DAKWAH KEPADA AGAMA TAUHID
Yusuf Ayat 37: Setelah diminta untuk menta’bir mimpi itu, baginda tidak terus ta’bir mimpi mereka, sebaliknya baginda mengambil peluang itu untuk memujuk hati mereka dahulu kepada agama Islam. Ini kerana mereka memang sudah memasang telinga untuk mendengar kata-kata baginda.
Kerana itu kita akan lihat yang baginda tidak terus menta’bir mimpi mereka sahaja. Maka, kita pun bolehlah mengambil pendekatan sebegini kalau kita ada peluang untuk bercakap dengan orang yang memang sedang memasang telinga untuk mendengar cakap kita. Sebagai contoh, ada yang meminta derma daripada kita. Sebelum kita berikan derma, bolehlah dakwah sedikit kepadanya.
قَالَ لَا يَأتِيكُمَا طَعَامٌ تُرزَقَانِهِۦۤ إِلَّا نَبَّأتُكُمَا بِتَأوِيلِهِۦ قَبلَ أَن يَأتِيَكُمَاۚ ذٰلِكُمَا مِمَّا عَلَّمَنِى رَبِّىٓۚ إِنِّى تَرَكتُ مِلَّةَ قَومٍ لَّا يُؤمِنُونَ بِٱللَّهِ وَهُم بِٱلأَخِرَةِ هُم كَـٰفِرُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He said, “You will not receive food that is provided to you except that I will inform you of its interpretation before it comes to you. That is from what my Lord has taught me. Indeed, I have left the religion of a people who do not believe in Allāh, and they, in the Hereafter, are disbelievers.
(MALAY)
Yusuf berkata: “Tidak disampaikan kepada kamu berdua makanan yang akan diberikan kepadamu melainkan aku telah dapat menerangkan maksud mimpi itu, sebelum makanan itu sampai kepadamu. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah, sedang mereka ingkar kepada hari kemudian.
قَالَ لَا يَأتِيكُمَا طَعَامٌ تُرزَقَانِهِۦۤ
Yusuf berkata: “Tidak disampaikan kepada kamu berdua sebarang makanan yang akan diberikan kepadamu
Apabila mereka di dalam penjara, tentunya mereka akan diberikan dengan makanan. Akan tetapi ini bukanlah penjara zaman moden jadi mungkin ia tidak mengikut jadual tertentu. Mereka pun tidak akan tahu apakah makanan yang mereka akan terima dan kerana itu kalimah yang digunakan adalah dalam bentuk nakirah (umum) طَعَامٌ. Begitulah keadaan di dalam penjara zaman dahulu, makan pun belum tentu. Ini bukanlah penjara zaman sekarang yang makan ikut jadual masa.
Jadi situasi di dalam penjara ini tentulah menakutkan dan kena ingat yang ini adalah kali kedua Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipenjarakan setelah kali pertama dibuang ke dalam telaga. Namun baginda tidak disebut pun mengeluh dan mengadu kepada Allah ﷻ. Ini kerana baginda ada keyakinan yang tinggi kepada Allah ﷻ dan redha dengan ketentuan-Nya.
Maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut tentang makanan di sini, tetapi mengapa agaknya? Perhatikan baginda menyebut تُرزَقَانِهِۦۤ (yang akan direzekikan kepada kalian berdua). Ia di dalam bentuk pasif iaitu tidak disebut siapakah yang akan memberikan makanan/rezeki itu. Maka mungkin baginda hendak mengingatkan mereka kepada Allah ﷻ kerana apa-apa makanan pun walaupun diberikan oleh warden penjara, akan tetapi ia tetap datang daripada Allah ﷻ. Mereka mungkin tidak nampak kerana yang bawa makanan adalah pekerja di penjara, dan dia dapat daripada tukang masak, tukang masak pula dapat bahan mentah daripada pekebun, pekebun pula dapat tanam dengan air hujan; tetapi siapa yang memberikan hujan? Jadi di sini sudah ada peringatan kepada kita tentang makanan yang kita makan, siapa yang beri? Kerana itu Allah ﷻ ada berfirman di dalam Abasa:24-32
فَلۡيَنظُرِ ٱلۡإِنسَـٰنُ إِلَىٰ طَعَامِهِۦۤ (٢٤) أَنَّا صَبَبۡنَا ٱلۡمَآءَ صَبًّا (٢٥) ثُمَّ شَقَقۡنَا ٱلۡأَرۡضَ شَقًّا (٢٦) فَأَنۢبَتۡنَا فِيہَا حَبًّا (٢٧) وَعِنَبًا وَقَضۡبًا (٢٨) وَزَيۡتُونًا وَنَخۡلاً (٢٩) وَحَدَآٮِٕقَ غُلۡبًا (٣٠) وَفَـٰكِهَةً وَأَبًّا (٣١) مَّتَـٰعًا لَّكُمۡ وَلِأَنۡعَـٰمِكُمۡ (٣٢)
Maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya. (24) Sesungguhnya Kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. (25) Kemudian Kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan; (26) Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, (27) Dan buah anggur serta sayur-sayuran, (28) Dan zaitun serta pohon-pohon kurma, (29) Dan taman-taman yang menghijau subur, (30) Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput; (31) Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. (32)
Ayat ini mengajar kita untuk menghargai rezeki makanan yang Allah ﷻ berikan kepada kita setiap kali kita makan. Ini adalah tips untuk ingat kepada Allah ﷻ, bukan? Setiap kali makan, maka bersyukurlah kepada Allah ﷻ dan ingatlah kepada Allah ﷻ yang telah memberikan makanan kita itu.
إِلّا نَبَّأتُكُما بِتَأويلِهِ قَبلَ أَن يَأتِيَكُما
melainkan aku telah dapat menerangkan maksud mimpi itu, sebelum makanan itu sampai kepada kamu berdua.
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berjanji, sebelum makanan itu sampai, baginda akan selesai menta’bir mimpi itu. Ada juga pendapat yang mengatakan dhomir ه dalam بِتَأويلِهِ bukanlah merujuk kepada mimpi akan tetapi kepada makanan itu. Maknanya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menceritakan tentang makanan yang mereka akan terima nanti. Iaitu baginda akan beritahu apa yang mereka akan makan pada hari itu. Ini kerana kita telah sebutkan baginda bukan hanya tahu ta’wil mimpi sahaja akan tetapi kelebihan baginda boleh menta’wil kata-kata dan kejadian juga. Ini adalah sebagai tanda yang baginda memang ada kelebihan dan mereka boleh percaya kepada baginda. Kelebihan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini lebih kurang sama dengan kelebihan yang diberikan kepada Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam Ali Imran:49
وَأُنَبِّئُكُم بِما تَأكُلونَ وَما تَدَّخِرونَ في بُيوتِكُم
dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu
Seperti yang telah disebut, baginda hendak mengambil kesempatan itu untuk dakwah agama kepada mereka. Mereka minta baginda ta’wil mimpi sahaja tetapi baginda bagi dakwah pula. Ada benda yang mereka mahukan, tetapi ada benda lebih penting yang mereka perlukan. Ini kerana dakwah ke arah kebenaran itu lebih penting. Kerana itulah kita mesti sentiasa jalankan kerja dakwah. Sekiranya ada orang yang memerlukan sesuatu daripada kita, maka itu adalah peluang untuk dakwah kepada mereka. Sebagai contoh, banyak NGO yang membantu orang susah dengan beri makanan dan pakaian kerana itu yang mereka perlu dan mahukan. Walau bagaimanapun selain daripada itu, mereka juga memerlukan ilmu terutama sekali ilmu agama. Jadi kalau kita hanya setakat beri makanan sahaja, maka itu sudah meninggalkan peluang untuk berdakwah. Begitu juga dengan kita, ketika kita membantu seseorang, kita selitkan sedikit dakwah di dalam pertemuan kita dengan mereka.
Baginda sebut tentang makanan mereka kerana ta’bir mimpi itu sekejap sahaja sebenarnya, jadi baginda hendak diisikan dengan perbincangan agama sedikit. Akan tetapi tidaklah sebut tentang agama memanjang-manjang. Sebab itu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bagi jangka waktu di permulaan. Baginda hendak ambil masa sedikit sahaja. Ini penting kerana kadang-kadang kita terkena ‘perangkap’. Ada orang yang kata hendak bagi tazkirah lima minit sahaja, tetapi selepas itu sampai sejam lebih dia bercakap, padahal kita ada kerja lain lagi. Dia kata dia hendak cakap lima minit sahaja, memang kita boleh bagi. Namun apabila dia sudah mula bercakap, kita rasa terperangkap. Begitulah kadang-kadang masalah pendakwah – kata hendak cakap sedikit sahaja, tetapi akhirnya cakap banyak pula. Ini menyebabkan ada orang sudah malas hendak dengar kalau ada orang yang bercakap tentang agama lagi – ada di antara mereka yang tolak awal-awal.
Oleh itu, kita sebagai pendakwah, kenalah pandai menggunakan taktik dan menghormati masa orang lain. Begitu juga kalau kita mengajar – kalau kata sejam sahaja kelas, maka sejam sahajalah. Sebab itulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berjanji yang baginda hendak bercakap sebentar sahaja iaitu sementara makanan belum sampai sahaja. Jadi dua orang itu sudah dapat agak berapa lama masa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan bercakap. Ini mengajar kita untuk menghormati masa orang lain. Kerana itulah kalau kita diberi peluang memberi ceramah, mengajar, kita tanya masa bercakap sampai bila dan jangan cakap lebih daripada masa yang telah dijanjikan. Kalau cakap lama pun, orang bukan dengar sangat pun setelah lebih 20 minit. Jadi kena pandai juga dalam bab ini dan jangan kemaruk sangat bercakap dengan orang. Beginilah yang diajar kepada kita seperti disebut di dalam hadith,
عَنْ أَبِي وَائِلٍ قَالَ: كَانَ عَبْدُ اللَّهِ يُذَكِّرُ النَّاسَ فِي كُلِّ خَمِيسٍ، فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ: يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ، لَوَدِدْتُ أَنَّكَ ذَكَّرْتَنَا كُلَّ يَوْمٍ! قَالَ: أَمَا إِنَّهُ يَمْنَعُنِي مِنْ ذَلِكَ أَنِّي أَكْرَهُ أَنْ أُمِلَّكُمْ، وَإِنِّي أَتَخَوَّلُكُمْ بِالْمَوْعِظَةِ كَمَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَخَوَّلُنَا بِهَا، مَخَافَةَ السَّآمَةِ عَلَيْنَا.
“Daripada Abu Wail yang berkata: ‘Adalah Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sentiasa memberi nasihat kepada orang ramai pada setiap hari Khamis. Maka seorang lelaki berkata kepadanya: ‘Wahai Abu Abdurrahman (gelaran Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ), alangkah baiknya jika engkau memberi peringatan (nasihat) kepada kami setiap hari.’ Maka dia menjawab: ‘Sesungguhnya tiada yang menghalangku daripada melakukan itu melainkan aku bimbang kamu akan menjadi jemu. Sesungguhnya aku memilih waktu yang sesuai untuk memberi nasihat kepada kamu sepertimana Nabi ﷺ memilih waktu yang sesuai untuk memberi nasihat kepada kami, kerana bimbang kami akan berasa jemu’.”
(Sahih Al-Bukhari No. 70)
Maka kita kena ada paradigma yang betul tentang hal ini. Jangan kita rasa yang kita ini hebat sangat sebab dapat mengajar orang tentang agama dan mereka kena duduk dengarlah apa yang kita cakap, dan mereka mesti bersyukur sebab dapat dengar kita mengajar. Sebaliknya kita kena bersyukur dan berterima kasih kepada mereka kerana beri peluang kepada kita untuk mengajar dan berdakwah kepada mereka. Kita harus sedar yang kita tidak perlu bersusah payah untuk mencari mereka tetapi mereka yang datang kepada kita. Maka janganlah kita buat mereka rasa menyesal datang belajar dengan kita pula, menyesal dengar kita cakap yang berjela-jela dan membosankan. ‘
Situasi tidak sama kalau kita mengajar orang awam dengan mengajar pelajar. Kalau pelajar, memang itu kerja mereka untuk belajar, jadi setiap hari dan panjang kelas mereka. Sebaliknya untuk orang awam, mereka ada kerja, ada keluarga dan hal lain yang mereka hendak uruskan. Maka jangan buang masa mereka. Biar kita cakap dengan ringkas, tetapi padat. Biar santai tetapi sampai.
Melalui ayat-ayat yang digunakan, kita dapat tahu yang banduan berdua itu adalah orang kafir. Namun begitu, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetap berdakwah kepada mereka kerana mereka juga memerlukan dakwah. Maka ini mengajar kita yang kita kena dakwah kepada sahabat dan kenalan kita yang bukan Muslim. Jangan rasa kekok berdakwah kepada mereka kerana memang mereka memerlukan. Entah selama mereka hidup, tidak pernah pun ada orang Islam dakwah kepada mereka. Sedangkan mereka daripada kecil, ada sahaja kawan dalam kalangan Muslim.
Kenapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ melayan kisah mimpi mereka berdua sedangkan mereka itu orang kafir? Adakah mimpi orang kafir pun benar dan ada petunjuk juga? Perkara ini adalah persoalan yang menarik dan sering dibahaskan dalam kalangan ulama. Mimpi dua banduan dan nanti kita akan jumpa mimpi raja boleh menjadi kenyataan walaupun mereka bukan Muslim. Ini kerana tafsiran mimpi dalam Islam tidak hanya terhad kepada orang-orang beriman semata.
Dalam Islam, mimpi terbahagi kepada beberapa jenis:
- Mimpi yang benar (mimpi daripada Allah ﷻ): Mimpi yang membawa petunjuk atau berita gembira. Mimpi jenis ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, bukan hanya kepada para nabi atau orang soleh.
- Mimpi daripada syaitan: Mimpi buruk yang bertujuan untuk menakut-nakutkan atau mengganggu.
- Mimpi daripada bisikan jiwa: Mimpi yang terhasil daripada fikiran, pengalaman, atau keinginan yang terpendam dalam diri seseorang.
Mimpi dua banduan dan raja itu termasuk dalam kategori mimpi yang benar yang datang daripada Allah ﷻ. Walaupun mereka bukan Muslim, Allah ﷻ tetap memberikan mimpi yang benar kepada mereka atas hikmah dan tujuan tertentu, iaitu:
1. Untuk Membuktikan Kebenaran Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ
Allah ﷻ menjadikan mimpi-mimpi ini sebagai alat untuk menyelamatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada terus berada di dalam penjara. Jika mimpi mereka tidak benar dan tidak dapat ditafsirkan, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak akan dapat membuktikan kebenaran dan keistimewaan dirinya, dan baginda mungkin akan kekal di penjara lebih lama.
-
- Mimpi dua banduan menjadi jalan untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar dari penjara.
- Mimpi raja menjadi sebab utama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dijemput ke istana dan diberi kedudukan tinggi.
2. Menunjukkan Kekuasaan Allah ﷻ
Allah ﷻ Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Dia boleh menyampaikan petunjuk, kebenaran, atau maklumat kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki, tanpa mengira latar belakang agama mereka. Keajaiban ini menunjukkan bahawa kekuasaan dan ilmu Allah ﷻ tidak terbatas.
3. Sebagai Jalan Dakwah
Melalui pentafsiran mimpi yang benar ini, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat menyampaikan dakwah tauhid kepada dua banduan dan juga raja. Ketika dua banduan itu bertanya tentang mimpi mereka, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak terus menjawab, sebaliknya mengambil peluang untuk mengajak mereka mengenal Allah ﷻ yang Maha Esa terlebih dahulu. Begitu juga dengan raja, yang akhirnya menyaksikan sendiri kebenaran dakwah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maka, mimpi-mimpi ini adalah sebahagian daripada rancangan Ilahi yang telah diatur dengan sempurna untuk meninggikan darjat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, membuktikan kebenaran kenabiannya, dan membuka jalan untuk dakwah di peringkat yang lebih tinggi.
ذٰلِكُما مِمّا عَلَّمَني رَبّي
Yang demikian itu adalah sebahagian daripada apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku.
Pertamanya, baginda memuji Allah ﷻ di atas pemberian-Nya yang mengajar baginda bagaimana menta’bir mimpi. Ia termasuk ilham dan wahyu daripada Allah ﷻ. Baginda ingatkan yang kelebihan itu, Allah ﷻ yang berikan kepada baginda, bukan baginda memandai sahaja ta’bir mimpi orang. Kerana ia pemberian daripada Allah ﷻ, maka baginda dengan yakin boleh memberikan ta’wil mimpi itu dengan segera kepada mereka kerana ia bukanlah daripada fikiran baginda tetapi sebenarnya ia adalah daripada Allah ﷻ.
Sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedang bercakap dengan dua orang banduan yang bukan beragama Islam. Berkemungkinan besar mereka itu adalah Kristian Koptic. Ia adalah mazhab yang paling lama dalam Kristian. Atau, mereka mungkin mengamalkan agama yang percaya kepada banyak tuhan seperti Ra, Osiris, Isis, Horus, Anubis dan sebagainya. Jadi apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebut istilah رَبّي, mereka mungkin tidak tahu yang baginda sedang bercakap tentang Allah ﷻ. Kerana pada mereka, tuan mereka mungkin raja negeri itu, atau tuhan-tuhan yang mereka sembah.
إِنِّى تَرَكتُ مِلَّةَ قَومٍ لَّا يُؤمِنُونَ بِٱللَّهِ
Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah,
Sekarang baginda mula menceritakan tentang dirinya dan agama baginda. Sekarang juga baginda telah menyebut nama Allah ﷻ. Baginda mengatakan yang baginda adalah seorang Muslim. Baginda tidak sama dengan mereka yang mengamalkan agama yang tidak beriman dengan Allah ﷻ. Siapakah yang baginda maksud dan agama apakah yang sedang diperkatakan oleh baginda? Sebelum baginda masuk ke dalam penjara itu, siapa yang baginda tinggalkan? Itulah keluarga dan golongan elit yang tidak beriman kepada Allah ﷻ dan telah menyalahgunakan kuasa mereka. Mereka itu bertuhankan nafsu mereka sahaja, selain daripada agama nenek moyang mereka yang mereka amalkan.
Di sini digunakan kalimah مِلَّةَ bukan دِينٌ. Kalimah مِلَّةَ digunakan apabila manusia di sesuatu tempat atau negara bergabung dalam satu agama atau satu pegangan yang sama. Ia merujuk kepada agama rakyat negeri itu secara kolektif. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengatakan baginda tidak seperti mereka kerana tidak mengamalkan fahaman mereka itu yang berlawanan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah ﷻ. Dalam bahasa Arab, perkataan millah dan deen (atau din) sering digunakan dalam konteks agama, tetapi keduanya membawa maksud yang berbeza dan spesifik. Deen merujuk kepada sistem kehidupan yang lengkap dan menyeluruh. Ia adalah jalan hidup yang merangkumi Kepercayaan (aqidah), Ibadah (rituals), Perundangan (syariah), Akhlak dan tingkah laku (akhlak). Millah pula merujuk kepada tradisi, jalan, atau mazhab yang spesifik. Jadi ia adalah cara atau metode yang unik bagi sesuatu kaum untuk mengamalkan agama. Ia juga tidak berdiri sendiri dan selalunya dikaitkan dengan seseorang atau sesuatu kaum; sebagai contoh, Al-Qur’an banyak menyebut tentang Millah Ibrahim (tradisi/jalan Ibrahim). Ini merujuk kepada ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, yang merupakan asal usul kepada agama Yahudi, Nasrani, dan Islam. Meskipun setiap umat mempunyai millah yang berbeza
Baginda hendak menegaskan yang kebolehan baginda untuk menta’bir mimpi adalah kerana mukjizat daripada Allah ﷻ, bukannya kerana sihir atau ajaran daripada agama musyrik. Ini kerana dalam agama selain Islam, ada juga amalan dan cubaan untuk menta’bir mimpi, akan tetapi kesahihannya tidak boleh dipercayai.
وَهُم بِٱلأَخِرَةِ هُم كَـٰفِرُونَ
sedang mereka ingkar kepada hari kemudian.
Dari segi bahasa, ada taqdim (mendahulukan) pada kalimah بِالآخِرَةِ. Ini menunjukkan penekanan pada perkataan itu menunjukkan cara kehidupan kebanyakan manusia tidak takut dengan akhirat. Mereka buat tidak kisah dan tidak percaya yang mereka akan dibangkitkan dan mereka akan dipertanggungjawabkan dengan segala perbuatan mereka semasa mereka di dunia. Apabila tidak percaya dan tidak takut kepada akhirat, manusia berani berbuat apa sahaja. Itulah perangai kaum kafir. Semasa ayat ini diberikan, penerima pertama adalah Arab Mekah yang kebanyakan daripada mereka tidak percaya dengan kebangkitan semula dan hari akhirat. Dek kerana tidak percaya adanya akhiratlah, maka mereka tidak takut untuk melakukan apa sahaja di dalam kehidupan mereka. Mereka sangka mereka tidak akan dipertanggungjawabkan langsung nanti.
Di sini hanya disebut beriman kepada Allah ﷻ dan beriman kepada akhirat sahaja; walaupun sebenarnya kita pun tahu ada banyak lagi perkara yang kita kena imani. Ini adalah kerana dua iman yang disebut inilah yang paling penting.
Yusuf Ayat 38: Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdakwah kepada mereka berdua dengan memberitahu apakah agama yang benar.
وَٱتَّبَعتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبرٰهِيمَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقُوبَۚ مَا كَانَ لَنَآ أَن نُّشرِكَ بِٱللَّهِ مِن شَيءٍ ۚ ذٰلِكَ مِن فَضلِ ٱللَّهِ عَلَينَا وَعَلَى ٱلنَّاسِ وَلَـٰكِنَّ أَڪثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَشكُرُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And I have followed the religion of my fathers, Abraham, Isaac and Jacob. And it was not for us to associate anything with Allāh. That is from the favor of Allāh upon us and upon the people, but most of the people are not grateful.
(MALAY)
Dan aku pengikut agama bapa-bapaku iaitu Ibrahim, Ishak dan Ya’qub. Tiadalah patut bagi kita mempersekutukan sesuatu apapun dengan Allah. Yang demikian itu adalah daripada kurnia Allah kepada kami dan kepada manusia (seluruhnya); tetapi kebanyakan manusia tidak mensyukuri (Nya).
وَٱتَّبَعتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبرٰهِيمَ وَإِسحَـٰقَ وَيَعقُوبَ
Dan aku ikut agama bapa-bapaku iaitu Ibrahim, Ishak dan Ya’qub.
Baginda memberitahu yang baginda mengikut agama keturunan baginda sebelum itu, iaitu agama Islam. Baginda sebut:
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ – bapanya
Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ – datuknya
Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ – moyangnya
Jadi, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mempunyai satu kelebihan yang tidak ada kelebihan ini pada Nabi-nabi yang lain, iaitu bapanya sampai ke moyangnya adalah Rasul. Jadi empat keturunan para Nabi dalam satu keluarga. Di dalam ayat 6 juga Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menyebut nama-nama Rasul ini,
وَيُتِمُّ نِعمَتَهُ ۥ عَلَيكَ وَعَلَىٰٓ ءَالِ يَعقُوبَ كَمَآ أَتَمَّهَا عَلَىٰٓ أَبَوَيكَ مِن قَبلُ إِبرٰهِيمَ وَإِسحَـٰقَۚ
dan disempurnakan-Nya nikmat-Nya kepadamu dan kepada keluarga Ya’qub, sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmat-Nya kepada dua orang bapamu sebelum itu, (iaitu) Ibrahim dan Ishak.
Baginda sekarang sedang meneruskan legasi keluarganya itu dengan dikurniakan oleh Allah ﷻ menjadi Rasul juga dan menyampaikan dakwah. Mungkin baginda sebut para Nabi leluhur baginda itu kerana mungkin rakan banduannya itu kenal dengan nama-nama itu. Mungkin ada lagi saki baki ajaran daripada para Nabi itu yang mereka pernah dengar.
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengikut agama datuk neneknya. Maka tidaklah salah kalau kita hendak ikut ajaran dan agama datuk nenek kalau mereka itu benar. Maka kena selidik juga sama ada mereka itu benar ataupun tidak. Jangan pakai ikut sahaja kerana ramai yang hanya mengikut sahaja amalan datuk nenek tanpa usul periksa. Baginda menyebut leluhur baginda kerana baginda hendak menegaskan yang agama yang baginda anuti dan ikuti adalah agama Tauhid, yang tidak mensyirikkan Allah ﷻ.
Satu lagi kepentingan menyebut nama leluhur baginda adalah kerana salah satu cara Al-Qur’an berdakwah kepada orang yang bukan Islam bukanlah dengan memperkenalkan Nabi Muhammad ﷺ sangat, akan tetapi menggunakan kisah Nabi dan Rasul-rasul yang terdahulu. Kesannya adalah hendak memberitahu yang agama yang Nabi Muhammad ﷺ (dan juga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ) bawa ini bukanlah agama yang baru akan tetapi agama yang asal, daripada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi yang dibawa oleh ramai para Nabi zaman berzaman. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Muhammad ﷺ dan juga kita yang berdakwah kepada manusia lain adalah hanya menyambung sahaja, bukannya cipta agama baru.
مَا كَانَ لَنَآ أَن نُّشرِكَ بِٱللَّهِ مِن شَىءٍ
Tiadalah boleh bagi kami mempersekutukan sesuatu apapun dengan Allah.
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus memperkenalkan agama tauhid kepada rakan penjaranya itu. Itulah yang paling penting sekali – menceritakan tentang tauhid kepada manusia. Itulah dakwah yang dibawa oleh para Rasul yang dahulu lagi pun. Allah ﷻ adalah Tuhan yang sebenar jadi tidak patut bagi kita untuk mempersekutukan-Nya. Maka agama Tauhid adalah agama yang tidak ada SYIRIK. Jadi kita kena faham apakah yang boleh menyebabkan syirik. Ini penting kerana umat Islam pun tidak mahir tentang apakah yang termasuk di dalam amalan dan fahaman syirik, sampaikan ramai yang terjerumus ke dalamnya tanpa sedar.
Nasihat baginda ini juga bertepatan dengan setiap keadaan, termasuk di dalam penjara kerana asas kebaikan seseorang adalah dengan baik dengan Allah ﷻ. Ini kerana kalau berbuat baik dengan Allah ﷻ, maka seseorang itu akan berbuat baik dengan orang lain. Tidak yakin dengan Allah ﷻ adalah penyebab kepada jenayah kerana kalau seseorang itu tidak kisah dengan Allah ﷻ, maka dia juga akan tidak kisah dengan manusia.
Kita sebagai pendakwah juga kena ingatkan manusia dengan tauhid dan juga dengan syirik. Kena ajak dan ajar manusia tentang tauhid dan jauhi syirik. Kadang-kadang kita selalu sebut tentang tauhid, tetapi tidak disebut pun tentang syirik. Bila tidak disebut, manusia tidak faham apakah syirik itu dan mereka tidak sangka yang mereka sedang melakukan syirik kerana mereka tidak tahu.
ذٰلِكَ مِن فَضلِ اللهِ عَلَينا
Yang demikian itu adalah sebahagian daripada kurnia Allah kepada kami
Kurniaan pangkat kenabian itu diberikan kepada keluarga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai kurniaan daripada Allah ﷻ. Yang paling penting, mereka telah diberikan dengan ilmu tauhid dan itulah kelebihan utama yang Allah ﷻ berikan kepada keluarga mereka. Itu adalah kurniaan Allah ﷻ yang amat besar kerana ramai yang tidak mengamalkan tauhid di dalam dunia ini. Alangkah beruntungnya kita yang dilahirkan dalam agama Islam, maka senang untuk kita kenal tauhid.
وَعَلَى النّاسِ
dan ke atas manusia
Kurniaan dapat mengamalkan tauhid dan meninggalkan syirik bukan khas untuk keluarga mereka sahaja tetapi kepada manusia seluruhnya. Kalau belajar dan sanggup mengamalkannya, semua akan dapat kelebihan ini kerana agama yang lurus ini adalah kurnia kepada kita di dunia dan di akhirat. Bayangkan kalau kita tidak kenal Allah ﷻ dan tidak kenal agama Islam? Entah kita sedang sembah patung apa dan binatang apa pun kita tidak tahu.
Jadi agama ini bukan untuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja. Ya memang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengatakan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu bapanya akan tetapi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga adalah bapa kita juga. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada keturunan darah daging Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari segi darah tetapi dari segi spiritual, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah bapa juga. Perhatikan di dalam Hajj:78
وَما جَعَلَ عَلَيكُم فِي الدّينِ مِن حَرَجٍ ۚ مِّلَّةَ أَبيكُم إِبرٰهيمَ ۚ هُوَ سَمّٰكُمُ المُسلِمينَ مِن قَبلُ وَفي هٰذا
Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Qur’an) ini,
وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ
akan tetapi kebanyakan manusia tidak mensyukuri
Akan tetapi banyak manusia tidak mensyukuri nikmat tauhid itu. Oleh kerana itu kebanyakan manusia tidak mentauhidkan Allah ﷻ. Apabila diajak, mereka tidak mahu dengar dan tidak mahu ikut. Ramai yang melakukan syirik terhadap Allah ﷻ dengan menyembah dan meminta kepada selain Allah ﷻ.
Lihat ada permainan bahasa di sini: shirk dan shukr – lebih kurang sahaja bunyinya (antara شرك dan شكر) tetapi makna yang berlainan sekali. Masalah manusia adalah apabila tidak bersyukur kepada Allah ﷻ atas segala nikmat yang mereka terima. Mereka sangka mereka dapat itu bukan daripada Allah, tetapi dari entah tuhan mana, entah daripada usaha diri sendiri. Sedangkan makanan malah kehidupan kita ini semuanya daripada Allah ﷻ dan disebut berkali-kali di dalam Al-Qur’an untuk mengingatkan
Lihatlah bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masih sebut shukr semasa baginda dalam penjara. Baginda tidak putus semangat walaupun sedang diuji oleh Allah ﷻ. Lihatlah bagaimana baginda sudah masuk dalam penjara pun masih lagi berdakwah, masih lagi beriman. Begitulah bagi pada pendakwah juga. Ada pendakwah yang ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara kerana tidak ada tauliah mengajar (padahal mereka ada ilmu). Namun mereka terus berdakwah dalam penjara juga. Ramai banduan yang ikut beriman dengan mereka.
Di sini juga mengandungi pengajaran di dalam berdakwah. Apakah konten yang kita sampaikan kepada mad’u kita? Kalau kita perhatikan cara dakwah para Nabi, mereka tidaklah terus cerita berkenaan neraka dan azab, akan tetapi mereka mulakan dengan mengingatkan kepada nikmat yang diberikan kepada manusia. Ini adalah jenis dakwah targheeb (الترغيب). Ia merujuk kepada suatu metodologi atau pendekatan untuk mendorong, menggalakkan, dan memotivasi seseorang agar melakukan kebaikan. Antaranya mengajak manusia untuk bersyukur dengan nikmat yang Allah ﷻ berikan. Setelah dapat nikmat, marilah ikut kepada arahan pemberi nikmat itu iaitu Allah ﷻ.
Kuiz (10 Soalan Jawapan Ringkas)
Jawab setiap soalan dalam 2–3 ayat.
- Mengapakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memilih untuk berdakwah kepada dua banduan tersebut sebelum segera mentafsirkan mimpi mereka, seperti yang diminta?
- Apakah tujuan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyebut tentang makanan dan rezeki (seperti yang diisyaratkan oleh kalimah تُرزَقَانِهِۦۤ) kepada rakan penjaranya?
- Apakah dua pendapat mengenai apa yang dirujuk oleh dhomir ه dalam بِتَأويلِهِ, selain daripada mimpi?
- Mengapakah pendakwah dinasihati agar tidak berlama-lama (berjela-jela) dalam ceramah atau pengajaran, dan bagaimanakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan taktik menghormati masa ini?
- Apakah tiga kategori mimpi dalam Islam, dan kategori manakah yang termasuk mimpi dua banduan dan raja Mesir?
- Apakah tujuan Ilahi (hikmah) Allah ﷻ memberikan mimpi yang benar kepada orang yang bukan Muslim (seperti dua banduan dan raja)?
- Terangkan perbezaan utama antara istilah bahasa Arab millah dan deen dalam konteks agama.
- Siapakah yang dimaksudkan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebagai “orang-orang yang tidak beriman kepada Allah” yang agamanya telah ditinggalkan oleh baginda?
- Mengapakah iman kepada Allah ﷻ dan iman kepada Akhirat (Hari Kemudian) disebut secara spesifik dalam ayat ini sebagai asas ajaran Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
- Bagaimanakah keluarga Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Ibrahim, Ishak, Ya’qub, dan Yusuf عَلَيْهِمُ السَّلَامُ) menunjukkan kurniaan kenabian yang unik, dan apakah kepentingan kurniaan ilmu tauhid ini kepada manusia seluruhnya?
Glosari Istilah Utama
Ta’bir: Penjelasan atau interpretasi terhadap makna ayat-ayat al-Qur’an atau dalam konteks ini, pentafsiran makna tersembunyi sesuatu mimpi.
Nakirah: Istilah tatabahasa Arab yang merujuk kepada kata nama umum (indeterminate noun), seperti طَعَامٌ (makanan), menunjukkan ia tidak merujuk kepada makanan yang spesifik.
Dhomir (ه): Kata ganti nama diri ketiga tunggal (he/it) dalam bahasa Arab, yang dalam perbincangan ini merujuk sama ada kepada mimpi atau makanan.
Rancangan Ilahi: Aturan atau perancangan yang sempurna oleh Allah ﷻ yang meliputi segala kejadian, termasuk penggunaan mimpi orang bukan Muslim sebagai jalan untuk dakwah dan menyelamatkan Nabi Yusuf عَلَيْهِمُ السَّلَامُ.
Rabbī (رَبّي): Tuhanku; istilah yang digunakan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِمُ السَّلَامُ untuk merujuk kepada Allah ﷻ, walaupun pendengar baginda mungkin mentafsirkannya sebagai tuhan-tuhan mereka atau raja.
Millah (مِلَّةَ): Jalan, tradisi, atau mazhab spesifik yang dianut oleh sesuatu kaum atau negara secara kolektif. Digunakan untuk merujuk kepada ajaran leluhur Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Millah Ibrahim).
Deen / Din (دِينٌ): Sistem kehidupan yang lengkap dan menyeluruh, meliputi akidah, ibadah, perundangan (syariah), dan akhlak.
Taqdim: Istilah retorika Arab yang bermaksud mendahulukan atau meletakkan sesuatu kalimah lebih awal daripada susunan biasa untuk tujuan penekanan (penegasan).
Tauhid Rububiyah: Pengakuan bahawa Allah ﷻ adalah Pencipta, Penguasa, dan Pemberi Rezeki tunggal bagi seluruh alam semesta.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 22 September 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Kunci Jawapan Kuiz
LikeLike