Tafsir Surah Yusuf Ayat 7 – 8 (Cinta yang bengkok)

KONSPIRASI ADIK BERADIK NABI YUSUF عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ

Yusuf Ayat 7: Ini adalah ayat Jumlah Mu’taridah. Ini adalah ringkasan permulaan kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam surah ini. Surah Yusuf mengandungi 4 Dakwa penting:

1. Tauhid – Allah ‎ﷻ sahaja yang Maha Mengetahui perkara ghaib. Surah ini adalah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan perkara tauhid yang kita kena pegang dalam kisah ini iaitu: Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib. Melalui kisah yang panjang itu, kita dapat tahu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun tidak mengetahui tentang perkara ghaib walaupun mereka itu para Nabi.

2. Tauhid – Allah ‎ﷻ sahaja yang ada kuasa mengurus. Hanya Allah ‎ﷻ yang mengurus dan mentadbir segala sesuatu dan Dia tidak memberi kepada selain-Nya kuasa mengurus itu melainkan dalam asbab yang dibenarkan. Maka dalam surah ini kita akan baca pelbagai ikhtiar dilakukan oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan lain-lain karektor dalam surah ini tetapi yang berlaku hanyalah dalam kehendak Allah ‎ﷻ sahaja. Dalam surah ini ada 15 keadaan yang berlaku pada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam keadaan yang berbeza-beza untuk menceritakan dua perkara ini – iaitu Allah ‎ﷻ yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan Dialah sahaja yang Maha Berkuasa.

3. Risalah – Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi benar yang dipilih oleh Allah ‎ﷻ. Bukti baginda adalah Nabi, baginda dapat memberitahu kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini kerana baginda menerima wahyu daripada Allah ‎ﷻ.

4. Akhirat – Tentang orang yang menderita untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ. Untuk mereka itu akhirnya akan berjaya. Walaupun mereka susah dalam kehidupan mereka, tetapi kesudahannya mereka akan berjaya di akhirat kelak.

لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ لِّلسَّآٮِٕلِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Certainly were there in Joseph and his brothers signs for those who ask, [such as]

(MALAY)

Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya.

 

لَّقَد كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخوَتِهِۦۤ ءَايَـٰتٌ

Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda (kekuasaan Allah) pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya

Dalam ayat ini, ada dua karektor sedang disebut: Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan adik beradiknya. Abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak suka kepada baginda. Mereka tidak suka Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ selalu pergi kepada ayah mereka dan rapat sangat. Dari sini, kita dapat agak yang mereka pun nampaknya tidak baik dengan ayah mereka sendiri. Ini adalah kerana mereka tidak suka cara ayah mereka melayan Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Beginilah masalah yang dihadapi oleh masyarakat: kadang-kadang mereka menyalahkan adik beradik yang tidak ada masalah dalam keluarga. Mereka merungut dan berkata adik itu yang disayangi, bukannya mereka. Mereka jadikan itu sebagai alasan untuk mereka menjadi jahat, nakal dan memberontak (dengan alasan kerana mak ayah aku tidak sayangkan aku). Fikiran mereka keliru sangat sampaikan mereka berasa masalah mereka bermula dengan anak yang seorang itu. Mereka jadikan adik beradik mereka sebagai ‘kambing hitam’ untuk kesilapan dalam kehidupan mereka sendiri.

Akan tetapi, tidak dinafikan yang kadang-kadang benar juga ada ibubapa yang pilih kasih. Ini pun tidak dapat dipersalahkan kerana perangai anak-anak pun lain-lain – ada pelbagai jenis dan ragam anak-anak kita ini. Adalah perkara normal sahaja anak yang baik itu lebih disayangi oleh ibu dan ayahnya berbanding dengan anak-anak yang lain. Maka si anak kenalah pandai mengambil hati ibu dan ayah – ikutkan kata mereka kalau mahu disayangi oleh mereka. Yang jadi masalahnya kalau menyalahkan orang lain sahaja di atas kekurangan kita. Seseorang yang baik akan melihat kepada dirinya sendiri dulu, sebelum hendak menyalahkan orang lain.

Maka ada tanda pada kisah mereka ini. Bukan sahaja daripada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tetapi juga daripada adik beradiknya sekali. Dalam kisah mereka terdapat pengajaran yang kita kena ambil tahu. Apakah tanda itu? Itulah tanda bahawa Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa dalam setiap perkara. Malah berbagai-bagai lagi pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Banyak kita akan bongkarkan psikologi manusia, adab, sejarah, dan berbagai lagi pengajaran untuk kita amalkan dalam kehidupan kita.

 

لِّلسّائِلينَ

bagi orang-orang yang bertanya.

Yang khususnya dimaksudkan ‘bertanya’ dalam ayat ini adalah orang Yahudi. Mereka yang menimbulkan persoalan tentang sejarah Bani Israil dan Allah ‎ﷻ sedang menjawab persoalan mereka. Kepada mereka pun akan mendapat pengajaran – tentang bagaimana Bani Israil dapat berada di Mesir (sedangkan mereka asalnya dari tempat lain) dan kisah ini sepatutnya cukup bagi mereka untuk masuk Islam, kerana kisah ini hebat. Asalnya mereka bertanya itu dengan tujuan untuk memerangkap Nabi Muhammad ﷺ, akan tetapi kalau mereka juga hendak mencari kebenaran, mereka akan dapat merenung kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini.

Kisah dan kandungan surah ini menjawab persoalan yang dikemukakan untuk golongan Yahudi pada waktu itu yang membantah kerasulan Nabi Muhammad ﷺ. Musyrikin Mekah telah bertanya kepada puak Yahudi bagaimana hendak berhujah dan menolak Nabi Muhammad ﷺ. Maka puak Yahudi suruh tanyakan tentang kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana kisah itu mereka tahu ada dalam kitab mereka sahaja – orang Arab tentu tidak tahu. Atau, mereka sudah dengar tentang ada orang yang mendakwa dirinya Nabi maka mereka hantar wakil untuk bertanya hal itu kepada baginda. Apabila Nabi Muhammad ﷺ boleh menceritakan tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka ini menjadi hujah dan dalil bahawa baginda terbukti memang seorang Rasul – kerana kisah ini bukanlah daripada sejarah bangsa Arab, maka tentu Nabi Muhammad ﷺ mendapat daripada wahyu Allah ‎ﷻ. Maka tentulah Nabi Muhammad ﷺ itu menjadi dalil bahawa memang benar baginda seorang Rasul.

Secara umumnya pula, kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini kita semua yang bertanya mahukan ilmu pengetahuan dan wahyu untuk menjadi pembimbing kehidupan kita di dunia ini membawa ke akhirat. Daripada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini nanti kita akan bertemu kisah perjalanan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan kita sepatutnya bertanya kenapa begitu dan begini. Barulah kita akan mendapat ilmu dan pengajaran, kalau tidak, ia hanya jadi seperti baca kisah dalam novel sahaja. Bertanya adalah langkah pertama untuk mendapatkan ilmu. Ini terbukti dalam banyak kisah dalam Al-Qur’an dan Sunnah seperti kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr. Kisah perjalanannya dipenuhi dengan pertanyaan daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tanpa pertanyaan, baginda tidak akan memahami hikmah di sebalik perbuatan-perbuatan Khadr. Dalam hadith juga kita pelajari bagaimana Para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ sering bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang hukum, akhlak, dan pelbagai perkara lain. Ini adalah cara mereka mendalami agama.

Begitulah dalam mendapatkan ilmu, kita kena banyak bertanya. Otak kita kena selalu tanya kenapa begini, kenapa begitu? Apa pengajaran yang terkandung di dalam ayat ini, kisah ini, pengalaman ini? Bertanya adalah salah satu kunci utama untuk memperoleh pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam. Ini bukan sekadar tindakan pasif, melainkan sebuah proses aktif yang sangat penting dalam pembelajaran. Bertanya tidak hanya untuk mendapatkan jawapan, tetapi juga untuk mempertajam cara berfikir. Ketika anda merumuskan pertanyaan yang baik, anda secara automatik akan menganalisis informasi, mengidentifikasi maklumat, dan merangkai logik. Proses ini melatih otak anda untuk tidak menerima informasi begitu saja, melainkan untuk menggali lebih dalam, membandingkan, dan membuat evaluasi. Ini adalah dasar daripada pemikiran kritis yang sangat berharga. Walau bagaimanapun penting untuk bertanya soalan yang betul. Sebagai contoh, kalau disuruh untuk melakukan ibadah, jangan tanya ‘Kenapa kita kena buat ha?’ sebaliknya tanyalah, ‘Bagaimana cara yang betul aku buat ibadah ini?’.

Mungkin ada yang berkata mereka sudah lama tahu kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Rasanya semua orang Islam tahu akan kisahnya. Adakah tetapi adakah cukup setakat apa yang kita telah tahu? Sekarang kita akan diberikan dengan berbagai maklumat dan sudut pandang yang berbeza tentang kisah baginda dan adik beradiknya ini. Kita akan sedar yang semakin kita mengkaji surah ini, semakin banyak maklumat kita akan dapat dan yang lebih penting, pengajaran. Tidak akan habis ilmu Al-Qur’an ini kalau kita gali dan gali lagi.

Sekian bahagian yang menceritakan mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.


Yusuf Ayat 8: Ini adalah sketsa ke 2. Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa apa yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bimbangkan itu tetap tidak dapat dihalang. Walaupun baginda sudah memberikan nasihat kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ supaya jangan menyebut apa yang baginda mimpikan itu kerana takut adik beradiknya tahu dan ambil tindakan, perkara itu tetap juga terjadi. Entah mereka akhirnya tahu tentang mimpi itu atau tidak, kita tidak tahu secara pasti. Akan tetapi menurut tafsir Al-Qurtubi, mereka membuat pakatan jahat itu setelah mengetahui khabar angin tentang mimpi itu. Ini kerana itu semua ada dalam taqdir Allah ‎ﷻ dan Allah ‎ﷻ yang mahukan ia terjadi begitu.

إِذ قالوا لَيوسُفُ وَأَخوهُ أَحَبُّ إِلىٰ أَبينا مِنّا وَنَحنُ عُصبَةٌ إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

When they said, “Joseph and his brother¹ are more beloved to our father than we, while we are a clan. Indeed, our father is in clear error.

  • Benjamin, who was born of the same mother as Joseph.

(MALAY)

(Iaitu) ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) lebih dicintai oleh ayah kita daripada kita sendiri, padahal kita (ini) adalah satu golongan (yang kuat). Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata.

 

إِذ قالوا لَيوسُفُ

ketika mereka berkata: “Sesungguhnya Yusuf

Sekarang Allah ‎ﷻ mula menyebut tentang permulaan konspirasi abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Di sinilah kisah bermula dan kerana itu ia adalah sangat penting. Dalam ayat ini, ada taukid/penekanan (huruf ل pada لَيوسُفُ) pada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, menunjukkan penekanan daripada mereka – kerana mereka benci sungguh kepadanya. Atau, penekanan daripada mereka yang bapa mereka telah melakukan kesalahan dengan terlalu sayangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Mereka memang ada iri hati terhadapnya. Memang kebiasaannya anak kesayangan ibu atau ayah tidak akan disenangi oleh adik beradik yang lain. Tambahan pula mereka itu tidak sama ibu.

 

وَأَخوهُ

dan saudara kandungnya

Yang dimaksudkan adalah adiknya yang bernama Bunyamin (Benjamin). Memang kebanyakan ayat Al-Qur’an tidak menyebut nama kerana nama itu tidak penting. Yang penting adalah pengajaran di dalam ayat-ayat itu. hanya apabila ia perlu, maka barulah Allah ‎ﷻ sebut.

Perhatikan perbezaan antara kalimah إِخوَة yang digunakan dalam ayat 5 yang merujuk kepada abang-abangnya dan kali ini digunakan kalimah أَخو yang merujuk kepada adik kandungnya. Mereka semua adik beradik terdiri daripada 12 adik beradik tetapi mereka datang daripada berlainan ibu. Anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, termasuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan 11 adik-beradiknya, lahir daripada empat orang ibu yang berbeza. Keempat-empat wanita ini adalah isteri dan hamba perempuan Nabi Yaakub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ:

    1. Laiya (Leah): Isteri pertama Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Beliau melahirkan enam orang putera, termasuk Yahuda, yang merupakan moyang bagi bangsa Yahudi, dan seorang anak perempuan bernama Dinah.

    2. Rahil (Rachel): Isteri kedua Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sangat dicintainya. Beliau adalah ibu kandung kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan adiknya, Bunyamin (Benjamin).
    3. Zilfah (Zilpah): Hamba perempuan yang dihadiahkan kepada Laiya. Beliau melahirkan dua orang anak lelaki.
    4. Balha (Bilhah): Hamba perempuan yang dihadiahkan kepada Rahil. Beliau juga melahirkan dua orang anak lelaki.

Oleh itu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah seibu dengan adiknya Bunyamin. Bunyamin adalah adik bongsu. Ada pendapat yang mengatakan ibunya mati setelah melahirkan Bunyamin. Jadi daripada kalimah mereka ini, لَيوسُفُ وَأَخوهُ sudah menunjukkan yang mereka tidak menganggap Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin sebagai keluarga mereka, anggap macam orang luar sahaja.

 

أَحَبُّ إِلىٰ أَبينا مِنّا

lebih dicintai oleh ayah kita daripada kita sendiri,

Pada pandangan  mereka ayah mereka lebih sayangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin. Ini adalah satu kesilapan penafsiran. Mereka memandai-mandai saja berkata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih sayangkan adik yang lain sedangkan kita bukannya tahu dalam hati manusia. Kita hanya boleh membuat penilaian berdasarkan perbuatan orang sahaja. Apa yang di dalam hati manusia, kita tidak tahu.

Namun lihat bagaimana susunan ayat ini: ‘Yusuf dan adiknya lebih disayangi’, bukannya: ‘Ayah kita lebih sayang mereka lagi’. Ini menunjukkan ada penekanan pada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan adiknya, bukannya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maknanya mereka lebih marah kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin kerana mereka berdua adalah anak yang baik dan menjadikan mereka nampak teruk (bila ada yang baik, nampaklah mereka jadi teruk). Mereka lebih marah kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin daripada mereka marah kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Adakah kemungkinan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih sayang kepada dua anaknya itu? Jika benar begitu adakah baginda bersalah kerana terlebih sayang kepada dua anaknya itu? Kita kena faham bahawa perasaan kasih Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah secara naluri biasa dan bukan kerana syar’i. Memang perasaan baginda sayang kepada dua beradik itu bukan dibuat-buat. Oleh kerana begitu, maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak bersalah. Kesalahan hanya berlaku apabila tidak berlaku adil dari segi pemberian. Dalam Nisa’:129 juga Allah ‎ﷻ telah beritahu yang seorang suami tidak akan dapat melakukan keadilan dengan sayang sama rata kepada semua isterinya,

وَلَن تَسْتَطِيعُوٓا۟ أَن تَعْدِلُوا۟ بَيْنَ ٱلنِّسَآءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا۟ كُلَّ ٱلْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَٱلْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
“Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri (kamu), sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya), oleh itu janganlah kamu cenderung (kepada yang kamu sayangi) dengan sepenuh-penuh kecenderungan, sehingga kamu membiarkan yang lain (tergantung) tidak bertali, dan jika kamu melakukan kebaikan dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Kita telah pernah sebut satu pendapat yang mengatakan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukanlah berat sebelah malah baginda sayang kesemua anaknya sama rata. Namun bagi yang berpendapat benar Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih sayangkan dua anak kecil itu, mereka memberikan beberapa sebab:

    1. Kerana keduanya masih kecil berbanding abang-abang tirinya. Mengikut sesetengah riwayat, ibu mereka berdua telah meninggal sewaktu mereka kecil lagi.
    2. Tambahan pula, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah mengetahui kedudukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang gemilang sama ada melalui ilham atau melalui wahyu.
    3. Di samping itu, kecantikan dan perawakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah menarik perhatian Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Namun ini hanyalah pendapat sahaja dan kita tidak tahu dengan pasti adakah benar Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih mencintai Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin atau tidak. Mungkin ia hanya dalam khayalan abang-abang itu sahaja. Mereka yang tidak pandai menilai bapa mereka atau otak sudah rosak. Mungkin Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberikan layanan yang berbeza antara mereka dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ/Bunyamin. Namun adakah ini salah? Tentu tidak kerana dua beradik itu masih kecil sedangkan mereka sudah besar. Takkan sama layanan seorang bapa kepada anak yang besar dan kecil. Yang kecil masih dipeluk cium tetapi yang besar ditunjukkan sayangnya dengan cara lain. Mungkin si kecil tidak perlu bekerja sedangkan yang besar disuruh itu dan ini. Ini pun memang logik kerana apabila sudah besar, kenalah ada tanggungjawab. Tidaklah bermakna ayah itu tidak sayang lagi kepada anaknya yang sudah besar. Sayang tetaplah sayang tetapi tidaklah sama interaksi antara anak yang kecil dan besar.

.

وَنَحنُ عُصبَةٌ

padahal kita (ini) adalah satu golongan

Kalimah عُصبَةٌ bermaksud kumpulan yang kuat yang terdiri daripada 5 – 10 orang. Daripada kalimah inilah jadi asabiyyah – yang bermaksud perkauman yang melebihkan keturunan dan puak sendiri. Di sini kita dapat tahu yang abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berasakan mereka lebih kuat kerana mereka lebih ramai daripada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin. Mereka rasa kekuatan kekeluargaan 10 orang mereka itu lebih kuat dan mereka berlagak dengan kumpulan sendiri. Mereka juga sudah besar dan lebih banyak dapat membantu ayah mereka jika dibandingkan dengan anak-anak yang kecil itu. Jadi mereka rasa mereka patut lebih disayangi oleh bapa mereka.

Padahal Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lebih sayangkan dua adik beradik itu kerana memang bersifat dan berakhlak baik berbanding dengan abang-abang mereka. Lebih-lebih lagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang bakal menjadi Nabi, maka tentu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sayangkannya lebih lagi kerana akan meneruskan perjuangannya nanti. Akan tetapi mereka tidak nampak perkara itu. Mereka hanya nampak dari segi fizikal sahaja, iaitu mereka lebih kuat, banyak membantu bapa mereka dalam kerja, angkat itu dan ini, mempertahankan keselamatan rumah dan sebagainya. Mereka tidak nampak elemen spiritual dalam kehidupan ini. Mereka hanya nampak ini kami buat, itu kami buat sahaja.

Mereka rasa kalau mereka sudah bantu ibubapa mereka dengan jaga mereka, beri duit dan sebagainya, itu sudah cukup. Jadi mereka boleh buat segala perkara yang tidak bermoral asalkan mereka sudah buat kerja-kerja fizikal. Seolah-olah ibubapa mereka tidak boleh nilai mereka dan tegur mereka kerana mereka sudah beri jagaan dan beri duit. Maka ini adalah satu kesilapan dalam berfikir.

 

إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Sesungguhnya ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata.

Sekarang mereka mengutuk ayah mereka pula. Mereka buat andaian yang ayah mereka itu telah membuat kesilapan dengan lebih menyayangi dua beradik itu. Bayangkan mereka bukannya tidak kenal siapa ayah mereka. Seorang Nabi, anak seorang Nabi dan cucu seorang Nabi mereka kata keliru? Jadi siapa agaknya yang keliru? Ini kerana mereka telah mencipta naratif dalam akal mereka sendiri sampaikan mereka telah lupa kedudukan ayah mereka itu. Begitulah sifat dengki manusia tidak ada batasan. Sudahlah mereka bencikan dua beradik itu, sekarang mereka salahkan ayah mereka pula. Mereka kata ayah mereka tidak betul, jadi apabila ayahnya itu memberi nasihat, mereka tidak dengar kerana mereka telah buat keputusan yang ayah mereka sudah dari awal lagi keliru.

Kalimah ضَلالٍ selalunya bermaksud ‘sesat’ tetapi di dalam ayat ini bukan bermaksud ‘sesat’, tetapi ‘silap’ atau ‘keliru’ sampai buat kesilapan dalam keputusan. Jangan kita silap terjemah pula kerana dalam ayat Al-Qur’an yang lain, ada digunakan kalimah ضَلالٍ untuk membawa maksud ‘sesat’. Takkan seorang Nabi itu sesat pula. Maka kita kena pandai lihat kepada konteks ayat.

Begitulah bahayanya perasaan dengki dalam hati. Ia sampai boleh membawa kepada pembunuhan. Dengki juga menghilangkan pahala amal kebaikan seperti api memakan kayu api seperti disebut dalam hadith;

إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ
Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu.
(Sunan Abi Dawud No. 4903)

Alamat dengki:

    1. Tidak boleh melihat orang lain mendapat kesenangan.
    2. Merasa puas hati apabila melihat orang lain mendapat kesusahan, di mana mereka yang dengki akan berkata: “Padan muka dia”.

Dengki itu telah ditiup-tiup oleh syaitan. Syaitan akan membisikkan manusia dengan bisikan was-was yang akan menimbulkan perasaan tidak baik di dalam hati manusia. Perhatikan adik beradik ini siapa bapa mereka? Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ! Mereka pun tahu yang bapa mereka itu seorang Nabi Allah, namun lihatlah perangai mereka. Ini mengajar kita yang tidak ada sesiapa pun akan terselamat daripada bisikan syaitan. Apa kita sangka ada tempat syaitan tidak boleh pergi? Dalam masjid pun syaitan boleh masuk sampai AJK masjid pun boleh berkelahi sesama sendiri.

Ia juga mengajar kita yang kita tidak boleh memastikan anak-anak kita akan menjadi orang yang baik walaupun kita berikan pendidikan dan belaian kasih mesra yang selengkapnya kepada anak beranak. Bayangkan tentulah Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah mendidik anaknya dan melayan mereka dengan baik, bukan? Namun itu pun belum selamat lagi kerana akhirnya ia kembali kepada diri orang itu sendiri. Kalau dia baik, bapa Firaun pun boleh selamat dan menjadi orang baik seperti Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Akan tetapi kalau memang sudah ada kejahatan di dalam diri, maka ia akan keluar seperti anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan anak Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Jadi anak siak masjid dan anak ustaz pun belum tentu selamat. Berapa ramai anak ustaz yang menjadi ‘hantu’. Kadangkala ustaz sendiri pun menjadi ‘hantu’!

 

Kuiz (Soalan Pendek)

Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat.

  1. Apakah dua perkara utama yang ditekankan dalam “Tauhid” sebagai dakwah penting dalam Surah Yusuf?
  2. Bagaimanakah kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membuktikan kerasulan Nabi Muhammad ﷺ?
  3. Apakah maksud “آيَاتٌ” (tanda-tanda) dalam konteks kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan adik-beradiknya?
  4. Siapakah golongan “لِّلسّائِلينَ” (orang-orang yang bertanya) yang dimaksudkan secara khusus dalam Ayat 7, dan mengapa kisah ini relevan bagi mereka?
  5. Apakah kepentingan bertanya dalam proses pembelajaran ilmu menurut petikan ini?
  6. Mengapakah abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berpakat jahat terhadapnya menurut tafsir Al-Qurtubi?
  7. Siapakah Bunyamin, dan apakah hubungan kekeluargaan beliau dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
  8. Bagaimana pandangan abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap layanan ayah mereka kepada Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin? Adakah pandangan mereka ini tepat?
  9. Jelaskan maksud ‘عُصبَةٌ’ yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan implikasinya terhadap pemikiran mereka.
  10. Apakah maksud kalimah ‘ضَلٰلٍ’ dalam konteks “ayah kita adalah dalam kekeliruan yang nyata” (إِنَّ أَبانا لَفي ضَلٰلٍ مُّبينٍ), dan apakah bahaya utama perasaan dengki yang disebut dalam petikan?

 

Glosari Istilah Penting

  • Jumlah Mu’taridah: Ayat sisipan atau ringkasan pembukaan sesuatu kisah dalam Al-Quran.
  • Risalah: Perutusan Nabi; kebenaran kenabian Nabi Muhammad ﷺ sebagai utusan Allah ‎ﷻ.
  • آيَاتٌ (Ayat): Tanda-tanda; merujuk kepada bukti kekuasaan, kebijaksanaan, dan pengajaran daripada Allah ‎ﷻ dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
  • لِّلسّائِلينَ (Lil-sa’ilin): Bagi orang-orang yang bertanya; merujuk kepada mereka yang mencari ilmu pengetahuan dan kebenaran, khususnya orang Yahudi pada waktu itu, dan juga umat Islam secara umum.
  • Kambing Hitam: Individu atau kelompok yang disalahkan atas kesilapan atau masalah yang dilakukan oleh orang lain.
  • Bunyamin (Benjamin): Adik kandung Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ daripada ibu yang sama (Rahil).
  • إِخوَة (Ikhwah): Abang-abang (plural).
  • أَخو (Akhu): Adik (singular).
  • عُصبَةٌ (Usbah): Kumpulan yang kuat, biasanya terdiri daripada 5-10 orang.
  • Asabiyyah: Perkauman atau semangat kesukuan yang melebihkan keturunan dan puak sendiri.
  • ضَلٰلٍ مُّبينٍ (Dalalin Mubin): Kekeliruan yang nyata; dalam konteks ayat ini, ‘silap’ atau ‘keliru’, bukan ‘sesat’.
  • Hasad/Dengki: Perasaan tidak senang hati melihat orang lain mendapat kesenangan dan berharap kesenangan itu hilang, atau puas hati melihat orang lain mendapat kesusahan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 7 – 8 (Cinta yang bengkok)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz

    1. Dua perkara utama dalam Tauhid adalah Allah ‎ﷻ sahaja yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan Allah ‎ﷻ sahaja yang ada kuasa mengurus dan mentadbir segala sesuatu. Ini menunjukkan kekuasaan mutlak Allah walaupun para Nabi tidak mengetahui perkara ghaib.
    2. Kisah Nabi Yusuf membuktikan kerasulan Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda dapat menceritakan kisah ini yang bukan berasal dari sejarah bangsa Arab, menunjukkan ia adalah wahyu dari Allah ‎ﷻ. Ini menjadi hujah yang kuat bagi Nabi Muhammad sebagai seorang Rasul.
    3. “آيَاتٌ” atau tanda-tanda dalam konteks kisah Nabi Yusuf dan adik-beradiknya merujuk kepada pengajaran dan bukti kekuasaan Allah ‎ﷻ yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Ia juga meliputi psikologi manusia, adab, dan sejarah yang terkandung dalam kisah tersebut.
    4. Golongan “لِّلسّائِلينَ” yang dimaksudkan secara khusus adalah orang Yahudi yang bertanya untuk menguji Nabi Muhammad ﷺ. Kisah ini relevan kerana ia terdapat dalam kitab mereka dan berfungsi sebagai bukti kerasulan Nabi Muhammad ﷺ, yang sepatutnya mendorong mereka untuk memeluk Islam.
    5. Bertanya adalah kunci utama untuk memperoleh pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam, kerana ia adalah proses aktif yang mempertajam cara berfikir. Ia melatih otak untuk menganalisis informasi, mengidentifikasi maklumat, dan merangkai logik, menjadi dasar pemikiran kritis.
    6. Menurut tafsir Al-Qurtubi, abang-abang Nabi Yusuf membuat pakatan jahat setelah mengetahui khabar angin tentang mimpi Nabi Yusuf. Ini kerana takdir Allah ‎ﷻ telah menetapkan perkara itu akan terjadi.
    7. Bunyamin adalah adik kandung Nabi Yusuf, lahir dari ibu yang sama (Rahil), dan merupakan anak bongsu Nabi Ya’qub. Beliau adalah salah seorang daripada 12 anak Nabi Ya’qub yang berasal dari empat ibu yang berbeza.
    8. Abang-abang Nabi Yusuf beranggapan ayah mereka lebih mencintai Yusuf dan Bunyamin, suatu kesilapan penafsiran kerana mereka tidak dapat mengetahui isi hati Nabi Ya’qub. Pandangan ini tidak tepat kerana kasih sayang Nabi Ya’qub adalah naluri biasa dan perbezaan layanan antara anak besar dan kecil adalah logik, bukan bermaksud berat sebelah.
    9. Kalimah ‘عُصبَةٌ’ bermaksud kumpulan yang kuat (5-10 orang), merujuk kepada abang-abang Nabi Yusuf yang merasakan mereka lebih kuat dan ramai berbanding Yusuf dan Bunyamin. Ini menunjukkan keangkuhan mereka dan rasa berhak untuk lebih disayangi kerana sumbangan fizikal, mengabaikan aspek spiritual.
    10. Kalimah ‘ضَلٰلٍ’ dalam konteks ini bermaksud ‘silap’ atau ‘keliru’, bukan ‘sesat’, kerana Nabi Ya’qub adalah seorang Nabi. Bahaya utama perasaan dengki adalah ia boleh membawa kepada tindakan melampau seperti pembunuhan dan menghilangkan pahala amal kebaikan, seperti api memakan kayu.

    Like

Leave a comment