Yusuf Ayat 56: Ayat 56 dan 57 ini adalah ikdhal ilahi iaitu Allah ﷻ memberhentikan penceritaan seketika untuk memberi pengajaran kepada kita. Ini kerana Allah ﷻ hendak menjelaskan tentang balasan di dunia dan balasan di akhirat kerana kalau tidak, manusia akan salah faham.
وَكَذٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِى ٱلأَرضِ يَتَبَوَّأُ مِنهَا حَيثُ يَشَآءُۚ نُصِيبُ بِرَحمَتِنَا مَن نَّشَآءُۖ وَلَا نُضِيعُ أَجرَ ٱلمُحسِنِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And thus We established Joseph in the land to settle therein wherever he willed. We touch with Our mercy whom We will, and We do not allow to be lost the reward of those who do good.
(MALAY)
Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir; (dia berkuasa penuh) pergi menuju ke mana saja dia kehendaki di bumi Mesir itu. Kami melimpahkan rahmat Kami kepada siapa yang Kami kehendaki dan Kami tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik.
وَكَذٰلِكَ مَكَّنّا لِيوسُفَ فِي الأَرضِ
Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di bumi (negeri Mesir);
Begitulah Allah ﷻ meninggikan kedudukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di bumi Mesir itu. Nampak seolah-olah raja yang memberi kedudukan itu kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi Allah ﷻ ingatkan yang Dia yang berikan kedudukan itu kepada baginda. Itu hanya terjadi setelah baginda melalui pelbagai dugaan yang besar-besar. Ia mengajar kita yang apapun terjadi, kita mestilah bertaqwa dan bersabar dengan dugaan yang Allah ﷻ kenakan terhadap kita. Sepanjang ada masalah dan dugaan itu, kita tetap kena jaga agama dan taqwa kita. Dengan dua prinsip (taqwa dan sabar) ini, kita semua akan berjaya.
Kalimah لِيوسُفَ itu dalam susunan taqdim. Jadi ia membawa maksud eksklusif – maka penempatan baginda dan juga Bani Israil nanti adalah kerana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ buat begitu khusus untuk Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Qurtubi رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan bahawa kekuasaan telah diberikan sepenuhnya kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Malah dikatakan raja Mesir telah berehat daripada mentadbir negara secara aktif dan telah memberikan kuasa memerintah sepenuhnya kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Lalu baginda menggunakan peluang itu untuk berdakwah mengajar penduduk Mesir untuk memeluk agama Islam. Malah menurut Mujahid رَحِمَهُ اللَّهُ, raja Mesir juga telah memeluk Islam.
Perhatikan yang ini bukanlah kali pertama frasa ini digunakan. Kita telah baca sebelum ini di dalam ayat 21 apabila Allah ﷻ menempatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di rumah Al-Aziz. Tentulah Allah ﷻ tidak mengulangnya secara tidak sengaja kerana setiap kalimah malah setiap huruf ada sebabnya kenapa Allah ﷻ letak begitu. Pengulangan kalimah sebegini memberi isyarat ada kaitan antara dua keadaan itu. Kali pertama dahulu ketika baginda masih sebagai seorang hamba sahaya dan sekarang apabila baginda sudah mendapat kedudukan tinggi di Mesir. Walaupun ketika itu baginda sebagai hamba, namun kedudukan baginda sudah dinaikkan kerana baginda dipercayai di rumah Al-Aziz itu dan sekarang baginda dinaikkan pangkat lagi di kedudukan yang rasmi pula. Ketika baginda di rumah Al-Aziz, pangkat baginda dinaikkan secara tidak rasmi sahaja.
Ketika baginda ‘dinaikkan’ pangkat secara tidak rasmi itu, mungkin kita tidak nampak lagi, bagaimana seorang hamba diberikan dengan pangkat pula? Bukankah baginda tetap sebagai seorang hamba yang dimiliki dan tidak ada kebebasan? Begitulah perancangan Allah ﷻ dalam setiap perkara. Kadangkala kita tidak nampak bagaimana penghujung perancangan Allah ﷻ itu. Ini bagaikan seperti seorang pelukis ketika memulakan lukisannya. Digaris-garisnya dahulu kertas lukisan itu dan kita pun tidak nampak apa akan jadi dan mungkin kita pelik dengan apa yang sedang dilakukannya itu. Namun kemudian apabila lukisan itu siap, barulah kita kata oooo begini jadinya.
Begitu juga dengan perancangan Allah ﷻ terhadap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ketika baginda ditempatkan di rumah Al-Aziz. Ketika itu, tidaklah kita nampak bagaimana dengan hal itu menyebabkan kedudukan baginda dinaikkan di negeri Mesir itu. Namun sekarang kita sudah nampak penghujungnya iaitu dengan menempatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di rumah Al-Aziz itu, baginda dapat belajar bagaimana pemerintahan negara diatur oleh orang politik. Ini kerana baginda dapat kenal Al-Aziz dan politiknya, dengan para menteri yang lain dan mungkin baginda ada mendengar perbincangan mereka di dalam mentadbir urusan negara. Baginda juga dapat kenal para hamba lain dan bercakap-cakap dengan rakyat jelata ketika baginda bercampur gaul dengan mereka membeli di pasar dan sebagainya. Semua itu adalah latihan yang Allah ﷻ atur untuk baginda tahu apa yang baginda perlu lakukan apabila baginda menjawat jawatan menteri Mesir nanti.
Begitulah Allah ﷻ boleh mengatur kedudukan sesiapa sahaja. Satu hari seseorang itu hamba, namun kemudian Allah ﷻ boleh sahaja tukar menjadi raja. Malah ia pun boleh jadi terbalik juga, kerana ada sahaja yang hari ini menjadi raja, esok pula menjadi hamba. Allah ﷻ berfirman di dalam Ali Imran:26
تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ وَتَنزِعُ المُلكَ مِمَّن تَشاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشاءُ
Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.
Yang penting, daripada apa yang kita sedang belajar ini, kita kena redha dengan ketentuan Allah ﷻ. Jangan ragu dengan susunan Allah ﷻ dalam setiap hal. Kita kalau duduk di bawah, jangan sedih kerana apabila sampai masanya, Allah ﷻ naikkan kita sampai duduk di atas; dan begitu juga kalau kita sedang berada di kedudukan tinggi, jangan sombong kerana Allah ﷻ boleh sahaja jatuhkan kita bila-bila masa sahaja.
Begitu juga kita belajar di sini bagaimana kita mestilah melengkapkan diri kita dengan ilmu dan pengalaman sebelum kita boleh berkhidmat dan menjadi seseorang yang boleh memberi manfaat kepada manusia. Bukalah mata kita seluas-luasnya dan belajarlah daripada pengalaman semasa kita muda supaya sampai masanya nanti, kita boleh gunakan ilmu itu untuk berkhidmat kepada masyarakat. Bukan sahaja ketika muda akan tetapi di mana-mana usia sahaja, ilmu dan pengalaman itu penting.
Allah ﷻ beri pengalaman yang banyak kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ letakkan baginda di tempat yang menekan baginda sebagai hamba dan terpaksa menjadi orang yang berada di kasta paling rendah sekali sehingga sewenang-wenangnya ditindas dan dizalimi tanpa belas kasihan. Melalui pengalaman itu, baginda dapat merasai sendiri kepayahan masyarakat bawahan. Ini penting kerana kadangkala anak raja ramai menjadi pemimpin akan tetapi adakah mereka pernah merasai perit rakyat bawahan? Mungkin tidak kerana mereka disuap semenjak kecil lagi. Sebaliknya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengalami semua pengalaman hidup rakyat bawahan dan sekarang apabila baginda menjadi menteri, baginda tahu denyut nadi mereka dan keperitan mereka dan baginda boleh membantu mereka dengan sepenuhnya.
يَتَبَوَّأُ مِنها حَيثُ يَشاءُ
baginda boleh memilih ke mana saja dia kehendaki di bumi Mesir itu.
Baginda boleh memilih untuk duduk di mana-mana sahaja. Ini kerana baginda sudah mempunyai kedudukan yang amat besar di Mesir. Baginda boleh mengambil mana-mana rumah sahaja sebagai rumah baginda. Dan ini penting kerana dahulu baginda tidak ada peluang untuk memilih di mana baginda hendak tinggal. Semasa di rumah, adik beradik tidak suka sampaikan baginda dibuang di telaga; kemudian dijual pula sehingga menjadi hamba di rumah Menteri Mesir; kemudian kerana tidak menurut hawa nafsu isteri tuannya, baginda telah dipenjarakan. Semua itu adalah tempat yang tidak baik untuk baginda dan baginda terpaksa redha dan akur di mana sahaja Allah ﷻ tempatkan baginda. Namun sekarang baginda diberi kedudukan setelah baginda melalui segala dugaan itu dan baginda sudah boleh memilih di mana sahaja baginda suka. Keadaan sudah berubah untuk baginda.
Namun begitu janganlah pula kita beranggapan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ada rumah di banyak tempat. Kalau begitu, sudah berpoya-poya pula dan ini tidak sesuai bagi seorang Nabi. Walaupun telah diberi dengan urusan penjagaan perbendaharaan negara dan kuasa penuh di Mesir, tidaklah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hidup dengan terlajak mewah . Malah baginda hanya makan sekali sehari sahaja dan di masa lainnya berlapar sahaja. Apabila ditanya kenapa baginda melakukan sedemikian walaupun Mesir ada banyak makanan, baginda menjawab supaya baginda dapat merasai kelaparan rakyat baginda. Malah baginda mengarahkan tukang istana untuk memasak sekali sahaja untuk makanan pegawai kerajaan supaya mereka juga dapat merasai kesusahan rakyat.
نُصِيبُ بِرَحمَتِنَا مَن نَّشَآءُ
Kami melimpahkan rahmat Kami kepada sesiapa yang Kami kehendaki
Begitulah baginda diberikan dengan rahmat daripada Allah ﷻ. Memang dahulu baginda susah dan menerima pelbagai dugaan, sekarang masa untuk baginda memperolehi kesenangan. Kalimah نُصِيبُ berasal daripada kata dasar نَصَبَ yang secara umumnya bermaksud:
-
- Memberi bahagian/harta
- Mengenakan/menimpakan
Daripada kalimah ini juga kita selalu dengar istilah musibah kerana ia adalah sesuatu yang Allah ﷻ kenakan secara tepat. Kalau Allah ﷻ telah tetapkan, ia pasti akan kena.
Ketika kita membaca ayat ini, mungkin kita rasa kalau kita jadi orang baik, jaga akhlak kita, jaga ibadah kita, jadi seorang yang muhsin dan dalam erti kata lain jadi orang yang bertaqwa, maka Allah ﷻ akan beri kita kedudukan sama macam Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga agaknya. Akan tetapi ada sedikit masalah dengan pemahaman ini. Ini kerana di dalam sejarah ada sahaja orang yang baik, seperti para Nabi yang tentunya manusia yang paling baik di antara kita, namun adakah mereka dapat kedudukan seperti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini? Tentu tidak kerana ada para Nabi yang miskin, ada yang dibunuh, ada yang tidak mempunyai pengikut. Jadi kita kenalah betulkan pemahaman kita kerana tidak semestinya semua orang dapat seperti apa yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat.
Allah ﷻ sebut di dalam ayat ini رَحمَت yang Dia berikan. Rahmat dalam dunia ini tidak sama untuk setiap orang. Setiap orang tidak sama bahagian mereka. Ada tiga perkara yang penting di dalam kejayaan hidup,
1. Bakat kita, kepandaian, kelebihan, ilmu dan sebagainya.
2. Peluang
3. Semangat untuk menggunakan bakat dan peluang yang ada.
Ada orang yang ada bakat tetapi tidak ada peluang. Sebagai contoh ada ahli sukan yang hebat potensinya akan tetapi dia tinggal di kampung dan hendak membeli kasut sukan pun tidak mampu. Jadi bakat sahaja tanpa peluang, tidak ke mana. Ada orang yang mempunyai peluang banyak, namun bakat tidak ada pula. Ada pula orang lain yang ada bakat dan peluang, tetapi tidak ada semangat dan keinginan untuk berjaya. Peluang yang ada disia-siakan sahaja. Jadi orang ini pun tidak ke mana. Oleh itu, رَحمَت yang Allah ﷻ maksudkan adalah seseorang yang menggunakan ketiga-tiga elemen ini untuk membawa kejayaan kepada dirinya. Bukan semua orang ada kerana ia adalah رَحمَت pemberian daripada Allah ﷻ. Kerana itulah Allah ﷻ sambung dengan مَن نَّشَآءُ (sesiapa yang Kami kehendaki). Jadi keputusan siapa yang dapat رَحمَت ini adalah di tangan Allah ﷻ semata-mata, Allah ﷻ yang tentukan. Tidak kiralah kita buat macam mana sekalipun, kita tidak akan berjaya, jika Allah ﷻ tidak izinkan dan berikan rahmat-Nya itu.
وَلا نُضيعُ أَجرَ المُحسِنينَ
dan Kami tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik.
Seandainya Allah ﷻ sahaja yang menentukan siapa yang akan dapat رَحمَت itu, maka apakah pula bahagian kita? Mungkin ada yang lemah semangat mereka kerana bagi mereka, aku buat macam mana sekalipun, belum tentu aku dapat lagi kebaikan di dunia ini. Maka sekarang Allah ﷻ beritahu yang segala usaha kita itu tidak sia-sia. Allah ﷻ tidak akan menghampakan المُحسِنينَ (mereka yang hati baik). Sebagai contoh kalau kita berdakwah kepada orang lain, belum tentu orang itu terima dakwah kita; namun jangan kita rasa ia sia-sia pula, kerana pahala tetap kita dapat kerana usaha kita Allah ﷻ tidak akan sia-siakan.
Maka begitulah balasan Allah ﷻ kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ cuma baginda Allah ﷻ telah pilih diberikan dengan nikmat semasa di dunia lagi sebagai balasan kepada baginda. Tidaklah baginda meminta semua ini diberikan kepada baginda melainkan baginda hanya menjalankan tugas baginda sebagai hamba Allah ﷻ dan baginda melakukan apa yang terbaik yang baginda mampu lakukan.
Sekali lagi kita diberitahu yang baginda bersifat المُحسِنينَ. Kita telah bincangkan apakah sifat ini di dalam ayat 22 dan ayat 36. Begitulah berkali-kali Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikatakan sebagai orang yang المُحسِنينَ. Orang yang المُحسِنينَ itu juga bermaksud mereka yang sedar kehadiran Allah ﷻ sentiasa. Baginda telah sabar menerima segala dugaan yang Allah ﷻ berikan kepadanya, dan sekarang Allah ﷻ menggantikannya dengan kebaikan yang banyak bagi baginda.
Orang yang المُحسِنينَ berbuat baik dengan Allah ﷻ dan juga dengan manusia lain. Sifat المُحسِنينَ yang tertinggi adalah berbuat baik kepada orang yang buat jahat kepada kita. Kita baru perhatikan yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak petik pun nama isteri Al-Aziz itu kepada raja walaupun sebab dialah sampai baginda telah dipenjarakan. Nanti kita akan lihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berdendam pun kepada abang-abang baginda yang telah membuang baginda ke dalam telaga dan memisahkan baginda daripada bapa dan adik baginda.
Maka kita kena faham sebab sebenar baginda meminta jawatan bendahara daripada raja. Penting kedudukan itu untuk kebajikan rakyat Mesir yang entah berapa ribu orang itu. Sifat المُحسِنينَ baginda ialah dengan tidak akan mensia-siakan pengetahuan yang baginda ada. Jadi baginda memminta kedudukan sebagai bendahari Mesir adalah kerana baginda tahu yang baginda sahaja yang boleh menjalankan tugas itu dengan betul. Ini kerana jikalau bukan baginda yang buat, ia tidak akan berjalan dengan baik.
Namun begitu jangan kita sangka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja boleh mendapat kedudukan di dunia kerana frasa ini di dalam bentuk yang umum. Sesiapa sahaja yang bersifat المُحسِنينَ boleh sahaja Allah ﷻ balas ketika mereka di dunia lagi. Yang penting, kita kena berusaha. Begitulah, kalau kerja kita kena buat, maka jalankanlah dan jangan lari daripada tanggungjawab itu. Sebagai contoh kalau ada yang mencadangkan kita menjadi pemimpin. Sekiranya kita memang layak, janganlah pula tolak konon hendak zuhud merendahkan diri sampai tidak terima atau melepaskan jawatan. Fikirkanlah, kalau kamu yang baik tidak jalankan tugas itu, siapa lagi? Hendak diserahkan kepada orang lain yang memang mahukan kedudukan untuk tujuan yang salah? Sebab itulah ramai orang yang jahat yang mengambil kedudukan di setiap tempat kerana orang yang baik segan sangat dan zuhud sangat sampai tidak mahu duduk di tempat yang berkuasa. Mereka sibuk menjadi orang warak di masjid sedangkan negara dipimpin oleh orang-orang yang merosakkannya.
Yusuf Ayat 57: Tadi adalah balasan di dunia, dan ini pula adalah balasan di akhirat pula. Allah ﷻ hendak ingatkan tentang akhirat, jangan kita sangka kita patut dapat kebaikan di dunia kalau kita buat baik, kerana itu tidak pasti. Yang dapat kelebihan di dunia itu kalau Allah ﷻ pilih sahaja; namun jangan takut, balasan baik di akhirat tetap ada kalau tidak dapat di dunia pun.
وَلَأَجرُ ٱلأَخِرَةِ خَيرٌ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَكَانُواْ يَتَّقُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And the reward of the Hereafter is better for those who believed and were fearing Allāh.
(MALAY)
Dan sesungguhnya balasan di akhirat itu lebih baik, bagi orang-orang yang beriman dan selalu bertaqwa.
وَلَأَجرُ ٱلأَخِرَةِ خَيرٌ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ
Dan sesungguhnya balasan di akhirat itu lebih baik, bagi orang-orang yang beriman
Apa yang baginda sedang dapat itu tidak ada apa-apa jika hendak dibandingkan dengan balasan di akhirat nanti. Balasan di akhirat nanti akan berlipat kali ganda dan untuk selama-lamanya. Ini kerana baginda bukan sahaja mendapat nikmat dunia, tetapi baginda tidak lupa dengan akhirat. Kekayaan dan kebebasan dan kedudukan yang diberikan kepada baginda tidaklah menjadikan baginda abai dengan kewajipan beragama dan berdakwah yang baginda tetap lakukan. Maka baginda dibalas di akhirat dengan balasan yang berlipat kali ganda.
Harus diingatkan, dengan membaca kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini janganlah pula kita berangan-angan yang kita pasti akan senang kaya dan mendapat pangkat di dunia kerana belum tentu lagi. Boleh sahaja Allah ﷻ beri semasa di dunia namun yang pasti Allah ﷻ akan balas kebaikan di akhirat kelak. Maka yang kita kena lebih harapkan adalah balasan di akhirat kerana itulah yang lebih baik sebenarnya.
Kelebihan ini tidaklah diberikan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja dan kerana itu ayat ini menyebut kepada semua orang; namun bukan semua iaitu لِلَّذِينَ ءَامَنُواْ. Maka begitulah balasan yang diberikan kepada manusia yang beriman dengan sebenar-benar iman. Mereka boleh sahaja mendapat balasan di dunia dan balasan di akhirat akan lebih melimpah ruah lagi.
وَكانوا يَتَّقونَ
dan selalu bertaqwa.
Perlu diingatkan bahawa kebaikan dan balasan baik itu hanyalah bagi mereka yang ada iman yang sempurna dan menjaga hukum Allah ﷻ. Jikalau kita hendak dapat memasuki syurga, maka kenalah berusaha untuk menjadikan diri kita menjadi orang yang beriman dan bertaqwa.
Iman dan taqwa ada persamaan dan kadangkala boleh ditukar ganti: iman adalah taqwa dan taqwa juga adalah iman. Cuma kalau kita perhatikan dengan lebih mendalam, taqwa itu adalah lebih lagi daripada iman. Jikalau disebut di dalam satu ayat sebegini, kita boleh nisbahkan iman kepada perbuatan melakukan apa yang Allah ﷻ suruh dan taqwa itu adalah perbuatan meninggalkan apa yang Allah ﷻ larang.
Satu lagi perbezaan adalah: iman itu di hati dan taqwa itu dalam perbuatan. Orang yang ada iman yang mantap pasti akan membawa kepada kehidupan yang berlandaskan kepada syariat agama Islam. Kalau dia buat begitu, barulah dapat taqwa. Jangan hanya ada iman sahaja akan tetapi perbuatan tidak mencerminkannya.
Maka begitulah kisah bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dinaikkan pangkat dan mendapat kedudukan yang tinggi di Mesir. Perhatikan timbal balik antara topik D dan D’ ini. Dahulu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan dengan pangkat tidak rasmi ketika baginda diambil menjadi orang bawahan Al-Aziz. Baginda dikatakan telah diberikan dengan kuasa mengurus rumah Al-Aziz. Walaupun baginda seorang hamba sahaja, namun baginda dipercayai oleh tuannya. Sekarang setelah baginda dikenali oleh raja, baginda telah diberikan dengan pangkat rasmi iaitu sebagai Menteri Kewangan. Di dalam kedua-dua bahagian ini, ada kalimat yang sama iaitu وَكَذٰلِكَ مَكَّنّا لِيوسُفَ فِي الأَرضِ.
Habis Ruku’ 7 daripada 12 ruku’ surah ini.
|
Istilah
|
Definisi
|
|
Ikdhal Ilahi
|
Tindakan Allah ﷻ memberhentikan penceritaan dalam Al-Quran seketika untuk memberi pengajaran kepada pembaca.
|
|
Taqdim
|
Susunan ayat dalam bahasa Arab di mana satu perkataan didahulukan untuk memberikan maksud eksklusif atau penekanan khusus.
|
|
المُحسِنِينَ (Al-Muhsinin)
|
Orang-orang yang berbuat baik. Sifat ini merangkumi kesedaran akan kehadiran Allah ﷻ, berbuat baik kepada Allah ﷻ dan manusia, serta puncaknya adalah berbuat baik kepada orang yang telah berbuat jahat kepadanya.
|
|
نُصِيبُ (Nusibu)
|
Berasal daripada kata dasar نَصَبَ yang bermaksud memberi bahagian/harta atau mengenakan/menimpakan sesuatu secara tepat seperti yang telah ditetapkan.
|
|
Rahmat (رَحمَت)
|
Dalam konteks ayat, ia ditafsirkan sebagai kurniaan Allah ﷻ yang membolehkan kejayaan melalui gabungan tiga elemen: bakat, peluang, dan semangat untuk memanfaatkannya.
|
|
Sabar
|
Sikap tabah dan bertahan dalam menghadapi segala dugaan dan ujian yang Allah ﷻ kenakan tanpa menyimpang dari jalan kebenaran.
|
|
Iman
|
Kepercayaan yang terletak di hati. Dalam konteks perbandingan, ia dikaitkan dengan melakukan perintah Allah ﷻ.
|
|
Taqwa
|
Kepatuhan kepada Allah ﷻ yang dizahirkan melalui perbuatan. Dalam konteks perbandingan, ia dikaitkan dengan meninggalkan larangan Allah ﷻ dan dianggap sebagai amalan yang lebih mendalam daripada iman semata-mata.
|
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 26 Oktober 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)


Kunci Jawapan Kuiz
1. Ikdhal ilahi adalah tindakan Allah memberhentikan penceritaan buat seketika untuk memberi pengajaran. Tujuannya adalah untuk menjelaskan tentang hakikat balasan di dunia dan di akhirat, supaya manusia tidak salah faham dan menyangka setiap kebaikan mesti dibalas dengan kesenangan di dunia.
2. Tafsir ini menekankan bahawa walaupun raja yang memberikan jawatan, Allah-lah yang sebenarnya meninggikan kedudukan Nabi Yusuf. Ini adalah peringatan bahawa segala kuasa dan kedudukan datangnya daripada Allah, dan ia dianugerahkan setelah baginda melalui pelbagai ujian berat dengan sabar dan taqwa.
3. Pengulangan frasa ini mengisyaratkan adanya kaitan antara dua keadaan. Kali pertama, baginda dinaikkan pangkat secara tidak rasmi sebagai hamba yang dipercayai di rumah Al-Aziz. Kali kedua, baginda dinaikkan pangkat secara rasmi sebagai menteri, menunjukkan kesinambungan perancangan Allah yang menaikkan darjat baginda secara berperingkat.
4. Semasa di rumah Al-Aziz, Nabi Yusuf mendapat pendedahan tentang cara pentadbiran negara dan politik. Baginda dapat mengenali para menteri, berinteraksi dengan rakyat jelata di pasar, dan memahami selok-belok pengurusan, yang semuanya merupakan persiapan yang diatur Allah untuk jawatan menterinya kelak.
5. Dua prinsip utama yang membawa kejayaan adalah taqwa dan sabar. Sepanjang menghadapi masalah dan dugaan, seseorang itu mesti sentiasa menjaga agama (taqwa) dan bertahan dengan sabar menghadapi ujian yang Allah kenakan.
6. Frasa ini bermakna Nabi Yusuf boleh memilih untuk tinggal di mana sahaja di bumi Mesir. Ini adalah satu perubahan besar kerana sebelum ini, baginda tidak mempunyai pilihan tempat tinggal—daripada dibuang ke dalam telaga, menjadi hamba, sehinggalah dipenjarakan. Ia melambangkan kebebasan dan kedudukan tinggi yang Allah anugerahkan setelah melalui kesempitan.
7. Nabi Yusuf dilaporkan hanya makan sekali sehari untuk turut merasai kelaparan rakyatnya. Baginda juga mengarahkan agar makanan untuk pegawai kerajaan dimasak sekali sahaja supaya mereka juga dapat memahami kesusahan rakyat, menunjukkan sifat empati dan kerendahan hatinya.
8. Tiga elemen penting yang membentuk “rahmat” Allah dalam mencapai kejayaan adalah: (1) Bakat, kepandaian, atau ilmu; (2) Peluang yang diberikan; dan (3) Semangat untuk menggunakan bakat dan peluang yang ada. Kejayaan adalah hasil gabungan ketiga-tiga elemen ini yang merupakan anugerah daripada Allah.
9. Allah berfirman, “وَلا نُضيعُ أَجرَ المُحسِنينَ” (dan Kami tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik). Ini adalah jaminan bahawa walaupun hasil sesuatu usaha (seperti dakwah) tidak kelihatan di dunia, Allah tetap akan memberikan pahala atas usaha tersebut dan tidak akan menghampakan golongan muhsinin.
10. Apabila disebut bersama, ‘iman’ boleh dinisbahkan kepada perbuatan hati dan melakukan apa yang Allah suruh. Manakala ‘taqwa’ lebih merujuk kepada perbuatan luaran yang meninggalkan apa yang Allah larang, dan ia dianggap sebagai satu peringkat yang lebih tinggi daripada iman semata-mata.
LikeLike