Tafsir Surah Baqarah Ayat 255 (Ayat Kursi) Bahagian 3

يَعلَمُ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم

Dia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, 

Mungkin juga iblis membisikkan kepada manusia, “Musuhmu mempunyai rencana yang terperinci dan rahsia untuk memusnahkanmu, sehingga Allah pun tidak tahu untuk memberi perlindungan kepadamu,”, maka di sini Allah ‎ﷻ memberitahu yang Dia tahu segalanya. Pengetahuan kita tentang apa yang berlaku adalah terhad. Kita tidak tahu perkara yang berlaku sebelum kita lahir, dan kita tidak akan tahu apa yang terjadi setelah kita tiada. Akan tetapi Allah ‎ﷻ Maha Tahu dengan apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Tidak ada yang mengetahui apa yang sedang berlaku dan yang telah berlaku seperti yang ilmu yang ada pada Allah ‎ﷻ. Melainkan sekadar apa yang Allah ‎ﷻ beritahu kepada mereka.

Kalau ما بَينَ أَيديهِم ia boleh bermaksud sebelum manusia itu lahir
Kalau ما خَلفَهُم ia boleh bermaksud setelah mereka mati.

Satu lagi pendapat,
Kalau ما بَينَ أَيديهِم ia boleh bermaksud perkara-perkara yang berlaku di hadapan manusia yang manusia boleh nampak dan hadapi
Kalau ما خَلفَهُم ia boleh bermaksud perkara-perkara yang telah berlaku

Satu lagi pendapat,
Kalau ما بَينَ أَيديهِم ia boleh bermaksud perkara-perkara yang berlaku di hadapan manusia yang manusia boleh nampak dan hadapi
Kalau ما خَلفَهُم ia boleh bermaksud perkara-perkara yang tersembunyi daripada manusia.

Bagi Allah ‎ﷻ ia sama sahaja kerana tidak ada yang tersembunyi daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tahu segala apa yang kita lakukan. Kalau kita diberitahu oleh pihak polis pun yang polis sedang memantau pergerakan kita, tentu kita risau dan takut buat kesalahan, bukan? Kerana apa? Kerana kita tahu polis ada cara untuk pantau kita. Padahal bukan polis boleh pantau setiap saat pun, setakat kemampuan mereka sahaja. Namun ketahuilah Allah ‎ﷻ memantau kita setiap saat dan ketika. Jadi pemahaman kita akan hal ini akan menghalang kita daripada berbuat dosa kerana takut kita akan menanggungnya di akhirat kelak.

Satu lagi, ia memberi motivasi kepada kita untuk melakukan sebanyak-banyak amal kerana Allah ‎ﷻ pasti tahu dan Allah ‎ﷻ pasti akan balas kebaikan amalan itu tidak kira sekecil mana. Manusia tidak mungkin dapat balas kebaikan kita kepada mereka kerana mereka tidak tahu segala apa yang kita lakukan, akan tetapi Allah Maha Tahu.

Kalau kita kaitkan dengan isu syafaat sebelum ini, pemberi syafaat tidak tahu apa yang telah berlaku dan akan berlaku. Maka kita tidak dapat hendak rekomen (beri syafaat) untuk sesiapa kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ lebih tahu tentang seseorang yang hendak diberikan syafaat itu.

Maka di sini kita diberitahu lagi bahawa ilmu Allah ‎ﷻ lebih luas daripada kita. Benda depan mata kita pun kadangkala kita salah agak, apatah lagi belakang kita. Sedangkan Allah ‎ﷻ tahu segala-gala tentang apa-apa perkara pun.

 

وَلا يُحيطونَ بِشَيءٍ مِّن عِلمِهِ إِلّا بِما شاءَ

sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu-Nya (Allah) melainkan apa yang Allah kehendaki 

Sebelum ini disebut tentang ilmu dan pengetahuan Allah ‎ﷻ. Sekarang disebut pula ilmu makhluk yang terhad dan terbatas. Kalimah يُحيطونَ daripada  kata dasar: ح و ط yang bermaksud menjaga, mengawasi, mengelilingi, meliputi. Maksudnya ilmu yang meliputi. Perhatikan untuk Allah ‎ﷻ, digunakan kalimah يَعلَمُ sedangkan untuk manusia, digunakan istilah يُحيطونَ. Ini kerana walaupun kita ada sedikit ilmu, tetapi لا يُحيطونَ (tidaklah meliputi). Ilmu yang ada pada Allah ‎ﷻ tidak dapat diliputi atau difahami oleh manusia. Apa yang Allah ‎ﷻ beri adalah sedikit sahaja ilmu kepada manusia. Sebagai contoh, ilmu tentang roh seperti disebut di dalam Isra’: 85. Allah ‎ﷻ kata Dia beri pengetahuan sedikit sahaja. Begitu juga dengan ilmu-ilmu lain.

وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ ۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّى وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
“Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang roh. Katakanlah, ‘Roh itu termasuk urusan Tuhanku, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.'”

Maka banyak sangat perkara yang kita tidak faham. Kadang-kadang manusia mempersoalkan apa yang Allah ‎ﷻ telah takdirkan dan lakukan. Mereka kata kenapa jadi begini dan kenapa jadi begitu? Macamlah Allah ‎ﷻ salah buat keputusan. Kita tidak layak untuk mempersoalkan tindakan Allah ‎ﷻ. Kita tidak tahu kenapa Allah ‎ﷻ buat sesuatu perkara maka hendaklah kita redha sahaja. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja layak membuat keputusan dan perancangan kerana ilmu Allah ‎ﷻ yang meluas. Perhatikan contoh-contoh ilmu Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam An’am: 59

وَعِندَهُ مَفاتِحُ الغَيبِ لا يَعلَمُها إِلّا هُوَ ۚ وَيَعلَمُ ما فِي البَرِّ وَالبَحرِ ۚ وَما تَسقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلّا يَعلَمُها وَلا حَبَّةٍ في ظُلُمٰتِ الأَرضِ وَلا رَطبٍ وَلا يابِسٍ إِلّا في كِتٰبٍ مُّبينٍ
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.

Perhatikan juga ayat Luqman: 27

وَلَو أَنَّما فِي الأَرضِ مِن شَجَرَةٍ أَقلٰمٌ وَالبَحرُ يَمُدُّهُ مِن بَعدِهِ سَبعَةُ أَبحُرٍ مّا نَفِدَت كَلِمٰتُ اللهِ ۗ إِنَّ اللهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Perhatikan pula Luqman: 34

إِنَّ اللهَ عِندَهُ عِلمُ السّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الغَيثَ وَيَعلَمُ ما فِي الأَرحامِ ۖ وَما تَدري نَفسٌ مّاذا تَكسِبُ غَدًا ۖ وَما تَدري نَفسٌ بِأَيِّ أَرضٍ تَموتُ ۚ إِنَّ اللهَ عَليمٌ خَبيرٌ
Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dialah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Manusia mungkin boleh buat kajian cuaca dan boleh agak esok akan hujan. Namun itu pun belum pasti lagi; kita pun tidak akan tahu berapa banyak ia akan turun, di kawasan mana; kita tidak tahu adakah ia baik untuk kita atau buruk menjadi banjir; kita tidak tahu air itu menumbuhkan berapa banyak tanaman dan diminum oleh berapa banyak binatang dan kehidupan. Ilmu kita memang tidak meliputi.

Kita mungkin boleh agak (agak sahaja) jantina bayi di dalam perut seorang ibu dengan menggunakan teknologi imbasan. Namun kita tidak tahu bila anak itu akan lahir, adakah ia sihat atau tidak, pandai atau tidak, malang atau beruntung, apa dia akan buat semasa di umur bayi, umur kanak-kanak, umur dewasa, kerja di mana, siapa dia akan nikahi, bila dia akan mati dan di mana dia akan mati. Ilmu kita sedikit sahaja dan terhad sangat.

Ayat ini menjadi dalil tidak boleh kita taqlid kepada pendapat mana-mana manusia tanpa sandaran wahyu kerana manusia tidak tahu apa-apa dan segalanya. Tidak ada manusia yang tahu semua perkara seperti akidah sesat Syiah yang kata para Imam mereka tahu segala perkara di alam ini termasuk bilangan pasir di pantai. Kita juga tidak boleh terus terima pendapat mana-mana ustaz melainkan kena ditapis lagi kata-kata mereka. Kalau mereka cerita tentang perkara ghaib, maka perlu disandarkan kepada wahyu. Sekiranya mereka sebut pendapat mereka, ketahuilah yang ia belum tentu benar lagi. Jadi jangan kita terima bulat-bulat tetapi hendaklah ditimbang tara. Tidak perlulah dipertahankan sangat pendapatnya kerana ia mungkin tidak benar.

 

وَسِعَ كُرسِيُّهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ

Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi;

Maha luas kekuasaan-Nya meliputi langit dan bumi. Semua yang berlaku adalah di dalam genggaman Allah ‎ﷻ. Mana mungkin Dia tidak mahu membantu makhluk-Nya? Mana mungkin Dia tidak membantu hamba-Nya?

Di sini kita bertemu kalimah Kursi yang dijadikan nama bagi ayat agung ini. Bila sebut ‘kursi’ (di dalam bahasa kita ‘kerusi’), mungkin akal kita tertanya, apa maksudnya? Bagaimana rupanya? Kalau besar, berapa besar? Apakah hakikatnya dan bermacam-macam lagi soalan yang bermain dalam akal fikiran kita yang terhad ini. Jawapannya dalam potongan ayat sebelum ini: iaitu kita tidak dapat menjangkau ilmu itu. Kita tidak akan dapat faham. Bukan dalam jangkauan akal kita yang cetek ini. Bulan yang paling dekat dengan planet Bumi pun kita belum dapat terokai lagi, apatah lagi alam-alam Allah ‎ﷻ yang lain.

Dalam bahasa Arab, kursi bererti “tempat duduk”. Jadi tafsiran pertama kenalah menggunakan fahaman bahasa Arab kerana itulah Al-Qur’an diturunkan. Jadi di dalam bahasa Arab Kursi adalah tempat duduk untuk merehatkan kaki. Kerana kalau kita terus berdiri, kaki yang penat, bukan? Namun dalam konteks ayat ini, bukanlah bererti Allah ‎ﷻ duduk di kerusi dalam bentuk fizikal seperti makhluk-Nya kerana Allah ‎ﷻ bukan seperti kita. Jadi tujuan Allah ‎ﷻ buat Kursi dan apakah gunanya, kita tidak tahu. Jadi kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kita bergantung kepada tafsiran ulama’. Adapun Al-Kursi yang Allah ‎ﷻ kaitkan dengan diri-Nya adalah tempat kedua kaki. Sahabat Nabi ﷺ, Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata:

الْكُرْسِيُّ مَوْضِعُ قَدَمَيْهِ، وَالْعَرْشُ لَا يَقْدُرُ أَحَدٌ قَدْرَهُ
“Al-Kursi adalah tempat kedua kaki-Nya, dan ‘Arsy tiada yang mengetahui kadar (ukurannya) melainkan Allah.”

Atsar ini diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Ahmad dalam As-Sunnah, no. 1021. Isnadnya hasan – Tahqiq Muhammad Sa’id Salim Al-Qahthani. Al-Hakim di Al-Mustadraknya, 2/310 dan kata beliau, “Hadith ini sahih berdasarkan syarat dua Syaikh (Al-Bukhari dan Muslim) walaupun keduanya tidak meriwayatkannya.” Kemudian dipersetujui oleh Al-Imam Adz-Dzahabi.

Al-Imam Ibn Abi Al-‘Izz Al-Hanafi رَحِمَهُ اللَّهُ (Wafat: 792H) turut menegaskan:

وَإِنَّمَا هُوَ كَمَا قَالَ غَيْرُ وَاحِدٍ مِنَ السَّلَفِ: بَيْنَ يَدَيِ الْعَرْشِ كَالْمَرْقَاةِ إِلَيْهِ
“Dan ia (Al-Kursi) adalah sebagaimana yang dikatakan bukan hanya sekadar seorang salaf; bahawa ia berada di depan Al-‘Arsy, seperti tangga menuju ke ‘Arsy.” (Syarh Al-‘Aqidah Ath-Thahawiyah, m/s. 182)

Para ulama berbeza pendapat tentang makna Kursi:

a. Kekuasaan Allah ‎ﷻ

Beberapa ulama menafsirkan bahawa Kursi adalah simbol kekuasaan dan ilmu-Nya. Ertinya, ilmu dan kekuasaan Allah ‎ﷻ meliputi seluruh langit dan bumi.

b. Makhluk yang sangat besar

Ulama seperti Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا (sahabat Nabi ﷺ) menyebutkan bahawa Kursi adalah makhluk ciptaan Allah ﷻ yang sangat besar, lebih kecil daripada ‘Arsy, tetapi tetap sangat luas. Dalam sebuah riwayat:

عن ابن عباس قال: سئل النبي صلى الله عليه وسلم عن قول الله (وسع كرسيه السموات والأرض) قال: ” كرسيه موضع قدمه، والعرش لا يقدر قدره “
Daripada Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi ﷺ): “Nabi ﷺ telah ditanya mengenai firman Allah ﷻ: ‘Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi’ (Al-Baqarah: 255). Lalu Baginda bersabda: Kursi Allah merupakan tempat letak kaki-Nya dan Arasy pula tidak dapat ditentukan kadarnya (kebesarannya).
Syeikh Albani رَحِمَهُ اللَّهُ mendhaifkan hadith ini. Hadith ini disebut oleh Syeikh Mashhūr bin Ḥasan Āl Salmān حفظه الله dalam kitab himpunan hadith-hadith dhaif dan palsu beliau berjudul Silsilah al-Aḥādīth al-Ḍa‘īfah wal-Mawḍū‘ah Mujarradah ‘An al-Takhrīj

Sahabat Nabi ﷺ, Ibn Mas’oud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata:

بَيْنَ السَّمَاءِ الدُّنْيَا وَاَلَّتِي تَلِيْهَا خَمْسُمَائَةِ عَامٍ، وَبَيْنَ كُلِّ سَمَاءٍ وَسَمَاءٍ خَمْسُمَائَةِ عَامٍ، وَبَيْنَ السَّمَاءِ السَّابِعَةِ وَالكُرْسِيِّ خَمْسُمَائَةِ عَامٍ، وَبَيْنَ الكُرْسِيِّ وَالمَاءِ خَمْسُمَائَةِ عَامٍ، وَالعَرْشُ فَوْقَ المَاءِ، وَاَللَّهُ فَوْقَ العَرْشِ؛ لَا يَخْفَى عَلَيْهِ شَيْءٌ مِنْ أَعْمَالِكُمْ
“Jarak antara langit dunia dengan langit berikutnya adalah sejauh 500 tahun. Dan jarak antara langit dengan langit berikutnya adalah sejauh 500 tahun. Jarak antara langit ketujuh dengan Kursi adalah sejauh 500 tahun. Jarak antara Kursi dengan air adalah sejauh 500 tahun. ‘Arsy Allah berada di atas air. Dan Allah berada di atas ‘Arsy dan tidak ada yang tersembunyi sedikit pun daripada amal-amal kalian (daripada pengetahuan Allah).”

Atsar ini diriwayatkan oleh Ad-Daarimi dalam Ar-Raddu ‘alal Jahmiyyah, m/s. 26. Ath-Thabarani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir, no. 8987. Ibn Khuzaimah dalam Kitab At-Tauhid, no. 105. Al-Baihaqi dalam Al-Asma’ wa Ash-Shifat, no. 401. Adz-Dzahabi dalam Al-‘Uluw, m/s. 64.

Atsar ini dinilai sahih antaranya oleh Ibn Al-Qayyim dalam Ijtima’ Al-Juyusy Al-Islamiyyah. Al-Haitsami mengatakan, “Para perawinya adalah perawi kitab Shahih.” Dan Asy-Syaikh Ad-Duwaiys mengatakan, “Sanadnya sahih berdasarkan syarat Muslim.”

Asy-Syeikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin رَحِمَهُ اللَّهُ berkata:

هذا الحديث موقوف على ابن مسعود، لكنه من الأشياء التي لا مجال للرأي فيها، فيكون لها حكم الرفع، لأن ابن مسعود لم يُعرف بالأخذ من الإسرائيليات
“Hadith ini mauquf yakni sanadnya hanya sampai kepada Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (bukan marfu’ daripada Nabi ﷺ). Akan tetapi ia termasuk perkara yang tidak mungkin diperkatakan oleh akal, maka riwayat ini dihukumi sebagai marfu’ (yakni tsabit bersumber daripada Rasulullah ﷺ), kerana Ibnu Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tidak dikenal sebagai sahabat yang mengambil khabar daripada riwayat-riwayat Isra’iliyyat.” (Al-Qawl Al-Mufiid Syarh Kitabi Tauhid, 3/379)

c. BerbeZa dengan ‘ArAsy

‘Arsy (Singgasana) Allah lebih besar daripada Kursi. Kursi sudah besar tetapi Arasy lebih besar kerana ia adalah makhluk Allah ‎ﷻ yang paling besar. Disebutkan dalam hadith bahawa perbandingan antara langit, bumi, dan Kursi adalah seperti cincin yang dilempar di padang luas, sedangkan perbandingan Kursi dengan ‘Arsy juga seperti itu.

Di dalam sebuah hadith riwayat daripada Abi Dzarr رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawasanya Nabi ﷺ bersabda:

مَا السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ فِي الْكُرْسِيِّ إِلَّا كَحَلْقَةٍ فِي أَرْضٍ فَلَاةٍ، وَ فَضْلُ الْعَرْشِ عَلَى الْكُرْسِيِّ كَفَضْلِ تِلْكَ الْفَلَاةِ عَلَى تِلْكَ الْحَلْقَةِ
“Tidaklah ketujuh-tujuh langit dan bumi jika dibandingkan dengan kursi melainkan seperti cincin yang dilemparkan di tengah-tengah padang yang sangat luas (padang pasir atau gurun sahara), dan besarnya ‘Arsy Allah jika dibandingkan dengan kursi adalah seperti besarnya padang yang luas tersebut dibandingkan dengan cincin tersebut.”

Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Al-‘Arsy, no. 58. Al-Imam Al-Baihaqi dalam Al-Asma’ wa Ash-Shifat, 2/300, no. 861. Kata Al-Baihaqi: Hadith ini memiliki syahid (penguat) dengan isnad yang diterima. Diriwayatkan juga oleh Abu Syaikh dalam Al-Azhomah, 2/570.

Hadith ini dinilai sahih oleh Asy-Syeikh Al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ sebagaimana dalam Mukhtashar Al-‘Uluw lil ‘Aliyyil Ghoffar, no. 105. Ash-Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah, no. 109, dan Ta’liq Ath-Thohawiyah, 1/54.

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, “Disahihkan oleh Ibnu Hibban, dan memiliki syahid (penguat) dari Mujahid, diriwayatkan oleh Sa’id bin Manshur dalam At-Tafsir dengan sanad yang sahih daripadanya. (Fathul Bari, 13/411)

Syeikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah رَحِمَهُ اللَّهُ (Wafat: 728H) berkata berkenaan hadith ini:

والحديث له طرق وقد رواه أبو حاتم بن حبان في صحيحه وأحمد في المسند وغيرهما
“Hadith ini memiliki banyak jalan periwayatan, ia diriwayatkan antaranya oleh Abu Hatim, Ibnu Hibban di Shahihnya, Ahmad di Al-Musnad, dan yang selainnya.” (Ar-Risalah Al-‘Arsyiyah, m/s. 3. Majmu’ Al-Fatawa, 6/556)

Ada satu lagi pandangan yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Kursi Allah bermaksud ilmu Allah yang sangat luas, meliputi langit dan bumi. Pendapat ini didasarkan pada penafsiran bahasa dan konteks ayat tersebut. Ketika dikatakan “Kursi Allah meliputi langit dan bumi,” ini boleh membawa erti sebagai keluasan ilmu dan kekuasaan Allah ‎ﷻ yang tidak terbatas, yang mana ilmu adalah salah satu aspek kekuasaan-Nya.

Nampak seperti Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا telah mentakwil kalimah ‘kursi’ kepada ‘ilmu’. Namun sabar dahulu. Ditemukan takwil tersebut dalam kitab tafsir ulama, di antaranya tertera dalam Tafsir Imam ath-Thabari di mana beliau menulis :

ﺣﺪﺛﻨﺎ ﺃﺑﻮ ﻛﺮﻳﺐ ﻭﺳﻠﻢ ﺑﻦ ﺟﻨﺎﺩﺓ، ﻗﺎﻻ ﺣﺪﺛﻨﺎ ﺍﺑﻦ ﺇﺩﺭﻳﺲ، ﻋﻦ ﻣﻄﺮﻑ، ﻋﻦ ﺟﻌﻔﺮ ﺑﻦ ﺃﺑﻲ ﺍﻟﻤﻐﻴﺮﺓ، ﻋﻦ ﺳﻌﻴﺪ ﺑﻦ ﺟﺒﻴﺮ، ﻋﻦ ﺍﺑﻦ ﻋﺒﺎﺱ ”: ﻭﺳﻊ ﻛﺮﺳﻴﻪ ” ﻗﺎﻝ : ﻛﺮﺳﻴﻪ ﻋﻠﻤﻪ
Semuanya sanadnya berasal kepada Ja’far bin Abil Mughiroh, daripada Sa’id bin Jubair, daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا beliau berkata: “kursi-Nya adalah Ilmu-Nya”.

Sheikh Al Albani رَحِمَهُ اللَّهُ dalam “ash-Shahihah” (1/226) berkata :

ﻭﻣﺎ ﺭﻭﻱ ﻋﻦ ﺍﺑﻦ ﻋﺒﺎﺱ ﺃﻧﻪ ﺍﻟﻌﻠﻢ، ﻓﻼ ﻳﺼﺢ ﺇﺳﻨﺎﺩﻩ ﺇﻟﻴﻪ ﻷﻧﻪ ﻣﻦ ﺭﻭﺍﻳﺔ ﺟﻌﻔﺮ ﺑﻦ ﺃﺑﻲ ﺍﻟﻤﻐﻴﺮﺓ ﻋﻦ ﺳﻌﻴﺪ ﺑﻦ ﺟﺒﻴﺮ ﻋﻨﻪ . ﺭﻭﺍﻩ ﺍﺑﻦ ﺟﺮﻳﺮ . ﻗﺎﻝ ﺍﺑﻦ ﻣﻨﺪﻩ : ﺍﺑﻦ ﺃﺑﻲ ﺍﻟﻤﻐﻴﺮﺓ ﻟﻴﺲ ﺑﺎﻟﻘﻮﻱ ﻓﻲ ﺍﺑﻦ ﺟﺒﻴﺮ
“Apa yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Kursiy adalah ilmu, tidak sahih sanadnya, kerana ia berasal daripada riwayat Ja’far bin Abil Mughiiroh daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibnu Abbas, diriwayatkan oleh Ibnu Jariir. Imam Ibnu Mandah berkata: “Ibnu Abil Mughiiroh, tidaklah kuat di dalam riwayat Ibnu Jubair”.

Imam ibnu Abil Izzi telah mengisyaratkan kelemahan riwayat Ibnu Abbas bahawa Kursiy adalah ilmu, dan merajihkan bahawa Kursiy adalah tempat kedua Telapak Kaki, dalam kitabnya “Syarah Aqidah ath-Thahawiyyah”:

ﻭَﻗِﻴﻞَ : ﻛُﺮْﺳِﻴُّﻪُ ﻋِﻠْﻤُﻪُ، ﻭَﻳُﻨْﺴَﺐُ ﺇِﻟَﻰ ﺍﺑْﻦِ ﻋَﺒَّﺎﺱٍ ﻭَﺍﻟْﻤَﺤْﻔُﻮﻅُ ﻋَﻨْﻪُ ﻣَﺎ ﺭَﻭَﺍﻩُ ﺍﺑْﻦُ ﺃَﺑِﻲ ﺷَﻴْﺒَﺔَ، ﻛَﻤَﺎ ﺗَﻘَﺪَّﻡَ
“dikatakan bahawa Kursi-Nya adalah Ilmu-Nya, dan dinisbatkan kepada Ibnu Abbas, namun yang mahfuudh (yang rajih) daripada Ibnu Abbas adalah apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah sebagaimana telah berlalu (yakni Kursiy adalah tempat kedua Telapak Kaki Allah)”.

Kesimpulan: pendapat yang mengatakan Kursi sebagai ‘ilmu’ adalah lemah, sebaliknya yang kuat adalah sebagai tempat letak kaki.

Kenapa Allah ‎ﷻ sebut Kursi ini? Untuk menyatakan kehebatan-Nya. Allah ‎ﷻ boleh cipta makhluk yang lebih besar daripada langit dan bumi ini. Kalau makhluk ciptaan-Nya sudah hebat, apatah lagi Dia. Tidak ada yang lebih hebat daripada-Nya, maka kenapa hendak mencari ilah selain Diri-Nya? Kenapa hendak minta tolong kepada selain daripada-Nya? Kita diajar untuk menghargai pencipta sesuatu benda. Kalau kita melihat lukisan yang cantik, bukan lukisan itu yang hebat, tetapi pelukisnya, bukan? Jadi kalau alam ini cantik dan hebat, yang hebat itu adalah Pencipta alam ini. Bukannya kita terus menerus memuji alam yang cantik, tetapi pujilah Allah ‎ﷻ yang telah menjadikan alam ini.

Maka Allah ‎ﷻ hendak menzahirkan kehebatan-Nya di sini. Allah ‎ﷻ beritahu satu makhluk besar yang kita tidak mampu untuk melihatnya. Walaupun kita tidak boleh nampak Kursi ini, tetapi kita sudah tahu langit dan bumi ini sangat besar, sekarang Allah ‎ﷻ beritahu ada makhluk-Nya yang lebih besar daripada keduanya.

 

وَلا يَئودُهُ حِفظُهُما

dan tiadalah menjadi keberatan kepada-Nya menjaga keduanya.

Kalimah يَئودُهُ daripada kata dasar ا و د yang bermaksud penat. Kalimah هما di dalam ayat ini merujuk kepada langit dan bumi. Sebelum ini Allah ‎ﷻ beritahu yang alam ini semua milik-Nya dan dengan begitu hebat alam ini, tetapi Allah ‎ﷻ tidak rasa berat pun untuk menguruskan keduanya. Qudrat Allah ‎ﷻ tidak dapat dibayangkan oleh akal kita. Ini menjawab bisikan iblis yang mungkin berkata: “Kalau demikian luas kerajaan Allah, mungkin Dia tidak mampu mengurus segalanya.” Maka Allah ‎ﷻ menolak bisikan jahat itu.

Mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ mentadbir alam ini. Maka segala apa yang terjadi adalah dalam jangkauan ilmu Allah ‎ﷻ. Maka tidak ada apa pun tentang kita yang Allah ‎ﷻ tidak tahu. Sebagai contoh, setiap helai daun yang jatuh adalah dalam pengetahuan-Nya dan dalam urusan-Nya. Bukanlah daun itu terjatuh sendiri melainkan dengan izin-Nya juga.

Oleh kerana Allah ‎ﷻ mudah sahaja untuk mentadbir alam ini, maka jangan malu untuk minta kepada Allah ‎ﷻ apa-apa sahaja. Jangan rasa kita memberatkan Allah ‎ﷻ untuk beri apa yang kita minta. Kalau Allah ‎ﷻ berkenan hendak kabulkan permintaan kita itu, mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ untuk beri.

 

وَهُوَ العَلِيُّ العَظيمُ

Dan Dia lah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Agung

Kalau langit itu tinggi dan Arasy itu lebih tinggi daripada langit, Allah ‎ﷻ lebih tinggi daripada Arasy itu. Keagungan Allah ‎ﷻ tidak ada tolok bandingnya. Jelaslah ini satu lagi dalil untuk menyatakan bahawa Allah ‎ﷻ di langit. Ada banyak dalil daripada wahyu menyatakan perkara ini. Akan tetapi perkara ini menjadi isu di dalam umat Islam kerana ramai yang tidak boleh menerima perkara ini. Sedangkan ia jelas disebut di dalam wahyu-wahyu. Sedangkan tiada dalil untuk menyatakan ‘Allah wujud tanpa bertempat’ atau ‘Allah ada di mana-mana’.

Demikianlah susunan hebat Ayat Kursi ini yang menceritakan tentang Allah ‎ﷻ. Yang lebih menariknya, terdapat mukjizat susunan potongan ayat-ayat ini. Mereka yang merenungi struktur penyusunan ayat-ayat Al-Qur’an pasti akan dapat merasai kewujudan konsep “ring composition” (komposisi cincin) dalam penyampaian mesej Al-Qur’an. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Perhatikan susunan Ayat Kursi ini:

Penjelasan:

[A8.1/A8.1’] – Perhatikan kedua-dua Bahagian ini mengandungi nama-nama Allah. Jadi pada permulaan Ayat Kursi ini menyebut sifat-sifat Allah ‎ﷻ iaitu ٱلۡحَىُّ dan ٱلۡقَيُّومُ‌; dan ditutup ayat ini dengan nama-nama Allah juga iaitu ٱلۡعَلِىُّ dan ٱلۡعَظِيمُ.

[A8.2/A8.2’] – Bahagian ini pula menceritakan sifat Allah ‎ﷻ tidak lemah dan maka tidak memerlukan rehat. Oleh kerana Allah ‎ﷻ tidak lemah maka Allah ‎ﷻ tidak mengantuk dan tidak tidur. Ini bermakna Allah ‎ﷻ tidak lemah untuk memerintah langit dan bumi.

[A8.3/A8.3’] – Sekarang Allah ﷻ menyebut tentang kekuasaan-Nya. Allah ‎ﷻ mula menyebut yang Dia memiliki segala-galanya dalam alam ini. Namun adakah Dia menguasai? Kerana memiliki tidak semestinya bermaksud menguasai. Maka di dalam Bahagian seterusnya Allah ‎ﷻ memberitahu kekuasaan-Nya meliputi langit dan bumi.

[A8.4/A8.4’] – Bahagian D pula menyebut tentang izin-Nya. Hanya dengan izin-Nya sahaja syafaat boleh diberikan dan hanya dengan izin-Nya dan kehendak-Nya sahaja makhluk dapat ilmu.

[A8.5] – Bahagian tengah ini pula adalah tentang ilmu Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ mengetahui apa yang telah berlaku dan akan berlaku kerana ilmu Allah maha luas. Menarik susunan ini diletakkan di tengah-tengah ayat kerana potongan ayat itu pun menyebut tentang ‘depan’ dan ‘belakang’.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 7 Julai 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment