Tafsir Surah Baqarah Ayat 247 – 248 (Kisah Talut & Tabut)

RAJA SAUL (TALUT)

Baqarah Ayat 247: Kisah sekarang berpatah balik kepada situasi selepas mereka minta dilantikkan raja untuk menjadi jeneral perang untuk mereka. Allah ﷻ memberikan penjelasan lebih lagi tentang kisah itu. Sekarang Allah ‎ﷻ telah melantik Talut sebagai ketua perang itu.

وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ اللَّهَ قَد بَعَثَ لَكُم طالوتَ مَلِكًا ۚ قالوا أَنّىٰ يَكونُ لَهُ المُلكُ عَلَينا وَنَحنُ أَحَقُّ بِالمُلكِ مِنهُ وَلَم يُؤتَ سَعَةً مِّنَ المالِ ۚ قالَ إِنَّ اللَّهَ اصطَفٰهُ عَلَيكُم وَزادَهُ بَسطَةً فِي العِلمِ وَالجِسمِ ۖ وَاللَّهُ يُؤتي مُلكَهُ مَن يَشاءُ ۚ وَاللَّهُ واسِعٌ عَليمٌ

SAHIH INTERNATIONAL
And their prophet said to them, “Indeed, Allah has sent to you Saul as a king.” They said, “How can he have kingship over us while we are more worthy of kingship than him and he has not been given any measure of wealth?” He said, “Indeed, Allah has chosen him over you and has increased him abundantly in knowledge and stature. And Allah gives His sovereignty to whom He wills. And Allah is all-Encompassing [in favor] and Knowing.”

MALAY
Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya.

 

وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ اللَّهَ قَد بَعَثَ لَكُم طالوتَ مَلِكًا

Dan Nabi mereka berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kalian.

Seperti yang diberitahu, perkataan مَلِكًا dalam ayat ini bermaksud ‘Ketua tentera’ atau ia boleh bermaksud ‘khalifah’ atau ‘raja’. Oleh kerana mereka sudah minta, maka Allah ﷻ perkenankan permintaan mereka itu. Nabi itu telah berdoa kepada Allah ﷻ dan Allah ﷻ telah memilih siapakah yang layak. Berita itu disampaikan oleh Nabi mereka sendiri. Sekarang kita bertemu dengan sebuah karektor yang bernama Talut.

Perhatikan di sini yang Nabi itu mengatakan Allah ﷻ yang pilih. Asalnya mereka  minta Nabi itu yang pilih. Namun Nabi itu beritahu Allah ﷻ yang pilih supaya kaum itu tidak mempunyai alasan untuk menolak kerana Allah ﷻ yang pilih sendiri. Ini kerana kuasa memilih itu terletak di tangan Allah ﷻ. Maka ia mengajar kita untuk letakkan Allah ﷻ sebagai penentu. Maksudnya apabila kita mengajar, kita kata ini adalah arahan Allah ﷻ. Kalau kita beri hukum, kita beritahu ini adalah hukum daripada Allah ﷻ, bukan daripada kita. Sepatutnya orang yang mendengar itu tidak ada alasan lagi untuk menolak, melainkan orang yang degil sangat. Jadi janganlah beri hujah seperti: ‘Ini ustaz aku yang cakap’, ‘Ini aku mimpi semalam’ dan sumber-sumber yang lain. Kita kena berikan dalil wahyu yang menjadi keputusan daripada Allah ﷻ.

Perhatikan perkataan لَكُم. Apabila Allah ﷻ menggunakan harf ل, maka ia bermakna sesuatu yang baik bagi mereka. Ini berbeza dengan penggunaan عليكم yang menggunakan harf على yang bermaksud tidak baik, atau beban tanggungjawab yang diberikan.

 

قالوا أَنّىٰ يَكونُ لَهُ المُلكُ عَلَينا

Mereka menjawab: “Adakah patut dia menjadi raja ke atas kami?

Sekarang apabila telah dilantik seorang raja bagi mereka, mereka tidak dapat terima pula. Ini kerana mereka tidak berpuas hati dengan pelantikan Talut  kerana bagi mereka Talut adalah seorang yang tidak dikenali dan bukan daripada golongan kaya atau bangsawan. Sedangkan sebelum ini mereka yang minta Nabi carikan pemimpin ke atas mereka. Sekarang bila sudah dipilih, mereka persoalkan pula.

Kadangkala begitu juga yang berlaku dalam masyarakat atau dalam kalangan pelajar, bukan? Mereka ada bertanya kepada para ustaz akan sesuatu soalan. Apabila ustaz beri jawapan, mereka tidak percaya pula. Tidakkah itu kurang ajar namanya? Kalau tidak percayakan ustaz itu, tidak perlulah bertanya dari awal. Apa perasaan ustaz itu kalau anda tanya tetapi kemudian mempersoalkan pula jawapan daripada ustaz itu? Maknanya mereka tidak percaya sepenuhnya kepada ustaz itu. Begitulah juga golongan Bani Israil itu tidak percaya sepenuhnya kepada Nabi mereka sendiri.

 

وَنَحنُ أَحَقُّ بِالمُلكِ مِنهُ

sedangkan kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya,

Mereka tidak berpuas hati kerana mereka yang mahukan kedudukan itu. Mereka berhujah dengan mengatakan mereka lebih layak. Mereka gunakan kalimah ‘kami’ di sini, tetapi kita pun tahu yang menjadi raja hanyalah seorang sahaja. Jadi sesiapa sahaja yang dilantik, akan ada sahaja kritikan mereka terhadap raja itu.

 

وَلَم يُؤتَ سَعَةً مِّنَ المالِ

dan dia pula tidak diberi keluasan daripada harta kekayaan”

Mereka rasa mereka lebih layak kerana mereka ada pengaruh dan juga ada banyak harta. Talut itu tidak ada harta atau sedikit sahaja hartanya. Ini kerana mereka memandang kedudukan dengan kedudukan keduniaan. Pada mereka, jikalau kaya dan berpengaruh, itulah orang yang layak. Amat cetek sekali cara pemilihan mereka. Kalau ikut cara mereka, Nabi Muhammad ﷺ itu memang tidak layak menjadi Nabi kerana baginda miskin dan seorang anak yatim sahaja.

Ini mengajar kita, kalau memilih pemimpin berdasarkan kepada keturunan dan kekayaan, memang akan punah. Kerana ini cara Bani Israil memilih pemimpin mereka dan kita pun tahu mereka ini dijadikan contoh perkara yang buruk-buruk.

 

قالَ إِنَّ اللَّهَ اصطَفٰهُ عَلَيكُم

Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi ketua ke atas kamu,

Ini adalah jawapan daripada Nabi mereka itu. Baginda memberitahu bahawa pelantikan itu adalah pelantikan daripada Allah ‎ﷻ sendiri. Allah ‎ﷻ yang menjadikan Talut sebagai raja dan ketua perang mereka. Kalau mereka tidak setuju, maka mereka sebenarnya tidak setuju dengan Allah‎ ﷻ, bukan dengan baginda. Allah ‎ﷻ hendak ajar bahawa seorang ketua bukannya hanya memerintah dalam keadaan aman dan oleh itu tidak memerlukan orang yang kaya dan berpengaruh. Apa guna memiliki harta tetapi tidak tahu memimpin?

Di sini juga mengajar kita yang Allah ‎ﷻ yang berhak melantik sesiapa yang dikehendaki-Nya, maka tidak boleh buat apa lagi. Allah ‎ﷻ tidak perlu hendak beri penjelasan kepada mereka kenapa Dia pilih Talut. Siapa mereka yang Allah ‎ﷻ kena ikut pula?

Perkataan اصطفى bermaksud pemilihan yang dilakukan hanya kerana kita suka. Contohnya bila kita beli buah di pasar, kita pilih epal, tidak pilih limau. Apabila ada orang tanya, kenapa pilih epal tidak pilih limau, kita kata sebab kita suka. Tidak perlu ada penjelasan lain. Bukan sebab kita kira kalori, atau epal warnanya merah, epal banyak lagi vitamin, tidak. Sebab kita suka epal, terpulang pada kitalah atas sebab apa sekalipun kita hendak beli. Ia adalah sesuatu keputusan yang kita tidak perlu jelaskan sebabnya kepada orang lain. Begitulah hak Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh memilih sesiapa sahaja yang Dia pilih dan Dia tidak perlu menjelaskan kenapa Dia buat keputusan itu. Sepatutnya kita sebagai hamba kena taat dan terima dengan rela.

 

وَزادَهُ بَسطَةً فِي العِلمِ وَالجِسمِ

dan telah menambahkannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan tubuh badan”.

Allah ‎ﷻ telah memberikan kelebihan kepada Talut kerana beliau mempunyai kegagahan tubuh badan dan keberanian serta beliau memiliki keluasan dalam ilmu. Oleh itu beliau sesuai untuk menjadi pemimpin perang. Kamu kritik Talut kerana Talut bukan berdarah raja atau bangsawan; namun apa pentingnya darah raja itu? Bukan biru pun darah mereka itu tetapi merah sama sahaja seperti orang lain. Setakat lahir daripada benih seorang raja, tidak ada kejayaan apa-apa hanya kerana setakat lahir di istana sahaja. Bukan ada kelebihan daripada orang lain pun.

Jadi di sini diberitahu kelebihan Talut. Namun begitu, ini bukanlah sebab Allah ‎ﷻ memilih Talut, kerana kita telah sebut sebelum ini bahawa Allah ‎ﷻ tidak perlu menjelaskan kenapa Dia memilih sesiapa yang Dia pilih. Dia lebih tahu dan kita tidak tahu.

Akan tetapi ia menjadi dalil bagi kita bahawa ketua kerajaan dan ketua perang mestilah terdiri daripada orang yang berilmu dan ada kekuatan tubuh badan. Mereka mestilah daripada orang yang layak berjuang dan juga layak memimpin. Lebih-lebih lagi jika hendak memerintah ketika zaman yang mencabar seperti hendak membebaskan negara daripada penjajahan. Takkan hanya bergantung kepada seorang pemimpin yang lembik?

Yang pertama pemimpin itu mesti ada ilmu terutama ilmu berkenaan dengan tugas yang sedang dihadapinya, sehingga dia tidak ragu-ragu menjalankan kepimpinan. Yang terpenting sekali ialah ilmu dalam cara memilih orang untuk menjalankan tugas. Pemimpin tertinggi itu tidak perlu tahu segala cabang ilmu, tetapi wajib tahu memilih tenaga yang akan ditugaskan untuk menghadapi sesuatu tugas pekerjaan. Itulah ilmu kepimpinan. Di sinilah pernah Saidina Umar bin Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ apabila memerintah pernah mengakui terus terang bahawa Abu Bakar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ lebih pintar daripada dirinya dalam memilih orang untuk menjalankan tugas.

Talut dikurniakan pemahaman yang luas dan mendalam, termasuk dalam hal strategi peperangan, pentadbiran, dan pengetahuan yang diperlukan untuk memimpin suatu kaum. Ini adalah sifat yang sangat penting bagi seorang pemimpin, kerana ia membolehkan membuat keputusan yang tepat dan memimpin dengan bijak.

Yang dimaksudkan dengan tubuh ialah kesihatan, bentuk tampan, yang menimbulkan simpati. Oleh sebab itu, ulama-ulama Fiqh banyak berpendapat bahawa seseorang yang badannya cacat jangan dijadikan raja. Kecuali cacat yang didapatnya di dalam peperangan, kerana bertempur di dalam melakukan tugas. Talut memiliki kekuatan fizikal, ketahanan, dan keperkasaan yang diperlukan untuk memimpin tentera di medan perang. Seorang panglima perang atau raja harus memiliki kekuatan fizikal yang menginspirasi dan mampu menghadapi cabaran pertempuran. Beberapa penafsir mengaitkan nama “Talut” dengan akar kata yang merujuk kepada “ketinggian” (طال – taala) atau “meluas” (طول – tuul), yang mungkin secara kiasan merujuk kepada ketinggian ilmu atau fizikalnya. Namun, ini hanyalah perkaitan makna dan bukan etimologi yang pasti.

Maka dua faktor itu adalah kelebihan yang perlu ada bagi Talut untuk memimpin kaum itu dalam peperangan. Sedangkan bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk menjadi Menteri Kewangan lain pula seperti disebut di dalam Yusuf: 55 

قالَ اجعَلني عَلىٰ خَزائِنِ الأَرضِ ۖ إِنّي حَفيظٌ عَليمٌ
Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan”.

Jelas sekali yang kita boleh nampak, kedua-dua ayat ini mengandungi keperluan kepada ilmu. Ini kerana seorang pemimpin dalam Islam bertanggungjawab untuk menerapkan syariat Allah dan memastikan keadilan. Ini mustahil dilakukan tanpa ilmu agama (ilmu syariat) yang mendalam.

    • Memahami Hukum Allah: Pemimpin perlu tahu halal dan haram, memahami batasan-batasan Allah ‎ﷻ, dan mampu membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Tanpa ilmu ini, ia tidak dapat mengarahkan umat sesuai dengan kehendak Allah ‎ﷻ.

    • Menetapkan Keadilan: Keadilan adalah asas pemerintahan Islam. Ilmu membantu pemimpin untuk membuat keputusan yang adil, menyelesaikan perselisihan, dan memastikan hak-hak rakyat terjaga tanpa pilih kasih.

Ilmu agama ini penting sangat. Ada sebuah hadith yang ramai orang tahu,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ”
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah.”
(Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya No. 2664)

Syarah: ramai orang nampak kalimah الْقَوِيُّ sahaja, maka mereka jaga kesihatan mereka, makanan mereka, pergi gym setiap hari. Mereka ada yang menggunakan hadith ini sebagai hujah atas perbuatan mereka. Akan tetapi ramai tidak perasan sebelum disebut الْقَوِيُّ, Nabi sebut الْمُؤْمِنُ dahulu. Maka yang lebih utama mestilah menjadi orang Mukmin terlebih dahulu dengan tahu ilmu agama. Pandai ilmu dunia dan sihat wal afiat tetapi ilmu agama ceroi sahaja pun tidak boleh. Jadi kena tahu prioriti yang utama.

Ilmu tidak hanya terbatas pada aspek agama, tetapi juga meliputi ilmu duniawi (ilmu pentadbiran, ekonomi, strategi, dll.) yang diperlukan untuk mengurus dan membangun negara atau masyarakat dengan cekap.

    • Membuat Keputusan yang Tepat: Pemimpin yang berilmu akan mampu menganalisis situasi, menilai risiko, dan membuat keputusan yang paling tepat untuk kemaslahatan rakyat, baik dalam urusan ekonomi, sosial, pendidikan, atau pertahanan.

    • Strategi dan Perancangan: Membangun peradaban yang maju memerlukan perancangan jangka panjang dan strategi yang kukuh. Ilmu memberikan pemimpin itu dengan wawasan untuk merancang dan melaksanakan program-program pembangunan yang berkesan.
    • Pengurusan Sumber Daya: Pemimpin perlu ilmu untuk menguruskan sumber daya negara, seperti harta, alam semula jadi, dan sumber manusia, agar dimanfaatkan secara optimal untuk kesejahteraan umat.

Ilmu juga memberikan seorang pemimpin keteguhan hati dan kepercayaan diri dalam menghadapi cabaran kerana bukan senang hendak menjadi pemimpin.

    • Menghadapi Krisis: Pemimpin yang berilmu tidak mudah panik saat menghadapi krisis. Dia memiliki dasar pengetahuan untuk menganalisis masalah dan mencari solusi.

    • Menjawab Keraguan dan Hujah: Dalam era informasi, pemimpin seringkali perlu berhadapan dengan kritik, tuduhan, atau keraguan. Ilmu membekalinya dengan kemampuan untuk menjawab dan menjelaskan dengan hujah yang kuat dan meyakinkan.
    • Tidak Mudah Diperdaya: Pemimpin yang berilmu lebih sukar ditipu atau dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

وَاللَّهُ يُؤتي مُلكَهُ مَن يَشاءُ

dan Allah jualah yang memberikan kerajaan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya;

Jawapan seterusnya adalah kerana Allah ‎ﷻlah yang berhak untuk memilih siapakah yang boleh menjadi ketua. Manusia tidak boleh menyoal keputusan yang Allah‎ ﷻ sudah buat dan akan buat. Kita kena sedar kedudukan kita sebagai hamba. Berapa banyak kerajaan dan raja digugurkan dan dilantik raja yang baru? Kadang-kala raja itu asalnya lanun namun kemudian keturunan dia semua orang panggil raja. Jadi sesiapa sahaja boleh menjadi raja sekiranya Allah ‎ﷻ lantik mereka.

Ini mengajar kita yang kerajaan ditentukan oleh Allah ‎ﷻ. Jangan kita berbangga dan sombong sangat kalau kita dapat kuasa memerintah kerana Allah ‎ﷻ boleh beri dan Allah ‎ﷻ boleh ambil begitu sahaja. Ingatlah firman Allah ‎ﷻ di dalam Ali Imran: 26

 

وَاللَّهُ واسِعٌ عَليمٌ

dan Allah Maha Luas, lagi meliputi ilmu-Nya.

Allah ‎ﷻ tahu siapakah yang layak untuk dijadikan pemimpin dan manusia tidak layak untuk mempersoalkannya. Kita tidak akan dapat hendak mencapai kefahaman Allah ‎ﷻ. Pandangan kita cetek sahaja, tidak boleh mengetahui dan memahami semua perkara. Kita tidak tahu apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku. Maka keputusan kita hanya berdasarkan maklumat yang amat terhad. Yang tahu segalanya dan layak melantik adalah Allah ‎ﷻ sahaja. Maka kerana itu apa sahaja keputusan Allah ‎ﷻ, kita kena terima, kena redha tanpa soal. Ini termasuk hukum hakam yang telah ditakdirkan ke atas kita. Jangan kita persoalkan sama sekali.


 

Baqarah Ayat 248:

وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ ءآيَةَ مُلكِهِ أَن يَأتِيَكُمُ التّابوتُ فيهِ سَكينَةٌ مِّن رَّبِّكُم وَبَقِيَّةٌ مِّمّا تَرَكَ ءآلُ موسىٰ وَءآلُ هٰرونَ تَحمِلُهُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ‌ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

SAHIH INTERNATIONAL
And their prophet said to them, “Indeed, a sign of his kingship is that the chest will come to you in which is assurance from your Lord and a remnant of what the family of Moses and the family of Aaron had left, carried by the angels. Indeed in that is a sign for you, if you are believers.”

MALAY
Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya daripada Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa daripada Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian daripada apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”.

 

وَقالَ لَهُم نَبِيُّهُم إِنَّ ءآيَةَ مُلكِهِ أَن يَأتِيَكُمُ التّابوتُ

Dan Nabi mereka berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kekuasaan Talut itu ialah datangnya kepada kamu peti Tabut

Allah ‎ﷻ juga telah memberi satu tanda pada kelayakan Talut itu. Kalau kepada para Nabi, diberikan mukjizat sebagai tanda kenabian mereka. Sekarang diberikan satu tanda bagi pelantikan Talut itu. Diberikan tanda kepada mereka sebab mereka puak yang hendakkan macam-macam tanda baru hendak buat. Tanda ini sesuai untuk diberikan pada zaman itu kerana mereka biasa dengan benda-benda Karamah seperti ini. Akan datang kepada mereka Tabut iaitu sebuah peti yang berisi Kitab Taurat di dalamnya. Tidak payah hendak cari benda ini ada di mana sekarang. Tabut ini pun banyak sangat kisah mengarut mengenainya dan datang daripada kisah-kisah Israiliyat yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Baca boleh, percaya jangan. Kalau baca pun buang masa sahaja.

Mengikut kisah yang ada disebut, peti itu dahulunya memang dalam simpanan Bani Israil tetapi apabila mereka diserang dan ditakluk, peti itu telah diambil oleh penakluk mereka, orang Babylon dan dibawa ke tempat mereka. Kemudian mereka telah dilanda penyakit berjangkit dan mereka sangka kerana sial yang ada pada peti Tabut itu. Maka mereka meletakkan Tabut itu di belakang keldai dan membiarkan keldai itu membawa keluar Tabut itu ke mana sahaja keldai itu hendak pergi. Akhirnya ia sampai kepada Bani Israil seperti yang disebut sekarang di dalam kisah ini. Dikatakan ia sampai terus ke rumah Talut yang menjadi tanda memang beliaulah pilihan Allah ‎ﷻ.

 

فيهِ سَكينَةٌ مِّن رَّبِّكُم

di dalamnya ada ketenteraman jiwa daripada Tuhan kalian,

Di dalam peti itu ada ketenteraman kepada mujahid semasa perang. Namun perhatikan sakinah itu daripada Allah (مِن رَّبِّكُم), bukannya daripada peti itu. Apabila peti itu ada bersama, mereka berasa mereka mendapat bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Ketenteraman itu bukan daripada peti itu tetapi daripada Allah ‎ﷻ. Dengan adanya Tabut itu, memberi ketenangan kepada mereka untuk berjuang dan ia hanyalah dalam bentuk psikologi sahaja.

Kalimah سَكينَةٌ daripada katadasar س ك ن yang bermaksud untuk diam; rehat; tinggal; pondok; mendiami; sebarang cara ketenangan; miskin; merendah diri; seseorang yang tidak boleh bergerak untuk mencari rezeki kerana kecacatan fizikal, mental atau kewangan; lemah; melarat; tidak mempunyai wang; aib; keadaan jahat; kemelaratan; pisau (kerana ia menjadi punca diam selepas disembelih). Jadi kalimah سكن bermaksud kerehatan fizikal dan mental.

Bagi kita yang tidak ada Tabut, bagaimana? Memang tidak perlu pun ada objek untuk menjadikan kita tentang. Kerana kita mencari ketenangan dengan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ra’d: 28

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram (tenang).”

 

وَبَقِيَّةٌ مِّمّا تَرَكَ ءآلُ موسىٰ وَءآلُ هٰرونَ

dan (berisi) sebahagian daripada apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi Musa dan keluarga Nabi Harun;

Harf و dalam kalimah وَبَقِيَّةٌ adalah ‘waw tafsiri‘ iaitu hendak menafsirkan apakah yang ada di dalam Peti Tabut itu. Sekarang kita tahu yang peti itu mengandungi barang-barang peninggalan daripada keluarga Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tinggalan inilah yang menjadi asbab mereka tenang kerana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah dua Nabi dalam sejarah mereka yang mereka selalu sebut-sebut. Kiranya sebagai Nabi utama mereka. Oleh itu, Tabut ini yang mengandungi tinggalan keduanya adalah satu peninggalan yang amat bermakna buat mereka. Ia merujuk kepada beberapa objek fizikal yang merupakan peninggalan daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Walaupun Al-Qur’an tidak secara spesifik memperincikan setiap satu objek tersebut (kerana ia tidak penting), berdasarkan riwayat-riwayat dan tafsiran ulama, serta tradisi Yahudi-Kristian (di mana Tabut ini dikenal sebagai “Ark of the Covenant”), peninggalan tersebut diyakini termasuk:

    • Lauh-lauh Kitab Taurat (Kepingan-kepingan tulisan wahyu): Sebahagian kepingan papan yang tertulis di atasnya Sepuluh Perintah Allah (atau bahagian daripada Taurat) yang diberikan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Gunung Sinai. Iaitu yang asal yang telah dilempar oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam kemarahan. Jadi yang tinggal adalah kepingan-kepingan itu.
    • Tongkat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Tongkat yang digunakan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk berbagai mukjizat, seperti membelah laut atau mengeluarkan air dari batu.
    • Serban Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ atau sebahagian pakaiannya: Peninggalan Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, saudara Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
    • Manna dan Salwa: Sebahagian daripada makanan istimewa yang Allah ‎ﷻ turunkan kepada Bani Israil di padang pasir.

Perkara ini sebagaimana kita melihat barang peninggalan Nabi Muhammad ﷺ. Ia mengingatkan kita kepada baginda dan artifak itu menjadi kenangan buat diri kita. Cuma kalau zaman sekarang, susah untuk dipercayai ada lagi artifak tinggalan Rasulullah ﷺ. Mana tidak, sudah lebih seribu tahun jarak masa antara kita dengan baginda. Kalau ada apa-apa artifak pun, ia sudah hancur sepatutnya. Ramai orang mendakwa itu dan ini, tetapi kemudian kita lihat ada sahaja kritikan terhadap artifak itu. Mungkin elok tidak ada langsung kerana masyarakat yang jahil berlebih-lebih pula dengan benda yang dianggap sebagai artifak itu. Diciumlah, disapulah, letak di matalah dan entah apa-apa lagi. Kita lihat ia sudah jadi mengarut pula. Sudahlah benda itu belum tentu sahih daripada Rasulullah ﷺ, mereka anggap seolah-olah ia seperti sesuatu yang hebat sangat pula.

Secara ringkas, ya, banyak artifak yang didakwa sebagai peninggalan Nabi Muhammad ﷺ memang ada dan dipamerkan di berbagai tempat. Namun, seorang Muslim harus memiliki sikap yang seimbang: mengakui adanya peninggalan tersebut dengan rasa hormat, tetapi pada masa yang sama, tidak bersikap taksub atau bergantung sepenuhnya padanya, dan selalu mengutamakan ajaran dan sunnah Baginda Nabi ﷺ yang sahih sebagai panduan utama kehidupan. Keberadaan artifak ini dapat menjadi pengingat sejarah dan menambah kecintaan, tetapi tidak boleh menjadi pengganti kewajipan beribadah dan mengikuti syariat.

Yang paling jadi masalah adalah capal Rasulullah ﷺ. Memang benar ada capal (sandal) yang didakwa sebagai peninggalan Nabi Muhammad ﷺ yang disimpan di muzium-muzium, terutamanya di Istana Topkapi, Istanbul, Turki. Capal ini dikenali sebagai Na’liyyah atau Na’l Shareef. Namun, sama seperti artifak-artifak Nabi Muhammad ﷺ yang lain, tingkat keaslian capal tersebut ada subjek perdebatan dan penelitian. Sesetengah ulama terutamanya dalam kalangan yang lebih menekankan pembuktian ilmiah dan sanad yang kuat, cenderung lebih berhati-hati atau skeptikal terhadap dakwaan keaslian mutlak semua artifak tersebut. Mereka berpendapat bahawa peninggalan Nabi ﷺ yang paling utama dan kekal terjaga adalah Al-Qur’an dan Sunnah (hadith), yang telah dijaga keasliannya melalui sistem periwayatan yang ketat. Mereka menekankan bahawa tujuan utama adalah mengikuti ajaran Nabi ﷺ, bukan bergantung pada benda-benda fizikal yang keasliannya diragui. Syeikh Abdul Muhsin Al-‘Abbad رَحِمَهُ اللَّهُ, seorang ulama kontemporari, pernah menyatakan bahawa “Peninggalan Nabi yang daripada jasad seperti rambut, baju, sandal, tongkat dan sebagainya… telah hilang, tidak ada wujudnya dan tidak boleh dijadikan sebagai sandaran” (kecuali jika ada dalil sahih).

Kalau pun ia benar capal Nabi, ia kekal sebagai bahan sejarah sahaja. Bukannya dijadikan sebagai objek yang diagung-agungkan, disanjung sampai diletakkan di atas kepala. Kemudian dibuat sebagai logo dan dipakai di kopiah, baju, selempang. Ini adalah kerja bodoh kerana agama Islam tidak ajar lambang-lambang sebegini. Jika benar-benar sayangkan Rasulullah ﷺ, maka kena ikut Sunnah baginda, bukannya dengan meletakkan logo capal sampai di mihrab masjid dan surau. Bayangkan kita buat ‘berhala’ baru pula dalam Islam, sehingga diletakkan di hadapan tempat sujud! Ia tidak sepatutnya dipakai di topi dan menjadi tanda kebodohan dan kejahilan diri sendiri (seolah-olah dia hendak kata: ‘Tengoklah ya, aku bagi tanda aku bodoh ni’). Orang biasa kalau dia bodoh sekali pun, dia akan sorok dan tidak tunjukkan kebodohan dirinya itu.

 

تَحمِلُهُ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةُ‌

peti Tabut itu dibawa oleh para malaikat.

Peti itu akan dibawa oleh para malaikat dan akan diletakkan di hadapan Talut dan rakyat. Memanglah ia dibawa oleh keldai, tetapi sampainya ke tempat Bani Israil itu adalah atas panduan daripada para malaikat.

Peti itu adalah sebagai tanda pelantikan rasmi Talut sebagai ketua. Apabila ada tanda seperti itu, barulah Bani Israil itu hendak ikut taat kepada Talut. Peti itu dibawa oleh malaikat dan kemudian dibawa pergi oleh malaikat balik, maka tidak perlulah hendak dicari di manakah peti itu sekarang. Memang tidak akan jumpa. Jadi tidak perlu sibuk bertanya dengan terperinci tentangnya kerana ia tidak berkenaan dengan kita. Orang kita, bab-bab pelik seperti ini, memang ramai sangat yang suka. Tetapi cubalah jangan tanya berlebih-lebih kerana tidak menambah keimanan pun kalau dapat tahu mengenainya. Ia adalah kisah lama yang kita tidak ada maklumat penuh tentangnya.

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman

Tabut itu sesuai sebagai tanda pada zaman itu, tetapi kepada Nabi akhir zaman dan umatnya, tidak diberikan sakinah sebegitu. Kita akan belajar nanti bagaimana Nabi Muhammad ﷺ dan umatnya juga ada diberikan dengan Sakinah tetapi di dalam bentuk yang lain. Sakinah itu akan diberikan kepada setiap mujahidin sebelum memulakan peperangan. Ia dalam bentuk angin bayu yang lembut yang akan diberikan kepada mujahidin sampai mereka jadi mengantuk. Ini adalah tanda Allah‎ ﷻ beri sakinah. Sebelum Allah ‎ﷻ beri, jangan mulakan takbir perang.

Jelaslah pada kita umat akhir zaman, tidak memerlukan Tabut. Ini dibuktikan oleh mereka yang berpengalaman jihad fi sabilillah. Mereka akan rasa mengantuk sangat dan apabila ia datang, boleh sampai jatuh pedang yang sedang dipegang. Kalau zaman sekarang, boleh sampai jatuh senapang yang dipegang. Padahal, kalau ikut logik akal, apabila hendak menghadapi perang, mestilah kita waktu itu tengah segar sebab hendak hadap mati, bukan? Tentu jiwa sedang bergelora waktu itu sampai tidak ingat hendak tidur pun. Namun Allah ‎ﷻ berikan rasa mengantuk itu sebagai sakinah kepada mereka. Allah ‎ﷻ juga beri rehat kepada para pejuang supaya segar semasa berperang.

Habis Ruku’ 32 daripada 40 surah ini

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 5 Jun 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment