Tafsir Surah Yusuf Ayat 68 – 69 (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selamatkan Bunyamin)

Yusuf Ayat 68:  Rancangan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berjaya.

وَلَمَّا دَخَلُواْ مِن حَيثُ أَمَرَهُم أَبُوهُم مَّا ڪَانَ يُغنِى عَنهُم مِّنَ ٱللَّهِ مِن شَىءٍ إِلَّا حَاجَةً فِى نَفسِ يَعقُوبَ قَضَٮٰهَا‌ۚ وَإِنَّهُ ۥ لَذُو عِلمٍ لِّمَا عَلَّمنَـٰهُ وَلَـٰكِنَّ أَڪثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعلَمُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they entered from where their father had ordered them, it did not avail them against Allāh at all except [it was] a need [i.e., concern] within the soul of Jacob, which he satisfied. And indeed, he was a possessor of knowledge because of what We had taught him, but most of the people do not know.

(MALAY)

Dan tatkala mereka masuk menurut yang diperintahkan bapa mereka, maka (cara yang mereka lakukan itu) tiadalah melepaskan mereka sedikit pun daripada takdir Allah, akan tetapi itu hanya suatu keinginan pada diri Ya’qub yang telah ditetapkannya. Dan sesungguhnya dia mempunyai pengetahuan, kerana Kami telah mengajarkan kepadanya. Akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.

 

وَلَمّا دَخَلوا مِن حَيثُ أَمَرَهُم أَبوهُم

Dan tatkala mereka masuk menurut yang diperintahkan bapa mereka,

Ini adalah apabila mereka telah sampai ke Mesir dan mereka telah masuk ke Kota Mesir ikut nasihat bapa mereka. Mereka taat pula kepada bapa mereka kali ini kerana mereka pun nampak rancangan bapa mereka itu memang bagus dan masuk akal untuk keselamatan mereka. Mereka berpecah dan memasuki pintu yang berlainan. Ada pendapat yang mengatakan mereka masuk melalui empat pintu kota.

 

ما كانَ يُغني عَنهُم مِّنَ اللهِ مِن شَيءٍ

maka (cara yang mereka lakukan itu) tiadalah melepaskan mereka sedikit pun daripada takdir Allah,

Allah ‎ﷻ tekankan yang perbuatan mereka itu tidaklah menyelamatkan mereka kalau Allah ‎ﷻ tidak iradah (berkemahuan) yang mereka akan selamat dengan cara itu. Nanti kita dapat Bunyamin tidak dapat pulang dan seorang lagi abangnya tidak mahu pulang juga. Jadi musibah tetap terkena juga kepada mereka. Jikalau kita terima pendapat yang mengatakan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berharap supaya mereka bertemu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, ia tidak berlaku.

 

إِلَّا حَاجَةً فِى نَفسِ يَعقُوبَ قَضَٮٰهَا‌

akan tetapi itu hanya suatu keinginan pada diri Ya’qub yang telah dipenuhinya.

Namun ia adalah kehendak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.‎ Itu adalah hajat dan cadangan daripada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mahukan anak-anaknya selamat. Atau sebagai usaha untuk bertemu semula dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana manusia akan berasa puas hati kalau mereka telah melakukan segala yang mereka mampu. Manusia memang ada kehendak dalam diri mereka untuk memuaskan emosi mereka. Jadi langkah yang dianjurkan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah keperluan memenuhi kehendak emosi baginda dan ini tidaklah salah kerana apabila Allah ‎ﷻ sebut di dalam ayat ini, ia memberi isyarat yang ia tidak salah. Begitulah seorang Nabi pun ada kehendak ini, apatah lagi kita.

Dalam diri manusia, kita boleh katakan ada tiga kehendak:

1. Fizikal. Seperti makan, minum, seks dan sebagainya. Manusia dan binatang ada kehendak ini.
2. Spiritual. Kepercayaan kepada Tuhan, keimanan, ketenangan menyerahkan nasib kita kepada Tuhan.
3. Emosi. Keperluan kepada cinta, kasih, keluarga dan sebagainya.

Ketiga-tiga kehendak ini boleh dipenuhi dan dikejar oleh manusia dengan cara yang dibenarkan. Jangan kita menidakkan kehendak salah satu daripadanya kerana kita tidak akan lengkap jika tidak dapat memenuhi kehendak ini. Tidak ada satu pun daripada kehendak ini yang boleh kita tolak.

Jadi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah memenuhi kehendak emosinya untuk memastikan keselamatan anak-anaknya dengan memberi nasihat supaya mereka jangan masuk beramai-ramai melalui satu pintu. Namun begitu, nanti Allah ‎ﷻ sudah taqdirkan Bunyamin akan ditahan juga. Manakala seorang lagi anaknya tidak mahu kembali ke Kan’an. Maka kehendak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya kesemua anaknya kembali, tidak berjaya. Malah kehendaknya supaya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diketemui juga tidak kesampaian. Walau bagaimanapun baginda berpuas hati kerana rancangan baginda telah dijalankan dan itulah sahaja yang baginda mampu lakukan.

 

وَإِنَّهُ ۥ لَذُو عِلمٍ لِّمَا عَلَّمنَـٰهُ

Dan sesungguhnya dia mempunyai ilmu, kerana Kami telah mengajarkan kepadanya. 

Allah ‎ﷻ tekankan yang ia bukanlah cakap dan idea kosong Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Ia adalah cadangan yang bernas kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang bijak, tambahan pula baginda adalah seorang Nabi. Apa yang baginda beritahu dan nasihat itu adalah benar kerana Allah ‎ﷻ yang ajar baginda. Ia bukan pengetahuan ilmu ghaib, kerana baginda tidak ada ilmu ghaib, tetapi ia adalah ilmu wahyu yang Allah ‎ﷻ sampaikan kepada baginda.

Ia juga mengajar satu ilmu kepada kita ia tidak salah untuk kita mengambil langkah keselamatan semampu kita. Ini kerana dunia ini adalah hukum asbab (cause and effect) yang selagi kita hidup di dunia, kita kenalah ikut hukum itu. Maknanya tidaklah kita memandu secara laju di jalanan dan berharap Allah ‎ﷻ sahaja selamatkan kita. Itu bodoh namanya dan hanya dilakukan oleh orang yang jahil tiada ilmu.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

Akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.

Namun kebanyakan manusia tidak tahu tentang perkara ini. Manusia ada yang keliru kerana ada yang kata baginda tahu perkara ghaib, sebab itu baginda bagi nasihat begitu. Ini adalah salah kerana baginda hanya tahu daripada ilmu yang Allah ‎ﷻ beritahu sahaja. Para Nabi, termasuklah Nabi Muhammad ﷺ tidak ada ilmu ghaib.

Ada juga yang salah faham dengan rancangan Nabi Ya’qub  عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu dengan mengatakan tidak patut seorang Nabi tidak yakin dengan ketentuan Allah ﷻ sampai membuat rancangan sebegitu. Maka di sini Allah ﷻ beritahu yang tidak salah menggunakan ilmu yang ada untuk berusaha mengelak daripada mara bahaya. Itu bukanlah kesalahan bagi sesiapa pun termasuklah seorang Nabi.

Maka ini mengajar kita bagaimana kita kenalah berusaha dan tidak hanya menyerah kepada takdir sahaja tanpa usaha. Kita boleh belajar juga daripada Kisah Khalifah Umar dan Wabak Taun Amwas. Pada tahun ke-18 Hijriyah (sekitar 639 M), Khalifah Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sedang dalam perjalanan menuju Syam (Syria) untuk urusan kenegaraan. Ketika sampai di daerah bernama Sargh (di perbatasan Syam), beliau disambut oleh para panglima tenteranya, termasuk Abu Ubaidah bin Jarrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan para sahabat senior lainnya. Mereka memberitahu Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Wabak Taun (sejenis wabak penyakit yang mematikan) telah merebak dengan dahsyat di Syam, khususnya di daerah Amwas. Mendengar berita ini, Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengumpulkan para sahabat terkemuka di tempat itu untuk bermusyawarah:

  • Kelompok pertama (Muhajirin): Ada yang berpendapat agar Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ meneruskan perjalanan kerana telah berniat (bertekad) untuk suatu urusan.
  • Kelompok kedua (Ansar): Ada yang berpendapat agar Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kembali, demi menjaga keselamatan para sahabat dan kaum Muslimin yang bersamanya.
  • Kelompok ketiga (Quraisy Senior): Mereka sepakat agar Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ kembali dan tidak memasuki kawasan wabak.

Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ cenderung untuk kembali, namun Abu Ubaidah bin Jarrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, komandan tertinggi tentera di Syam, keberatan dan bertanya: “Adakah engkau lari daripada takdir (Qada’) Allah, wahai Amirul Mukminin (Umar)?” Umar bin Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab dengan ungkapan yang masyhur dan mendalam: “Wahai Abu Ubaidah, andai kata yang mengucapkan perkataan ini orang lain, aku akan menegurnya! Ya, kami lari daripada takdir Allah menuju takdir Allah yang lain.” Kemudian Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ memberikan perumpamaan yang sangat logik: “Bagaimana pendapatmu jika kamu memiliki seekor unta, lalu ia turun ke sebuah lembah yang memiliki dua sisi: satu sisi subur dan satu sisi tandus? Jika kamu menggembalakannya di sisi yang subur, bukankah kamu melakukannya dengan takdir Allah? Dan jika kamu menggembalakannya di sisi yang tandus, bukankah kamu juga melakukannya dengan takdir Allah?”

Ketika perdebatan masih berlangsung, datanglah Abdurrahman bin Auf رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang baru menyelesaikan suatu urusan. Beliau berkata: “Aku mengetahui sesuatu tentang hal ini daripada Rasulullah ﷺ. Aku mendengar beliau bersabda: ‘Jika kamu mendengar wabak taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan jika wabak itu berjangkit di suatu negeri sedangkan kamu berada di dalamnya, maka janganlah kamu keluar darinya untuk melarikan diri.'” (Matan hadith ini diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari No. 5729 dan Sahih Muslim No. 2219).

Pengajaran besar di sini adalah jika kita telah melakukan sesuatu usaha, kemudian ia tidak berjaya, maka redhalah sahaja dengan apa yang berlaku. Jangan kita menimbang-nimbang pula kalau buat begini dan begitu. Rasulullah ﷺ sudah menegur perkara ini seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“Apabila sesuatu menimpamu, maka janganlah engkau katakan: ‘Seandainya aku lakukan demikian dan demikian, nescaya akan begini dan begitu.’ Akan tetapi, katakanlah: ‘Ini sudah takdir Allah, dan apa yang Dia kehendaki pasti terjadi.’ Kerana sesungguhnya kata ‘seandainya (kalau)’ itu membuka (pintu) amalan syaitan.”

(Sahih Muslim No. 2664)

Satu pengajaran lagi yang kita kena ingat adalah segala usaha yang kita lakukan, tidaklah semestinya akan memberi hasil. Maka jangan berputus asa seandainya kita telah berusaha tetapi gagal. Contohnya adalah seperti ada yang diganggu syaitan juga walaupun telah baca ayat Kursi. Jangan kata: “Kenapa aku kena ganggu lagi sedangkan aku sudah baca ayat Kursi?” Ini adalah kata-kata yang salah kerana nampak sangat dia hanya bergantung kepada usaha sahaja dan lupa bahawa segala ketentuan adalah daripada Allah ‎ﷻ.

Habis Ruku’ 8 daripada 12 ruku’ surah ini.


 

PIALA DIRAJA

Yusuf Ayat 69: Sekarang masuk ke dalam Keadaan ke 11, iaitu pertemuan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan adiknya Bunyamin.

وَلَمَّا دَخَلُواْ عَلَىٰ يُوسُفَ ءَاوَىٰٓ إِلَيهِ أَخَاهُ‌ۖ قَالَ إِنِّىٓ أَنَا۟ أَخُوكَ فَلَا تَبتَٮِٕس بِمَا ڪَانُواْ يَعمَلُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they entered upon Joseph, he took his brother to himself; he said, “Indeed, I am your brother, so do not despair over what they used to do [to me].”

(MALAY)

Dan tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf. Yusuf membawa saudaranya (Bunyamin) ke tempatnya, Yusuf berkata: “Sesungguhnya aku (ini) adalah saudaramu, maka janganlah kamu berdukacita terhadap apa yang telah mereka kerjakan”.

 

وَلَمَّا دَخَلُواْ عَلَىٰ يُوسُفَ ءَاوَىٰٓ إِلَيهِ أَخَاهُ‌

Dan tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf. Yusuf membawa saudaranya (Bunyamin) ke tempatnya, 

Pada ekspedisi kali ini, Bunyamin saudara kandung Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada sekali. Nama beliau tidak disebut di dalam Al-Qur’an tetapi kitab tafsir mengatakan namanya Bunyamin, atau Binyamin dan di dalam tradisi Yahudi dan Nasrani dipanggil Benjamin. Ketika Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibuang oleh abang-abangnya, Bunyamin ketika itu masih kecil dan tidak terlibat dengan rancangan itu.

Jadi ini adalah pertemuan jejak kasih yang menyayat hati kerana mereka berdua rapat ketika kecil dan abangnya itu telah dikeluarkan dari rumah itu. Sekarang apabila abang-abang itu sampai bersama Bunyamin dan mengadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mendekati adik kesayangannya itu. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menempatkan mereka setiap bilik dua orang. Maka Bunyamin hanya tinggal seorang sahaja di bilik dan dapatlah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertemu secara rahsia dengan Bunyamin kerana baginda hendak selamatkan adiknya itu. Ayat ini menggambarkan momen penuh emosi dan kasih sayang seorang Nabi terhadap saudara kandungnya.

Kalimah آوىٰ bermaksud menyelamatkan daripada bahaya. Kata kerja “آوَىٰ” membawa makna mencari perlindungan atau menempatkan seseorang dengan penuh kasih. Manakala orang yang diselamatkan itu lemah dan kerana itu perlu diselamatkan. Kalimah آوىٰ juga boleh bermaksud memeluk. Kenapa dikatakan Bunyamin ‘diselamatkan’? Kerana abang-abangnya yang lain pun telah berlaku tidak baik dengan Bunyamin. Setelah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak ada, maka Bunyaminlah pula yang menjadi mangsa. Kalau kita perhatikan ayat-ayat yang menyentuh beliau sebelum ini, nampak yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sangat risau membenarkan beliau dibawa bersama. Ini kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap sayang dan menjaga keselamatan Bunyamin kalau dibandingkan dengan mereka. Maka tentu mereka tidak suka kepada Bunyamin juga kerana bapanya itu nampak terlalu sayang kepadanya.

 

قَالَ إِنِّىٓ أَنَا۟ أَخُوكَ

Yusuf berkata: “Sesungguhnya aku (ini) adalah saudaramu,

Setelah dapat bersendirian dengan Bunyamin, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mendedahkan siapa diri baginda yang sebenarnya. Dialah Yusuf abang yang telah lama dipisahkan daripada keluarga mereka selama ini. Ada penekanan apabila digunakan kalimah إِنّي kerana hendak menekankan yang baginda adalah Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, saudara kandungnya kerana tentu Bunyamin pun susah hendak percaya. Sudahlah ada إِنّي, ditambah pula dengan kalimah أَنَا۟ sebagai pengulangan, sedangkan kalimah إِنّي sudah bermaksud ‘sesungguhnya aku’. Ini tentunya satu berita yang sangat menggembirakan Bunyamin kerana selama ini beliau kesedihan kerana telah kehilangan abang tersayang.

 

فَلا تَبتَئِس بِما كانوا يَعمَلونَ

maka janganlah kamu berdukacita terhadap apa yang telah mereka kerjakan”.

Setelah mereka berdua sahaja, senanglah untuk mereka bertanya khabar menceritakan apakah yang terjadi selama mereka tidak berjumpa sekian lama itu. Maka Bunyamin tentulah menyampaikan cerita bagaimana beliau selalu dibuli oleh abang-abangnya sama seperti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu. Cuma apa yang terjadi kepada Bunyamin tidaklah seteruk seperti yang dikenakan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tidaklah Bunyamin sampai dibuang ke dalam telaga. Antara sebab Bunyamin dibuli adalah kerana abang-abang mereka iri kepadanya yang sentiasa dikasihi dan dilindungi oleh bapa mereka. Mereka dahulu sampai buang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga kerana baginda amat disayangi oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun setelah kehilangan Yusuf, Bunyamin pula yang menjadi kesayangan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, bukannya mereka. Begitulah kalau ada anak emas, selalunya adik beradik lain akan dengki, bukan?

Maka sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menenangkan adik kesayangannya itu. Kalimah تَبتَئِس daripada kata dasar ب ا س yang bermaksud menjadi sengsara; melarat; kejahatan yang buruk; pembalasan; hukuman; bahaya; konflik; kesusahan; keganasan; peperangan; kuasa besar; kemiskinan; miskin; kesedihan; kuat; ngeri. Jadi sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menenangkan adiknya.

Cuma kalau kita perhatikan susunan ayat ini, sebaik sahaja Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memperkenalkan diri baginda (إِنِّىٓ أَنَا۟ أَخُوكَ), terus sahaja baginda menenangkan Bunyamin. Bagaimana baginda tahu? Ada beberapa pendapat: 

1. Walaupun Bunyamin tidak cakap, baginda sudah dapat agak. Bukankah baginda diberi kelebihan membaca suasana dan kata-kata manusia? Di dalam ayat 58 telah disebut وَجَآءَ إِخوَةُ يُوسُفَ فَدَخَلُواْ عَلَيهِ فَعَرَفَهُم dan kalimah فَعَرَفَهُم itu antara tafsirnya adalah baginda melihat abang-abangnya itu masih sama seperti dahulu sahaja iaitu kaki buli. Bagaimana baginda ‘baca’ mereka? Melalui bahasa badan (body language) mereka. Kita pun ada kebolehan ini daripada pengalaman kita melihat orang; cuma kita kena pandang dengan lebih sedikit.

2. Mungkin Bunyamin sendiri telah menceritakan tentang pengalaman hidupnya, tentang abangnya yang telah hilang, sekarang abang-abangnya telah membulinya dengan buat begitu dan begini. Namun jikalau inilah yang terjadi, mungkin agak pelik kerana ia bermakna Bunyamin menceritakan hal keluarganya kepada orang asing pula.

3. Mungkin setelah mereka bercakap lama dan Bunyamin rasa tenang dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, barulah beliau menceritakan hal keadaan dan masalah  yang dihadapinya.

4. Mungkin sebaik sahaja mereka duduk bersama, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus memperkenalkan dirinya dan terus menenangkan adiknya itu.

Jadi ini menyentuh isu buli yang banyak berlaku semenjak dahulu sehingga sekarang. Buli adalah fenomena kompleks yang tidak terjadi hanya kerana satu faktor, tetapi merupakan hasil interaksi pelbagai faktor daripada individu, keluarga, sekolah, dan lingkungan sosial secara umum. Ia boleh terjadi di mana-mana sama ada di sekolah atau di rumah. Jangan kita sangka di rumah dalam kalangan ahli keluarga kita pasti selamat kerana ada sahaja individu malang yang dibuli di rumah. Malah sekarang, jikalau duduk di rumah seorang diri pun boleh dibuli kerana sekarang ada kes buli siber pula di mana manusia membuli di alam maya sahaja.

Yang sedihnya, kesan buli terhadap mangsa adalah mendalam dan meluas, sering meninggalkan parut fizikal, emosi, dan psikologi yang berkekalan lama walaupun setelah insiden buli itu berakhir. Mangsa sering merasa sedih berpanjangan, putus asa, dan kehilangan minat terhadap aktiviti yang dahulunya digemari. Mangsa hidup dalam ketakutan yang berterusan, sentiasa bimbang akan serangan atau ancaman seterusnya. Ini boleh menyebabkan serangan panik. Buli yang teruk dan berpanjangan, terutamanya buli fizikal atau siber, boleh menyebabkan gejala PTSD, termasuk flashback dan mimpi buruk. Malah ada banyak lagi kesan dan yang paling teruk adalah perasaan cenderung bunuh diri. Ini adalah risiko terbesar. Perasaan terasing, putus asa, dan kekurangan nilai diri yang berpunca daripada buli yang kronik adalah faktor risiko yang kuat untuk menyebabkan cubaan bunuh diri.

Maka dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menceritakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi tasliah (pujukan) kepada adiknya itu. Baginda menasihatkan Bunyamin supaya jangan bersedih dengan apa yang mereka telah lakukan terhadapnya. Bersabarlah sebab itu ujian sementara sahaja. Baginda mengingatkan adiknya itu dan kita juga, begitulah kalau hidup di dunia ini tidak akan terlepas daripada ujian.

Ini mengajar kita yang kita mestilah membantu mangsa buli dan selamatkan mereka. Kita kena perhatikan tanda-tanda seseorang itu mungkin dibuli dan bertindak dengan menyelamatkan mereka. Ini kerana kejadian buli selalunya dirahsiakan oleh pembuli dan mangsa buli sekali. Maka kita kenalah perhati dengan lebih mendalam sedikit. Membantu mangsa buli memerlukan pendekatan yang sensitif, empati, dan strategik. Peranan kita, sama ada sebagai keluarga, rakan, ibu bapa, guru, atau orang asing, adalah untuk memberi sokongan dan memastikan keselamatan mereka. Berikan ruang kepada mangsa untuk menceritakan pengalaman mereka tanpa mengganggu, meremehkan, atau menyalahkan mereka. Elakkan frasa seperti “Kenapa kamu tak melawan?” atau “Mungkin kamu yang salah faham.” Akui bahawa apa yang mereka lalui adalah serius dan menyakitkan. Contohnya: “Saya faham kamu pasti rasa takut dan sedih. Apa yang berlaku bukan salah kamu.” Akhir sekali, ingatkan mangsa tentang kelebihan dan nilai diri mereka. Buli sering meruntuhkan harga diri; bantu mereka membina semula keyakinan diri mereka.

Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini turun di Mekah ketika Nabi ﷺ menghadapi tekanan, penghinaan, pemboikotan dan pengkhianatan kaum Quraisy. Jadi ia adalah tasliah kepada baginda juga. Ayat ini menyediakan hiburan untuk baginda bahawa:

    • Pengkhianatan ahli keluarga boleh berlaku pada para nabi, bukan hanya pada baginda ﷺ.
    • Kebenaran akan muncul pada waktunya.
    • Bantuan Allah ‎ﷻ datang dalam cara yang tidak dijangka.

Pengajaran kepada kita adalah kes buli ini boleh berlaku di mana-mana sahaja. Bayangkan di dalam rumah seorang Nabi pun ia boleh berlaku. Jangan kita sangka kalau nampak luaran itu baik sahaja, bermakna suasana tenang sahaja. Masalahnya kes buli ini selalunya dirahsiakan. Kita pun tahu di sekolah pun kes buli dirahsiakan kerana tidak mahu nama sekolah menjadi buruk. Maka begitu jugalah kes buli di rumah kerana kononnya hendak menjaga nama baik keluarga di mata masyarakat.

Di sini kita belajar yang kes sebegini tidak boleh dipendamkan. Kita sekarang melihat bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menenangkan adiknya. Tidaklah baginda berkhutbah supaya adiknya bersabar, jangan burukkan nama keluarga, jangan ghibah orang lain. Baginda terima yang buli telah berlaku dan baginda akan mengambil tindakan. Perkara sebegini tidak sepatutnya disenyapkan dan jangan pula ada yang kata ia ghibah jadi orang yang dibuli tidak boleh menceritakan kepada orang lain. Ini adalah pandangan yang salah dan datang daripada orang yang tidak faham apa maksud ghibah. Sebenarnya kalau ada orang yang dizalimi, dia boleh beritahu kepada orang lain supaya dia dapat diselamatkan daripada kezaliman itu.

Selain itu, janganlah hendak dijaga sangat nama baik keluarga. Ini masalah yang besar yang menyebabkan buli terus berlaku. Oleh kerana banyak anak yang dibuli, diseksa oleh ahli keluarga lain, mereka akan disenyapkan. Sebagai contoh, kalau seorang bapa meliwat anaknya, dan diberitahu kepada si ibu, ibu itu akan suruh anaknya itu senyap sahaja. Malah kadangkala anak itu pula yang dipersalahkan!

Begitu juga bagi orang yang diberitahu tentang masalah ini, maka kenalah lakukan apa yang perlu untuk selamatkan orang itu. Mungkin kita boleh laporkan kepada pihak berwajib, mungkin kita ambil orang yang sedang dibuli itu untuk selamatkan dia. Apa-apa sahaja tindakan yang segera. Bukannya bagi nasihat ‘agama’ pula kepada orang itu suruh dia bersabar sahaja, ingat Allah, ingat akhirat. Ya, itu memang nasihat yang baik, tetapi yang lebih diperlukan sekarang adalah terus menyelamatkan orang yang dibuli dan dizalimi itu. Selagi kita tangguhkan maka selama itulah lagi orang itu terseksa. Amat malang sekali kadangkala jika lambat bertindak boleh mengakibatkan ada nyawa yang melayang!

Kuiz Pemahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam dua hingga tiga ayat, berdasarkan maklumat daripada teks tafsir yang disediakan.

1. Apakah nasihat yang diberikan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada anak-anaknya sebelum mereka memasuki Mesir, dan apakah alasan di sebalik nasihat tersebut?

2. Adakah rancangan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berjaya menghalang takdir Allah ‎ﷻ? Jelaskan jawapan anda.

3. Menurut teks, apakah “keinginan pada diri Ya’qub” (حَاجَةً فِى نَفسِ يَعقُوبَ) yang telah dipenuhinya melalui rancangannya itu?

4. Teks tersebut menyatakan bahawa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang yang “mempunyai ilmu” (لَذُو عِلمٍ). Adakah ini bermaksud baginda mengetahui ilmu ghaib?

5. Apakah pengajaran utama daripada kisah Khalifah Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Wabak Taun Amwas yang berkaitan dengan konsep takdir dan usaha?

6. Bagaimanakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengatur pertemuan secara rahsia dengan adiknya, Bunyamin, setelah mereka tiba di Mesir?

7. Apakah maksud kalimah آوىٰ (aawaa) dan mengapa ia digunakan untuk menggambarkan tindakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap Bunyamin?

8. Apakah nasihat pertama yang diberikan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada Bunyamin sejurus selepas mendedahkan identitinya?

9. Menurut tafsir, mengapakah abang-abang yang lain tidak menyukai Bunyamin, sama seperti mereka tidak menyukai Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu?

10. Apakah pendirian teks mengenai tindakan menceritakan kezaliman atau buli yang dialami kepada orang lain? Adakah ia dianggap sebagai ghibah yang dilarang?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Menurut Konteks Sumber
Iradah
Berkemahuan. Teks menggunakannya dalam konteks kehendak atau kemahuan Allah ‎ﷻ.
Takdir
Ketentuan Allah ﷻ. Dinyatakan bahawa usaha manusia tidak dapat melepaskan diri daripada takdir Allah ﷻ, tetapi usaha itu sendiri adalah sebahagian daripada takdir.
Hukum Asbab
Hukum sebab dan akibat (cause and effect). Teks menyatakan bahawa selagi manusia hidup di dunia, mereka perlu mengikuti hukum ini, seperti mengambil langkah keselamatan.
Ilmu Ghaib
Pengetahuan tentang perkara yang tersembunyi atau masa depan. Teks menekankan bahawa para Nabi, termasuk Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Muhammad ﷺ, tidak memiliki ilmu ini.
Tasliah
Pujukan, hiburan, atau ketenangan. Kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut sebagai tasliah kepada Nabi Muhammad ﷺ dan juga kepada adiknya, Bunyamin.
Ghibah
Mengumpat. Teks menjelaskan bahawa memberitahu kezaliman yang dialami kepada orang lain untuk mendapatkan bantuan bukanlah ghibah yang dilarang.
آوىٰ (Aawaa)
Kata kerja yang bermaksud menyelamatkan daripada bahaya, mencari perlindungan, menempatkan seseorang dengan penuh kasih, atau memeluk. Ia digunakan untuk tindakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang melindungi Bunyamin.
تَبتَئِس (Tabta’is)
Berasal daripada kata dasar yang membawa makna menjadi sengsara, melarat, sedih, atau berdukacita. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan perkataan ini untuk menasihati Bunyamin agar tidak bersedih.
إِنّي (Inni)
Kalimah yang membawa maksud “sesungguhnya aku”. Penggunaannya oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersama kalimah أَنَا۟ (ana’) bertujuan untuk memberi penekanan yang kuat ketika memperkenalkan dirinya kepada Bunyamin.
Anak Emas
Istilah yang digunakan untuk menggambarkan anak yang paling disayangi oleh ibu bapa, yang sering kali menyebabkan kecemburuan dalam kalangan adik-beradik lain.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 14 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 68 – 69 (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selamatkan Bunyamin)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz
    1. Nabi Ya’qub عليه السلام menasihati anak-anaknya agar masuk ke kota Mesir melalui pintu-pintu yang berlainan dan tidak secara serentak melalui satu pintu. Nasihat ini bertujuan untuk keselamatan mereka, kerana rancangan tersebut nampak bagus dan masuk akal.
    2. Tidak, rancangan tersebut tidak melepaskan mereka daripada takdir Allah. Ini terbukti apabila Bunyamin tetap ditahan di Mesir dan seorang lagi abangnya juga tidak pulang, menunjukkan bahawa musibah tetap menimpa mereka walaupun mereka telah berusaha.
    3. Keinginan itu adalah keperluan untuk memenuhi kehendak emosi Nabi Ya’qub عليه السلام untuk memastikan keselamatan anak-anaknya dan sebagai usaha untuk bertemu semula dengan Nabi Yusuf. Manusia akan merasa puas hati apabila telah melakukan segala yang mereka mampu, dan tindakan ini adalah manifestasi daripada perasaan tersebut.
    4. Tidak, ia tidak bermaksud baginda mengetahui ilmu ghaib. Ilmu yang dimiliki oleh Nabi Ya’qub datang daripada wahyu yang diajarkan oleh Allah kepadanya, bukan pengetahuan tentang perkara ghaib. Para Nabi tidak mempunyai ilmu ghaib.
    5. Pengajaran utamanya ialah kita perlu berusaha dan mengambil langkah keselamatan (mengikut hukum asbab) dan tidak hanya menyerah kepada takdir. Jawapan masyhur Khalifah Umar, “kami lari dari takdir Allah menuju takdir Allah yang lain,” menunjukkan bahawa memilih untuk mengelak bahaya juga merupakan sebahagian daripada takdir Allah.
    6. Nabi Yusuf عليه السلام menempatkan abang-abangnya dua orang sebilik. Ini menyebabkan Bunyamin tinggal seorang diri di dalam biliknya, lalu memberi peluang kepada Nabi Yusuf untuk berjumpa dengannya secara rahsia dan selamat.
    7. Kalimah آوىٰ bermaksud menyelamatkan dari bahaya, mencari perlindungan, atau menempatkan seseorang dengan penuh kasih. Ia digunakan kerana Bunyamin dianggap lemah dan perlu diselamatkan daripada abang-abangnya yang juga telah berlaku tidak baik kepadanya, sama seperti mereka berlaku kepada Nabi Yusuf dahulu.
    8. Sejurus selepas mendedahkan dirinya dengan berkata “Sesungguhnya aku ini adalah saudaramu”, Nabi Yusuf terus menasihati Bunyamin dengan berkata, “maka janganlah kamu berdukacita terhadap apa yang telah mereka kerjakan”. Ini adalah satu pujukan (tasliah) untuk menenangkan adiknya.
    9. Abang-abangnya tidak menyukai Bunyamin kerana ayah mereka, Nabi Ya’qub عليه السلام, sangat menyayangi dan menjaganya dengan sungguh-sungguh selepas kehilangan Nabi Yusuf. Situasi ini sama seperti dahulu di mana mereka cemburu terhadap Nabi Yusuf kerana menjadi “anak emas” ayah mereka.
    10. Tidak, ia tidak dianggap ghibah yang dilarang. Teks tersebut menjelaskan bahawa seseorang yang dizalimi atau dibuli boleh memberitahu orang lain tentang kezaliman itu dengan tujuan untuk diselamatkan. Menyembunyikan kezaliman demi menjaga nama baik keluarga dianggap satu kesalahan besar.

    Like

Leave a comment