Tafsir Surah Yusuf Ayat 30 – 31 (Ramai wanita kagum)

PARA WANITA DAN KEKACAKAN NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Yusuf Ayat 30: Ini keadaan yang ke 6. Sebelum ini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diuji dengan seorang wanita sahaja, tetapi kali ini diuji dengan ramai wanita pula. Akhirnya ini menyebabkan baginda akan dipenjarakan.

وَقَالَ نِسوَةٌ فِى ٱلمَدِينَةِ ٱمرَأَتُ ٱلعَزِيزِ تُرٰوِدُ فَتَٮٰهَا عَن نَّفسِهِۦ‌ۖ قَد شَغَفَهَا حُبًّا‌ۖ إِنَّا لَنَرَٮٰهَا فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And women in the city said, “The wife of al-‘Azeez is seeking to seduce her slave boy; he has impassioned her with love. Indeed, we see her [to be] in clear error.”

(MALAY)

Dan wanita-wanita di kota berkata: “Isteri Al Aziz menggoda bujangnya untuk menundukkan dirinya (kepadanya), sesungguhnya cintanya kepada bujangnya itu adalah sangat mendalam. Sesungguhnya kami memandangnya dalam ketidakwarasan yang nyata”.

 

وَقَالَ نِسوَةٌ فِى ٱلمَدِينَةِ

Dan wanita-wanita di kota berkata:

Sekarang wanita-wanita di Mesir itu sedang bergossip dan membawang sesama mereka. Kalimah نِسوَةٌ daripada katadasar ن س و yang daripadanya juga menjadi kalimah نساء (perempuan). Namun kalimah نِسوَةٌ ini lain daripada نساء. Walaupun keduanya merujuk kepada perempuan yang ramai tetapi نِسوَةٌ digunakan satu kumpulan wanita yang mempunyai niat yang sama – mereka itu adalah isteri-isteri ahli politik yang lain yang mungkin macam ada persatuan mereka sendiri. Kumpulan elitlah kiranya. Ada yang mengatakan mereka berlima semuanya. Sedangkan kalau نساء ia merujuk kepada wanita secara umum. Biasalah apabila ada kumpulan elit, mereka ini ada agenda mereka tersendiri, yang isteri kepada menteri rendah, terbayang-bayanglah bilalah lagi suami mereka akan naik menjadi menteri kanan pula. Mereka memandang dengan jaki isteri menteri-menteri kanan dan mereka sama-sama hendak menjatuhkan wanita itu kerana wanita itu sedang berada di atas.

Mereka ini wanita, jadi kenapa digunakan kalimah قالَ untuk lelaki pula? Ini kerana dari segi nahu, نِسوَةٌ adalah jamak taksir aql, jadi ia boleh menjadi bentuk lelaki dan kerana itulah guna قالَ dan bukan قالت. Kalau digunakan قالت senang faham akan tetapi apabila digunakan kalimah قالَ sebegini, maka kenalah diberikan sedikit penjelasan .

Dari segi balaghah – digunakan kalimah قالَ yang selalunya digunakan untuk lelaki kerana mereka tidak bertindak seperti puan waktu itu, sebaliknya berperangai seperti lelaki. Kita ingatkan wanita ini lemah lembut sahaja, tetapi ganas juga rupanya apabila bersama dengan kumpulan mereka. Jadi ini adalah kisah wanita elit di Mesir, agaknya tidak banyak bezanya dengan wanita elit di negara kita atau di negara-negara lain.

Satu lagi penjelasan, apabila digunakan kalimah قالَ, ia hendak memberi isyarat bukan para wanita itu sahaja yang berkata-kata, akan tetapi termasuk juga ramai orang termasuk juga lelaki. Kerana pembantu rumah bukannya semua perempuan, bukan? Ada sahaja yang lelaki. Akan tetapi penekanan diberikan kepada kumpulan wanita elit نِسوَةٌ itu kerana mereka yang menjadi subjek kisah ini. Penekanan lagi apabila disebut نِسوَةٌ فِى ٱلمَدِينَةِ iaitu merujuk kepada wanita elit yang hidup mereka di bandar.

Di dalam ayat sebelum ini telah disebut Menteri kanan mengarahkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya melupakan perkara yang terjadi itu. Jangan disebut-sebut lagi. Kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun disuruh begitu, maka tentu orang lain juga termasuk para hamba dan pengasuh. Akan tetapi mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia tidak boleh. Maka tentulah ada yang bercakap-cakap dari mulut ke mulut walaupun Whatsapp belum ada lagi. Maka sampailah ke telinga isteri-isteri menteri-menteri yang lain. Begitulah sudah menjadi viral dalam kalangan mereka dan bila mereka bertemu, tentulah perkara itu diperbincangkan. Tidak mustahil juga isteri Al-Aziz itu sendiri yang bocorkan, iaitu dia sendiri yang bercerita kepada kawan-kawannya.

 

ٱمرَأَتُ ٱلعَزِيزِ تُرٰوِدُ فَتَٮٰهَا عَن نَّفسِهِۦ‌

“Isteri Al Aziz menggoda hambanya yang muda untuk menundukkan dirinya (kepadanya), 

Apabila mereka dengar kisah ini, mereka mengutuk dia kerana boleh jatuh cinta dengan kuli pula. Perhatikan kalimah yang digunakan di sini adalah dalam bentuk fi’il mudhariتُرٰوِدُ sedangkan di dalam ayat 23 sebelum ini di dalam bentuk madhi iaitu رٰوَدَت. Ia memberi isyarat yang mungkin perkara itu sedang berlaku. Jadi walaupun telah ditangkap basah, ia masih tetap berlaku lagi agaknya.

Kalimah yang digunakan adalah فتى yang merujuk kepada hamba yang muda, bukan budak kecil. Kerana kalau budak, ia dipanggil ghulam غلام. Maknanya ia memberi isyarat yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seorang pemuda yang gagah ganteng lagi. Apabila digunakan kalimah فتى yang bermaksud muda, mereka membuat perbandingan dengan isteri Al-Aziz itu yang sudah tua! Wanita tua yang sukakan lelaki muda sampai sekarang menjadi bahan ejekan dalam kalangan manusia. Jadi mereka teringin juga hendak lihat bagaimanalah rupanya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu sampaikan boleh seorang wanita bangsawan jatuh cinta kepadanya. Mungkin mereka sudah dengar tentang ketampanan dan akhlak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi mendengar cerita tidaklah sama dengan melihat dengan mata kepala sendiri.

Keadaan ini bahaya kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana bukan seorang sahaja yang perlu dihadapinya tetapi ramai wanita lagi. Dalam ayat ini disebut yang mereka mengutuk isteri menteri itu, tetapi mereka membuat celaan itu supaya mereka pun boleh lihat juga siapakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Mereka sengaja mengutuk itu adalah rancangan mereka untuk melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sahaja.

Perhatikan di sini adalah kali pertama suami dan tuan yang telah membeli Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut dengan pangkatnya ٱلعَزِيزِ. Nanti apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga telah dilantik menjadi menteri, baginda juga menggunakan gelaran ini di dalam ayat 78. Digunakan gelaran ٱلعَزِيزِ bagi suami wanita itu kerana kedudukannya yang tinggi, yang boleh berbuat apa sahaja di negara itu. ٱلعَزِيزِ juga adalah salah satu nama Allah yang bermaksud Dia maha berkuasa dan boleh buat apa sahaja tanpa boleh ditolak oleh mana-mana makhluk. Al-Aziz yang kita sedang bincangkan ini tentunya seorang yang sangat berkuasa dan kita telah katakan dia orang No 2 di dalam negeri Mesir ketika itu. Sekiranya dia mengeluarkan arahan, tidak ada yang boleh membantahnya kecuali raja sahaja. Jadi ada persamaan yang kita gunakan untuk lebih memahami pangkat lelaki ini. Akan tetapi istilah ٱلعَزِيزِ ini juga digunakan oleh kumpulan wanita itu sebagai cercian juga. Lihatlah kedudukannya begitu punya hebat, namun kalah dengan isteri sendiri. Dia gagal untuk mengawal isterinya sendiri.

Jadi نِسوَةٌ فِى ٱلمَدِينَةِ adalah isteri kepada para pembesar juga tetapi tidaklah sampai ke pangkat ٱلعَزِيزِ itu. Mereka nampak sekarang ada peluang untuk menjatuhkan ٱلعَزِيزِ itu dengan isterinya sekali. Biasalah kadangkala para pemimpin dijatuhkan dengan skandal yang kadang-kadang melibatkan pasangan mereka. Kerana itu kita biasa dengar berita tentang projek kerajaan yang diberikan bukan kepada pemimpin itu sendiri tetapi kepada pasangan mereka (isteri atau suami). Jadi apabila digunakan kalimat ٱمرَأَتُ ٱلعَزِيزِ, sebenarnya bukan seorang sahaja yang dikutuk tetapi kedua-duanya sekali kerana skandal isteri atau suami juga akan terpalit kepada pasangannya juga.

 

قَد شَغَفَهَا حُبًّا‌

sesungguhnya cintanya kepadanya itu adalah sangat mendalam. 

Kalimah شَغَفَ digunakan untuk mengatakan cinta yang teramat. Ia daripada kata dasar ش غ ف yang bermaksud kesan secara mendalam; kesan sampai ke dalam jantung; inspirasi (dengan cinta yang ganas), cinta yang ghairah. Jadi شَغَفَ adalah jenis cinta yang memberi kesan mendalam terhadap hati (“love so much that it hurts”). Ada yang mengatakan ia adalah selaput yang meliputi hati. Jadi perasaan hendakkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu telah meliputi hati wanita itu. Mereka kata wanita itu cinta sampai sudah menjadi gila sampai angau. Mereka kata isteri Al-Aziz itu angau sangat sampai sanggup melakukan perkara dalam kelambu dengan kuli sendiri.

 

إِنَّا لَنَرَٮٰهَا فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ

Sesungguhnya kami memandangnya dalam ketidakwarasan yang nyata”.

Mereka membuat keputusan yang wanita itu tidak waras fikirannya. Harf ل pada لَنَرَٮٰهَا menunjukkan penekanan (taukid). Kemudian ditambah dengan kalimah مُبِينٍ yang bermaksud jelas sangat teruk apa yang berlaku kepada wanita itu. Sampai ke tahap mabuk cinta, sampai sudah tidak boleh berfikir dengan baik, bagaikan hilang kewarasan. Pada mereka, kalau hendak berkenan dengan orang pun dan hendak buat hal, kena munasabahlah sedikit. Takkan dengan kuli pula boleh jadi hal pula. Kalau dengan orang bangsawan, masuk akallah juga. Begitulah perbincangan dan gossip sesama mereka.


 

Yusuf Ayat 31:

فَلَمَّا سَمِعَت بِمَكرِهِنَّ أَرسَلَت إِلَيهِنَّ وَأَعتَدَت لَهُنَّ مُتَّكَـًٔا وَءَاتَت كُلَّ وٰحِدَةٍ مِّنهُنَّ سِكِّينًا وَقَالَتِ ٱخرُج عَلَيهِنَّ‌ۖ فَلَمَّا رَأَينَهُ ۥۤ أَكبَرنَهُ ۥ وَقَطَّعنَ أَيدِيَهِنَّ وَقُلنَ حَـٰشَ لِلَّهِ مَا هَـٰذَا بَشَرًا إِن هَـٰذَآ إِلَّا مَلَكٌ كَرِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when she heard of their scheming, she sent for them and prepared for them a banquet and gave each one of them a knife and said [to Joseph], “Come out before them.” And when they saw him, they greatly admired him and cut their hands¹ and said, “Perfect is Allāh!² This is not a man; this is none but a noble angel.”

  • So distracted were they at the sight of him.
  • In His ability to create such beauty.

(MALAY)

Maka tatkala wanita itu mendengar cercaan mereka, diundangnyalah wanita-wanita itu dan disediakannya bagi mereka tempat duduk, dan diberikannya kepada masing-masing mereka sebuah pisau (untuk memotong jamuan), kemudian dia berkata (kepada Yusuf): “Keluarlah (nampakkanlah dirimu) kepada mereka”. Maka tatkala wanita-wanita itu melihatnya, mereka kagum kepada (keelokan rupa)nya, dan mereka melukai (jari) tangannya dan berkata: “Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah malaikat yang mulia”.

 

فَلَمّا سَمِعَت بِمَكرِهِنَّ أَرسَلَت إِلَيهِنَّ

Maka tatkala wanita itu mendengar rancangan mereka, diundangnyalah wanita-wanita itu

Akhirnya sampai juga kata-kata wanita-wanita itu ke telinga isteri al-Aziz itu. Apabila ada huruf ب pada kalimat سَمِعَت بِمَكرِهِنَّ, ia bermakna wanita itu tidaklah mendengar terus ejekan kawan-kawannya itu terhadap dirinya akan tetapi ia telah disampaikan kepadanya. Huruf ب memberi maksud yang tersirat kalau kita tahu. Ia adalah jenis Ba’ Al-Ilsāq (باء الإلصاق). Secara ringkas, Bā’ Al-Ilsāq bermaksud “Ba’ yang menunjukkan perlekatan atau persambungan.” Ilsāq (الإلصاق) secara bahasa bermaksud melekat, melekatkan, menyambungkan, atau menyentuh. Ia menunjukkan yang isteri Al-Aziz itu benar-benar mencurahkan perhatian terhadap apa yang disampaikan oleh mata-mata yang telah menyampaikan maklumat itu kepadanya. Macam melekat sahaja telinganya. Kerana itu kalimah yang digunakan di sini adalah سَمِعَت dan أخبرت kerana seolah-olah dia dengar sendiri kata-kata para wanita itu.

Akhirnya dari mulut ke mulut, dia dapat tahulah yang mereka mencerca tindakannya dan merancang untuk menjatuhkannya. Tentulah dia tidak suka mendengar kata-kata itu dan menyinga agaknya. Maka dia membuat sebuah perancangan yang lain dan kita pun sudah boleh agak yang dia adalah wanita yang cerdik, cerdik ke arah kejahatan. Bak kata pepatah Melayu: “Cerdik tidak dapat dipakai, gila tidak dapat dibuang.” Kalau dalam Pepatah Arab, الذَّكَاءُ يُضِلُّ صَاحِبَهُ إِذَا لَمْ يُرْشَدْ بِالْإِيمَانِ “Kecerdikan akan menyesatkan pemiliknya jika tidak dibimbing oleh keimanan.”

Kenapa pula digunakan بِمَكرِهِنَّ di sini? Kalimah مكر adalah sesuatu rancangan yang dilakukan secara senyap. Kalimah yang digunakan bukan كيد. Ini adalah kerana kalau كيد yang digunakan, tidak ada elemen rahsia di dalamnya dan tidak semestinya untuk rancangan menjatuhkan seseorang. Jadi kalimah مكر yang digunakan dalam ayat ini mengandungi makna tertentu. Allah ‎ﷻ hendak memberitahu yang niat wanita-wanita itu adalah untuk menjatuhkan wanita itu. Isteri Al-Aziz pun boleh menduga itu adalah rancangan mereka. Dia tahu yang mereka itu semua membuat perancangan untuk menjatuhkan dia dengan memburukkannya. Dia tahu mereka sengaja cakap-cakap supaya berita itu sampai kepadanya. Atau ia bermaksud rancangan para wanita itu yang sengaja cakap dengan kuat supaya isteri Al-Aziz dengar perbualan mereka supaya nanti isteri Al-Aziz ajak mereka datang kerana mereka pun teringin hendak lihat Nabi Yusuf juga!

Ini kerana dalam masa yang sama, golongan wanita elit yang lain itu hairan juga kerana isteri al-Aziz itu boleh sanggup jatuh hati kepada kulinya sendiri. Pada mereka agaknya, kalau hendak ada skandal pun, janganlah dengan hambasahaya sendiri, low class! Jadi celaan mereka itu untuk mengambil kesempatan untuk melihat sendiri rupa paras Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Mereka ingin lihat apa sangatlah Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu sampai boleh seorang perempuan jatuh hati kepadanya. Ini kerana mereka juga tentu telah mendengar desas desus tentang ketampanan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Rancangan wanita-wanita itu berjaya kerana isteri al-Aziz itu menghantar utusan untuk menjemput mereka datang ke jamuan di rumahnya.

Akan tetapi punyalah licik rancangan isteri Al-Aziz ini, dia tidak marah mereka, tidak buat kecoh-kecoh, sebaliknya dia jemput mereka beramai-ramai datang ke rumahnya untuk jamuan makan. Kalimah yang digunakan adalah أَرسَلَت iaitu dia menghantar utusan ke rumah mereka. Ini kerana zaman itu bukan ada pejabat pos dan tidak ada whatsapp jadi dia memang suruh hambanya pergi ke rumah-rumah mereka dan jemput datang. Makan-makan sebegini biasa dilakukan oleh mereka kerana begitulah aktiviti orang kaya, bukan ada kerja jadi banyak berhibur sahaja. Jadi mereka pun tidaklah berasa pelik dengan jemputan itu.

 

وَأَعتَدَت لَهُنَّ مُتَّكَأً

dan disediakannya bagi mereka tempat duduk bersandar,

Wanita itu sediakan tempat yang sesuai supaya mereka boleh nampak dengan jelas apa yang dia hendak lakukan. Dia sediakan مُتَّكَأً iaitu tempat duduk yang selesa dan mewah. Ini seperti yang digunakan oleh ahli syurga seperti yang disebut di dalam Kahf:31

وَيَلبَسونَ ثِيابًا خُضرًا مِّن سُندُسٍ وَإِستَبرَقٍ مُّتَّكِئينَ فيها عَلَى الأَرائِكِ
dan mereka memakai pakaian hijau daripada sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias)

Kalau kita lihat lukisan lama Mesir pun ada dilukis kerusi-kerusi mewah. Sambil dilayan oleh dayang-dayang istana sambil bersandar. Ia adalah tempat duduk yang selesa yang berbantal untuk rehatkan tangan, belakang dan kaki. Mungkin tempat yang tinggi seperti pentas, supaya wanita-wanita yang duduk di bahagian bawah dapat lihat Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berlalu dengan jelas. Dia sengaja hendak menayangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada mereka.

Maka ayat ini menggambarkan kekayaan dan kedudukan golongan elit ketika itu. Bukan sahaja mereka ada pembantu-pembantu yang melayani tetamu, cara makan dan tempat makan pun sudah hebat.

Ada bacaan (qira’at) lain iaitu مُتْكاً (mutkan). Kalau مُتْكاً ia merujuk kepada hidangan buah-buahan seperti limau atau buah sitrus yang perlu dikupas atau dipotong dengan pisau. Situasi ini logik dan munasabah. Apabila mereka disajikan hidangan buah yang perlu dipotong dan pada masa yang sama melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sangat tampan, mereka menjadi lalai dan secara tidak sengaja memotong tangan sendiri.

 

وَءَاتَت كُلَّ وٰحِدَةٍ مِّنهُنَّ سِكِّينًا

dan diberikannya kepada masing-masing mereka sebilah pisau

Dia pastikan setiap seorang daripada mereka ada pisau yang tajam. Pisau itu untuk memotong makanan dan buah-buahan. Hebat rancangan dia. Begitulah hebat Mesir pada waktu itu, makan pun menggunakan pisau. Kalau orang kampung kita sekarang, makan menggunakan pisau pun tidak pandai, sedangkan di Mesir dulu sudah makan seperti orang Barat sekarang.

 

وَقَالَتِ ٱخرُج عَلَيهِنَّ‌

kemudian dia berkata (kepada Yusuf): “Keluarlah ke hadapan mereka”.

Kemudian dia memanggil Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun keluar kerana berkemungkinan baginda tidak tahu pun apa yang berlaku dan rancangan puannya itu. Tidak pasti bagaimana keadaan itu tetapi cara yang dibuat adalah supaya mereka nampak Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lalu di hadapan mereka dengan jelas. Memang isteri Al-Aziz hendak tayang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada mereka.

 

فَلَمَّا رَأَينَهُ ۥۤ أَكبَرنَهُ ۥ

Maka tatkala wanita-wanita itu melihatnya, mereka membesarkannya,

Apabila mereka nampak sahaja Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, mereka أَكبَرنَهُ (menyatakan kehebatan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ). Asal erti أَكبَرنَهُ ialah mereka memandangnya besar, atau memandangnya hebat sekali, lebih tinggi dan lebih besar daripada yang mereka kira-kira sebelum itu. Sebab itu kita ertikan kalimah أَكبَر di sini sebagai kagum. Kerana kekaguman timbul ialah apabila seseorang memandang sesuatu pemandangan alam yang amat indah, sambil merasa bahawa diri sendiri tidak dapat mengatasinya, kerana lebih besar daripada dirinya.

Mereka nyatakan dengan perkataan atau perbuatan mereka. Mereka amat terpesona melihat ketampanan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kerana akhlak baginda yang baik yang amat memikat hati. Maknanya, bukan setakat tampan sahaja kerana kadang-kadang kalau tampan pun, tetapi perangai tidak semestinya baik malah menjelekkan. Maka kita tahulah perawakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara keseluruhannya amat memikat hati mereka sampaikan mereka terpesona sungguh.

 

وَقَطَّعنَ أَيدِيَهُنَّ

dan mereka melukai (jari) tangan mereka

Mereka terpegun, mata tidak berkelip dan mereka leka melihat baginda sampai mereka tidak sedar mereka terpotong tangan mereka sendiri. Di sini baru kita tahu kenapa isteri Al-Aziz siap-siap berikan mereka dengan pisau setiap seorang; inilah reaksi yang dia mahukan. Waktu itu tangan mereka sedang memotong makanan, dan bila melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lalu, mereka terpegun dan ternganga sampai terus juga potong makanan supaya tidak nampak terpegun sangat. Namun mereka tidak tumpukan perhatian semasa memotong, jadi sampai mereka terluka tangan/jari mereka sendiri. Kalimah قَطَّعنَ bermaksud mereka memotong bukan sekali tetapi berkali-kali kerana tidak perasan sakit terpotong jari mereka.

Apabila seorang terluka tangannya, isteri al-Aziz suruh Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang membalut dan yang lain pun hendak juga dibalut oleh Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka mereka yang tidak luka tangan pun telah melukakan tangan mereka supaya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun membalut tangan mereka juga. Sebab itu digunakan kalimah وَقَطَّعنَ, yang bermaksud ‘terus memotong’. Maknanya ada yang sengaja memotong jari mereka sendiri kerana hendak mendapatkan perhatian daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Rancangan isteri Al-Aziz telah berjaya. Sekarang golongan wanita elit itu pun ada kisah buruk tentang mereka. Mereka sebelum ini ada sesuatu yang mereka hebohkan tentang isteri Al-Aziz itu dan sekarang dia pun sudah ada kisah tentang mereka. Dia boleh cerita balik bagi viral bagaimana golongan wanita itu bila nampak Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampai terpotong jari mereka!

 

وَقُلنَ حَـٰشَ لِلَّهِ

dan mereka berkata: “Maha suci Allah,

Kalimah حاشَ ِللهِ digunakan untuk menunjukkan ketakjuban mereka. Kata “حَاشَ” (hāsha) dalam bahasa Arab memiliki makna dasar “jauh” atau “terhindar”. Ketika kata ini digabungkan dengan “لِلَّهِ” (lillāh), yang bererti “milik Allah” atau “demi Allah”, maka frasa “حَاشَ لِلَّهِ” (hāsha lillāh) menjadi ungkapan yang sangat kuat. Ertinya: “Jauh dari itu, demi Allah” atau “Maha suci Allah”. Ini bermakna mereka membesarkan Allah ‎ﷻ juga dalam masa yang sama. Mereka memuji ciptaan Allah ‎ﷻlah kiranya. Atau, mereka mengejek Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana takut sangat kepada Allah ﷻ sampaikan tidak melayan kehendak mereka. Mereka mungkin sudah mengusik-ngusik baginda dan hendak pegang-pegang, akan tetapi baginda tidak melayan mereka dan menghalang mereka. Maka mereka kata seperti: ‘Amboi, takut sangat kat Allah dia ni!’

Walaupun begitu bukanlah ini bermakna mereka ini beriman kerana mereka ini kafir. Namun mereka kenal juga Allah ﷻ dan ini tidak pelik. Musyrikin Mekah pun kenal juga Allah ﷻ tetapi mereka tetap melakukan kesyirikan.

 

ما هٰذا بَشَرًا إِن هٰذا إِلّا مَلَكٌ كَريمٌ

tidaklah orang ini macam manusia. Sesungguhnya ini tidak lain adalah malaikat yang mulia”.

Mereka kata hebat sangat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampaikan bukan tahap manusia lagi, malah sudah mencapai tahap malaikat. Malak digambarkan sebagai makhluk yang indah, gagah tidak ternoda oleh dosa dan keburukan. Mereka kata, ini bukan manusia kerana tampan dan akhlak yang amat baik. Juga mereka tahu yang baginda bersifat mulia kerana tidak  melakukan dosa dengan isteri al-Aziz, sedangkan jika baginda inginkan sesiapa sahaja, tentu senang sahaja baginda boleh dapat. Malah apabila mereka mengusik baginda, baginda tidak hirau sahaja dan tidak langsung melayan mereka.

Jadi hebat sangat baginda itu pada mata mereka. Kalau hendak dikatakan baginda manusia, mana cacatnya sebagai manusia? Kelengkapan diri dan tubuhnya benar-benar membuat semua yang melihatnya kagum, kerana ideal sekali. Pada mereka hanya malaikatlah agaknya yang tiada cacatnya, macam Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Ayat ini mengajar kita yang masyarakat Mesir ketika itu ada pengertian tentang malaikat. Sebagaimana mereka tahu juga tentang Allah ﷻ, mereka juga tahu tentang malaikat nampaknya.

Sesetengah ulama’ seperti Fakhrruddin ar-Razi berpendapat bahawa para undangan itu terpesona dengan pancaran cahaya kenabian Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menghiasi peribadi baginda. Mereka melihat pada diri baginda itu ada sifat-sifat malaikat yang tidak memerlukan seks dan malah tidak menyapa pun mereka, buat tidak tahu sahaja.

Soalan Kuiz (10 Soalan Pendek)

Sila jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat.

  1. Apakah perbezaan makna antara kalimah “نِسوَةٌ” dan “نساء” menurut konteks ayat 30?
  2. Mengapakah kalimah قالَ (kata kerja untuk lelaki) digunakan untuk merujuk kepada perbuatan berkata-kata oleh sekumpulan wanita (نِسوَةٌ) dalam Ayat 30?
  3. Apakah maksud kalimah “تُرٰوِدُ” (fi’il mudhari’) dalam Ayat 30 berbanding dengan “رٰوَدَت” (fi’il madhi) dalam ayat sebelumnya?
  4. Bagaimanakah kumpulan wanita elit kota itu cuba merendahkan isteri Al-Aziz melalui perbincangan mereka?
  5. Apakah makna “قَد شَغَفَهَا حُبًّا‌” dan bagaimana ia digambarkan dalam tafsir?
  6. Bagaimana isteri Al-Aziz menggunakan “مَكرِهِنَّ” (rancangan senyap) wanita-wanita kota untuk keuntungannya sendiri?
  7. Apakah tujuan isteri Al-Aziz menyediakan “مُتَّكَأً” dan pisau kepada setiap wanita dalam jamuan itu?
  8. Mengapa wanita-wanita itu melukai tangan mereka sendiri apabila melihat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  9. Apakah maksud “حَـٰشَ لِلَّهِ” dalam konteks reaksi wanita-wanita itu?
  10. Apakah implikasi daripada pernyataan wanita-wanita itu bahawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ “bukanlah manusia, melainkan malaikat yang mulia”?

Glosari Istilah Penting

  • نِسوَةٌ (Niswah): Kumpulan wanita elit atau bangsawan di kota yang mempunyai agenda atau niat yang sama; berbeza dengan “نساء” (nisa’) yang merujuk kepada wanita secara umum.
  • مُتَّكَـًٔا (Muttaka’an): Tempat duduk bersandar yang selesa dan mewah, sering digunakan dalam konteks ahli syurga atau golongan elit.
  • حَـٰشَ لِلَّهِ (Hāsha Lillāh): Maha suci Allah atau Jauh dari itu, demi Allah; ungkapan ketakjuban yang kuat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Al-Qur’an yang telah Didekatkan (Mohd Dzul Khairi)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 30 – 31 (Ramai wanita kagum)”

    1. Apakah perbezaan makna antara kalimah “نِسوَةٌ” dan “نساء” menurut konteks ayat 30? Kalimah “نِسوَةٌ” merujuk kepada sekumpulan wanita elit yang mempunyai niat yang sama, seperti isteri-isteri ahli politik dengan agenda tersendiri. Manakala “نساء” merujuk kepada wanita secara umum tanpa sebarang konotasi kumpulan atau niat khusus. Penggunaan “نِسوَةٌ” dalam ayat ini menekankan sifat kumpulan wanita tersebut yang berperangai seperti lelaki dalam merancang.
    2. Mengapakah kalimah قالَ (kata kerja untuk lelaki) digunakan untuk merujuk kepada perbuatan berkata-kata oleh sekumpulan wanita (نِسوَةٌ) dalam Ayat 30? Penggunaan قالَ (maskulin) untuk نِسوَةٌ (feminin jamak) adalah kerana dari segi nahu, نِسوَةٌ adalah jamak taksir aql yang boleh mengambil bentuk lelaki. Dari segi balaghah, ia mengisyaratkan bahawa wanita-wanita itu bertindak dengan cara yang lebih agresif dan licik, menyerupai perangai lelaki, dan bukan hanya para wanita sahaja yang bercakap-cakap, tetapi juga meliputi lelaki di bandar itu.
    3. Apakah maksud kalimah “تُرٰوِدُ” (fi’il mudhari’) dalam Ayat 30 berbanding dengan “رٰوَدَت” (fi’il madhi) dalam ayat sebelumnya? “تُرٰوِدُ” (fi’il mudhari’) menunjukkan bahawa perbuatan menggoda itu sedang berlaku atau berterusan, menandakan bahawa isteri Al-Aziz masih meneruskan usahanya. Manakala “رٰوَدَت” (fi’il madhi) dalam ayat sebelumnya merujuk kepada perbuatan menggoda yang telah berlaku pada masa lalu.
    4. Bagaimanakah kumpulan wanita elit kota itu cuba merendahkan isteri Al-Aziz melalui perbincangan mereka? Mereka mengutuk isteri Al-Aziz kerana jatuh cinta dengan “kuli” atau hamba, menganggapnya sebagai tindakan “low class” dan tidak waras. Celaan ini bukan sahaja bertujuan untuk menjatuhkan isteri Al-Aziz tetapi juga sebagai alasan untuk melihat Nabi Yusuf yang dikhabarkan tampan.
    5. Apakah makna “قَد شَغَفَهَا حُبًّا‌” dan bagaimana ia digambarkan dalam tafsir? Frasa ini bermaksud cintanya kepada Nabi Yusuf adalah sangat mendalam, sehingga meresap ke dalam jantungnya. Tafsir menggambarkannya sebagai “cinta yang ganas” atau “cinta sampai jadi gila/angau”, di mana perasaan ingin memiliki Nabi Yusuf telah meliputi seluruh hati wanita itu sehingga hilang kewarasan.
    6. Bagaimana isteri Al-Aziz menggunakan “مَكرِهِنَّ” (rancangan senyap) wanita-wanita kota untuk keuntungannya sendiri? Apabila dia mendengar gosip dan rancangan mereka untuk menjatuhkannya, isteri Al-Aziz tidak marah secara terbuka. Sebaliknya, dia merancang jamuan dan menjemput mereka, dengan niat untuk membuktikan ketampanan Nabi Yusuf dan membalikkan keadaan supaya mereka pula yang terpegun dan terlibat dalam skandal.
    7. Apakah tujuan isteri Al-Aziz menyediakan “مُتَّكَأً” dan pisau kepada setiap wanita dalam jamuan itu? “مُتَّكَأً” adalah tempat duduk bersandar yang selesa dan mewah yang disediakan untuk memastikan para wanita dapat melihat Nabi Yusuf dengan jelas. Pisau pula diberikan untuk memotong hidangan buah-buahan, bertujuan untuk menguji reaksi mereka terhadap ketampanan Nabi Yusuf dan mendedahkan kemunafikan mereka.
    8. Mengapa wanita-wanita itu melukai tangan mereka sendiri apabila melihat Nabi Yusuf? Mereka terpukau dan terlalu kagum dengan ketampanan Nabi Yusuf sehingga hilang tumpuan. Mata mereka tidak berkelip melihat baginda dan mereka terus memotong makanan tanpa perasan sakit, menyebabkan jari atau tangan mereka terluka berkali-kali. Ada juga yang sengaja melukakan tangan untuk menarik perhatian Nabi Yusuf.
    9. Apakah maksud “حَـٰشَ لِلَّهِ” dalam konteks reaksi wanita-wanita itu? “حَـٰشَ لِلَّهِ” adalah ungkapan ketakjuban yang sangat kuat, bermaksud “Maha suci Allah” atau “Jauh dari itu, demi Allah.” Mereka memuji ciptaan Allah yang begitu indah pada diri Nabi Yusuf, atau mungkin juga mengejek Nabi Yusuf kerana terlalu takut kepada Allah sehingga tidak melayan kehendak mereka.
    10. Apakah implikasi daripada pernyataan wanita-wanita itu bahawa Nabi Yusuf “bukanlah manusia, melainkan malaikat yang mulia”? Pernyataan ini menunjukkan betapa luar biasanya ketampanan dan akhlak Nabi Yusuf pada pandangan mereka, sehingga mereka menganggapnya melebihi tahap manusia biasa yang boleh dicemari dosa. Ia juga mencerminkan pemahaman masyarakat Mesir ketika itu tentang malaikat sebagai makhluk yang indah, gagah, dan suci, serta menunjukkan bahawa Nabi Yusuf tidak melayan godaan mereka.

    Like

Leave a comment