PENGHARAMAN RIBA
Baqarah Ayat 275: Dalam ayat sebelum ini, Allah ﷻ banyak menyebut tentang infak iaitu suruhan untuk menghimpun harta kita di akhirat, manakala di dalam ayat ini pula Allah ﷻ menyebut tentang mereka yang menghimpun harta di dunia dengan cara haram. Inilah akibatnya apabila ditinggalkan infak. Sudahlah himpun harta kemudian tidak infak (itu pun sudah tidak molek), tetapi masih boleh lagi. Masalahnya sekarang mereka yang disebut dalam ayat ini, iaitu mereka yang menghimpun harta mereka itu dengan cara haram. Ini sangat berlawanan dengan infak yang telah banyak disentuh sebelum ini. Dalam infak mengandungi suruhan untuk membantu orang yang susah; di dalam amalan riba, orang yang susah disusahkan lagi.
الَّذينَ يَأكُلونَ ٱلرِّبَوٰاْ لا يَقومونَ إِلّا كَما يَقومُ الَّذي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيطٰنُ مِنَ المَسِّ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا إِنَّمَا البَيعُ مِثلُ ٱلرِّبَوٰاْۗ وَأَحَلَّ اللَّهُ البَيعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ فَمَن جاءَهُ مَوعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهىٰ فَلَهُ ما سَلَفَ وَأَمرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَمَن عادَ فَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ
SAHIH INTERNATIONAL
Those who consume interest cannot stand [on the Day of Resurrection] except as one stands who is being beaten by Satan into insanity. That is because they say, “Trade is [just] like interest.” But Allah has permitted trade and has forbidden interest. So whoever has received an admonition from his Lord and desists may have what is past, and his affair rests with Allah . But whoever returns to [dealing in interest or usury] – those are the companions of the Fire; they will abide eternally therein.
MALAY
Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu dia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
الَّذينَ يَأكُلونَ ٱلرِّبَوٰاْ
Orang-orang yang memakan (mengambil) riba
Riba daripada kata dasar ر ب و yang bermaksud bertambah, transaksi riba, berlebihan, menjadi tinggi, bengkak, tercungap-cungap, memutuskan. Ini kerana dengan memberi riba telah menambah wang pemberi riba itu.
‘Makan’ dalam ayat ini maksudnya ambil riba kerana yang memberi hutang berlandaskan riba itu adalah untuk mereka makan sebenarnya, untuk menjaga perut mereka supaya kenyang sentiasa. Digunakan istilah ‘makan’ di sini adalah kerana seperti barang yang kita telah makan, kita tidak boleh beri balik. Ini berlainan kalau kita buat dosa mencuri yang kita boleh pulangkan balik barang yang kita telah curi itu.
Orang yang memberi pinjaman riba itu adalah orang yang sudah tidak kira kesusahan orang lain. Mereka ambil keuntungan atas kelemahan dan kesusahan manusia dengan cara melanggar syarak. Mereka buat duit menggunakan duit. Mereka beri pinjam kepada manusia dan minta bayaran yang lebih daripada modal yang diberi. Padahal mereka tahu yang orang yang meminjam dengan mereka itu kerana mereka di dalam kesusahan, tetapi mereka tidak kira itu semua. Yang mereka hanya fikirkan adalah keuntungan mereka sahaja. Mereka mendapat kekayaan dengan cara yang haram sedangkan banyak lagi cara halal yang lain.
Pada Zaman Jahiliyyah, jikalau orang yang meminjam tidak dapat membayar selepas waktu yang telah dijanjikan, hutang itu akan digandakan. Kalau tidak bayar juga selepas setahun, akan digandakan sekali lagi. Makanya, hutang yang asalnya sedikit akan menjadi berganda-ganda. Hutang itu sampaikan boleh jadi turun temurun, perlu dibayar oleh anak beranak yang meminjam jika mereka mati tidak sempat bayar semua hutang.
لا يَقومونَ إِلّا كَما يَقومُ الَّذي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيطٰنُ مِنَ المَسِّ
tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu.
Ini adalah keadaan mereka yang mengambil riba apabila mereka dibangkitkan di akhirat kelak. Keadaan mereka itu seperti orang yang dirasuk hantu. Kalimah يَتَخَبَّطُ adalah dalam bentuk fi’il mudhari’ dan ia bermaksud ‘merasuk’. Ia daripada kata dasar: خ ب ط yang bermaksud memukul dengan kuat dan keras, mendakwa, menjadi keliru, bermusafir tanpa tujuan, bercakap dengan seseorang, menyentuh seseorang dengan tujuan menjadikannya gila, menjadi gelisah, kaku tidak bergerak-gerak.
Kalimah مَسِّ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘sentuhan’. Ia daripada kata dasar م س س yang bermaksud menyentuh dan merasa dengan tangan, memukul, mengenakan, sesuatu yang susah.
Jadi ini adalah gambaran orang yang mengamalkan riba dan memang mereka bangkit nanti tidak seperti manusia biasa. Balasan yang Allah ﷻ kenakan di akhirat adalah setimpal dengan perbuatan dosa semasa di dunia. Sebagai contoh, suami yang tidak berlaku adil kepada para isterinya akan dibangkitkan dengan bahu yang senget (memberi isyarat mereka tidak adil, senget, dengan para isterinya). Maka pengamal riba akan dibangkitkan bagaimana agaknya? Bagaimanakah kita boleh bayangkan keadaan ini? Ia boleh ditafsirkan dari beberapa sudut:
1. Bangkit dalam Keadaan Terhuyung-Hayang dan Gelisah
-
- Hilang Keseimbangan: Pada Hari Kiamat, orang yang memakan riba akan dibangkitkan dalam keadaan tidak seimbang, terhuyung-hayang, dan mungkin sering jatuh bangun. Ini seperti orang yang diserang penyakit gila atau dirasuk syaitan yang menyebabkan pergerakan tidak terkawal dan tingkah laku yang tidak normal.
- Akibat Kebiadapan Dunia: Keadaan ini adalah balasan atas tingkah laku mereka di dunia. Di dunia, mereka mengambil harta orang lain secara tidak adil dan bergerak tanpa peduli keseimbangan atau keadilan. Pada Hari Kiamat, mereka akan dibangkitkan dalam keadaan fizikal yang mencerminkan ketidakseimbangan jiwa mereka.
2. Bangkit dalam Keadaan Hina dan Cacat
-
- Tanda Kekejian Dosa: Keadaan yang memalukan ini adalah tanda kehinaan yang kekal pada mereka kerana dosa riba. Mereka akan menjadi bahan tontonan dan ejekan di hadapan semua makhluk, menanggung akibat daripada perbuatan mereka yang keji.
- Hukuman Fizikal: Sebahagian ulama menafsirkan bahawa ini juga boleh merujuk kepada hukuman fizikal di mana mereka akan dibangkitkan dengan ciri-ciri yang mengerikan dan tidak normal, menunjukkan betapa besar kemurkaan Allah ﷻ terhadap mereka.
3. Kekeliruan Akal dan Hilang Pertimbangan
-
- Di Dunia Mereka Keliru: Al-Qur’an menyebutkan bahawa mereka berkata “jual beli itu sama dengan riba”. Ini menunjukkan kekeliruan akal dan hilang pertimbangan yang benar. Mereka gagal membezakan antara yang halal dan haram.
- Balasan di Akhirat: Maka, pada Hari Kiamat, mereka dibangkitkan dalam keadaan akal yang kacau, tidak berfikir dengan jelas, dan hilang arah, sesuai dengan kekeliruan mereka di dunia.
Balasan ini adalah kerana kedegilan mereka. Sudah tidak dapat dinasihatkan lagi kerana mereka tidak dengar nasihat. Ini adalah isyarat bagaimana mereka itu ke sana dan ke sini sebab hendak kutip duit mereka daripada orang yang berhutang dengan mereka. Mereka menjadi bengis sebab hendak kutip hutang daripada orang yang berhutang. Tambahan pula kalau peminjam tidak boleh bayar, mereka akan jadi bengis kerana hendak merampas harta kepunyaan peminjam.
Mereka juga sentiasa mengira-ngira duit mereka, risau siapa tidak bayar lagi, siapa akan bayar lambat lagi… ada yang sudah mati tidak dapat bayar, ada yang lari, ada yang degil tidak mahu bayar…. kepala mereka asyik pusing memikirkan duit mereka sahaja. Jadi mereka ini tidak tenang dan kerana itu mereka akan dibangkitkan dengan rupa orang yang kekeliruan akal.
Bayangkan. Ini baru cara mereka dibangkitkan pun sudah menakutkan. Apatah lagi kalau keadaan mereka apabila dimasukkan ke dalam neraka!
Ayat ini menjadi dalil bahawa memang jin ada merasuk manusia. Ada juga orang Islam yang tidak percaya perkara sebegini kerana kononnya sudah moden sangat, tetapi mereka menolak itu kerana jahil agama. Memang ia berlaku dan banyak terjadi dalam masyarakat kita. Malangnya ramai menggunakan cara yang salah untuk mengubati pesakit dengan amalan-amalan yang salah. Namun ia adalah perbincangan yang panjang untuk dibincangkan di sini. Dalil bahawa memang ada kerasukan adalah sebuah kisah Nabi ﷺ menjampi seorang budak yang dirasuk syaitan. Hadith ini diriwayatkan oleh Ya’la bin Murrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:
عَنْ يَعْلَى بْنِ مُرَّةَ قَالَ: (لَقَدْ رَأَيْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثَلَاثًا مَا رَآهَا أَحَدٌ قَبْلِي وَلَا يَرَاهَا أَحَدٌ بَعْدِي. لَقَدْ سِرْتُ مَعَهُ فِي سَفَرٍ فَمَرَرْنَا عَلَى امْرَأَةٍ مَعَهَا صَبِيٌّ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ ابْنِي هَذَا بِهِ بَلَاءٌ، وَقَدْ ابْتُلِينَا بِهِ مُنْذُ سَبْعِ سِنِينَ. فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: “أَدْنِيهِ إِلَيَّ”. فَأَدْنَتْهُ إِلَيْهِ، فَأَخَذَهُ فَقَالَ: “اخْرُجْ عَدُوَّ اللَّهِ، أَنَا رَسُولُ اللَّهِ” فَتَقَلَّصَ الْغُلَامُ، وَأَفَاقَ الْغُلَامُ، وَأَكَلَ أَكْلاً لَمْ يَأْكُلْهُ قَبْلَ ذَلِكَ … إلخ).
Daripada Ya’la bin Murrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Aku melihat tiga perkara daripada Rasulullah ﷺ yang belum pernah dilihat oleh sesiapa pun sebelumku dan tidak akan dilihat oleh sesiapa pun selepasku (kemudian dia menyebutkan salah satunya): ‘Sungguh aku berjalan bersama Baginda dalam suatu perjalanan. Lalu kami melalui seorang wanita yang bersama seorang budak (lelaki) kecil. Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini ditimpa musibah (penyakit/gangguan), dan kami telah diuji dengannya sejak tujuh tahun.” Maka Nabi ﷺ bersabda: “Dekatkanlah dia kepadaku.” Maka wanita itu mendekatkannya kepada Baginda. Baginda lalu memegang budak itu dan bersabda: “Keluarlah, wahai musuh Allah! Aku adalah Rasulullah.” Maka budak itu mengecut (atau bergerak-gerak keras), dan budak itu pun sedar. Dia (budak itu) kemudian makan makanan yang belum pernah dia makan sebanyak itu sebelumnya (kerana gangguan yang dialaminya).”
(Hadith Riwayat Abu Dawud, Kitab At-Tibb, No. Hadith: 3887. Disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Dawud.)
Di dunia ini, kalau hendak lihat mereka yang berperangai macam dirasuk syaitan, boleh lihat mereka yang bekerja di Bursa Saham. Kalau tengok masa penutup (“closing time”) bursa, mereka sudah macam orang gila atau seperti monyet yang kepanasan.
Namun adakah pemberi pinjaman riba sahaja yang bersalah? Ini kerana ada yang kata orang yang mengambil pinjaman riba itu tidak bersalah kerana mereka tidak ada pilihan lain. Di dalam hadith disebut semua yang terlibat dengan riba pun terpalit sama,
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه قَالَ: “لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ” وَقَالَ: “هُمْ سَوَاءٌ”
Daripada Jabir bin Abdullah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Rasulullah ﷺ melaknat pemakan riba, pemberi makan riba (yang memberi riba), penulisnya (yang mencatat transaksi riba), dan dua orang saksinya. Baginda bersabda: ‘Mereka semua sama (dalam dosa).'”
(Riwayat Muslim, Kitab Al-Musaqat, No. Hadith: 1598)
ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا إِنَّمَا البَيعُ مِثلُ ٱلرِّبَوٰاْ
Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”.
Mereka dikenakan dengan azab itu kerana mereka buat dua kesalahan: kesalahan pertama adalah memakan harta dengan cara riba. Kemudian yang kedua adalah kerana mereka beri alasan iaitu mereka berkata riba itu halal sama macam perniagaan biasa. Mereka berhujah kalau riba itu haram, maka perniagaan pun kena diharamkan jugalah! Ini adalah hujah mereka untuk membenarkan apa yang mereka lakukan. Ini adalah alasan mereka sahaja. Mereka kata mereka cuma menjalankan perniagaan sahaja kerana wang yang mereka beri pinjam itu, kalau mereka laburkan ke tempat lain, mereka akan dapat pulangan juga (kata mereka). Bermacam-macam lagi hujah bathil mereka untuk membenarkan amalan riba mereka itu. Teruk sekali fahaman mereka.
Padahal, tidak sama hutang riba dan perniagaan. Perniagaan adalah seorang pembeli memerlukan barang yang dibekalkan oleh penjual. Penjual membekalkan barang yang diperlukan dengan harga modal dicampur dengan untung usahanya menyediakan barang itu. Maka kedua-dua pihak akan mendapat keperluan masing-masing. Pembeli dapat barang yang diperlukan dan penjual dapat untung. Kalau dengan riba, apa yang tukang bayar itu dapat? Ada barang? Tidak ada, bukan?
Akan tetapi orang yang beramal dengan riba berhujah, wang mereka itu kalau mereka niagakan atau dilaburkan, pun akan mendapat duit juga. Jadi mereka kata tidaklah salah kalau mereka beri pinjam dan kemudian dapat pulangan. Ini pun tidak benar kerana kalau niaga, belum tentu dapat untung; dan kalau laburkan, belum tentu dapat pulangan. Sedangkan dalam beri pinjaman riba, pulangan sudah pasti.
Begitulah bila akal cetek yang tidak ada iman digunakan untuk membenarkan perkara yang salah. Allah ﷻ sudah tegur pun mereka mempersoalkannya lagi. Mereka sangka mereka sudah hebat kerana beri analogi yang pada mereka sudah tepat. Namun jikalau dilihat pada penggunaan bahasa pun sudah terkeliru. Lihat mereka kata: “Perniagaan seperti riba”. Ini susunan yang salah. Sepatutnya mereka kata “Riba itu seperti perniagaan” barulah analogi yang betul. Kalau kita buat perumpamaan macam mana? Adakah kita kata Ahmad macam singa (kerana dia garang), atau kita kata singa macam Ahmad? Tentu tidak kena kalau begitu, bukan? Jadi penggunaan kata golongan ini amat salah. Atau mungkin pada mereka riba itu adalah asas kepada ekonomi sampaikan perniagaan pula disamakan dengannya?
وَأَحَلَّ اللَّهُ البَيعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ
Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
Hujah membenarkan riba dengan akal itu adalah bathil kerana Allah ﷻ dengan jelas telah mengharamkan riba. Allah ﷻ tidak beri penjelasan apa itu riba dan apa itu perniagaan kerana Allah ﷻ tidak perlu jelaskan. Segala hukum ditentukan oleh Allah ﷻ dan kita sebagai manusia kenalah ikut. Kita pun sudah tahu bahawa apa sahaja yang Allah ﷻ haramkan itu mestilah sesuatu yang memberi keburukan kepada manusia. Akal yang cetek mungkin hanya nampak satu arah sahaja dan kerana itu mereka tidak akan faham kerana mereka tidak gunakan akal dan rohani mereka sekali.
Walaupun Allah ﷻ tidak jelaskan perbezaan antara riba dan perniagaan di sini, tetapi kita yang mempunyai akal yang rasional boleh menyelidik dan berfikir dengan mendalam bahawa riba itu menyusahkan manusia dan menyebabkan masalah ekonomi dunia. Yang kaya semakin kaya dan yang miskin pula semakin miskin. Bayangkan pembelian rumah. Rumah yang boleh dibeli asalnya, menjadi mahal sangat sampai tidak mampu dibeli secara tunai. Rumah yang 20 tahun dahulu berharga 20 ribu, mungkin sekarang sudah berharga sejuta kerana telah dimasukkan dengan unsur riba. Ini adalah kerana pembeli pertama akan pinjam wang daripada bank yang mengenakan riba. Kemudian apabila dia hendak jual, tentu dia akan jual lebih mahal kerana hendak masukkan kos riba yang dia telah bayar, termasuk dengan keuntungan. Yang beli pula kena pinjam bank menggunakan riba juga. Kemudian dia pun akan jual dengan harga yang lebih mahal lagi. Maka rumah yang menjadi keperluan asas manusia menjadi terlalu mahal sangat sampai susah untuk dibeli. Akhirnya mana orang hendak duduk? Kesannya kita boleh lihat ramainya gelandangan di dunia ini. Oleh kerana terpaksa juga ada rumah, maka ramailah yang hendak tak hendak, menggunakan juga sistem riba. Itulah keburukan riba sampai merosakkan ekonomi dunia.
Kajian telah banyak dijalankan untuk menunjukkan bagaimana konsep riba itu adalah buruk bukan sahaja kepada ekonomi negara malah dunia. Kalau dikaji kenapa ada orang yang hidup gelandangan, ekonomi negara runtuh sampai tidak ada pekerjaan dan matawang menjadi susut sampai tiada nilai… ia semua berpunca daripada riba. Lalu bagaimana cara menanganinya? Kitalah umat Islam yang kena sampaikan ajaran Allah ﷻ tentang keburukan riba ini supaya manusia yang bukan Islam pun boleh tahu. Malah, ada pakar ekonomi yang masuk Islam kerana nampak keburukan riba dan melihat bagaimana agama Islam sahaja agama yang menentang riba.
Riba ini ada banyak jenis seperti yang disebut oleh Rasulullah ﷺ,
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رضي الله عنه عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: “الرِّبَا ثَلَاثَةٌ وَسَبْعُونَ بَابًا، أَيْسَرُهَا كَأَنْ يَنْكِحَ الرَّجُلُ أُمَّهُ، وَإِنَّ أَرْبَى الرِّبَا عِرْضُ الرَّجُلِ الْمُسْلِمِ”
Daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, Baginda bersabda: “Riba itu mempunyai tujuh puluh tiga pintu (jenis), yang paling ringan (dosanya) adalah seperti seorang lelaki menikahi ibunya sendiri. Dan sesungguhnya riba yang paling besar adalah (mencemarkan) kehormatan seorang Muslim.”
(Riwayat Ibnu Majah, Kitab At-Tijarat, No. Hadith: 2275. Hadith ini dikategorikan sahih oleh Al-Albani.)
Penjelasan: bagaimana pula dikatakan riba yang paling besar adalah (mencemarkan) kehormatan seorang Muslim? Sebenarnya yang dimaksudkan di sini adalah perbuatan ghibah dan besarnya dosa ghibah itu sampaikan dikaitkan dengan riba. Penggunaan istilah “riba” di sini adalah secara maknawi, bukan riba dalam pengertian ekonomi (tambahan yang haram dalam transaksi). Ia menggambarkan bahawa seperti riba ekonomi yang mengambil keuntungan secara tidak sah daripada harta orang lain, ghibah mengambil keuntungan (kepuasan diri, gosip, menjatuhkan) kehormatan orang lain secara tidak sah.
Pernyataan “yang paling ringan (dosanya) adalah seperti seorang laki-laki menikahi ibunya” adalah untuk mengejutkan pendengar dan menekankan betapa dahsyatnya dosa riba (ekonomi), bahkan yang paling rendah sekalipun. Zina dengan ibu adalah salah satu dosa besar yang paling keji dan tidak terpuji.
Riba adalah salah satu tajuk yang dibincangkan di dalam Feqah iaitu Bab Muamalat. Ia telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh ilmuwan agama untuk memberi panduan kepada masyarakat. Antara yang menjadi panduan bagi mereka adalah hadith tentang jenis-jenis riba dalam pertukaran barangan ribawi.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “الذَّهَبُ بِالذَّهَبِ، وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ، وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ، وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ، وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ، وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ مِثْلاً بِمِثْلٍ، يَدًا بِيَدٍ، فَمَنْ زَادَ أَوِ اسْتَزَادَ فَقَدْ أَرْبَى، الْآخِذُ وَالْمُعْطِي فِيهِ سَوَاءٌ”
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, dan garam dengan garam, (hendaklah ditukar) sama dengan sama (timbangan/ukuran), dan hand to hand (secara tunai/serta-merta). Sesiapa yang menambah atau meminta tambahan, maka sungguh dia telah berbuat riba, baik yang mengambil mahupun yang memberi adalah sama (dalam dosa).”
(Riwayat Muslim, Kitab Al-Musaqat, No. Hadith: 1584)
Di dalam Ali Imran:130 ada disebut larangan awal tentang riba,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُّضَاعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan riba dengan berlipat ganda, dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu beruntung.”
- Konteks dan Penjelasan: Ayat ini turun di peringkat awal pengharaman riba. Ia menumpukan kepada bentuk riba yang jelas menindas, iaitu penggandaan hutang apabila tempoh pembayaran dilanjutkan. Ini adalah langkah awal dalam proses pengharaman riba secara total. Ia juga mengaitkan ketaatan dalam meninggalkan riba dengan ketaqwaan dan kejayaan. Ayat-ayat tentang riba di dalam Surah Baqarah ini adalah ayat-ayat terakhir yang sudah mengandungi larangan keras dan ancaman kepada pelaku riba.
Di dalam Nisa’:161 terdapat ayat yang mengecam Yahudi kerana mengambil riba, menunjukkan bahawa riba adalah larangan yang telah ada dalam syariat agama-agama terdahulu dan bukan hanya untuk umat Nabi Muhammad ﷺ. Mereka sahaja yang meninggalkan arahan itu. Kalau kita pun tidak berjaga-jaga, kita pun boleh jadi seperti mereka kerana banyak kesalahan mereka yang kita telah ikut, bukan?
وَأَخْذِهِمُ الرِّبَا وَقَدْ نُهُوا عَنْهُ وَأَكْلِهِمْ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ ۚ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ مِنْهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا
“Dan disebabkan mereka (kaum Yahudi) mengambil riba, padahal sesungguhnya mereka telah dilarang daripadanya, dan juga kerana mereka memakan harta orang dengan jalan yang batil. Dan Kami telah sediakan untuk orang-orang kafir di antara mereka azab yang pedih.”
Jadi riba ini telah ada dari zaman dahulu lagi. Termasuk pada zaman Jahiliyah. Riba pada zaman Jahiliyah merujuk kepada sistem pinjaman dengan penambahan bunga yang dikenakan atas penangguhan pembayaran hutang. Sistem ini melibatkan peningkatan jumlah hutang seiring dengan perpanjangan waktu pembayaran. Jika peminjam tidak dapat melunasi hutang pada waktu yang ditentukan, jumlah hutang akan bertambah, dan waktu pembayaran diperpanjang lagi, dan seterusnya. Jenis-jenis riba zaman Jahiliyah ada beberapa jenis:
-
Riba al-Nasi’ah:
Riba ini terjadi ketika seseorang memberikan pinjaman dengan tempoh waktu tertentu. Jika peminjam tidak mampu membayar pada waktu yang ditentukan, harga pinjaman akan dinaikkan dan waktu pembayaran diperpanjangkan. Contoh Riba jenis ini: Seorang memberikan pinjaman 100 dirham dengan tempoh pembayaran dalam waktu satu tahun. Yang perlu dibayar adalah 100 dirham. Jika pada akhir tahun peminjam tidak mampu membayar, jumlah hutang akan menjadi 200 dirham dengan perpanjangan waktu pembayaran. Jika pada akhir tahun kedua peminjam belum mampu membayar, hutang akan menjadi 400 dirham, dan seterusnya.
- Riba al-Qardh:
Riba ini terjadi ketika seseorang meminjamkan wang dengan syarat pengembalian harus lebih banyak daripada jumlah yang dipinjamkan. Contoh Riba jenis ini: Seorang memberikan pinjaman 100 dirham dengan tempoh pembayaran dalam waktu satu tahun. Yang perlu dibayar adalah 120 dirham walaupun dibayar dalam masa setahun. Kalau terlajak bayaran, itu dikenakan pula dengan Riba al-Nasi’ah pula. Contoh lain: Aminah meminjamkan wang kepada Siti, dengan syarat Siti mesti menyediakan penginapan percuma untuk Aminah selama seminggu. Manfaat penginapan itu dianggap riba.
Nota: Bayaran yang menjadi lebih kerana dijadikan ansuran tidaklah termasuk sebagai riba. Contohnya, kalau beli tunai, harga RM1,000 tetapi kalau dibayar ansuran menjadi RM1,200 yang setiap bulan dibayar RM100.
Begitu juga, jikalau yang berhutang itu membayar lebih daripada yang dia pinjam, ini tidaklah dikira riba kalau ia tidak ditentukan dari awal. Sebagai contoh jikalau seseorang meminjam dan kerana dia hendak berbudi kepada orang yang telah membantunya meminjamkan ketika dia susah, dia bayar lebih. Ini bukan riba dan malah ia adalah baik sekali seperti disebut di dalam hadith,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ يَتَقَاضَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَكْرًا، فَقَالَ: “أَعْطُوهُ”. فَقَالُوا: لَمْ نَجِدْ إِلَّا سِنًّا أَفْضَلَ مِنْ سِنِّهِ. قَالَ: “أَعْطُوهُ”. فَقَالَ الرَّجُلُ: أَوْفَيْتَنِي وَأَطَبْتَ، جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِنَّ خَيْرَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً”.
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: “Bahawasanya seorang laki-laki datang menagih Nabi ﷺ (tentang hutang) seekor unta muda (bakr). Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Berikanlah kepadanya.’ Lalu mereka (para sahabat) berkata: ‘Kami tidak menemukan (unta) kecuali yang lebih baik usianya (lebih tua dan lebih baik) daripada untanya.’ Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Berikanlah kepadanya!’ Orang itu berkata: ‘Engkau telah melunasi hutangku dan engkau telah memberikan kelebihan (kebaikan), semoga Allah membalas kebaikanmu.’ Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik dalam membayar hutang.'”
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya (Kitab al-Istiqradh, Bab Husn al-Qadha’) dan Imam Muslim dalam kitab Sahihnya (Kitab al-Musakaat, Bab Husn al-Qadha’).
- Riba Fadhl (Riba Kelebihan/Perbezaan Kuantiti)
Riba Fadhl adalah kelebihan atau tambahan pada salah satu daripada dua barang ribawi yang sejenis yang ditukarkan, tanpa ada pertukaran nilai yang dibenarkan syarak. Syarat pertukaran barang ribawi yang sejenis:
-
- Sama timbangan/ukuran (mitslan bi mitslin).
- Serah terima serta-merta (yadan bi yadin).
Contoh:
-
- Menukar 10 gram emas 999 dengan 12 gram emas 916. Walaupun kualiti berbeza, dalam pertukaran emas dengan emas, kuantiti mesti sama. Kelebihan 2 gram itu adalah riba fadhl.
- Menukar 5 kg beras pulut dengan 6 kg beras biasa. Kuantiti mesti sama jika jenisnya sama (beras dengan beras). Kelebihan 1 kg itu adalah riba fadhl.
Terdapat enam jenis barang ribawi yang disebut secara spesifik:
-
- Emas (الذَّهَبُ)
- Perak (الْفِضَّةُ)
- Gandum (الْبُرُّ) – Sering juga diterjemahkan sebagai bijirin atau tepung gandum
- Barli (الشَّعِيرُ)
- Kurma (التَّمْرُ)
- Garam (الْمِلْحُ)
Maka tidak boleh dibuat trade-in dalam barangan ribawi. Cara untuk menyelesaikannya adalah dengan menjual dulu barang ribawi yang kita ada dan kemudian dengan duit yang kita dapat itu baru kita beli barangan ribawi yang lain. Panduan tersebut berdasarkan hadith yang diajar oleh Nabi ﷺ dan disebut di dalam hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang berkata
جَاءَ بِلاَلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِتَمْرٍ بَرْنِيٍّ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : «مِنْ أَيْنَ هَذَا؟»، قَالَ بِلاَلٌ: كَانَ عِنْدَنَا تَمْرٌ رَدِيٌّ، فَبِعْتُ مِنْهُ صَاعَيْنِ بِصَاعٍ، لِنُطْعِمَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: أَوَّهْ أَوَّهْ، عَيْنُ الرِّبَا عَيْنُ الرِّبَا، لاَ تَفْعَلْ، وَلَكِنْ إِذَا أَرَدْتَ أَنْ تَشْتَرِيَ فَبِعِ التَّمْرَ بِبَيْعٍ آخَرَ، ثُمَّ اشْتَرِهِ
“Bilal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ datang kepada Nabi ﷺ dengan membawa tamar barni, lalu Nabi ﷺ bertanya kepadanya: “Dari manakah tamar ini ?”. Bilal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menjawab : “Kami mempunyai tamar yang buruk, lalu kami menjualnya (menukarkannya) dua gantang dengan satu gantang tamar barni, agar kami dapat memberi makan kepada Nabi ﷺ”. Lalu Nabi ﷺ bersabda pada saat itu: “Aduh, aduh, itulah riba, itulah riba. janganlah engkau melakukan ini, akan tetapi jika engkau ingin membeli (kurma yang terbaik) maka juallah kurmamu dengan jualan yang lain, kemudian belilah kurma yang terbaik dengan hasil jualanmu itu.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pentingnya memahami riba Jahiliyah: Memahami riba Jahiliyah membantu umat Islam untuk menghindari praktik-praktik yang dilarang dalam Islam. Islam melarang segala bentuk riba, baik dalam bentuk pinjaman mahu pun jual beli, kerana dianggap merugikan dan tidak adil. Memberi pinjaman ini sebenarnya adalah untuk menolong sesama manusia, bukannya untuk buat untung. Ada juga yang tidak faham tentang hal ini sampaikan dengan terang-terang mereka mengamalkan riba sesama sendiri.
Jenis-jenis riba di atas memang telah ada pada zaman itu. Namun ia tidak terhad pada dua jenis ini sahaja. Zaman sekarang ada banyak lagi jenis-jenis riba yang timbul. Ini kerana hukum umum sudah ada jadi ia perlu difikirkan oleh para mujtahid apakah yang riba-riba baru yang timbul. Ini kerana zaman semakin moden dan banyak transaksi-transaksi baru yang tidak ada pada zaman dahulu. Beginilah hebatnya agama Islam kerana bab ekonomi pun ada disentuh. Kalau agama lain, tidak ada disentuh. Kalau macam Yahudi memang ada, tetapi telah disenyapkan oleh ahli agama mereka. Mereka ubah pula kata kalau sesama mereka tidak boleh ada riba, tetapi kalau dengan selain Yahudi, mereka boleh kenakan riba.
فَمَن جاءَهُ مَوعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهىٰ فَلَهُ ما سَلَفَ
Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan daripada Tuhannya lalu dia berhenti, maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya,
Allah ﷻ yang menjelaskan hukum riba ini dan kerana itu disebut مِن رَّبِّهِ. Kalau peringatan daripada Tuhan, sepatutnya kita kena prihatin dan ikut sahaja tanpa soal. Namun orang yang degil, ada sahaja helah dan hujah mereka.
Di sini diberikan hukum kepada orang yang dahulunya mengamalkan riba. Mereka dibolehkan untuk mengambil modal/pokok yang telah diberikan dahulu. Ini kerana semasa ayat ini turun, ada sahabat yang mengamalkan riba. Islam tidaklah terus tinggalkan transaksi itu sampai dia kerugian pula. Begitulah hukum hakam Allah ﷻ tidak menyusahkan. Masih boleh ambil balik wang dia. Namun hanya ambil yang pokok sahaja. Maksudnya, kalau dia beri pinjam seratus riyal dan peminjam kena bayar 150 riyal, dia boleh ambil balik seratus riyal itu sahaja. Bunga dia tidak boleh ambil.
Satu lagi maksud ayat ini, ‘baginya apa yang lepas’. Maksudnya yang sudah itu, sudahlah. Mungkin dahulu dia tidak belajar agama, maka dia tidak tahu apa itu riba dan apakah yang termasuk riba. Berhenti sahaja daripada memberi pinjaman dengan cara riba, tetapi tidaklah perlu diganti balik kepada penghutang yang sudah banyak kamu makan harta mereka. Sekiranya kamu ada rumah yang dibuat daripada hasil riba, tidak perlulah dirobohkan rumah itu.
Zaman sekarang, macam tidak boleh lagi untuk mengelak daripada terlibat dengan riba. Di mana-mana sahaja ada riba. Untuk beli rumah, beli kereta dan sebagainya. Yang lebih malang, anak-anak kita masuk universiti pun kena buat pinjaman yang ada riba juga. Bila keluar universiti, kerja belum tentu dapat lagi, tetapi sudah mula kena bayar bunga riba. Maka untuk menjaga daripada terlibat dengan riba ini memerlukan semangat juang yang amat tinggi. Kena sedar yang riba itu memang bahaya dan kalau sedar bahayanya riba, barulah semangat kuat untuk melawan daripada terlibat dengan riba.
Kalau zaman dahulu, memang susah kerana sistem perbankan hanya ada jenis konvensional sahaja yang mengamalkan riba. Akan tetapi kita sekarang ada Sistem Perbankan Islam. Perbezaan utama antara Conventional Loan dan Islamic Financing ialah:
1) Conventional loan terikat dengan waktu. Lagi lama pinjaman, lagi tinggi jumlah bayaran. Sedangkan Islamic loan tidak terikat dengan waktu. Bank beri pembiayaan dengan jumlah yang jelas dari waktu aqad. Kalau boleh bayar awal, akan dapat rebate dan pengurangan.
2) Conventional loan ada compounding interest. Islamic financing tidak dan jumlah bayaran adalah tetap. Contoh bagi Conventional loan: Pinjaman asal sebanyak 100k tetapi dalam masa 7 tahun jadi 120k. Kalau dibayar penuh secara awal pun tetap sama. Sedangkan bagi Islamic financing: Aqad pada 120k dan jumlah maksima tetap 120k sahaja.
Walaupun ada yang tidak terima juga Sistem Perbankan Islam ini dan pada mereka ia adalah ‘backdoor Riba’, akan tetapi ini sahaja pilihan yang kita ada buat masa ini. Kalau tidak buat pinjaman pun boleh sahaja; boleh sewa sahaja rumah untuk tinggal dan gunakan pengangkutan awam atau boleh simpan duit sedikit demi sedikit untuk beli kenderaan secara tunai.
وَأَمرُهُ إِلَى اللَّهِ
dan perkaranya terserahlah kepada Allah.
Terpulanglah kepada Allah ﷻ sama ada akan mengampunkan orang itu atau tidak. Serahkan kepada Allah ﷻ semoga Allah ﷻ ampunkan. Asalkan kita mahu berubah dan bertaubat di atas kesalahan yang lama. Allah ﷻ tidak terus kata yang taubat mereka diterima kerana taubat adalah antara Allah ﷻ dan hamba itu. Kalau hamba itu ikhlas dan berazam tidak akan sentuh riba lagi, Allah ﷻ boleh sahaja ampunkan.
Yang penting kita bertaubat dan tinggalkan amalan yang Allah ﷻ haramkan. Sama juga seperti perbuatan syirik sembah berhala yang kamu lakukan dahulu, minta ampun sahaja. Benda yang sudah dibuat jangan dikenang lagi kerana perkara yang dilakukan dahulu adalah kerana jahil. Sekarang Allah ﷻ sudah beri ilmu, maka taat dan ikutlah ia.
Atau ayat ini bermaksud memberi ketenangan kepada orang yang dahulunya mempraktikkan riba dalam perniagaannya. Sekarang apabila telah diharamkan, maka takutlah dia nanti bagaimana dia hendak hidup. Maka di sini Allah ﷻ kata serahkan urusan kepada-Nya. Bumi Allah ﷻ ini luas dan Allah ﷻ yang memberi rezeki. Kalau taat kepada Allah ﷻ, maka akan ada rezekinya. Ini memerlukan keimanan dan keyakinan kepada Allah ﷻ.
وَمَن عادَ فَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ
Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka,
Ini adalah orang yang degil, liat untuk ikut syariat dan hukum daripada Allah ﷻ. Kalau masih berdegil juga, syariat telah diberikan tetapi masih tidak mahu ikut juga, maka tempat yang layak baginya adalah neraka.
هُم فيها خٰلِدونَ
mereka kekal di dalamnya.
Bukan tinggal di neraka sekejap sahaja, tetapi selama-lamanya, tidak ada harapan untuk diampunkan. Ini adalah amaran yang amat berat sekali. Oleh kerana kesalahan yang dilakukan adalah berat, maka hukumannya pun berat.
Malangnya, orang kita tidak berapa ambil kisah tentang riba kerana ia sudah diamalkan merata-rata. Ini sama seperti amalan bid’ah yang sudah turun temurun diamalkan dalam masyarakat. Kita rasa ia biasa sahaja kerana ia sudah lama diamalkan dan ramai pula yang terlibat, maka ramai dalam kalangan orang kita yang anggap ia perkara biasa sahaja.
Namun bukankah yang kekal dalam neraka adalah orang kafir dan musyrik sahaja? Kenapa diletakkan kekal di sini? Ulama’ khilaf dalam hal ini.
1. Ada yang kata yang kekal dalam neraka itu bagi mereka yang menghalalkan riba sahaja. Mereka kekal dalam neraka kerana menolak hukum Allah. Akan tetapi kalau dia tahu dan terima riba itu haram dan dia buat juga, makanya dia berdosa besar, tetapi tidaklah sampai kekal dalam neraka.
2. Namun ada juga sebahagian ulama’ lain kata kalau dia terima riba itu haram dan dia amalkan pun, dia akan kekal dalam neraka. Allahu akbar!
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 19 Julai 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)





terima kasih
LikeLike