Ayat 15: Apakah yang saudara-saudaranya lakukan terhadap Nabi Yusuf عليه السلام?
فَلَمّا ذَهَبوا بِهِ وَأَجمَعوا أَن يَجعَلوهُ في غَيٰبَتِ الجُبِّ ۚ وَأَوحَينا إِلَيهِ لَتُنَبِّئَنَّهُم بِأَمرِهِم هٰذا وَهُم لا يَشعُرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
So when they took him [out] and agreed to put him into the bottom of the well…¹ But We inspired to him, “You will surely inform them [someday] about this affair of theirs while they do not perceive [your identity].”
- The conclusion of this sentence is estimated to be “…they tormented him.”
(MALAY)
Maka tatkala mereka membawanya dan mereka sepakat memasukkannya ke dasar sumur (lalu mereka masukkan dia), dan (di waktu dia sudah dalam sumur) Kami wahyukan kepada Yusuf: “Sesungguhnya kamu akan menceritakan kepada mereka perbuatan mereka ini, sedang mereka tiada menyedari”.
فَلَمّا ذَهَبوا بِهِ
Maka tatkala mereka membawanya
Maka esok harinya mereka berjaya membawa Nabi Yusuf عليه السلام. Ini kerana akhirnya Nabi Ya’qub عليه السلام telah bersetuju untuk membenarkan abang-abang Nabi Yusuf عليه السلام untuk membawa baginda ‘berkelah’. Adik Nabi Yusuf عليه السلام yang bernama Bunyamin duduk dengan ayahnya. Mereka hanya bawa Nabi Yusuf عليه السلام sahaja.
وَأَجمَعوا أَن يَجعَلوهُ في غَيٰبَتِ الجُبِّ
dan mereka sepakat memasukkannya ke dasar sumur
Mereka ijmak (sepakat) untuk meninggalkan Nabi Yusuf عليه السلام di dalam telaga musafir itu. الجُبِّ juga bukan telaga yang dalam. Ini penting sebab bolehlah baginda diselamatkan nanti.
Ada muqaddar dalam ayat ini: mereka lakukanlah apa yang mereka lakukan itu. Cuma banyak kisah Israiliyat tentang perkara ini kalau kita baca kitab-kitab tafsir. Kita tidak mahu masuk membicarakan tentang kisah-kisah yang tidak sahih itu.
Selepas mereka meninggalkan baginda, dikatakan yang mereka tidak tinggalkan terus tetapi mereka duduk menunggu untuk melihat apa yang terjadi. Ada yang kata mereka menunggu dalam masa tiga hari baru ada yang datang ke kawasan itu. Maknanya mereka tidak mahu baginda mati di dalam telaga itu, maka mereka hantar makanan juga. Ini ekoran daripada nasihat abang mereka yang tidak mahu baginda dibunuh.
Maka nafsu mereka telah menyebabkan mereka melakukan perkara yang amat salah. Tetapi mereka tidaklah sampai sanggup untuk membunuh baginda.
وَأَوحَينا إِلَيهِ لَتُنَبِّئَنَّهُم بِأَمرِهِم هٰذا
dan Kami wahyukan kepada Yusuf: “Sesungguhnya kamu akan menceritakan kepada mereka perbuatan mereka ini,
Selepas baginda dijatuhkan ke dalam perigi itu, baginda naik ke atas satu batu yang berada di dasar perigi (tidaklah baginda berada di dalam air selepas itu). Semasa baginda di dalam sumur itu, diwahyukan kepada Nabi Yusuf عليه السلام (dalam bentuk ilham) yang baginda akan menceritakan balik kisah ini kepada mereka nanti. Maka tenanglah sedikit hati baginda.
Ilham dalam bentuk ini juga pernah terjadi kepada ibu Nabi Musa عليه السلام juga. Tujuan Allah ﷻ adalah untuk menenangkan hati mereka yang amat sedih itu. Allah ﷻ menenangkan hati baginda dengan memberitahu yang pengakhiran untuk baginda nanti adalah kebaikan. Walaupun apa yang terjadi kepada baginda pada waktu itu adalah kelihatan sangat teruk, tetapi nanti baginda akan mendapat kesenangan dan jalan keluar yang baik.
وَهُم لا يَشعُرونَ
sedang mereka tiada menyedari”.
Allah ﷻ mengilhamkan yang pada waktu kisah itu diceritakan balik kepada mereka, mereka tidak akan sedar yang menceritakan itu adalah Nabi Yusuf عليه السلام sendiri.
Maka inilah sahaja yang disebut dalam Al-Qur’an. Para mufassir banyak menyebut tentang kisah-kisah tambahan kejadian ini yang kita tidak mahu tuliskan di sini. Kita tidak mahu tambah sedangkan ini cara yang diajar oleh Allah ﷻ. Waktu ayat ini diturunkan, orang baca dari Al-Qur’an ini sahaja dan tidak ada kisah tambahan waktu itu.
Tetapi biasalah, kerana kalau kita tengok filem pun, ada benda yang tidak diberitahu. Ini kerana diberitahu perkara yang penting-penting sahaja. Maka dalam mendengar cerita, tidak payahlah tanya banyak sangat, sebaliknya tengok sahajalah filem itu atau dengar sahaja kisah itu dibacakan kerana ada benda yang tidak diberitahu oleh pencerita kerana sebab tertentu.
Maka sekarang kita sedang membaca kisah Nabi Yusuf عليه السلام versi yang Allah ﷻ sampaikan. Kita baca dahulu dan nanti selepas itu barulah tengok apakah tambahan-tambahan di dalam kitab tafsir. Supaya nanti kita pandai membezakan mana yang Allah ﷻ sebut dan mana yang ditambah. Yang ditambah itu mungkin benar dan mungkin tidak tepat.
Sehubungan dengan hal ini Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepadaku Al-Haris, telah menceritakan kepada kami Abdul Aziz, telah menceritakan kepada kami Sadaqah ibnu Ubadah Al-Asadi, dari ayahnya; dia pernah mendengar Ibnu Abbas رضي الله عنهما menceritakan bahawa ketika saudara-saudara Yusuf عليه السلام masuk ke dalam istana Yusuf عليه السلام, maka Yusuf عليه السلام langsung dapat mengenali mereka, sedangkan mereka tidak mengenalinya. Lalu Yusuf عليه السلام berkata, “Ambilkanlah piala itu.” Kemudian Yusuf عليه السلام meletakkan piala itu di tangannya dan memukul piala itu hingga berdenting suaranya. Lalu Yusuf عليه السلام berkata, “Sesungguhnya piala ini akan menceritakan kepadaku berita tentang golongan orang-orang ini, bahawa sesungguhnya di masa lalu kalian mempunyai seorang saudara seayah kalian yang dikenali dengan nama Yusuf yang sangat dicintai oleh ayah kalian, sedangkan kalian tidak. Lalu kalian membawanya pergi dan melemparkannya ke dasar sebuah sumur.”
Ibnu Abbas رضي الله عنهما melanjutkan kisahnya, “Lalu Yusuf عليه السلام kembali memukul piala itu, dan piala itu berdenting untuk kedua kalinya. Kemudian Yusuf عليه السلام berkata, ‘Setelah itu kalian datang menghadap kepada ayah kalian dan kalian katakan kepadanya bahawa serigala telah memangsa Yusuf, dan kalian pun datang kepadanya dengan membawa baju gamisnya yang dilumuri oleh darah yang dusta (palsu).’ Maka sebahagian dari mereka (saudara-saudara Yusuf عليه السلام) berkata kepada sebahagian yang lainnya, ‘Sesungguhnya piala ini benar-benar menceritakan kisah kalian’.”
Ayat 16: Ini kisah selepas mereka meninggalkan Nabi Yusuf عليه السلام. Mereka melakukan helah terhadap ayah mereka.
وَجاءوا أَباهُم عِشاءً يَبكونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they came to their father at night, weeping.
(MALAY)
Kemudian mereka datang kepada ayah mereka di malam hari sambil menangis.
وَجاءوا أَباهُم عِشاءً
Kemudian mereka datang kepada ayah mereka di malam hari
Mereka pulang pada waktu malam berjumpa ayah mereka. Kebiasaannya mereka pulang pada waktu petang. Tetapi kalau pulang pada waktu petang, takut nanti orang nampak tidak ada Yusuf عليه السلام dan banyak pula persoalan yang timbul nanti.
Lagi pun kalau orang berbuat jahat, mereka hendak menjaga air muka mereka juga supaya tidak nampak yang mereka menipu. Mereka juga boleh membuat alasan seolah-olah mereka telah sibuk mencari Nabi Yusuf عليه السلام yang hilang sampai mereka balik lewat. Kita boleh lihat perancangan rapi mereka. Namun ada juga yang mereka tersilap dan akan disebutkan nanti.
يَبكونَ
sambil menangis
Mereka mengadap ayah mereka sambil menangis. Mereka hanya berlakon menangis, bukan betul-betul pun kerana semua tahu apa yang terjadi. Mereka memperlihatkan seakan-akan mereka kecewa dan sedih atas nasib yang dialami oleh Yusuf عليه السلام dan mereka meminta maaf atas apa yang telah menimpa Yusuf عليه السلام sesuai dengan rancangan yang mereka buat.
Ayat 17:
قالوا يٰأَبانا إِنّا ذَهَبنا نَستَبِقُ وَتَرَكنا يوسُفَ عِندَ مَتٰعِنا فَأَكَلَهُ الذِّئبُ ۖ وَما أَنتَ بِمُؤمِنٍ لَّنا وَلَو كُنّا صٰدِقينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They said, “O our father, indeed we went racing each other and left Joseph with our possessions, and a wolf ate him. But you would not believe us, even if we were truthful.”
(MALAY)
Mereka berkata: “Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala; dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar”.
قالوا يٰأَبانا
Mereka berkata: “Wahai ayah kami,
Ini adalah alasan dan tipuhelah mereka. Mereka membuat cerita tipu kepada ayah mereka. Mereka sedang merayu-rayu dalam lakonan mereka.
إِنّا ذَهَبنا نَستَبِقُ
sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba
Mereka kata mereka berlumba lari sesama mereka.
وَتَرَكنا يوسُفَ عِندَ مَتٰعِنا
dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami,
Semasa berlumba itu mereka meninggalkan Yusuf عليه السلام dengan barang mereka, mungkin untuk menjaganya.
فَأَكَلَهُ الذِّئبُ
lalu dia dimakan serigala;
Mereka kata baginda dimakan dengan serigala yang Nabi Ya’qub عليه السلام juga yang cakap sebelum ini. Ini kerana dahulu ayah mereka takut Yusuf عليه السلام dimakan oleh serigala. Maka mereka menggunakan hujah yang sama juga.
وَما أَنتَ بِمُؤمِنٍ لَّنا
dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami,
Nabi Ya’qub عليه السلام dengar sahaja apa kisah mereka itu. Mereka sendiri cakap yang baginda tidak percaya dengan kisah mereka. Mereka sendiri sudah ada rasa bersalah di dalam hati mereka. Mereka terus kata ayah mereka tentu tidak percaya.
وَلَو كُنّا صٰدِقينَ
sekalipun kami adalah orang-orang yang benar”.
Mereka kata ayahnya tidak akan percaya walaupun mereka cakap perkara yang benar. Lihat mereka gunakan لَو (jika) – bukan إنَّ (sesungguhnya). Memberi isyarat yang mereka memang menipu pun.
Ayat 18: Inilah kesilapan dalam rancangan mereka.
وَجاءوا عَلىٰ قَميصِهِ بِدَمٍ كَذِبٍ ۚ قالَ بَل سَوَّلَت لَكُم أَنفُسُكُم أَمرًا ۖ فَصَبرٌ جَميلٌ ۖ وَاللهُ المُستَعانُ عَلىٰ ما تَصِفونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And they brought upon his shirt false blood.¹ [Jacob] said, “Rather, your souls have enticed you to something, so patience is most fitting. And Allāh is the one sought for help against that which you describe.”
- They had stained Joseph’s shirt with the blood of a lamb but had forgotten to tear it, thereby arousing their father’s suspicion.
(MALAY)
Mereka datang membawa baju gamisnya (yang berlumuran) dengan darah palsu. Ya’qub berkata: “Sebenarnya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu; maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan”.
وَجاءوا عَلىٰ قَميصِهِ بِدَمٍ كَذِبٍ
Mereka datang membawa bajunya (yang berlumuran) dengan darah palsu.
Untuk membuktikan yang memang Nabi Yusuf عليه السلام telah diserang dan dibunuh oleh serigala, maka, mereka bawakan baju Nabi Yusuf عليه السلام yang berlumuran darah. Ini kali pertama baju Nabi Yusuf عليه السلام disebut dalam surah ini dan akan disebut lagi nanti. Kesemuanya terdapat tiga kali kisah baju Nabi Yusuf عليه السلام disebutkan di dalam surah ini.
Kalimat بِدَمٍ كَذِبٍ (dengan darah tipu) inilah kesilapan dalam kisah mereka. Kalaulah benar serigala serang dan makan Nabi Yusuf عليه السلام tentulah baju itu koyak, bukan? Tetapi tidak disebut dalam ayat ini yang baju itu koyak, cuma ada ‘darah tipu’. Maknanya, mereka ambil darah binatang lain dan mereka lumurkan pada baju itu. Nabi Ya’qub عليه السلام nampak keadaan baju itu dan baginda sudah tahu apa yang telah terjadi.
Menurut riwayat yang diceritakan oleh Mujahid, As-Saddi, serta lain-lainnya yang bukan hanya seorang, saudara-saudara Yusuf عليه السلام menangkap seekor kambing muda, lalu mereka sembelih, dan darahnya mereka lumurkan ke baju Yusuf عليه السلام sebagai bukti bahawa inilah baju Yusuf عليه السلام yang telah dimangsa oleh serigala, dan padanya terdapat bekas-bekas darahnya. Akan tetapi, mereka lupa merobek baju itu. Kerana itulah Nabi Ya’qub عليه السلام tidak percaya kepada bukti yang diajukan kepadanya itu. Bahkan baginda menyindir mereka yang telah menipunya:
قالَ بَل سَوَّلَت لَكُم أَنفُسُكُم أَمرًا
Ya’qub berkata: “Sebenarnya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu;
Maka terbukalah sudah rahsia mereka. Nabi Ya’qub عليه السلام tidak melenting tetapi baginda kata yang nafsu mereka telah membisikkan kepada mereka untuk membuat rancangan yang tidak baik dan menampakkan ia baik pada pandangan mereka.
Kalimah سَوَّلَت dari س و ل yang bermaksud ditipu, diajak, dipujuk. Oleh itu, perbuatan taswil adalah menganggap sesuatu itu ringan sahaja, tidak kisah sangat kalau dilakukan. Macam kadang-kadang apabila kita sangka dosa itu kecil, kita tidak kisah untuk melakukannya. Ini adalah kerana syaitan telah menjadikan benda yang berat jadi nampak ringan sahaja.
Begitulah alasan yang digunakan oleh pembuat dosa – “Alaa, bukan teruk sangat pun….orang lain buat lagi teruk…” Mereka hendak sedapkan hati mereka sahaja.
فَصَبرٌ جَميلٌ
maka kesabaranlah yang baik
Allah ﷻ berikan wahyu kepada baginda, sekadar itu sahaja perlu baginda tanya, selebihnya kena bersabar. Sememangnya baginda telah bersabar sungguh kerana baginda tidak bertanya pun mana Nabi Yusuf ﷻ. Baginda sedar yang baginda kena terima sahaja. Tidak ada gunanya marah mereka dan minta mereka bawa balik Nabi Yusuf عليه السلام.
Maka apa yang Nabi Ya’qub عليه السلام boleh buat adalah bersabar sahaja. Tidak guna bercakap dengan mereka lagi. Jadi maksud sabrun jamil adalah kesabaran tanpa rungutan kepada selain Allah ﷻ.
Ini perkara yang mengejutkan sekali kerana bukan senang bersabar dalam perkara seperti ini. Ini menunjukkan kebijaksanaan Nabi Ya’qub عليه السلام sebagai seorang Nabi kerana baginda tahu tidak ada gunanya marah mereka pada waktu itu – semuanya ada dalam takdir dan baginda kena bersabar sahaja. Memang berat perkara yang terjadi itu, kerana penculikan bukan perkara kecil, namun baginda bersabar sahaja.
Kalau ayah lain sudah jadi gila agaknya. Di negara kita pun ada banyak kejadian ini (culik dari rumah, dari pusat beli belah). Kita pun tidak dapat membayangkan kalau terjadi pada diri kita sendiri, kalau anak kita sendiri yang diculik – bayangkan kalau kita dengar maklumat NURIN alert tu, kita sudah risau sangat dan terbayang perasaan kita kalau anak kita sendiri jadi begitu. Memang menakutkan sekali, bukan?
Sememangnya bahaya perkara ini kerana ada manusia yang boleh tergelincir akidah mereka apabila terkena dengan musibah yang besar-besar begini. Sampai yang ada tertanya: “Kenapa Allah ﷻ jadikan ini?” Ini amat bahaya sekali kerana akidah kita pun boleh tergugat kerana mempersoalkan apa yang Allah ﷻ lakukan.
Kita amat takut membaca kisah-kisah culik ini kerana kita pun tahu ramai dari kanak-kanak itu dijadikan sebagai hamba, hamba seks, diambil organ mereka dan sebagainya. Sampaikan kita tidak sanggup hendak tengok berita pun kalau ada kisah itu kerana budak itu tidak bersalah, bukan? Dan bukankah Nabi Yusuf عليه السلام juga dijual sebagai hamba?
Tetapi sekarang kita belajar bagaimana seorang Nabi yang kehilangan anaknya dapat bersabar. Oleh itu, kalimat فَصَبرٌ جَميلٌ bermaksud sabar yang tidak ada rungutan. Ini kerana kalau merungut, itu bukan sabar namanya.
Dengan kata lain, baginda akan bersabar dengan kesabaran yang baik atas musibah ini yang anak-anaknya telah sepakat untuk menimpakannya kepada baginda, sehingga Allah ﷻ memberikan jalan keluar berkat pertolongan dan kasih sayang-Nya.
Ini adalah hujah untuk Dakwa Pertama surah ini: kesabaran Nabi Ya’qub عليه السلام ini menunjukkan yang Nabi Ya’qub عليه السلام tidak mengetahui akan perkara ghaib.
وَاللهُ المُستَعانُ عَلىٰ ما تَصِفونَ
Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan”.
Kalimat اللَّهُ المُستَعانُ bermaksud Allah ﷻlah sahaja tempat kita mendapatkan pertolongan dan tempat kita berharap. Walaupun anaknya memberi berbagai-bagai hujah dan helah, tetapi Nabi Ya’qub عليه السلام dengar sahaja dan serahkan kepada Allah ﷻ untuk memberi kebaikan. Ini kerana apa-apa yang terjadi itu ada hikmah yang Allah ﷻ hendak berikan, tetapi kita sahaja yang mungkin tidak nampak. Baginda hanya dapat berharap sahaja. Baginda serahkan urusan itu kepada Allah ﷻ.
Sehubungan dengan hal ini Imam Bukhari رحمه الله telah meriwayatkan hadith A’isyah رضي الله عنها dalam kisah tuduhan palsu yang ditujukan terhadap dirinya, antara lain A’isyah رضي الله عنها mengatakan, “Demi Allah ﷻ, aku tidak menemukan suatu misal pun bagiku terhadap kalian kecuali seperti apa yang dikatakan oleh ayah Yusuf عليه السلام: ‘Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah ﷻ sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kalian ceritakan.’ (Yusuf: 18).”
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 21 Mac 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an