HUKUM ASAL IDDAH
Baqarah Ayat 240: Kembali kepada ayat-ayat Umur Munazimah tentang hal-hal perkahwinan.
وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا وَصِيَّةً لِّأَزوٰجِهِم مَّتٰعًا إِلَى الحَولِ غَيرَ إِخراجٍ ۚ فَإِن خَرَجنَ فَلا جُناحَ عَلَيكُم في ما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ مِن مَّعروفٍ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
And those who are taken in death among you and leave wives behind – for their wives is a bequest: maintenance for one year without turning [them] out. But if they leave [of their own accord], then there is no blame upon you for what they do with themselves in an acceptable way. And Allah is Exalted in Might and Wise.
MALAY
Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka daripada perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا
Dan orang-orang yang dimatikan di antara kamu dan mereka ada meninggalkan isteri-isteri,
Digunakan kalimah يُتَوَفَّونَ di dalam bentuk mabni majhul (bentuk pasif). Ia mengingatkan kita yang Allah ﷻ boleh mematikan kita bila-bila masa sahaja dan kita tidak ada kuasa ke atasnya. Bila-bila masa Allah ﷻ boleh matikan kita, maka kenalah bersedia. Ayat ini adalah kepada suami yang mati dan ada meninggalkan isteri. Tentulah perkara ini biasa sangat terjadi maka Islam telah meletakkan saranan tentang apa yang perlu dilakukan dalam keadaan seperti itu. Islam tidak meninggalkan keadaan balu wanita itu dalam keadaan tergantung dan terkontang kanting.
Ayat ini telah dimansukhkan dengan Ayat 234 sebelum ini. Akan tetapi walaupun hukumnya telah dimansukhkan akan tetapi ayatnya masih dikekalkan. Ini adalah contoh nasakh dzimni di mana Allah ﷻ tidak menyebutkan secara sarih (jelas) akan berlakunya nasakh. Akan tetapi terdapat hukum lain yang disyariatkan yang mana ia bercanggah dengan hukum sebelumnya tanpa adanya nas yang sarih menunjukkan akan mansukhnya hukum yang pertama dan tidak boleh untuk dihimpunkan di antara keduanya. Maka pensyariatan hukum yang terkemudian itu menjadi nasikh dzimni (terkandung) bagi hukum yang terdahulu. Pendapat yang mengatakan ayat 240 ini telah dimansukhkan oleh ayat 234 adalah kuat,
قَالَ ابْنُ الزُّبَيْرِ قُلْتُ لِعُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ { وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا } قَالَ قَدْ نَسَخَتْهَا الْآيَةُ الْأُخْرَى فَلِمَ تَكْتُبُهَا أَوْ تَدَعُهَا قَالَ يَا ابْنَ أَخِي لَا أُغَيِّرُ شَيْئًا مِنْهُ مِنْ مَكَانِهِ
Ibnu Zubair berkata; Aku bertanya kepada Utsman bin Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ mengenai ayat; “Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isteri (Al-Baqarah: 240)”. Beliau menjawab; Ayat itu telah dinasakh dengan ayat yang lain. Lalu aku bertanya; kenapa kamu menulisnya atau membiarkannya? Dia menjawab; Wahai anak saudaraku, aku tidak akan merubahnya sedikit pun dari tempatnya.
(Sahih Bukhari No. 4166)
Ayat 234 menunjukkan bahawa isteri-isteri yang kematian suami hendaklah mereka itu beriddah selama empat bulan sepuluh hari. Akan tetapi berdasarkan ayat 240 ini, dapatlah difahami bahawa iddah bagi wanita yang kematian suaminya adalah selama setahun penuh pada awal-awal Islam dahulu. Ini bagi pendapat yang mengatakan ada nasikh mansukh di sini.
Namun begitu ada pendapat juga yang mengatakan ia tidak dimansukhkan. Ia masih lagi terpakai. Iaitu yang wajib bagi isteri adalah menunggu selama 4 bulan 10 hari dan sunat kalau mereka menunggu selama setahun di rumah suami.
وَصِيَّةً لِّأَزوٰجِهِم
hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka
Suami itu digalakkan untuk berwasiat iaitu meninggalkan pesan kepada walinya supaya menjaga isterinya itu. Kalau sudah rasa ajal akan menjemput tidak lama lagi, maka patutlah sangat difikirkan keadaan isteri dan anak-anak. Tidak patut isterinya itu dibiarkan begitu sahaja. Maka seorang suami hendaklah memikirkan perkara ini: “Apa yang akan jadi dengan anak isteri aku kalau aku tiba-tiba tidak ada?” Maka hendaklah dia mengingatkan ahli keluarganya untuk menjaga anak isterinya dan biarkan mereka tinggal di rumah itu selama setahun sekurang-kurangnya.
Kalau suami itu tidak sempat kerana bukan semua sempat sakit dahulu, mungkin mati secara tiba-tiba , maka diingatkan di dalam ayat ini bahawa ada wasiat daripada Allah ﷻ kepada mereka. Jangan jadikan alasan arwah suami tidak cakap apa-apa pula kerana sudah ada ayat Al-Qur’an terpampang sangat jelas. Kamu kalau jahil, tanyalah kepada orang yang tahu. Orang yang tahu pula, ingatkanlah kepada ‘waris dari neraka’ yang tamak membolot sahaja harta arwah. Banyak kita dengar ada manusia yang tidak berhati perut yang hanya datang untuk mengambil ‘hak’ mereka katanya. Mereka ini tidak patut dibiarkan berleluasa kerana hak itu datang bersama tanggungjawab sebenarnya. Merekalah yang bertanggungjawab menjaga keluarga arwah kerana merekalah waris. Namun, kebiasaannya yang terjadi, mereka hanya nampak bahagian ‘ambil’ sahaja, mereka tidak nampak bahagian yang ‘kena beri’. Maka mereka ini mesti diingatkan oleh pihak berkuasa yang mereka bukan boleh sewenang-wenangnya datang mengambil kunci kereta dan rumah dan menghalau balu kepada si mati.
مَّتٰعًا إِلَى الحَولِ غَيرَ إِخراجٍ
iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya.
Disunatkan untuk menyediakan nafkah daripada harta yang ditinggalkannya sampai cukup setahun jikalau isterinya itu tidak berkahwin lain. Diwasiatkan atas dasar jasa baik dan kasih sayang terhadap isterinya itu. Isterinya itu memang boleh berkahwin lain tetapi jikalau mereka tidak, maka perlu diwasiatkan untuk penjagaan mereka. Ini kerana mungkin setelah habis iddah, isterinya tidak dipinang lagi.
Maka yang terbaik isterinya itu diwasiatkan (diberi peringatan kepada ahli waris) untuk dibiarkan tinggal di rumah yang dia tinggal bersama suaminya sebelum itu selama cukup setahun. Janganlah dihalau isteri itu keluar walaupun suaminya sudah tidak ada lagi. Oleh kerana suaminya tidak ada lagi, maka waris mestilah menjalankan tanggungjawab ini.
Penting untuk berwasiat kerana kalau tidak, entah apa yang akan terjadi kepada balunya itu. Entah nanti penerima waris terus mengambil sahaja harta peninggalan arwah dan dihalaunya balu itu dari rumah itu. Jadi hendaklah berwasiat sebaik-baiknya dan pastikan ada orang yang akan menjalankan wasiat itu. Malah kalau ada yang berhati baik, bukan sahaja setahun dibenarkan tinggalkan, malah dibenarkan tinggal terus memandangkan itulah rumah yang dia pernah hidup dengan arwah suaminya dahulu.
Asbabun Nuzul ayat: Diriwayatkan oleh Ishaq bin Rahawaih dalam Tafsir-nya dari Muqatil bin Hayyan, bahawasanya seseorang daripada penduduk Thaif datang ke kota Madinah bersama anak-anak laki-laki dan perempuannya, dia juga membawa kedua orang tuanya serta isterinya. Kemudian dia meninggal di kota Madinah, maka khabar tersebut terdengar oleh Nabi ﷺ, maka baginda memberikan warisan kepada kedua orang tuanya dan anak-anaknya, akan tetapi dia tidak memberikan isterinya apa pun, hanya mereka diperintahkan untuk memberikan nafkah kepada isteri tersebut daripada harta yang ditinggalkan oleh sang suami selama setahun, maka turunlah ayat ini.
فَإِن خَرَجنَ فَلا جُناحَ عَلَيكُم في ما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ مِن مَّعروفٍ
Kemudian jika mereka keluar maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka daripada perkara yang patut
Isteri itu boleh tinggal selama setahun di rumah itu, tetapi kalau isterinya itu keluar juga, maka tidaklah ada kesalahan kepada wali-wali arwah suaminya itu. Mungkin kerana telah dipinang orang, atau hendak kembali ke rumah ibu bapanya sendiri. Jadi wanita itu ada pilihan. Hukum kena tinggal selama setahun di rumah suami telah dimansukhkan dengan potongan ayat ini seperti yang disebut di dalam hadith.
عَنْ ابْنِ أَبِي نَجِيحٍ عَنْ مُجَاهِدٍ { وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا } قَالَ كَانَتْ هَذِهِ الْعِدَّةُ تَعْتَدُّ عِنْدَ أَهْلِ زَوْجِهَا وَاجِبٌ فَأَنْزَلَ اللَّهُ { وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا وَصِيَّةً لِأَزْوَاجِهِمْ مَتَاعًا إِلَى الْحَوْلِ غَيْرَ إِخْرَاجٍ فَإِنْ خَرَجْنَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ فِي أَنْفُسِهِنَّ مِنْ مَعْرُوفٍ } قَالَ جَعَلَ اللَّهُ لَهَا تَمَامَ السَّنَةِ سَبْعَةَ أَشْهُرٍ وَعِشْرِينَ لَيْلَةً وَصِيَّةً إِنْ شَاءَتْ سَكَنَتْ فِي وَصِيَّتِهَا وَإِنْ شَاءَتْ خَرَجَتْ وَهْوَ قَوْلُ اللَّهِ تَعَالَى { غَيْرَ إِخْرَاجٍ فَإِنْ خَرَجْنَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ } فَالْعِدَّةُ كَمَا هِيَ وَاجِبٌ عَلَيْهَا زَعَمَ ذَلِكَ عَنْ مُجَاهِدٍ وَقَالَ عَطَاءٌ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ نَسَخَتْ هَذِهِ الْآيَةُ عِدَّتَهَا عِنْدَ أَهْلِهَا فَتَعْتَدُّ حَيْثُ شَاءَتْ وَهْوَ قَوْلُ اللَّهِ تَعَالَى { غَيْرَ إِخْرَاجٍ } قَالَ عَطَاءٌ إِنْ شَاءَتْ اعْتَدَّتْ عِنْدَ أَهْلِهِ وَسَكَنَتْ فِي وَصِيَّتِهَا وَإِنْ شَاءَتْ خَرَجَتْ لِقَوْلِ اللَّهِ تَعَالَى { فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ } قَالَ عَطَاءٌ ثُمَّ جَاءَ الْمِيرَاثُ فَنَسَخَ السُّكْنَى فَتَعْتَدُّ حَيْثُ شَاءَتْ وَلَا سُكْنَى لَهَا
Daripada Ibnu Abu Najih daripada Mujahid mengenai firman Allah ﷻ: Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isteri (Al Baqarah: 234). Ayat ini menerangkan wajibnya iddah di rumah keluarganya. Lalu Allah ﷻ menurunkan ayat; “Dan orang-orang yang akan mati di antara kami dan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah membuat wasiat untuk isteri-isterinya iaitu nafkah sampai setahun tanpa mengeluarkannya dari rumah. Tetapi jika mereka keluar sendiri, maka tidak ada dosa bagimu mengenai apa yang mereka lakukan terhadap diri mereka sendiri dalam hal-hal yang baik.” Mujahid berkata; Allah ﷻ telah menjadikannya sebagai penyempurna dalam hitungan setahun iaitu tujuh bulan dan dua puluh malam sebagai wasiat. Apabila dia ingin, maka dia menempati sesuai wasiat tersebut. Namun jika dia ingin keluar, maka itu sudah menjadi kehendaknya. Itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah ﷻ: “Tetapi jika mereka keluar sendiri, maka tidak ada dosa bagimu“. Maka Iddah adalah perkara yang wajib. Perawi mengaku itu daripada Mujahid. Atha berkata; Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا berkata; “Ayat ini telah menghapus ‘iddah di rumah keluarganya sehingga ia beriddah di tempat yang dia kehendaki, iaitu firman Allah ﷻ: ‘Tanpa keluar rumah.’ Atha berkata; ‘Jika dia berkehendak, maka dia beriddah di rumah keluarganya dan tinggal sesuai wasiatnya.’ Namun jika dia berkehendak, dia keluar darinya. Sebagaimana firman Allah ﷻ: “Maka tidak ada dosa bagimu mengenai apa yang mereka lakukan terhadap diri mereka sendiri.” (Al-Baqarah: 240), Atha berkata; kemudian turun ayat mirats (mengenai warisan) yang menghapus mengenai tempat tinggal, maka dia boleh beriddah sesuai kehendaknya tanpa harus tinggal di rumahnya.
(Sahih Bukhari No. 4167)
Namun kenalah pastikan yang apa yang dilakukan oleh wanita itu adalah perkara yang makruf (yang baik). Sebagai contoh, dia berkahwin lain, atau kerja tempat yang jauh atau pulang ke rumah ibubapa. Tidaklah boleh dibenarkan kalau ikut lelaki lain pula.
وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ
dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Allah ﷻ maha berkuasa untuk menghukum sesiapa sahaja yang membuat kesalahan dengan serta merta. Namun Allah ﷻ Maha Bijaksana, maka Allah ﷻ menangguh hukuman itu dan ini memberi peluang kepada mereka yang berbuat salah untuk bertaubat dan membaiki kesalahan mereka.
Kesalahan apa yang dimaksudkan di sini? Iaitu kalau ada yang menghalau balu waris sendiri, itu adalah satu perbuatan yang tidak patut. Maka perbetulkan balik dengan membenarkan dia duduk di rumah itu. Jikalau ada mengambil hak dia, maka mestilah kembalikan.
MENYANTUNI ISTERI YANG DICERAI
Baqarah Ayat 241:
وَلِلمُطَلَّقٰتِ مَتٰعٌ بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُتَّقينَ
SAHIH INTERNATIONAL
And for divorced women is a provision according to what is acceptable – a duty upon the righteous.
MALAY
Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.
وَلِلمُطَلَّقاتِ مَتاعٌ بِالمَعروفِ
Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut,
Kepada wanita yang diceraikan wajib diberikan sedikit sebanyak hadiah kepada mereka. ‘Makruf’ itu bermaksud hadiah yang boleh mengurangkan sedikit kesedihan dan kemarahan kepada mereka. Ini kerana kalau seorang wanita diceraikan setelah sekian lama berkahwin, tentulah ada kesedihan dan serba sedikit rasa marah kerana ditinggalkan.
Sebelum ini kita telah perhatikan di dalam Baqarah: 236 bahawa isteri yang dicerai sebelum disetubuhi, hendaklah diberikan dengan mut’ah sebagai saguhati.
لّا جُناحَ عَلَيكُم إِن طَلَّقتُمُ النِّساءَ ما لَم تَمَسّوهُنَّ أَو تَفرِضوا لَهُنَّ فَريضَةً ۚ وَمَتِّعوهُنَّ عَلَى الموسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى المُقتِرِ قَدَرُهُ مَتٰعًا بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُحسِنينَ
Tidaklah kamu bersalah (dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.
Ayat 241 ini menjelaskan lagi hal ini. Iaitu semua isteri yang diceraikan hendaklah diberi juga dengan mut’ah sebagai pengubat hati. Adapun hikmahnya ialah supaya perceraian jangan menimbulkan bisik-bisikan, umpat-umpatan. Juga ia menjadi tanda bahawa bekas suami adalah seorang yang halus perasaan, tidak membiarkan jandanya terlantar sesudah bercerai, sehinggalah dia mendapat suami lain. Tambahan pula bekas isteri itu berkemungkinan menjaga anak benihnya sendiri. Di dalam ayat ini ditegaskan benar-benar bahawa ini adalah kewajipan bagi orang yang bertaqwa. Kerana orang yang ada taqwa kepada Allah ﷻ itu halus perasaannya. Bukan orang yang patut dituduh hanya laksana kumbang menyeri bunga, kumbang pun terbang bunga pun layu.
Maksud ‘makruf’ itu juga, hendaklah mut’ah itu diberikan dengan cara yang baik. Oleh itu, ketika kita beri hadiah itu, kita berilah dengan cara baik dan tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh menyebabkan kesedihan dan kemarahan kepada wanita itu pula. Ini kerana ada orang yang beri tetapi mereka tunjukkan yang mereka tidak suka semasa memberi hadiah itu.
Kita kenalah sedar tujuan kita memberi hadiah itu iaitu untuk mengurangkan kesedihannya. Jikalau kita memberi itu tetapi dalam masa yang sama menyebabkan dia sakit hati maka itu tidak menepati syari’at.
Mungkin inilah cara terbaik yang diajar oleh Islam apabila bercerai. Walaupun dicerai, tetapi isteri diberikan dengan mut’ah yang menyebabkan mereka senang hati dan juga redha. Dalam beberapa kitab sejarah seperti oleh al-Mas’udi dan Ibn Abi al-Hadid, disebut bahawa Saidina Hasan menikahi dan menceraikan hingga 70 orang wanita. Bahkan ada yang mengatakan ayahnya, Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ memperingatkan kaum Kufah agar tidak menikahkan anak perempuan mereka dengan Hasan kerana beliau sering menceraikan isteri. Namun, kita perlu tambahkan di sini yang riwayat-riwayat ini dipertikaikan kesahihannya, kerana ia tidak disebut dalam sumber hadith yang sahih seperti al-Bukhari atau Muslim. Bahkan ia banyak bersandarkan riwayat ahli sejarah Syi’ah dan Mu’tazilah, yang kadang memuatkan unsur tokok tambah atau prejudis. Ramai ulama menyatakan bahawa Saidina Hasan memang berkahwin banyak kali, bercerai pun banyaklah juga, namun jumlah pastinya tidak diketahui secara sahih. Perkahwinan beliau juga tidak melanggar syariat, dan tidak terbukti secara sahih bahawa beliau menceraikan isteri dengan cara yang zalim atau tidak bertanggungjawab. Imam Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ dan beberapa ulama lain menyatakan bahawa menikahi dan menceraikan wanita bukanlah satu dosa jika dilakukan dengan adil dan bersebab syarie. Yang kita kena tambah di sini adalah semua isteri-isteri beliau yang diceraikan itu tidaklah marah kepada beliau kerana mereka diberikan dengan mut’ah yang banyak. Jadi walaupun diceraikan, mereka gembira.
حَقًّا عَلَى المُتَّقينَ
satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.
Ini adalah tanggungjawab kepada orang yang menjaga akidah dan taqwanya. Maka ulama’ berpendapat yang mut’ah ini adalah wajib. Akan tetapi, ramai dalam kalangan para suami yang menceraikan isterinya tidak menjalankan kewajipan ini mungkin kerana jahil tentang hukum ini. Ini tidak menghairankan kerana masyarakat Islam kita bukannya kenal ayat-ayat dalam Al-Qur’an lagi. Mungkin tidak pernah dengar pun ayat ini, jauh sekali untuk faham apatah lagi mengamalkannya. Ini amat menyedihkan kerana kalau kita baca ayat-ayat ini, kita nampak betapa indahnya Islam ini, walaupun bercerai, tetap dilakukan dengan cara yang amat baik, menjaga sungguh-sungguh hati sesama bekas pasangan itu.
Beberapa riwayat asbabun nuzul menyebutkan bahawa setelah turunnya ayat 236 yang mewajibkan mut’ah bagi wanita yang diceraikan sebelum dicampuri dan ditetapkan maharnya, ada seorang laki-laki yang berkata (dengan nada kurang senang atau meremehkan), “Jika aku ingin berbuat baik, aku akan melakukannya. Jika tidak, maka aku tidak akan melakukannya.” Sebagai respons terhadap sikap ini, Allah ﷻ menurunkan ayat 241 ini untuk menegaskan bahawa pemberian mut’ah kepada wanita yang diceraikan adalah “حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ” (suatu kewajipan bagi orang-orang yang bertaqwa). Ini menunjukkan bahawa ia bukan hanya sekadar kebaikan yang sifatnya pilihan, tetapi merupakan tuntutan taqwa dan keadilan.
Baqarah Ayat 242: Sekarang adalah penutup bagi rentetan ayat-ayat tentang hubungan suami isteri dan nikah cerai.
كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ
SAHIH INTERNATIONAL
Thus does Allah make clear to you His verses that you might use reason.
MALAY
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya supaya kamu memahaminya.
كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم ءَايَـٰتِهِۦ
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukum-Nya
Begitulah Allah ﷻ mengajar kepada kita cara-cara untuk menjalani kehidupan kita supaya semuanya dapat hidup aman dan damai serta dapat menjaga hukum Allah ﷻ di atas muka bumi ini. Segala hukum yang Allah ﷻ ajar kita ini adalah untuk kebaikan kita sendiri juga sebenarnya. Maka amatlah rugi kalau kita tidak melakukannya. Atau kita ambil ringan mengenainya. Mungkin ada yang ambil ringan dengan mencari pendapat-pendapat yang ringan seperti tidak mewajibkannya. Maka akan ada yang kata: “Alahh, ia anjuran sahaja, bukannya wajib…”. Janganlah begitu.
Perhatikan firman Allah, يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم yang bermakna Allah ﷻ telah menjelaskan hukumnya. Kalau ada yang tidak faham, itu hanya kerana tidak belajar sahaja dan ternyata memang ramai tidak belajar pun. Maka kerana itulah ramai isteri menjadi marah kerana hak-hak mereka terabai. Sedangkan jikalau diperhatikan dan diikuti cara-cara yang diajar di dalam Islam, maka sepatutnya tidak ada rasa tidak puas hati. Namun begitu, bagaimanalah perkara ini hendak sampai kepada masyarakat? Asatizah yang mengajar tafsir Al-Qur’an dan Sunnah ditahan-tahan daripada mengajar, yang bergendang berjoget pula yang disanjung dan dibenarkan. Yang ajar ajaran karut dibenarkan mengajar, yang mengajar dengan benar tidak diberikan tauliah kepada mereka walaupun telah diminta.
Perhatikan juga kalimah لَكُم (bagi kalian). Maknanya ayat-ayat ini semua adalah untuk semua umat Islam. Bukannya kepada orang tertentu sahaja. Ini kerana ada yang mengatakan kita takkan faham ayat-ayat Al-Qur’an kerana kita orang biasa sahaja. Ulama’ sahaja boleh faham, kata mereka. Ini adalah pendapat yang jahil dan menghadkan perkara yang tidak perlu dihadkan. Sedangkan Allah ﷻ sudah beritahu yang ayat-ayat Al-Qur’an telah dijelaskan bagi kita semua dan malah 4 kali Allah ﷻ ulang di dalam Surah Qamar ayat ini,
وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?
Malangnya yang kata Al-Qur’an tidak boleh difahami orang awam adalah para asatizah sendiri. Itulah mereka yang tidak belajar pun tafsir Al-Qur’an dan Sunnah. Jadi oleh kerana mereka tidak belajar, maka mereka pun tidak mahu masyarakat belajar kerana kalau masyarakat jadi pandai, susahlah mereka hendak menggoreng masyarakat awam lagi. Mereka tahu masyarakat awam yang pandai ilmu wahyu, akan sedar yang golongan asatizah itu ramai yang jahil-jahil belaka. Pandai dan lembut lidah berbicara bagaikan tin kosong sahaja, walhal ilmu wahyu kosong di dada.
لَعَلَّكُم تَعقِلونَ
mudah-mudahan kamu dapat memikirkannya
Kena guna akal kita yang waras untuk memahami segala perkara ini. Akal yang sihat dan belajar secara saksama, akan nampak kepentingan segala hukum yang Allah ﷻ telah berikan. Apabila kita dapat memahami hikmah sesuatu hukum itu, maka kita akan mudah untuk melakukannya. Akal yang sihat akan suka belajar wahyu kerana wahyu ini mesra akal dan menjadikan pelajarnya cerdik-cerdik belaka, tidak mudah ditipu oleh ahli agama lagi.
Habis Ruku’ 31 daripada 40 surah ini. Ini adalah ringkasan ayat-ayat yang berkenaan hukum hakam perkahwinan yang kita telah belajar di dalam Surah Al-Baqarah ini.
Sekarang mari kita bincangkan Komposisi Cincin bagi Makro Keenam Surah Baqarah ini. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Makro Keenam ini mengenai hukum hakam baru umat Islam baru bangun (ayat 178 – 242). Hukum hakam amat penting untuk menguruskan umat Islam yang baru naik ini (Umat Islam, umat Nabi Muhammad ﷺ). Ia adalah silang kepada Makro Kedua (B) sebelum ini. Di dalam Makro Kedua Allah ﷻ mengutuk Bani Israil yang tidak taat kepada syariat dan hukum hakam yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Sekarang kita umat Islam yang baru bangun ini pula selepas mereka yang diberikan dengan hukum hakam.
Mari kita lihat kandungan Makro ini dengan lebih mendalam:
Penjelasan:
[B11]/[B11′] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini Allah ﷻ mengajar hukum hakam berkenaan kemaslahatan umat Islam. Allah ﷻ memberi hukum Qisas, kemudian tentang harta iaitu diberikan hukum Faraid dan Wasiat, kemudian diajar hukum munakahat (nikah & cerai) dan perkara-perkara yang berkaitan dengan pernikahan itu.
[B12]/[B12′] – Bahagian ini bermula dengan hukum puasa yang panjang lebar. Disebut di dalam di dalam Bahagian [B12] bolehnya pasangan suami isteri bersama di malam hari Bulan Ramadhan. Di dalam [B12′] disebut pula hukum hakam persetubuhan antara suami isteri.
[B13]/[B13′] – Di dalam Bahagian [B13] Allah ﷻ menegur tentang cara salah di dalam pengambilan harta (ambil dengan cara salah dan menggunakan rasuah); dan di dalam Bahagian [B13′] pula Allah ﷻ mengajar bagaimanakah cara yang baik untuk menggunakan harta itu iaitu dengan infak harta kita yang lebih dari keperluan kita dan tidak salah kalau bercampur harta kita dengan harta anak yatim.
[B14]/[B14′] – Di dalam Bahagian ini Allah ﷻ menjawab dua soalan. Soalan pertama tentang bulan dan kemudian ada soalan berkenaan arak dan judi.
[B15]/[B15′] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini Allah ﷻ memberikan hukum hakam Jihad.
[B16]/[B16′] – Kedua-dua Bahagian ini mengandungi anjuran tentang infak.
[B17]/[B17′] – Di dalam Bahagian ini Allah ﷻ menyebut tentang dua golongan yang rugi. Di dalam [B17] Allah ﷻ menyentuh tentang golongan Munafik dan di dalam [B17′] Allah ﷻ menyebut tentang golongan kafir yang berselisih tentang wahyu kerana kedegilan mereka.
[B18] – Di Bahagian tengah ini Allah ﷻ mengajar untuk masuk Islam dengan sepenuhnya, iaitu taat kepada suruhan Allah ﷻ dan meninggalkan segala larangan-Nya. Di dalam bahagian ini terdapat banyak sekali hukum hakam yang mengandungi suruhan dan larangan, maka semuanya kita kena ikut.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 7 Julai 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)




