CARA SEBENAR BERCERAI
Baqarah Ayat 229: Akad perkahwinan bukanlah seperti akad perniagaan. Ada hukum hakam tertentu yang perlu diperhatikan. Dari mula menikah sampailah jikalau hendak bercerai, Allah ﷻ telah tetapkan hukum dan caranya.
الطَّلٰقُ مَرَّتانِ ۖ فَإِمساكٌ بِمَعروفٍ أَو تَسريحٌ بِإِحسٰنٍ ۗ وَلا يَحِلُّ لَكُم أَن تَأخُذوا مِمّا ءآتَيتُموهُنَّ شَيئًا إِلّا أَن يَخافا أَلّا يُقيما حُدودَ اللهِ ۖ فَإِن خِفتُم أَلّا يُقيما حُدودَ اللَّهِ فَلا جُناحَ عَلَيهِما فيمَا افتَدَت بِهِ ۗ تِلكَ حُدودُ اللهِ فَلا تَعتَدوها ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدودَ اللهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ
SAHIH INTERNATIONAL
Divorce is twice. Then, either keep [her] in an acceptable manner or release [her] with good treatment. And it is not lawful for you to take anything of what you have given them unless both fear that they will not be able to keep [within] the limits of Allah . But if you fear that they will not keep [within] the limits of Allah , then there is no blame upon either of them concerning that by which she ransoms herself. These are the limits of Allah , so do not transgress them. And whoever transgresses the limits of Allah – it is those who are the wrongdoers.
MALAY
Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu daripada apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
الطَّلٰقُ مَرَّتانِ
Talak itu hanya dua kali.
Kalimah ‘talaq’ daripada segi bahasa adalah ‘merungkaikan ikatan tali’. Ini berlawanan dengan maksud ‘nikah’ yang bermaksud ‘mengikat tali’.
Bukankah talak ada tiga? Jadi kenapa disebut dua kali sahaja di sini? Kerana talak yang boleh dirujuk kembali itu hanya dua kali. Selama dua kali itu, si isteri mestilah tunggu dan terima dengan redha kerana hak itu ada pada suami. Maknanya, kalau selepas bercerai, suami hendak rujuk, maka si isteri kena terima balik. Kemudian cerai kali kedua dan suami rujuk, kena terima juga. Kalau tidak suka pun, kenalah bersabar.
Ayat ini memansukhkan perbuatan masyarakat jahiliyyah sebelum Islam. Para suami zaman itu telah mengambil kesempatan menceraikan isteri mereka dan kemudian sebelum habis iddah, mereka rujuk kembali. Mereka melakukan perkara ini banyak kali kerana hendak menyeksa isteri mereka. Waktu itu tidak ada had lagi sampaikan boleh buat beratus kali untuk menyeksa isteri mereka. Maka sekarang mereka tidak boleh lagi kerana sudah ada had.
Jelaslah Islam mengajar umatnya supaya jangan main-main dengan talak lagi. Kalau sudah talak dua kali, maka kenalah berhati-hati kerana kalau talak kali ketiga, sudah tidak ada rujuk lagi. Kalau sudah dua kali cerai dan rujuk, maka sudah kena berhati-hatilah dengan kata-kata dan perbuatan kerana sudah tidak ada peluang untuk rujuk kalau sudah bercerai lagi.
Nota: Kita hendak menambah di sini bahawa perceraian bukanlah sesuatu yang hina. Duda dan juga janda tidak semestinya bersalah. Ia adalah perkara biasa dalam kehidupan manusia, maka janganlah kita menghina mereka yang menjadi duda atau menjadi janda. Orang yang bercerai bukanlah orang yang jahat, tidak pandai menjaga isteri atau suami. Stigma ini hendaklah dihilangkan daripada minda kita.
Kita kena sedar yang kadangkala perkahwinan itu tidak sesuai bagi pasangan itu. Kita pun tidak tahu di mana yang tidak kena, tetapi kita kenalah beri ruang kepada mereka untuk mengundurkan diri daripada perkahwinan yang tidak sesuai. Janganlah mereka dipaksa kekal dalam perkahwinan yang tidak menggembirakan mereka. Biarlah mereka bercerai supaya mereka boleh buat pilihan yang lain pula. Malangnya ramai pasangan kekal dalam perkahwinan yang buruk kerana malu digelar janda atau duda.
Timbullah satu persoalan: bagaimana jikalau seseorang suami dengan marahnya dan bodohnya mengucapkan kepada isterinya, “Aku ceraikan engkau dengan talak 3!” atau, “Aku talak kau, aku talak kau, aku talak kauuuuuu!”. Lagi best kalau lelaki itu habis akal terus dan cakap: “Aku talak kau sejuta!” Adakah ini jatuh satu talak sahaja atau tiga terus atau sejuta? Kalaulah kita katakan jatuh dengan satu talak, maka si suami mempunyai hak untuk rujuk kerana orang lelaki yang merdeka mempunyai 3 bilangan talak. Sebaliknya kalau kita katakan jatuh dengan talak 3, maka si suami tidak lagi mempunyai hak untuk rujuk.
PANDANGAN JUMHUR ULAMA. Para jumhur yang terdiri daripada golongan Hanafiyyah, Malikiah, Syafi’iyyah dan Hanabilah mengatakan bahawa talak tiga sekaligus diiktiraf dan dikira 3 talak. Si suami yang mengucapkan lafaz demikian dikira menceraikan isterinya dengan 3 talak dan dia tidak boleh lagi merujuk kembali bekas isterinya kecuali setelah isterinya berkahwin dengan lelaki lain, berlaku persetubuhan antara bekas isterinya dan suami barunya, kemudian kalaulah mereka bercerai, barulah si suami yang pertama ini kembali menikahinya dengan akad dan mas kahwin yang baru setelah isteri berkenaan habis iddahnya.
Masalah ini terdapat perselisihan pendapat yang masyhur dalam kalangan para ulama. Imam Syafi’i رَحِمَهُ اللَّهُ berpendapat bahawa talak seperti ini hukumnya mubah dan dianggap talak tiga. Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan pendapat terakhir daripada Imam Ahmad رحمهم الله menyatakan bahawa talak ini dihukumi haram dan tetap dianggap talak tiga.
Sedangkan ulama Zhahiri, Ibnu Taimiyah dan muridnya Ibnul Qayyim رحمهم الله berpendapat bahawa talak tiga dalam sekali ucap dihukumi haram dan dianggap hanya satu talak (bukan tiga kali talak). Pendapat ini juga menjadi pendapat kebanyakan tabi’in. Pendapat terakhir inilah yang lebih kuat dengan alasan sebagai berikut:
1. Kita dapat berdalil dengan firman Allah ﷻ yang disebut di atas,
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ
“Talak (yang dapat kembali rujuk) dua kali”
Yang dimaksudkan di sini adalah talak itu ada dua, ertinya talak itu tidak sekali ucap. Jika jatuh talak, lalu dirujuk, setelah itu ditalak lagi, ini baru disebut dua kali. Ertinya ada kesempatan untuk rujuk. Sedangkan talak tiga dalam sekali ucap tidak berlaku demikian dan berlawanan dengan aturan yang telah Allah ﷻ tetapkan. Kita buat satu analogi dengan seseorang berzikir “subhanallah”. Jika diperintahkan bertasbih sebanyak 100 kali, maka kita ucapkan subhanallah berulang sampai 100 kali. Jika hanya disebut, “Subhanallah 100x”, maka ini sama sahaja dengan sekali ucap dan belum dianggap 100 kali ucapan yang berulang.
2. Ada riwayat yang mendukung bahawa talak tiga sekali ucap dianggap satu. Daripada Thowus, daripada Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, beliau berkata,
كَانَ الطَّلاَقُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَأَبِى بَكْرٍ وَسَنَتَيْنِ مِنْ خِلاَفَةِ عُمَرَ طَلاَقُ الثَّلاَثِ وَاحِدَةً فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ إِنَّ النَّاسَ قَدِ اسْتَعْجَلُوا فِى أَمْرٍ قَدْ كَانَتْ لَهُمْ فِيهِ أَنَاةٌ فَلَوْ أَمْضَيْنَاهُ عَلَيْهِمْ. فَأَمْضَاهُ عَلَيْهِمْ.
Di masa Rasulullah, Abu Bakr, lalu dua tahun di masa khilafah ‘Umar muncul ucapan talak tiga dalam sekali ucap. ‘Umar pun berkata, “Manusia sekarang ini sungguh tergesa-gesa dalam mengucapkan talak tidak sesuai dengan aturan Islam yang dulu pernah berlaku, iaitu talak itu masih ada kesempatan untuk rujuk. Kerana ketergesa-gesaan ini, aku mensahkan talak tiga sekali ucap.” Akhirnya ‘Umar pun mensahkan talak tiga sekali ucap dianggap telah jatuh tiga kali talak
(Muslim No. 1472)
Hadith ini menunjukkan bahawa talak itu sepatutnya masih ada kesempatan untuk rujuk, tidak terus jatuh tiga kali talak dan tidak ada rujuk sama sekali. Jadi kenapa Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ buat begitu? Kerana merajalelanya kebiasaan mentalak tiga sekaligus dalam sekali ucap, maka Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ memutuskan dianggap tiga kali talak. Hal ini dilakukan Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ agar orang tidak bermudah-mudahan dalam menjatuhkan talak tiga sekaligus. Namun sekali lagi, talak tetap masih ada kesempatan untuk rujuk.
3. Dalil ketiga adalah Hadith Rukanah yang juga menceraikan isterinya dengan sekali lafaz, namun bila dirujuk kepada Nabi ﷺ, berikut adalah hadithnya :
Daripada Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا,
طَلَّقَ رُكَانَة بْن عَبْد يَزِيد اِمْرَأَته ثَلَاثًا فِي مَجْلِس وَاحِد ، فَحَزِنَ عَلَيْهَا حُزْنًا شَدِيدًا ، فَسَأَلَهُ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : كَيْف طَلَّقْتهَا ؟ قَالَ : ثَلَاثًا فِي مَجْلِس وَاحِد فَقَالَ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّمَا تِلْكَ وَاحِدَة ، فَارْتَجِعْهَا إِنْ شِئْت . فَارْتَجِعْهَا
Rukanah Bin Abd Yazid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menceraikan isterinya dengan talak tiga dalam satu majlis, maka sesudah itu beliau jatuh sedih yang amat sangat. (Apabila dibawa kepada Nabi ﷺ). Rasulullah ﷺ bertanya kepadanya: “Bagaimanakah kamu menceraikannya?” Beliau menjawab: “Dengan tiga sekaligus dalam satu majlis”, lalu Nabi ﷺ menjawab: “Sesungguhnya itu hanyalah satu, rujuklah dengannya sekiranya kamu mahu”, lalu beliau pun kembali rujuk dengan isterinya.
(HR. Abu Ya’la dalam Musannafnya No. 2500, Abu Daud No. 2196, Ahmad No. 2387)
Status: Hasan (Al-Albani رَحِمَهُ اللَّهُ)
Sekali lagi masalah ini adalah masalah ijtihadiyah (masih ada ruang ijtihad). Daripada hadith Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا di atas menunjukkan bahawa talak tiga dalam sekali ucap dianggap hanya jatuh satu dan dianggap talaq raj’i. Kita katakan, asalnya demikian. Namun seandainya hakim melihat maslahat iaitu agar orang tidak bermudah-mudah menjatuhkan talak tiga sekaligus dalam sekali ucap, maka mahkamah boleh menjatuhkan talak tersebut talak tiga sebagaimana yang terjadi di masa khalifah ‘Umar. Saidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sebenarnya hendak mengajar umat. Malah Umar al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ juga mendenda sesiapa sahaja yang menjatuhkan talak tiga sekaligus. Sebagai dinukilkan oleh Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari :-
أَنَّ عُمَر كَانَ إِذَا أُتِيَ بِرَجُلٍ طَلَّقَ اِمْرَأَته ثَلَاثًا أَوْجَعَ ظَهْره
Sesungguhnya Umar, apabila didatangi oleh lelaki yang menceraikan isterinya dengan talak tiga (sekali lafaz), lalu akan dipukul belakangnya (sebagai hukuman)
Rasulullah ﷺ juga tidak suka hal ini. Satu ketika Rasulullah ﷺ diberitahu tentang seorang laki-laki yang menceraikan isterinya tiga talak sekaligus. Kemudian Rasulullah ﷺ berdiri dan marah, sambil bersabda:
أيُلعبُ بكتابِ اللَّه عزَّ وجلَّ وأنا بينَ أظهُرِكم حتى قامَ رجلٌ فقال يا رسولَ الله أَلاَ أقتُله
“Apakah dia mahu mempermainkan kitabullah, sedang aku berada di tengah-tengah kalian? Sehingga berdirilah seorang laki-laki lain, kemudian dia berkata: Ya Rasulullah! Apakah tidak aku bunuh saja orang itu!”
(Riwayat Nasa’i, 2/349, perawinya dikatakan boleh dipercayai namun diperbincangkan oleh Ibn Hajar)
Apapun, di Malaysia pendapat majoriti mazhab adalah terpakai, ini bermakna sesiapa yang menyebut cerai talak tiga dalam satu lafaz, jatuhlah talak tiga. Kes Zakaria Talib lwn Norziah Ahmad [2005] 1 CLJ (Sya) 132 adalah contoh di mana suami melafazkan talak tiga sekali gus melalui surat dan hakim berpendapat bahawa talak tiga telah jatuh kerana lafaz telah jelas dan niat tidak perlu dibuktikan. Kecuali kalau di Perlis.
فَإِمساكٌ بِمَعروفٍ
Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya
Selepas sudah rujuk sekali atau kali yang kedua, seorang suami hendaklah pegang wanita itu sebagai isteri dengan cara baik. Kalau hendak tahan, kena tahan dengan cara baik. Jangan teruskan perbuatan lelaki zaman jahiliyyah yang merujuk isteri hanya untuk menyakitinya. Ada yang rujuk dan kemudian ceraikan balik.
Bagi pasangan yang sudah bercerai, kena sedar yang dia sudah dua kali cerai, dan sudah dua kali rujuk. Kenalah fikirkan apakah sebab cerai rujuk dan cerai rujuk itu. Kena layan isteri dengan baik. Kalau ada masalah antara keduanya, kena cari jalan untuk selesaikan. Kena belajar cara bersuami isteri. Jangan sampai cerai kali yang ketiga kerana cerai kali yang ketiga tidak sama dengan cerai kali pertama dan kedua.
أَو تَسريحٌ بِإِحسٰنٍ
atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik
Atau boleh sahaja seorang suami melepaskan isterinya itu untuk berkahwin lain dengan cara baik. Isteri itu tunggu habis iddah dan boleh berkahwin lain kalau dia mahu. Kalimah تَسرِيحٌ adalah dalam bentuk isim dan ia bermaksud ‘pelepasan’. Ia daripada kata dasar: س ر ح yang bermaksud menghantar, melepaskan, membebaskan, bawa ke ladang ternak / padang ragut.
Kalau digunakan kalimah تَسرِيحٌ ia bermaksud perpisahan yang tidak boleh dikembalikan, berbeza dengan الطَّلٰقُ yang masih ada harapan besar untuk kembali dengan rujuk.
Maksud dengan ‘cara baik’ itu adalah kena ikut syari’at. Kahwin dan cerai biasa sahaja berlaku kerana tidak semestinya sesuatu pasangan itu serasi apabila sudah berkahwin. Kadangkala sudah bernikah baru tahu perangai masing-masing. Yang penting kita ikut undang-undang Islam dan jangan derhaka dengan Allah ﷻ. Nikah mestilah berpandukan cara yang Islam sudah gariskan dan kalau cerai pun mestilah ikut cara Islam juga – jangan ikut perasaan. Sebab itu bagus kalau dapat suami yang tahu hukum hakam agama kerana walaupun mereka sudah tidak ada rasa cinta, mereka tetap akan melayan isteri dengan baik.
Perhatikan di sini digunakan kalimah إِحسٰنٍ sedangkan semasa merujuk, digunakan kalimah مَعروفٍ. Kedua-dua membawa maksud ‘baik’ akan tetapi kalimah إِحسٰنٍ lebih baik lagi. Kadangkala berbuat baik dengan orang yang jahat dengan kita. Kalimah إِحسٰنٍ juga lebih baik daripada ‘adil’ kerana adil itu mengambil hak sendiri dan memberikan hak orang lain, sedangkan إِحسٰنٍ itu memberi lebih banyak daripada apa yang harus diberikan. Kenapa ada perbezaan ini? Kerana kalau hendak merujuk, tentulah ada rasa sayang, maka cukup dengan مَعروفٍ sahaja. Akan tetapi kalau keputusan untuk melepaskan, maka tentulah perbezaan tidak dapat diselesaikan dan ada rasa sedikit benci. Jadi kena diingatkan walaupun benci sekali pun, kena ada sifat إِحسٰنٍ. Antara cara tidak baik adalah dengan mengeluarkan kata-kata nista kepada pasangan masing-masing. Ada yang hina menghina, kutuk mengutuk dan sakit menyakiti. Ada yang berebut anak sampaikan memburukkan bekas pasangan kepada anak sedangkan itu adalah ibu dan bapa anak itu. Ini tidak baik lalu sebaliknya, kenalah lepaskan isteri dengan cara baik. Tidak boleh seorang suami mencerita keburukan isteri kepada orang lain; ini kerana kalau dia ceritakan keburukan, ia akan mengurangkan peluang isteri itu untuk bersuami lagi. Apa sahaja keburukan yang dilihat pada mata suami asal, entah tidak mengapa bagi lelaki lain; jadi jangan ceritakan keburukan isteri.
Janganlah bercerai untuk memburukkan isteri itu. Begitu juga dengan bekas isteri, janganlah dijaja kisah suami serata kampung. Jangan aibkan kesalahan dan keburukan orang lain termasuk bekas pasangan kita kerana pasangan itu walaupun sudah bercerai, mereka masih lagi boleh berbaik, tambahan pula kalau mereka berkongsi anak yang sama. Maka jangan burukkan keadaan dan ‘potong jambatan’ antara keduanya. Kena jaga mulut dan hati, kerana kalau sudah mengeluarkan kata-kata yang tidak patut, kata-kata buruk dan nista, perkara itu boleh menyebabkan mereka bermasam muka sampai bila-bila. Malah lebih teruk lagi, kesannya boleh terpalit kepada anak-anak sekali. Kerana mulut santan biasa, kerana mulut badan binasa. Kata-kata yang telah keluar tidak dapat ditarik balik, bukan?
Satu lagi cara yang baik adalah mengikut etika masyarakat. Perincian tidak perlu disebut kerana orang yang normal tahu mana yang baik dan mana yang tidak. Maka jangan dihalau isteri itu dari rumah, suruh dia balik sendiri ke rumah ibubapanya. Kemudian entah ibubapa dia pula tidak mahu terima dia. Jangan biarkan dia sehelai sepinggang terkontang kanting. Hal ini, orang bukan Islam pun tahu ia adalah perangai yang buruk.
Begitu banyak sekali kita mendengar keluhan para isteri di mana mereka telah ditohmah dan tidak dilayan dengan baik. Ini adalah kerana masyarakat yang bodoh yang melebihkan kedudukan suami daripada isteri. Islam memberi keadilan, tetapi masyarakat yang bodoh dan tidak ada perikemanusiaan. Maka masyarakat haruslah dididik untuk berlaku baik dengan orang lain.
Sebab turun ayat:
عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَ النَّاسُ وَالرَّجُلُ يُطَلِّقُ امْرَأَتَهُ مَا شَاءَ أَنْ يُطَلِّقَهَا وَهِيَ امْرَأَتُهُ إِذَا ارْتَجَعَهَا وَهِيَ فِي الْعِدَّةِ وَإِنْ طَلَّقَهَا مِائَةَ مَرَّةٍ أَوْ أَكْثَرَ حَتَّى قَالَ رَجُلٌ لاِمْرَأَتِهِ وَاللَّهِ لاَ أُطَلِّقُكِ فَتَبِينِي مِنِّي وَلاَ آوِيكِ أَبَدًا . قَالَتْ وَكَيْفَ ذَاكَ قَالَ أُطَلِّقُكِ فَكُلَّمَا هَمَّتْ عِدَّتُكِ أَنْ تَنْقَضِيَ رَاجَعْتُكِ . فَذَهَبَتِ الْمَرْأَةُ حَتَّى دَخَلَتْ عَلَى عَائِشَةَ فَأَخْبَرَتْهَا فَسَكَتَتْ عَائِشَةُ حَتَّى جَاءَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَأَخْبَرَتْهُ فَسَكَتَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم حَتَّى نَزَلَ الْقُرْآنُ : ( الطَّلاَقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ ) قَالَتْ عَائِشَةُ فَاسْتَأْنَفَ النَّاسُ الطَّلاَقَ مُسْتَقْبَلاً مَنْ كَانَ طَلَّقَ وَمَنْ لَمْ يَكُنْ طَلَّقَ.
Daripada Aisyah رضي الله عنها berkata: “Bahawa dahulu seseorang lelaki boleh menceraikan isterinya sekehendaknya dan wanita itu masih dalam berstatus isterinya jika dia merujuknya di masa iddah, walaupun dia menceraikannya seratus kali atau lebih. Sehingga seorang lelaki berkata kepada isterinya, “Demi Allah aku tidak akan menceraikanmu dan tidak akan memberikan rumah kepadamu selama-lamanya,” Wanita tersebut berkata, “Dan bagaimana maksudmu?” Orang tersebut berkata, “Aku akan menceraikanmu, dan setiap masa iddahmu hampir habis, aku akan merujukmu.” Maka ada wanita datang mengadu kepada Aisyah رضي الله عنها dan menceritakannya kepada Aisyah رضي الله عنها sehingga Rasulullah ﷺ datang. Kemudian Rasulullah ﷺ pun diam hingga turun kepadanya firman Allah, “Talak adalah dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma’ruf atau menceraikan dengan cara yang baik. “
(Jami’ Tirmidzi (1192) dinilai hasan oleh Darussalam)
وَلا يَحِلُّ لَكُم أَن تَأخُذوا مِمّا ءآتَيتُموهُنَّ شَيئًا
dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu daripada apa yang telah kamu berikan kepada mereka
Seorang suami tidaklah boleh meminta semula apa-apa sahaja pemberian yang telah diberikan kepada isterinya itu termasuklah mahr yang telah diberikan semasa mereka bernikah.
Sebab turun ayat: Diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam “An-Nasikh wa Al-Mansukh” daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا beliau berkata: “Adalah dahulu seseorang memakan apa yang telah dia berikan kepada isterinya dan orang lain tidak melarangnya. Maka Allah menurunkan firman-Nya, “Tidak halal bagi kamu mengambil kembali daripada sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka. “
Kalimah شَيئًا sedikit pun; jadi sedikit pun tidak boleh ambil, apatah lagi kalau banyak. Semasa sayang macam-macam dibelikan, tetapi ada suami yang apabila bercerai, semuanya diminta balik. Ini adalah perbuatan yang dilarang. Janganlah sebab marah dan sebab sudah bercerai, maka, dia meminta balik apa yang telah diberikan. Dalam budaya Melayu pun perbuatan buruk ini dipanggil ‘buruk siku’.
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، قَالَتْ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَيْسَ لَنَا مَثَلُ السَّوْءِ، الَّذِي يَعُودُ فِي هِبَتِهِ كَالْكَلْبِ يَقِيءُ ثُمَّ يَعُودُ فِي قَيْئِهِ
Daripada Aisyah رضي الله عنها, beliau berkata: Nabi ﷺ bersabda: “Kita tidak memiliki perumpamaan yang buruk. Orang yang kembali dalam hibahnya (hadiahnya) seperti anjing yang muntah kemudian kembali menjilat muntahnya.”
(Sahih Bukhari no. 2622)
Walaupun begitu terdapat satu pengecualian adalah jikalau setelah menikah tidak ada jimak. Maka suami boleh mengambil balik separuh daripada mahr yang telah diberikan ini disentuh di dalam ayat 237 nanti.
Ayat ini mengajar kita bahawa mahr itu adalah milik isteri. Suami tidak boleh mengambil langsung kerana ia adalah harta isteri. Bukan sahaja mahr, tetapi apa-apa sahaja milik si isteri, suami tidak boleh ambil sama sekali. Ini termasuklah gaji dia, atau apa-apa sahaja yang isteri terima daripada orang lain. Harta isteri, milik isteri sepenuhnya. Kalau isteri berbesar hati untuk beri atau kongsi dengan suami, barulah dibenarkan suami mengambilnya.
إِلّا أَن يَخافا أَلّا يُقيما حُدودَ اللهِ
kecuali jika keduanya takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.
Ini pula tentang Talaq Khulu’ atau dipanggil ‘Tebus Talak’ dalam bahasa Melayu. Katakanlah seorang suami tidak mahu cerai, akan tetapi isteri yang mahu bercerai. Mungkin isteri itu sudah tidak sanggup hendak tinggal dengan suaminya itu. Tidak kisahlah apa-apa sebab pun.
Sepatutnya seorang isteri kena taat kepada suami, tetapi kalau sudah tidak suka sangat, takut dia akan melakukan sesuatu yang melanggar syarak. Maka dia ada ruang untuk meminta agar dirinya dilepaskan. Kalau terjadi kes begitu, seorang isteri itu hendaklah bawa hal ini ke mahkamah. Mahkamah akan tanya sama ada isteri itu sanggup bayar balik pemberian yang telah diberikan suami itu dahulu kepada suami dia semula. Kalau dahulu suami itu memberinya kebun, adakah dia sanggup untuk memulangkan kebun itu?
Kalau kedua-duanya setuju, maka Cerai Khulu’ boleh dijalankan. Cuma tidak boleh meminta lebih daripada yang dikeluarkan sebagai mahr semasa berkahwin dahulu. Janganlah suami itu meminta lebih daripada apa yang diberikannya. Sebagai contoh, masa hendak berkahwin, beri 80 ringgit sahaja, namun apabila hendak bercerai, diletakkan syarat kena bagi dua juta pula. Janganlah begitu. Ini suami tidak ada maruah namanya. Sudahlah orang tidak hingin kamu lagi, masih lagi hendak susahkan isteri itu?
Walaupun begitu, ada juga pendapat lain yang mengatakan isteri boleh memberikan keseluruhan hartanya. Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ pula berpendapat suami hanya boleh mengambil setakat apa yang dia telah berikan.
Bagaiman pula sekiranya si isteri setuju tebus talak, tetapi suami tidak setuju dengan jumlah yang diletakkan? Di dalam hukum syarak dan undang-undang konsisten menyatakan perceraian secara tebus talak ini mesti di atas kerelaan antara suami dan isteri. Jika ada pertikaian tentang jumlah tu, Seksyen 49(3) Enakmen Keluarga Islam Kedah menyebut, Mahkamah boleh taksirkan jumlah mengikut Hukum Syarak dengan memberi pertimbangan pada taraf dan sumber kewangan pihak-pihak. Jadi, mestilah dibicarakan bagi menentukan jumlah sahaja. Mengikut hukum di Malaysia, boleh lagi dibincangkan jumlah tebus itu.
Namun bagaimana kalau Mahkamah sudah mentaksir, tetapi isteri atau suami tidak bersetuju dengan jumlah itu? Kalau salah satu pihak tidak bersetuju dengan taksiran jumlah yang Mahkamah tentukan, Mahkamah tidak boleh memaksa isteri membayar tebus talak itu dan tidak boleh juga memaksa suami untuk terima. Senang cerita, macam jual beli. Tidak ada sesiapa boleh memaksa seseorang untuk menjual atau membeli sesuatu barangan jika tidak mahu. Mesti kena ada kerelaan kedua-dua pihak. Sekiranya tidak berjaya, Mahkamah akan melantik Jawatankuasa Pendamai dan mengikut proses seksyen 47 enakmen keluarga Islam.
Daripada huraian di atas, jika anda perasan, tidak ada pula kata tebus talak ini sebagai ganti rugi? Cuma pulangkan atau berikan nilai yang wajar sebagai ganti sahaja untuk bercerai. Di mana kerugian yang berlaku? Jadi sang suami janganlah buat pandai dengan berhujah belanja kahwin dulu mahal, banyak dia sudah berbelanja untuk isteri dan anak-anak. Itu semua sudah menjadi kewajipan dia. Dia pun kalau dikira, entah berapa kali dia menjimak isteri dia, takkan hendak mengira lagi jumlah duit dia telah keluarkan?
فَإِن خِفتُم أَلّا يُقيما حُدودَ اللهِ
Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah,
Ini pula arahan kepada pihak ketiga seperti keluarga dan hakim mahkamah. Sekiranya mereka sudah memanggil keduanya dan menilai suami isteri tidak sesuai lagi duduk sebagai suami isteri, dan jika dipaksa juga mereka tidak dapat menjaga hukum Allah ﷻ, maka pisahkanlah mereka. Ini kerana apa yang penting, hukum Allah ﷻ mesti dijaga. Pihak mahkamah janganlah pula ditahan-tahan pasangan ini hanya kerana tidak mahu perceraian berlaku kerana percaya sangat dengan hadith tidak sahih,
تَزَوَّجُوْا وَلَا تُطَلِّقُوْا، فَإِنَّ الطَّلَاقَ يَهْتَزُّ مِنْهُ العَرْشُ
“Berkahwinlah dan janganlah kamu bercerai. Maka sesungguhnya talak (bercerai) itu akan menggegarkan ‘arash.”
Kadang-kadang pelik juga orang yang kerja di pejabat agama ini, kerja pejabat agama tetapi jahil hal syarak. Ada juga yang masih berpegang hadith yang tidak sahih. Berikut beberapa pendapat para ulama’ berkaitan status hadith di atas:
-
- Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menghukum hadith ini tidak sahih.
- Imam al-Saghani (650 H) menilai hadith ini sebagai mawdhu’ (palsu).
- Imam al-Sakhawi (902 H) mengatakan bahawa sanad hadith ini adalah dhaif.
- Imam al-Suyuthi (911 H) menyatakan bahawa hadith tersebut tidak sahih.
- Imam Ibn Iraq al-Kinani (956 H) menilai hadith ini tidak sahih.
- Syeih Muhammad Thohir al-Hindi al-Fattani (986 H) menghukum mawdhu’ hadith ini.
- Imam al-Syaukani (1250 H) juga menilai hadith ini sebagai mawdhu’.
Ada satu lagi diriwayatkan daripada Ibn Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
“Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”
[Riwayat Abu Daud (2178) [dhaif oleh Albani] dan Ibn Majah (2018) [sahih menurut Darussalam]]
Hadith ini telah menjadi perselisihan dalam kalangan ulama’ dalam menentukan hukumnya. Ada sebahagian ulama’ mengsahihkan hadith ini dengan mengatakan bahawa sanadnya bersambung dan ada sebahagian lain yang mendhaifkan hadith ini disebabkan gugurnya nama sahabat di dalam hadith ini dengan mengatakan bahawa hadith ini adalah mursal. Maka, di sini kami nukilkan perkataan Imam al-San’ani (1182 H) di dalam kitabnya ketika menerangkan berkaitan status hadith ini dengan berkata:
“Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibn Majah. Ia disahihkan oleh al-Hakim. Akan tetapi, Imam Abu Hatim merajihkan bahawa ia adalah mursal. Begitu juga, al-Daraquthni dan al-Baihaqi merajihkan hadith ini adalah mursal.” [Lihat: Subul al-Salam, 247/2]
Tambahan pula, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh رَحِمَهُ اللَّهُ ketika menghukum hadith ini di dalam Sunan Abu Daud dengan mengatakan bahawa perawi-perawinya adalah thiqah (dipercayai). Akan tetapi, pendapat yang sahih dalam kalangan para imam bahawa hadith ini adalah mursal (maknanya dhaif).
Apakah yang dikira tidak boleh menjaga hukum Allah? Telah dinyatakan dalam al-Hawi al-Kabir bahawa: Adapun kebenciannya pada suami, ia boleh disebabkan oleh buruknya akhlak suaminya, kelakuan buruknya, kekurangan dalam agamanya, atau penampilannya yang tidak disenangi. Oleh itu, jika dia membenci suaminya atas salah satu alasan ini, dia boleh menebus dirinya dengan tebus talak. Manakala dari segi kelemahan suami ia boleh disebabkan oleh kelemahan suaminya dalam memberi nafkah batin atau harta. Jika dia tidak mampu memberi nafkah batin dengan baik, dia boleh memohon penceraian dengan cara khulu’ (tebus talak) disebabkan kelemahan tersebut. (Lihat al-Hawi al-Kabir,10/5)
Ibnu Qudamah رَحِمَهُ اللَّهُ dalam isu ini menyatakan bahawa: Jika seorang wanita membenci suaminya kerana akhlaknya, atau rupanya, atau agamanya, atau usianya, atau kelemahannya, atau sebab-sebab lain, dan dia khuatir tidak dapat memenuhi hak Allah ﷻ dalam mentaati kepada suaminya, maka dia dibenarkan untuk melakukan khulu’ (tebus talak) dengan memberikan pampasan yang dapat menebus dirinya daripada suaminya (Lihat al-Mughni, 7/323)
Justeru seorang isteri boleh memohon cerai daripada suaminya dengan cara tebus talak iaitu membayar pampasan kepada suaminya sekiranya terdapat sebab-sebab yang dibenarkan sepertimana yang telah dinyatakan di atas. Namun, penting untuk diingat bahawa meminta cerai tanpa adanya sebab-sebab yang diharuskan adalah tidak dibenarkan dalam undang-undang agama Islam.
أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ
“Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.”
(Riwayat al-Tirmidzi No. 1187 disahihkan oleh Darussalam)
Ini kerana perkahwinan bukanlah perkara main-main; senang-senang hendak kahwin dan bila sudah bosan, bercerai. Di dalam Islam tidak begitu. Lainlah kalau artis. Bak kata Rita Rudner: “In Hollywood a marriage is a success if it outlasts milk.” Di dalam Islam, perkahwinan adalah perkara serius yang perlu dijaga baik-baik. Ini kerana pernikahan di dalam Islam adalah Ibadah dan juga Sunnah. Bercerai memang boleh, tetapi kenalah fikirkan kesannya kepada keluarga itu terutama sekali kepada anak-anak. Kerana itu di dalam Surah an-Nisa’ ada diajar bagaimana untuk menangani permasalahan suami isteri. Ingatlah yang Nabi ﷺ pernah bersabda:
إِنَّ إِبْلِيسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى المَاء ثمَّ يبْعَث سراياه فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ فَعَلَتُ كَذَا وَكَذَا فَيَقُولُ مَا صَنَعْتَ شَيْئًا قَالَ ثُمَّ يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ مَا تَرَكَتُهُ حَتَّى فَرَّقَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ قَالَ فَيُدْنِيهِ مِنْهُ وَيَقُولُ نَعَمْ أَنْتَ قَالَ الْأَعْمَشُ أرَاهُ قَالَ فَيَلْتَزِمُهُ.
“Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air kemudian ia mengutus pasukannya. Perajurit yang kedudukannya paling dekat dengannya ialah perajurit yang paling besar kejahatannya. Seorang perajuritnya datang dan berkata “Aku telah melakukan ini dan itu.” Iblis berkata “Engkau tidak melakukan apa-apa.” Datang perajurit yang lain lalu berkata “Aku tidak meninggalkan (manusia) melainkan sesudah aku pisahkan antara dia dengan isterinya.” Iblis mendekatkan perajuritnya itu dan berkata “Ya, engkau telah melakukannya.” al-A’masy (perawi) berkata “Aku mengira baginda ﷺ bersabda “Iblis lantas memeluknya.”
(Riwayat Muslim No. 2813)
Ayat yang kita sedang pelajari ini sepatutnya digunakan setelah cara-cara menangani permasalahan itu telah dilakukan. Islam bukanlah seperti agama lain yang mengharamkan perceraian. Namun begitu, walaupun dibenarkan, ada adab-adabnya yang perlu diperhatikan.
Apabila arahan ini dikeluarkan kepada pihak ketiga seperti keluarga, mereka jangan sibuk hendak masuk campur sangat. Jangan halang pasangan yang sudah membuat keputusan untuk bercerai. Kita tidak tahu apa yang mereka alami kerana ia kisah di dalam kelambu.
فَلا جُناحَ عَلَيهِما فيمَا افتَدَت بِهِ
maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya
Sekiranya mahkamah bimbang mereka tidak dapat menjaga hukum, mahkamah boleh membenarkan isteri memulangkan balik mahr yang telah diberikan bagi melepaskan isterinya itu. Bayangkan isteri yang sepatutnya menerima daripada suami, sanggup untuk memberi harta kepada suaminya. Ini menunjukkan memang isteri sudah tidak mahu kepada suaminya itu. Di sini diberitahu kepada kita yang tidak salah isteri untuk beri dan tidak salah untuk suami mengambil semula.
Ayat ini diturunkan berkenaan Tsabit bin Qais dan isterinya Habibah. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa:
أَنَّ امْرَأَةَ ثَابِتِ بْنِ قَيْسٍ أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ثَابِتُ بْنُ قَيْسٍ، مَا أَعْتِبُ عَلَيْهِ فِي خُلُقٍ وَلاَ دِينٍ، وَلَكِنِّي أَكْرَهُ الكُفْرَ فِي الإِسْلاَمِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَتَرُدِّينَ عَلَيْهِ حَدِيقَتَهُ؟» قَالَتْ: نَعَمْ. قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «اقْبَلِ الحَدِيقَةَ وَطَلِّقْهَا تَطْلِيقَةً».
Isteri Thabit bin Qais datang kepada Nabi ﷺ dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku tidak menyalahkan Thabit bin Qais atas kekurangannya pada akhlak dan agamanya, tetapi aku tidak menyukai kekufuran dalam Islam (kehidupan tidak mengikut ajaran Islam).” Rasulullah ﷺ bersabda: “Adakah engkau sanggup memulangkan semula kebunnya kepadanya?” Beliau menjawab: “Ya.” Rasulullah ﷺ bersabda (kepada Thabit): “Terimalah kebun itu dan talaklah dia dengan talak satu.”
(Riwayat Bukhari No. 5273)
Khulu’ (خُلْع) dalam Islam adalah talaq bain sughra (kecil). Talaq Bain Sughra (طَلَاق بَائِن صُغْرَى) adalah jenis perceraian di mana mantan suami tidak dapat rujuk (kembali) kepada mantan isterinya kecuali dengan akad nikah dan mahar yang baru, meskipun masa iddah (masa tunggu) isteri belum berakhir.
Mengapa Khulu’ termasuk Talaq Bain Sughra?
-
- Inisiatif daripada Isteri: Khulu’ terjadi atas permintaan isteri yang ingin berpisah daripada suaminya dengan memberikan iwadh (ganti rugi) kepada suami. Ini berbeza dengan talak biasa yang merupakan hak suami. Kalau ada rujuk, tidak jadilah isteri hendak berpisah dengan suaminya itu.
- Tidak Ada Hak Rujuk Sepihak: Setelah terjadi khulu’, suami tidak memiliki hak untuk rujuk kepada mantan isterinya meskipun masih dalam masa iddah. Jika keduanya ingin kembali menikah, mereka harus melakukan akad nikah baru dengan mahr yang baru.
- Mengurangi Bilangan Talak: Meskipun merupakan inisiatif isteri, khulu’ tetap dihitung sebagai satu talak dan mengurangi jumlah talak yang dimiliki suami.
تِلكَ حُدودُ اللهِ فَلا تَعتَدوها
Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya;
Allah ﷻ sudah ajar cara-cara bernikah dan cara-cara untuk bercerai. Maka kenalah ikut dan jangan langgar. Jangan memandai buat keputusan sendiri. Jangan memandai buat hukum sendiri. Jangan cari jalan untuk membolehkan perkara yang tidak boleh.
Lihatlah bagaimana Allah ﷻ menggunakan kalimah ‘hudud’ dalam ayat ini. Hudud adalah undang-undang dan hukum yang Allah ﷻ tetapkan. Dalam perkara nikah cerai pun Allah ﷻ kelaskan ia sebagai hudud. Maka hudud bukanlah tentang ‘potong tangan’ sahaja seperti yang disebut oleh mereka yang jahil.
Wanita yang yang diceraikan dengan cara khulu’ masih lagi mendapat nafkah tempat tinggal dalam tempoh iddahnya sekiranya dia sedang hamil iaitu sehingga dia melahirkan anak. Ini juga merupakan Ijma’ para ulama dan merupakan pandangan daripada mazhab Maliki, Syafi’e dan Ibn Hazm. (Lihat Mausu’ah al-Ijma’ Fi Fiqh al-Islami,3/458)
Ibn al-Qudamah رَحِمَهُ اللَّهُ menyatakan dalam kitabnya al-Mughni: Apabila seorang lelaki menceraikan isterinya yang sedang hamil dengan talaq bain, maka talak itu mungkin terjadi dalam tiga bentuk iaitu talak yang telah dijatuhkan tiga kali, atau melalui fasakh (pembatalan pernikahan), atau secara khulu’ (tebus talak). Maka, dia berhak mendapat nafkah tempat tinggal, menurut kesepakatan para ulama. (Lihat al-Mughni, 11/402)
Manakala wanita yang diceraikan secara khulu’ dalam keadaan dia tidak hamil maka tidak ada baginya nafkah kerana terpisahnya ikatan perkahwinan tersebut disebabkan olehnya. Ini merupakan pendapat mazhab Maliki, Syafi’i, dan Hanbali.
Al-Nawawi رَحِمَهُ اللَّهُ menyatakan: Wanita yang diceraikan dengan cara khulu’ atau talak tiga maka tiada baginya nafkah walaupun nafkah pakaian. (Lihat Raudhah al-Talibin, 9/6)
Al-Qairawani رَحِمَهُ اللَّهُ juga menyatakan: Tiada nafkah bagi wanita yang diceraikan secara khulu’ kecuali dia hamil. Begitu juga yang diceraikan secara lia’n dan bagi perempuan yang kematian suami. (Lihat al-Risalah, Hlm.100)
Ijma ulama sepakat bahawa perceraian secara tebus talak adalah dikira sebagai Talaq Bain Sughra. Tidak boleh rujuk semula dalam iddah tetapi boleh nikah semula dengan akad dan mahar yang baru. Sekiranya telah berlaku tiga kali penceraian secara khulu’ maka haram untuk lelaki itu menikahi isterinya selagi wanita itu tidak berkahwin dengan lelaki lain. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/202)
Bagaimana dengan iddah dalam cerai khulu’? Kewajipan ‘iddah adalah atas setiap wanita yang berpisah dengan suaminya, sama ada dia berpisah kerana perceraian termasuklah khulu’, fasakh, atau kematian, kecuali jika perceraian berlaku sebelum hubungan intim, maka tidak ada ‘iddah bagi wanita tersebut. Hal yang demikian sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman Allah ﷻ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا ۖ فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang iddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah “mut’ah” (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.
(Surah Al-Ahzab: 49)
Cuma tempoh iddah itu ulama ada berbeza pandangan. Kami perincikan sebagaimana berikut:
Pertama: ‘Iddah wanita yang diceraikan dengan cara khulu’ adalah sekali haid. Ini merupakan pandangan daripada sebahagian salaf, Ibn Qayyim, Ibn Taimiyyah dan merupakan pandangan yang dipilih oleh Ibn Munzir serta satu riwayat daripada mazhab Hanbali. Ibn Qayyim menyatakan bahawa: Perintah Rasulullah ﷺ terhadap wanita yang bercerai untuk ber’iddah hanya satu haid, ia merupakan bukti terhadap dua hukum: salah satunya, bahawa tidak wajib baginya menunggu tiga kali haid, namun cukup baginya satu kali haid. (Lihat Za’ al-Ma’ad, 5/179)
Ibn Uthaimin رَحِمَهُ اللَّهُ dalam isu ini menyebutkan: Pendapat sebahagian ulama ialah bahawa wanita yang diceraikan dengan cara khulu’ tidak perlu menunggu ‘iddah, tetapi cukup menyucikan rahim (istibra’). Inilah adalah yang sahih iaitu tidak ada ‘iddah baginya, tetapi cukup dengan menyucikan rahim. Jika dia mengalami haid sekali, maka ‘iddahnya berakhir. (Lihat Syarh al-Mumti’, 12/471). Mereka berdalilkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Rabi’ Binti Muawwiz beliau berkata:
أنَّها اختلَعَت على عهدِ النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم، فأمَرَها النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم -أو أُمِرَت- أن تعتَدَّ بحَيضةٍ
Beliau pernah menebus talak pada zaman Rasulullah ﷺ lalu Rasulullah ﷺ memerintahkannya untuk ber’iddah dengan sekali haid.
(Riwayat al-Tirmdizi No. 1185 dinilai hasan oleh Darussalam)
Kedua: ‘Iddah wanita yang diceraikan dengan cara khulu’ adalah ‘iddah penceraian iaitu tiga kali suci. Ini merupakan pandangan al-Laith, al-Auzai’, Syaf’ie, Hanbali dan Maliki.
Telah dinyatakan dalam al-Mughni bahawa: Setiap perpisahan yang terjadi antara suami isteri maka ‘iddahnya adalah ‘iddah talak menurut kebanyakan ulama, sama ada khulu’, li’an, fasakh atau disebabkan kesusahan, pembebasan, perbezaan agama dan lain-lain. Mereka menyatakan ‘iddah wanita yang diceraikan dengan cara khulu’ adalah ‘iddah penceraian. Ini merupakan pandangan Said bin Musayyib, Salim Bin Abdullah, Urwah, Sulaiman Bin Yasar, Umar Bin Abdul ‘Aziz, Hasan, Sya’bi, Nakha’i, al-Zuhri, Qatadah, Khilas Bin ‘Amru, Abu Iyad, Malik al-Laith, Auzai dan al-Syafi’ dan begitu juga pandangan kami. Perpisahan yang terjadi selepas berlakunya persetubuhan iddahnya adalah 3 kali suci sebagaimana perpisahan selain khulu’. (Lihat al-Mughni, 11/196-197)
Mereka berdalilkan firman Allah ﷻ:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ
“Wanita-wanita yang ditalak hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali suci.”
(Baqarah: 228)
Al-Damiri رَحِمَهُ اللَّهُ menukilkan dalam kitabnya bahawa perempuan yang merdeka yang masih mempunyai haid ‘iddahnya adalah tiga kali sama ada penceraian itu berlaku dengan cara khulu’ atau selainnya. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa beliau berkata: ‘Iddah bagi wanita yang diceraikan dengan cara khulu’ adalah sebagaimana ‘iddah penceraian. (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 8/125)
Begitu juga dalam Mausu’ah Masail Jumhur fi Fiqh al-Islami menyebutkan: Jumhur Ulama berpandangan bahawa ‘Iddah bagi wanita yang diceraikan dengan cara khulu adalah ‘iddah penceraian. (Lihat Mausu’ah Masail Jumhur fi Fiqh al-Islami, 2/769)
وَمَن يَتَعَدَّ حُدودَ اللهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ
dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Allah ﷻ memberi amaran keras kepada mereka yang melanggar hukum yang telah digariskan-Nya. Hukum yang Allah ﷻ buat, kenalah ikut, jangan baca sahaja dan mestilah dipelajari hukum-hukum ini kerana ia ada di dalam Al-Qur’an. Takkan perkara dalam Al-Qur’an pun tidak tahu?
Apakah hukum hakam yang telah disebut di dalam ayat ini?
1. Suami mengambil semula pemberiannya kepada isteri
2. Isteri meminta cerai tanpa sebab
3. Pihak menahan pasangan itu daripada bercerai
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 3 Mei 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)




