Tafsir Surah Yusuf Ayat 58 – 60 (Abang-abang datang ke Mesir)

ADIK BERADIK NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ MELAWAT MESIR

Yusuf Ayat 58: Ini adalah Keadaan yang ke 10 iaitu pertemuan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan saudara-saudaranya. Ini adalah babak yang terpanjang sekali walaupun dari segi masa, ia tidaklah lama. Akan tetapi kerana ia adalah amat penting kerana kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hampir ke penghujungnya.

Ini adalah zaman kemarau ketika 7 tahun kedua. Apabila keadaan kemarau, bukan di Mesir sahaja terkesan malah di kawasan sekitar juga seperti Suria dan Kana’an (sekarang disebut Palestin). Orang-orang yang susah dari merata tempat telah datang ke negara Mesir untuk minta tolong. Ini kerana selama 7 tahun yang pertama, Mesir telah mengumpul bahan makanan untuk menghadapi zaman kemarau. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menguruskan proses itu dan baginda bukan simpan untuk rakyat Mesir sahaja tetapi melebihi daripada keperluan mereka.

Ini adalah langkah yang amat bijak kerana mereka boleh menjual bahan makanan kepada orang lain. Ini kerana tentu orang lain akan mencari makanan pada waktu itu disebabkan kebanyakan mereka keputusan bekalan makanan. Dengan itu, negara Mesir akan mendapat keuntungan banyak dengan menjualnya kepada yang memerlukan. Ramai yang akan datang untuk berjual beli dengan Mesir nanti. Kita dapat lihat bagaimana bijak sungguh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana dapat bersedia untuk masa hadapan.

Sedikit nota sebelum kita sambung kisah ini. Sebenarnya di dalam Al-Qur’an sedikit sahaja yang disebut. Di dalam hadith juga tidak banyak perincian tentang apakah yang terjadi. Jadi banyak melalui tafsir adalah andaian daripada para ulama’ yang mengisi tempat kosong untuk menjadikan penceritaan masuk akal dan menjawab persoalan yang mungkin timbul bagi pembaca dan pengkaji Al-Qur’an. Oleh kerana ia adalah pendapat, jadi banyak perbezaan pandangan dan andaian. Ini adalah biasa apabila kita belajar tafsir dan mendalami sesuatu tafsiran ayat. Kalau kita tidak terima perkara ini, konon hanya mahu menggunakan semata-mata ayat Al-Qur’an dan hadith sahih sahaja, maka kita akan kebuntuan kerana dua sumber utama ini tidak ada menyebut banyak perkara. Ini tidaklah satu kesalahan kerana memang Allah ‎ﷻ suruh kita menggunakan akal kita, bukan? Asalkan sahaja ia berpandukan kepada sumber primer yang sahih. Namun begitu bukanlah kita memandai-mandai pula mengadakan pandangan sendiri melainkan kita hanya mengambil daripada kata-kata ulama’ sahaja kerana kita tidak layak untuk membuat andaian. Cuma semakin banyak kita mengkaji, kita akan terbuka kepada beberapa pandangan yang berbeza.

وَجَآءَ إِخوَةُ يُوسُفَ فَدَخَلُواْ عَلَيهِ فَعَرَفَهُم وَهُم لَهُ ۥ مُنكِرُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the brothers of Joseph came [seeking food], and they entered upon him; and he recognized them, but he was to them unknown.¹

  • Due to the change in his appearance over the years.

(MALAY)

Dan saudara-saudara Yusuf datang (ke Mesir} lalu mereka masuk ke (tempat)nya. Maka Yusuf mengenal mereka, sedang mereka tidak kenal (lagi) kepadanya.

 

وَجَآءَ إِخوَةُ يُوسُفَ فَدَخَلُواْ عَلَيهِ

Dan saudara-saudara Yusuf datang (ke Mesir} lalu mereka masuk ke (tempat)nya. 

Perhatikan kalimah و di dalam وَجَآءَ yang bermaksud ‘dan’. Kalau di dalam penulisan bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris, permulaan sesuatu ayat tidak boleh dimulakan dengan ‘dan’. Namun begitu Al-Qur’an tidak mengikut sistem ini. Apabila ada و maka ia memberi isyarat yang ia bersambung daripada kisah yang lalu tetapi setelah sekian lama masa berlalu. Ini kerana Al-Qur’an bukanlah novel yang menyebut semua perkara satu persatu. Jadi sebelum ini telah disebut tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta dijadikan Menteri Kewangan dan selepas itu tentulah baginda telah berada di kedudukan tersebut. Sebelum ini telah disebut tentang 7 tahun yang subur dan kemudian 7 tahun kemarau, maka sekarang telah berlalu 7 tahun yang subur itu dan kita sekarang di dalam zaman kemarau di Mesir.

Namun begitu bukan sahaja Mesir yang mengalami kemarau itu malah di tempat-tempat lain juga. Oleh kerana negara tempat tinggal keluarga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Kana’an juga kemarau, mereka juga mengalami bahaya kebuluran. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mempunyai cara lain selain mengarahkan anak-anaknya untuk pergi ke Mesir kerana mereka telah mendengar yang Mesir sahaja yang memiliki makanan lebih. Mereka juga telah mendengar yang Al-Aziz Mesir itu menjual bahan makanan dengan harta yang adil. Baginda tidak mengambil peluang dengan menjual dengan harga yang tinggi. Biasanya jika ada kekurangan barangan, selalu akan ada orang yang menjual dengan harga melampau. Bayangkan semasa PKP dahulu, roti Gardenia tidak banyak, maka ada yang telah mengambil peluang dengan menjualnya dengan harga yang mahal. Ini kerana ada barang yang orang mahu dan perlu, tetapi barang itu tidak banyak. Sebaliknya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak begitu. Baginda memang menjual bahan makanan, namun tidaklah baginda menjual dengan harga yang tidak masuk akal. Ini kita boleh lihat nanti disebut,

أَلا تَرَونَ أَنّي أوفِي الكَيلَ
tidakkah kamu melihat bahawa aku menyempurnakan sukatan

Maknanya baginda menjual dengan harga yang patut dan tidaklah baginda mengurangkan takaran. Ini memberi satu hukum kepada kita semua. Menjual barang keperluan asas (seperti beras, gula, minyak masak, atau ubatan) dengan harga yang sangat tinggi semasa orang ramai berada dalam keadaan terdesak adalah dilarang keras dalam Islam, walaupun ia bukan dikategorikan sebagai riba. Larangan ini bersandar pada prinsip keadilan dan menolak kemudaratan (mudarat) dalam muamalah. Secara asalnya, Islam memberi kebebasan kepada peniaga untuk menentukan harga. Ini disokong oleh hadith Nabi ﷺ yang menolak permohonan untuk menetapkan harga (Tas’ir) pada zaman baginda kerana Allah-lah Sang Penetap Harga (Al-Musa’ir). Walau bagaimanapun, ulama Fiqh (Hanafi, Syafie dan lain-lain) berpendapat bahawa pengecualian harus diberikan dalam keadaan tertentu untuk melindungi kepentingan awam (Maslahah Ammah). Ini untuk mengelakkan peniaga daripada menjual dengan keuntungan yang melampaui batas kewajaran (Ghabn Fahisy) dan menzalimi pembeli yang terdesak. Ini bagi memastikan barangan keperluan asas sampai kepada masyarakat dengan harga yang munasabah.

Walaupun tiada had peratusan keuntungan yang jelas, dalam keadaan darurat atau krisis, peniaga wajib berpegang kepada etika perniagaan Islam yang mengutamakan keberkatan dan keadilan:

  • Moderasi: Keuntungan hendaklah pada kadar yang sederhana, bukan bertujuan memeras ugut pembeli yang terdesak.
  • Tiada Eksploitasi: Mengambil kesempatan daripada kesusahan orang lain untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda adalah suatu dosa besar (khāṭi’).
  • Prinsip Ihsan: Islam menggalakkan sikap berbuat baik (ihsan) dan memberi kemudahan (samahah) dalam jual beli. Peniaga yang menjual dengan harga yang lebih berpatutan semasa krisis adalah lebih diredhai Allah ‎ﷻ.

Selain daripada harga patut yang diberikan oleh kerajaan Mesir yang dipimpin oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga dapat tahu yang bahan makanan hanya diberikan kepada orang yang datang sahaja. Maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengarahkan semua abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk pergi ke Mesir. Maka abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun datang juga ke Mesir tetapi mereka tidak pergi bersama Bunyamin kerana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak mengizinkannya pergi sekali dengan abang-abangnya. Ini kerana dahulu mereka sudah berbuat salah dengan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan baginda tidak mahu terjadi perkara yang sama dengan anaknya Bunyamin ini. Maka, seramai 10 orang daripada abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah datang ke Mesir.

Kalimah جَآءَ (telah datang) digunakan di sini sedangkan ada lagi kalimah lagi bagi datang seperti إتى. Akan tetapi kalimah جَآءَ ada sedikit berat dan besar yang memberi isyarat yang mereka itu datang dari jauh dan dalam keadaan yang sukar. Ini kerana zaman itu cukup susah yang menyebabkan ramai orang jadi tidak betul dan sanggup merompak dan merampas harta orang lain. Jadi perjalanan  mereka bukanlah perjalanan datang melancong melainkan mereka terpaksa merentas perjalanan jauh yang merbahaya.

Mereka juga kena datang dengan barang tukaran yang mereka ada untuk mendapatkan makanan. Mesir telah membantu dengan menjual keperluan makanan kepada mereka. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah membuat peraturan iaitu, untuk setiap orang yang datang, diberikan sebanyak makanan yang boleh dibawa oleh seekor unta, maknanya satu muatan unta. Menurut Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ, beratnya adalah sebanyak satu wasaq. Dianggarkan sekitar 130 hingga 180 kilogram. Itu adalah untuk bekalan untuk setahun sahaja, tidak boleh datang untuk ambil lebih daripada itu. Jadi kena datang sendiri untuk mengambil gandum itu, tidak boleh kirim melalui orang lain. Tidak dibenarkan beli banyak-banyak lebih daripada kadar untuk seorang.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sekarang adalah Menteri yang besar yang menguruskan bahan makanan negara termasuk penjualan kepada kawasan sekeliling. Selalunya orang biasa tidak terus dapat bertemu dengan seorang menteri. Jadi abang-abang baginda ini tidaklah datang terus jumpa baginda. Kerana itu perhatikan susunan kalimat dalam ayat ini. Mula disebut mereka datang sahaja (وَجَآءَ إِخوَةُ يُوسُفَ) dan kemudian baru disebut mereka berjumpa dengan baginda (فَدَخَلُواْ عَلَيهِ). Jadi ada proses. Kenapa mereka dapat bertemu mata dengan baginda?

Ini kerana walaupun mereka tidak membawa Bunyamin, tetapi mereka cuba jugalah untuk minta bahagian untuk Bunyamin dan bapa mereka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka kata yang mereka mempunyai seorang lagi adik tetapi tidak dapat datang dan bapa mereka pula sudah tua dan tidak mampu untuk melalui perjalanan yang jauh. Apabila mereka meminta lebih daripada peraturan yang telah ditetapkan, maka mereka mestilah menghadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana hanya baginda yang dapat memberikan kelonggaran itu.

Atau, ada juga pendapat yang mengatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang menguruskan pemberian bahan makanan itu sampaikan semua orang perlu mengadap baginda. Begitulah cermatnya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam menjaga harta negara. Ini kerana sekiranya tidak dijaga dengan benar, entah ada pegawai yang mengambil peluang untuk menjual dengan mahal atau tidak memberikan takaran yang jujur. Oleh kerana baginda sendiri yang mengagihkan, maka semua yang datang ke Mesir akan bertemu baginda. Ini sama seperti kisah Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang begitu cermat memeriksa bala tenteranya sampai apabila ada seekor burung sahaja tidak ada, baginda terus tahu dan bertanya seperti disebut di dalam Naml:20

وَتَفَقَّدَ الطَّيرَ فَقالَ ما لِيَ لا أَرَى الهُدهُدَ أَم كانَ مِنَ الغائِبينَ
Dan dia memeriksa burung-burung lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat hud-hud, apakah dia termasuk yang tidak hadir?

Maka ini mengajar kita dalam menjalankan tugas, tanggungjawab dan kerja kita. Sekiranya menjadi seorang pengurus, jangan terlalu percaya dan serahkan 100% urusan kepada orang bawahan kita sahaja, tetapi hendaklah kita juga terlibat dalam memerhatikan dan mengurus supaya tidak ada salahlaku dan salah ta’bir urus. Sebagai contoh kita boleh perhatikan entah berapa banyak restoran yang diuruskan oleh orang bawahan sahaja lama-lama bungkus senyap begitu sahaja. Ini kerana tuan punya tidak memerhatikan langsung pun bagaimana orang bawahan dia menguruskan restoran itu. Jadi kita boleh aplikasikan konsep ini ke dalam segenap kehidupan kita, bukan?

Melalui perbuatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini, ulama’ telah datang dengan fatwa yang mengatakan seandainya bekalan makanan negara terhad, maka kerajaan boleh mengambil alih urusan bahan makanan dan memberikan kepada yang memerlukan dengan mengikut had yang perlu sahaja.

 

فَعَرَفَهُم 

Maka Yusuf mengenal mereka, 

Semasa mereka masuk menemui baginda, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus mengenali mereka. Ini kerana semasa mereka membesar bersama, mereka dahulu sudah besar maka tidak banyak beza bentuk fizikal antara mereka dahulu dan sekarang. Lagi pun mereka datang dari Kan’an dan mereka datang seramai 10 orang. Maka tentulah baginda akan menemuramah mereka datang dari mana dan siapa keluarga mereka dan sebagainya.

Naun bagaimana mereka boleh berjumpa baginda pula? Mungkin Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menjalankan satu sistem di mana pembeli yang datang mesti diperiksa dan ditemuduga untuk mengetahui tujuan mereka. Ini kerana sekarang barang makanan tidak banyak, takut ada yang menggunakan kesempatan dengan membeli banyak kemudian menjualnya pula dengan harga yang tinggi. Baginda tidak mahu ini terjadi kerana baginda tidak mahu menyusahkan rakyat.

Ayat ini sebenarnya merupakan ayat yang amat sedih sekali. Sekiranya dibaca secara fakta sahaja, memang tidak nampak. Namun bagaimana kalau kita cuba selami lubuk hati Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Apakah perasaan baginda apabila melihat kembali abang-abangnya itu? Yang dahulu semasa baginda kecil, mereka telah membuli baginda, mereka hina baginda, mereka pulau baginda, mereka akhirnya telah memecat baju baginda dan meninggalkan baginda di dalam telaga? Mereka telah memisahkan baginda daripada orang yang baginda paling sayangi iaitu bapa dan adiknya sendiri. Seandainya kita baca kisah-kisah buli di sekolah, kita akan terasa sedih sangat, bukan? Kita terbayang bagaimanalah budak-budak itu menahan perasaan mereka tanpa ada orang yang membantu mereka ketika itu. Sampai ada yang cedera fizikal dan mental malah sampai ada yang kehilangan nyawa! Jadi ini adalah kisah buli.

Pengalaman buli meninggalkan kesan dalam diri manusia. Kehidupan mereka tidak normal lagi. Mereka akan sentiasa trauma dan teringat kepada pengalaman mereka itu dan sekiranya ada perkara yang mencetuskan mereka kepada peristiwa itu, mereka mudah sesak nafas dan terus mendapat serangan panik. Ini adalah sebahagian daripada simptom Gangguan Stres Selepas Trauma (Post-Traumatic Stress Disorder – PTSD). Jadi adakah anda rasa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kebal daripada simptom ini? Tentu tidak! Baginda pun tentu akan teringat akan tetapi baginda terpaksa menahan perasaan baginda dan berlagak seperti biasa sahaja. Ini kerana baginda mempunyai tugas yang lebih penting daripada melayan perasaan baginda. Begitulah ada yang menjadi berjaya dalam kehidupan mereka walaupun setelah dibuli teruk di sekolah atau ketika kecil, sebaliknya ada juga yang tidak dapat keluar daripada kepompong trauma itu. Mereka terus mengalami kemurungan dan dibawa sampai ke usia tua. Mereka tidak dapat berfungsi dengan baik. Kerana itu kita berharap sangat supaya sesuatu dapat dilakukan supaya gejala buli dapat dihapuskan terus. Jangan diberi peluang kepada pembuli terus bebas dan mesti ada proses yang adil untuk terus selamatkan mangsa buli supaya mereka tidak terus diganggu.

Maka kerana itulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak terus memperkenalkan diri baginda kerana baginda hendak selamatkan adiknya itu. Nanti selepas ini kita akan lihat perancangan baginda untuk membawa adiknya itu.

Lagi pun baginda tidak boleh ada serangan panik kerana baginda mempunyai tugas yang amat penting untuk menyelamatkan umat manusia. Seandainya baginda rebah dan hanyut dalam emosi, akibatnya seluruh negara akan rebah juga.

Kalimah فَعَرَفَهُم yang pertama bermaksud baginda kenal fizikal mereka. Akan tetapi satu lagi perkara yang baginda boleh nampak dan kenal adalah mereka itu tidaklah ada rasa bersalah dengan apa yang mereka telah lakukan dahulu. Kita pun telah diberitahu yang baginda boleh membaca mimpi, kata-kata dan situasi. Jadi baginda kenal mereka tidak ada rasa bersalah pun, sama sahaja macam dahulu. Langsung tidak ada nampak rasa penyesalan.

 

وَهُم لَهُ ۥ مُنكِرُونَ

sedang mereka tidak kenal kepadanya.

Mereka langsung tidak kenal baginda. Kalimah مُنكِرُونَ daripada kalimah إنكار yang asalnya bermaksud sesuatu yang tidak dikenali. Kalimah munkar yang kita biasa gunakan adalah sesuatu perbuatan yang tidak dikenali sebagai baik. Mereka tidak kenal baginda kerana baginda sudah membesar. Dahulu baginda kecil sahaja dan perbezaan itu ketara. Mengikut Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, semasa mereka meninggalkan baginda di dalam telaga, ketika itu baginda berumur 7 tahun dan peristiwa itu sudah 40 tahun berlalu. Allah ‎ﷻ pun telah mewahyukan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang abang-abangnya itu tidak akan sedar seperti disebut dalam ayat 15,

وَأَوحَينَآ إِلَيهِ لَتُنَبِّئَنَّهُم بِأَمرِهِم هَـٰذَا وَهُم لَا يَشعُرُونَ
dan Kami wahyukan kepada Yusuf: “Sesungguhnya kamu akan menceritakan kepada mereka perbuatan mereka ini, sedang mereka tiada menyedari”.

Begitulah mereka tidak sangka itu adalah Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana sifat baginda pun sudah amat jauh berbeza – dahulu baginda seorang pemalu tetapi sekarang sudah lain, sudah menjadi menteri. Mereka pun tidaklah sangka yang menteri yang mereka sedang hadap itu adalah adik mereka Yusuf. Mereka tidak terfikir langsung yang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menjadi menteri kerana apabila mereka tinggalkan baginda di dalam telaga dan diambil orang, mungkin mereka sangka baginda membesar menjadi orang biasa sahaja. Tambahan pula nama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidaklah disebut kerana selalunya orang besar ketika itu disebut pangkat sahaja seperti Al-Aziz.

Pengajaran kepada kita adalah kadang-kadang kita tidak rasa yang kita ada membuat salah dengan orang. Kita mungkin pernah menyakiti orang lain, buli orang lain, tetapi kita tidak ingat pun perbuatan kita itu. Maka kita kena ingat kembali apa kata-kata kita, perbuatan kita kepada orang lain. Ia mengingatkan kepada kita yang segala perbuatan dan percakapan kita boleh memberi kesan kepada orang lain sama ada secara negatif ataupun positif. Jadi kenalah sentiasa menjaga kata-kata dan perbuatan kita kepada orang lain.


 

Yusuf Ayat 59:

وَلَمَّا جَهَّزَهُم بِجَهَازِهِم قَالَ ٱئتُونِى بِأَخٍ لَّكُم مِّن أَبِيكُم ۚ أَلَا تَرَونَ أَنِّىٓ أُوفِى ٱلكَيلَ وَأَنَا۟ خَيرُ ٱلمُنزِلِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when he had furnished them with their supplies, he said, “Bring me a brother of yours from your father.¹ Do you not see that I give full measure and that I am the best of accommodators?

  • i.e., Benjamin, who had been kept at home by his father Jacob.

(MALAY)

Dan tatkala Yusuf menyiapkan untuk mereka bahan makanannya, dia berkata: “Bawalah kepadaku saudaramu yang sebapa dengan kamu (Bunyamin), tidakkah kamu melihat bahawa aku menyempurnakan sukatan dan aku adalah sebaik-baik penerima tamu?

 

وَلَمّا جَهَّزَهُم بِجَهازِهِم

Dan tatkala Yusuf menyiapkan untuk mereka bahan makanan mereka,

Kalimah جَهَّزَهُم dan بِجَهَازِهِم adalah daripada kata dasar ج ه ز yang bermaksud untuk memberi; barang keperluan; menyediakan; melengkapkan; kuburkan (orang mati). Apabila digunakan kalimah جَهَّزَهُم (mengisi untuk mereka) dalam bentuk mubalaghah (kerana ada syaddah), ini bermaksud Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengisi isian mereka lebih daripada yang sepatutnya. Ini adalah kerana mereka meminta lebih daripada 10 muatan unta (kerana mereka datang 10 orang adik beradik sahaja). Mereka minta juga untuk bahagian Bunyamin dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berikan kepada mereka. Oleh kerana permintaan mereka itu, maka ada perbincangan di antara mereka dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di mana baginda bertanyakan tentang keluarga mereka. Mereka beritahulah tentang adik mereka Bunyamin yang tidak dapat datang kerana bapa mereka tidak mengizinkannya untuk datang.

 

قَالَ ٱئتُونِى بِأَخٍ لَّكُم مِّن أَبِيكُم

dia berkata: “Bawalah kepadaku saudaramu yang sebapa dengan kamu

Baginda berpesan kepada mereka untuk membawa adik mereka itu (Bunyamin) pada tahun hadapan (boleh ambil bekalan setahun sekali sahaja). Ini kerana apabila mereka meminta muatan yang lebih daripada 10 muatan unta untuk bahagian adik mereka, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak benarkan. Ini kerana mereka kenalah mengikut syarat yang telah ditetapkan. Kalau semua minta lebih dan baginda beri, susahlah nanti. Maka baginda kata, kalau hendak lebih, nanti tahun hadapan bawalah adik kamu sekali yang kamu kata ada di kampung kamu itu.

Sebenarnya baginda teringin sangat hendak bertemu dengan Bunyamin kerana beliau adalah adik seibu sebapa dengannya. Kerana itulah digunakan kalimat أَخٍ لَكُم مِن أَبيكُم (saudaramu daripada bapamu) kerana 10 abangnya itu adalah saudara berlainan ibu tetapi sebapa (Nabi Ya’qub عليه السلام). Bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu? Mungkin ketika baginda menemuduga mereka, mereka telah menceritakan serba sedikit sejarah tentang keluarga mereka.

Atau, kalimat أَخٍ لَّكُم مِّن أَبِيكُم mungkin bermaksud anak yang disayangi dan dijaga sangat oleh bapanya sampai tidak dibenarkan mengembara untuk mencari makanan.

 

أَلا تَرَونَ أَنّي أوفِي الكَيلَ

tidakkah kamu melihat bahawa aku menyempurnakan sukatan

Baginda memberikan motivasi untuk mereka membawa Bunyamin tahun hadapan. Baginda mengingatkan mereka betapa baginda telah memberikan sukatan yang lebih untuk mereka seperti yang mereka minta. Baginda juga mengenakan bayaran yang patut kepada mereka dan tidak menaikkan harga makanan seperti tempat-tempat lain yang mengambil kesempatan di atas kesusahan manusia.

Jadi ini adalah jaminan keadilan daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang meyakinkan mereka bahawa baginda adalah seorang yang jujur dan tidak curang dalam urusan timbangan dan sukatan. Ini bermaksud mereka tidak perlu risau tentang hak mereka akan dikurangi atau dicurangi.

 

وَأَنَا۟ خَيرُ ٱلمُنزِلِينَ

dan aku adalah sebaik-baik penerima tamu?

Baginda mengingatkan mereka bagaimana baginda telah melayan mereka dengan baik sebagai tetamu. Maka jangan takutlah dengan baginda. Ini mengajar bagaimana kerajaan patut melayan orang lain dari luar. Jangan dipandang serong kepada mereka dan jangan tidak dibantu. Sekarang kita boleh perhatikan ada negara yang tidak membenarkan orang susah dari negara lain datang ke negara mereka. Mereka akan menahan mereka di perbatasan dan menghantar mereka pulang ke negara asal. Apa yang kita pelajari daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini adalah untuk membantu manusia yang memerlukan bantuan walaupun mereka dari negara lain. Ini kerana sifat kemanusiaan mesti lebih tinggi daripada keperluan untuk menjaga kebaikan negara.


 

Yusuf Ayat 60: Akan tetapi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun ada beri ancaman kepada mereka.

فَإِن لَّم تَأتُونِى بِهِۦ فَلَا كَيلَ لَكُم عِندِى وَلَا تَقرَبُونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But if you do not bring him to me, no measure will there be [hereafter] for you from me, nor will you approach me.”

(MALAY)

Jika kamu tidak membawanya kepadaku, maka kamu tidak akan mendapat sukatan lagi dari padaku dan jangan kamu mendekatiku”.

 

فَإِن لَّم تَأتُونِى بِهِۦ فَلَا كَيلَ لَكُم عِندِى

Jika kamu tidak membawanya kepadaku, maka kamu tidak akan mendapat sukatan lagi daripadaku

Walaupun baginda berbuat baik kepada mereka dan nampak telah banyak membantu mereka, namun jangan diambil kesempatan daripada kemurahan hati baginda. Kerana itu baginda juga memberi amaran, jikalau tidak dibawa Bunyamin pada tahun hadapan, maka tahun hadapan tidak perlu datanglah kalau begitu. Ini kerana kalau mereka tidak dapat bawa Bunyamin, itu tanda mereka menipu baginda kerana mereka kata mereka mempunyai seorang lagi adik, tetapi tidak bawa pun. Mereka bolehlah cari tempat lain untuk membeli bahan makanan, dan ini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak halang. Namun kalau di tempat lain, entah berapalah harga yang mereka perlu bayar kerana tentu tempat lain menaikkan harga makanan dengan harga yang melambung tinggi.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata baginda sudah memberikan bahagian Bunyamin kepada mereka walaupun beliau tidak ada bersama hanya dengan berdasarkan daripada kata-kata mereka sahaja. Namun begitu mereka kena bawa Bunyamin pada tahun hadapan untuk membuktikan memang Bunyamin ini wujud kerana dan kalau tidak bawa, maknanya memang Bunyamin itu tidak wujud dan mereka hanya menipu sahaja untuk mendapatkan muatan lebih.

Ini adalah helah daripada baginda kerana baginda memang teringin sangat untuk bertemu adiknya itu. Sudah tentu baginda amat merindui adik kesayangannya itu yang telah terpisah sekian lama . Maknanya, di sini motivasi baginda bagi, ancaman pun baginda bagi juga.

 

وَلا تَقرَبونِ

dan jangan kamu mendekatiku”.

Sekiranya mereka tidak dapat membawa Bunyamin pada tahun hadapan, maka mereka jangan datang ke Mesir untuk berjumpa baginda lagi. Ini kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan melayan mereka seramah dan sebaik ini lagi. Ini kalau kita ambil kalimah لا di sini sebagai la nahi. Maknanya, mereka terpaksa pergi mencari makanan di tempat lain kerana baginda tidak akan menolong mereka lagi. Namun tentulah tidak ada tempat lain untuk mereka cari makanan.

Kalimah لا itu juga boleh diterjemahkan sebagai la nahi iaitu mereka tidak akan dapat mendekati baginda lagi. Mereka akan ditahan daripada bertemu dan bercakap-cakap dengan baginda lagi.

Ancaman baginda ini lain macam sebenarnya. Ia adalah salah satu bentuk hukuman yang padu. Ini kerana kadangkala kita menghukum orang lain yang membuat salah bukanlah dengan menyakiti mereka sebalinya dengan menjauhkan diri daripada mereka. Ini adalah hukuman apabila orang itu memerlukan kita. Sebagai contoh, kalau ada orang yang menipu kita, kita tidaklah memukulnya secara fizikal tetapi hubungan kita dengan dia sudah tidak ada lagi kerana kita tidak percayakan mereka lagi. Hukuman emosi sebegini adalah lebih perit bagi sesetengah orang, bukan?

Ini adalah ancaman kepada abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana mereka sedar yang mereka memerlukan makanan dari Mesir dan ini bermakna mereka perlu menjaga hubungan mereka dengan pemerintah Mesir ketika itu iaitu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka perlu terus dekat dengan baginda. Tidakkah ini ironis? Dahulu ketika baginda kecil, mereka tidak sabar-sabar hendak menjauhkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada mereka sampai mereka sanggup buang dan jual baginda. Sebaliknhya sekarang mereka sedar yang mereka akan menjadi sangat susah sekiranya baginda tidak mahu mendekati mereka lagi. Begitulah Allah ‎ﷻ telah terbalikkan apa yang mereka telah lakukan sebagai pengajaran kepada mereka. Lihatlah adik yang kamu paling benci dahulu sekarang adalah orang yang kalian amat perlukan!

 

Kuiz Jawapan Pendek

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda terhadap teks.

1. Apakah konteks sejarah dan geografi yang menyebabkan abang-abang Nabi Yusuf datang ke Mesir?

2. Bagaimanakah Nabi Yusuf menguruskan sumber makanan Mesir, dan apakah kebijaksanaan di sebalik strategi tersebut?

3. Apakah prinsip etika perniagaan Islam yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf dalam menjual bahan makanan semasa krisis?

4. Mengapakah Nabi Yusuf dapat mengenali abang-abangnya, manakala mereka tidak mengenalinya?

5. Menurut tafsir, apakah dua kemungkinan sebab abang-abang Nabi Yusuf dapat berjumpa terus dengan baginda yang merupakan seorang menteri?

6. Bagaimanakah tafsir ini menghubungkan pengalaman Nabi Yusuf dengan Gangguan Stres Selepas Trauma (PTSD) dan apakah pengajaran yang boleh diambil?

7. Apakah peraturan yang ditetapkan oleh Nabi Yusuf mengenai pengagihan bahan makanan kepada setiap individu yang datang?

8. Apakah permintaan, jaminan, dan ancaman yang diberikan oleh Nabi Yusuf kepada abang-abangnya dalam ayat 59 dan 60?

9. Bagaimanakah penggunaan kalimah جَآءَ (telah datang) dalam ayat 58 memberikan gambaran tentang perjalanan abang-abang Nabi Yusuf?

10. Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada tindakan Nabi Yusuf memeriksa sendiri urusan pengagihan makanan?

Glosari Istilah Utama
Istilah
Definisi Berdasarkan Konteks
Al-Aziz
Pangkat atau gelaran bagi menteri besar di Mesir pada zaman itu. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memegang jawatan ini.
Ghabn Fahisy
Keuntungan yang melampaui batas kewajaran, terutamanya dengan mengambil kesempatan daripada pembeli yang terdesak.
Ihsan
Sikap berbuat baik dan memberi kemudahan dalam urusan, khususnya dalam jual beli.
جَآءَ (Ja’a)
Kata kerja bahasa Arab yang bermaksud ‘telah datang’, yang membawa konotasi perjalanan yang sukar dan dari jarak yang jauh.
جَهَّزَهُم (Jahhazahum)
Kata kerja bahasa Arab dalam bentuk mubalaghah (penekanan), bermaksud Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengisi bekalan mereka lebih daripada yang sepatutnya.
Kana’an
Kawasan tempat tinggal keluarga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak-anaknya, yang kini dikenali sebagai Palestin.
Keadaan yang ke 10
Merujuk kepada fasa kesepuluh dalam penceritaan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam surah ini, iaitu fasa pertemuan semula dengan saudara-saudaranya.
Maslahah Ammah
Kepentingan awam atau kebaikan bersama. Ia menjadi asas bagi ulama untuk membenarkan campur tangan kerajaan dalam penetapan harga dalam keadaan tertentu.
مُنكِرُونَ (Munkirun)
Perkataan Arab yang bermaksud sesuatu yang tidak dikenali. Dalam konteks ayat, ia merujuk kepada keadaan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tidak mengenalinya.
PTSD (Post-Traumatic Stress Disorder)
Gangguan Stres Selepas Trauma. Tafsir ini menggunakannya sebagai analogi untuk menggambarkan kesan psikologi yang mendalam akibat pengalaman dibuli yang seperti dialami oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Tas’ir
Penetapan harga oleh pemerintah. Walaupun pada asalnya ditolak oleh Nabi Muhammad ﷺ, ulama Fiqh membenarkannya dalam keadaan tertentu untuk melindungi kepentingan awam.
Wasaq
Satu unit sukatan berat. Menurut Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ, ia dianggarkan sekitar 130 hingga 180 kilogram, iaitu jumlah makanan yang diberikan kepada setiap orang untuk bekalan setahun.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 3 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 58 – 60 (Abang-abang datang ke Mesir)”

  1. Kunci Jawapan

    Berikut adalah jawapan bagi soalan-soalan kuiz di atas.

    1. Apakah konteks sejarah dan geografi yang menyebabkan abang-abang Nabi Yusuf datang ke Mesir? Abang-abang Nabi Yusuf datang ke Mesir semasa zaman kemarau 7 tahun yang kedua. Bencana ini bukan sahaja melanda Mesir tetapi juga kawasan sekitarnya, termasuk Kana’an (Palestin), tempat tinggal keluarga mereka, menyebabkan mereka menghadapi bahaya kebuluran dan terpaksa mencari makanan di Mesir.

    2. Bagaimanakah Nabi Yusuf menguruskan sumber makanan Mesir, dan apakah kebijaksanaan di sebalik strategi tersebut? Nabi Yusuf telah menguruskan pengumpulan bahan makanan selama 7 tahun pertama yang subur, melebihi keperluan rakyat Mesir. Kebijaksanaan strategi ini adalah supaya Mesir boleh menjual lebihan makanan tersebut kepada negara-negara jiran yang memerlukan, sekali gus memberikan keuntungan yang besar kepada negara.

    3. Apakah prinsip etika perniagaan Islam yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf dalam menjual bahan makanan semasa krisis? Nabi Yusuf menunjukkan etika perniagaan Islam dengan menjual makanan pada harga yang adil (أوفِي الكَيلَ) dan tidak mengambil kesempatan (Ghabn Fahisy) atas kesusahan orang ramai. Prinsip ini termasuk moderasi dalam keuntungan, tiada eksploitasi, dan mengamalkan ihsan untuk memastikan barangan keperluan sampai kepada masyarakat dengan harga yang munasabah.

    4. Mengapakah Nabi Yusuf dapat mengenali abang-abangnya, manakala mereka tidak mengenalinya? Nabi Yusuf mengenali mereka kerana rupa fizikal mereka tidak banyak berubah memandangkan mereka sudah dewasa ketika baginda masih kecil. Sebaliknya, mereka tidak mengenali Nabi Yusuf kerana baginda telah banyak berubah dari seorang kanak-kanak menjadi dewasa, selain kini memegang jawatan tinggi sebagai Al-Aziz (menteri) yang tidak mereka sangka sama sekali.

    5. Menurut tafsir, apakah dua kemungkinan sebab abang-abang Nabi Yusuf dapat berjumpa terus dengan baginda yang merupakan seorang menteri? Kemungkinan pertama adalah kerana mereka meminta catuan makanan yang lebih daripada yang dibenarkan (untuk Bunyamin dan ayah mereka), yang memerlukan kelulusan khas daripada Nabi Yusuf. Kemungkinan kedua adalah Nabi Yusuf sendiri yang menguruskan secara langsung proses pengagihan makanan untuk memastikan tiada penyelewengan dan semua orang yang datang akan bertemu dengannya.

    6. Bagaimanakah tafsir ini menghubungkan pengalaman Nabi Yusuf dengan Gangguan Stres Selepas Trauma (PTSD) dan apakah pengajaran yang boleh diambil? Tafsir ini mengaitkan pengalaman dibuli yang dialami Nabi Yusuf semasa kecil dengan simptom PTSD, seperti serangan panik apabila teringat peristiwa lalu. Namun, baginda berjaya menahan perasaannya demi tugas yang lebih besar. Pengajarannya adalah betapa pentingnya untuk menghapuskan gejala buli dan membantu mangsa agar mereka tidak terus terkesan sehingga dewasa.

    7. Apakah peraturan yang ditetapkan oleh Nabi Yusuf mengenai pengagihan bahan makanan kepada setiap individu yang datang? Peraturan yang ditetapkan adalah setiap orang yang datang hanya diberikan makanan sebanyak satu muatan unta (dianggarkan sekitar satu wasaq atau 130-180 kg). Bekalan ini adalah untuk tempoh setahun, dan setiap orang perlu datang sendiri untuk mengambilnya bagi mengelakkan pembelian dalam kuantiti yang berlebihan oleh sesetengah pihak.

    8. Apakah permintaan, jaminan, dan ancaman yang diberikan oleh Nabi Yusuf kepada abang-abangnya dalam ayat 59 dan 60? Nabi Yusuf meminta mereka membawa adik seayah mereka (Bunyamin) pada tahun berikutnya. Baginda memberi jaminan bahawa baginda adalah penimbang yang adil dan penerima tetamu yang baik, tetapi turut memberi ancaman bahawa jika mereka tidak membawa Bunyamin, mereka tidak akan mendapat bekalan makanan lagi daripadanya dan tidak boleh mendekatinya lagi.

    9. Bagaimanakah penggunaan kalimah جَآءَ (telah datang) dalam ayat 58 memberikan gambaran tentang perjalanan abang-abang Nabi Yusuf? Penggunaan kalimah جَآءَ memberi isyarat bahawa perjalanan mereka adalah sukar dan dari tempat yang jauh. Ia bukan perjalanan melancong yang mudah, sebaliknya mereka terpaksa merentasi laluan yang berbahaya kerana zaman susah boleh menyebabkan peningkatan jenayah seperti rompakan.

    10. Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada tindakan Nabi Yusuf memeriksa sendiri urusan pengagihan makanan? Pengajaran yang boleh diambil ialah seorang pengurus atau pemimpin tidak boleh menyerahkan 100% kepercayaan kepada orang bawahan. Sebaliknya, pemimpin perlu terlibat secara langsung dalam pemantauan dan pengurusan untuk mengelakkan salah laku dan memastikan tadbir urus yang baik, sama seperti bagaimana Nabi Sulaiman memeriksa bala tenteranya.

    Like

Leave a comment