فَإِن لَّم يَكونا رَجُلَينِ فَرَجُلٌ وَامرَأَتانِ مِمَّن تَرضَونَ مِنَ الشُّهَداءِ
Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi,
Kalau cari punya cari, tidak dapat dua orang saksi lelaki, maka bolehlah mengambil seorang lelaki dan dua orang perempuan sebagai saksi. Maknanya, kena ada lelaki juga (sekurang-kurangnya seorang) dan saksi itu hendaklah yang boleh dipercayai oleh kedua belah pihak. Kalimah تَرضَونَ bermaksud kedua-dua pihak itu redha dengan hal itu dan orang yang menjadi saksi kerana mereka kenal para saksi itu sebagai orang yang boleh dipercayai.
Ini adalah salah satu daripada ayat kontroversi. Ada yang menggunakan ayat ini sebagai hujah bahawa ini menunjukkan yang Islam itu tidak adil terhadap wanita. Mereka kata ayat ini kata dua wanita baru sama dengan satu lelaki dan ini merendahkan martabat wanita. Ini adalah kata-kata mereka yang tidak percaya kepada Allah ﷻ. Kita kena ingat yang ini adalah hukum daripada Allah ﷻ, jadi kena taat. Kalau Allah ﷻ sudah kata kena mengambil dua orang wanita sebagai ganti seorang lelaki, ikut sahaja kerana tentu ada kebaikan di dalamnya. Kalau kita cuba hendak jelaskan, ia diberikan sebegini rupa kerana keadaan sosiologi masa itu. Perempuan selalunya tidak keluar rumah dan tidak selalu menjalankan transaksi perniagaan atau hutang, jadi mereka mungkin tidak mahir dengan proses ini. Jadi, elok kalau ada dua orang. Ayat ini pun tentang urusan berhutang dan transaksi perniagaan sahaja, bukannya hendak mengatakan yang wanita itu lebih rendah kedudukan daripada lelaki pula. Kena baca dan faham ayat dengan konteks ayat itu.
Ada juga yang mengatakan ayat ini hanyalah sebagai irsyadi (panduan) sahaja – iaitu sebagai panduan sahaja. Pendapat ini mengatakan perlu dilihat keadaan semasa. Kalau zaman sekarang, sudah tidak sama dengan zaman dahulu. Mungkin ada perempuan yang lebih mahir daripada lelaki dalam hal transaksi perniagaan, maka tidaklah perlu digunakan hukum ini dengan ketat. Maka kalau kedua-dua saksi itu pun perempuan juga pun boleh. Allahu a’lam.
أَن تَضِلَّ إِحدَٮٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحدَٮٰهُمَا الأُخرىٰ
supaya jika yang seorang wanita itu lupa daripada saksi-saksi yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.
Kenapa seorang saksi lelaki kena digandingkan dengan dua orang perempuan? Kenapa tidak cukup dengan seorang wanita sahaja? Kalau sekali baca, nampak macam tidak adil pula dan boleh dikatakan sebagai merendahkan kaum wanita, bukan? Pertama, dijelaskan oleh Allah ﷻ yang kalau seorang saksi perempuan lupa, seorang lagi boleh ingatkan yang seorang lagi kerana manusia itu sifatnya pelupa terutama kalau wanita. Kajian psikologi wanita juga semakin maju. Kita semakin tahu perbezaan antara wanita dan lelaki. Kalau wanita, mereka ada banyak perkara dalam fikiran mereka dan kerana itu tidak dapat hendak fokus. Sekiranya menjadi saksi, banyak perkara lain yang tidak terlibat pun mereka akan sebut sekali.
Ada yang mengatakan memang ada kekurangan dari segi akal wanita berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:
كَانَتِ امْرَأَةٌ تَمُرُّ بِالْحُسَيْنِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: «يَا نِسَاءَ الْمُؤْمِنِينَ، أُصْدُقْنَ وَاسْتَغْفِرْنَ، فَإِنِّي رَأَيْتُكُنَّ أَكْثَرَ أَهْلِ النَّارِ». فَقَالَتِ امْرَأَةٌ مِنْهُنَّ: لِمَ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «تُكْثِرْنَ اللَّعْنَ، وَتَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ، مَا رَأَيْتُ مِنْ نَاقِصَاتِ عَقْلٍ وَدِينٍ أَذْهَبَ لِلُبِّ الرَّجُلِ الْحَازِمِ مِنْ إِحْدَاكُنَّ». قَالَتْ: وَمَا نُقْصَانُ عَقْلِنَا وَدِينِنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «أَمَّا نُقْصَانُ الْعَقْلِ فَشَهَادَةُ امْرَأَتَيْنِ كَشَهَادَةِ رَجُلٍ، فَتِلْكَ نُقْصَانُ الْعَقْلِ، وَأَمَّا نُقْصَانُ الدِّينِ فَيَمْكُثُ الْأَيَّامَ لَا تُصَلِّي فِيهَا، وَتَفْطُرُ فِي رَمَضَانَ، فَتِلْكَ نُقْصَانُ الدِّينِ».
Daripada Abu Said Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Rasulullah ﷺ keluar pada hari Idul Adha atau Idul Fitri menuju musolla (tempat solat). Lalu baginda melewati kaum wanita dan bersabda: ‘Wahai kaum wanita, bersedekahlah kalian dan perbanyaklah istighfar kerana sesungguhnya aku melihat kalian adalah penghuni neraka yang paling banyak.’ Maka seorang wanita yang cerdas di antara mereka bertanya: ‘Mengapa demikian wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Kalian banyak melaknat (mengutuk) dan banyak kufur terhadap suami. Aku tidak melihat orang yang kurang akal dan agamanya yang lebih mampu mengalahkan laki-laki yang berakal yang tegas (bijaksana) daripada salah seorang di antara kalian.’ Wanita itu bertanya lagi: ‘Wahai Rasulullah, apa maksud kekurangan akal dan agama kami?’ Baginda menjawab: ‘Adapun kekurangan akal adalah persaksian dua orang wanita sama dengan persaksian seorang lelaki. Maka itulah kekurangan akal. Dan adapun kekurangan agama adalah kalian berhari-hari tidak solat dan tidak puasa (ketika haid dan nifas). Maka itulah kekurangan agama.’
(Riwayat Al-Bukhari No. 304 dan Muslim No. 79 dengan sedikit perbezaan lafaz, namun makna sama).
Penjelasan tentang Kekurangan Akal (نقصان العقل):
-
Bukanlah bermaksud wanita itu bodoh atau kurang cerdas secara umum. Rasulullah ﷺ sendiri menjelaskan bahawa maksud kekurangan akal di sini adalah dalam konteks hukum persaksian, di mana dua orang saksi wanita diperlukan untuk menyamai seorang saksi lelaki dalam beberapa kes muamalat (transaksi).
-
Hikmahnya: Para ulama menjelaskan bahawa ini bukan merendahkan kecerdasan wanita, tetapi mengakui sifat dasar manusia. Wanita cenderung lebih dominan emosinya, dan dalam urusan persaksian yang memerlukan ketelitian dan keteguhan ingatan di bawah tekanan, emosi dapat mempengaruhi. Oleh itu, syariat memberikan ketentuan dua wanita sebagai bentuk dukungan dan penguat satu sama lain, agar jika salah seorang lupa, yang lain dapat mengingatkan. Ini adalah bentuk perlindungan dan keadilan, bukan penghinaan. Ramai wanita yang sangat cerdas, bahkan melebihi lelaki dalam pelbagai bidang.
- Ia juga melihat kepada keadaan wanita yang sepatutnya lebih utama berkhidmat di rumah, menjaga rumah dan mendidik anak-anak. Mereka kebanyakannya tidak biasa bermuamalat di luar, maka pengetahuan mereka tentang hal itu tentulah kurang. Kalau bab memasak tentulah mereka lebih hebat daripada suami mereka. Jadi Islam telah membezakan tanggungjawab antara lelaki dan wanita dan kerana itu ditunjukkan di dalam ayat dan hadith ini.
وَلا يَأبَ الشُّهَداءُ إِذا ما دُعوا
Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.
Janganlah enggan menjadi saksi apabila dipanggil. Ini kerana tujuan kita dipanggil menjadi saksi adalah untuk memudahkan urusan orang lain. Susahlah hendak menegakkan suruhan Allah ﷻ kalau ada yang tidak mahu beri kerjasama. Bagaimana dengan dua orang yang telah ada transaksi antara mereka dan terjadi hal yang memerlukan persaksian? Kalau semua saksi buat keras tidak mahu menjadi saksi, maka tentulah kes itu tidak dapat diselesaikan. Maka tolonglah orang lain, kali ini mungkin kita tolong orang, nanti ada masa kita memerlukan pertolongan orang juga.
Adakah para saksi yang diminta itu langsung tidak boleh menolak kalau diminta? Mereka dibolehkan menolak jikalau pada pandangan mereka, ada lagi yang lebih layak daripada mereka menjadi saksi.
وَلا تَسأَموا أَن تَكتُبوهُ صَغيرًا أَو كَبيرًا إِلىٰ أَجَلِهِ
Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya.
Jangan penulis jemu hendak menulis. Jangan juga dua pihak yang bermuamalah enggan atau jemu untuk menulis perjanjian. Kalimah تَسـَٔمُوٓاْ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ majzum dan ia bermaksud ‘jemu’. Ia daripada kata dasar: س ا م yang bermaksud berpaling kerana tidak suka, menyampah, tidak sabar berkenaannya, penat, lelah. Kadang-kadang mungkin penulis itu sudah banyak kali kena tolong orang untuk tulis, si penulis mungkin sudah rasa malas hendak tulis. Maka, Allah ﷻ beri peringatan dalam ayat ini.
Tulis surat hutang itu tidak kira sama ada tulis itu untuk jumlah yang sedikit atau banyak kerana mungkin sedikit pada kita, tetapi banyak nilainya kepada orang lain atau nampak sedikit sahaja sekarang, namun di kemudian hari, entah jadi perkara yang besar. Kalau sudah ada hitam putih ditulis, ini lebih memudahkan urusan. Di dalam ayat ini Allah ﷻ yang صَغيرًا sebelum disebut yang كَبيرًا kerana yang kecillah yang selalu tidak dihiraukan oleh manusia.
ذٰلِكُم أَقسَطُ عِندَ اللَّهِ وَأَقوَمُ لِلشَّهٰدَةِ وَأَدنىٰ أَلّا تَرتابوا
Menulis itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih kukuh sebagai keterangan, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.
Yang disebut tadi adalah cara paling adil di sisi Allah ﷻ untuk menjaga hubungan sesama manusia dalam hal hutang piutang. Jangan ada perbalahan nanti kerana semuanya telah tertulis. Ia boleh memastikan penyaksian yang lebih tepat apabila dibawa saksi. Kalau ada perbalahan, tentunya qadi memerlukan saksi yang boleh memberitahu kedudukan perkara yang sebenar dan kalau ada dalam bentuk bertulis, lagilah mudah untuk diadili.
Lebih dekat untuk tidak ada keraguan dalam kalangan kita supaya tidak ada keraguan dalam urusan hutang dan tidak ada perbalahan. Ini kerana Islam mahu umatnya hidup dalam harmoni. Bab duit ini, orang sanggup bertumbuk malah berbunuhan kalau tidak puas hati. Bagaimana hendak dakwah kepada orang lain kalau hubungan sesama kita sendiri tidak selesai dan tidak boleh menjadi contoh?
إِلّا أَن تَكونَ تِجٰرَةً حاضِرَةً تُديرونَها بَينَكُم فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَلّا تَكتُبوها
Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya.
Molek sekali dan dianjurkan sangat untuk menulis transaksi hutang melainkan jikalau transaksi itu adalah pembelian tunai. Ini adalah keadaan apabila seseorang beri duit dan seorang beri barang, pembeli terus dapat barang itu dan penjual terus dapat wang itu. Dalam transaksi seperti ini, tidak tulis pun tidak mengapa kerana transaksi telah selesai, kedua-dua pihak telah dapat apa yang mereka kehendaki. Kalau zaman sekarang sudah sangat mudah kerana pembelian selalunya ada resit sebagai rujukan pembelian kita. Ini sangat bagus kerana sudah ada rekod pembelian dan jualan. Kita yang membeli pun boleh buat kira-kira transaksi bulanan kita dan yang menjual pun boleh ada rekod jualan mereka.
Namun perhatikan apabila ada kalimat فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ bukanlah bermaksud jangan tulis, tetapi ia bermaksud lebih baik tulis, namun tidak tulis pun tidak berdosa/salah. Menulis terlebih bagus kerana seandainya timbul isu nanti, ada rujukan tentang pembelian itu. Contohnya ada yang mempersoalkan barang itu, atau mempersoalkan jumlah yang telah dibayar. Tentulah kalau ada resit itu sangat mudah.
Kita telah sebutkan bahawa ada ulama’ berpendapat menulis hutang bukanlah wajib tetapi sunat dan mereka berdalilkan kepada ayat 283 nanti sebagai hujah itu. Akan tetapi ada juga ulama’ yang mengatakan sebenarnya menulis hutang itu adalah wajib dan mereka berhujah dengan potongan ayat فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ ini. Mereka kata, kalau di sini tidak wajib tulis (kerana transaksi tunai), maka kalau transaksi hutang itu wajiblah. Maka ini adalah perbezaan pandangan di kalangan ulama’. Biasa sahaja ulama’ berbeza pandangan namun perhatikan, perbezaan pandangan mereka diberikan dengan dalil dan hujah. Mereka tidak berbalah pun tetapi menghormati pendapat ulama’ lain kerana masing-masing ada hujan dan dalil. Akan tetapi bagaimana dengan umat Islam sekarang? Punyalah bodoh, bila berbeza pendapat mereka tidak bawa dalil. Entah maksud dalil pun mereka tidak tahu agaknya. Kemudian berkeras mengatakan mereka benar sampaikan menghina golongan lain yang berbeza pendapat dengan mereka. Inilah beza antara orang berilmu dan orang tidak ada ilmu.
وَأَشهِدوا إِذا تَبايَعتُم
Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli.
Kena ada saksi kalau pembelian itu jenis jangka panjang atau pembelian yang besar-besar seperti beli rumah, kereta dan sebagainya. Terutama kalau ia adalah pembelian yang bayar sekarang dan barang akan hantar lambat lagi. Ini kerana penjual sudah dapat duit dia, tetapi pembeli belum lagi. Kalau tidak ada saksi, entah dia akan hantar barang atau tidak. Kalau bagi barang-barang yang besar dan mahal, ia adalah untuk memastikan kualiti barang yang diperniagakan itu menepati kehendak pembeli.
Kalau zaman sekarang, sudah ada resit bayaran, maka boleh sahaja gunakan yang itu. Memang zaman sekarang sudah ada sistem untuk memastikan transaksi sebegini terjaga. Namun bayangkan, 1,400 tahun dahulu pun Islam sudah mengajar tentang perkara ini. Ini menunjukkan Islam adalah agama yang maju ke hadapan kerana ia adalah daripada Allah ﷻ yang memahami kehendak dan keperluan manusia, walaupun manusia itu tidak tahu lagi.
وَلا يُضارَّ كاتِبٌ وَلا شَهيدٌ
Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan.
Jangan bahayakan penulis, jangan pula marah mereka dan jangan susahkan mereka. Maka kalau ada kes, janganlah lama pula perbicaraan kena dipanggil mereka kerana mereka juga ada kerja dan hal lain. Sebagai contoh kalau sesuatu kes itu berlanjutan berbulan-bulan, tentu menyusahkan mereka. Ia juga bermaksud kenalah beri upah kepada mereka kalau ia melibatkan kerja yang berat dan sukar. Maka tidak salah kalau kita menggunakan khidmat guaman dan mereka menentukan bayaran tertentu.
Jangan bahayakan saksi, jangan marah mereka apabila mereka beritahu kebenaran dan juga dianjurkan untuk beri upah kepada mereka. Maka kenalah ada persetujuan dan tawar menawar dengan dengan penulis dan saksi sebelum transaksi dijalankan. Kena bincangkan berapa bayaran yang sesuai untuk mereka.
وَإِن تَفعَلوا فَإِنَّهُ فُسوقٌ بِكُم
Dan kalau kamu melakukannya (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang kembali kepada kamu.
Kalau tidak buat apa yang diarahkan oleh Allah ﷻ, maka dia dikira telah melanggar arahan Allah ﷻ. Contohnya, kalau menyusahkan penulis dan saksi seperti mengugut mereka, maka kena jawab dengan Allah ﷻ nanti.
وَاتَّقُوا اللَّهَ
Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah;
Asas yang paling penting adalah ada taqwa dalam hati kita kerana kalau ada taqwa, senanglah hendak menjalankan hukum-hukum dan arahan Allah ﷻ. Semua hukum dan cara telah diberi, tetapi kalau tidak ada taqwa, ia tidak akan dapat dijalankan pun.
وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ
dan (ingatlah), Allah mengajar kamu;
Allah ﷻ ajar kita cara-cara Umur Munazimah (ayat-ayat Al-Qur’an yang menjelaskan hukum-hukum syariat dan aturan-aturan kehidupan) ini supaya kita boleh hidup dengan aman harmoni dalam masyarakat. Dengan mengamalkan hukum hakam yang Allah ﷻ telah berikan di dalam ayat-ayat ini, kita akan belajar banyak perkara. Dengan menjalankan perintah atau anjuran ini, maka ia tidak menyebabkan kerugian mana-mana pihak. Malangnya, kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak tahu pun ada saranan dan cara berhubungan yang hebat sebegini dalam agama Islam.
وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Allah ﷻ yang paling alim telah ajar cara ini kepada kita, ikut sahajalah. Begitu juga di sini diingatkan yang Allah ﷻ tahu apa sahaja yang kita lakukan. Allah ﷻ juga tahu ada yang akan menipu dalam transaksi mereka sesama manusia. Maka mereka kena ingat bahawa Allah ﷻ sudah pesan bahawa Dia Maha Tahu dan Dia akan membalas kesalahan mereka itu. Dalam dunia mereka mungkin selamat dan dapat untung, tetapi di akhirat mereka akan kerugian yang amat sangat.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 22 Julai 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
