Tafsir Surah Yusuf Ayat 88 – 89 (Abang-abang ditegur)

NABI YUSUF MENDEDAHKAN IDENTITINYA

Yusuf Ayat 88: Ini keadaan ke 13. Diingatkan yang semua sekali ada 15 keadaan untuk menceritakan Dakwa surah ini.

فَلَمَّا دَخَلُواْ عَلَيهِ قَالُواْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلعَزِيزُ مَسَّنَا وَأَهلَنَا ٱلضُّرُّ وَجِئنَا بِبِضَـٰعَةٍ مُّزجَٮٰةٍ فَأَوفِ لَنَا ٱلكَيلَ وَتَصَدَّق عَلَينَآ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ يَجزِى ٱلمُتَصَدِّقِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when they entered upon him [i.e., Joseph], they said, “O ‘Azeez, adversity has touched us and our family, and we have come with goods poor in quality, but give us full measure and be charitable to us. Indeed, Allāh rewards the charitable.”

(MALAY)

Maka ketika mereka masuk ke (tempat) Yusuf, mereka berkata: “Hai Al Aziz, kami dan keluarga kami telah ditimpa kesengsaraan dan kami datang membawa barang-barang yang tak berharga, maka sempurnakanlah sukatan untuk kami, dan bersedekahlah kepada kami, sesungguhnya Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bersedekah”.

 

فَلَمّا دَخَلوا عَلَيهِ

Maka ketika mereka masuk ke (tempat) Yusuf,

Selepas dari ayah mereka, kita tidak diberitahu apakah yang terjadi atau apakah tindakan balas anak-anaknya itu. Adakah mereka terima atau tidak? Adakah mereka setuju atau mereka melawan kata-kata ayah mereka itu? Ini tidak diberitahu. Tiba-tiba sekarang kita diberitahu anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام itu kembali ke Mesir semula. Jadi mungkin mereka terima dengan hati yang redha atau mereka rasa malas hendak melayan ayah mereka, mereka ikut sahaja dan pergi ke Mesir.

Ini adalah kali ketiga mereka ke Mesir. Sekarang mereka sedang menghadap kembali kepada Menteri Kewangan (Nabi Yusuf عليه السلام) kerana bapa mereka Nabi Ya’qub suruh mereka mencari Nabi Yusuf dan dua anak yang lain itu.

 

قَالُواْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلعَزِيزُ

mereka berkata: “Hai Al Aziz,

Mereka menyeru Nabi Yusuf عليه السلام dengan panggilan yang memuliakan baginda. Ini kerana mereka hendak memujuk baginda sebagaimana yang diminta dan diajar oleh ayah mereka.

Maklumat menarik: Kenapa kadang kita perhatikan kadang-kadang ada kalimah يَـٰٓأَيُّهَا seperti di dalam ayat ini dan kadang itu hanya يا sahaja seperti sebelum ini يَـٰبَنِىَّ sahaja. Dua-dua adalah harf nida’ (kata panggilan). Tetapi kalau kalimah selepas itu ada ال maka يَـٰٓأَيُّهَا (atau bergantung kepada keadaan, يَـٰٓأَيُّتُهَا) dan kalau tidak ada ال maka hanya يا sahaja.

 

مَسَّنا وَأَهلَنَا الضُّرُّ

kami dan keluarga kami telah ditimpa kesengsaraan

Kalimah مَسَّ bermaksud disentuh secara literal. Di sini ia bermaksud disentuh, diselubungi, seolah-olah dibanjiri atau karam di dalamnya, tidak boleh buat apa-apa. Kalimah الضُّرُّ merujuk kepada kesengsaraan kerana kemiskinan, kebuluran, peperangan dan sebagainya. Iaitu kesengsaraan yang datang dari persekitaran kita. Kalau kita baca ayat sebelum ini tentang arahan ayah mereka, tentulah perkataan pertama yang kita akan dengar di sini adalah mereka merayu untuk berjumpa dengan adik mereka, bukan? Itulah yang kita jangkakan kalau mereka anak yang taat dengan ayah mereka. Mereka sepatutnya mengadu yang mereka pulang tanpa adik mereka dan ayah mereka sampai jatuh sakit dan sekarang ayah mereka merayu untuk dapatkan maklumat tentang adik mereka itu. Tapi tidak. Sekarang kita baca mereka mengadu tentang nasib malang yang menimpa mereka. Mereka sibuk bercerita yang tidak ada makanan di tempat mereka (Kan’an) yang menyebabkan mereka terpaksa bermusafir untuk mendapatkan makanan di Mesir. Jauh sungguh perjalanan mereka itu untuk sampai ke sana. Jadi mana soalan tentang adik mereka? Ada dua pendapat tentang hal ini:

1. Jadi walaupun datang untuk mencari adik beradik, tapi mereka juga memerlukan bahan makanan juga. Mungkin mereka pun sudah mula bertanya tentang Nabi Yusuf dan Bunyamin tapi mereka pun lapar juga. Satu lagi pendapat adalah mereka mencuba mendekati Al-Aziz itu. Mereka pun tentu tidak boleh terus minta dilepaskan Bunyamin jadi mereka mula cakap tentang makanan yang mereka perlukan. Macam kalau kita pergi berjumpa seseorang dengan suatu hajat yang penting, selalunya kita akan bersembang dulu hal-hal lain seperti rumah dia cantik, mana anaknya dan sebagainya. Jadi kalau Al-Aziz nampak berlembut dengan mereka dan beri apa yang mereka minta, barulah mereka akan minta sesuatu yang berat pula.

2. Atau, ada pendapat yang mengatakan mereka datang itu bukanlah hendak mencari Nabi Yusuf dan Bunyamin sangat, tapi lebih mementingkan perut mereka yang kelaparan sahaja. Yang ayah mereka suruh itu mereka bukan ambil serius pun, tapi sudah malah hendak layan sahaja. Tapi mereka tetap juga pergi kerana pada mereka, mereka boleh dapat makanan, lagi pun ayah sudah suruh mereka pergi. Maka ini adalah salah satu pengajaran psikologi yang paling penting dalam kisah ini.

Terdapat perbezaan besar antara kehinaan yang disebabkan oleh keadaan luaran (seperti kemiskinan dan kelaparan) dengan kerendahan hati dalaman (penyesalan sebenar atas dosa yang telah dilakukan). Walaupun adik-beradik Yusuf kelihatan hancur, terpaksa merayu, dan meminta sedekah (satu keadaan yang amat merendahkan maruah) hati mereka belum lagi benar-benar insaf. Mereka telah direndahkan oleh keadaan, tetapi watak mereka belum lagi menjadi rendah hati. Ego mereka masih lagi tinggi. Buktinya? Mereka mengabaikan arahan jelas bapa mereka untuk mencari Nabi Yusuf dan mendapatkan maklumat tentang Bunyamin. Sebaliknya, apabila tiba di hadapan pemerintah Mesir, fokus utama mereka hanyalah keperluan material semata-mata: makanan. Ini menunjukkan bahawa keutamaan mereka tidak berubah. Dan Nabi Yusuf tengok sahaja kelakuan abang-abangnya itu. Tentu baginda bercakap di dalam hatinya: Takkan ayah suruh kalian datang hanya tentang makanan sahaja? Takkan ayah tidak suruh tanya tentang anaknya Bunyamin? Memang dulu apabila kalian minta dilepaskan Bunyamin, aku telah tolak, tapi takkan kalian tidak mahu merayu lagi? 

Ini mengajar kita bahawa status luaran tidak mencerminkan keadaan dalaman. Anda boleh menjadi seorang jutawan tetapi tetap rendah hati, dan anda juga boleh tidak memiliki apa-apa untuk dibanggakan tetapi menjadi manusia paling angkuh di muka bumi. Abang-abang ini telah direndahkan oleh keadaan, tetapi itu tidak bermakna watak mereka telah menjadi rendah hati.

 

وَجِئنَا بِبِضَـٰعَةٍ مُّزجَٮٰةٍ

dan kami datang membawa barang-barang yang tak berharga, 

Apabila datang untuk mendapatkan makanan, mereka kenalah bawa barang gantian (mengikut sistem barter). Mereka memang datang dengan membawa barang, tetapi mereka mengaku yang mereka bawa barang مُزجاةٍ (barang murah tidak bernilai). Kalimah مُزجَٮٰةٍ dari kata dasar ز ج و yang bermaksud menggerakkan, mendesak, sesuatu yang kena tolak baru boleh gerak, dalam keadaan yang betul, mata wang yang tidak bernilai, bertindak dengan bersungguh-sungguh, mencapainya sesuatu tujuan, benda kecil yang mungkin ditolak (tidak diterima) kerana nilainya yang kecil itu, sedikit, lemah.

Ini kerana mereka memang dalam keadaan dan ekonomi sedang teruk sangat sekarang kerana kekurangan makanan. Dalam riwayat ada mengatakan yang mereka bawa selipar dan sebagainya, jenis barang yang memang tidak ada harga. Kalau zaman sekarang, hendak bagi fakir miskin pun tidak lulus. Namun mereka bawa juga sebab tidak ada barang lain langsung yang ada pada mereka kerana mereka miskin sangat pada waktu itu.

 

فَأَوفِ لَنَا الكَيلَ

maka sempurnakanlah sukatan untuk kami,

Walaupun mereka bawa barang yang tidak ada harga, tetapi mereka masih berharap semoga Nabi Yusuf عليه السلام penuhkan barang untuk mereka kerana mereka amat memerlukan bantuan makanan dari Mesir. Kita telah sebutkan satu muatan adalah karung yang boleh dibawa oleh seekor unta. Mereka sedar yang tukaran yang mereka bawa itu tidak layak, tapi tolonglah bagi kami muatan yang penuh.

Setiap perkataan yang diucapkan oleh adik-beradik Nabi Yusuf kepada baginda setakat ini dipenuhi dengan ironi yang menusuk kalbu, yang tidak mereka sedari sama sekali. Kata-kata rayuan mereka secara tidak langsung melukiskan kembali kejahatan mereka pada masa lalu.

Panggilan ‘Al-Aziz’ (Yang Maha Berkuasa): Mereka memanggil Nabi Yusuf dengan gelaran ini, yang bermaksud seseorang yang mempunyai kuasa mutlak yang tidak dipersoalkan lagi. Ironinya, suatu ketika dahulu, merekalah yang bertindak sebagai ‘Al-Aziz’ ke atas Yusuf. Mereka mempunyai kuasa penuh dengan pelbagai pilihan kezaliman terbentang di hadapan mereka dan mereka memilih untuk mencampakkannya ke dalam perigi tanpa sesiapa dapat menghalang. Dulu Nabi Yusuf yang tidak ada kuasa untuk menghalang mereka; Kini, keadaan telah berbalik. Baginda boleh lakukan apa-apa sahaja terhadap mereka. 

Mengadu Tentang ‘Kemudaratan’: Mereka mengadu, “kemudaratan telah menimpa kami dan keluarga kami.” Namun, merekalah punca sebenar yang membawa kemudaratan dan kesedihan yang tidak terhingga kepada Yusuf dan bapa mereka, Nabi Ya’qub a.s., yang menenggelamkan baginda dalam lautan air mata selama berpuluh-puluh tahun. Menarik kalimah مَسَّ yang mereka gunakan yang bermaksud ditenggelami sedangkan merekalah dahulu yang menenggelamkan adik dan ayah mereka dalam kepayahan dan kesedihan. Malah adik mereka Nabi Yusuf itu mereka telah masukkan ke dalam telaga yang hampir ditenggelami! Mereka tidak sedar yang mereka sekarang bercakap dengan orang yang mereka telah kenakan kesengsaraan. Sekarang mereka mengadu pula tentang kesengsaraan mereka pula! 

Membawa Barangan Tidak Bernilai: Mereka membawa barangan dagangan yang berkualiti rendah, yang digambarkan sebagai sesuatu yang orang akan tolak ke tepi. Ini sangat ironis kerana Nabi Yusuf sendiri pernah dianggap seperti barang dagangan yang tidak bernilai oleh mereka, lalu disingkirkan dan dijual dengan harga yang murah. Ingat lagi Ayat 20? وَشَرَوهُ بِثَمَنِۭ بَخسٍ دَرٰهِمَ مَعدُودَةٍ (Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham saja). Sekarang mereka pula barang yang tidak berharga. 

Meminta ‘Sukatan Penuh’: Permintaan mereka untuk “sukatan yang penuh” adalah seruan untuk keadilan dan layanan yang saksama. Betapa ironisnya permintaan ini datang dari mulut orang-orang yang telah melakukan ketidakadilan yang paling besar terhadap adik mereka sendiri. Meminta sukatan yang penuh ada analogi kepada meminta keadilan sebenarnya. Ironisnya mereka dahulu telah berlaku tidak adil yang sangat kepada adiknya itu tapi kali ini mereka meminta keadilan?

 

وَتَصَدَّق عَلَينا

dan bersedekahlah kepada kami,

Ini kerana mereka tahu yang benda yang mereka bawa sebagai ganti itu tidak berbaloi dengan apa yang mereka minta, maka mereka minta Nabi Yusuf عليه السلام bersedekahlah kepada mereka. Kena bagi dalam bentuk sedekah kerana tidak ada bentuk jual beli kerana pertukaran tidak layak.

Atau, tadi mereka minta muatan yang penuh dengan tukaran yang tidak senilai, sekarang mereka minta lebih lagi sebagai sedekah dari Nabi Yusuf. Ini menimbulkan isu: bukankah mereka itu keluarga Nabi maka bukankah mereka tidak boleh makan pemberian sedekah? Jadi ada dua kemungkinan:

1. Mereka bukan minta sedekah sebenarnya, tapi mereka minta Nabi Yusuf berikan juga takaran makanan kepada mereka sebagai balasan dari pemberian mereka, walaupun tidak bernilai. Jadi sedekah ini sebenarnya adalah balasan, bukan sedekah semata.

2. Berkemungkinan juga syariat Nabi tidak boleh menerima sedekah itu bukan syariat Nabi Ya’qub.

Apabila adik-beradik Yusuf meminta sedekah ini, mereka menggunakan perkataan yang mempunyai kaitan etimologi yang sangat mendalam. Perkataan صَدَقَ (sedekah) berkongsi akar yang sama dengan صِدقٌ (kebenaran). Dalam bahasa Arab Klasik, صِدقٌ bukanlah sekadar kejujuran yang pasif. Ia asalnya adalah صَدقٌ yang merujuk kepada sesuatu yang lurus, kuat, dan tidak boleh dipatahkan, seperti lembing atau pedang yang sempurna. Ia adalah sesuatu yang bersifat menyerang, menghancurkan. Dan ia adalah analogi kepada sesuatu yang membedah kepalsuan, dan menghancurkan kebatilan tanpa ragu-ragu. Oleh kerana itulah kebenaran (صِدقٌ) digambarkan sebagai senjata yang dilancarkan untuk menghancurkan kepalsuan.

Nabi Yusuf sebelum ini pernah digelar sebagai ‘As-Siddiq’ (Yang Benar). Ini disebut di dalam Ayat 46: يُوسُفُ أَيُّهَا ٱلصِّدِّيقُ (Yusuf, hai orang yang amat dipercayai) dan Ayat 51 أَنَا۠ رَاوَدتُّهُۥ عَن نَّفْسِهِۦ وَإِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلصَّٰدِقِينَ (akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku), dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar). Kini, apabila adik-beradiknya datang meminta صَدَقَ (sedekah), secara tidak langsung dan tanpa mereka sedari, mereka juga seolah-olah meminta صِدقٌ (kebenaran). Dan itulah yang bakal mereka terima – kebenaran yang akan meruntuhkan dunia pembohongan mereka. Permintaan mereka untuk belas kasihan material mengandungi permintaan tersembunyi untuk pendedahan kebenaran yang menyakitkan. Mereka sahaja tidak sangka. Dan ini akan berlaku tidak lama lagi yang kita akan baca. Nabi Yusuf akan mendedahkan perkara sebenar iaitu kebenaran.

 

إِنَّ ٱللَّهَ يَجزِى ٱلمُتَصَدِّقِينَ

sesungguhnya Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bersedekah”.

Mereka memberi motivasi untuk Nabi Yusuf عليه السلام bersedekah kepada mereka dengan mengatakan yang Allah ‎ﷻ akan balas dengan kebaikan kepada orang yang bersedekah. Ini memang benar. Akan tetapi mereka tidak tahu pun yang Nabi Yusuf itu adalah seorang Muslim, jadi kenapa cerita ganjaran sedekah pula kepada baginda? Sebenarnya ia juga tidak salah kerana ganjaran orang bersedekah ini akan dibalas juga kepada orang bukan Islam, tapi di dunia. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik :

“Sesungguhnya Allah tidak akan menzalimi seorang mukmin walau dengan satu kebaikan pun; dia akan diberikan balasan dengannya di dunia, dan dia juga akan diberi ganjaran dengannya di akhirat. Adapun orang kafir, maka dia akan diberi makan (dibayar atau dibalas) dengan kebaikan yang diperbuatnya kerana Allah di dunia, sehinggalah apabila dia menuju akhirat, dia tidak mempunyai satu kebaikan pun untuk dibalas dengannya.”

Sahih Muslim (No. 2808)

Pandai mereka menggunakan nama Allah di sini. Padahal mereka dulu tidak balas dengan kebaikan pun kepada adik mereka. Adik mereka hendak hidup pun mereka halang; adik mereka hendak tinggal dengan ayah mereka pun mereka buang jauh entah ke mana. Tapi pandai pula mereka berdakwah kepada Nabi Yusuf! Begitulah ada orang yang menzalimi tapi pandai menggunakan agama sebagai topeng mereka. Contohnya ada yang zalim kepada isteri tapi pandai pula dia kata: “Bukan Nabi ajar isteri kena taat kepada suami ke?” Orang yang macam ini memang menjengkelkan apabila menggunakan agama untuk kepentingan diri mereka.


 

Yusuf Ayat 89: Sekarang Nabi Yusuf عليه السلام buka maklumat yang sebenarnya. Ini kerana baginda sedih dengan kata-kata adik beradiknya itu. Walaupun mereka itu ego masih tinggi, tapi kesusahan yang mereka alami bukan melibatkan mereka sahaja, akan tetapi keluarga mereka juga seperti yang mereka telah cakap tadi.

قَالَ هَل عَلِمتُم مَّا فَعَلتُم بِيُوسُفَ وَأَخِيهِ إِذ أَنتُم جَـٰهِلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Do you know what you did with Joseph and his brother when you were ignorant?”

(MALAY)

Yusuf berkata: “Apakah kamu mengetahui (kejelekan) apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya ketika kamu tidak mengetahui (akibat) perbuatanmu itu?”.

 

قالَ هَل عَلِمتُم مّا فَعَلتُم بِيوسُفَ وَأَخيهِ

Yusuf berkata: “Apakah kamu mengetahui apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya

Kerana kesusahan yang dialami oleh keluarganya itu, baginda sekarang akan memberitahu perkara sebenar. Halangan untuk baginda buka rahsia itu sudah tidak ada. Allah sudah benarkan baginda memberitahu perkara yang sebenarnya. Baginda rasa sedih dengan apa yang menimpa keluarganya di Kan’an maka sudah sampai masa untuk membantu mereka.

Ada juga riwayat yang mengatakan Nabi Ya’qub menyampaikan satu surat juga kepada Al-Aziz Mesir yang membuatkan baginda rasa terkesan dan sudah tidak masanya untuk baginda memperkenalkan diri baginda. Berdasarkan riwayat-riwayat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya atau sumber Isrā’īliyyāt (yang bukan merupakan dalil yang kuat dalam Islam), berikut adalah teks surat yang dikatakan dihantar oleh Nabi Ya’qub kepada Nabi Yusuf ketika baginda (Yusuf) masih dikenali sebagai Al-‘Aziz (pembesar) Mesir:

Daripada Ya’qub, Nabi Allah, anak kepada Ishaq, anak kepada Ibrahim, Kekasih Allah, kepada Al-‘Aziz (Pembesar) Mesir.

“Amma ba’du (Seterusnya):

“Kami adalah satu keluarga yang diuji dengan bala dan musibah. Dahulu, kami mempunyai anak yang paling kami cintai, yang telah pergi dan hilang daripada kami. Kesedihan atas kehilangannya telah membuatkan mata ayah menjadi buta, dan kami hanya bersabar mengharapkan kurniaan daripada Allah.

“Kini, engkau telah menahan salah seorang anakku, yang merupakan penghibur kami yang tinggal.

“Wahai Al-‘Aziz, ketahuilah, kami adalah kaum yang tidak pernah mencuri. Kami adalah keturunan para Nabi; kami tidak mungkin memakan hasil curian, dan kami tidak mungkin mencuri.

“Sungguh, kami adalah keluarga yang telah didatangi musibah secara bergilir-gilir.

“Kami merayu kepadamu, wahai Pembesar Mesir, atas nama Allah, Tuhan semesta alam, dan demi kemuliaan keturunan kami:

“Jika engkau melepaskan anak kami yang kedua ini, engkau telah melepaskan seorang ayah yang disayangi daripada kehinaan dan penderitaan.

“Kami memohon ihsan (belas kasihan) daripadamu, kerana sesungguhnya Allah membalas baik bagi orang-orang yang berlaku ihsan.

“Maka, lepaskanlah anak kami kepadanya, nescaya Allah akan melepaskan kesusahan yang menimpamu.”

Sekarang Nabi Yusuf عليه السلام tanya kepada mereka: Adakah kamu tahu tentang Yusuf عليه السلام dan adiknya Bunyamin ini? Apakah yang kamu telah lakukan terhadap mereka? Kalimat هَل عَلِمتُم مّا فَعَلتُم agak pelik apabila ditanya kepada mereka, bukan? Tentulah mereka tahu kerana mereka yang buat, bukan? Kenapa ditanya lagi? Kerana apabila seseorang itu melakukan sesuatu ketika marah, benci dan dengki, mereka seolah-olah tidak tahu. Mereka tidak ‘sedar’ apa yang mereka lakukan. Mereka tidak sedar kesan kepada perbuatan mereka itu. Mereka sudah tidak fikir halal haram, Allah suka atau tidak. Macam kita jugalah, tahu sesuatu perkara itu berdosa, tapi kita buat juga, bukan?

Kita sudah tahu apa yang mereka buat terhadap Nabi Yusuf عليه السلام dalam kisah yang disebut dalam surah ini dari mula, tetapi bagaimana pula dengan Bunyamin? Memang tidak disebut kisah beliau dalam surah ini, tetapi tentulah dapat kita ambil kesimpulan dari isyarat yang kita baca dalam ayat ini. Tentu mereka juga telah menyusahkan Bunyamin itu kerana beliau merupakan saudara kandung seibu dengan Yusuf عليه السلام. Sudah tentulah Bunyamin mengadu kepada Nabi Yusuf عليه السلام sementara beliau tinggal bersama baginda.

Akhirnya, setelah puluhan tahun penantian, tiba saatnya kebenaran disingkapkan. Nabi Yusuf melihat abang-abangnya telah hancur dari segi ekonomi, tetapi hati nurani mereka masih belum tersentuh. Mereka masih belum mengakui dosa mereka. Maka, inilah masanya untuk sebuah konfrontasi yang akan memulakan proses taubat mereka. Namun, dengarkanlah baik-baik kata-kata pertama yang keluar dari mulut Nabi Yusuf: “Tahukah kamu apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya…”.

Pada saat kemenangannya, Yusuf tidak menjadikan detik itu hanya tentang dirinya. Dengan memasukkan “saudaranya” (Bunyamin), dia menunjukkan tahap empati yang luar biasa. Dia mengiktiraf penderitaan Bunyamin juga dan tidak terlibat dalam “pertandingan trauma”—di mana seseorang cuba membuktikan penderitaannya lebih hebat. Padahal, penderitaan Yusuf jauh lebih teruk. Macam Bunyamin, abang-abangnya tidak cuba pun bunuh dia, bukan? Tapi Nabi Yusuf mengiyakan sahaja dugaan yang Bunyamin ceritakan itu. Selalu kalau kita ceritakan masalah kita, orang yang dengar itu akan cerita masalah dia yang lagi besar, macam pertandingan pula. Mereka akan kata, “Kau ingat kau susah? Aku lagi susah tau! Aku kena itu, aku kena ini….!” Maksudnya mereka menidakkan aduan dari orang yang mengadu itu seolah-olah ia tidak ada apa-apa. 

Inilah puncaknya, saat untuk dia menebus segala deritanya. Inilah waktunya untuk dia menuntut, “Tahukah kamu apa yang telah kamu lakukan kepadaku?” Momen ini sepatutnya milik dia seorang. Tetapi tidak. Ini bukan hanya tentangnya; ini tentang dia dan saudaranya. Di sinilah kita melihat keagungan hati seorang Yusuf. Baginda tidak lupakan penderitaan yang dialami oleh adiknya itu juga. Seolah-olah sama sahaja penderitaannya dan penderitaan adiknya itu, sedangkan kalau kita lihat, ianya tidak sama. Mereka kononnya berjanji selepas buang Yusuf, mereka akan jadi baik, bukan? Ingat lagi mereka kata apa di dalam Ayat 9? وَتَكُونُواْ مِنۢ بَعدِهِۦ قَومًا صَـٰلِحِينَ (dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik). Tapi tidak pun mereka jadi budak-budak baik. 

Sekarang Nabi Yusuf sebut nama ‘Yusuf’ itu di hadapan mereka. Bayangkan perasaan mereka ketika itu! Ingat, mereka tidak pernah pun sebut namanya tapi cuma sebut أَخٌ لَّهُ (saudaranya) sahaja di dalam Ayat 77 فَقَد سَرَقَ أَخٌ لَّهُ ۥ مِن قَبلُ‌ (maka sesungguhnya, telah pernah mencuri pula saudaranya sebelum itu)

Yusuf namanya sendiri (“Yusuf”) tetapi merujuk kepada Bunyamin sebagai “saudaranya”. Ini adalah satu sindiran yang tajam: kezaliman mereka terhadap Bunyamin bukanlah kerana peribadi Bunyamin, tetapi semata-mata kerana hubungannya dengan Yusuf. Setiap kali mereka melihat Bunyamin, mereka melihat bayangan Yusuf.

 

إِذ أَنتُم جَـٰهِلُونَ

ketika kamu tidak mengetahui (akibat) perbuatanmu itu?”.

Ingatkah lagi ketika itu kamu semua jahil? ‘Jahil’ maksudnya melakukan sesuatu mengikut perasaan, bukan mengikut akal. Apa sahaja nafsu dan emosi suruh buat, mereka buat; apa sahaja lalu dalam kepala, mereka cakap tanpa fikir lagi. Ini kerana lawan kepada jahil adalah aqal, maksudnya apabila jahil, akan sudah tidak berfungsi lagi. Mereka telah benci kepada Nabi Yusuf عليه السلام dan Bunyamin dahulu sampaikan mereka telah melakukan perkara yang tidak baik terhadap mereka berdua. Mereka pun tahu yang apa yang mereka lakukan itu salah kerana mereka bukan bodoh dan mereka pun anak seorang Nabi. Namun oleh kerana terlalu mengikut perasaan, mereka sanggup buat perkara itu.

Maka di sini Nabi Yusuf berkata bukan dengan nada marah akan tetapi kata-kata yang mengandungi kemaafan. Kerana baginda sudah siap-siap cakap yang ketika itu mereka jahil, tidak tahu apa-apa. Macam terus bagi alasan pula bagi mereka. Beginilah juga doa Nabi Muhammad terhadap Penduduk Thaif setelah baginda dihalau dan disakiti oleh mereka,

“Bahkan, aku berharap Allah akan mengeluarkan dari tulang sulbi mereka (keturunan mereka) orang yang akan menyembah Allah Yang Maha Esa, dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu pun.” Kemudian, Baginda menambah dengan doa yang ringkas tetapi penuh makna:

“Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

Nabi Yusuf menggunakan bahasa lembut dengan mereka dan tidak memaki mereka kerana tujuan baginda adalah untuk berdakwah. Memang kalau berdakwah tapi menggunakan bahasa makian, itu bukanlah dakwah yang baik.

Malah ada yang kata, kalimat إِذ أَنتُم جَـٰهِلُونَ ini adalah Allah memberi isyarat yang abang-abang itu tidak bersalah mana. Iaitu seolah-olah Nabi Yusuf nampak mereka ketika itu sudah jadi orang baik, cuma dahulu sahaja جَـٰهِلُونَ kerana kalimah إِذ itu isyarat kepada dahulu. Malah ada juga pendapat yang mengatakan abang-abang itu pun jadi Nabi juga. Majoriti ulama, terutamanya dari kalangan ulama mutakhir (kontemporari) dan para penyelidik, berpendapat bahawa abang-abang Nabi Yusuf tidak mencapai status kenabian. Akan tetapi terdapat sebahagian ulama klasik (terutama dari kalangan salaf) yang berpendapat bahawa abang-abang Nabi Yusuf mungkin telah mencapai status kenabian selepas kejadian itu, iaitu setelah mereka bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Pendapat itu kata ini tidak mustahil kerana mereka berasal dari keturunan Nabi Ibrahim dan Nabi Ishaq.

Tapi kalau kita baca perangai mereka di dalam kisah ini, susah hendak terima pendapat ini. Maka pandangan yang lebih kuat dan lebih diterima umum dalam kalangan ulama berdasarkan penelitian terhadap kisah mereka dalam Al-Qur’an (Surah Yusuf) adalah bahawa mereka hanyalah orang-orang soleh yang bertaubat, bukan Nabi. Lagi pun, kalau mereka sudah jadi baik, buat apa Nabi Yusuf hendak mengenang kembali perangai mereka dahulu? Macam tidak kena pula. Maka mungkin yang lebih tepat adalah Nabi Yusuf perhatikan mereka masih lagi tidak bertaubat, maka inilah masanya untuk menegur mereka seperti yang kita sedang baca di dalam ayat ini.

Dan jangan sangka apa yang Nabi Yusuf lakukan ini mudah ya. Memang baginda sudah dewasa dan baginda ada kuasa untuk melakukan apa sahaja. Akan tetapi bagi seseorang yang telah melalui trauma semasa kecil, ia akan sentiasa menghantuinya. Begitulah orang yang sudah besar apabila dia berjumpa dengan orang yang telah menzalimi dia ketika kecil, akan mengalami tekanan perasaan yang amat tinggi. Yang menzalimi dia itu mungkin sudah tua, sudah sakit malah nazak sekali pun, tapi orang yang telah dizalimi itu tetap terkenang perasaannya yang dahulu. Kadang yang datang berjumpa itu kerana hendak tanya: “Aku hendak tahu kenapa dulu kau buat kat aku begitu?” Tapi semasa bertanya itu, tangan dan kakinya tetap bergetar.

Soalan Kuiz Uji Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman daripada teks tafsir.

1. Apakah keadaan psikologi abang-abang Nabi Yusuf apabila mereka menghadap baginda buat kali ketiga, dan bagaimanakah ia berbeza daripada kerendahan hati yang sebenar?

2. Apakah ironi di sebalik panggilan ‘Al-Aziz’ yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf terhadap baginda?

3. Jelaskan maksud kalimah مَسَّ (massa) yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf dan bagaimana ia secara ironis mencerminkan perbuatan mereka pada masa lalu.

4. Menurut tafsir, apakah kaitan etimologi antara perkataan صَدَقَ (sedekah) yang diminta oleh abang-abangnya dengan صِدقٌ (kebenaran) yang bakal didedahkan oleh Nabi Yusuf?

5. Mengapakah Nabi Yusuf memasukkan “dan saudaranya” (merujuk kepada Bunyamin) dalam soalannya, dan apakah sifat mulia yang ditunjukkannya melalui tindakan ini?

6. Apakah maksud جَـٰهِلُونَ (jahil) dalam konteks ayat 89, dan bagaimanakah ia berfungsi sebagai kata-kata kemaafan daripada Nabi Yusuf?

7. Teks tersebut menyebutkan dua pendapat mengenai fokus utama abang-abang Nabi Yusuf semasa tiba di Mesir. Huraikan kedua-dua pendapat tersebut.

8. Terangkan ironi yang terkandung dalam permintaan abang-abang Nabi Yusuf untuk “sukatan yang penuh” (فَأَوفِ لَنَا الكَيلَ).

9. Apakah pandangan majoriti ulama yang disebut dalam teks mengenai status kenabian abang-abang Nabi Yusuf?

10. Apakah maklumat menarik dari segi tatabahasa Arab yang dijelaskan dalam teks mengenai penggunaan يَـٰٓأَيُّهَا berbanding يا?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Teks
Al-Aziz
Gelaran yang memuliakan yang digunakan untuk merujuk kepada pemerintah atau menteri berkuasa di Mesir. Ia bermaksud seseorang yang mempunyai kuasa mutlak yang tidak dipersoalkan.
Dakwah
Usaha menyeru atau mengajak kepada kebaikan. Teks menyebut Nabi Yusuf menggunakan bahasa lembut kerana tujuan baginda adalah untuk berdakwah, bukan memaki hamun.
Harf nida’
Kata panggilan dalam tatabahasa Arab, seperti يا atau يَـٰٓأَيُّهَا.
Isrā’īliyyāt
Riwayat-riwayat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya atau bersumber daripada tradisi Yahudi dan Kristian, yang bukan merupakan dalil yang kuat dalam Islam.
Jahil (جَـٰهِلُونَ)
Keadaan melakukan sesuatu mengikut perasaan (nafsu dan emosi) dan bukan mengikut akal yang waras. Lawan kepada jahil adalah aqal (akal).
مَسَّ (Massa)
Secara literal bermaksud ‘disentuh’. Dalam konteks ayat, ia membawa maksud yang lebih mendalam iaitu disentuh, diselubungi, seolah-olah dibanjiri atau karam di dalam kesengsaraan.
مُزجَٮٰةٍ (Muzjāh)
Merujuk kepada barang-barang yang murah, tidak bernilai, atau berkualiti rendah. Ia juga boleh bermaksud mata wang yang tidak laku atau sesuatu yang mungkin ditolak kerana nilainya yang kecil.
صَدَقَ (Sadaqah)
Sedekah, derma, atau pemberian atas dasar belas kasihan.
صِدقٌ (Sidq)
Kebenaran. Perkataan ini berkongsi akar kata yang sama dengan sedekah dan asalnya merujuk kepada sesuatu yang lurus, kuat, dan menghancurkan kepalsuan.
الضُّرُّ (Ad-Dhurr)
Kesengsaraan yang datang dari persekitaran luaran, seperti kemiskinan, kebuluran, dan peperangan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 88 – 89 (Abang-abang ditegur)”

  1. Kunci Jawapan
    1. Keadaan psikologi mereka adalah kehinaan yang disebabkan oleh keadaan luaran seperti kemiskinan dan kelaparan, bukannya kerendahan hati dalaman yang lahir dari penyesalan. Buktinya, fokus utama mereka adalah mendapatkan makanan, bukannya melaksanakan arahan bapa mereka untuk mencari maklumat tentang Yusuf dan Bunyamin, menunjukkan ego mereka masih tinggi.
    2. Ironinya ialah, dahulu merekalah yang bertindak sebagai ‘Al-Aziz’ (yang berkuasa mutlak) ke atas Nabi Yusuf, dengan sewenang-wenangnya mencampakkan baginda ke dalam perigi. Kini, keadaan telah terbalik di mana Nabi Yusuf yang memegang kuasa mutlak ke atas mereka.
    3. Kalimah مَسَّ bermaksud disentuh, diselubungi, atau ditenggelami oleh kesengsaraan. Ironinya adalah merekalah punca sebenar yang menenggelamkan Nabi Yusuf (secara literal di dalam perigi) dan bapa mereka dalam lautan kesedihan selama berpuluh-puluh tahun.
    4. Perkataan صَدَقَ (sedekah) dan صِدقٌ (kebenaran) berkongsi akar kata yang sama. Permintaan mereka untuk sedekah (belas kasihan material) secara tidak sedar menjadi permintaan untuk kebenaran, yang bakal didedahkan oleh Nabi Yusuf, yang juga dikenali sebagai ‘As-Siddiq’ (Yang Benar).
    5. Nabi Yusuf memasukkan “dan saudaranya” untuk mengiktiraf penderitaan yang turut dialami oleh Bunyamin. Ini menunjukkan sifat empati baginda yang luar biasa, di mana baginda tidak menjadikan saat itu hanya tentang penderitaan dirinya sendiri dan mengelak daripada “pertandingan trauma”.
    6. Maksud جَـٰهِلُونَ (jahil) ialah melakukan sesuatu mengikut perasaan, nafsu, dan emosi tanpa menggunakan akal. Dengan menyatakan perbuatan mereka dahulu dilakukan ketika mereka ‘jahil’, Nabi Yusuf seolah-olah memberikan alasan bagi pihak mereka, yang menunjukkan nada kemaafan dan kelembutan dalam tegurannya.
    7. Pendapat pertama menyatakan mereka tetap perlu mencari makanan sambil menjalankan tugas mencari adik-beradik mereka, jadi mereka memulakan perbualan tentang makanan untuk mendekati Al-Aziz. Pendapat kedua pula mengatakan mereka lebih mementingkan perut yang lapar dan tidak mengambil serius arahan bapa mereka.
    8. Permintaan mereka untuk “sukatan yang penuh” adalah seruan untuk keadilan dan layanan yang saksama. Ironinya, permintaan ini datang daripada mereka yang telah melakukan ketidakadilan yang paling besar terhadap adik mereka sendiri pada masa lalu.
    9. Menurut teks, pandangan majoriti ulama, terutamanya ulama kontemporari, adalah abang-abang Nabi Yusuf tidak mencapai status kenabian. Mereka hanyalah orang-orang soleh yang telah bertaubat atas dosa mereka.
    10. Harf nida’ (kata panggilan) يَـٰٓأَيُّهَا digunakan jika kalimah selepasnya mempunyai ال. Sebaliknya, jika kalimah selepasnya tidak mempunyai ال, maka hanya يا yang digunakan.

    Like

Leave a comment