Yusuf Ayat 32:
قَالَت فَذٰلِكُنَّ ٱلَّذِى لُمتُنَّنِى فِيهِۖ وَلَقَد رٰوَدتُّهُ ۥ عَن نَّفسِهِۦ فَٱستَعصَمَۖ وَلَٮِٕن لَّم يَفعَل مَآ ءَامُرُهُ ۥ لَيُسجَنَنَّ وَلَيَكُونًا مِّنَ ٱلصَّـٰغِرِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
She said, “That is the one about whom you blamed me. And I certainly sought to seduce him, but he firmly refused; and if he will not do what I order him, he will surely be imprisoned and will be of those debased.”
(MALAY)
Wanita itu berkata: “Itulah dia orang yang kamu cela aku kerana (tertarik) kepadanya, dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya (kepadaku) akan tetapi dia menolak. Dan sesungguhnya jika dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan dan dia akan termasuk golongan orang-orang yang hina”.
قالَت فَذٰلِكُنَّ الَّذي لُمتُنَّني فيهِ
Wanita itu berkata: “Itulah dia orang yang kamu cela aku kerana (tertarik) kepadanya,
Isteri al-Aziz pulangkan balik paku buah keras – itulah dia orang yang kamu kutuk aku dahulu dan kamu hairan bagaimana aku boleh jatuh cinta kepada kuli aku, bukan? Kalimah لُمتُنَّن daripada kata dasar ل م م yang bermaksud menyalahkan seseorang untuk sesuatu perkara; teguran; orang yang mencari kesalahan; seseorang yang sentiasa menyalahkan orang lain atau menyalahkan diri sendiri; mencela diri sendiri;
Setelah kumpulan wanita itu pun tidak keruan dek kerana terpukau dengan ketampanan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka puaslah hati isteri Al-Aziz itu. Sekarang mereka pun telah mengerat jari sendir dan memuji melambung tinggi sampai berkata Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah malaikat! Itu pun baru sekali tengok! Bayangkan dia yang sudah memelihara Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dari kecil lagi dan setiap hari ada dengannya.
Sekarang dia sudah berjaya menjalankan rancangannya. Dia hendak mereka pun terpesona dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan melakukan perkara yang memalukan mereka juga. Kalau sebelum ini mereka mengutuknya, dan mereka pun ada benda untuk kutuk, maka sekarang mereka itu hanya dua kali lima sahaja. Begitulah ahli politik dan yang bermain dengan politik. Kalau orang ada rahsia buruk mereka, mereka di dalam genggaman orang itu. Akan tetapi kalau dia pun dapat rahsia buruk orang lain itu, maka sama-sama akan takut untuk membocorkan rahsia masing-masing kerana kalau aku bocorkan rahsia dia, dia akan bocorkan pula rahsia aku!
وَلَقَد رٰوَدتُّهُ ۥ عَن نَّفسِهِۦ فَٱستَعصَمَ
dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya (kepadaku) akan tetapi dia menolak.
Apabila dia sudah dapat pegang kesalahan yang dilakukan oleh rakan-rakan kumpulan wanita elit di Mesir itu, maka sekarang kita perhatikan dia sudah berani bercakap tanpa rahsia lagi. Sebab dia tahu yang kumpulan wanita elit itu tidak berani mendedahkan kata-katanya itu kerana dia juga memegang rahsia mereka sekarang. Dia mengaku yang dia memang jatuh hati kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan memang dia sudah cuba menggoda Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk melakukan penzinaan dengannya. Sekarang kita boleh lihat yang dia tidak malu pun untuk mengaku begitu.
Kalimah فَاستَعصَمَ daripada عصم yang bererti berlindung untuk menolak bahaya. Penambahan huruf ست adalah isyarat kepada kesungguhan. Jadi ia bermaksud Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersungguh terus berpegang kuat dengan prinsip dan agama dan berjaya melindungi pegangan agamanya. Orang yang ada tali bergantung. Orang yang ada pegangan hidup dan tidak terumbang-ambing dibuai nafsunya. Jadi walaupun dirayu oleh majikannya sendiri yang cantik jelita pula, tidaklah baginda goyah. Namun tidaklah baginda tunggu di situ, bukan? Kita pun tahu yang baginda menjaga agamanya dan maruah dirinya dengan melarikan diri ke pintu. Maka kita kena lakukan sesuatu untuk mengelak dirinya kita daripada jatuh ke lembah kehinaan, bukannya menunggu sahaja dan perasan diri itu kuat!
وَلَٮِٕن لَّم يَفعَل مَآ ءَامُرُهُ ۥ
Dan sesungguhnya jika dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya,
Akan tetapi isteri itu kata dia tidak akan berhenti menggoda Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Walaupun dahulu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah tolak, tetapi dia bertekad akan berusaha lagi. Sekarang dia bukan berkata tentang insiden yang dia telah tertangkap hari itu, tetapi dia bermaksud akan ada lagi ajakan daripadanya. Ini kita dapat tahu melalui kalimah يَفعَل yang digunakan. Kerana dia maksudkan perkara yang telah berlalu, maka kalimah فعل yang digunakan. Kalimah يَفعَل di dalam bentuk present and continuous tense.
Dia masih tidak berputus asa walaupun telah jelas dia bersalah dahulu dan suaminya pun sudah tahu apa yang berlaku. Perhatikan yang dia ini tidak takut dan tidak rasa bersalah dan bertaubat pun. Sedangkan suaminya telah menegurnya di dalam ayat 29,
وَٱستَغفِرِى لِذَنۢبِكِۖ إِنَّكِ ڪُنتِ مِنَ ٱلخَاطِـِٔينَ
dan (kamu hai isteriku) mohon ampunlah atas dosamu itu, kerana kamu sesungguhnya termasuk orang-orang yang berbuat salah
Ayat ini mengajar kita ada orang yang tidak berhenti mengganggu kita dan hendak menjerumuskan kita ke dalam dosa. Maka kita mestilah terus bersabar dan terus melawan. Kerana itu ada ayat yang bukan setakat sebut sabar sahaja tetapi ada penekanan dalam sabar iaitu Ali Imran:200
يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah
Ini kerana ada musuh yang berterusan lagi dan lagi menyerang kita. Kita pula tidak ada pilihan lain daripada terus berpegang dengan agama dan iman kita. Namun sekarang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan sahaja diancam dengan melakukan maksiat dengan wanita itu, tetapi sekarang sudah menjadi ancaman kepada fizikal baginda pula.
لَيُسجَنَنَّ وَلَيَكُونًا مِّنَ ٱلصَّـٰغِرِينَ
nescaya dia pasti akan dipenjarakan dan dia akan termasuk golongan orang-orang yang hina”.
Kali ini kalau Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak berbuat apa yang dia suruh, dia akan masukkan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam penjara. Dia hendak meneruskan kata-katanya seperti yang disebut di dalam ayat 25
مَا جَزَآءُ مَن أَرَادَ بِأَهلِكَ سُوٓءًا إِلَّآ أَن يُسجَنَ أَو عَذَابٌ أَلِيمٌ
Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?
Perhatikan penekanan pada kalimah لَيُسجَنَنَّ yang ada dua huruf taukid iaitu harf ل – Lam al-Qasam (لام القسم) dan ن ada syaddah – Nun at-Taukid ats-Tsaqilah (نون التوكيد الثقيلة) yang bermaksud dia benar-benar akan buat. Jadi ini adalah tahap penekanan yang paling tinggi.
Tujuan dia hendak memasukkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam penjara adalah kerana hendak menghina baginda. Dia kira yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menjadi orang yang hina sebab kena duduk dalam penjara. Kalau sebelum ini suaminya suruh dia muliakan tempat tinggal bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sekarang dia akan pastikan tempat tinggal Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjadi tempat yang susah di dalam penjara.
Perhatikan penekanan paling tinggi pada kalimah لَيُسجَنَنَّ namun pada kalimah وَلَيَكُونًا masih ada penekanan, walaupun sudah kurang sedikit. Hanya ada Lam al-Qasam (لام القسم) sahaja. Ini kerana dia pasti dia boleh memasukkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam penjara dengan pengaruh dan kuasa yang dia ada; walaupun dia kurang pasti sikit yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan menjadi orang yang terhina apabila dimasukkan ke dalam penjara. Ia cuma harapannya sahaja.
Kalimah ٱلصَّـٰغِرِينَ daripada kalimah صغر yang bermaksud kecil. Dia hendak jadikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kecil dan hina kerana sebelum ini golongan wanita itu telah membesarkan baginda di dalam ayat sebelum ini: أَكبَرنَهُ. Juga dia hendak mengecilkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana pada dia, apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menolak permintaannya, baginda telah mengecilkan dan menganggap enteng tidak bernilai sahaja arahannya, maka sekarang dia mahu membalas dendam.
Begitulah jenis perempuan yang sanggup berbuat apa sahaja kalau mereka sudah hendakkan sesuatu dan tidak fikirkan kesannya lagi. Dia hendak membalas dendam dan hendak puaskan hatinya sahaja. Memang ada wanita yang macam itu. Sebab itulah Allah ﷻ ceritakan dalam Al-Qur’an tentang wanita jenis semacam ini. Kita kena berhati-hati dengan wanita yang sebegini kerana mereka sudah tidak mengikut akal yang waras lagi. Apabila manusia ada kuasa, mereka boleh membuat apa-apa sahaja dengan orang bawahan. Sampai boleh dimasukkan ke dalam penjara kerana bukti yang tidak ada pun mereka boleh adakan. Jadi isteri Al-Aziz tentu ada kuasa kerana kita pun tahu, pasangan pemimpin pun ada kuasa juga.
Oleh itu kita boleh lihat bagaimana wanita ini bukanlah wanita yang baik. Oleh kerana itu kita tidak dapat menerima dengan mudah kisah yang mengatakan dia adalah Zulaikha yang akhirnya menjadi orang baik dan kemudian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula yang terpikat dengannya dan kemudian berkahwin dengannya. Sampai ada orang letak dalam kad undangan nikah,
“Ya Allah,
Satukanlah hati kedua mempelai ini,
seperti mana Engkau satukan hati
Adam dan Hawa, Yusof dan Zulaikha,
dan seperti Engkau satukan hati
Muhammad S.A.W. dan Siti Khadijah;
Ini mengarut sahaja kerana tidak ada kisah yang sahih tentang perkara itu. Jadi kita hanya ada kisah dalam Al-Qur’an yang mengatakan dia itu adalah wanita yang teruk. Kalau hendak mengatakan yang dia berubah menjadi baik dan akhirnya berkahwin dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka kenalah ada riwayat yang sahih. Ini kerana kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diperlakukan seperti yang disebut dalam ayat ini, tentulah tidak mudah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memaafkannya.
Perhatikan yang wanita ini bercakap di khalayak ramai di hadapan rakan kenalannya. Tidak ada seorang pun yang disebut melawan atau menegurnya. Memang begitulah apabila bersama kawan-kawan yang sealiran. Kalau ada yang rasa tidak selesa pun, mereka tidak berani menegur kerana takut dipandang serong dan dibuang kawan. Jadi ramai akan ikut sahaja. Hanya orang yang kuat dan berani sahaja yang sanggup menegur. Kerana itu Islam mengajar kita untuk menegur kesalahan yang berlaku di hadapan kita, jangan buat senyap sahaja.
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
“Barangsiapa di antara kalian melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka ubahlah dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”
Sahih Muslim: hadith 49; Sunan Abi Dawud: hadith 4340; Sunan At-Tirmidzi: hadith 2169; Sunan An-Nasa’i: hadith 5007.
Kalau kita ada kuasa, maka kita boleh menghalang kemungkaran itu daripada dilakukan. Sekiranya kita tidak ada kuasa, maka sekurang-kurangnya kita menegur mereka. Kalau ini pun tidak mampu, barulah boleh kita tolak dengan hati kita; akan tetapi jangan kita terus tolak dengan hati sedangkan kita ada kemampuan bercakap. Ramai orang senyap membisu sedangkan dia boleh sahaja berkata sesuatu.
YANG LEBIH KECIL DARIPADA DUA KEJAHATAN
Yusuf Ayat 33:
قَالَ رَبِّ ٱلسِّجنُ أَحَبُّ إِلَىَّ مِمَّا يَدعُونَنِىٓ إِلَيهِۖ وَإِلَّا تَصرِف عَنِّى كَيدَهُنَّ أَصبُ إِلَيهِنَّ وَأَكُن مِّنَ ٱلجَـٰهِلِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He said, “My Lord, prison is more to my liking than that to which they invite me. And if You do not avert from me their plan, I might incline toward them and [thus] be of the ignorant.”
(MALAY)
Yusuf berkata: “Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”.
قَالَ رَبِّ ٱلسِّجنُ أَحَبُّ إِلَىَّ مِمَّا يَدعُونَنِىٓ إِلَيهِ
Yusuf berkata: “Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku.
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengar ancaman daripada wanita itu untuk memasukkannya ke dalam penjara (kalau tidak mengikut kehendaknya). Sebenarnya, wanita itu hendakkan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memasuki penjara bukan untuk hukum baginda, tetapi mahukan baginda mengalah sahaja dan mengikut cakapnya. Sebab itu tidak ada penghakiman pun bila hendak memasukkan baginda ke dalam penjara (untuk dimasukkan dengan cara yang benar, kenalah ada perbicaraan). Oleh itu, dia dimasukkan dengan cara yang salah iaitu dengan membisikkan sahaja kepada suaminya. Suaminya itu pula kalah dengan isteri sendiri.
Apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengar apa yang wanita itu hendak buat, baginda pun mengeluh atau mengadu kepada Allah ﷻ seperti dalam ayat ini. Baginda tidak menjawab pun kepada wanita itu sebaliknya baginda bercakap dengan Allah ﷻ. Inilah yang kita selalu lihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi-nabi lain buat, iaitu mereka selalu kembali dan mengadu kepada Allah ﷻ, inilah yang kita harus contohi. Kita kena ikut cara mereka dengan berdoa terus kepada Allah ﷻ kerana kita hamba yang lemah. Apa-apa hal pun mengadu kepada Allah ﷻ, kemudian usaha untuk buat apa yang kita mampu.
Adakah baginda bercakap dengan suara yang boleh didengari atau hanya dalam diri baginda sahaja? Dua-dua ada kemungkinan dan kita tidak pasti dengan jelas bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lakukan.
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah suka masuk penjara; akan tetapi kalau dibandingkan dengan berbuat dosa, baginda lebih rela dimasukkan ke dalam penjara sahaja. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang lebih rela dipenjarakan daripada terjerumus dalam fitnah isteri Al-‘Aziz adalah satu bentuk “tark al-awla” (meninggalkan pilihan yang lebih utama). Baginda bukannya berdoa supaya dimasukkan ke dalam penjara, tetapi kalau itu sahaja pilihan yang ada, maka baginda lebih rela masuk penjara. Jadi baginda lebih kepada mengadu dan mengeluh kepada Allah ﷻ, bukannya berdoa supaya dimasukkan ke dalam penjara.
Ada pendapat yang mengatakan salah doa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Sepatutnya baginda minta afiyah (diselamatkan daripada mara bahaya), maka Allah ﷻ pasti akan selamatkan baginda daripada masuk penjara. Malah ada riwayat yang mengatakan Allah ﷻ menegur Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana tidak minta afiyah. Salah satu riwayat yang masyhur adalah hadith yang konon diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan lain-lain, yang intinya:
“Allah mewahyukan kepada Yusuf: ‘Engkau telah memilih penjara, padahal jika engkau meminta afiyah (perlindungan) dari tipu daya mereka, sungguh Aku akan melindungimu’.”
Riwayat ini mengatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah tersalah di dalam meminta. Malah ia digunakan sebagai dalil untuk mengajar kita supaya berhati-hati di dalam menyusun doa supaya tidak tersalah doa. Akan tetapi majoriti ulama tafsir dan hadith, seperti Ibnu Katsir, Ibnu Taimiyyah, dan Al-Qurthubi, menegaskan bahawa riwayat-riwayat ini tidak memiliki sanad (rantai periwayat) yang sahih. Mereka berpendapat bahawa cerita-cerita seperti ini adalah cerita yang berasal daripada sumber-sumber non-Islam dan tidak boleh dipercayai atau dinisbahkan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, hujah ini ditolak oleh majoriti ulama kerana ia dilihat tidak mengambil kira konteks unik dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ:
-
- Tiada Pilihan Lain: Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam keadaan terkepung dan tidak ada jalan keluar lain. Semua pintu telah ditutup. Oleh itu, baginda tidak meminta penjara, tetapi memilih penjara sebagai jalan keluar yang paling munasabah untuk menyelamatkannya daripada dosa.
- Prioriti Agama: Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendahulukan keselamatan agamanya daripada keselamatan fizikalnya. Baginda melihat penjara sebagai suatu ‘afiyah’ jika dibandingkan dengan dosa besar.
- Perbezaan Ujian: Ujian yang pertama (terjerumus dalam maksiat) adalah ujian iman yang paling besar, manakala ujian yang kedua (penjara) adalah ujian kesabaran. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memilih ujian yang lebih ringan dari segi agama.
Oleh itu, kalimah “penjara lebih aku sukai” adalah perbandingan antara dua pilihan yang buruk: terjatuh dalam dosa atau dipenjara. Baginda memilih yang paling ringan, iaitu penjara. Lagi pun sukar untuk kita menerima yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tersilap di dalam berdoa kepada Allah ﷻ sedangkan baginda diberikan kelebihan memahami mimpi, percakapan dan kejadian yang berlaku. Takkanlah baginda tidak pandai menyusun doa kalau begitu.
Jadi kalimah أَحَبُّ yang disebut oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini bukanlah kerana baginda cinta atau suka hendak masuk penjara pula, tetapi sebaliknya kerana cinta kepada Allah ﷻ dan agama. Inilah cinta yang terpuji. Namun kadangkala ada cinta yang membawa kepada keburukan. Perhatikan kalimah أَحَبُّ ini telah digunakan di dalam ayat 8 sebelum ini:
إِذ قالوا لَيوسُفُ وَأَخوهُ أَحَبُّ إِلىٰ أَبينا مِنّا
ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) lebih dicintai oleh ayah kita daripada kita sendiri
Ketika itu abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sanggup memasukkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ke dalam tempat gelap (telaga) kerana hendak mendapat cinta bapa mereka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Cinta mereka itu adalah cinta yang bengkok, sanggup melakukan kesalahan untuk mendapatkan cinta. Sebaliknya perhatikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sanggup memasukkan diri baginda ke dalam tempat yang gelap (penjara) untuk mendapatkan cinta Allah.
Kalau kita lihat pengaduan baginda, kita boleh lihat yang kalimah yang digunakan adalah مِمّا يَدعونَني yang bermaksud ‘mereka’ yang berkehendak (bukan wanita itu seorang sahaja). Namun bukankah isteri al-Aziz itu sahaja yang pujuk baginda? Memang sekarang doa baginda terhadap mereka kerana sekarang mereka beramai-ramai memujuk baginda untuk mengikut kata wanita itu. Atau, setelah mereka semua telah melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara berdepan, mereka pun sudah teringin kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga. Mereka pun sudah buat rancangan berbagai-bagai untuk mendampingi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Bukankah Al-Aziz pun sudah berkata tentang rancangan para wanita di zamannya itu di dalam ayat 28,
إِنَّهُ ۥ مِن ڪَيدِكُنَّۖ إِنَّ كَيدَكُنَّ عَظِيمٌ
“Sesungguhnya (kejadian) itu adalah di antara tipu daya kalian, sesungguhnya tipu daya kalian adalah besar”
Waktu itu terus Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa kepada Allah ﷻ. Baginda tidak cakap ‘tentang’ Allah ﷻ, tetapi bercakap ‘dengan’ Allah ﷻ. Ada kemungkinan yang baginda berdoa itu di hadapan wanita-wanita itu, supaya mereka pun dengar juga keputusan baginda. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengadu kepada Allah ﷻ yang baginda lebih rela duduk dalam penjara daripada kalah dengan ugutan wanita itu.
Pengajaran bagi kita adalah dalam memilih mana yang lebih baik bagi agama kita. Sebagai contoh, kita ada pilihan rumah besar atau rumah kecil. Rumah besar itu di pekan, dekat dengan segala keperluan dan dekat dengan tempat hiburan; sedangkan rumah yang kecil itu jauh dari bandar tetapi dekat dengan masjid; sekarang mana satu pilihan kita? Adakah rumah besar atau rumah kecil? Ini saya serahkan anda untuk membuat pilihan.
Sebenarnya tidak ada masalah pun untuk masuk penjara bagi orang mukmin. Kerana dunia ini sendiri adalah ‘penjara’ bagi kita. Telah disebut hadith tentang hal ini,
حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ يَعْنِي الدَّرَاوَرْدِيَّ عَنْ الْعَلَاءِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
Telah menceritakan kepada kami Qutaibah bin Sa’id telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz Ad-Darawardi daripada Al Ala` daripada ayahnya daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Dunia ini adalah penjara orang mukmin dan syurga orang kafir.”
(Sahih Muslim No. 5256)
Syarah hadith: Bagi seorang mukmin, kehidupan di dunia ini penuh dengan batasan dan ujian. Seorang mukmin tidak boleh melakukan apa sahaja yang disukainya, kerana dia terikat dengan syariat Allah. Dia tidak boleh menikmati perkara-perkara yang haram seperti arak, zina, atau riba. Ini menjadikan dunia seolah-olah penjara yang membatasi nafsu dan keinginannya. Seorang mukmin yang bertaqwa akan sentiasa berasa tidak selesa dengan kejahatan dan fitnah di dunia. Dia akan sentiasa menantikan kebebasan yang hakiki, iaitu nikmat syurga di akhirat kelak. Walaupun dia berasa gembira di dunia, kegembiraan itu tidak dapat dibandingkan dengan kegembiraan yang dijanjikan oleh Allah ﷻ. Jadi kalau hendak menjaga agama itu kena masuk penjara, maka ke penjaralah kita.
Maka pengajaran bagi kita, kadangkala untuk kita menegakkan kebenaran atau menjaga agama kita, kita akan disusahkan di dunia. Para ulama’ dulu pun ada yang dipenjarakan kerana tidak bersetuju dengan pemimpin yang memaksa mereka ikut cakap mereka. Akan tetapi mereka lebih suka dimasukkan ke dalam penjara dan hilang kebebasan mereka dan mungkin disakiti ketika di dalam penjara itu, berbanding mereka menukar pendirian mereka.
Maka kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini sangatlah banyak pengajarannya dan kita belum sampai separuh pun lagi kisah baginda ini. Namun berapa ramaikah orang kita tahukah kisah dan pengajaran ini? Kalau ditanya tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tentu yang mereka cakap hanyalah: ‘Nabi Yusuf hensem kacak!’ Itu sahaja mereka tahu. Ini seperti kita sampaikan sebuah kisah kejayaan seseorang kerana dia baik, belajar rajin-rajin dan mula berniaga kecil-kecilan. Dia jatuh sekejap tetapi kerana dia sabar, dia berjaya melepasi kesusahan dia dan akhirnya berjaya. Habis kita cerita, orang yang kita ceritakan itu tanya: ‘Dia gemuk ke dia kurus, ustaz?’ Adakah patut soalan itu yang ditanya?
وَإِلّا تَصرِف عَنّي كَيدَهُنَّ أَصبُ إِلَيهِنَّ
Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka)
Baginda terus mengadu: Seandainya Allah ﷻ tidak bantu untuk menghilangkan rancangan mereka, baginda akan أَصبُ (cenderung) kepada kehendak wanita-wanita itu. Ia daripada kata dasar ص ب و yang bermaksud cenderung, mendambakan, merindui, mempunyai kecenderungan seperti kanak-kanak, sabiyyan – budak lelaki/lelaki/lelaki, kanak-kanak, budak lelaki (juga ditulis dengan ص ب ي). Oleh kerana itu kalimah أَصبُ juga digunakan untuk menyebut sifat kebudakan – ini kerana kalau budak-budak, mereka akan buat sesuatu tanpa berfikir panjang. Kalau mahukan sesuatu seperti permainan, cakap macam mana pun, mereka mahu juga kerana mereka budak dan hanya tahu ikut kehendak nafsu mereka sahaja.
Di sini baginda mengaku terus terang dengan Allah ﷻ bahawa keamanan kesuciannya tidaklah terjamin kalau baginda tidak dipisahkan oleh Allah ﷻ daripada mereka. Kerana baginda masih muda dan takut boleh rebah dengan pujukan mereka. Jadi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berlindung daripada menjadi begitu dan baginda mengaku yang Allah ﷻ sahaja yang dapat menjaga hatinya dan menyelamatkannya. Begitulah juga dengan kita, kadang-kadang kita hendak lawan nafsu, tetapi takut akan kalah juga kerana kita tidak kuat melawan kehendak nafsu kita. Mintalah tolong kepada Allah ﷻ kerana Allah ﷻ yang jaga hati-hati kita.
Di dalam dunia ini, ada 3 perkara yang hendak menjerumuskan kita ke lembah kehinaan:
1. Nafsu
2. Syaitan yang sentiasa hendak menyesatkan kita
3. Ajakan luaran seperti manusia, suasana atau masyarakat yang hendak menarik kita.
Perhatikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita tahu baginda amat hendak menjaga maruah dan agamanya. Akan tetapi 3 perkara itu tetap juga hendak menarik baginda dan baginda akui perkara itu. Apa yang baginda boleh lakukan adalah berpegang teguh tetapi baginda tahu yang baginda juga memerlukan bantuan daripada Allah ﷻ. Tidaklah baginda berlagak dengan kekuatan dirinya. Baginda sedar yang baginda adalah manusia. Maka kalau seorang Nabi pun begitu, apatah lagi kita? Maka hendaklah kita berharap kepada pertolongan dan perlindungan dengan Allah ﷻ.
وَأَكُن مِّنَ ٱلجَـٰهِلِينَ
dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”.
Baginda mengaku yang kalau baginda mengikut saranan wanita-wanita itu, tentu baginda menjadi orang yang jahil. Kenapa pula jahil ada dalam perkara ini? Oleh itu kita kena faham maksud jahil itu sendiri. Ia mempunyai beberapa maksud.
1. Ia lawan kepada hilm (الحِلْم) iaitu akhlak (sifat) yang sangat terpuji seperti kesabaran, kelembutan, atau kebijaksanaan dalam mengendalikan diri. Mereka akan memikirkan kesan daripada satu-satu tindakan. Orang yang jahil tidak ada sifat-sifat ini, buat ikut suka sahaja.
2. Ia lawan kepada aqal. Akal manusia digunakan untuk berfikir dan orang yang jahil tidak fikir pun apabila buat sesuatu.
3. Aqil juga bermaksud ‘mengikat’ di dalam bahasa Arab seperti tali yang mengikat unta. Jadi kalimah aqal digunakan apabila seseorang menggunakan akalnya untuk ikat dan kawal emosi dan nafsunya. Jadi kalimah ‘jahil’ adalah seseorang yang tidak dapat mengawal emosi dan ikut kehendak hati sahaja (dan tidak mengikut akal). Maka di sini juga mengajar kita yang kalau kita ikut hawa nafsu, maka kita adalah orang yang bodoh. Kerana itulah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdoa di dalam Baqarah:67
وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأمُرُكُم أَن تَذبَحوا بَقَرَةً ۖ قالوا أَتَتَّخِذُنا هُزُوًا ۖ قالَ أَعوذُ بِاللَّهِ أَن أَكونَ مِنَ الجٰهِلينَ
Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang daripada golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.
Apabila Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyampaikan arahan Allah ﷻ untuk menyembelih lembu dan mereka berikan alasan kurang ajar, baginda sudah terasa yang baginda akan hilang kawalan emosi sampai boleh memarahi mereka. Maka cepat-cepat baginda berdoa kepada Allah ﷻ supaya baginda tidak jadi begitu kerana orang yang ikut emosi adalah orang yang jahil.
Maka begitulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memohon perlindungan daripada Allah ﷻ supaya baginda diselamatkan. Perhatikan baginda minta perlindungan sebelum ia terjadi lagi, bukannya setelah terjadi. Jadi kita jangan sampai terhantuk baru minta pertolongan Allah ﷻ kerana telah terlambat.
Kuiz Surah Yusuf Ayat 32-33
Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat ringkas.
- Apakah maksud isteri Al-Aziz apabila dia berkata, “Itulah dia orang yang kamu cela aku kerana (tertarik) kepadanya”?
- Bagaimanakah penolakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap godaan isteri Al-Aziz digambarkan dalam ayat 32, dan apakah maknanya?
- Apakah dua ancaman utama yang dilontarkan oleh isteri Al-Aziz kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jika baginda tidak menurut kehendaknya?
- Mengapakah penekanan pada kalimah لَيُسجَنَنَّ (pasti dipenjarakan) lebih tinggi berbanding وَلَيَكُونًا (dan dia akan menjadi) dalam ayat 32?
- Apakah yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lakukan sebaik sahaja mendengar ancaman isteri Al-Aziz, dan mengapa tindakan ini penting untuk dicontohi?
- Terangkan mengapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata “penjara lebih aku sukai” daripada berbuat dosa, dan kaitkan dengan konsep cinta yang terpuji.
- Mengapakah majoriti ulama menolak riwayat yang menyatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tersalah dalam doanya kerana tidak meminta afiyah?
- Apakah maksud Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah أَصبُ إِلَيهِنَّ (cenderung kepada mereka) dalam doanya, dan apakah pengajaran daripadanya?
- Dalam konteks ayat ini, apakah maksud “jahil” (ٱلجَـٰهِلِينَ) yang disebutkan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
- Bagaimanakah hadith “Dunia ini adalah penjara orang mukmin dan syurga orang kafir” relevan dengan pilihan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk dipenjarakan?
Glosari Istilah Penting
- Isteri Al-Aziz: Wanita yang menggoda Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan mengancam untuk memenjarakannya. Gelar suaminya, ‘Al-Aziz’, menandakan kedudukannya yang tinggi di Mesir.
- ٱلجَـٰهِلِينَ (Al-Jāhilīn): Kalimah Arab yang bermaksud “orang-orang yang bodoh”. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada mereka yang mengikut emosi dan hawa nafsu tanpa menggunakan akal atau sifat hilm.
- Afiyah: Istilah Arab yang bermaksud perlindungan, keselamatan, atau kesejahteraan daripada mara bahaya.
- Tark al-awla: Konsep dalam fiqh Islam yang bermaksud “meninggalkan pilihan yang lebih utama” atau “mengambil yang kurang baik untuk menghindari yang lebih buruk”.
- Hilm (الحِلْم): Akhlak terpuji yang merangkumi kesabaran, kelembutan, dan kebijaksanaan dalam mengendalikan diri. Lawannya adalah “jahil”.
- Lam al-Qasam (لام القسم): Huruf penekanan dalam bahasa Arab yang berfungsi seperti sumpah atau ikrar, menunjukkan kepastian.
- Nun at-Taukid ats-Tsaqilah (نون التوكيد الثقيلة): Nun bertasydid (ganda) yang merupakan salah satu bentuk penekanan yang kuat dalam bahasa Arab.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 11 September 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Kunci Jawapan Kuiz
LikeLike