk negeri Syam bersujud kepada uskup-uskup mereka, maka engkau lebih berhak untuk disujudi, wahai Rasulullah.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda:
“لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ، لَأَمَرْتُ الزَّوْجَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا مِنْ عِظم حَقِّهِ عَلَيْهَا”
Seandainya aku memerintahkan kepada seseorang untuk bersujud kepada orang lain, tentu aku akan perintahkan kepada wanita untuk bersujud kepada suaminya, kerana hak suaminya atas dirinya sangatlah besar.
Sunan al-Tirmidzi (1159). Status: Hasan Gharib (Imam al-Tirmidzi). Al-Albani mensahihkannya.
Syarah:
- Maksud “Kalaulah” (Lau): Perkataan “Lau” dalam bahasa Arab menunjukkan sesuatu yang tidak berlaku. Maksudnya, Nabi tidak pernah dan tidak akan membenarkan manusia sujud kepada sesama manusia kerana sujud itu hanya milik Allah.
- Tujuan Hadis: Ia adalah bentuk mubalaghah (penekanan yang sangat kuat) untuk menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab isteri dalam mentaati suami dalam perkara yang ma’ruf (baik).
- Keseimbangan: Dalam hadis lain, Nabi SAW juga menekankan bahawa “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya.” Maka, hak ketaatan ini datang bersama tanggungjawab suami untuk berkasih sayang, memberi perlindungan dan penghormatan kepada isteri.
Sujud yang Disalaherti – Bukan Kepada Manusia, Tetapi Kerana Manusia
Di sinilah letaknya satu pencerahan yang mungkin mengubah cara kita memahami adegan ini selamanya. Adegan di mana keluarga Nabi Yusuf AS sujud sering disalahfahami sebagai sujud penghormatan kepada baginda. Namun, menurut pandangan yang digemari oleh ulama klasik seperti Imam Razi, tafsiran yang paling meyakinkan ialah sujud itu bukan ditujukan kepada Nabi Yusuf AS. Sebaliknya, ia adalah sujud kesyukuran yang spontan dan mendalam kepada Allah SWT. Mereka sujud kerana keajaiban luar biasa yang telah Allah tunjukkan melalui kehidupan Nabi Yusuf. Baginda adalah fokus kesyukuran mereka, bukan objek sembahan mereka.
Analogi yang mudah untuk memahaminya adalah seperti ibadah kita di Kaabah: kita tidak sujud kepada Kaabah; kita sujud menghadap Kaabah, dan sujud itu adalah untuk Allah semata-mata. Begitulah juga, keluarga Nabi Ya’qub AS sujud kepada Allah. Nabi Yusuf AS menjadi “kiblat” atau fokus yang menyebabkan mereka melahirkan kesyukuran yang begitu meluap-luap sehingga mereka tersungkur sujud. Pandangan ini juga menyelesaikan dilema teologi yang besar: bagaimana mungkin seorang Nabi yang begitu memuliakan bapanya akan membenarkan bapanya sendiri sujud kepadanya? Jawapannya, baginda tidak membenarkannya, kerana sujud itu sebenarnya adalah untuk Allah, bukan kepada baginda.
Ini kerana manusia sujud kerana ibadah seperti kita sujud di dalam solat dan manusia juga ada sujud kerana takjub dengan Allah. Sebagai contoh disebut di dalam Isra’:107 tentang golongan Ahli Kitab yang pertama kali mendengar ayat Al-Qur’an. Mereka takjub sampaikan mereka jatuh tersungkur dan sujud kerananya.
إِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلعِلمَ مِن قَبلِهِۦۤ إِذَا يُتلَىٰ عَلَيہِم يَخِرُّونَ لِلأَذقَانِ سُجَّدًا
Sesungguhnya orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya apabila Al Qur’an dibacakan kepada mereka, mereka menyungkur atas muka mereka sambil bersujud,
Ini adalah juga salah satu tafsir tentang sujud para malaikat ke arah Nabi Adam seperti disebut di dalam Baqarah:34. Para malaikat itu bukanlah sujud kepada Nabi Adam tapi kerana takjub dengan kehebatan Allah menjadikan Nabi Adam.
وَإِذ قُلنا لِلمَلٰئِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk sujud
Para malaikat itu sujud ke arah Nabi Adam, tapi bukannya mereka menyembah Nabi Adam, akan tetapi takjud dengan penciptaan Allah.
Sebenarnya Imam Al-Razi dalam Tafsir al-Kabir (atau Mafatih al-Ghaib) memang sangat teliti dalam menyenaraikan pelbagai kemungkinan makna “sujud” dalam ayat tersebut. Beliau membahagikan perbincangan ini kepada beberapa pendapat utama bagi menjawab persoalan bagaimana seorang Nabi (Nabi Ya’qub) dan saudara-saudaranya boleh bersujud kepada manusia (Nabi Yusuf). Beliau memberi 7 pendapat/kemungkinan mengenainya yang kita senaraikan di bawah:
1. Sujud sebagai penghormatan, bukan ibadah
Imam al-Razi menegaskan bahawa sujud yang dilakukan kepada Yusuf adalah sujud penghormatan (تحية) dan bukan sujud ibadah. Kita telah lihat analogi di atas tentang sujud ke arah Kaabah tapi sebenarnya ia adalah kepada Allah. Pendapat ini juga dinyatakan sebagai kebanyakan para mufassir. Ini juga adalah pendapat Ibn Abbas.
Tapi bagaimana dengan Ayat 4 رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ itu? Jadi kita boleh tafsirkan kalimah لي bukan ‘kepadaku’ tapi ‘keranaku’.
2. Sujud kepada Allah, Nabi Yusuf hanya sebagai kiblat
Al-Razi mengutip pendapat bahawa sujud itu sebenarnya ditujukan kepada Allah sebagai bentuk syukur, namun Nabi Yusuf dijadikan sebagai kiblat (arah sujud), sebagaimana seseorang salat ke arah Ka’bah. Ini juga diriwayatkan dari al-Hasan dan Ibn Abbas.
3. Sujud sebagai bentuk kerendahan dan pengakuan keutamaan
Ada juga yang menafsirkan sujud di sini sebagai bentuk kerendahan diri (التذلل) dan pengakuan atas keutamaan Nabi Yusuf, bukan sujud secara fizikal seperti dalam salat, melainkan ia hanya sebagai kiasan sahaja.
Jadi ia seolah-olah sebagai madah, seperti para pujangga berkata ‘bulan sujud kepada matahari’ tapi tidak terjadi pun. Ia bermaksud tunduk sahaja. Kritikan terhadap pendapat ini adalah kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah خَرُّواْ لَهُ ۥ سُجَّدًا yang secara literal bermaksud turun dan sujud.
4. Sujud dengan cara membongkok atau rukuk, bukan meletakkan dahi di tanah.
Sebahagian ulama berpendapat sujud di sini adalah membongkok (rukuk) sebagai bentuk penghormatan, bukan sujud dengan meletakkan dahi di tanah. Lagi pun ibubapa Nabi Yusuf di atas pentas, tentu sukar hendak sujud di lantai, bukan?
Pendapat ini sesuai dipegang oleh mereka yang sukar menerima manusia sujud kepada manusia lain. Terutama sekali ibubapa pula sujud kepada anak! Jadi kalau dikatakan ia sebagai tunduk hormat sahaja, maka tenanglah sedikit.
Tambahan kepada kritikan ini adalah mungkin juga ibubapa Nabi Yusuf tidak sujud pun. Kerana mereka di atas pentas, bukan? Dan cuba kita perhatikan kembali Ayat 4, إِنّي رَأَيتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوكَبًا وَالشَّمسَ وَالقَمَرَ رَأَيتُهُم لي سٰجِدينَ (sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku). Boleh didebatkan di sini: Adakah kesemua mereka sujud? Salah satu terjemahan adalah baginda nampak 11 adik beradik baginda, kemudian baginda nampak juga matahari dan bulan, dan ‘mereka’ sujud. Siapakah mereka di dalam kalimat رَأَيتُهُم itu? Adakah kesemua 13 mereka atau hanya merujuk kepada 11 adik beradik itu sahaja? Mungkin sahaja ibubapa Nabi Yusuf dinaikkan ke atas pentas, dan yang sujud atau tunduk itu adalah hanya adik beradik itu sahaja. Mungkin.
Tapi kenapa kita hendak risau dengan pandangan yang mengatakan memang mereka semua sujud kepada Nabi Yusuf? Bukankah kejadian telah diberitahu di dalam mimpi Nabi Yusuf ketika baginda kecil? Dan Nabi Ya’qub sendiri tahu yang ia adalah mimpi seorang Nabi dan mimpi seorang Nabi itu benar. Ia sudah pasti adalah arahan dari Allah, bukan? Ini sebagaimana Nabi Ibrahim datuk mereka sendiri yang bersedia menyembelih anaknya Nabi Ismail kerana baginda telah melihatnya di dalam mimpi. Apabila arahan dari Allah, maka ia boleh dan mesti dilakukan. Beginilah juga salah satu pandangan terhadap ayat Baqarah:34 yang telah disebut sebelum ini. Iaitu apabila Allah yang suruh sujud, tidak ada masa lagi hendak fikir ini boleh atau tidak, kerana ia adalah dari Allah sendiri.
Jadi ini adalah salah satu dari pendapat-pendapat yang banyak yang kita sedang bincangkan. Kita tidak ada keputusan yang kita boleh kata inilah dia yang paling tepat. Jadi kita sampaikan di sini sebagai maklumat dan perkara yang boleh difikir dan dibincangkan. Begitulah kerana ini adalah ayat yang banyak diperdebatkan dan dibincangkan, jadi ada banyak pendapat.
5. Sujud sebagai tradisi penghormatan di kalangan bangsa terdahulu
Imam al-Razi menyebutkan bahawa sujud seperti ini adalah tradisi penghormatan di kalangan umat terdahulu, khususnya di kalangan raja dan orang mulia, dan telah dihapuskan dalam syariat Islam.
Akan tetapi kritikan terhadap pendapat ini adalah, kalau ia biasa dilakukan sebagai penghormatan, kenapa Nabi Yusuf sendiri tidak sujud kepada ayahnya? Jadi ia agak lemah dan kalau itu sahaja yang berlaku, Allah tidak perlu masukkan di dalam ayat ini.
6. Sujud sebagai realisasi mimpi Nabi Yusuf
Sujud yang dilakukan oleh keluarga Yusuf adalah sebagai realisasi dari mimpi yang pernah dilihat Nabi Yusuf di masa kecilnya, sebagaimana disebutkan dalam ayat ﴾وَقَالَ يَـٰٓأَبَتِ هَـٰذَا تَأوِيلُ رُءيَـٰىَ مِن قَبلُ﴿.
Tapi bukankah hanya Nabi Ya’qub sahaja yang tahu tentang mimpi itu? Perhatikan Ayat 5, يٰبُنَيَّ لا تَقصُص رُءياكَ عَلىٰ إِخوَتِكَ (Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu). Jadi sepatutnya mereka tidak tahu. Mungkinkah mereka juga terasa mereka patut sujud? Kalau mereka ada kesedaran ini, bukan di sini sahaja mereka sujud, malahan pada ketika mereka kantoi dulu di dalam Ayat 91, قَالُواْ تَٱللَّهِ لَقَد ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَينَا وَإِن ڪُنَّا لَخَـٰطِـِٔينَ (Mereka berkata: “Demi Allah, sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami, dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah (berdosa)”.) Tapi tidak pun disebut mereka sujud, bukan?
Jadi penjelasan di sini adalah, oleh kerana Nabi Ya’qub sahaja yang tahu, maka baginda dahulu yang sujud dan abang-abang Nabi Yusuf dan yang lain-lain pun sujud juga. Nabi Ya’qub mungkin mahu anak-anaknya itu merendahkan ego mereka di hadapan Nabi Yusuf jadi baginda memberi contoh kepada mereka apa yang mereka perlu lakukan (sujud kepada Nabi Yusuf).
7. Ia adalah arahan dari Allah maka Nabi Ya’qub taat.

Perlu ditambah yang Imam al-Razi menegaskan bahawa dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ, sujud kepada selain Allah, baik sebagai penghormatan mahupun ibadah, adalah haram. Kita telah sebut sebelum ini yang Nabi ﷺ bersabda: «لو كنت آمرا أحدا أن يسجد لأحد لأمرت المرأة أن تسجد لزوجها» (Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang sujud kepada orang lain, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suaminya)
Berikut adalah pengajaran ringkas daripada Surah Yusuf Ayat 100 berdasarkan sumber yang diberikan:
• Menghormati Status Ibu Bapa – Menghormati ibu bapa bukan sekadar memberi kasih sayang, tetapi juga menjaga status dan maruah mereka agar mereka tidak merasa tersisih atau tidak relevan apabila kita sudah berjaya.
• Kejayaan Bukan Pemisah – Pangkat atau kedudukan yang tinggi di mata dunia tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita merendah diri dan menyantuni ibu bapa.
• Sabar Melayan Kerenah Tua – Apabila umur ibu bapa meningkat, mereka mungkin menjadi sensitif atau mudah terasa; kita wajib bersabar dengan mereka sebagaimana mereka bersabar menjaga kita semasa kecil.
• Sujud sebagai Tanda Syukur – Perbuatan sujud dalam kisah ini ditafsirkan sebagai bentuk kesyukuran yang mendalam kepada Allah atas keajaiban pertemuan semula, di mana Nabi Yusuf menjadi “kiblat” atau fokus kesyukuran tersebut.
• Kelembutan Aturan Allah (Al-Latif) – Allah Maha Lembut dalam merancang setiap kejadian; segala ujian (perigi dan penjara) sebenarnya adalah jalan yang disusun halus untuk mencapai kebaikan di pengakhirannya.
• Waspada Terhadap Hasutan Syaitan – Perpecahan dan permusuhan dalam keluarga seringkali berpunca daripada gangguan syaitan, maka penyatuan semula adalah nikmat besar yang perlu disyukuri.
• Mengakui Kebaikan Tuhan – Nabi Yusuf menunjukkan teladan dengan sentiasa menyebut dan mengakui kebaikan serta ihsan Allah yang telah membebaskannya daripada kesusahan.
Kuiz Pemahaman
Jawab soalan-soalan berikut dengan jawapan ringkas (2-3 ayat) berdasarkan maklumat daripada teks sumber.
1. Huraikan dua peringkat penghormatan yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf AS kepada kedua ibu bapanya apabila mereka tiba di Mesir.
2. Apakah kepentingan simbolik “takhta” (العَرشِ) dalam tindakan Nabi Yusuf menaikkan ibu bapanya ke atasnya?
3. Terangkan konsep ‘merendahkan sayap kehinaan’ (جَنَاحَ ٱلذُّلِّ) seperti yang disebut dalam Surah Al-Isra’:24 dan kaitannya dengan tindakan Nabi Yusuf.
4. Bagaimanakah Surah Yaasin:68 menerangkan cabaran menjaga ibu bapa yang semakin tua, dan apakah peringatan yang diberikan kepada anak-anak dalam konteks ini?
5. Menurut teks, apakah tiga elemen lengkap yang perlu diberikan kepada sesiapa sahaja yang berada di bawah jagaan kita?
6. Apakah tafsiran yang masyhur (tradisional) mengenai sujud yang dilakukan oleh keluarga Nabi Yusuf, dan bilakah amalan ini dibenarkan?
7. Berdasarkan hadis Mu’az, apakah hukum sujud kepada manusia dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ dan apakah tujuan utama Nabi ﷺ menyebut perbandingan dengan ketaatan isteri kepada suami?
8. Huraikan tafsiran alternatif yang digemari oleh ulama seperti Imam Razi mengenai sujud keluarga Nabi Yusuf. Kepada siapakah sujud itu sebenarnya ditujukan?
9. Bagaimanakah analogi sujud di Kaabah digunakan untuk menjelaskan tafsiran alternatif mengenai sujud keluarga Nabi Yusuf?
10. Sebutkan dan jelaskan secara ringkas salah satu daripada tujuh pendapat yang disenaraikan oleh Imam al-Razi dalam Tafsir al-Kabir mengenai makna “sujud” dalam ayat ini.
Glosari Istilah Penting
|
Istilah
|
Definisi Berdasarkan Teks
|
|
العَرشِ (Al-‘Arsh)
|
Secara literal bermaksud ‘takhta’. Disifatkan sebagai pusat kekuasaan, simbol pekerjaan, autoriti, dan tempat keputusan penting dibuat, bukan sekadar kerusi kehormat.
|
|
ءَاوَىٰٓ إِلَيهِ أَبَوَيهِ
|
Frasa Al-Qur’an yang bermaksud “menarik kedua ibu bapanya ke dalam pelindungannya”. Ia merujuk kepada isyarat fizikal yang memberikan kasih sayang dan rasa selamat.
|
|
جَنَاحَ ٱلذُّلِّ (Janah al-Zull)
|
Secara literal bermaksud ‘merendahkan sayap’. Istilah dari Surah Isra’:24 yang menggambarkan tindakan merendahkan diri dengan penuh kasih sayang terhadap ibu bapa, diilhamkan dari seekor burung yang merendahkan sayapnya untuk melindungi anaknya.
|
|
Imam al-Razi
|
Seorang ulama klasik yang terkenal dengan kitab tafsirnya, Tafsir al-Kabir (atau Mafatih al-Ghaib), yang membincangkan secara teliti pelbagai kemungkinan makna “sujud” dalam Surah Yusuf ayat 100.
|
|
Kiblat
|
Arah tuju. Dalam konteks sujud keluarga Nabi Yusuf, baginda dianggap sebagai “kiblat” atau fokus yang menyebabkan mereka bersujud syukur kepada Allah, sama seperti Kaabah menjadi kiblat untuk solat.
|
|
Mubalaghah
|
Istilah bahasa Arab yang merujuk kepada bentuk penekanan yang sangat kuat untuk menyampaikan sesuatu maksud. Digunakan dalam syarahan hadis Mu’az untuk menunjukkan betapa besarnya hak suami ke atas isteri.
|
|
Sujud Penghormatan
|
Sujud yang dilakukan bukan untuk tujuan ibadah tetapi sebagai tanda hormat kepada orang besar. Menurut pendapat masyhur, amalan ini dibenarkan dalam syariat sebelum Nabi Muhammad ﷺ tetapi diharamkan selepas itu.
|
|
Sujud Kesyukuran
|
Sujud yang dilakukan secara spontan dan mendalam kepada Allah SWT sebagai tanda syukur. Ini adalah tafsiran alternatif bagi sujud keluarga Nabi Yusuf, di mana mereka sujud kerana Nabi Yusuf, bukan kepada Nabi Yusuf.
|
|
Syariat
|
Hukum atau peraturan dalam agama. Teks membezakan antara syariat nabi-nabi terdahulu di mana sujud penghormatan mungkin dibenarkan, dengan syariat Nabi Muhammad ﷺ yang mengharamkannya secara mutlak.
|
|
Tafsir al-Kabir
|
Juga dikenali sebagai Mafatih al-Ghaib, ia adalah kitab tafsir agung yang dikarang oleh Imam al-Razi yang menyenaraikan dan membahaskan pelbagai pendapat mengenai tafsiran ayat-ayat Al-Qur’an.
|
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya
Kemaskini: 25 Disember 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)











Kunci Jawapan
1. Dua peringkat penghormatan tersebut ialah: pertama, tindakan fizikal “menarik kedua ibu bapanya ke dalam pelindungannya” (ءَاوَىٰٓ إِلَيهِ أَبَوَيهِ) untuk memberikan kasih sayang dan rasa selamat. Kedua, tindakan “menaikkan mereka ke atas takhta” (وَرَفَعَ أَبَوَيهِ عَلَى العَرشِ) untuk menangani kebimbangan mereka tentang status dan relevansi, memastikan mereka sentiasa merasa mulia dan dihormati.
2. Takhta (العَرشِ) bukan sekadar kerusi kehormat tetapi merupakan simbol pusat kekuasaan, autoriti, dan tempat keputusan penting negara dibuat. Dengan meletakkan ibu bapanya di atas takhta, Nabi Yusuf secara simbolik menunjukkan bahawa kedudukan dan pekerjaannya yang tinggi tidak akan menjadi penghalang antara mereka, dan status ibu bapanya kekal tertinggi dalam hidupnya.
3. Konsep ‘merendahkan sayap kehinaan’ (جَنَاحَ ٱلذُّلِّ) secara literal bermaksud merendahkan sayap seperti burung yang melindungi anak-anaknya. Ia adalah metafora untuk merendahkan diri dengan penuh kasih sayang terhadap ibu bapa, seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf apabila baginda menaikkan ibu bapanya ke takhta dan memeluk mereka, sebagai tanda penghormatan tertinggi.
4. Surah Yaasin:68 menyatakan bahawa sesiapa yang dipanjangkan umurnya akan dibalikkan kejadiannya (menjadi seperti kanak-kanak). Ini mengingatkan anak-anak bahawa walaupun ibu bapa mereka mungkin menjadi nyanyuk, cepat terasa hati, atau menjengkelkan, mereka dahulu telah bersabar dengan kerenah anak-anak yang lebih teruk, maka kini adalah giliran anak-anak untuk diuji dengan menjaga mereka.
5. Tiga elemen lengkap yang perlu diberikan kepada sesiapa sahaja di bawah jagaan kita ialah cinta, perlindungan, dan penghormatan. Teks tersebut menekankan bahawa kadangkala kita hanya memberikan satu atau dua elemen sahaja, contohnya memberikan cinta dan perlindungan kepada anak tetapi kurang memberikan penghormatan.
6. Tafsiran yang masyhur menyatakan bahawa sujud tersebut adalah sebagai sujud penghormatan dan bukan ibadah. Amalan ini dibenarkan dalam syariat mereka (sejak zaman Nabi Adam hingga Nabi Isa) apabila memberikan salam hormat kepada orang besar, tetapi kemudiannya telah diharamkan dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ.
7. Dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ, sujud kepada manusia adalah haram secara mutlak. Tujuan Nabi ﷺ bersabda, “Seandainya aku memerintahkan kepada seseorang untuk bersujud kepada orang lain, tentu aku akan perintahkan kepada wanita untuk bersujud kepada suaminya,” adalah sebagai bentuk mubalaghah (penekanan kuat) untuk menunjukkan betapa besarnya hak suami dan tanggungjawab isteri untuk mentaatinya.
8. Tafsiran alternatif yang dikemukakan ialah sujud itu bukan ditujukan kepada Nabi Yusuf, sebaliknya ia adalah sujud kesyukuran yang spontan dan mendalam kepada Allah SWT. Keluarga baginda sujud kerana keajaiban yang Allah tunjukkan melalui Nabi Yusuf, menjadikan baginda fokus kesyukuran, bukan objek sembahan.
9. Analogi sujud di Kaabah digunakan untuk menjelaskan bahawa umat Islam tidak sujud kepada Kaabah, tetapi sujud menghadap Kaabah untuk Allah semata-mata. Begitu juga, keluarga Nabi Yusuf sujud kepada Allah, dengan Nabi Yusuf sebagai “kiblat” atau fokus yang mencetuskan rasa syukur mereka yang meluap-luap.
10. Salah satu daripada tujuh pendapat Imam al-Razi ialah sujud itu adalah sebagai bentuk kerendahan diri (التذلل) dan pengakuan atas keutamaan Nabi Yusuf, dan ia hanyalah kiasan atau madah, bukan sujud fizikal. Pendapat lain ialah sujud itu sebenarnya adalah membongkok (rukuk) sebagai tanda hormat, bukannya meletakkan dahi di tanah. (Pilih mana-mana satu daripada tujuh pendapat yang disenaraikan dalam teks).
LikeLike