Pengenalan
Semasa Nabi Muhammad ﷺ berumur dalam lingkungan 40 tahun, baginda duduk menyendiri dalam Gua Hira’ sebab baginda hendak mencari jalan penyelesaian kepada masalah masyarakat baginda. Ini adalah kerana hatinya halus, jiwanya tinggi sampaikan baginda berfikir tentang masalah masyarakatnya yang teruk sekali melakukan syirik.
Walaupun baginda belum lagi mendapat wahyu, waktu itu baginda sudah nampak bahawa apa yang dilakukan oleh masyarakat baginda itu tidak benar. Dan baginda tidak boleh tengok begitu sahaja. Malangnya, baginda tidak ada jalan penyelesaian kerana baginda belum menjadi Nabi lagi dan belum mendapat wahyu lagi.
Memang lama baginda meluangkan masa di Gua Hira’ itu sebelum Allah ﷻ hantar Jibril untuk sampaikan wahyu kepada baginda. Ini menunjukkan betapa dedikasinya baginda hendak mencari kebenaran. Ini adalah kisah ringkas berkenaan dengan bagaimana permulaan baginda mendapat wahyu itu. Perbincangan lanjut boleh dibaca di dalam Kitab Sahih Bukhari.
Dari hadis permulaan baginda mendapat wahyu itu, berkali-kali Jibril suruh Nabi Muhammad ﷺ baca pada permulaannya untuk baginda bersedia untuk membaca. Itulah sebabnya Jibril peluk Nabi Muhammad ﷺ supaya baginda bersedia. Kerana memang tidak ada apapun waktu itu untuk baginda baca, maka baginda baca dengan mulut sahaja.
Lalu apakah yang baginda kena baca? Baginda disuruh baca tentang sifat Allah ﷻ. Maknanya, kena kenal Allah ﷻ dahulu. Kerana itu kalau kita tidak kenal Allah ﷻ, macam mana? Itulah maksud iqra’ – sebelum apa-apa, kena kenal Allah ﷻ dulu. Oleh itu kena belajar maksud Al-Qur’an dan kena ajar anak-anak kita dengan agama, sampai mereka boleh kenal Allah ﷻ. Dan untuk kenal Allah ﷻ, kena kenali Allah ﷻ sebagaimana yang diajar di dalam Al-Qur’an.
Maka kena belajar tafsir Al-Qur’an. Kerana penerangan tentang Allah ﷻ disebut dalam Al-Qur’an. Kerana itulah ilmu tafsir Al-Qur’an ini hendaklah dipelajari dari mula lagi. Ia adalah ilmu asas, bukannya hanya terhad kepada orang tertentu sahaja.
Kaitan dengan surah sebelumnya:
Terdapat beberapa persamaan antara Surah Al-‘Alaq ini dengan surah sebelumnya, Surah at-Teen.
1. Dalam Surah at-Teen, Allah ﷻ memberitahu kita bahawa Allah ﷻ telah memuliakan manusia dengan menceritakan bagaimana kita ini dijadikan dalam penciptaan yang terbaik sekali; dalam Surah al-‘Alaq, Allah ﷻ memberitahu ada manusia yang melampau dan melawan, walaupun mereka telah dijadikan dengan sempurna.
2. Dalam Surah at-Teen: Allah ﷻ gunakan kalimat خَلَقنَا الإِنسانَ (Kami jadikan insan) – kalimat ini Allah ﷻ membahasakan DiriNya sendiri sebagai Pencipta kepada insan – ini menunjukkan taqrib (dekatnya) Allah ﷻ dengan kita. Ini adalah kerana dalam ayat itu, Allah ﷻ hendak menceritakan bagaimana Dia telah menjadikan manusia dalam keadaan yang terbaik.
Akan tetapi, dalam Surah al-‘Alaq ini, Allah ﷻ menggunakan kalimat خَلَقَ الإِنسانَ (Dia menciptakan insan) – Allah ﷻ menggunakan kata-ganti pihak ketiga (gha’ibah) kerana hendak menjauhkan DiriNya. Ini adalah kerana surah ini hendak mengatakan keburukan manusia yang menjauhkan diri daripada Allah ﷻ .
3. Dalam Surah al-‘Alaq, Allah ﷻ menggunakan kalimah وَرَبُّكَ الأَكرَمُ (dan Tuhanmu Maha Pemurah). Iaitu Allah ﷻ memuliakan DiriNya dalam ayat itu; sedangkan dalam Surah at-Teen, Allah ﷻ menceritakan tentang kemuliaan para Nabi Ulul Azmi – Allah ﷻ menyebut tentang tempat-tempat kelahiran mereka sebagai isyarat kepada mereka.
4. Dalam Surah at-Teen, Allah ﷻ telah memberitahu bagaimana manusia itu dijadikan dalam bentuk yang baik – لَقَد خَلَقنَا الإِنسانَ في أَحسَنِ تَقويمٍ (sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya); dalam Surah al-‘Alaq ini, Allah ﷻ memberitahu kenapa insan itu dalam bentuk terbaik – kerana mereka telah diberikan dengan aqal/intelek/ilmu. Inilah yang menyebabkan manusia itu lebih tinggi dan lebih mulia daripada makhluk yang lain.
Allah ﷻ sebut dalam Surah al-‘Alaq ini bagaimana manusia belajar dan menyampaikan ilmu dengan pena; dengan itu juga manusia boleh faham apa yang Allah ﷻ sampaikan – semua ini memerlukan penggunaan aqal yang Allah ﷻ telah berikan kepada manusia. Oleh itu, kalau manusia tidak gunakan aqalnya, maka mereka itu tidaklah lebih baik daripada binatang.
5. Dalam Surah at-Teen, Allah ﷻ memberitahu ada manusia yang direndahkan ثُمَّ رَدَدناهُ أَسفَلَ سافِلينَ (Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya); dalam Surah al-‘Alaq ini, Allah ﷻ sambung dengan menceritakan apakah yang mereka lakukan, apakah yang dalam fikiran mereka, dan Allah ﷻ beri contoh Abu Jahal.
6. Dalam Surah at-Teen, Allah ﷻ sebut فَما يُكَذِّبُكَ (Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan) – ia merujuk kepada mereka yang mendustai Nabi Muhammad ﷺ; dalam Surah al-‘Alaq ini, Allah ﷻ beri contoh orang itu – Abu Jahal dan apakah yang Abu Jahal lakukan terhadap baginda.
7. Dalam Surah at-Teen, Allah ﷻ memberitahu kita bahawa Allah ﷻ ialah hakim yang paling bijaksana sekali أَلَيسَ اللَّهُ بِأَحكَمِ الحاكِمينَ (Bukankah Allah ﷻ Hakim yang seadil-adilnya?); dalam Surah al-‘Alaq ini, Allah ﷻ menjelaskan bagaimana Dia buat keputusan penghakiman terhadap mereka yang menghalang Nabi Muhammad ﷺ.
Sebagai hakim, Allah ﷻ akan menjalankan penghakiman dengan bijaksana dan Allah ﷻ akan buat keputusan dengan adil. Kita kena redha dengan penghakiman daripada Allah ﷻ.
8. Dalam Surah at-Teen, Allah ﷻ memberitahu kita bahawa Dialah yang Maha Bijaksana sekali أَلَيسَ اللَّهُ بِأَحكَمِ الحاكِمينَ (Bukankah Allah ﷻ Hakim yang seadil-adilnya?); Dalam Surah al-‘Alaq, di awal lagi Allah ﷻ sudah beritahu kita untuk membaca Al-Qur’an. Ini adalah kerana Al-Qur’an itu daripada Allah ﷻ yang Maha Bijaksana, maka kalau kita juga hendak mendapatkan kebijaksanaan, maka hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an (bukan belajar baca sahaja).
9. Dalam Surah at-Teen, mereka yang selamat adalah الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ – orang yang beriman dan beramal soleh. Apabila seseorang itu mula beriman, dia akan melakukan amal soleh – dan apabila melakukan amal soleh, iman akan bertambah (pusingan spiral yang baik); dalam Surah ‘Alaq, Allah ﷻ suruh وَاسجُد وَاقتَرِب (sujud dan dekatkan [dengan Allah ﷻ]). Melakukan sujud akan mendekatkan kita dengan Allah ﷻ dan meningkatkan iman.
10. Surah al-‘Alaq ini lebih spesifik kalau dibandingkan dengan Surah at-Teen yang lebih berbentuk umum.
a. Dalam at-Teen, para Nabi disebut secara umum tetapi dalam Surah al-‘Alaq, ia lebih menjurus kepada Nabi Muhammad ﷺ.
b. Dalam at-Teen, Allah ﷻ beritahu yang Dia menjadikan kita dalam bentuk yang baik, dalam Surah al-‘Alaq, Allah ﷻ menjelaskan bahawa manusia asalnya adalah al-alaq.
c. Dalam at-Teen, Allah ﷻ beritahu ada manusia yang direndahkan dan dalam Surah Alaq, Allah ﷻ beri contoh lelaki yang sebegitu (Abu Jahal).
d. Dalam at-Teen, Allah ﷻ mengutuk mereka yang menolak Nabi Muhammad ﷺ dan dalam Surah al-‘Alaq, Allah ﷻ beri contoh Abu Jahal yang menolak Nabi Muhammad ﷺ.
Muqaddimah kepada Surah ini:
Sebelum Nabi Muhammad ﷺ dilantik menjadi Rasul, dunia berada dalam kegelapan syirik. Rasul terakhir sebelum Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi Isa a.s. iaitu lebih kurang 600 tahun sebelum bangkitnya Nabi Muhammad ﷺ. Jadi, selama 600 tahun itu, manusia tidak ada Rasul yang membimbing mereka. Itu adalah satu masa yang lama. Hinggalah Allah ﷻ bangkitkan Rasul dan Nabi terakhir – Nabi Muhammad ﷺ.
Perkara ini penting untuk diberitahu kerana jumhur ulama mengatakan bahawa Surah al-‘Alaq ini adalah surah yang pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ (5 ayat pertama dari surah ini). Cara penurunan ayat-ayat pertama ini boleh dibaca dalam hadis-hadis yang sahih berkenaannya. Kita tidak mahu memanjangkan perbincangan itu.
Seperti yang kita telah sebut, Nabi Muhammad ﷺ terkesan dengan masalah yang dihadapi oleh masyarakat baginda. Baginda berharap sangat agar baginda dapat memberi jalan penyelesaian kepada masalah-masalah itu. Oleh kerana jauh daripada agama, orang lemah daripada kalangan masyarakat baginda dizalimi oleh mereka yang berkuasa. Akan tetapi, banyak mana pun yang baginda cuba lakukan, masalah itu tidak nampak jalan penyelesaiannya.
Akhirnya, dipendekkan kisah, Allah ﷻ telah menurunkan wahyuNya kepada baginda sebagai pedoman dan petunjuk kepada manusia dan sebagai pembaikan perhubungan antara manusia dan Pencipta. Memang selama itu baginda mencari jalan bagaimana hendak mengubah masyarakat baginda. Dan ini adalah sesuatu yang amat dikehendaki oleh baginda, kerana baginda bukan setakat mahu tolong orang susah sahaja, tetapi baginda hendak selesaikan punca kenapa boleh jadi susah dari awal lagi. Baginda ingin menghapuskan terus punca masalah itu.
Dan walau bagaimana baginda buat pun, jika hanya pakai akal sahaja, memang baginda tidak akan berjaya. Nabi ﷺ akhirnya hanya berjaya selesaikan masalah spiritual dan fizikal masyarakat itu dengan wahyu daripada Allah ﷻ. Begitu jugalah kita, kalau kita cuba memperbaiki masalah masyarakat dengan akal, kita juga tidak akan berjaya – maka kita kena gunakan wahyu. Kerana Allah ﷻ yang jadikan kita, maka Allah ﷻ tahu jalan penyelesaian kepada masalah kita.
Jadi, kita dapat mengenal Rasul kita sedikit sebanyak daripada kisah ini. Kita boleh dapat gambaran bagaimanakah sifat baginda yang mulia itu. Kita kena tahu bahawa baginda adalah seorang Nabi, bukan setakat seorang yang bijak mengubah masyarakat baginda sahaja (seperti yang dikatakan oleh pemikir bukan Islam). Memang ada manusia yang hebat di dunia, tetapi mereka itu boleh dibahagikan kepada beberapa jenis:
1. Ahli Falsafah / pemikir: Mereka cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat mereka dengan mencuba beberapa sistem. Sebagai contoh, Karl Marx cuba mengubah masyarakat beliau dengan memperkenalkan Sistem Komunis.
2. Ahli Politik: Mereka cuba untuk mengubah masyarakat dengan akal juga, dan selalunya dengan kuasa yang ada pada mereka.
3. Kemudian kita ada para Nabi yang mendapat cara penyelesaian dan ilmu daripada Tuhan sendiri. Mereka juga mempunyai sifat yang mulia yang menjadi contoh kepada masyarakat. Mereka tidak pernah kata itu adalah cara mereka, tetapi mereka kata apa yang mereka bawa adalah ajaran yang mereka dapat daripada Tuhan. Dan ini adalah ilmu yang paling tinggi sekali. Kerana ilmu dan intelek itu boleh dibahagikan kepada beberapa jenis:
1- Yang didapati dari ilmu hasil dari pancaindera yang lima.
2- Ilmu yang didapati dari tanda-tanda luaran dan kajian – contohnya kalau kita melihat asap, dari pengalaman dan pengetahuan kita, tentu itu menandakan adanya api.
3 – Ilmu daripada ilham/hati. Ilmu ini Allah ﷻ beri semasa kita dalam perut lagi. Ianya sudah siap ada dalam roh sebelum kita dilahirkan. Kalau orang bukan Islam pun, mereka pun dapat rasa yang ianya ada. Mereka mungkin gunakan nama lain – sebagai contoh, ada yang menggelarnya ‘intuisi’.
Ada juga yang Allah ﷻ berikan setelah kita meminta petunjuk daripada Allah ﷻ. Kalau orang Islam, kita diajar untuk melakukan Solat Istikharah. Kadangkala ada orang yang Allah ﷻ berikan mimpi yang benar.
4. Dan yang paling tinggi adalah ilmu daripada Allah ﷻ sendiri iaitu Wahyu. Inilah yang diberikan hanya kepada para Nabi sahaja dan mereka sampaikan ilmu itu kepada manusia. Ahli falsafah dan pemikir tidak akan dapat ilmu ini walau bagaimana dalam dan lama mereka memikirkan tentang sesuatu perkara.
Hebatnya, Al-Qur’an ada mengajar semua jenis ilmu ini. Maka kita tidak ketinggalan dan malah menjadi lebih hebat jika kita pakai ajaran dalam Al-Qur’an.
Sambung ke ayat yang pertama.
Kemaskini: 5 Oktober 2019
Rujukan:
Nouman Ali Khan

Menarik dan mudah difahami.
LikeLike