Tafsir Surah Baqarah Ayat 255 (Ayat Kursi) Bahagian 1

TUHAN YANG SATU

Baqarah Ayat 255: Ini adalah ayat yang terkenal sebagai Ayat Kursi. Memang ramai yang hafal ayat ini dan diamalkan dalam berbagai-bagai keadaan dan keperluan. Ini adalah kerana ayat ini adalah ayat teragung di dalam Al-Qur’an. Ini sahih berdasarkan beberapa hadith:

Daripada Ubai bin Ka’ab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, katanya: Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku:

يَا أَبَا الْمُنْذِرِ أَتَدْرِي أَىُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَعَكَ أَعْظَمُ‏ ‏.‏ قَالَ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ ‏.‏ قَالَ ‏:‏ يَا أَبَا الْمُنْذِرِ أَتَدْرِي أَىُّ آيَةٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ مَعَكَ أَعْظَمُ‏ ‏.‏ قَالَ قُلْتُ اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَىُّ الْقَيُّومُ ‏.‏ قَالَ فَضَرَبَ فِي صَدْرِي وَقَالَ ‏:‏ وَاللَّهِ لِيَهْنِكَ الْعِلْمُ أَبَا الْمُنْذِرِ‏.‏
“Wahai Abu al-Munzir, adakah kamu tahu apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, yang paling agung?” Aku (Ubai) menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Sabda Baginda: “Wahai Abu al-Munzir, adakah kamu tahu, apakah ayat dalam Kitab Allah yang bersama kamu, yang paling agung?” Aku berkata: ‘اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَىُّ الْقَيُّومُ’. Lalu Baginda menepuk dadaku, dan bersabda: “Semoga dipermudahkan ilmu bagimu, Abu al-Munzir.”
(Riwayat Muslim (810), Abu Dawud (1460), Ahmad (20588))

Syarah: Apabila Rasulullah ﷺ menepuk dada Ubai رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, ia menandakan bahawa pendapat Ubai رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ itu benar. Ini menunjukkan para sahabat sebenarnya sudah tahu bahawa Ayat Kursi ini adalah ayat yang paling agung di dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana ia mengandungi ajaran tentang Allah ‎ﷻ dan tauhid. Kita pun tahu yang Tauhid adalah perkara terpenting di dalam Al-Qur’an. Kerana itulah Ubai رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ tidak kata ayat tentang solat atau puasa, akan tetapi tentang Tauhid.

Ayat ini juga dapat membawa pengamalnya masuk ke dalam syurga. Daripada Abu Umamah al-Bahili رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

مَنْ قَرَأَ آيَةَ الْكُرْسِيِّ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ مَكْتُوبَةٍ لَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ دُخُولِ الْجَنَّةِ، إِلَّا الْمَوْتُ
“Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi setiap kali selepas solat Fardhu, tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (7532); al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9848) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (124). Hadith ini dinilai sahih oleh Imam Ibn Hibban.

Syarah: Jadi jangan lupa membawa ayat ini setiap kali selepas solat fardhu kita. Cuma jangan pula kita sangka kena ‘baca’ sahaja, tetapi hendaklah kita baca-faham-amal-hafal-sebar. Orang kita sahaja yang sangka baca itu setakat baca sahaja tanpa mereka tahu apa maksud ayat ini dan bagaimana cara mengamalkannya. Berapa ramai yang minta kepada selain Allah ‎ﷻ kerana tidak faham tentang ayat ini?

Apakah maksud ‘tidak akan terhalang baginya untuk memasuki syurga melainkan mati’? Maknanya dia tidak masuk syurga lagi sebab dia tidak mati sahaja lagi. Cuma mungkin ramai nampak macam senang sahaja masuk syurga dengan membaca ayat Kursi selepas solat sahaja, bukan? Tidaklah begitu. Jangan fikir hanya baca sahaja ayat Kursi ini. Ia hendaklah difahami dan diamalkan. Kalau setakat baca sahaja tanpa faham, apatah lagi tidak diamalkan, maka tidaklah ia memberi makna. Kerana kalau kita faham dan amal, maka tauhid kita tentu sudah mantap; dan kalau tauhid sudah mantap, tentulah syurga yang layak bagi kita.

Selain itu, bukanlah lihat kepada hadith ini sahaja. Kenalah juga perhatikan juga ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith-hadith yang lain tentang amalan-amalan yang memasukkan seseorang ke dalam syurga.

Ayat ini juga boleh menjadi pelindung kepada kita (kalau kita faham dan amalkan suruhan di dalam ayat ini). Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, katanya:

وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ، فَأَتَانِي آتٍ فَجَعَلَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ فَأَخَذْتُهُ، وَقُلْتُ: وَاللَّهِ لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: إِنِّي مُحْتَاجٌ، وَعَلَيَّ عِيَالٌ وَلِي حَاجَةٌ شَدِيدَةٌ، قَالَ: فَخَلَّيْتُ عَنْهُ، فَأَصْبَحْتُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ؟» قَالَ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً، وَعِيَالًا، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ، وَسَيَعُودُ». فَعَرَفْتُ أَنَّهُ سَيَعُودُ، لِقَوْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّهُ سَيَعُودُ». فَرَصَدْتُهُ، فَجَاءَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ، فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: دَعْنِي فَإِنِّي مُحْتَاجٌ وَعَلَيَّ عِيَالٌ، لاَ أَعُودُ، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، فَأَصْبَحْتُ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ؟» قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ شَكَا حَاجَةً شَدِيدَةً، وَعِيَالًا، فَرَحِمْتُهُ، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ كَذَبَكَ وَسَيَعُودُ». فَرَصَدْتُهُ الثَّالِثَةَ، فَجَاءَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ، فَقُلْتُ: لَأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ، وَهَذَا آخِرُ ثَلاَثِ مَرَّاتٍ، أَنَّكَ تَزْعُمُ لاَ تَعُودُ، ثُمَّ تَعُودُ. قَالَ: دَعْنِي أُعَلِّمْكَ كَلِمَاتٍ يَنْفَعُكَ اللَّهُ بِهَا، قُلْتُ: مَا هُوَ؟ قَالَ: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ، فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ: {اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ} حَتَّى تَخْتِمَ الآيَةَ، فَإِنَّكَ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبَنَّكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ. فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، فَأَصْبَحْتُ فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا فَعَلَ أَسِيرُكَ البَارِحَةَ؟» قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، زَعَمَ أَنَّهُ يُعَلِّمُنِي كَلِمَاتٍ يَنْفَعُنِي اللَّهُ بِهَا، فَخَلَّيْتُ سَبِيلَهُ، قَالَ: «مَا هِيَ؟» قُلْتُ: قَالَ لِي: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الكُرْسِيِّ مِنْ أَوَّلِهَا حَتَّى تَخْتِمَ الآيَةَ: {اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ}، وَقَالَ لِي: لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبَكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ – وَكَانُوا أَحْرَصَ شَيْءٍ عَلَى الخَيْرِ – فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَمَا إِنَّهُ قَدْ صَدَقَكَ وَهُوَ كَذُوبٌ، تَعْلَمُ مَنْ تُخَاطِبُ مُنْذُ ثَلاَثِ لَيَالٍ يَا أَبَا هُرَيْرَةَ؟» قَالَ: لاَ. قَالَ: «ذَاكَ شَيْطَانٌ».

“Rasulullah ﷺ mewakilkan kepadaku untuk menjaga zakat Ramadhan. Lalu datang kepadaku seseorang dan menyelongkar makanan dan mengambilnya. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: “Demi Allah! Aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ.” Dia berkata: “Lepaskan aku, sesungguhnya aku orang yang memerlukan dan aku memiliki tanggungan keluarga dan sangat memerlukannya.” Abu Hurairah berkata: Aku melepaskannya.

Ketika pagi hari, Nabi ﷺ bertanya: “Wahai Abu Hurairah! Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Dia mengadu keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungan keluarganya, aku merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya.” Baginda bersabda: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu, dan dia akan kembali.”

Aku pun mengetahui dia akan kembali berdasarkan sabda Nabi ﷺ bahawa dia akan kembali. Aku mengawasinya dengan bersungguh-sungguh. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: “Sesungguhnya aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ.” Dia berkata: “Lepaskanlah aku! Sesungguhnya aku orang yang memerlukan, aku memiliki tanggungan dan aku tidak akan kembali lagi.” Aku merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya.

Ketika pagi hari, Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku: “Wahai Abu Hurairah! Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Dia mengadu tentang keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungannya. Aku merasa kasihan terhadapnya dan melepaskannya.” Baginda bersabda: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu, dan dia akan kembali.

Aku pun mengawasinya dengan bersungguh-sungguh untuk kali ketiga. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: “Sesungguhnya aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ, dan ini ketiga kalinya engkau mengatakan engkau tidak akan kembali, namun engkau tetap kembali.” Dia berkata: ”Lepaskanlah aku, nescaya aku akan mengajar kepadamu beberapa kalimat yang akan memberi manfaat kepadamu di sisi Allah.” Aku menjawab: “Apakah kalimah itu?” Dia berkata: “Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi: (Firman Allah SWT) “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Maksudnya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya))[Surah al-Baqarah: 225], sehingga engkau selesaikan ke akhir ayat. Sesungguhnya engkau akan didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi.” Maka aku melepaskannya.

Ketika pagi hari, Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku: “Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?” Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Dia mengaku telah mengajarku beberapa kalimat yang Allah menjadikannya bermanfaat bagiku, maka aku melepaskannya.” Baginda bertanya: “Apakah itu?” Aku berkata: “Dia berkata kepadaku bahawa Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi daripada awal sehingga akhir ayat: (Firman Allah ‎ﷻ) “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).”)[Surah al-Baqarah: 225]. Dia berkata kepadaku: ‘Engkau akan sentiasa didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi.’” – (Perawi berkata:) Mereka (yakni Para Sahabat) adalah orang-orang yang sangat bersungguh demi kebaikan. Nabi ﷺ bersabda: “Adapun apa yang dikatakan kepadamu itu adalah benar, namun demikian dia adalah pendusta. Wahai Abu Hurairah! Adakah kamu mengetahui siapakah yang berbicara dengan kamu selama tiga malam tersebut?” Abu Hurairah menjawab: “Tidak”. Baginda bersabda: “Itulah syaitan.”

(Riwayat al-Bukhari No. 2311)

Dalam ayat ini diulangi semula tajuk Tauhid atau Dakwa Surah dalam ayat ini untuk kali yang ketiga. Cuma di dalam ayat ini diberikan Dakwa dahulu kemudian disertakan dalilnya sekali. Dakwa ayat ini adalah: Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh diminta pertolongan untuk masalah kecil ataupun besar. Dalilnya adalah Sifat-Sifat-Nya yang sempurna yang Allah ‎ﷻ akan sebut satu persatu.

Setelah kita membaca segala macam tentang perbuatan Allah ‎ﷻ maka sepatutnya timbul di dalam benak kita: siapakah Allah ‎ﷻ? Maka sekarang Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya. Kita tidak dapat melihat Allah ‎ﷻ maka kita hanya boleh bergantung dengan penerangan daripada-Nya sahaja. Pancaindera kita tidak dapat hendak membayangkan Allah ‎ﷻ maka sekarang Allah ‎ﷻ beritahu tentang Diri-Nya. Ia juga memotong bisikan-bisikan sesat tentang Allah ‎ﷻ yang dibisikkan oleh syaitan.

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ الحَيُّ القَيّومُ ۚ لا تَأخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَومٌ ۚ لَّهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ مَن ذَا الَّذي يَشفَعُ عِندَهُ إِلّا بِإِذنِهِ ۚ يَعلَمُ ما بَينَ أَيديهِم وَما خَلفَهُم ۖ وَلا يُحيطونَ بِشَيءٍ مِّن عِلمِهِ إِلّا بِما شاءَ ۚ وَسِعَ كُرسِيُّهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ ۖ وَلا يَئودُهُ حِفظُهُما ۚ وَهُوَ العَلِيُّ العَظيمُ

SAHIH INTERNATIONAL
Allah – there is no deity except Him, the Ever-Living, the Sustainer of [all] existence. Neither drowsiness overtakes Him nor sleep. To Him belongs whatever is in the heavens and whatever is on the earth. Who is it that can intercede with Him except by His permission? He knows what is [presently] before them and what will be after them, and they encompass not a thing of His knowledge except for what He wills. His Kursi extends over the heavens and the earth, and their preservation tires Him not. And He is the Most High, the Most Great.

MALAY
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun daripada (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya)

 

اللَّهُ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah, dicintai, ditaati dan diibadati) melainkan Dia,

Allah ‎ﷻ sedang memperkenalkan Diri-Nya. Nama dzat adalah اللَّهُ. Kata ini adalah nama untuk Rabb. Dikatakan bahawa Allah ‎ﷻ adalah al-ismul a’zham (nama yang paling agung) kerana nama itu menyandang segala bentuk sifat. Kalau kita sebut ar-Rahman, itu hanyalah merujuk kepada sifat Pemurah Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau kita sebut ar-Razzaq, itu hanyalah menyentuh tentang sifat Allah ‎ﷻ memberi rezeki sahaja. Akan tetapi apabila kita gunakan nama Allah ‎ﷻ – ia merangkumi semua sifat-sifat Allah ‎ﷻ itu.

Nama Allah merupakan nama yang tidak diberikan kepada sesiapa pun selain diri-Nya, yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Oleh kerana itu, dalam bahasa Arab tidak diketahui daripada kata apakah nama itu berasal. Maka di antara para ahli nahu mengatakan bahawa nama Allah ‎ﷻ itu adalah ismun jamid, iaitu nama yang tidak mempunyai kata dasar. Akan tetapi pendapat yang paling umum dan diterima luas dalam kalangan ulama bahasa dan teologi Islam adalah nama “Allah” berasal daripada gabungan kata definitif “al-” (الـ) yang bererti “itu” dan kata benda “ilah” (إله) yang bererti “tuhan” atau “sesuatu yang disembah.” Maka al-Ilah menjadi Allah.

Kita selalu terjemah ayat ini sebagai tidak ada yang layak ‘disembah’ melainkan Allah ‎ﷻ tetapi bukan itu sahaja. Ini kerana ada orang yang beribadah kepada Allah ‎ﷻ tetapi tidak taat kepada-Nya. Tidak lengkap apa yang mereka lakukan. Sebagai contoh, mereka tidak pernah tinggal solat, mereka pergi mengerjakan ibadah Haji, tetapi mereka tidak taat dalam hal perniagaan berlandaskan riba. Maknanya mereka tidak taat sepenuhnya kepada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak sebenar-benarnya menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ.

Potongan ayat ini hendak mengingatkan kita kembali kepada kalimah syahadah kita yang menjadi pegangan kita seumur hidup. Secara ringkasnya, lafaz kalimah shahadah yang pertama adalah lafaz perjanjian atau ikrar kita kepada ALLAH untuk berpegang kepada akidah tauhid; ia adalah perjanjian kita untuk mengEsakan ALLAH dengan tidak membuat atau mengamalkan apa jua bentuk syirik pada-NYA sama ada dalam ibadat mahupun doa. Kita berjanji dengan Allah ‎ﷻ: Aku berjanji pada MU ya ALLAH bahawa tidak ada perantaraan, sembahan, pujaan, seruan dalam doa serta ibadat melainkan “hanya” serta “terus” kepada  MU sahaja. Ini selari dengan maksud surah Al-Fatihah ayat 5:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ
Engkaulah sahaja yang kami sembah.

(bermaksud sembah, puja seru ALLAH hanya dengan cara ibadat yang ALLAH wahyukan saja),

وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

(bermaksud doa hanya terus pada ALLAH tanpa perantaraan)

Bagaimana untuk menjaga kalimah perjanjian pertama ini daripada rosak atau batal? Untuk jaga perjanjian pertama ini adalah dengan dimulakan dengan belajar wahyu ALLAH yang paling utama iaitu belajar memahami isi kandung Quran. Hampir keseluruhan isi kandung Quran ini adalah berkenaan tauhid dalam ibadah dan juga doa. Kekufuran manusia terdahulu adalah berkaitan dengan dua perkara ini iaitu kekufuran dalam ibadah dan juga doa.

Untuk kita memenuhi tuntutan tauhid ini, kenalah difahami apakah maksud ‘ilah‘ itu sendiri. Ia bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’. Amat penting sekali kena faham betul-betul tentang ilah ini. Kalau faham, akan mudah faham tafsir Quran. Bila kita tahlil pun, akan rasa lain kerana ia akan memberikan kesan ke dalam hati kerana kita sudah faham maksud ilah itu. Apabila kita lafaz la ilaha illallah, kita sebut dengan kefahaman yang jitu. Waktu itu, kita akan rasa bergantung sungguh kepada Allah ‎ﷻ. Masyarakat kita memang ramai yang tidak faham maksud ilah. Mereka hanya pandai sebut sahaja. Sebab itu, apabila kita tegur mereka tentang ‘tawasul’ salah yang mereka lakukan, mereka akan tolak kita, lawan kita, tuduh kita macam-macam. Ini semua kerana mereka tidak faham dengan sebenarnya, apakah lafaz ilah itu. Maka kitalah yang kena belajar dan yang kena faham dulu supaya kita dapat beri penjelasan kepada mereka. Isu agama memang sensitif dan mereka akan marah kalau kita tegur mereka, walaupun mereka salah – manusia memang susah ditegur, apatah lagi dalam hal agama. Maka kita kena faham dengan kemas dulu sebelum beritahu kepada orang lain.

Akidah yang Haq adalah: tidak membenarkan lafaz ilah berkongsi dengan selain Allah ‎ﷻ. Lafaz ilah itu hanya untuk Allah ‎ﷻ sahaja. Nabi, wali, malaikat dan sesiapa sahaja tidak boleh memilikinya. Sifat ketuhanan hanya milik Allah ‎ﷻ. Sedangkan akidah yang batil itu membenarkan lafaz ilah itu dikongsi dengan selain Allah ‎ﷻ. Iaitu kepada roh wali, malaikat dan jin. Ramai yang kongsi status ilah itu dengan Allah ‎ﷻ. Inilah akidah Musyrikin Mekah dan malangnya orang kita pun ada akidah ini. Tugas terbesar Nabi Muhammad ﷺ adalah menerangkan tauhid dan menolak perkongsian ilah dengan selain Allah ‎ﷻ. Itulah Tauhid pada lafaz ilah.

Apa Maksud “Ilah”? “Ilah” (إِلَٰه) dalam bahasa Arab secara umum bermaksud: “Sesuatu yang disembah.” Kata ini berasal daripada akar kata (أ-ل-ه) yang membawa makna penyembahan, pengabdian, atau ketundukan. Ilah bukan hanya bermaksud ‘Tuhan’ seperti yang disangka oleh kebanyakan orang. Ia lebih luas lagi maksudnya. Berikut adalah beberapa penjelasan yang lebih mendalam mengenai maksud “ilah”:

* Tuhan: Ini adalah makna yang paling umum dan sering digunakan. “Ilah” merujuk kepada zat yang Maha Esa, pencipta, dan penguasa alam semesta yang layak disembah.
* Sesuatu yang disembah dan dipatuhi: Makna ini lebih luas dan mencakup segala sesuatu yang diagungkan, dicintai secara mutlak, dipatuhi perintahnya, dan tempat bergantung.
* Yang diharapkan: “Ilah” juga bermakna sesuatu yang sentiasa diharapkan pertolongan dan kasih sayangnya.
* Yang dicintai: “Ilah” adalah zat yang paling dicintai dan dirindui oleh hamba-Nya.
* Yang ditaati: “Ilah” adalah zat yang segala perintah dan larangan-Nya wajib ditaati.
* Yang ditakuti: “Ilah” adalah sesuatu yang ditakuti kemurkaan dan azab daripada-Nya.

Jadi ilah itu boleh jadi makhluk selain Allah ‎ﷻ seperti patung berhala, Nabi, wali, malaikat, jin, manusia, wang, parti politik, sistem pemerintahan, hawa nafsu dan banyak lagi. Ramai yang menjadi ilah selain Allah ‎ﷻ. Inilah kesalahan yang dilakukan oleh umat manusia dari dahulu sampai sekarang. Semua itu adalah syirik dan penafian syirik ada dalam kalimah لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ. Dalam kalimat “La ilaha illallah” (لَا إِلَٰهَ إِلَّا ٱللَّٰهُ), yang merupakan kalimat tauhid dalam Islam, “ilah” menafikan segala sesuatu yang disembah selain Allah, dan menetapkan bahawa hanya Allah ‎ﷻ satu-satunya “ilah” yang benar dan berhak disembah. Oleh kerana itu, memahami maksud “ilah” sangat penting dalam memahami konsep ketauhidan dalam Islam.

Kerana itu digunakan kalimah tauhid ini di dalam bentuk yang paling kuat di dalam Bahasa Arab iaitu di dalam bentuk nafi dan ithbat. Nafi bermaksud penolakan/penafian dan ithbat bermaksud penetapan. Di dalam bahasa Arab, apabila hendak menekankan tentang sesuatu perkara, apabila dinafikan dan kemudian ditetapkan, ia adalah penekanan yang paling kuat. Kalimah nafi di dalam kalimah tauhid adalah لَا إِلَٰهَ dan kalimah ithbat pula adalah إِلَّا ٱللَّٰهُ.

1. Nafi (النفي)
* Maksud: Nafi secara bahasa bermaksud penolakan, peniadaan, atau pengingkaran.
* Dalam Konteks Tauhid: Dalam kalimat “La ilaha,” nafi berfungsi untuk menolak dan meniadakan segala bentuk ilah (tuhan) selain Allah ‎ﷻ. Ini termasuk menolak penyembahan terhadap berhala, manusia, roh, alam, hawa nafsu, atau segala sesuatu yang dipertuhankan selain Allah ‎ﷻ.
* Implikasi: Nafi mengharuskan seorang Muslim untuk mengingkari dan menjauhi segala bentuk syirik (menyekutukan Allah ‎ﷻ) dalam perkataan, perbuatan, dan keyakinan. Ia juga bermakna berlepas diri daripada segala sembahan batil dan tidak mengakui keabsahannya.

2. Ithbat (الإثبات)
* Maksud: Ithbat secara bahasa bermaksud penetapan, pengesahan, atau pembuktian.
* Dalam Konteks Tauhid: Dalam kalimat “illallah,” ithbat berfungsi untuk menetapkan dan mengesakan Allah ‎ﷻ sebagai satu-satunya Ilah (Tuhan) yang benar dan berhak disembah. Ini bermakna mengakui keesaan-Nya dalam zat, sifat, dan perbuatan-Nya, serta mengkhususkan segala bentuk ibadah hanya kepada-Nya.

Kalau ayat itu begini: Allah adalah Tuhan, ia tidaklah sekuat kalau digunakan begini: tidak ada tuhan, melainkan Allah sahaja. Oleh kerana itu, sebelum masuk Islam dan menerima Tauhid dengan sepenuhnya, kena tolak segala jenis ilah-ilah selain Allah ‎ﷻ. Ini perumpamaan sebelum memasukkan air susu ke dalam gelas, gelas itu perlulah dikosongkan dahulu. Kalau ada sesuatu di dalam gelas itu tetapi ada bahan lain, maka ia sudah bercampur baur pula dan tidak suci murni.

Selepas memberitahu Dakwa ayat, Allah ‎ﷻ meneruskan dengan memberikan dalil-dalil kenapa Dia sahaja ilah iaitu sekarang Allah ‎ﷻ akan menceritakan Sifat-sifat-Nya.

 

الحَيُّ

Yang Tetap hidup,

Boleh jadi iblis membisikkan ke dalam hati manusia: “yang dimohonkan pertolongan dan perlindungan-Nya itu, dahulu pernah ada, tetapi kini telah mati,” maka potongan ayat ini memangkah bisikan itu. Allah ‎ﷻ tetap hidup!

Allah ‎ﷻ sahaja yang Maha Hidup. Sekarang ini kita hidup, tetapi adakah kita hidup dengan sendiri? Tidak! Melainkan Allah ‎ﷻ yang beri kita bernyawa. Akan tetapi tidaklah kita kekal hidup, bukan? Selain daripada Allah ‎ﷻ akan mati belaka. Kita ini adalah jenis yang diberi nyawa dan nanti akan diambil nyawanya. Maka, oleh kerana semua selain Allah ‎ﷻ akan mati, kenapa hendak meminta kepada yang akan mati? Itu adalah sia-sia sahaja kerana kalau kita minta pertolongan kepada yang mati, apakah yang dia boleh bantu kita? Maka berhentilah meminta tolong kepada wali yang telah mati, ahli kubur yang tidak boleh bantu apa-apa kepada kita. Terimalah hakikat yang mereka itu telah mati dan merekalah yang memerlukan doa kita, bukannya kita memerlukan doa mereka.

Maka hendaklah kita meminta kepada Allah ‎ﷻ yang Maha Hidup dan tidak akan mati-mati, sampai bila-bila pun dan kena tahu bahawa Allah ‎ﷻ sahaja yang sebenar-benar hidup. Walaupun kita lihat makhluk itu hidup, tetapi segala kehidupan yang lain itu adalah kerana Dia sahaja. Kalau Allah ‎ﷻ tidak benarkan makhluk itu hidup, maka makhluk itu akan mati. Maka bergantunglah kepada Allah ‎ﷻ sahaja, Dzat yang sebenar hidup. Kenapa kita hendak bergantung kepada entiti yang kehidupan dia sendiri pun bergantung kepada Allah ‎ﷻ?

Yang Maha Hidup hanyalah Allah ‎ﷻ sahaja. Jadi akidah yang mengatakan Nabi Muhammad ﷺ masih hidup lagi, ada wali hidup boleh manusia, Khidr hidup lagi dan membantu manusia adalah akidah yang sesat. Ada pula yang sangka orang yang telah mati rohnya masih tinggal lagi di alam ini menjadi hantu dan mengganggu manusia. Kerana akidah yang sesat inilah timbul ajaran karut marut seperti boleh selak tabir untuk tanya hadith kepada Nabi Muhammad ﷺ! Begitulah kalau wahyu ditinggalkan dan diterima ajaran karut daripada rekaan manusia yang dibimbing oleh syaitan!

 

القَيّومُ

Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan

Mungkin iblis datang lagi untuk menimbulkan kekeliruan dalam hati manusia: “Memang Dia hidup kekal tetapi Dia tidak ambil pusing dengan urusan manusia, apalagi kepada pemohon doa,” maka Allah ‎ﷻ memotong bisikan itu dengan menyatakan Dia tetap kekal memberi pertolongan dan mentadbir alam ini. Mintalah apa sahaja kepada-Nya, Dia akan mendengar.

Kalimah القَيّومُ mengandungi banyak maksud. Ia di dalam bentuk mubalaghah kerana kalau dalam bentuk umum yang biasa adalah قيام. Umumnya ia bererti Allah ‎ﷻ berdiri sendiri, tidak bersandar atau bergantung kepada yang lain. Mana mungkin kerana yang selain-Nya yang bergantung kepada Allah ‎ﷻ! Sepertimana kehidupan kita ini Allah ‎ﷻ yang beri, seperti kita telah sebut di atas.

Berkata Mujahid: القَيّومُ ialah yang berdiri sendiri-sendirinya, sedangkan yang lain adalah bergantung kepada-Nya.

Berkata ar-Rabi’: القَيّومُ ialah bahawa Dia yang menciptakan segala sesuatu, Dia yang memberinya rezeki, dan Dia yang memelihara.

Berkata Qatadah: القَيّومُ ertinya, memberi ukuran kekuatannya dan rezekinya.

Berkata Ibnul Arabi: القَيّومُ ertinya Pengatur.

Jadi kita boleh ambil pengertian di sini ada dua makna utama:

1. Allah ‎ﷻ berdiri sendiri tidak memerlukan sesiapa

2. Allah ‎ﷻ yang menjadikan alam ini berdiri dan menguruskan

Maka di sini kita dapat ambil kesimpulan bahawa Allah ‎ﷻlah sahaja yang bersedia dan mampu untuk mengurus dan mentadbir untuk segala hamba. Dia sentiasa menjaga segala makhluk supaya makhluk itu dapat terus berdiri. Kalau Allah ‎ﷻ tidak beri sokongan, maka tentu alam ini terus roboh dan berantakan. Maknanya, Allah ‎ﷻ yang jadikan alam ini dan kemudian Dia yang meneruskan kewujudan alam ini agar terus berdiri. Maknanya Allah ‎ﷻ sentiasa mentadbir alam ini tanpa henti. Bukanlah Allah ‎ﷻ cipta dan jadikan alam ini dan tinggalkan begitu sahaja. Maka kalau ada apa-apa keperluan, kena minta kepada Allah ‎ﷻ sahaja kerana Dia juga yang sediakan segala keperluan makhluk. Jangan minta kepada selain Allah ‎ﷻ.

Gabungan nama الحَيُّ القَيّومُ dikatakan adalah الاسم الاعظم al-ism al-a’zam (Nama Allah yang agung). Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

اسْمُ اللَّهِ الْأَعْظَمُ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ فِي سُوَرٍ ثَلَاثٍ: الْبَقَرَةِ، وَآلِ عِمْرَانَ، وَطه
“Nama Allah yang Agung apabila kita berdoa dengannya akan dimustajab (oleh Allah ‎ﷻ) ada di dalam tiga surah al-Baqarah, Ali-Imran dan Thaha”.
[Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 3846][Hadith ini dinilai hasan oleh al-Albani].

Ada banyak pendapat tentang apakah الاسم الاعظم yang dimaksudkan oleh Rasulullah ﷺ ini (sampaikan ada sekurang-kurangnya 14 pendapat). Gabungan nama الحَيُّ القَيّومُ dikatakan salah satu darinya. Ini adalah salah satu pendapat yang kuat dan dipegang oleh Imam Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ. Telah berkata Imam al-Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ di dalam fatwanya berkaitan nama-nama Allah ‎ﷻ yang agung:

“Padanya terdapat banyak hadith berkaitan hal ini, contohnya seperti di dalam Sunan Ibn Majah dan selain daripada itu. Antaranya hadith seperti di atas yang diriwayatkan Abi Umamah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Telah berkata sebahagian para imam terdahulu yang dimaksudkan dengan nama Allah yang agung di dalam tiga surah tersebut adalah “هُوْ الحَيُّ القَيُّوْمُ” kerana ayat tersebut terdapat dalam surah al-Baqarah iaitu di dalam ayat al-Kursi, di awal surah Ali-Imran ayat ke 111 di dalam surah Thaha iaitu firman Allah SWT: “وَعَنَتِ الْوُجُوهُ لِلْحَيِّ الْقَيُّومِ”. Ini merupakan istinbat yang hasan”. [Lihat: Fatwa Imam al-Nawawi, 279]

Kenapa maklumat ini penting? Nama Allah ‎ﷻ yang agung adalah sebagai salah satu cara untuk dimustajabkan doa. Dengan menyebut nama-nama Allah yang agung ini, doa dan permohonan seseorang hamba itu tidak akan ditolak oleh Allah ‎ﷻ. Tambahan pula, hal ini dituntut oleh Allah ‎ﷻ, sebagaimana firman-Nya di dalam A’raf: 180

وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu”.

 

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya

Kemaskini: 12 April 2025

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment