Yusuf Ayat 61:
قَالُواْ سَنُرٰوِدُ عَنهُ أَبَاهُ وَإِنَّا لَفَـٰعِلُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They said, “We will attempt to dissuade his father from [keeping] him, and indeed, we will do [it].”
(MALAY)
Mereka berkata: “Kami akan memujuk bapanya untuk membawanya (ke mari) dan sesungguhnya kami benar-benar akan melaksanakannya”.
قَالُواْ سَنُرٰوِدُ عَنهُ أَبَاهُ
Mereka berkata: “Kami akan memujuk bapanya berkenaannya
Kalimah سَنُراوِدُ bermaksud: Kami akan mengubah pendirian seseorang. Ia daripada kata dasar yang sama dengan kalimah رٰوَدَتۡ dalam ayat 23, 25, 32, 51; kalimah تُرَٲوِدُ dalam ayat 30. Ia bermaksud memujuk atau mengambil sesuatu yang berharga daripada seseorang. Kalau dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, isteri Al-Aziz hendak mengambil maruah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan dalam kes adik beradik ini, mereka hendak mengambil anak kesayangannya. Tentulah ia sukar dilakukan.
Namun di sini mereka sebut yang mereka akan cuba mengubah pendirian bapa mereka (Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Kenapa mereka beriya pula? Kerana sekarang melibatkan barang yang mereka perlukan daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tentulah mereka akan buat sedaya upaya mereka. Daripada kata-kata mereka ini kita dapat agak yang ini bukanlah senang kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berkeras tidak membenarkan Bunyamin dibawa mereka ke mana-mana.
وَإِنَّا لَفَـٰعِلُونَ
dan sesungguhnya kami benar-benar akan melaksanakannya”.
Mereka berjanji akan bersungguh-sungguh untuk melakukannya. Mereka kata mereka akan bersungguh-sungguh untuk membawa Bunyamin datang pada tahun hadapan. Mereka bersungguh-sungguh akan memujuk ayah mereka nanti. Jawapan daripada abang-abang ini memberi isyarat yang permintaan mereka itu akan sukar diterima oleh bapa mereka. Mereka pun tahu ia sukar kerana mereka tahu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ amat sayangkan Bunyamin. Namun ada mereka kisah? Mereka sudah tidak kisah. Mereka sudah pernah buat pun dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu, sekarang apalah sangat? Mereka mengaku yang mereka hendak dapatkan kasih sayang daripada bapa mereka, tetapi lihatlah mereka tidak kisah pun bapa mereka sedih ataupun tidak.
Mungkin timbul persoalan di sini: kenapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak terus sahaja beritahu mereka yang baginda adalah Yusuf yang mereka telah tinggalkan? Dalam soaljawab baginda dengan abang-abang baginda, tentu baginda telah dapat tahu yang bapa mereka sangat sedih dengan kehilangan baginda dan sampai telah buta matanya kerana terlalu banyak menangis. Kenapakah tidak terus beritahu sahaja yang baginda ada dan selamat sekarang? Bukan sekarang sahaja, malah ketika baginda duduk berkhidmat di rumah Al-Aziz pun baginda sudah boleh beritahu, tambahan pula sekarang baginda sudah mempunyai kedudukan dan mampu sangat untuk menyampaikan berita kepada bapa mereka. Kenapa baginda suruh dibawa pula adiknya Bunyamin sedangkan baginda tahu itulah anak kesayangan bapanya selepas diri baginda sendiri? Tidakkah baginda tahu yang kalau Bunyamin pun dipisahkan daripada baginda, itu akan lebih menyedihkan lagi hati bapa baginda Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
Menurut pendapat Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ, satu penjelasan sahaja yang ada, iaitu Allah ﷻ telah menghalang baginda daripada memberitahu hal itu melalui wahyu kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini mungkin sebagai ujian kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Rasulullah ﷺ telah bersabda,
“Barangsiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, nescaya Dia akan memberinya musibah (ujian).”
(Riwayat al-Bukhari No. 5645)
Allah ﷻ hendak memberikan pahala tambahan kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana,
“Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung kepada besarnya ujian. Dan sesungguhnya Allah, apabila Dia mencintai sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Barangsiapa yang redha (terhadap ujian itu), maka baginya keredhaan Allah. Dan barangsiapa yang berkeluh-kesah (marah/tidak suka), maka baginya kemurkaan Allah.”
(Riwayat al-Tirmidzi No. 2396 dan Ibnu Majah No. 4031)
Tambahan pula Nabi Ya’kub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang Nabi dan seorang Nabi memang diberikan ujian yang berganda, seperti yang telah diberitahu oleh Rasulullah ﷺ,
“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para Nabi, kemudian orang-orang yang seumpama mereka, kemudian orang-orang yang seumpama mereka. Seseorang akan diuji mengikut kadar (kekuatan) agamanya.”
(Riwayat al-Tirmidzi No. 2398 dan Ahmad No. 1481)
Lagi satu, kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak boleh melayan perasaannya dan kembali ke rumah bapanya kerana baginda mempunyai tugas yang lebih besar untuk menyelamatkan manusia. Sekiranya baginda pulang ke kampung sebulan dua, kemudian ada sesuatu terjadi, bagaimana? Baginda terpaksa mementingkan kepentingan orang ramai melebihi kepentingan diri sendiri dan keluarga baginda.
Yusuf Ayat 62:
وَقَالَ لِفِتيَـٰنِهِ ٱجعَلُواْ بِضَـٰعَتَهُم فِى رِحَالِهِم لَعَلَّهُم يَعرِفُونَهَآ إِذَا ٱنقَلَبُوٓاْ إِلَىٰٓ أَهلِهِم لَعَلَّهُم يَرجِعُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And [Joseph] said to his servants, “Put their merchandise¹ into their saddlebags so they might recognize it when they have gone back to their people that perhaps they will [again] return.”
- The goods which they had brought to trade for food supplies.
(MALAY)
Yusuf berkata kepada pembantu-pembantunya: “Masukkanlah barang-barang (penukar kepunyaan mereka) ke dalam karung-karung mereka, supaya mereka mengetahuinya apabila mereka telah kembali kepada keluarganya, mudah-mudahan mereka kembali lagi”.
وَقَالَ لِفِتيَـٰنِهِ ٱجعَلُواْ بِضَـٰعَتَهُم فِى رِحَالِهِم
Yusuf berkata kepada pembantu-pembantunya: “Masukkanlah barang-barang mereka ke dalam karung-karung mereka,
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengarahkan agar dimasukkan semula barang yang mereka bawa sebagai ganti kepada makanan dari Mesir itu. Orang yang datang untuk meminta bantuan makanan dari Mesir, mestilah datang dengan membawa galang gantinya, sama ada dalam bentuk wang atau barangan. Berkemungkinan mereka menggunakan sistem barter pada ketika. Abang-abang baginda pun ada membawa barang-barang itu dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyuruh pembantunya memasukkan semula ke dalam beg kantung mereka.
Kalimah رِحَالِ merujuk kepada karung barang yang diletakkan di atas unta.
Apabila digunakan بِضَـٰعَتَهُم ia bermaksud dimasukkan semula barang yang mereka sendiri bawa. Maknanya ketika mereka sampai, mereka telah menyerahkan barang barter mereka itu, kemudian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyuruh pembantu-pembantunya memasukkan barang yang sama. Ini supaya mereka kenal itu adalah barang mereka sendiri.
لَعَلَّهُم يَعرِفُونَهَآ إِذَا ٱنقَلَبُوٓاْ إِلَىٰٓ أَهلِهِم
supaya mereka mengetahuinya apabila mereka telah kembali kepada keluarganya,
Tujuan baginda adalah supaya mereka balik nanti, mereka tahu yang itu adalah pemberian daripada baginda. Sebenarnya baginda sebagai pemerintah, tidak perlu pun jelaskan kepada pekerja/hamba tentang perbuatan mereka, namun di sini kita lihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjelaskan kenapa baginda berbuat begitu. Mungkin baginda tidak mahu orang bawahan baginda salah faham, nanti dicanang kepada orang lain pula dan menjatuhkan reputasi baginda. Baginda juga mengajar mereka supaya jangan khianat dalam hal sebegini. Jadi baginda sedang mengajar akhlak kepada orang bawahan baginda supaya tidak salahguna kuasa.
Namun bukankah baginda juga telah khianat dengan harta kerajaan? Kita kena faham yang ini bukan khianat harta kerajaan Mesir. Berkemungkinan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membayar kembali apa yang diberikan itu kepada kerajaan Mesir dengan baginda menggantikan dengan gaji baginda. Atau, memang itu adalah pemberian percuma yang kerajaan berikan kepada orang-orang yang sangat memerlukan.
لَعَلَّهُم يَرجِعونَ
mudah-mudahan mereka kembali lagi”.
Tujuan baginda buat begitu adalah untuk menunjukkan yang baginda baik dan pemurah supaya mereka senang hati untuk datang ke Mesir lagi tahun hadapan bagi mengenangkan jasa baginda.
Tujuan keduanya, supaya mereka ada barang pertukaran untuk datang tahun hadapan. Ini kerana mereka sendiri tidak ada banyak harta, dan kalau baginda ambil juga harta yang mereka bawa itu, nanti tahun hadapan mereka tidak ada barangan untuk diganti dengan gandum lagi. Baginda tidak mahu itu menjadi alasan mereka tidak datang kerana baginda memang mahukan mereka datang.
Ketiganya, mungkin akan menyebabkan mereka rasa bersalah kerana mungkin ada kesilapan yang menyebabkan mereka perlu kembali untuk mengembalikan bayaran mereka itu yang mungkin telah tersalah dimasukkan.
ADIK BERADIK KEMBALI PULANG KE KAMPUNG
Yusuf Ayat 63:
فَلَمَّا رَجَعُوٓاْ إِلَىٰٓ أَبِيهِم قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَا مُنِعَ مِنَّا ٱلكَيلُ فَأَرسِل مَعَنَآ أَخَانَا نَڪتَل وَإِنَّا لَهُ ۥ لَحَـٰفِظُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So when they returned to their father, they said, “O our father, [further] measure has been denied to us, so send with us our brother [that] we will be given measure. And indeed, we will be his guardians.”
(MALAY)
Maka tatkala mereka telah kembali kepada bapa mereka (Ya’qub) mereka berkata: “Wahai bapa kami, kami tidak akan mendapat sukatan (gandum) lagi, (jika tidak membawa saudara kami), sebab itu biarkanlah saudara kami pergi bersama-sama kami supaya kami mendapat sukatan, dan sesungguhnya kami benar-benar akan menjaganya”.
فَلَمَّا رَجَعُوٓاْ إِلَىٰٓ أَبِيهِم
Maka tatkala mereka telah kembali kepada bapa mereka
Ini setelah perjalanan mereka sampai dari Mesir ke Kan’an dan mereka telah menghadap bapa mereka. Sekarang kita akan lihat bagaimana cara mereka untuk memujuk baginda bagi melepaskan Bunyamin.
قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَا مُنِعَ مِنَّا ٱلكَيلُ
mereka berkata: “Wahai bapa kami, telah ditahan sukatan kepada kami.
Mereka beritahu bapa mereka apa yang telah diberitahu kepada mereka oleh Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menteri kewangan Mesir semasa mereka berada di sana untuk mendapatkan muatan gandum. Kalimah مُنِعَ bermaksud telah ditahan. Ia boleh membawa dua maksud:
1. Mereka telah ditahan daripada mendapat bahagian ke 11 iaitu bahagian Bunyamin kerana Bunyamin tidak datang.
2. Atau ia bermaksud mereka ditahan untuk mendapat bahagian lagi kalau tidak bawa Bunyamin selepas ini.
Oleh itu mereka beritahu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tahun hadapan mereka kena juga bawa Bunyamin, kalau tidak mereka tidak akan mendapat bahagian muatan gandum lagi.
Bukanlah ini sahaja mereka cakap kepada bapa mereka. Tentulah setelah mereka beritahu pengalaman mereka di sana dan pertemuan mereka dengan Al-Aziz Mesir itu. Akan tetapi Al-Qur’an hanya menyebut tentang isu ini kerana inilah isu yang penting.
فَأَرسِل مَعَنَآ أَخَانَا نَڪتَل
sebab itu hantarlah saudara kami pergi bersama-sama kami supaya kami mendapat sukatan,
Maka mereka berharap sangat yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan melepaskan Bunyamin untuk pergi bersama dengan mereka pada tahun hadapan. Tujuannya satu sahaja, supaya mereka tetap mendapat bahagian makanan lagi dan kali ini dengan lebih banyak lagi.
وَإِنَّا لَهُ ۥ لَحَـٰفِظُونَ
dan sesungguhnya kami benar benar akan menjaganya”.
Kali ini mereka berjanji lagi macam mereka berjanji tentang penjagaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu. Ingat kembali ayat 12 dahulu apabila mereka hendak bawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ,
أَرسِلهُ مَعَنَا غَدًا يَرتَع وَيَلعَب وَإِنَّا لَهُ ۥ لَحَـٰفِظُونَ
Biarkanlah dia pergi bersama kami esok pagi, agar dia (dapat) makan-makan dan (dapat) bermain-main, dan sesungguhnya kami pasti menjaganya”.
Jadi mereka menggunakan helah dan janji sama seperti sebelum itu. Mereka dulu sudah berjaya menipu bapa mereka dengan cara itu, kali ini mereka menggunakan kata-kata yang sama. Namun bezanya, kali ini memang janji mereka yang sebenar. Tidaklah macam dahulu janji tipu sahaja konon mereka berjanji untuk menjaga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi sebenarnya mereka telah berniat untuk meninggalkan baginda di dalam telaga supaya diambil orang. Kali ini janji mereka jujur kerana mereka berkepentingan untuk mendapatkan makanan pada waktu itu.
Yusuf Ayat 64: Ini adalah jawapan balas daripada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
قَالَ هَل ءَامَنُكُم عَلَيهِ إِلَّا ڪَمَآ أَمِنتُكُم عَلَىٰٓ أَخِيهِ مِن قَبلُۖ فَٱللَّهُ خَيرٌ حَـٰفِظًاۖ وَهُوَ أَرحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He said, “Should I entrust you with him except [under coercion] as I entrusted you with his brother before? But Allāh is the best guardian, and He is the most merciful of the merciful.”
(MALAY)
Berkata Ya’qub: “Bagaimana aku akan mempercayakannya (Bunyamin) kepadamu, kecuali seperti aku telah mempercayakan saudaranya (Yusuf) kepada kamu dahulu?”. Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang.
قَالَ هَل ءَامَنُكُم عَلَيهِ إِلَّا ڪَمَآ أَمِنتُكُم عَلَىٰٓ أَخِيهِ مِن قَبلُۖ
Berkata Ya’qub: “Adakah aku akan mempercayakannya kepadamu seperti aku telah mempercayakan saudaranya (Yusuf) kepada kamu dahulu?”
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata, bagaimanalah baginda hendak percayakan mereka lagi? Seolah baginda berkata: “Adakah kamu ini hendak aku berikan Bunyamin macam dulu aku telah berikan Yusuf kepada kalian? Adakah kalian sangka aku akan percaya kalian lagi?” Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak percayakan mereka kerana takut jadi seperti dahulu. Baginda katakan baginda takut akan terjadi lagi seperti yang mereka lakukan terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dahulu. Waktu itu mereka beriya-iya berjanji untuk menjaga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ namun kemudian mereka kata Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dimakan serigala. Jadi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak salah jika berpegangan begitu kerana anak-anaknya itu dahulu sudah ada rekod buruk. Mereka memang anak-anak yang tidak boleh dipercayai. Kalau orang sudah buat salah dengan kita dan ada rekod buruk, maka kita kenalah berhati-hati. Rasulullah ﷺ telah mengajar kita di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“Tidak selayaknya seorang mukmin itu disengat (dipatuk) sebanyak dua kali daripada satu lubang (sarang) yang sama.”
(Sahih Bukhari No. 6133 dan Sahih Muslim No. 2998)
Walaupun kali ini anak-anaknya itu memang ikhlas untuk menjaga Bunyamin, namun baginda tidak tahu kerana baginda tidak tahu hati mereka. Baginda tidak tahu perkara ghaib. Ini adalah akidah pegangan kita – iaitu para Nabi tidak tahu perkara ghaib melainkan apa yang disampaikan kepada mereka sahaja. Malangnya, ada kalangan orang Islam sendiri yang salah faham perkara ini – mereka sangka para Nabi itu tahu perkara ghaib. Ini semua berpunca daripada tidak belajar sahaja kerana banyak sangat dalil dalam Al-Qur’an tentang perkara ini. Yang lebih teruk lagi, mereka sangka ada manusia yang bukan Nabi pun tahu perkara ghaib. Kerana itulah ada yang takut dengan orang alim, guru mereka dan sesetengah manusia. Mereka sangka yang orang-orang itu tahu isi hati mereka, tahu apa yang mereka telah buat. Maka ini adalah syirik kerana percaya ada makhluk yang memiliki kuasa Allah ﷻ.
Ayat ini mengajar kita yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak tahu perkara ghaib walaupun baginda seorang Nabi. Baginda tidak tahu perancangan yang dilakukan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah sebenarnya untuk menjaga Bunyamin.
Perhatikan di sini Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan istilah أَخِيهِ (saudara Bunyamin) dan bukan أَخِيكُم (saudara kalian). Ini ada dua kemungkinan. Mungkin kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin daripada ibu yang sama, atau kerana abang-abangnya itu pun tidak pernah menganggap atau melayan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti adik mereka sendiri.
Dari sini kita dapat melihat bagaimana besarnya jiwa Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda tahu apa yang anak-anaknya itu telah lakukan terhadap adik mereka. Namun tidaklah baginda buang mereka dan tidak mengaku anak-anak lagi. Walaupun nampak baginda marah di sini, tetapi baginda tidaklah buang mereka terus dari sisi baginda. Ini mengajar kita yang anak-anak kita tetap anak-anak kita. Mereka mungkin melakukan kesilapan, namun kita jangan sampai buang mereka. Selagi ada nyawa dan peluang, maka hendaklah kita terus mendidik mereka dan mengajar mereka cara kehidupan yang benar. Kalau kita buang mereka, berkemungkinan besar mereka akan menjadi lebih teruk lagi.
Namun ia juga mengajar kita yang seorang bapa boleh memarahi anak-anak mereka. Lihatlah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tegur dan perli mereka sebagai pengajaran kepada mereka.
فَٱللَّهُ خَيرٌ حَـٰفِظًا
Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga
Baginda memberitahu mereka yang Allah ﷻ yang paling baik menjaga. Mereka kata mereka akan jaga Bunyamin tetapi baginda tidak percayakan mereka kerana mereka tidak akan mampu. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata hanya Allah ﷻ sahaja yang mampu menjaganya: Bukan baginda yang jaga; dan bukan juga mereka yang menjaga. Kalau mereka kata mereka hendak jaga pun, tetapi itu bukanlah dalam tangan mereka. Mereka boleh berharap sahaja, namun ketentuan di tangan Allah ﷻ. Di sini baginda mengajar kita untuk berharap kepada Allah ﷻ dan meletakkan diri kita di tangan Allah ﷻ.
Ia juga mengajar tauhid kepada kita iaitu hanya Allah ﷻ sahaja yang sebenarnya boleh memelihara kita. Kalau tidak ada penjaga pun tetapi kalau Allah ﷻ menjaga, akan selamat juga seperti disebut kisah dua anak yatim di dalam Kahf:82
وَأَمَّا ٱلجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَـٰمَينِ يَتِيمَينِ فِى ٱلمَدِينَةِ وَكَانَ تَحتَهُ ۥ كَنزٌ لَّهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَـٰلِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبلُغَآ أَشُدَّهُمَا وَيَستَخرِجَا كَنزَهُمَا رَحمَةً مِّن رَّبِّكَۚ
Adapun tembok itu pula, ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat daripada Tuhanmu (kepada mereka).
Ada pendapat yang mengatakan frasa ini memberi indikasi yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seolah-olah telah membenarkan abang-abangnya itu membawa Bunyamin. Namun begitu pendapat yang lebih kuat adalah tidak, kerana kebenaran hanya diberikan kemudian. Sekarang masih lagi baginda tidak membenarkan Bunyamin dibawa.
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata begini kerana hendak mengingatkan yang tidak ada sesiapa yang boleh menentukan keselamatan sesiapa pun. Dahulu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ baginda telah amanahkan kepada mereka, tetapi kemudian hilang entah ke mana. Kali ini pun kalau mereka bawa Bunyamin, mereka tidak akan dapat memastikan yang beliau akan selamat.
وَهُوَ أَرحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ
dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang.
Ingatlah yang Allah ﷻ amat sayang kepada makhluk-Nya. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tersedar yang baginda telah marah kepada anak-anaknya, jadi baginda doa untuk menenangkan dirinya. Baginda ingatkan diri baginda yang Allah ﷻ yang penyayang. Ini mengajar kita, kalau apabila sudah marah pun kena ingat kepada Allah ﷻ. Dengan kata-kata daripada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, baginda telah menolak permintaan anak-anaknya itu dengan lembut. Mungkin juga baginda sedang memikirkan apakah yang baginda perlu lakukan.
Yusuf Ayat 65:
وَلَمَّا فَتَحُواْ مَتَـٰعَهُم وَجَدُواْ بِضَـٰعَتَهُم رُدَّت إِلَيْهِم ۖ قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَا مَا نَبغِىۖ هَـٰذِهِۦ بِضَـٰعَتُنَا رُدَّت إِلَينَاۖ وَنَمِيرُ أَهلَنَا وَنَحفَظُ أَخَانَا وَنَزدَادُ كَيلَ بَعِيرٍ ۖ ذَٰلِكَ ڪَيلٌ يَسِيرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And when they opened their baggage, they found their merchandise returned to them. They said, “O our father, what [more] could we desire? This is our merchandise returned to us. And we will obtain supplies [i.e., food] for our family and protect our brother and obtain an increase of a camel’s load; that is an easy measurement.”¹
- For them. Or one obtained by us with ease.
(MALAY)
Tatkala mereka membuka barang-barangnya, mereka menemukan kembali barang-barang (penukaran) mereka, dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata: “Wahai bapa kami apa lagi yang kita inginkan. Ini barang-barang kita dikembalikan kepada kita, dan kami akan dapat memberi makan keluarga kami, dan kami akan dapat memelihara saudara kami, dan kami akan mendapat tambahan sukatan (gandum) seberat beban seekor unta. Itu adalah sukatan yang mudah (bagi raja Mesir)”.
وَلَمَّا فَتَحُواْ مَتَـٰعَهُم وَجَدُواْ بِضَـٰعَتَهُم رُدَّت إِلَيْهِم
Tatkala mereka membuka barang-barang mereka, mereka menemukan kembali barang-barang (penukaran) mereka, dikembalikan kepada mereka.
Setelah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak membenarkan Bunyamin dibawa, tidak disebut apakah penerimaan abang-abang itu. Mereka pun nampak mereka tidak ada hujah lagi untuk memujuk bapa mereka itu. Sebelum ini telah disebut bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengarahkan supaya dimasukkan kembali barang pertukaran mereka ke dalam karung-karung mereka. Sekarang disebut apabila mereka membuka karung-karung mereka, maka mereka nampaklah barang yang mereka telah serahkan kepada kerajaan Mesir sebagai ganti gandum dahulu. Lalu, mereka sedarlah yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengembalikan kepada mereka. Maka sekarang mereka memujuk kembali dengan membawa hujah yang lain pula.
قَالُواْ يَـٰٓأَبَانَا مَا نَبغِى
Mereka berkata: “Wahai bapa kami apa lagi yang kita inginkan?
Mereka sudah mendapat hujah baru untuk dibawa kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk membenarkan mereka membawa Bunyamin. Mereka kata apa lagi yang kita inginkan? Apa lagi yang perlu dicari keputusan untuk membenarkan kami membawa Bunyamin ke Mesir? Lihatlah di sini dipulangkan kembali barang kita disebabkan oleh kemurahan Menteri Mesir itu.
Ia juga boleh bermaksud mereka tidak perlu lagi hendak mencari barang gantian untuk pergi lagi ke Mesir untuk membeli makanan kerana mereka sekarang sudah mendapat duit mereka kembali.
Atau, kalau kita gunakan istilah نَبغِى ini sebagai ‘kami melampau’, ia bermaksud mereka tidak akan melampau lagi. Mereka tidak akan buat seperti apa yang mereka telah lakukan terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
هَـٰذِهِۦ بِضَـٰعَتُنَا رُدَّت إِلَينَا
Ini barang-barang kita dikembalikan kepada kita,
Lihatlah barang-barang yang kita bawa sebagai tukaran makanan telah dikembalikan kepada kita. Baik sungguh Menteri Mesir itu. Dengan adanya harta kita ini, bolehlah kita pergi semula ke Mesir menggunakannya kembali untuk membeli makanan lagi.
Di sini mengandungi satu hukum iaitu sekiranya kita terima balik barang kita yang sepatutnya telah diberikan kepada orang, tetapi kita dengan sangkaan yang kuat percaya yang sebenarnya ia telah dikembalikan kepada kita, maka kita boleh mengambilnya. Kalau tidak ada sangkaan yang kuat, maka kita tidak boleh ambil.
Tafsiran yang lain adalah mereka menggunakan harta yang dikembalikan itu sebagai hujah: Ini mungkin ada kesilapan, sepatutnya ia telah diambil sebagai bayaran bagi makanan kita, tetapi mungkin telah tersalah letak. Maka kita sebagai orang yang baik, kena pergi ke sana untuk kembalikan semula bayaran ini.
وَنَميرُ أَهلَنا
dan kami akan dapat memberi makan keluarga kami,
Kalimah daripada kata dasar م ي ر yang bermaksud membekalkan makanan atau bekalan; menyampaikan simpanan (makanan) kepada keluarga seseorang; kedai; peruntukan; gandum; jagung. Kalau mereka dapat pergi ke Mesir dan mendapat makanan tambahan, mereka boleh memberi makanan kepada anak isteri mereka. Kalimah ميرة bermaksud makanan yang dibawa dari satu tempat ke satu tempat lain, atau makanan yang disimpan untuk masa hadapan.
وَنَحفَظُ أَخانا
dan kami akan dapat memelihara saudara kami,
Mereka berjanji sekali lagi untuk menjaga Bunyamin sekiranya dibenarkan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk dibawa ke Mesir tahun hadapan.
وَنَزدادُ كَيلَ بَعيرٍ
dan kami akan mendapat tambahan sukatan (gandum) seberat beban seekor unta.
Mereka ingatkan bapa mereka yang jikalau mereka membawa seorang lagi ahli keluarga mereka, mereka akan mendapat lebih daripada muatan 10 unta sahaja. Kali ini mereka akan mendapat muatan 11 ekor unta pula.
ذٰلِكَ كَيلٌ يَسيرٌ
Itu adalah sukatan yang mudah
Kalau Bunyamin datang, mereka akan mendapat muatan tambahan seekor dengan mudah sahaja. Ini kerana mudah sahaja ia akan diberikan oleh penguasa Mesir yang baik hati itu kerana mereka ada banyak makanan lebihan. Mudah sahaja untuk Menteri Mesir itu memberi muatan tambahan untuk mereka – asalkan mereka bawa Bunyamin kali ini.
Tafsir lain: sekarang yang kita dapat adalah sedikit sahaja, dapat tahan setahun sahaja. Maka mereka kena dapatkan lebih lagi pada tahun hadapan. Ia akan memudahkan kehidupan mereka nanti.
Ia juga boleh bermaksud mereka hendak cakap yang sukatan muatan makanan yang baru dapat itu sedikit sahaja dan sekejap sahaja akan habis. Maka mereka kena pergi lagi tidak lama lagi kerana mereka memerlukan makanan.
Begitulah hujah abang-abang itu hendak membawa juga Bunyamin bersama mereka dalam perjalanan seterusnya nanti. Padahal bapa mereka telah sebut tentang anaknya yang seorang lagi (Yusuf) tetapi itu mereka buat derk sahaja, seolah tidak dengar. Yang mereka lebih pentingkan adalah perut mereka. Maknanya mereka tidak kisah dengan perasaan bapa mereka itu. Yang mereka pentingkan adalah mereka telah menjalankan tugas untuk mendapatkan makanan untuk keluarga mereka. Mereka sangka itu sudah cukup baik. Sedangkan kita di dalam kehidupan berkeluarga, bukannya kita hanya perlu beri makanan sahaja; kita juga perlu jaga hati ahli keluarga kita.
Kuiz Soalan Jawapan Ringkas
Jawab setiap soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda terhadap teks tafsir.
1. Apakah maksud kalimah سَنُرٰوِدُ seperti yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf, dan apakah kepentingannya dalam konteks ini?
2. Menurut pendapat Qurtubi yang dipetik dalam teks, apakah sebab utama Nabi Yusuf tidak terus mendedahkan identitinya kepada abang-abangnya?
3. Apakah arahan khusus yang diberikan oleh Nabi Yusuf kepada para pembantunya mengenai barang-barang (بِضَـٰعَتَهُم) milik abang-abangnya?
4. Jelaskan sekurang-kurangnya dua daripada tiga tujuan Nabi Yusuf mengembalikan barang-barang abang-abangnya tanpa pengetahuan mereka.
5. Apakah maksud sebenar kenyataan abang-abang Nabi Yusuf apabila mereka berkata kepada ayah mereka, مُنِعَ مِنَّا ٱلكَيلُ (telah ditahan sukatan kepada kami)?
6. Bagaimanakah Nabi Ya’qub menggunakan pengalaman lalunya dengan Nabi Yusuf untuk menjawab permintaan anak-anaknya untuk membawa Bunyamin?
7. Apakah pengajaran akidah penting yang dapat diambil daripada reaksi Nabi Ya’qub yang tidak mengetahui rancangan sebenar Nabi Yusuf?
8. Dalam jawapannya, Nabi Ya’qub berkata, فَٱللَّهُ خَيرٌ حَـٰفِظًا (Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga). Apakah pelajaran tauhid yang diajarkan melalui kenyataan ini?
9. Bagaimanakah penemuan barang-barang mereka yang dikembalikan telah mengubah hujah abang-abang Nabi Yusuf dalam memujuk ayah mereka?
10. Apakah tiga hujah baharu yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf untuk meyakinkan Nabi Ya’qub selepas mereka menemui semula barang-barang mereka?
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 9 November 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)


Kunci Jawapan
1. Kalimah
سَنُرٰوِدُbermaksud mereka akan berusaha mengubah pendirian ayah mereka (Nabi Ya’qub). Kepentingannya terletak pada kesukaran tugas tersebut, kerana mereka cuba mengambil Bunyamin, anak kesayangan Nabi Ya’qub, sama seperti isteri Al-Aziz cuba mengambil maruah Nabi Yusuf. Ini menunjukkan mereka akan bersungguh-sungguh kerana keperluan mereka terhadap bekalan makanan dari Mesir.2. Menurut pendapat Qurtubi, Allah telah menghalang Nabi Yusuf daripada mendedahkan identitinya melalui wahyu. Ini adalah sebahagian daripada ujian Allah kepada Nabi Ya’qub untuk memberikannya pahala tambahan, kerana ujian yang berat diberikan kepada para Nabi dan orang-orang yang dikasihi-Nya.
3. Nabi Yusuf mengarahkan pembantu-pembantunya untuk memasukkan semula barang-barang (
بِضَـٰعَتَهُم) yang dibawa oleh abang-abangnya sebagai alat tukaran (sistem barter) ke dalam karung-karung (رِحَالِ) mereka secara senyap-senyap.4. Tujuan Nabi Yusuf mengembalikan barang-barang tersebut adalah: (1) untuk menunjukkan kemurahan hatinya agar mereka senang hati untuk kembali lagi; dan (2) supaya mereka mempunyai modal atau barang tukaran untuk mendapatkan makanan pada tahun hadapan, kerana baginda tahu mereka tidak mempunyai banyak harta. Tujuan lain yang mungkin adalah untuk membuat mereka rasa bersalah dan kembali untuk memulangkan bayaran tersebut.
5. Kenyataan
مُنِعَ مِنَّا ٱلكَيلُmembawa dua kemungkinan maksud. Pertama, ia bermakna mereka tidak mendapat bahagian ke-11 (bahagian Bunyamin) kerana dia tidak hadir. Kedua, ia bermakna mereka diancam tidak akan mendapat sebarang bekalan gandum lagi pada masa hadapan jika mereka tidak membawa Bunyamin bersama.6. Nabi Ya’qub mengingatkan mereka tentang janji mereka yang lalu untuk menjaga Nabi Yusuf, yang berakhir dengan kehilangannya. Baginda mempersoalkan bagaimana baginda boleh mempercayai mereka sekali lagi dengan Bunyamin, berdasarkan rekod buruk mereka pada masa lalu, selaras dengan hadis bahawa seorang mukmin tidak sepatutnya disengat dari lubang yang sama sebanyak dua kali.
7. Reaksi Nabi Ya’qub menunjukkan bahawa para Nabi tidak mengetahui perkara ghaib melainkan apa yang diwahyukan oleh Allah kepada mereka. Baginda tidak tahu bahawa rancangan Nabi Yusuf sebenarnya adalah untuk kebaikan dan untuk menjaga Bunyamin. Ini menolak kepercayaan syirik bahawa ada manusia, sama ada Nabi atau orang alim, yang mengetahui isi hati atau perkara tersembunyi.
8. Kenyataan ini mengajar tauhid, iaitu hanya Allah sahaja penjaga dan pemelihara yang sebenar. Nabi Ya’qub menegaskan bahawa penjagaan bukanlah di tangan manusia (sama ada dirinya atau anak-anaknya), tetapi segalanya bergantung pada ketentuan Allah. Ini adalah satu bentuk penyerahan dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah.
9. Penemuan ini memberi mereka hujah baru yang kuat. Mereka menggunakannya sebagai bukti kemurahan hati menteri Mesir, dengan berkata, “Wahai ayah kami apa lagi yang kita inginkan?”. Ia juga menjadi alasan logistik, kerana mereka kini mempunyai semula modal untuk membeli makanan pada perjalanan seterusnya tanpa perlu mencari barang gantian lain.
10. Tiga hujah baharu mereka ialah: (1) mereka dapat menggunakan barang yang dikembalikan itu untuk mendapatkan bekalan makanan (
وَنَميرُ أَهلَنا); (2) mereka berjanji sekali lagi untuk menjaga Bunyamin (وَنَحفَظُ أَخانا); dan (3) dengan membawa Bunyamin, mereka akan mendapat sukatan tambahan seberat muatan seekor unta (وَنَزدادُ كَيلَ بَعيرٍ).LikeLike