NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ MENDEDAHKAN IDENTITINYA
Yusuf Ayat 88: Ini keadaan ke 13. Diingatkan yang semua sekali ada 15 keadaan untuk menceritakan Dakwa surah ini.
فَلَمَّا دَخَلُواْ عَلَيهِ قَالُواْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلعَزِيزُ مَسَّنَا وَأَهلَنَا ٱلضُّرُّ وَجِئنَا بِبِضَـٰعَةٍ مُّزجَٮٰةٍ فَأَوفِ لَنَا ٱلكَيلَ وَتَصَدَّق عَلَينَآۖ إِنَّ ٱللَّهَ يَجزِى ٱلمُتَصَدِّقِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So when they entered upon him [i.e., Joseph], they said, “O ‘Azeez, adversity has touched us and our family, and we have come with goods poor in quality, but give us full measure and be charitable to us. Indeed, Allāh rewards the charitable.”
(MALAY)
Maka ketika mereka masuk ke (tempat) Yusuf, mereka berkata: “Hai Al Aziz, kami dan keluarga kami telah ditimpa kesengsaraan dan kami datang membawa barang-barang yang tidak berharga, maka sempurnakanlah sukatan untuk kami, dan bersedekahlah kepada kami, sesungguhnya Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bersedekah”.
فَلَمّا دَخَلوا عَلَيهِ
Maka ketika mereka masuk ke (tempat) Yusuf,
Selepas mendapat arahan daripada bapa mereka, kita tidak diberitahu apakah yang terjadi atau apakah tindakan balas anak-anaknya itu. Adakah mereka terima atau tidak? Adakah mereka setuju atau mereka melawan kata-kata bapa mereka itu? Ini tidak diberitahu. Tiba-tiba sekarang kita diberitahu anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu kembali ke Mesir semula. Jadi mungkin mereka terima dengan hati yang redha atau mereka rasa malas hendak melayan bapa mereka, lalu mereka ikut sahaja dan pergi ke Mesir.
Ini adalah kali ketiga mereka ke Mesir. Sekarang mereka sedang menghadap kembali Menteri Kewangan (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) kerana bapa mereka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengarahkan mereka mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan dua anak yang lain itu.
قَالُواْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلعَزِيزُ
mereka berkata: “Hai Al Aziz,
Mereka menyeru Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan panggilan yang memuliakan baginda. Ini kerana mereka hendak memujuk baginda sebagaimana yang diminta dan diajar oleh bapa mereka.
Maklumat menarik: Kenapa kadangkala kita perhatikan terdapat kalimah يَـٰٓأَيُّهَا seperti di dalam ayat ini dan terdapat hanya يا sahaja seperti sebelum ini يَـٰبَنِىَّ sahaja. Dua-dua adalah harf nida’ (kata panggilan). Namun begitu jikalau kalimah selepas itu ada ال maka barulah ia berbentuk يَـٰٓأَيُّهَا (atau bergantung kepada keadaan, يَـٰٓأَيُّتُهَا) dan jikalau tiada ال barulah ia berbentuk يا sahaja.
مَسَّنا وَأَهلَنَا الضُّرُّ
kami dan keluarga kami telah ditimpa kesengsaraan
Kalimah مَسَّ bermaksud disentuh secara literal. Di sini ia bermaksud disentuh, diselubungi, seolah-olah dibanjiri atau karam di dalamnya, tidak boleh berbuat apa-apa. Kalimah الضُّرُّ merujuk kepada kesengsaraan kerana kemiskinan, kebuluran, peperangan dan sebagainya iaitu kesengsaraan yang berpunca daripada persekitaran kita. Kalau kita baca ayat sebelum ini tentang arahan bapa mereka, tentulah perkataan pertama yang kita akan dengar di sini adalah mereka merayu untuk bertemu dengan adik mereka, bukan? Itulah yang kita jangkakan kalau mereka anak yang taat menurut perintah bapa mereka. Mereka sepatutnya mengadu yang mereka telah pulang tanpa adik mereka bersama dan telah menyebabkan bapa mereka jatuh sakit dan sekarang bapa mereka merayu untuk mendapatkan maklumat tentang adik mereka itu. Namun bukan begitu yang berlaku. Sekarang kita baca mereka mengadu tentang nasib malang yang menimpa mereka. Mereka sibuk bercerita yang tidak ada makanan di tempat mereka (Kan’an) yang menyebabkan mereka terpaksa bermusafir untuk mendapatkan makanan di Mesir. Jauh sungguh perjalanan mereka itu untuk sampai ke sana. Jadi di manakah soalan tentang adik mereka? Ada dua pendapat tentang hal ini:
1. Walaupun mereka datang untuk mencari saudara mereka, namun mereka juga memerlukan bahan makanan juga. Mungkin mereka pun sudah mula bertanya tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin akan tetapi dalam masa yang sama mereka juga berada dalam kelaparan. Satu lagi pendapat adalah mereka cuba mendekati Al-Aziz itu. Mereka pun tentu tidak boleh terus meminta untuk dilepaskan Bunyamin maka mereka mula bercakap tentang makanan yang mereka perlukan. Macam kalau kita pergi berjumpa seseorang dengan suatu hajat yang penting, selalunya kita akan bersembang dulu hal-hal lain seperti rumah dia cantik, mana anaknya dan sebagainya sebagai pembuka bicara. Seandainya Al-Aziz kelihatan berlembut dengan mereka dan memberi apa yang mereka minta, barulah mereka akan minta sesuatu yang lebih berat pula.
2. Atau, ada pendapat yang mengatakan mereka datang itu bukanlah hendak mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin sangat, tetapi lebih mementingkan perut mereka yang kelaparan sahaja. Yang bapa mereka suruh itu mereka bukan ambil serius pun, sudah malas dilayan sebenarnya. Namun mereka tetap juga pergi kerana pada mereka, mereka boleh mendapatkan keperluan makanan, lagi pun bapa sudah mengarahakn mereka untuk pergi. Maka ini adalah salah satu pengajaran psikologi yang paling penting dalam kisah ini.
Terdapat perbezaan besar antara kehinaan yang disebabkan oleh keadaan luaran (seperti kemiskinan dan kelaparan) dengan kerendahan hati dalaman (penyesalan sebenar atas dosa yang telah dilakukan). Walaupun adik-beradik Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam kesusahan, terpaksa merayu, dan meminta sedekah (satu keadaan yang amat merendahkan maruah) hati mereka belum lagi benar-benar insaf. Mereka telah direndahkan oleh keadaan, tetapi watak mereka belum lagi dalam keadaan merendah diri. Ego mereka masih lagi tinggi. Buktinya? Mereka mengabaikan arahan jelas bapa mereka untuk mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mendapatkan maklumat tentang Bunyamin. Sebaliknya, apabila tiba di hadapan pemerintah Mesir, fokus utama mereka hanyalah keperluan material semata-mata: makanan. Ini menunjukkan bahawa keutamaan mereka tidak berubah. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memerhatikan sahaja sikap abang-abangnya itu. Tentu baginda berkata-kat di dalam hatinya: ‘Takkan ayah suruh kalian datang hanya tentang makanan sahaja? Takkan ayah tidak suruh tanya tentang anaknya Bunyamin? Memang dulu apabila kalian minta dilepaskan Bunyamin, aku telah tolak, tapi takkan kalian tidak mahu merayu lagi?’
Ini mengajar kita bahawa status luaran tidak mencerminkan keadaan dalaman. Anda boleh menjadi seorang jutawan yang memiliki segala kesenangan tetapi masih dapat merendah diri, sebaliknya anda boleh juga tidak memiliki apa-apa untuk dibanggakan tetapi menjadi manusia paling angkuh di muka bumi ini. Abang-abang ini telah direndahkan oleh keadaan, tetapi itu tidak bermakna watak mereka boleh berubah menjadi rendah diri.
وَجِئنَا بِبِضَـٰعَةٍ مُّزجَٮٰةٍ
dan kami datang membawa barang-barang yang tidak berharga,
Apabila datang untuk mendapatkan makanan, mereka dikehendaki membawa barang gantian (mengikut sistem barter). Mereka memang datang dengan barangan, akan tetapi mereka mengaku barangan mereka مُزجاةٍ (barang murah tidak bernilai). Kalimah مُزجَٮٰةٍ berasal daripada kata dasar ز ج و yang bermaksud menggerakkan, mendesak, sesuatu yang kena tolak baru boleh gerak, dalam keadaan yang betul, mata wang yang tidak bernilai, bertindak dengan bersungguh-sungguh, mencapainya sesuatu tujuan, benda kecil yang mungkin ditolak (tidak diterima) kerana nilainya yang kecil itu, sedikit, lemah.
Ini kerana mereka memang dalam keadaan dan ekonomi sangat teruk sekarang kerana kekurangan makanan. Dalam riwayat ada mengatakan yang mereka hanya membawa barangan seperti selipar dan sebagainya, jenis barangan yang memang tidak ada harga. Untuk zaman sekarang, barangan sebegini untuk diberi kepada fakir miskin pun tidak lulus. Namun mereka membawanya juga sebab tidak ada barang lain langsung yang ada pada mereka kerana terlalu miskin pada waktu itu.
فَأَوفِ لَنَا الكَيلَ
maka sempurnakanlah sukatan untuk kami,
Walaupun mereka bawa barang yang tidak ada harga, tetapi mereka masih berharap semoga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ penuhkan barang untuk mereka kerana mereka amat memerlukan bantuan makanan dari Mesir. Kita telah sebutkan satu muatan adalah karung yang boleh dibawa oleh seekor unta. Mereka sedar yang tukaran yang mereka bawa itu tidak layak, tetapi mereka merayu juga agar dapat diberikan muatan yang penuh.
Setiap perkataan yang diucapkan oleh adik-beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada baginda setakat ini dipenuhi dengan ironi yang menusuk kalbu, yang tidak mereka sedari sama sekali. Kata-kata rayuan mereka secara tidak langsung melukiskan kembali kejahatan mereka pada masa lalu.
• Panggilan ‘Al-Aziz’ (Yang Maha Berkuasa): Mereka memanggil Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan gelaran ini, yang bermaksud seseorang yang mempunyai kuasa mutlak yang tidak dipersoalkan lagi. Ironinya, suatu ketika dahulu, merekalah yang bertindak sebagai ‘Al-Aziz’ ke atas Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka mempunyai kuasa penuh dengan pelbagai pilihan kezaliman terbentang di hadapan mereka dan mereka memilih untuk mencampakkannya ke dalam perigi tanpa sesiapa dapat menghalang. Dulu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak ada kuasa untuk menghalang mereka; Kini, keadaan telah berbalik. Baginda boleh melakukan apa-apa sahaja terhadap mereka.
• Mengadu Tentang ‘Kemudaratan’: Mereka mengadu, “Kemudaratan telah menimpa kami dan keluarga kami.” Namun, merekalah punca sebenar yang membawa kemudaratan dan kesedihan yang tidak terhingga kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan bapa mereka, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang telah menenggelamkan baginda di dalam lautan air mata selama berpuluh-puluh tahun. Menarik kalimah مَسَّ yang mereka gunakan yang bermaksud ditenggelami sedangkan merekalah dahulu yang menenggelamkan adik dan bapa mereka dalam kepayahan dan kesedihan. Malah adik mereka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu mereka telah masukkan ke dalam telaga yang hampir ditenggelami! Mereka tidak sedar yang mereka sekarang bercakap dengan orang yang mereka telah menyebabkan kesengsaraan. Sekarang mereka mengadu tentang kesengsaraan mereka pula!
• Membawa Barangan Tidak Bernilai: Mereka membawa barangan dagangan yang berkualiti rendah, yang digambarkan sebagai sesuatu yang orang akan tolak ke tepi. Ini sangat ironis kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri pernah dianggap seperti barang dagangan yang tidak bernilai oleh mereka, lalu disingkirkan dan dijual dengan harga yang murah. Ingat lagi Ayat 20? وَشَرَوهُ بِثَمَنِۭ بَخسٍ دَرٰهِمَ مَعدُودَةٍ (Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham saja). Sekarang mereka pula menawarkan barang yang tidak berharga.
• Meminta ‘Sukatan Penuh’: Permintaan mereka untuk “sukatan yang penuh” adalah seruan untuk keadilan dan layanan yang saksama. Betapa ironisnya permintaan ini datang dari mulut orang-orang yang telah melakukan ketidakadilan yang paling besar terhadap adik mereka sendiri. Meminta sukatan yang penuh ada analogi kepada meminta keadilan sebenarnya. Ironisnya mereka dahulu telah berlaku tidak adil yang keterlaluan kepada adiknya itu tetapi kali ini mereka meminta keadilan?
وَتَصَدَّق عَلَينا
dan bersedekahlah kepada kami,
Ini kerana mereka tahu yang benda yang mereka bawa sebagai ganti itu tidak berbaloi dengan apa yang mereka minta, maka mereka minta Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersedekahlah kepada mereka. Kena bagi dalam bentuk sedekah bukan dalam bentuk jual beli kerana pertukaran tidak layak.
Atau, tadi mereka meminta muatan yang penuh dengan tukaran yang tidak senilai, sekarang mereka minta lebih lagi sebagai sedekah daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini menimbulkan isu: Bukankah mereka itu keluarga Nabi maka bukankah mereka tidak boleh makan pemberian sedekah? Jadi ada dua kemungkinan:
1. Mereka bukan minta sedekah sebenarnya, tetapi mereka minta Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berikan juga takaran makanan kepada mereka sebagai balasan daripada pemberian mereka, walaupun tidak bernilai. Jadi sedekah ini sebenarnya adalah balasan, bukan sedekah semata.
2. Berkemungkinan juga syariat Nabi tidak boleh menerima sedekah itu bukan syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Apabila adik-beradik Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta sedekah ini, mereka menggunakan perkataan yang mempunyai kaitan etimologi yang sangat mendalam. Perkataan صَدَقَ (sedekah) berkongsi akar yang sama dengan صِدقٌ (kebenaran). Dalam bahasa Arab Klasik, صِدقٌ bukanlah sekadar kejujuran yang pasif. Ia asalnya adalah صَدقٌ yang merujuk kepada sesuatu yang lurus, kuat, dan tidak boleh dipatahkan, seperti lembing atau pedang yang sempurna. Ia adalah sesuatu yang bersifat menyerang, menghancurkan. Ia adalah analogi kepada sesuatu yang membedah kepalsuan, dan menghancurkan kebatilan tanpa ragu-ragu. Oleh kerana itulah kebenaran (صِدقٌ) digambarkan sebagai senjata yang dilancarkan untuk menghancurkan kepalsuan.
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum ini pernah digelar sebagai ‘As-Siddiq’ (Yang Benar). Ini disebut di dalam Ayat 46: يُوسُفُ أَيُّهَا ٱلصِّدِّيقُ (Yusuf, hai orang yang amat dipercayai) dan Ayat 51 أَنَا۠ رَاوَدتُّهُۥ عَن نَّفْسِهِۦ وَإِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلصَّٰدِقِينَ (akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku), dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar). Kini, apabila adik-beradiknya datang meminta صَدَقَ (sedekah), secara tidak langsung dan tanpa mereka sedari, mereka juga seolah-olah meminta صِدقٌ (kebenaran) dan itulah yang bakal mereka terima – kebenaran yang akan meruntuhkan dunia pembohongan mereka. Permintaan mereka untuk belas kasihan material mengandungi permintaan tersembunyi untuk pendedahan kebenaran yang menyakitkan. Mereka sahaja tidak menyedarinya dan langsung tidak sangka. Dan ini akan berlaku tidak lama lagi yang kita akan baca. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan mendedahkan perkara sebenar iaitu kebenaran.
إِنَّ ٱللَّهَ يَجزِى ٱلمُتَصَدِّقِينَ
sesungguhnya Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bersedekah”.
Mereka memberi motivasi untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersedekah kepada mereka dengan mengatakan yang Allah ﷻ akan balas dengan kebaikan kepada orang yang bersedekah. Ini memang benar. Akan tetapi mereka tidak tahu pun yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah seorang Muslim, jadi kenapa cerita ganjaran sedekah pula kepada baginda? Sebenarnya ia juga tidak salah kerana ganjaran orang bersedekah ini akan dibalas juga kepada orang bukan Islam, tetapi hanya di dunia sahaja. Dalilnya adalah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik :
“Sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi seorang mukmin walau dengan satu kebaikan pun; dia akan diberikan balasan dengannya di dunia, dan dia juga akan diberi ganjaran dengannya di akhirat. Adapun orang kafir, maka dia akan diberi makan (dibayar atau dibalas) dengan kebaikan yang diperbuatnya kerana Allah di dunia, sehinggalah apabila dia menuju akhirat, dia tidak mempunyai satu kebaikan pun untuk dibalas dengannya.”
(Sahih Muslim No. 2808)
Pandai pula mereka menggunakan nama Allah di sini. Padahal mereka dulu tidak balas dengan kebaikan pun kepada adik mereka. Adik mereka hendak hidup pun mereka halang; adik mereka hendak tinggal dengan bapa mereka pun mereka buang jauh entah ke mana. Sekarang pandai pula mereka berdakwah kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ! Begitulah ada orang yang menzalimi tetapi pandai menggunakan agama sebagai topeng mereka. Contohnya ada yang zalim kepada isteri tetapi pandai pula dia kata: “Bukan ke Nabi ajar isteri kena taat kepada suami?” Orang yang macam ini memang menjengkelkan apabila menggunakan agama untuk kepentingan diri mereka.
Yusuf Ayat 89: Sekarang tibalah masanya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membuka maklumat yang sebenarnya. Ini kerana baginda sedih dengan kata-kata adik beradiknya itu. Walaupun mereka itu ego masih tinggi, tetapi kesusahan yang mereka alami bukan melibatkan mereka sahaja, malah keluarga mereka juga terkesan seperti yang mereka telah cakap tadi.
قَالَ هَل عَلِمتُم مَّا فَعَلتُم بِيُوسُفَ وَأَخِيهِ إِذ أَنتُم جَـٰهِلُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He said, “Do you know what you did with Joseph and his brother when you were ignorant?”
(MALAY)
Yusuf berkata: “Apakah kamu mengetahui (kejelekan) apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya ketika kamu tidak mengetahui (akibat) perbuatanmu itu?”.
قالَ هَل عَلِمتُم مّا فَعَلتُم بِيوسُفَ وَأَخيهِ
Yusuf berkata: “Apakah kamu mengetahui apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya
Oleh kerana kesusahan yang dialami oleh keluarganya itu, baginda sekarang akan memberitahu perkara sebenar. Halangan untuk baginda membuka rahsia itu sudah tidak ada. Allah ﷻ sudah membenarkan baginda memberitahu perkara yang sebenarnya. Baginda berasa sangat sedih dengan apa yang telah menimpa keluarganya di Kan’an maka sudah sampai masa untuk membantu mereka.
Ada juga riwayat yang mengatakan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyampaikan sepucuk surat kepada Al-Aziz Mesir yang membuatkan baginda rasa terkesan dan sudah tiba masanya untuk baginda memperkenalkan diri baginda. Berdasarkan riwayat-riwayat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya atau sumber Isrā’īliyyāt (yang bukan merupakan dalil yang kuat dalam Islam), berikut adalah teks surat yang dikatakan dihantar oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika baginda (Yusuf) masih dikenali sebagai Al-‘Aziz (pembesar) Mesir:
Daripada Ya’qub, Nabi Allah, anak kepada Ishaq, anak kepada Ibrahim, Kekasih Allah, kepada Al-‘Aziz (Pembesar) Mesir.
“Amma ba’du (Seterusnya):
“Kami adalah satu keluarga yang diuji dengan bala dan musibah. Dahulu, kami mempunyai anak yang paling kami cintai, yang telah pergi dan hilang daripada kami. Kesedihan atas kehilangannya telah membuatkan mata ayah menjadi buta, dan kami hanya bersabar mengharapkan kurniaan daripada Allah.
“Kini, engkau telah menahan salah seorang anakku, yang merupakan penghibur kami yang tinggal.
“Wahai Al-‘Aziz, ketahuilah, kami adalah kaum yang tidak pernah mencuri. Kami adalah keturunan para Nabi; kami tidak mungkin memakan hasil curian, dan kami tidak mungkin mencuri.
“Sungguh, kami adalah keluarga yang telah didatangi musibah secara bergilir-gilir.
“Kami merayu kepadamu, wahai Pembesar Mesir, atas nama Allah, Tuhan semesta alam, dan demi kemuliaan keturunan kami:
“Jika engkau melepaskan anak kami yang kedua ini, engkau telah melepaskan seorang ayah yang disayangi daripada kehinaan dan penderitaan.
“Kami memohon ihsan (belas kasihan) daripadamu, kerana sesungguhnya Allah membalas baik bagi orang-orang yang berlaku ihsan.
“Maka, lepaskanlah anak kami kepadanya, nescaya Allah akan melepaskan kesusahan yang menimpamu.”
Sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tanya kepada mereka: Adakah kamu tahu tentang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan adiknya Bunyamin ini? Apakah yang kamu telah lakukan terhadap mereka? Kalimat هَل عَلِمتُم مّا فَعَلتُم agak pelik apabila ditanya kepada mereka, bukan? Tentulah mereka tahu kerana mereka yang buat, bukan? Kenapa ditanya lagi? Kerana apabila seseorang itu melakukan sesuatu ketika marah, benci dan dengki, mereka seolah-olah tidak tahu. Mereka tidak ‘sedar’ apa yang mereka lakukan. Mereka tidak sedar kesan kepada perbuatan mereka itu. Mereka sudah tidak fikir halal haram, Allah ﷻ suka ataupun tidak. Macam kita jugalah, tahu sesuatu perkara itu berdosa, tetapi kita buat juga, bukan?
Kita sudah tahu apa yang mereka telah lakukan terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam kisah yang disebut dalam surah ini dari mula, tetapi bagaimana pula dengan Bunyamin? Memang tidak disebut kisah beliau dalam surah ini, tetapi tentulah dapat kita ambil kesimpulan melalui isyarat yang kita baca dalam ayat ini. Tentu mereka juga telah menyusahkan Bunyamin itu kerana beliau merupakan saudara kandung seibu dengan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sudah tentulah Bunyamin mengadu kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sementara beliau tinggal bersama baginda.
Akhirnya, setelah puluhan tahun penantian, tiba saatnya kebenaran disingkapkan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melihat abang-abangnya telah hancur dari segi ekonomi, tetapi hati nurani mereka masih belum tersentuh. Mereka masih belum mengakui dosa mereka. Maka, inilah masanya untuk sebuah konfrontasi yang akan memulakan proses taubat mereka. Namun, dengarkanlah baik-baik kata-kata pertama yang keluar dari mulut Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: “Tahukah kamu apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya…”.
Pada saat kemenangannya, Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak menjadikan detik itu hanya tentang dirinya. Dengan memasukkan “saudaranya” (Bunyamin), baginda menunjukkan tahap empati yang luar biasa. Baginda mengiktiraf penderitaan Bunyamin juga dan tidak terlibat dalam “pertandingan trauma”—di mana seseorang cuba membuktikan penderitaannya lebih hebat. Padahal, penderitaan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jauh lebih teruk. Macam Bunyamin, abang-abangnya tidak cuba pun membunuhnya, bukan? Namun Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengiyakan sahaja dugaan yang Bunyamin ceritakan itu. Selalu kalau kita ceritakan masalah kita, orang yang dengar itu akan cerita masalah dia yang lebih besar, bagaikan persaingan pula. Mereka akan kata, “Kau ingat kau je yang susah? Aku lagi susah tau! Aku kena itu, aku kena ini….!” Maksudnya mereka menidakkan aduan daripada orang yang mengadu itu seolah-olah ia tidak ada apa-apa.
Inilah puncaknya, saat untuk menebus segala derita. Inilah waktunya untuk menuntut, “Tahukah kamu apa yang telah kamu lakukan kepadaku?” Momen ini sepatutnya miliknya seorang. Namun tidak. Ini bukan hanya tentang dirinya semata; ini adalah tentang diri baginda dan saudaranya. Di sinilah kita melihat keagungan hati seorang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda tidak melupakan penderitaan yang dialami oleh adiknya itu juga. Seolah-olah sama sahaja penderitaannya dan penderitaan adiknya itu, sedangkan kalau kita lihat, ia tidak sama. Mereka kononnya berjanji selepas membuang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka akan berubah menjadi baik, bukan? Ingat lagi mereka kata apa di dalam Ayat 9? وَتَكُونُواْ مِنۢ بَعدِهِۦ قَومًا صَـٰلِحِينَ (dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik).
Sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebut nama ‘Yusuf’ itu di hadapan mereka. Bayangkan perasaan mereka ketika itu! Ingat, mereka tidak pernah pun sebut namanya tetapi cuma sebut أَخٌ لَّهُ (saudaranya) sahaja di dalam Ayat 77 فَقَد سَرَقَ أَخٌ لَّهُ ۥ مِن قَبلُ (maka sesungguhnya, telah pernah mencuri pula saudaranya sebelum itu).
Yusuf adalah namanya sendiri (“Yusuf”) tetapi merujuk kepada Bunyamin sebagai “saudaranya”. Ini adalah sebuah sindiran yang tajam: Kezaliman mereka terhadap Bunyamin bukanlah kerana peribadi Bunyamin, tetapi semata-mata kerana hubungannya dengan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Setiap kali mereka melihat Bunyamin, mereka melihat bayangan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
إِذ أَنتُم جَـٰهِلُونَ
ketika kamu tidak mengetahui (akibat) perbuatanmu itu?”.
Ingatkah lagi ketika itu kamu semua jahil? ‘Jahil’ maksudnya melakukan sesuatu mengikut perasaan, bukan mengikut akal. Apa sahaja nafsu dan emosi suruh buat, mereka buat; apa sahaja lalu dalam kepala, mereka cakap tanpa berfikir lagi. Ini kerana lawan kepada jahil adalah aqal, maksudnya apabila jahil, aqal sudah tidak berfungsi lagi. Mereka telah membenci Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin dahulu sampaikan mereka telah melakukan perkara yang tidak baik terhadap mereka berdua. Mereka pun tahu yang apa yang mereka lakukan itu salah kerana mereka bukan bodoh dan mereka pun anak seorang Nabi. Namun dek kerana terlalu mengikut perasaan, mereka sanggup melakukan perkara itu.
Maka di sini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata bukan dengan nada marah sebaliknya kata-kata yang mengandungi kemaafan. Ini kerana baginda sudah sedar yang ketika itu mereka jahil, tidak tahu apa-apa. Perbuatan ini seolah-olah terus sahaja mendatangkan alasan bagi mereka. Beginilah juga doa Nabi Muhammad ﷺ terhadap Penduduk Thaif setelah baginda dihalau dan disakiti oleh mereka,
“Bahkan, aku berharap Allah akan mengeluarkan daripada tulang sulbi mereka (keturunan mereka) orang yang akan menyembah Allah Yang Maha Esa, dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu pun.” Kemudian, Baginda menambah dengan doa yang ringkas tetapi penuh makna:
“Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan bahasa lembut dengan mereka dan tidak memaki mereka kerana tujuan baginda adalah untuk berdakwah. Begitulah sekiranya berdakwah dengan menggunakan kata-kata makian, ternyata itu bukanlah dakwah yang baik.
Malah ada yang kata, kalimat إِذ أَنتُم جَـٰهِلُونَ ini adalah Allah ﷻ memberi isyarat yang abang-abang itu tidak bersalah mana. Iaitu seolah-olah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ nampak mereka ketika itu sudah menjadi orang baik, cuma dahulu sahaja جَـٰهِلُونَ kerana kalimah إِذ itu isyarat kepada dahulu. Malah ada juga pendapat yang mengatakan abang-abang itu pun jadi Nabi juga. Majoriti ulama, terutamanya dalam kalangan ulama mutakhir (kontemporari) dan para penyelidik, berpendapat bahawa abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mencapai status kenabian. Akan tetapi terdapat sebahagian ulama klasik (terutama dalam kalangan salaf) yang berpendapat bahawa abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mungkin telah mencapai status kenabian selepas kejadian itu, iaitu setelah mereka bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Pendapat itu kata ini tidak mustahil kerana mereka berasal daripada keturunan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Namun begitu jika kita baca perangai mereka di dalam kisah ini, susah hendak terima pendapat ini. Maka pandangan yang lebih kuat dan lebih diterima umum dalam kalangan ulama berdasarkan penelitian terhadap kisah mereka dalam Al-Qur’an (Surah Yusuf) adalah bahawa mereka hanyalah orang-orang soleh yang bertaubat, bukan Nabi. Lagi pun, seandainya mereka sudah menjadi baik, mengapa pula Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ perlu mengenangkan kembali perangai mereka dahulu? Macam tidak kena pula. Maka mungkin yang lebih tepat adalah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ perhatikan mereka masih lagi tidak bertaubat, maka inilah masanya untuk menegur mereka seperti yang kita sedang baca di dalam ayat ini.
Jangan sangka apa yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lakukan ini mudah ya. Memang baginda sudah dewasa dan baginda mempunyai kuasa untuk melakukan apa sahaja. Akan tetapi bagi seseorang yang telah melalui trauma semasa kecil, trauma itu akan sentiasa menghantui dirinya. Begitulah yang berlaku kepada seseorang yang telah dewasa apabila berjumpa dengan orang yang telah menzalimi dirinya ketika kecil, dia biasanya akan mengalami tekanan perasaan yang amat tinggi. Tidak kisah lah sama ada yang menzaliminya itu mungkin sudah tua, sudah sakit malah nazak sekali pun, tetapi orang yang telah dizalimi itu tetap terkenang perasaannya yang dahulu. Kadang yang datang berjumpa itu kerana hanyalah untuk bertanya: “Aku hendak tahu kenapa dulu kau buat kat aku begitu?” Namun semasa bertanya itu, tangan dan kakinya tetap menggigil ketakutan dek kerana kesan trauma.
Soalan Kuiz Uji Kefahaman
Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman daripada teks tafsir.
1. Apakah keadaan psikologi abang-abang Nabi Yusuf apabila mereka menghadap baginda buat kali ketiga, dan bagaimanakah ia berbeza daripada kerendahan hati yang sebenar?
2. Apakah ironi di sebalik panggilan ‘Al-Aziz’ yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf terhadap baginda?
3. Jelaskan maksud kalimah مَسَّ (massa) yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf dan bagaimana ia secara ironis mencerminkan perbuatan mereka pada masa lalu.
4. Menurut tafsir, apakah kaitan etimologi antara perkataan صَدَقَ (sedekah) yang diminta oleh abang-abangnya dengan صِدقٌ (kebenaran) yang bakal didedahkan oleh Nabi Yusuf?
5. Mengapakah Nabi Yusuf memasukkan “dan saudaranya” (merujuk kepada Bunyamin) dalam soalannya, dan apakah sifat mulia yang ditunjukkannya melalui tindakan ini?
6. Apakah maksud جَـٰهِلُونَ (jahil) dalam konteks ayat 89, dan bagaimanakah ia berfungsi sebagai kata-kata kemaafan daripada Nabi Yusuf?
7. Teks tersebut menyebutkan dua pendapat mengenai fokus utama abang-abang Nabi Yusuf semasa tiba di Mesir. Huraikan kedua-dua pendapat tersebut.
8. Terangkan ironi yang terkandung dalam permintaan abang-abang Nabi Yusuf untuk “sukatan yang penuh” (فَأَوفِ لَنَا الكَيلَ).
9. Apakah pandangan majoriti ulama yang disebut dalam teks mengenai status kenabian abang-abang Nabi Yusuf?
10. Apakah maklumat menarik dari segi tatabahasa Arab yang dijelaskan dalam teks mengenai penggunaan يَـٰٓأَيُّهَا berbanding يا?
Glosari Istilah Penting
|
Istilah
|
Definisi Berdasarkan Teks
|
|
Al-Aziz
|
Gelaran yang memuliakan yang digunakan untuk merujuk kepada pemerintah atau menteri berkuasa di Mesir. Ia bermaksud seseorang yang mempunyai kuasa mutlak yang tidak dipersoalkan.
|
|
Dakwah
|
Usaha menyeru atau mengajak kepada kebaikan. Teks menyebut Nabi Yusuf menggunakan bahasa lembut kerana tujuan baginda adalah untuk berdakwah, bukan memaki hamun.
|
|
Harf nida’
|
Kata panggilan dalam tatabahasa Arab, seperti يا atau يَـٰٓأَيُّهَا.
|
|
Isrā’īliyyāt
|
Riwayat-riwayat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya atau bersumber daripada tradisi Yahudi dan Kristian, yang bukan merupakan dalil yang kuat dalam Islam.
|
|
Jahil (جَـٰهِلُونَ)
|
Keadaan melakukan sesuatu mengikut perasaan (nafsu dan emosi) dan bukan mengikut akal yang waras. Lawan kepada jahil adalah aqal (akal).
|
|
مَسَّ (Massa)
|
Secara literal bermaksud ‘disentuh’. Dalam konteks ayat, ia membawa maksud yang lebih mendalam iaitu disentuh, diselubungi, seolah-olah dibanjiri atau karam di dalam kesengsaraan.
|
|
مُزجَٮٰةٍ (Muzjāh)
|
Merujuk kepada barang-barang yang murah, tidak bernilai, atau berkualiti rendah. Ia juga boleh bermaksud mata wang yang tidak laku atau sesuatu yang mungkin ditolak kerana nilainya yang kecil.
|
|
صَدَقَ (Sadaqah)
|
Sedekah, derma, atau pemberian atas dasar belas kasihan.
|
|
صِدقٌ (Sidq)
|
Kebenaran. Perkataan ini berkongsi akar kata yang sama dengan sedekah dan asalnya merujuk kepada sesuatu yang lurus, kuat, dan menghancurkan kepalsuan.
|
|
الضُّرُّ (Ad-Dhurr)
|
Kesengsaraan yang datang dari persekitaran luaran, seperti kemiskinan, kebuluran, dan peperangan.
|
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 3 Disember 2025
Rujukan
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Kunci Jawapan
1. Keadaan psikologi mereka adalah kehinaan yang disebabkan oleh keadaan luaran seperti kemiskinan dan kelaparan, bukannya kerendahan hati dalaman yang lahir dari penyesalan. Buktinya, fokus utama mereka adalah mendapatkan makanan, bukannya melaksanakan arahan bapa mereka untuk mencari maklumat tentang Yusuf dan Bunyamin, menunjukkan ego mereka masih tinggi.
2. Ironinya ialah, dahulu merekalah yang bertindak sebagai ‘Al-Aziz’ (yang berkuasa mutlak) ke atas Nabi Yusuf, dengan sewenang-wenangnya mencampakkan baginda ke dalam perigi. Kini, keadaan telah terbalik di mana Nabi Yusuf yang memegang kuasa mutlak ke atas mereka.
3. Kalimah مَسَّ bermaksud disentuh, diselubungi, atau ditenggelami oleh kesengsaraan. Ironinya adalah merekalah punca sebenar yang menenggelamkan Nabi Yusuf (secara literal di dalam perigi) dan bapa mereka dalam lautan kesedihan selama berpuluh-puluh tahun.
4. Perkataan صَدَقَ (sedekah) dan صِدقٌ (kebenaran) berkongsi akar kata yang sama. Permintaan mereka untuk sedekah (belas kasihan material) secara tidak sedar menjadi permintaan untuk kebenaran, yang bakal didedahkan oleh Nabi Yusuf, yang juga dikenali sebagai ‘As-Siddiq’ (Yang Benar).
5. Nabi Yusuf memasukkan “dan saudaranya” untuk mengiktiraf penderitaan yang turut dialami oleh Bunyamin. Ini menunjukkan sifat empati baginda yang luar biasa, di mana baginda tidak menjadikan saat itu hanya tentang penderitaan dirinya sendiri dan mengelak daripada “pertandingan trauma”.
6. Maksud جَـٰهِلُونَ (jahil) ialah melakukan sesuatu mengikut perasaan, nafsu, dan emosi tanpa menggunakan akal. Dengan menyatakan perbuatan mereka dahulu dilakukan ketika mereka ‘jahil’, Nabi Yusuf seolah-olah memberikan alasan bagi pihak mereka, yang menunjukkan nada kemaafan dan kelembutan dalam tegurannya.
7. Pendapat pertama menyatakan mereka tetap perlu mencari makanan sambil menjalankan tugas mencari adik-beradik mereka, jadi mereka memulakan perbualan tentang makanan untuk mendekati Al-Aziz. Pendapat kedua pula mengatakan mereka lebih mementingkan perut yang lapar dan tidak mengambil serius arahan bapa mereka.
8. Permintaan mereka untuk “sukatan yang penuh” adalah seruan untuk keadilan dan layanan yang saksama. Ironinya, permintaan ini datang daripada mereka yang telah melakukan ketidakadilan yang paling besar terhadap adik mereka sendiri pada masa lalu.
9. Menurut teks, pandangan majoriti ulama, terutamanya ulama kontemporari, adalah abang-abang Nabi Yusuf tidak mencapai status kenabian. Mereka hanyalah orang-orang soleh yang telah bertaubat atas dosa mereka.
10. Harf nida’ (kata panggilan) يَـٰٓأَيُّهَا digunakan jika kalimah selepasnya mempunyai ال. Sebaliknya, jika kalimah selepasnya tidak mempunyai ال, maka hanya يا yang digunakan.
LikeLike