NABI SAMUEL (SYAMWIL)
Baqarah Ayat 246: Pengulangan bab jihad dan kali ini Allah ﷻ beri contoh kisah yang terjadi pada zaman dahulu sebab jihad itu ada beberapa peraturan. Pertama, kena ada pemilihan ketua dan kedua, kena ada latihan untuk jihad.
Ketua perang tidak semestinya Nabi sendiri tetapi kena ada dua syarat untuk menjadi jeneral perang. Pertama, tubuh badannya layak untuk berperang dan kenalah berani dan kedua, akal kena mahir dalam taktik peperangan. Tidak ada peperangan tanpa latihan kerana banyak pejuang yang datang untuk berjihad perang itu datang dari merata tempat dan mereka tidak biasa berperang dan tidak terlatih. Mungkin ada daripada golongan itu yang asalnya peniaga dan petani. Maka penting untuk diberikan latihan terlebih dahulu sebelum pergi berperang. Kalau tidak, mati kataklah mereka nanti. Maka Allah ﷻ ajar kedua-dua perkara ini.
أَلَم تَرَ إِلَى المَلَإِ مِن بَني إِسرٰءِيلَ مِن بَعدِ موسىٰ إِذ قالوا لِنَبِيٍّ لَّهُمُ ابعَث لَنا مَلِكًا نُّقَـٰتِل في سَبيلِ اللَّهِ ۖ قالَ هَل عَسَيتُم إِن كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ أَلّا تُقٰتِلوا ۖ قالوا وَما لَنا أَلّا نُقٰتِلَ في سَبيلِ اللَّهِ وَقَد أُخرِجنا مِن دِيٰرِنا وَأَبنائِنا ۖ فَلَمّا كُتِبَ عَلَيهِمُ القِتالُ تَوَلَّوا إِلّا قَليلًا مِّنهُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ
SAHIH INTERNATIONAL
Have you not considered the assembly of the Children of Israel after [the time of] Moses when they said to a prophet of theirs, “Send to us a king, and we will fight in the way of Allah “? He said, “Would you perhaps refrain from fighting if fighting was prescribed for you?” They said, “And why should we not fight in the cause of Allah when we have been driven out from our homes and our children?” But when fighting was prescribed for them, they turned away, except for a few of them. And Allah is Knowing of the wrongdoers.
MALAY
Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua daripada Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: “Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah” Nabi mereka menjawab: “Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?,” Mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan anak-anak kami?” Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil daripada mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.
أَلَم تَرَ إِلَى المَلَإِ مِن بَني إِسرٰءِيلَ مِن بَعدِ موسىٰ
Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua pembesar daripada Bani Israil sesudah (wafatnya) Nabi Musa,
Tahulah kita ini adalah kisah yang berlaku ketika zaman selepas wafatnya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang dibimbing oleh Nabi lain. Selepas Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi yang membimbing mereka namanya Yusha’ bin Nun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan selepas itu bersilih ganti para Nabi yang lain. Kali ini disebut dengan jelas yang kaum ini adalah dalam kalangan Bani Israil. Bani Israil itu pula bukannya mendengar cakap para Nabi mereka sangat. Mereka ini bangsa yang paling degil dalam dunia. Seperti yang kita sudah tahu, ada ramai dalam kalangan Nabi mereka yang mereka bunuh begitu sahaja. Kalau mereka tidak suka dan tidak dapat melawan hujah, mereka akan bunuh sahaja.
إِذ قالوا لِنَبِيٍّ لَّهُمُ
ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka:
Dalam banyak-banyak Nabi mereka, adalah juga yang mereka agak hormat seperti Nabi di dalam kisah ini. Nama Nabi dalam kisah ini tidak disebut akan tetapi banyak kitab tafsir mengatakan namanya adalah Samuel. Jangan pelik pula kalau namanya bukan nama Arab, sebab bukanlah semua bangsa dalam dunia ini berbangsa Arab maka para Nabi mereka pun bukanlah Arab. Akan tetapi nama itu tidak penting dan kerana itulah Allah ﷻ tidak sebutkan namanya. Yang penting adalah pengajaran yang hendak disampaikan di dalamnya.
Itulah kisah-kisah besar dan penting yang disampaikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Bukan semua, tetapi sebahagian sahaja, namun cukuplah untuk diambil sebagai peringatan dan kajian kita. Supaya kita dapat tahu bahawa perkara yang terjadi pada zaman sekarang, telah berlaku semenjak dahulu lagi. Allah ﷻ banyak menggunakan konsep penceritaan untuk mendidik manusia kerana manusia memang sukakan cerita. Ini akan lebih menarik perhatian manusia. Semua kisah-kisah itu disampaikan kepada Nabi ﷺ dalam bentuk wahyu. Apakah tujuannya?
Banyak kisah para Nabi disampaikan di dalam Al-Qur’an yang menjadi ibrah (pengajaran) kepada kita. Ini sebagaimana yang Allah ﷻ sebut di dalam Yusuf: 111
لَقَد كانَ في قَصَصِهِم عِبرَةٌ لِأُولِي الأَلبابِ
Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal
Keduanya, kisah-kisah mereka itu sebagai tasbit al qalbi (menguatkan hati). Ini kerana kita akan belajar kisah-kisah dugaan yang mereka terima dalam menjalankan dakwah mereka. Allah ﷻ hendak beritahu kita: Kalau mereka boleh bersabar, maka kenapa tidak kita? Allah ﷻ sebut di dalam Hud: 120
وَكُلًّا نَقُصُّ عَلَيكَ مِن أَنباءِ الرُّسُلِ ما نُثَبِّتُ بِهِ فُؤادَكَ
Dan semua kisah daripada rasul-rasul Kami ceritakan kepadamu, ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu
Ketiga, disebut juga di dalam ayat yang sama, sebagai nasihat dan peringatan,
وَجاءَكَ في هٰذِهِ الحَقُّ وَمَوعِظَةٌ وَذِكرىٰ لِلمُؤمِنينَ
dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran serta pengajaran dan peringatan bagi orang-orang yang beriman
Pemuka-pemuka Bani Israil telah pergi berjumpa dengan Nabi mereka itu. Melalui penggunaan bahasa, memberi isyarat bahawa bukan Nabi ini sahaja Nabi mereka tetapi ada Nabi-nabi lain juga. Umat Bani Israil memang diberikan dengan ramai Nabi dalam kalangan mereka. Mereka umat yang paling banyak diutuskan Nabi dan Rasul.
ابعَث لَنا مَلِكًا نُّقٰتِل في سَبيلِ اللَّهِ
“Lantiklah seorang raja untuk kami, supaya boleh kami berperang pada jalan Allah”
Para pemimpin ketua puak daripada Bani Israil itu minta kepada Nabi mereka untuk melantik seorang raja bagi mereka yang akan menjadi ketua perang. Perkataan مَلِكًا dalam ayat ini bermaksud ‘ketua perang’. Maknanya bukan Nabi itu yang bawa tentera berperang. Mereka kononnya kata mereka akan pergi berperang bila sudah ada ketua. Cuma lantik sahajalah ketua untuk kami, kata mereka. Nampak alasan mereka itu hebat sebab hendak berjihad fi sabilillah, tetapi jangan percaya lagi puak ini. Mereka ketika itu ada ramai ketua puak tetapi oleh kerana ramai, maka mereka berpecah belah. Maka mereka sudah sedar yang mereka memerlukan seorang raja yang menyatukan mereka supaya mereka menjadi sebuah negara dan boleh menyatukan kekuatan mereka. Maka mereka minta dilantik seorang raja, tetapi nanti kita akan tahu bahawa sebenarnya yang mereka minta adalah mereka itu sendiri yang dilantik. Masing-masing sebenarnya laparkan pangkat paling tinggi dalam masyarakat.
Ini mengajar kita bahawa jihad tidak ada tanpa ketua. Ketua itu mestilah dilantik dan mestilah ketua yang dikenali kerana kita kena tahu yang ketua perang itu adalah Ahlul Haq, tidak boleh lantik ambil sesiapa sahaja. Namun kenapa mereka minta raja, bukan minta Nabi itu sendiri yang memimpin pasukan tentera? Ini kita tahu, mungkin Nabi yang bertugas ketika itu tidak mendapat kuasa untuk berperang. Boleh jadi kuasanya terbatas pada penyampaian dakwah dan mengajar sahaja. Atau boleh jadi juga kerana Nabi itu tidak memiliki kemampuan untuk berperang.
Ia juga mengajar kita yang manusia memerlukan pemimpin. Mesti ada yang seorang yang kata-katanya menentukan arah tuju dan pemutus keputusan. Kalau tiada ketua, maka kelam kabutlah sekumpulan manusia itu. Rasulullah ﷺ telah mengajar kita, jikalau hanya terdapat tiga orang bermusafir pun kenalah dilantik ketua, apatah lagi kalau dalam masyarakat yang lebih ramai. Lebih-lebih lagi jikalau hendak memimpin revolusi untuk membebaskan umat daripada cengkaman penjajah.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، وَأَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَا: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “إِذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ.”
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri dan Abu Hurairah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, keduanya berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila keluar tiga orang dalam suatu perjalanan (musafir), maka hendaklah mereka menjadikan salah seorang di antara mereka sebagai pemimpin/amir.”
(Sahih Muslim (Kitab al-Imarah, Bab Istihbab Isti’marah al-Wahid fi al-Safar) No. 1842)
Begitulah para ketua kaum itu meminta Nabi yang melantik raja bagi mereka. Kerana mereka pun tahu kalau Nabi yang lantik, mestilah baginda dipandu oleh Allah ﷻ. Jadi mereka serahkan kepada Nabi itu; tetapi nanti apabila sudah dilantik, mereka kata lain pula.
Untuk memahami dengan lebih lanjut geopolitik Bani Israil, kena faham bahawa Bani Israil ada mempunyai beberapa fasa dalam kepemimpinan. Ia bertukar antara Nabi dan Raja dan gabungan antara keduanya.
1. Zaman Nabi (Kepemimpinan Langsung oleh Nabi)
Sejak awal kemunculan mereka sebagai kaum, Bani Israil selalu dipimpin oleh para Nabi yang diutus oleh Allah ﷻ. Nabi-nabi ini bukan hanya pembawa risalah Ilahi tetapi juga pemimpin spiritual dan politik bagi kaum mereka.
-
- Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Baginda adalah Nabi agung yang memimpin Bani Israil keluar daripada perhambaan Firaun di Mesir. Baginda membawa syariat Taurat dan memimpin mereka melalui padang pasir selama 40 tahun. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah pemimpin mutlak mereka dalam segala aspek kehidupan.
- Nabi Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Saudara Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang juga seorang Nabi dan menjadi pembantu utama Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam memimpin kaumnya.
- Nabi Yusya’ bin Nun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Joshua): Setelah wafatnya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Harun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Nabi Yusya’ bin Nun عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (yang disebut Joshua dalam tradisi Yahudi/Kristian) mengambil alih kepemimpinan dan berhasil membawa Bani Israil memasuki Tanah Suci (Palestin).
- Nabi-nabi Sesudah Itu: Selepas penaklukan Tanah Suci, Bani Israil melalui tempoh yang disebut “Zaman Hakim-hakim” (Judges), di mana mereka kadang-kadang dipimpin oleh tokoh-tokoh yang Allah ﷻ bangkitkan untuk menyelamatkan mereka daripada musuh. Ramai “hakim-hakim” ini juga berfungsi sebagai Nabi atau mendapat ilham daripada Allah ﷻ. Contohnya termasuk Nabi Syamwil عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Samuel dalam Bible).
Dalam hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah ﷺ bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: “كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لاَ نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ.”
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Adalah Bani Israil itu dipimpin (diatur urusan mereka) oleh para Nabi. Setiap kali seorang Nabi meninggal dunia, maka Nabi yang lain menggantikannya. Dan sesungguhnya tidak ada Nabi setelahku, dan akan ada para khalifah (pemimpin) yang jumlahnya banyak.”
(Sahih Bukhari No. 3455, Sahih Muslim No. 1842)
Hadith ini jelas menunjukkan bahawa kepemimpinan kenabian adalah ciri utama sejarah awal Bani Israil.
2. Zaman Raja (Kepemimpinan Politik oleh Raja)
Kepemimpinan kenabian terus berlanjut, tetapi Bani Israil kemudian menginginkan seorang raja untuk memimpin mereka dalam peperangan, seperti yang dikisahkan dalam Surah Al-Baqarah ayat 246-247 ini.
-
- Raja Talut (Saul): Ketika Bani Israil merasa lemah dan mahukan seorang raja untuk memimpin mereka berperang melawan musuh (Jalut/Goliath), Allah ﷻ memilih Talut sebagai raja mereka melalui Nabi Syamwil عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Samuel). Talut adalah raja pertama Bani Israil. Kisah ini diceritakan dalam Al-Qur’an Surah Al-Baqarah (2): 246-247.
- Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (David): Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah salah seorang tentera dalam pasukan Talut yang kemudian membunuh Jalut. Setelah wafatnya Talut, Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diangkat menjadi raja sekaligus sebagai Nabi bagi Bani Israil. Di bawah kepemimpinan Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kerajaan Bani Israil mencapai kegemilangan.
- Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ (Solomon): Anak Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, juga seorang Nabi dan raja. Baginda mewarisi takhta kerajaan yang besar dan kuat daripada ayahandanya. Kerajaan Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mencapai puncak kekuasaan melalui penguasaan jin, binatang, dan angin, serta memiliki kebijaksanaan yang luar biasa.
- Raja-raja Selepas Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: Selepas kewafatan Nabi Sulaiman عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kerajaan Bani Israil terpecah kepada dua kerajaan: Kerajaan Israil di Utara dan Kerajaan Yehuda di Selatan. Kedua-dua kerajaan ini diperintah oleh raja-raja yang seringkali tidak patuh kepada ajaran Allah ﷻ dan Nabi-nabi yang diutus kepada mereka. Walaupun ada raja, masih ada Nabi yang diutus (seperti Nabi Ilyas, Nabi Ilyasa’, Nabi Yunus, Nabi Zakariya, Nabi Yahya عَلَيْهِمُ السَّلَامُ, dll.) untuk mengingatkan raja dan rakyat.
Interaksi Nabi dan Raja
Penting untuk diingatkan bahawa walaupun ada zaman raja, peranan Nabi tidak pernah hilang sepenuhnya dalam sejarah Bani Israil sehinggalah Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Nabi-nabi seringkali berperanan sebagai penasihat, pemberi peringatan, dan pemegang autoriti spiritual tertinggi, bahkan kepada raja-raja. Mereka bertanggungjawab untuk memastikan raja dan rakyat mematuhi hukum Allah. Konflik sering timbul apabila raja-raja dan rakyat Bani Israil tidak patuh kepada perintah Allah ﷻ dan nasihat para Nabi.
قالَ هَل عَسَيتُم إِن كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ أَلّا تُقٰتِلوا
Nabi mereka menjawab: “Tidakkah, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?,
Nabi mereka sendiri sudah masak dengan perangai mereka. Waktu itu memang mereka sibuk hendakkan seorang raja yang dapat menyatukan mereka yang sedang berpecah dan menjadi panglima perang, tetapi nanti kalau sudah ada, banyak pula alasan mereka untuk tidak mahu berperang. Nabi Samuel عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah tahu perangai kaumnya kerana sebagai seorang Nabi memang kena ada kebijaksanaan (atau fatanah). Ia adalah salah satu sifat wajib bagi seorang Nabi dan Rasul. Sifat ini sangat fundamental dan penting bagi mereka dalam menjalankan tugas kenabian dan kerasulan yang amat berat. Oleh itu, sebelum menunaikan permintaan mereka, baginda telah tanya awal-awal: ‘Ni kalau ada Nabi ni, korang pasti akan ikut ke tak?’
قالوا وَما لَنا أَلّا نُقٰتِلَ في سَبيلِ اللَّهِ
Mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah,
Apabila ditegur sebegitu, mereka kata memang mereka akan berperang. Mereka memang pandai bercakap dan berdolak dalih. Maka mereka sekarang keluarkan hujah mereka untuk mengatakan memang mereka pasti akan berperang nanti. Mereka kata: ‘Eh takkan tak percaya pula? Takkan kami tak jadi mahu berperang?’
وَقَد أُخرِجنا مِن دِيٰرِنا وَأَبنائِنا
sedangkan kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan juga anak-anak kami?”
Mereka kata memang mereka akan berperang kerana mereka marah setelah dihalau dari kampung halaman mereka dan anak-anak mereka pun telah ditawan musuh. Ini adalah kata-kata orang yang menyimpan dendam dan memang mereka sedang marah. Ini kerana kalau mereka sahaja dihalau pun sudah berat, tetapi kalau dengan keluarga mereka juga kena halau, ditangkap dan dibunuh, tentu lagi berat kemarahan mereka. Maknanya mereka sekarang bersemangat bersungguh-sungguh hendak berperang melawan musuh.
فَلَمّا كُتِبَ عَلَيهِمُ القِتالُ تَوَلَّوا إِلّا قَليلًا مِّنهُم
Maka apabila perang itu diwajibkan ke atas mereka, mereka semua berpaling, kecuali sebahagian kecil daripada mereka.
Tadi bukan main lagi bersemangat bonar mereka namun apabila benar-benar sudah disuruh berperang, mereka membuat onar pula untuk tidak pergi berperang. Memang begitulah perangai kebanyakan kaum Bani Israil. Cakap sahaja berdegar-degar tetapi tidak ada tindakan. Ini menjadi pengajaran kepada kita janganlah ‘cakap tak serupa bikin’. Begitulah Allah ﷻ menceritakan kepada kita sikap orang munafik yang apabila berjanji, mereka tidak tepati. Mulut sedap sahaja cakap itu dan ini tetapi kemudian mereka larikan diri buat tidak tahu apa yang mereka telah janji dulu.
Ini macam segelintir orang Melayu kita jugalah. Ketika sedang sakit atau ada masalah, mulut sedap sahaja bernazar. Mereka janji kalau musibah mereka diangkat, mereka akan buat itu dan ini. Akan tetapi apabila benar-benar musibah mereka telah diangkat, golongan ustazlah yang kena layan mereka. Sebab apa? Sebab mereka mahu mencari alasan untuk tidak perlu buat apa yang mereka janjikan dahulu. Berbuihlah mulut kita sebagai ustaz ini menasihati masyarakat supaya jangan laju sangat bernazar kerana bernazar itu makruh. Namun begitulah masyarakat ramai yang tidak faham.
Itulah kita diingatkan jangan cepat sangat berjanji. Ramai yang berkata kalau mereka kaya, dapat projek, menang tender, mereka akan infak, bina madrasah, bantu dakwah dan bermacam-macam lagi janji setinggi langit. Namun apabila dapat, entah lesap ke mana. Begitulah Allah ﷻ telah jelaskan sifat golongan munafik di dalam Tawbah: 75-76
وَمِنۡہُم مَّنۡ عَـٰهَدَ ٱللَّهَ لَٮِٕنۡ ءَاتَٮٰنَا مِن فَضۡلِهِۦ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (٧٥) فَلَمَّآ ءَاتَٮٰهُم مِّن فَضۡلِهِۦ بَخِلُواْ بِهِۦ وَتَوَلَّواْ وَّهُم مُّعۡرِضُونَ (٧٦)
Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami daripada limpah kurnia-Nya, tentulah kami akan bersedekah dan tentulah kami akan menjadi daripada orang-orang yang soleh. (75) Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka daripada limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan). (76)
Yang paling kuat berjanji dan kemudian di’capati’kan janji mereka kebiasaannya adalah ahli politik. Semasa kempen, sedap sahaja mulut mereka berjanji itu dan ini. Harga minyak turunlah, PTPTN dimansuhkanlah, dan bermacam-macam lagi. Namun bila menang, berkepuk alasan mereka beri. Sebenarnya itu memang sudah kerja mereka (janji kosong) tetapi yang peliknya rakyat masih lagi percaya janji-janji kempen ini.
Ini pun masalah dan perangai orang kita juga. Pandai cakap sahaja tetapi bila masa hendak buat, sedikit sahaja yang turun padang buat kerja. Kalau bagi idea, memang ramai akan beri idea dan cadangan, tetapi apabila buat kerja, yang menjalankannya hanyalah sedikit sahaja.
Begitulah dengan Bani Israil yang asalnya berjanji hendak berjihad tetapi kemudian hanya sedikit sahaja yang pergi. Dalam riwayat ada disebut bahawa daripada bilangan mereka sebanyak 80,000 orang, hanya 313 orang sahaja yang akhirnya pergi berjihad menentang tentera Jalut. Semasa minta raja, berdegar-degar mereka bersemangat hendak melawan musuh; tetapi apabila bertemu musuh benar-benar di depan mata, waktu itu barulah kecut segala benda. Kerana itulah Rasulullah ﷺ pernah menasihati kita,
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أَوْفَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ فِي بَعْضِ أَيَّامِهِ الَّتِي لَقِيَ فِيهَا الْعَدُوَّ: “يَا أَيُّهَا النَّاسُ لَا تَتَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ، وَاسْأَلُوا اللَّهَ الْعَافِيَةَ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا، وَاعْلَمُوا أَنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ ظِلَالِ السُّيُوفِ.”
Daripada Abdullah bin Abi Aufa رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda pada suatu hari daripada hari-hari baginda berhadapan dengan musuh: “Wahai sekalian manusia! Janganlah kamu bercita-cita (berharap) bertemu musuh, dan mintalah kepada Allah keselamatan (kesejahteraan). Namun, apabila kamu bertemu mereka, maka bersabarlah, dan ketahuilah bahawa syurga itu di bawah bayangan pedang.”
(Sahih Bukhari No. 2966 dan Sahih Muslim No. 1742)
وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ
Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.
Allah ﷻ sudah tahu perangai mereka. Sekarang Allah ﷻ beritahu perangai mereka kepada kita supaya kita beringat-ingat supaya jangan jadi seperti mereka. Namun apakah kezaliman mereka?
Kezaliman pertama adalah dengan tidak melakukan jihad seperti yang diarahkan kepada mereka. Dengan itu mereka telah melakukan kezaliman dengan tidak melakukan kewajipan. Zalim ini adalah zalim kepada diri sendiri.
Apabila Allah ﷻ beritahu di sini yang Dia tahu, maka ia mengandungi ancaman kepada golongan Muslim yang tidak mahu berjihad. Iaitu mereka yang memberi berbagai-bagai alasan untuk tidak berjihad.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 4 Jun 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
