Tafsir Surah Yusuf Ayat 78 – 79 (Memujuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)

Yusuf Ayat 78: Dalam masa yang sama, mereka bimbang dan takut apa yang akan berlaku dengan perkara itu. Mereka terkenang yang mereka sudah berjanji dengan bapa mereka untuk menjaga adik mereka dan membawanya pulang dengan selamat. Maka mereka memujuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk melepaskan adik mereka itu.

قَالُواْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلعَزِيزُ إِنَّ لَهُ ۥۤ أَبًا شَيخًا كَبِيرًا فَخُذ أَحَدَنَا مَڪَانَهُ ۥۤ‌ۖ إِنَّا نَرَٮٰكَ مِنَ ٱلمُحسِنِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “O ‘Azeez,¹ indeed he has a father [who is] an old man, so take one of us in place of him. Indeed, we see you as a doer of good.”

  • Addressing Joseph, who now held the title of “al-‘Azeez.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Wahai Al Aziz, sesungguhnya dia mempunyai bapa yang sudah lanjut usianya, lantaran itu ambillah salah seorang di antara kami sebagai gantinya, sesungguhnya kami melihat kamu termasuk orang-orang yang berbuat baik”.

 

قَالُواْ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلعَزِيزُ

Mereka berkata: “Wahai Al Aziz, 

Sekarang mereka bercakap dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula untuk memujuk baginda. Mereka menggunakan gelaran penghormatan kepada baginda. Mereka masih tidak kenal bahawa Al Aziz yang berdiri di hadapan mereka adalah adik mereka sendiri! Ini juga bermakna Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengambil tempat tuannya Al-Aziz dahulu. Ia bermaksud sebuah pangkat bagi orang yang berkuasa di Mesir.

Perhatikan gelaran ٱلعَزِيزُ untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di sini. Sebelum ini pun kita sudah belajar ٱلعَزِيزُ yang menjadi tuan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu di mana si isterinya itu telah menggoda Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ serta mengakibatkan baginda dimasukkan ke dalam penjara. Ini adalah sebuah gelaran dan ٱلْعَزِيزُ (Al-‘Azīz) secara literal bermaksud Yang Mulia, Yang Berkuasa, Yang Kuat, Yang Gagah, atau Yang Tidak Boleh Dikalahkan. Dalam konteks pemerintahan Mesir kuno, ٱلْعَزِيزُ adalah gelaran diraja atau jawatan tinggi yang merujuk kepada Menteri Kewangan, Perbendaharaan, atau Perdana Menteri yang bertanggungjawab menguruskan kekayaan dan urusan ekonomi negara.

Ternyata Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengambil tempat Al-‘Azīz yang terdahulu, iaitu jawatan yang paling berkuasa di bawah Raja, yang membolehkan baginda merancang dan melaksanakan strategi simpanan makanan untuk menghadapi musim kemarau. Akan tetapi apa yang terjadi kepada Al-‘Azīz yang dahulu? Al-Quran tidak secara jelas menyatakan sama ada Al-‘Azīz yang pertama itu meninggal dunia atau dilucutkan jawatannya. Majoriti ulama tafsir mengemukakan dua pandangan utama mengenai nasib Al-‘Azīz yang pertama:

A. Pandangan Popular (Kematian)

Ramai ulama tafsir cenderung kepada pandangan bahawa Al-‘Azīz yang pertama telah meninggal dunia sebelum Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibebaskan dari penjara. Ini membolehkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dilantik menggantikan terus Al-‘Azīz yang terdahulu, memegang gelaran Al-‘Azīz dan menguruskan perbendaharaan negara.

B. Pandangan Kedua (Kekal Hidup Tetapi Kuasa Berubah)

Sebahagian ulama berpendapat bahawa Al-‘Azīz yang pertama masih hidup, tetapi jawatan yang dipegang oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah jawatan baru yang setaraf atau lebih tinggi, dengan kuasa penuh terhadap perbendaharaan negara. Ini kerana kalau dilihat kepada kuasa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu sangat hebat seperti disebut di dalam ayat 56,

وَكَذٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِى ٱلأَرضِ يَتَبَوَّأُ مِنهَا حَيثُ يَشَآءُ
Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir; (dia berkuasa penuh) pergi menuju ke mana saja dia kehendaki di bumi Mesir itu.

Jika perhatikan, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh pergi ke mana sahaja baginda inginkan, maka memberi isyarat yang baginda mempunyai pangkat yang lebih tinggi. Sekarang mereka memujuk baginda untuk melepaskan adik mereka kerana mereka terkenang janji mereka kepada bapa mereka dahulu seperti yang disebut di dalam ayat 66

قَالَ لَن أُرسِلَهُ ۥ مَعَڪُم حَتَّىٰ تُؤتُونِ مَوثِقًا مِّنَ ٱللَّهِ لَتَأتُنَّنِى بِهِۦۤ إِلَّآ أَن يُحَاطَ بِكُم
Ya’qub berkata: “Aku sekali-kali tidak akan melepaskannya (pergi) bersama-sama kamu, sebelum kamu memberikan kepadaku janji yang teguh atas nama Allah, bahawa kamu pasti akan membawanya kepadaku kembali, kecuali jika kamu dikepung musuh”.

Oleh kerana itu saudara-saudara Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan panggilan yang merendah diri dan penuh rayuan kerana ingin merayu dengan keadaan mereka yang terdesak dan keinginan untuk menjaga Bunyamin. Dalam protokol istana Mesir, gelaran ini menuntut rasa hormat yang tertinggi. Mereka memanggil Baginda dengan gelaran rasmi untuk menunjukkan kepatuhan mutlak dan pengakuan terhadap kuasa undang-undang yang dipegang oleh Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (sebagai Al-‘Azīz). Ini adalah cara terbaik untuk memulakan rayuan kepada pihak berkuasa. Iaitu mereka mengakui kekuasaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mereka tidak akan mempersoalkannya.

Yang ironisnya dulu mereka tidak menghormati pun kehendak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika kecil. Mereka dengan selamba sahaja membuang baginda ke dalam telaga tanpa rasa simpati. Nah, sekarang mereka pula yang mengakui mereka lemah dan tertakluk kepada keputusan baginda sehingga terpaksa tunduk merayu dengan adik sendiri!

 

إِنَّ لَهُ ۥۤ أَبًا شَيخًا كَبِيرًا

sesungguhnya dia mempunyai ayah yang sudah lanjut usianya,

Mereka kata yang mereka prihatin tentang bapa mereka. Bunyamin itu adalah anak bapa mereka. Perhatikan mereka gunakan kalimah لَهُ (baginya) dan bukannya لَنا (bagi kami). Padahal Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah bapa mereka juga. Sebaliknya mereka berkata begitu kerana bapa mereka itu amat sayangkan Bunyamin. Seolah-olah nampak macam baginda bapa kepada Bunyamin sahaja. Mereka beritahu yang bapa mereka itu terlalu sayang dan rapat sangat-sangat dengan Bunyamin sampai tidak boleh berenggang. Seolah-olah mereka berkata: “Selepas anaknya yang bernama Yusuf tidak ada, Bunyamin itulah yang menjadi penyejuk hatinya. Tak tahulah nanti kalau kami balik tanpa Bunyamin, apa yang akan jadi dengan dia. Takut dia jatuh sakit pula nanti.” Maknanya mereka menggunakan alasan yang mereka kasihan kepada bapa mereka yang tua.

Kenapa mereka kata begitu? Kerana pada mereka agaknya, mereka nampak bapa mereka berat sebelah dan hanya sayangkan Bunyamin sahaja (sebagaimana dahulu sayang kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja). Dalam Bible disebut Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sayang mereka berdua kerana sayangkan ibu mereka. Akan tetapi ini tidak disebut di dalam Al-Qur’an. Jikalau sayang seseorang anak kerana sayangkan kepada ibunya, itu sudah berat sebelah. Sebenarnya kita telah jelaskan sebelum ini kenapa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sayang kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mungkin Bunyamin juga, kerana mereka itu budak yang baik. Kalau tunjuk kebaikan, maka tentulah emak ayah sayang, bukan? Kalau anak hantu, siapa hendak sayang?

Akan tetapi ironinya dahulu mereka juga yang memisahkan seorang bapa daripada anaknya (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) dan ketika itu mereka tidak kasih pula! Dahulu bapa mereka di dalam kekeliruan yang nyata (ayat 8) dan nanti kita akan belajar bagaimana mereka memperlecehkan bapa mereka nanti apabila baginda menyebut tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ternyata mereka ini sebenarnya bukan prihatin terhadap bapa mereka sangat pun, tetapi hanya sekadar menyebut bapa mereka itu sebagai hujah sahaja untuk melembutkan hati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Mereka hendak memujuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana mereka tahu baginda suka membantu orang susah dan lemah. Mereka cakap sesuatu yang mereka sangka akan menangkap hati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Lalu mereka mengatakan bapa mereka شَيخًا (sudah tua), dan mereka tambah كَبيرًا (sangat) untuk menguatkan lagi hujah mereka.

Kalimah شَيخًا كَبِيرًا juga boleh bermaksud orang yang terhormat di dalam masyarakat. Ini kerana kalimah كَبِيرًا bermaksud ‘besar’ dan kadangkala ada orang kita pandang besar di mata manusia. Maka ini pun menjadi alasan bagi mereka kerana kalau berbuat baik kepada orang yang dihormati di dalam masyarakat, tentulah masyarakat itu akan senang hati dan kenang perkara ini.

 

فَخُذ أَحَدَنَا مَڪَانَهُ ۥۤ‌

lantaran itu ambillah salah seorang di antara kami sebagai gantinya,

Mereka pun teringat juga janji mereka kepada bapa mereka untuk memastikan Bunyamin dibawa pulang. Maka mereka beri cadangan: “Janganlah ambil Bunyamin ini, ambillah salah seorang daripada kami. Kami sanggup berkorban, asalkan Bunyamin tidak diambil dan dia boleh balik bertemu dengan bapanya.”

 

إِنَّا نَرَٮٰكَ مِنَ ٱلمُحسِنِينَ

sesungguhnya kami melihat kamu termasuk orang-orang yang berbuat baik”.

Mereka memuji Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seorang yang baik, memiliki hati yang baik. Ini kerana mereka sudah nampak sendiri sikap baginda membantu orang jadi mereka yakin yang baginda adalah orang yang baik dan sentiasa membantu. Biasalah kalau meminta tolong kepada seseorang, selalunya akan dipuji orang itu.

Ini bukanlah kali pertama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikatakan salah seorang daripada ٱلمُحسِنِينَ. Memang sesiapa sahaja yang melihat baginda akan nampak kebaikan yang baginda lakukan. Kita telah lihat kata-kata rakan baginda di dalam ayat 36,

نَبِّئنَا بِتَأوِيلِهِۦۤ‌ۖ إِنَّا نَرَٮٰكَ مِنَ ٱلمُحسِنِينَ
Berikanlah kepada kami ta’birnya; sesungguhnya kami memandang engkau termasuk orang-orang yang suka buat baik.

Jadi apabila manusia bertemu baginda sahaja akan nampak kebaikan yang ada pada baginda. Namun begitu ada beza ketika baginda ٱلمُحسِنِينَ di dalam penjara dengan ٱلمُحسِنِينَ semasa menjadi Menteri. Ini kerana kalau dalam penjara dan tidak ada apa-apa kedudukan, senang hendak jadi ٱلمُحسِنِينَ, bukan? Akan tetapi apabila memiliki kuasa, ramai yang bertukar rupa dan corak. Namun sekarang kita boleh perhatikan yang ketika baginda sudah menjadi Menteri pun, baginda masih tetap dipandang ٱلمُحسِنِينَ. Begitulah mengajar kita yang kuasa yang kita dapat di dunia ini tidak ada apa-apa dan sepatutnya tidak mengubah diri kita. Kalau dahulu ketika miskin rapat dan mesra dengan orang, begitu jugalah apabila sudah kaya dan dapat pangkat nanti. Yang jadi masalah apabila rasa berlagak apabila sudah mendapat kuasa.

Kenapakah mereka memujuk baginda sedangkan mereka telah memanggil baginda sebagai Al-Aziz yang memberi isyarat yang mereka mengakui keputusan daripada baginda sebagai orang besar di Mesir? Kerana keputusan di mahkamah tidak hanya melibatkan undang-undang sahaja. Kadangkala hakim pun boleh memberi kelonggaran sekiranya dia merasakan keadaan itu diperlukan bergantung terhadap situasi tertentu. Maka mereka berharap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kemurahan hati baginda untuk memberi kelonggaran kepada mereka.


 

Yusuf Ayat 79: Permintaan mereka itu ditolak oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

 قَالَ مَعَاذَ ٱللهِ أَن نَّأخُذَ إِلَّا مَن وَجَدنَا مَتَـٰعَنَا عِندَهُ ۥۤ إِنَّآ إِذًا لَّظَـٰلِمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)
He said, “[I seek] the refuge of Allāh [to prevent] that we take except him with whom we found our possession. Indeed, we would then be unjust.”

(MALAY)
Berkata Yusuf: “Aku mohon perlindungan kepada Allah daripada menahan, kecuali orang yang kami ketemukan harta benda kami padanya, jika kami berbuat demikian, maka benar-benarlah kami orang-orang yang zalim”.

 

قالَ مَعاذَ اللهِ

Berkata Yusuf: “Aku mohon perlindungan kepada Allah

Abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencadangkan kepada baginda supaya janganlah ambil Bunyamin, tetapi ambillah salah seorang daripada mereka sebagai galang gantinya. Ini adalah jawapan daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, baginda tidak akan berbuat begitu. Lafaz مَعاذَ اللَّهِ boleh kita tafsirkan sebagai: “Aku berlindung dengan Allah daripada melakukan kesalahan dosa.”

Kita telah pernah perhatikan kalimat ini baginda ucap apabila baginda digoda oleh isteri tuannya di dalam ayat 23,

وَرٰوَدَتهُ ٱلَّتِى هُوَ فِى بَيتِهَا عَن نَّفسِهِۦ وَغَلَّقَتِ ٱلأَبوٰبَ وَقَالَت هَيتَ لَكَ‌ۚ قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ‌ۖ إِنَّهُ ۥ رَبِّىٓ أَحسَنَ مَثوَاىَ‌ۖ إِنَّهُ ۥ لَا يُفلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
Dan wanita  yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu, seraya berkata: “Marilah ke sini”. Yusuf berkata: “Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan berjaya.

Kita senang faham apabila baginda meminta perlindungan Allah ‎ﷻ ketika digoda itu. Ini kerana baginda takut terpaksa menurut kehendak wanita itu disebabkan baginda tidak mempunyai kuasa ketika itu. Namun sekarang ketika baginda sudah menjadi Menteri dan mempunyai kuasa, kenapakah masih lagi meminta perlindungan Allah ‎ﷻ? Kalau baginda sudah ada kuasa, maka tentulah baginda boleh menentukannya sendiri, bukan? Maka ini mengajar kita yang kalau sudah ada kuasa pun memang kita masih perlukan bantuan Allah ‎ﷻ. Ini kerana apabila ada kuasa, ia sebenarnya meletakkan kita di kedudukan yang bahaya kerana kita boleh lupa diri dan membuat kesalahan yang tidak adil di atas kuasa kita. Kerana kebiasaannya kuasa yang besar bermakna manusia lain tidak boleh menghalang kita. Maka di waktu ini memang amat penting ingat kepada Allah ‎ﷻ dan berharap Allah ‎ﷻ pandu kita supaya tidak menyalahgunakan kuasa.

Ini juga ada elemen dakwah yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berikan. Baginda tidak kekok menyebut مَعاذَ اللهِ walaupun dalam kalangan orang yang bukan Muslim. Kerana tidak ada yang perlu kita kekok. Ia boleh menjadi dakwah apabila menimbulkan pertanyaan daripada mereka. Mereka mungkin bertanya: Siapa itu اللهِ? Maka ini membuka ruang untuk berdakwah.

Ini juga mengajar kita tidak perlu kekok untuk sebut nama Allah dan zikir-zikir kita apabila kita bersama dengan orang bukan Muslim. Sebagai contoh kita hendak sebut

 

أَن نَّأخُذَ إِلَّا مَن وَجَدنَا مَتَـٰعَنَا عِندَهُ ۥۤ

daripada menahan, kecuali orang yang kami ketemukan harta benda kami padanya,

Tidak mungkin baginda mengambil orang lain pula sebagai pengganti kepada orang yang didapati barang itu. Kenapakah digunakan kalimah ‘kami’ pula? Kerana baginda mewakili kerajaan Mesir. Atau, baginda berkata kepada orang ramai termasuk pegawai istana ketika itu dan mengajar mereka: “Ingat ya, kita tidak boleh salahgunakan kuasa dan hukum orang lain yang tidak bersalah….”

Sebelum ini telah disebut yang seorang hakim boleh menggunakan budi bicara untuk memberi kelonggaran kepada orang yang tertuduh. Akan tetapi ia tidak digunakan di sini walaupun telah dipujuk oleh saudara-saudaranya itu. Malah mereka telah beri beberapa hujah pun. Namun ia tidak mengubah pendirian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka ini mengajar kita, budi bicara ada masanya dan mungkin baginda pun ada menggunakan kelembutan di dalam kes-kes yang lain. Akan tetapi kalau kelembutan dan kelonggaran sentiasa digunakan, ia akan memberi kesan yang salah kepada orang ramai. Mereka akan lihat seolah-olah undang-undang sudah tidak berfungsi lagi kerana selalu sahaja dilanggar oleh para hakim. Maka ketegasan amat perlu di dalam menangani kes-kes yang sampai kepada pemerintah dan hakim.

Perhatikan baginda tidak kata ‘orang yang mencuri’ kerana Bunyamin tidak mencuri pun. Baginda minta berlindung dengan Allah ‎ﷻ daripada menangkap dan menghukum orang yang tidak bersalah.

Jadi ada jumlah muqaddar dalam ayat ini yang kalau tidak diberitahu, susah untuk faham apakah yang hendak disampaikan. Maksudnya, tentulah salah untuk menghukum orang lain. Itu tidak patut sama sekali. Apa yang mereka cadangkan itu adalah cadangan yang buruk sekali. Baginda menegaskan yang baginda hendak ambil orang yang barang yang dijumpai padanya sahaja, bukan orang lain.

 

إِنَّآ إِذًا لَّظَـٰلِمُونَ

jika kami berbuat demikian, maka benar-benarlah kami orang-orang yang zalim”.

Baginda menegaskan yang baginda tidak akan buat begitu dan kalaulah baginda ambil orang lain, maka tentulah baginda menjadi orang yang zalim. Baginda hendak cakap kepada mereka: “Takkan kamu nak suruh aku jadi orang zalim pula?”

Perhatikan ada persamaan dengan ayat 23 sebelum ini:

قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ‌ۖ إِنَّهُ ۥ رَبِّىٓ أَحسَنَ مَثوَاىَ‌ۖ إِنَّهُ ۥ لَا يُفلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
Yusuf berkata: “Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik”. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan berjaya.

Ada persamaan kalimah yang digunakan di dalam ayat 79 ini:

 قَالَ مَعَاذَ ٱللَّهِ أَن نَّأخُذَ إِلَّا مَن وَجَدنَا مَتَـٰعَنَا عِندَهُ ۥۤ إِنَّآ إِذًا لَّظَـٰلِمُونَ
Berkata Yusuf: “Aku mohon perlindungan kepada Allah daripada menahan, kecuali orang yang kami ketemukan harta benda kami padanya, jika kami berbuat demikian, maka benar-benarlah kami orang-orang yang zalim“.

Kita boleh nampak ada kaitan minta perlindungan dengan Allah ‎ﷻ dan kezaliman. Ini kerana kalau kalau tidak berlindung dengan Allah ‎ﷻ, maka kita boleh jadi seorang yang zalim.

Ada kerja dakwah yang baginda jalankan di sini. Kita kena ingat yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sekarang berada di dalam negara Non-Muslim walaupun baginda adalah kuasa tertinggi di negeri itu. Apabila baginda menggunakan nama Allah dalam kata baginda ini, ia adalah sebagai dakwah juga kerana mengajar manusia keadilan yang diajar oleh Allah ﷻ. Oleh kerana itu baginda tidak sebut tentang undang-undang Mesir tetapi undang-undang Allah ﷻ kerana undang-undang Allah ﷻ lebih penting. Seandainya undang-undang negara berlawanan dengan undang-undang Allah ﷻ, kita tidak boleh patuh. Kalau tidak berlawanan, tidaklah mengapa. Di sini baginda mengajar bahawa undang-undang Allah ﷻ lebih mengajak manusia mentaatinya kerana ia bukanlah takut kepada kerajaan, tetapi takut kepada Allah ﷻ. Kerana apa sangat kerajaan boleh buat kalau kita pandai mengelak? Sebaliknya dengan Allah ﷻ, kita memang mesti patuh kerana kita tidak boleh selamat atau lari daripada Allah ﷻ.

Habis Ruku’ 9 daripada 12 ruku’ surah ini.

 

 

Kuiz Kefahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda terhadap teks tafsir.

1. Mengapakah saudara-saudara Nabi Yusuf memujuk baginda untuk melepaskan Bunyamin?

2. Apakah maksud dan kepentingan gelaran “Al-Aziz” yang digunakan oleh saudara-saudara Nabi Yusuf?

3. Huraikan dua pandangan utama ulama tafsir mengenai nasib Al-Aziz yang pertama.

4. Apakah alasan yang digunakan oleh saudara-saudara Nabi Yusuf berkaitan ayah mereka untuk melembutkan hati Al-Aziz?

5. Terangkan ironi dalam hujah saudara-saudara Nabi Yusuf apabila mereka menyebut tentang keprihatinan mereka terhadap ayah mereka.

6. Apakah cadangan yang dikemukakan oleh saudara-saudara Nabi Yusuf sebagai ganti kepada penahanan Bunyamin?

7. Bagaimanakah saudara-saudara Nabi Yusuf memuji baginda, dan apakah signifikannya pujian ini berbanding dengan masa lalu baginda?

8. Apakah maksud lafaz “Ma’adhallah” yang diucapkan oleh Nabi Yusuf, dan mengapakah ia penting walaupun baginda sudah berkuasa?

9. Mengapakah Nabi Yusuf menolak cadangan untuk menahan salah seorang saudaranya sebagai ganti Bunyamin?

10. Bagaimanakah tindakan Nabi Yusuf menggunakan nama Allah dalam jawapannya berfungsi sebagai satu bentuk dakwah?

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
ٱلعَزِيزُ (Al-‘Azīz)
Gelaran penghormatan yang secara literal bermaksud Yang Mulia, Yang Berkuasa, Yang Kuat, atau Yang Gagah. Dalam konteks pemerintahan Mesir kuno, ia merujuk kepada jawatan tinggi seperti Menteri Kewangan, Perbendaharaan, atau Perdana Menteri.
ٱلمُحسِنِينَ (Al-Muhsinin)
Orang-orang yang berbuat baik atau suka berbuat baik. Gelaran ini diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ oleh rakan penjaranya dan kemudian oleh saudara-saudaranya, menunjukkan kebaikan akhlaknya yang sentiasa terserlah tidak kira dalam apa jua keadaan.
شَيخًا كَبِيرًا (Syaikhan Kabiran)
Frasa yang bermaksud seorang lelaki yang sudah tua dan lanjut usianya. Ia juga boleh membawa maksud orang yang terhormat di dalam masyarakat, digunakan sebagai hujah untuk meraih simpati.
مَعاذَ اللهِ (Ma’adhallah)
Lafaz yang bermaksud “aku berlindung dengan Allah.” Ia diucapkan untuk memohon perlindungan Allah ‎ﷻ daripada melakukan sebarang kesalahan atau dosa. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakannya untuk menolak godaan dan untuk menolak permintaan yang tidak adil.
لَّظَـٰلِمُونَ (Laẓālimūn) / Zalim
Orang-orang yang zalim, tidak adil, atau melampaui batas. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyatakan bahawa menahan orang yang tidak bersalah sebagai ganti akan menjadikan dirinya tergolong dalam kalangan orang-orang yang zalim.
Dakwah
Usaha menyebarkan ajaran Islam. Dalam konteks ini, tindakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut nama Allah dan prinsip keadilan-Nya di hadapan pegawai dan saudara-saudaranya yang bukan Muslim dilihat sebagai satu bentuk dakwah.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 21 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 78 – 79 (Memujuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz
    1. Mereka memujuk Nabi Yusuf kerana mereka bimbang dan takut akan apa yang akan berlaku. Mereka teringat akan janji teguh yang telah dibuat kepada ayah mereka, Nabi Ya’qub, untuk menjaga Bunyamin dan membawanya pulang dengan selamat.
    2. “Al-Aziz” adalah gelaran penghormatan yang bermaksud Yang Mulia atau Yang Berkuasa, merujuk kepada jawatan tinggi seperti Perdana Menteri di Mesir. Mereka menggunakannya untuk menunjukkan kepatuhan mutlak dan pengakuan terhadap kuasa undang-undang yang dipegang oleh Nabi Yusuf, sebagai strategi untuk memulakan rayuan mereka.
    3. Pandangan pertama (popular) ialah Al-Aziz yang pertama telah meninggal dunia, membolehkan Nabi Yusuf dilantik terus menggantikannya. Pandangan kedua ialah Al-Aziz pertama masih hidup, tetapi Nabi Yusuf memegang jawatan baru yang setaraf atau lebih tinggi dengan kuasa penuh terhadap perbendaharaan negara.
    4. Mereka menyatakan bahawa Bunyamin mempunyai seorang ayah yang sudah sangat tua (syakhan kabiran) dan amat menyayanginya. Mereka berharap hujah ini dapat menimbulkan rasa belas kasihan, dengan menggambarkan kesedihan yang akan menimpa ayah mereka jika Bunyamin tidak pulang.
    5. Ironinya adalah pada masa dahulu, mereka sendiri yang telah memisahkan Nabi Yusuf daripada ayah mereka tanpa sebarang belas kasihan. Keprihatinan yang mereka tunjukkan sekarang bukanlah tulus, tetapi sekadar hujah strategik untuk melembutkan hati Nabi Yusuf.
    6. Mereka mencadangkan agar Nabi Yusuf mengambil salah seorang daripada mereka sebagai ganti Bunyamin. Mereka menyatakan kesanggupan untuk berkorban supaya Bunyamin dapat dibebaskan dan pulang bertemu dengan ayah mereka.
    7. Mereka memuji Nabi Yusuf dengan berkata “sesungguhnya kami melihat kamu termasuk orang-orang yang berbuat baik” (Al-Muhsinin). Ini signifikan kerana ia menunjukkan bahawa Nabi Yusuf tetap dipandang baik walaupun telah mendapat kuasa besar, tidak seperti ramai orang yang berubah sikap apabila mendapat pangkat.
    8. Lafaz “Ma’adhallah” bermaksud “aku berlindung dengan Allah dari melakukan kesalahan dosa.” Ia penting walaupun baginda berkuasa kerana ia mengajar bahawa sesiapa pun, termasuk pemerintah, masih memerlukan bantuan Allah untuk mengelak daripada menyalahgunakan kuasa dan melakukan kesilapan.
    9. Nabi Yusuf menolak cadangan itu kerana menahan atau menghukum orang yang tidak bersalah adalah satu kezaliman. Baginda menegaskan bahawa keadilan menuntut agar hanya orang yang padanya ditemui harta benda itu yang ditahan, dan jika baginda melakukan sebaliknya, maka baginda akan tergolong dalam kalangan orang yang zalim.
    10. Dengan menyebut nama Allah secara terang-terangan di kalangan orang bukan Islam, Nabi Yusuf memperkenalkan konsep keadilan Tuhan. Ini membuka ruang untuk mereka bertanya tentang Allah dan mengajar bahawa ketaatan kepada undang-undang sepatutnya berlandaskan ketakutan kepada Allah, yang lebih tinggi daripada sekadar takut kepada kerajaan.

    Like

Leave a comment