Tafsir Surah Baqarah Ayat 284 (Jaga Hati)

KEKUASAAN ALLAH ‎ﷻ

Baqarah Ayat 284: Ayat ini sehingga ke hujung adalah Perenggan Makro Keempat surah ini yang menjadi Penutup surah ini. Ia memberi janji kejayaan dan keselamatan jika ikut syari’at Nabi yang terakhir. Umat Nabi Muhammad ﷺ akan menjadi bangsa yang memimpin dunia. Ayat 284 ini adalah Dalil Aqli mengajar kita untuk berfikir. 

لِّلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم أَو تُخفوهُ يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ ۖ فَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

SAHIH INTERNATIONAL
To Allah belongs whatever is in the heavens and whatever is in the earth. Whether you show what is within yourselves or conceal it, Allah will bring you to account for it. Then He will forgive whom He wills and punish whom He wills, and Allah is over all things competent.

MALAY
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

لِّلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. 

Sebelum ini telah disebut yang Allah ‎ﷻ tahu segala apa yang manusia kerjakan. Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu bukan itu sahaja, malah segala jagad raya ini milik Allah ‎ﷻ belaka. Allah ‎ﷻ letak harf ل di awal ayat ini yang memberi isyarat eksklusif. Maknanya alam ini hanya milik Allah ‎ﷻ sahaja dan Allah ‎ﷻ tidak berkongsi dengan mana-mana makhluk.

Ayat ini adalah dalil aqli ke-empat kepada Dakwa Surah. Kita kena puja, taat dan ibadat hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja kerana langit dan bumi ini milik Allah ‎ﷻ sahaja, tidak ada entiti lain yang memiliki alam ini. Allah ‎ﷻ memiliki langit dan bumi, dan bukankah kita juga duduk atas bumi? Maka kita pun milik Allah ‎ﷻ juga. Kalau kita milik Dia, Dia boleh berbuat apa-apa sahaja yang Dia kehendaki dengan kita.

Apabila alam ini milik Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ sahaja yang mengelolakannya dan Allah ‎ﷻ tidak berkongsi pengurusan alam ini dengan sesiapa. Fahaman ada makhluk yang berkongsi pengurusan alam ini adalah syirik fi tasarruf (شرك في التصرف). Ia selalunya dipegang oleh golong sufi tarekat. Contoh Syirik fi Tasarruf

    • Keyakinan bahawa wali fulan dapat menghentikan badai atau mendatangkan hujan atas kehendaknya sendiri.
    • Meminta kesembuhan daripada kuburan orang soleh, dengan keyakinan bahawa orang yang di kubur itu boleh menyembuhkan.
    • Keyakinan bahawa jin penjaga suatu tempat dapat menimpakan bahaya atau memberikan keberuntungan tanpa campur tangan Allah ‎ﷻ.
    • Memakai azimat atau benda pusaka dengan keyakinan bahawa azimat tersebut memiliki kekuatan untuk melindungi atau mendatangkan rezeki.

 

وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم

Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu

Jika kamu zahirkan dengan perbuatan apa yang ada dalam hati kamu, sama ada dizahirkan dengan lidah ataupun anggota, Allah ‎ﷻ tahu.

 

أَو تُخفوهُ

atau kamu menyembunyikannya, 

Atau kamu sembunyikan niat yang ada dalam hati kamu, Allah‎ ﷻ tetap tahu. Bagaimana Dia boleh tahu? Kerana alam ini milik-Nya; Dia yang buat dan Dia yang uruskan. Maka tentulah Dia ada kemampuan untuk tahu segala-galanya termasuklah apa yang di dalam hati kita. Allah ‎ﷻ telah berfirman juga di dalam Mulk:13

وَأَسِرّوا قَولَكُم أَوِ اجهَروا بِهِ ۖ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ
Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

Di sini Allah ‎ﷻ hendak ingatkan kepada kita yang segala lintasan hati kita Allah ‎ﷻ tahu dan memang banyak sekali lintasan hati kita: kadang melihat orang, kita benci atau dengki; kadang kita tengok orang buat kebaikan, kita pun hendak ikut juga. Jadi perasaan kita berbolak balik antara kebaikan dan keburukan. Allah ‎ﷻ sentiasa memerhati.

 

يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ

nescaya Allah akan menghitungnya

Kalau zahirkan atau sembunyikan, Allah ‎ﷻ tahu dan dalam dua-dua keadaan itu, Allah ‎ﷻ masih akan hisab amalan kita. Maknanya, Allah ‎ﷻ ambil kira juga apa yang di dalam hati kita. Jangan kita sangka ibadah itu hanya perbuatan fizikal seperti solat, zakat, puasa sahaja akan tetapi ibadah juga termasuk hal hati. Begitulah definisi Ibadah menurut Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ. Dalam pandangannya,

(المعْبَدَةُ اسْمٌ جَامِعٌ لِكُلِّ مَا يُحِبُّهُ اللَّهُ وَيَرْضَاهُ مِنَ الْأَقْوَالِ وَالْأَعْمَالِ الْبَاطِنَةِ وَالظَّاهِرَةِ)
“Ibadah adalah nama جامع (Jāmi’) bagi segala sesuatu yang dicintai dan diredhai Allah, baik berupa perkataan mahupun perbuatan, yang lahir (terlihat) mahupun yang batin (tidak terlihat).”

Iman dan iktikad adalah lingkungan ibadah hati, bukan? Begitu juga kufur dan syirik. Kufur dan syirik itu ada bahagian perbuatannya dan ada bahagian batinnya. Ada orang kita tidak nampak pun dia ada perbuatan yang syirik, tetapi di dalam hatinya ada fahaman syirik yang dia tidak tunjukkan. Sebagai contoh, dia berpandangan ada makhluk yang ada kuasa sama seperti Allah ‎ﷻ. Namun dia tidak sembah sesiapa pun, dia simpan di dalam hatinya sahaja. Akan tetapi walaupun dia tidak sembah sesiapa, dia telah telah musyrik. Selain itu rendah diri, sabar, qana’ah, pemurah itu datangnya daripada hati juga. Surah ini juga telah banyak menyebut tentang ibadah-ibadah dan hukum hakam dan semua ini menjadi pahala dan sah apabila ia disertai dengan niat yang ikhlas, bukan? Bukankah niat itu di hati?

Ayat ini pada awal mulanya ialah peringatan kepada orang yang akan diminta menjadi saksi (di dalam ayat 283), supaya janganlah mereka menyembunyikan hal-hal yang diketahuinya berkenaan dengan perkara di antara dua orang mengikat janji yang tersebut dalam dua ayat sebelumnya tadi. Namun maksudnya juga mengandungi peringatan kepada kita sekalian manusia. Kita mempunyai rahsia-rahsia perasaan yang tersembunyi dan juga mempunyai sikap yang nyata. Bermacam-macam yang terasa dalam ingatan kita, yang baik dan yang buruk. Kadang-kadang kita merasa marah, benci, dendam, takabbur, sombong, dengki, inginkan kejatuhan orang lain. Kadang-kadang kerana semangat muda dan nafsu yang sedang bergelora tergiur hati seorang pemuda melihat seorang gadis cantik atau perempuan lain yang bukan isterinya. Kadang-kadang kelihatan orang lain sedang megah dengan kekayaannya, mempunyai rumah besar indah, kenderaan mahal dan mewah, maka timbul pula keinginan supaya mencapai yang demikian. Akan tetapi di lain waktu kelihatan pula orang baik-baik, budiman, orang yang berkorban untuk kepentingan bersama, lalu timbul pula kerinduan hati kecil hendak meniru hidup yang demikian. Maka ini adalah pertarungan dalam diri setiap manusia antara baik dan buruk.

Ayat ini memang sempat menimbulkan kekhuatiran dan ketakutan yang mendalam dalam kalangan para sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Alasan utama di balik ketakutan mereka adalah pemahaman awal bahawa ayat ini mengandungi isyarat yang mereka akan dihisab atas segala sesuatu yang terlintas di hati mereka, baik yang disengaja mahupun yang tidak disengaja, bahkan niat atau bisikan hati yang tidak pernah diwujudkan dalam perbuatan. Beberapa riwayat menceritakan reaksi para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ:

  • Rasa Berat dan Kesulitan: Para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ merasa sangat berat dengan ayat ini kerana mereka tahu betapa sulitnya mengendalikan bisikan hati dan fikiran. Mereka khuatir fikiran buruk atau godaan yang terlintas sesaat pun akan dihisab oleh Allah ‎ﷻ. Ini seolah-olah membebani mereka dengan sesuatu yang di luar kemampuan manusiawi.
  • Datang kepada Nabi ﷺ: Sejumlah sahabat, seperti Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, meriwayatkan bahawa ketika ayat ini turun, mereka merasa sangat ketakutan. Mereka datang kepada Rasulullah ﷺ dan berkata, “Ya Rasulullah, kami dibebani dengan sesuatu yang tidak pernah dibebankan kepada umat-umat sebelum kami. Kami akan dihisab atas apa yang kami lakukan dengan tangan dan lisan kami, tetapi sekarang dengan apa yang ada di hati kami.”
  • Kekhuatiran akan Kegagalan: Mereka khuatir tidak akan mampu memenuhi tuntutan ini dan merasa bahawa mereka akan terus-menerus dalam dosa kerana fikiran-fikiran yang tidak mampu mereka hindari.

Akan tetapi ayat ini telah dimansukhkan seperti kata Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا,

عَنْ مَرْوَانَ الْأَصْفَرِ عَنْ رَجُلٍ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَحْسِبُهُ ابْنَ عُمَرَ { إِنْ تُبْدُوا مَا فِي أَنْفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ } قَالَ نَسَخَتْهَا الْآيَةُ الَّتِي بَعْدَهَا
Daripada Marwan Al Ashfar daripada salah seorang sahabat Rasulullah ﷺ yang aku kira Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا mengenai firman Allah; “Jika kalian menampakkan apa yang ada dalam diri kalian atau menyembunyikannya” (Al Baqarah: 284). Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; Ayat ini telah dinasakh oleh ayat sesudahnya.
(Sahih Bukhari No. 4182)

Bahagian yang menasakhkan daripada ayat 286 adalah: لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها ۚ لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت (Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya). Maknanya, dia akan dibalas hanya di atas perbuatannya (dan perkataannya) dan bukanlah daripada lintasan hati. Dengan turunnya ayat 286, Rasulullah ﷺ menjelaskan bahawa ayat 284 tidak dimaksudkan untuk menghisab bisikan atau lintasan hati yang tidak disengaja atau yang tidak diikuti dengan perbuatan. Yang dihisab adalah niat atau tekad yang kuat (azam) untuk melakukan kebaikan atau keburukan, meskipun belum terwujud dalam perbuatan, serta apa yang diungkapkan secara lisan atau perbuatan. Ini dikuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ
“Sesungguhnya Allah memaafkan daripada umatku apa yang dibisikkan oleh hati mereka, selama mereka tidak mengamalkannya atau mengucapkannya.”
(Sahih Bukhari No. 5269 dan Muslim No. 127

Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang, dan Dia tidak membebani hamba-Nya di luar kemampuannya. Jadi, ketakutan para sahabat adalah refleksi daripada keimanan dan ketaqwaan mereka yang tinggi, serta pemahaman awal mereka yang mendalam terhadap setiap firman Allah ‎ﷻ. Namun, rahmat dan kebijaksanaan Allah ‎ﷻ selalu lebih luas, dan Dia memberikan kemudahan bagi hamba-hamba-Nya.

Maka hadith ini memberi ketenangan bagi umat Islam, bahawa Allah Maha Pengampun dan tidak akan memberatkan hamba-Nya dengan apa yang berada di luar kendalian mereka sepenuhnya, iaitu bisikan-bisikan hati yang tidak disengaja. Namun, jika bisikan hati itu berubah menjadi tekad yang kuat (azam) untuk berbuat kebaikan, maka itu sudah dicatat sebagai kebaikan, meskipun belum terlaksana. Sebaliknya, jika menjadi tekad kuat untuk berbuat kejahatan, namun kalau ditinggalkan kerana takut kepada Allah ‎ﷻ, maka dicatat sebagai kebaikan pula. Jika dilaksanakan, barulah dicatat sebagai keburukan. Ini menunjukkan keadilan dan kemurahan Allah ‎ﷻ.

Sesetengah ulama’ pula berpendapat ayat ini tidak dimansukhkan. Allah ‎ﷻ memang kata Dia akan hisab lintasan hati, namun tidaklah akan mengazab manusia. Hisab bukan semestinya akan mengazab. Allah ‎ﷻ boleh sahaja ampunkan dan potongan ayat selepas ini pun sebut Allah ‎ﷻ boleh sahaja ampunkan sesiapa yang Dia kehendaki. Ini seperti disebut di dalam hadith,

يُدْنَى الْمُؤْمِنُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رَبِّهِ حَتَّى يَضَعَ عَلَيْهِ كَنَفَهُ فَيُقَرِّرُهُ بِذُنُوبِهِ فَيَقُولُ: أَتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا؟ أَتَعْرِفُ ذَنْبَ كَذَا؟ فَيَقُولُ: نَعَمْ أَيْ رَبِّ، حَتَّى إِذَا قَرَّرَهُ بِذُنُوبِهِ وَرَأَى فِي نَفْسِهِ أَنَّهُ هَلَكَ، قَالَ: سَتَرْتُهَا عَلَيْكَ فِي الدُّنْيَا وَأَنَا أَغْفِرُهَا لَكَ الْيَوْمَ، فَيُعْطَى كِتَابَ حَسَنَاتِهِ، وَأَمَّا الْكَافِرُونَ وَالْمُنَافِقُونَ فَيَقُولُ الْأَشْهَادُ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى رَبِّهِمْ، أَلَا لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الظَّالِمِينَ
“Seorang mukmin akan didatangkan dan didekatkan kepada Rabbnya pada hari kiamat. Lalu Allah menutupinya (daripada pandangan makhluk lain) dan menyuruhnya mengakui dosa-dosanya. Allah berkata: ‘Apakah kamu tahu dosa ini? Apakah kamu tahu dosa itu?’ Orang itu menjawab: ‘Ya, wahai Tuhanku.’ Hingga ketika dia merasa dirinya binasa (kerana dosa-dosa itu), Allah berkata: ‘Aku telah menutupinya atasmu di dunia, dan hari ini Aku mengampuninya untukmu.’ Lalu diberikan kepadanya catatan amal kebaikannya. Adapun orang-orang kafir dan munafik, maka para saksi berkata: ‘Mereka inilah yang berdusta terhadap Rabb mereka.’ Ketahuilah, laknat Allah atas orang-orang yang zalim.”
(Riwayat Bukhari No. 2441 dan Muslim No. 2768)

Membaca tentang hisab Allah ‎ﷻ ini sepatutnya mengingatkan yang kita pun kenalah hisab diri kita. Inilah praktis muhasabah diri yang patut kita buat selalu secara berkala. Praktik muhasabah menanamkan rasa tanggungjawab atas setiap tindakan. Ini membuat seseorang lebih sedar akan kesan daripada perbuatannya, baik di dunia mahupun di akhirat, dan mendorongnya untuk menjadi seorang yang lebih berhati-hati dan bijaksana. Ia boleh dilakukan sehari sekali, seminggu sekali dan sebagainya. Caranya dilakukan dengan merenung, menulis di jurnal, atau bermunajat kepada Allah ‎ﷻ. Atau sedang terawang-awang hendak tidur itu, fikirkanlah akan perbuatan kita hari itu. Pertanyaan yang boleh diajukan pada diri sendiri antara lain:

    • Apa amal baik yang aku lakukan hari ini, dan apakah niat aku tadi ikhlas?
    • Apa kesalahan atau dosa yang aku lakukan hari ini, baik lisan, hati, mahupun perbuatan?
    • Bagaimana interaksi aku dengan keluarga, tetangga, dan rakan kerja? Apakah aku berlaku adil dan baik?
    • Apakah aku sudah menunaikan kewajipan kepada Allah ‎ﷻ (solat, puasa, zakat, dll.)?

 

فَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ

Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya

Allah ‎ﷻ mampu untuk mengampunkan segala dosa kita, kalau Dia kehendaki. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam Nisa’:48 

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya.

Maka hendaklah kita selalu meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ. Kalau dipenuhi dan lengkap rukun-rukun taubat, maka pasti Allah akan ampunkan. Kalimah مَن di dalam مَن يَشاءُ ada juga merujuk bukan kepada Allah ‎ﷻ sahaja, akan tetapi kepada orang yang berdosa itu. Maknanya kalau orang itu sedar dia telah melakukan kesalahan dan dengan rendah hati dan ikhlas dia bertaubat, maka Allah ‎ﷻ akan ampunkan. Maknanya pengampunan itu kembali kepada diri orang itu sendiri. Maka apabila kita telah melakukan kesalahan dan dosa, jangan menjauh daripada Allah ‎ﷻ, sebaliknya hendaklah kita dekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ lagi dan mengharap pengampunan daripada-Nya. Ini seperti disebut di dalam satu Hadith Qudsi,

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda, Allah ‎ﷻ berfirman:

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي، وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ شِبْرًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَيَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا، وَإِنْ أَتَانِي يَمْشِي أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً
“Aku (Allah) berada sesuai persangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya (dengan ilmu dan pertolongan-Ku) apabila dia mengingat-Ku. Jika dia mengingat-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku. Jika dia mengingat-Ku dalam keramaian (bersama orang banyak), Aku akan mengingatinya dalam keramaian yang lebih baik dari mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal, Aku akan mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta, Aku akan mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, Aku akan datang kepadanya dengan berlari.”
(Sahih Bukhari No. 7505 dan Muslim No. 2675)

Lafaz غفرُ daripada segi bahasa maksudnya menutup. Dari sini, kita dapat faham bahawa kalau ada perasaan tidak elok dalam diri kita, tetapi kita tidak jalankan, tidak ada azam untuk teruskan, Allah ‎ﷻ akan tutup sahaja dan tidak ada sesiapa yang tahu, hanya antara kita dan Allah ‎ﷻ sahaja.

Apa yang tersirat dalam hati, bermacam-macam dan bertingkat-tingkat. Ada yang dinamai هاجس hajis, iaitu sesuatu yang terlintas dalam fikiran secara spontan dan berakhir seketika, خاطر khathir, yakni yang terlintas sejenak kemudian terhenti; tingkat ketiga adalah apa yang dinamai حديث نفس hadits nafs, yakni bisikan-bisikan hati yang dari saat ke saat muncul dan bergejolak; همّ hamm, adalah kehendak melakukan sesuatu sambil memikirkan cara-cara pencapaiannya, dan عزم ‘azm, yakni kebulatan tekad setelah lengkapnya seluruh proses همّ dan dimulainya langkah awal bagi pelaksanaan. Semua yang sebelum عزم dimaafkan oleh Allah ‎ﷻ.

 

وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ

dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya

Kalau Allah ‎ﷻ hendak seksa kita, kita tidak boleh buat apa untuk menghalangnya tetapi ingatlah yang Allah ‎ﷻ maha adil. Maka jangan pula kita sangka Allah ‎ﷻ beri ampun dan seksa sesuka sahaja. Allah ‎ﷻ ampun dan azab ikut prosedur. Misalnya datang suatu perasaan, baik ataupun buruk; itu belumlah apa-apa tetapi kita diberi akal untuk membuat pertimbangan. Maka kita pun, dengan adanya akal itu hendaklah mengadakan muhasabah diri pula adakah hendak diperturutkan lintasan hati itu dengan azam? Kalau perasaan jahat yang kita perturutkan, maka sudah menjadi kehendak Allah ‎ﷻlah jika kita mendapat seksa. Di dunia mendapat seksaan batin, di akhirat mendapat seksaan neraka. Akan tetapi sekiranya dapat kita memupuk perasaan yang baik, menjadi azam dan niat untuk melakukan kebaikan itu, maka sudah menjadi kehendak Tuhanlah kita mendapat pahala dan pengampunan daripada-Nya.

Maka kalau setakat lintasan hati sahaja, masih selamat; tetapi kalau sudah ada azam dan niat, maka kita tidak buat lagi pun, Allah ‎ﷻ boleh kenakan azab seperti disebut kisah pemilik kebun di dalam Qalam:21-27

فَتَنَادَوۡاْ مُصۡبِحِينَ (٢١) أَنِ ٱغۡدُواْ عَلَىٰ حَرۡثِكُمۡ إِن كُنتُمۡ صَـٰرِمِينَ (٢٢) فَٱنطَلَقُواْ وَهُمۡ يَتَخَـٰفَتُونَ (٢٣) أَن لَّا يَدۡخُلَنَّہَا ٱلۡيَوۡمَ عَلَيۡكُم مِّسۡكِينٌ (٢٤) وَغَدَوۡاْ عَلَىٰ حَرۡدٍ قَـٰدِرِينَ (٢٥) فَلَمَّا رَأَوۡهَا قَالُوٓاْ إِنَّا لَضَآلُّونَ (٢٦) بَلۡ نَحۡنُ مَحۡرُومُونَ (٢٧)
Kemudian pada pagi-pagi, mereka panggil memanggil antara satu dengan yang lain. (21)
(Setengahnya berkata): Pergilah pada pagi-pagi ke kebun kamu, kalau betul kamu mahu memetik buahnya. (22) Lalu berjalanlah mereka sambil berbisik (katanya): (23) Pada hari ini, janganlah hendaknya seorang miskin pun masuk ke kebun itu mendapatkan kamu. (24) Dan pergilah mereka pada pagi-pagi itu, dengan kepercayaan, (bahawa) mereka berkuasa menghampakan fakir miskin daripada hasil kebun itu. (25) Sebaik-baik sahaja mereka melihat kebunnya, mereka berkata: Sebenarnya kita sesat jalan, (ini bukanlah kebun kita). (26)
(Setelah mereka perhati dengan teliti, mereka berkata: Tidak! Kita tidak sesat), bahkan kita orang-orang yang dihampakan (daripada hasil kebun kita, dengan sebab ingatan buruk kita sendiri). (27)

Perhatikan para pemilik kebun yang adik beradik itu sudah berniat untuk tidak infak seperti yang biasa dilakukan oleh bapa mereka dahulu. Mereka belum sempat buat lagi, tetapi Allah ‎ﷻ telah menghancurkan kebun mereka itu sebagai balasan kepada niat jahat mereka itu. Maka kena jaga hati supaya jangan berniat untuk berbuat jahat. Perhatikan satu lagi hadith tentang manusia yang sudah ada niat, cuma tidak berjaya sahaja melakukannya. Diriwayatkan daripada Abu Bakrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:

إِذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا، فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ.قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا الْقَاتِلُ، فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ
“Apabila dua orang Muslim bertemu dengan pedang mereka (saling menyerang), maka yang membunuh dan yang terbunuh (keduanya) di neraka.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, ini adalah si pembunuh, lalu bagaimana dengan si terbunuh?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya dia juga berkeinginan keras untuk membunuh saudaranya.”
(Sahih Bukhari No. 31 dan Muslim No. 2888)

 

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Kenapa kita tidak boleh buat apa? Kerana Allah ‎ﷻ berkuasa atas segala sesuatu. Kena sedar yang kita ini hamba dan Dia adalah Tuhan. Dia boleh buat apa sahaja kepada hamba-Nya. Kita kena terima dan redha sahaja.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 25 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment