Tafsir Surah Hud Ayat 30 – 31 (Orang miskin tidak hina)

Hud Ayat 30: Nabi Nuh عليه السلام memberikan hujah logik kepada mereka, kenapakah baginda tidak boleh menghalau orang-orang yang beriman itu hanya kerana diminta oleh orang kaya yang sombong.

وَيٰقَومِ مَن يَنصُرُني مِنَ اللَّهِ إِن طَرَدتُهُم ۚ أَفَلا تَذَكَّرونَ

Sahih International

And O my people, who would protect me from Allah if I drove them away? Then will you not be reminded?

Malay

Dan lagi wahai kaumku! Siapakah yang akan menolongku dari azab Allah jika aku menghalau mereka? Maka mengapa kamu tidak mahu ingatkan kekuasaan Allah?

 

وَيٰقَوْمِ

Dan wahai kaumku!

Ini adalah jawapan daripada Nabi Nuh عليه السلام kepada kaumnya yang kaya yang menyuruh baginda mengusir dan mengasingkan mereka yang miskin dalam masyarakat sebagai syarat untuk mereka beriman. Nabi Nuh عليه السلام menolak permintaan mereka itu.

 

مَن يَنصُرُنِي مِنَ اللَّهِ

Siapakah yang akan menolongku daripada Allah

Perkataan نصر bermaksud ‘menolong seseorang yang melawan musuh’. Ini bermaksud, Nabi Nuh عليه السلام hendak mengatakan, kalaulah baginda menghalau orang-orang beriman yang miskin itu, baginda sebenarnya menjadikan Allah ﷻ sebagai musuhnya. Jika baginda sudah menjadi musuh kepada Allah ﷻ, adakah orang-orang kafir itu boleh menolong baginda? ‘Adakah kamu boleh tolong?’, tanya Nuh عليه السلام kepada mereka. Tentulah tidak ada sesiapa yang boleh menolong Nabi Nuh عليه السلام atau sesiapa sahaja daripada azab Allah ‎ﷻ.

Lihatlah bagaimana Nabi Nuh عليه السلام takut dengan Allah ﷻ dan azab daripada Allah ﷻ. Kalau seorang Nabi pun takut dengan Allah ﷻ, kita pun sepatutnya lebih lagi. Kita sepatutnya tahu kepada siapa yang kita perlu takut. Malangnya, ramai yang tidak takut dengan Allah ﷻ kerana mereka sangka mereka telah melakukan banyak amalan, mereka akan selamat. Kalau mereka ada buat apa-apa kesalahan, mereka rasa Allah ﷻ tidak akan hukum mereka kerana mereka rasa yang mereka telah banyak pahala.

 

إِن طَرَدتُّهُمْ

jika aku menghalau mereka?

Kalau Nabi Nuh عليه السلام mengikut kata mereka dan mengusir orang-orang yang miskin itu daripada belajar agama, siapakah yang akan selamatkan baginda daripada azab Allah ﷻ? Mengajar agama itu adalah wajib, tidak boleh ditinggalkan. Tidak boleh halang sesiapa belajar agama dan tidak boleh memilih kepada siapa hendak diberi pengajaran agama itu – wajib beri sama rata kepada semua golongan.

Termasuk juga dalam hal ini, mereka yang menahan pendakwah dan guru Sunnah daripada mengajar agama. Ada dalam kalangan orang masjid dan orang surau akan menahan ustaz-ustaz Sunnah daripada mengajar agama di masjid dan surau kerana mereka tidak dapat terima ajaran Sunnah yang berlainan daripada tekak mereka. Memang ajaran Sunnah ini berlainan daripada pemahaman mereka yang salah.

Mereka akan halang kerana selalunya ustaz-ustaz Sunnah akan mendedahkan kepada masyarakat tentang kesalahan amalan-amalan mereka yang mereka sudah biasa buat. Sebagai contoh, ustaz sunnah akan beritahu, tiada amalan Majlis Tahlil dalam agama Islam. Namun, oleh kerana amalan itu sudah sebati dengan mereka, mereka tidak dapat terima apabila ada yang kata amalan itu salah. Tambahan pula ia adalah sumber pendapatan mereka.

Maka, mereka akan tahan ustaz Sunnah daripada mengajar. Mereka akan beri macam-macam alasan asalkan ustaz itu tidak dapat mengajar lagi. Antaranya, mereka akan kata, ustaz itu memecah belahkan umat dan masyarakat. Mereka selalunya akan tuduh asatizah Sunnah sebagai ‘wahabi’ supaya masyarakat menjadi takut. Maka, apa yang mereka buat adalah mereka menyekat orang lain daripada mendapat ajaran agama. Mereka nanti akan disoal dan diazab oleh Allah ﷻ atas perbuatan mereka itu.

 

أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

Maka mengapa kamu tidak mahu ambil peringatan?

Kenapa perkara sebegini pun kamu susah hendak faham? Kenapa tidak mahu ambil peringatan? Apakah peringatan itu? Bahawa agama ini adalah untuk semua orang. Bukan hanya untuk orang yang kaya sahaja. Bukan untuk orang tertentu sahaja. Semua orang mempunyai hak yang sama untuk belajar dan untuk mengamalkan agama Islam yang benar.

Agama Islam bukan khas untuk satu-satu kaum dan darjat. Tidak ada sistem Kasta dalam agama Islam. Orang yang paling miskin pun boleh beramal dengannya kerana agama Islam itu sesuai untuk semua. Kalau agama lain, ada yang hanya untuk satu-satu kaum sahaja. Sebagai contoh, agama Yahudi untuk keturunan Yahudi sahaja. Agama Hindu jangan cakaplah, sistem Kasta mereka sahaja sudah pening kita memikirkannya.

Lihatlah agama Islam ini yang mudah dan praktikal untuk semua orang. Segala ibadatnya boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat. Semua boleh sembahyang, semua boleh puasa. Masjid kita pun ramai orang boleh masuk. Sekarang bandingkan dengan Kristian, buat gereja berjuta-juta kos. Namun yang boleh masuk sikit sahaja. Sebab bahagian dalamnya kecil sahaja, letak kerusi pula.

Bukanlah kita kata bahawa semua orang kaya berperangai tidak mengendahkan agama. Ada juga yang baik, yang menggunakan wang mereka yang Allah ﷻ berikan untuk agama dan untuk kebaikan. Cuma ternyata golongan kaya dan tinggi agama itu tidak ramai. Yang ramainya, apabila kaya, mereka sudah tidak mengendahkan agama lagi.


 

Hud Ayat 31:

وَلا أَقولُ لَكُم عِندي خَزائِنُ اللَّهِ وَلا أَعلَمُ الغَيبَ وَلا أَقولُ إِنّي مَلَكٌ وَلا أَقولُ لِلَّذينَ تَزدَري أَعيُنُكُم لَن يُؤتِيَهُمُ اللَّهُ خَيرًا ۖ اللَّهُ أَعلَمُ بِما في أَنفُسِهِم ۖ إِنّي إِذًا لَّمِنَ الظّٰلِمينَ

Sahih International

And I do not tell you that I have the depositories [containing the provision] of Allah or that I know the unseen, nor do I tell you that I am an angel, nor do I say of those upon whom your eyes look down that Allah will never grant them any good. Allah is most knowing of what is within their souls. Indeed, I would then be among the wrongdoers.”

Malay

Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat; dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka. Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang zalim”.

 

وَلَا أَقُولُ لَكُمْ

Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu:

Ini adalah hujah tambahan daripada Nabi Nuh عليه السلام kepada kaum baginda yang kaya raya dan sombong itu. Baginda ingatkan mereka yang baginda tidak pernah mendakwa perkara yang tidak benar.

 

عِندِي خَزَائِنُ اللَّهِ

di sisiku ada perbendaharaan Allah,

Baginda tidak kata baginda menjaga khazanah (perbendaharaan) harta Allah ‎ﷻ. ‘Perbendaharaan’ atau ‘Khazanah’ itu bermaksud ‘kekayaan daripada Allah ﷻ’, iaitu kekayaan harta dunia. Nabi Nuh عليه السلام disuruh mengatakan bahawa baginda tidak ada kekayaan yang banyak yang diberikan oleh Allah ﷻ. Walaupun baginda seorang Nabi, tetapi baginda tidak kaya raya. Bukannya tugas seorang Nabi untuk menjadi kaya dan memberi harta yang banyak kepada manusia.

Kebanyakan Nabi-nabi memang hidup dalam kemiskinan kecuali beberapa orang Nabi sahaja yang diberikan kekayaan, seperti Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Nabi Yusuf عليهم السلام kerana mereka itu raja dan pemimpin.

Dengan kata-kata begini Nabi Nuh عليه السلام melanjutkan lagi bahawa meskipun pemuka-pemuka kafir itu membanggakan ketinggian, kekuasaan dan kekayaan, baginda tidaklah mempunyai harta untuk menandingi mereka. Nabi Nuh عليه السلام tidak bermodal, tidak memegang perbendaharaan Allah ﷻ. Kekayaannya hanyalah kekayaan batin, ilmu dan kekayaan jiwa yang dianugerahkan Allah ﷻ. Sebagaimana baginda tidak mengharapkan harta kekayaan daripada mereka, mereka pun kalau masuk menjadi pengikut daripada ajaran yang baginda bawa ini, janganlah mengharap apa-apa daripada Nabi Nuh عليه السلام.

Begitulah masyarakat yang dungu, mereka sangka apabila seseorang itu alim, tentulah dia ada kelebihan yang berbagai-bagai. Mereka sangka yang orang-orang itu boleh meminta bermacam-macam dengan Allah ﷻ, antaranya minta harta benda daripada Allah ﷻ. Dalam ayat ini, Nabi Nuh عليه السلام disuruh memberitahu bahawa baginda adalah manusia biasa sahaja. Walaupun baginda rapat dengan Allah ﷻ, tetapi tidaklah baginda diberikan kekayaan yang melimpah ruah.

Mungkin perkara ini menjadi kehairanan kepada orang yang ingkar, kerana mereka hanya nampak kepentingan kekayaan harta sahaja. Mungkin mereka fikir, kalau sudah rapat dengan Allah ﷻ, mintalah menjadi kaya dan kesenangan hidup di dunia ini. Apa gunanya menjadi Nabi tetapi tidak kaya, kata mereka. Maka Nabi Nuh عليه السلام menidakkan fahaman salah mereka itu. Walaupun mereka Nabi, tetapi tidaklah mereka ada kuasa ke atas khazanah Allah ﷻ.

Maknanya, sesiapa yang ikut ajaran Nabi, mereka itu tidaklah semestinya akan diberi dengan kekayaan kerana bukan itu yang dikejar. Sebelum ini telah disebut bagaimana guru yang mengajar tidak boleh meminta upah. Begitu juga, mereka yang datang belajar, tidaklah mereka diberi upah. Dua-dua tidak ada. Duit dan harta tidak perlu bertukar tangan, hanya ilmu sahaja yang perlu disampaikan.

Maknanya, kekayaan bukanlah satu motivasi untuk belajar dan mengajar agama ini. Tidaklah kita datang belajar agama kerana mengharapkan diberi upah atau mendapat kekayaan dunia. Yang boleh dapat adalah kekayaan dari segi ilmu. Tidaklah Islam ini sepertimana agama Kristian. Kita pun biasa dengar bagaimana mereka menggunakan wang untuk mengajak orang masuk Kristian. Berapa ramai orang Melayu yang masuk agama Kristian di Malaysia ini kerana mereka dibayar dengan wang ringgit. Kita tidak didedahkan dengan statistik sebenar kerana ia dirahsiakan oleh pihak kerajaan kita bagi mengelakkan kekecohan. Kebanyakan mereka dibayar dengan jumlah lumayan sehingga mampu membina rumah dengan wang itu.

Mubaligh yang ditugaskan untuk menyebarkan agama Kristian kepada masyarakat itu diberi upah untuk berdakwah kepada orang Islam. Mereka menjadikan wang sebagai motivasi dalam agama. Ada ramai dalam kalangan Melayu yang memang memerlukan wang kerana mereka terdesak, maka ada yang sampai masuk Kristian. Begitulah, apabila kita tidak buat kerja berdakwah mengajak orang kafir masuk Islam, sebaliknya mereka pula yang mengajak orang kita masuk Kristian dan agama lain. Tambahan pula masjid susah pula menolong orang susah, namun pihak Gereja Kristian mudah pula membuka ruang membantu orang Melayu kita yang dalam kesusahan. Maka ini bagai menunjukkan seolah-olah agama Kristian itu adalah lebih baik daripada Islam pula. Jangan sangka orang Melayu tidak akan menukar agama sekiranya pemuka agama sendiri itu yang bersikap sombong.

Sejarah membuktikan agama asal orang kita dulu adalah agama Hindu. Walaupun sudah lama masuk agama Islam tetapi masih lagi ada elemen-elemen Hindu dalam amalan dan adat kita. Masih lagi ada yang membuat amalan syirik seperti perasap keris, amal ilmu kebal, pakai tangkal yang sememangnya syirik dan sebagainya. Itulah tinggalan daripada agama Hindu yang masih ada lagi.

Begitu juga dengan adat bersanding dalam majlis perkahwinan, pulut kuning dalam berbagai kenduri. Amalan ini juga adalah kesan peninggalan daripada amalan agama Hindu. Maknanya, kita ini ramai lagi yang sebelah kaki dalam Islam tetapi sebelah lagi masih dalam agama Hindu. Tidak boleh sahaja sesetengah orang tinggalkan agama Islam sebab mereka kata benda itu hanya adat sahaja. Maka, orang-orang yang sebegini hendaklah diajak untuk masuk sepenuhnya dalam agama Islam.

Begitulah apabila agama Islam tidak diajar dengan benar, maka semakin ramai orang tidak faham agama. Pemahaman agama yang tidak kukuh menyebabkan mereka mudah terpesona dengan fahaman sesat agama lain apabila didedahkan kepada mereka.

 

وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ

dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib

Nabi Nuh عليه السلام pun tidak pernah mengaku yang baginda memiliki ilmu ghaib. Ini untuk menidakkan fahaman manusia yang sangka kalau seorang Nabi itu mestilah tahu ilmu ghaib. Ghaib adalah perkara yang sudah berlaku, yang akan berlaku dan perkara yang memang manusia tidak boleh nampak. Antaranya, kita tidak boleh nampak jin. Nabi pun dalam keadaan biasa, tidak boleh nampak jin. Lalu bagaimana dengan mereka yang kata mereka boleh ‘scan’ jin? Bagaimana mereka boleh menjadi lebih hebat pula daripada para Nabi? Maka sudah ada masalah di situ kerana mereka boleh buat apa yang jin buat. Adakah kerana mereka itu sudah berkawan dengan jin?

Para Nabi tidak ada ilmu ghaib. Masyarakat kita ada satu pemahaman yang salah – apabila seseorang itu alim dan ada ilmu agama, mereka tahu tentang perkara ghaib. Mereka sangka orang-orang alim itu boleh nampak kejadian yang lepas, boleh baca hati manusia, boleh menilik nasib orang lain, dan macam-macam lagi. Itu adalah satu pemahaman yang salah sama sekali. Bagaimana boleh ada bomoh yang kata mereka boleh nampak perkara yang telah berlaku dan yang akan berlaku? Mereka boleh meniup jampi dalam air dan boleh tahu siapa yang mencuri duit, siapa yang rompak, siapa yang datang dan sebagainya.

Ada pula bomoh atau ‘ustaz’ yang boleh baca masa depan orang lain. Ada orang kita yang bila hendak kahwin, akan jumpa ‘ustaz’ untuk periksa sama ada lelaki perempuan itu serasi atau tidak. Cuma bagi nama dan tarikh lahir, mereka boleh tahu serasi atau tidak. Inilah satu kepincangan dalam amalan masyarakat kita. Mereka mengamalkan ilmu syirik yang membolehkan mereka melihat perkara-perkara seperti itu. Malangnya, para bomoh dan pawang di negara kita sudah pandai menggunakan gelaran ‘ustaz’, sampaikan masyarakat yang jahil senang tertipu. Mereka bertopeng di bawah jenama ‘Perubatan Islam’ hanya dengan memakai kopiah kemudian membaca beberapa patah ayat Al-Qur’an sahaja.

Perbuatan itu semua adalah mengarut sahaja kerana para Nabi pun tidak ada ilmu ghaib. Ramai yang keliru kerana ada para Nabi yang diberikan pengetahuan ilmu ghaib seperti malaikat, syurga, neraka dan sebagainya. Maka kena faham betul-betul. Memang Nabi kadang-kadang tahu tentang perkara ghaib. Namun itu selepas diberitahu oleh malaikat setelah diarahkan oleh Allah ﷻ untuk diberitahu. Atau, Allah ﷻ sampaikan terus ilmu itu ke dalam hati para Nabi. Bukanlah mereka ada ilmu untuk mengetahui segala perkara ghaib yang mereka mahukan. Pengetahuan itu pula terbatas setakat yang diberitahu oleh Allah ﷻ sahaja, bukanlah bermaksud mereka memiliki sepenuhnya ilmu ghaib dan mampu menggunakan kelebihan ilmu ghaib itu sewenang-wenangnya untuk kepentingan diri sendiri.

Maka ini perkara yang penting di dalam akidah. Hakikatnya tidak ada manusia yang tahu ilmu ghaib! Kalau Nabi pun tidak tahu, sepatutnya manusia biasa seperti kita lebih lagilah tidak tahu. Malah ia menjadi syirik apabila kita mendakwa dan percaya ada manusia yang memiliki pengetahuan ilmu ghaib. Malangnya memang ramai yang jahil tentang hal ini sampai takut untuk bersalam dengan ustaz sebab takut ustaz tahu apa yang ada di dalam hatinya.

 

وَلَا أَقُولُ إِنِّي مَلَكٌ

dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat;

Nabi bukan juga malaikat kerana baginda adalah golongan manusia. Nabi juga hidup seperti manusia biasa yang perlu makan, perlu minum, perlu rehat dan sebagainya. Maka nabi juga tentulah mempunyai serba sedikit salah dan silap sebagaimana manusia biasa.

Maka, jangan anggap yang para Nabi itu bukan manusia biasa. Mereka itu manusia biasa, cuma mereka diberikan kelebihan menerims wahyu dan dapat tahu perkara ghaib setakat yang Allah ﷻ berikan sahaja. Tidaklah baginda sunyi daripada kealpaan dan kelemahan. Sebab itu tidaklah Nabi Nuh عليه السلام mampu menciptakan suatu hal atau perkara yang ganjil, jikalau Allah ﷻ tidak mengizinkan.

Kenapa Allah ﷻ turunkan manusia untuk menyampaikan dakwah-Nya? Supaya manusia boleh menjadikan para Nabi dan Rasul itu sebagai contoh dalam kehidupan. Kalau Allah ﷻ turunkan malaikat, tentu mereka boleh tolak ajakan dakwah itu kerana mereka akan kata, mereka tidak boleh ikut cara hidup malaikat. “Malaikat bolehlah buat begitu, tapi kami tak boleh”, mereka akan beralasan. Ini sudah banyak dibincangkan di dalam ayat-ayat yang lain.

 

وَلَا أَقُولُ لِلَّذِينَ تَزْدَرِي أَعْيُنُكُمْ

dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu,

Iaitu mereka yang orang kaya dan berkuasa itu memandang rendah dan hina. Kalimah تَزْدَرِي daripada ز ر ي yang bermaksud ‘pandang rendah’. Di mata orang kafir sahaja yang nampak mereka rendah dan hina.

Balaghah: Ketepatan bahasa yang digunakan dalam Al-Qur’an: kalimah عين asalnya bermaksud ‘mata’ dan ia juga digunakan untuk mata air (sesuatu yang indah dipandang mata). Jamak bagi عين adalah أعيُن dan عُيُون dan digunakan di dalam Bahasa Arab untuk jamak bagi mata dan juga mata air. Ia boleh bertukar-tukar penggunaannya. Akan tetapi Al-Qur’an sentiasa menggunakan penggunaan yang tepat. Kalimah أعيُن sentiasa digunakan bagi mata dan kalimah عُيُون sentiasa digunakan bagi mata air.

Apa yang tidak dikatakan kepada mereka?

 

لَن يُؤْتِيَهُمُ اللَّهُ خَيْرًا

bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka.

Sebelum ini, telah disebut bagaimana orang-orang yang berkuasa dalam masyarakat itu telah memberi tohmahan kepada orang-orang yang beriman itu: mereka kata orang-orang yang beriman itu hanya menunjukkan beriman pada luaran sahaja, tetapi sebenarnya dalam hati mereka, mereka tidak beriman.

Mereka mendakwa orang-orang miskin dan hina itu tidak akan mendapat kebaikan apa-apa daripada Allah ﷻ. Nabi Nuh عليه السلام memberitahu dalam ayat ini bahawa baginda tidak boleh hendak mengatakan yang mereka itu tidak akan mendapat kebaikan. Ini kerana baginda tidak boleh membaca hati manusia. Baginda tidak boleh menghukum sama ada manusia itu layak mendapat kebaikan atau tidak.

Perkataan Nabi Nuh عليه السلام yang seperti ini sudah dapatlah kita kiaskan dengan keadaan yang lain, terutama di zaman hidup Nabi Muhammad ﷺ sendiri. Pengikut baginda yang pertama-tama menyatakan diri menjadi Muslim, yang disebut ‘Assobiqunal Awwaluna”, perintis-perintis yang pertama itu, pada umumnya adalah orang-orang yang dianggap hina oleh masyarakatnya. Ada yang hamba, ada anak kecil dan ada perempuan. Kalau ada orang dewasa yang masuk pun, mereka itu tidak kaya dan sudah lama disisihkan daripada masyarakat bangsanya.

Sedangkan pemuka-pemuka yang lain adalah orang-orang mampu dan terkemuka seperti Abu Lahab, Abu Jahal, Abu Sufyan dan lain-lain. Merekalah yang menentang Rasul ﷺ tetapi bagaimana jadinya selepas itu? Bukankah orang-orang bekas jahiliyah itu, iaitu orang seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Thalhah, Zubair رضي الله عنهم dan lain-lain itu yang menjadi pahlawan Islam yang terhebat? Orang- orang besar yang disegani dan ditakuti? Nama mereka dikenang sampai sekarang? Mereka itu walaupun miskin tetapi dipuji oleh Allah ﷻ antaranya di dalam Hashr: 8-9

لِلفُقَراءِ المُهٰجِرينَ الَّذينَ أُخرِجوا مِن دِيٰرِهِم وَأَموٰلِهِم يَبتَغونَ فَضلًا مِّنَ اللهِ وَرِضوٰنًا وَيَنصُرونَ اللهَ وَرَسولَهُ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الصّٰدِقونَ
(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan daripada harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar.

وَالَّذينَ تَبَوَّءُوا الدّارَ وَالإيمٰنَ مِن قَبلِهِم يُحِبّونَ مَن هاجَرَ إِلَيهِم وَلا يَجِدونَ في صُدورِهِم حاجَةً مِّمّا أوتوا وَيُؤثِرونَ عَلىٰ أَنفُسِهِم وَلَو كانَ بِهِم خَصاصَةٌ ۚ وَمَن يوقَ شُحَّ نَفسِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ
Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekali pun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung

 

اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا فِي أَنفُسِهِمْ

Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka.

Yang tahu apakah dalam hati mereka adalah Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ lebih tahu tentang akidah mereka, iman mereka dan amal mereka. Kita hanya boleh lihat luaran sahaja.

Ini juga mengajar kita yang kita tidak boleh tahu sama ada seseorang itu beriman atau tidak. Namun kalau perbuatan luarannya adalah perbuatan syirik, maka kita tahu yang mereka itu tidak beriman. Kita juga tidak tahu siapa yang ikhlas atau tidak, munafik atau tidak. Jangan kita cuba mengandaikan apa yang ada di dalam hati orang lain.

 

إِنِّي إِذًا لَّمِنَ الظَٰلِمِينَ

Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang zalim”.

Kalau kita melakukan salah satu atau semua daripada perkara-perkara di atas, maka kita termasuk dalam golongan mereka yang zalim. Apakah perkara-perkara itu?:

    • Kita kata kita ada khazanah daripada Allah ﷻ
    • Kita mendakwa kita tahu perkara ghaib
    • Kita mengaku sebagai malaikat
    • Mengatakan seseorang itu beriman atau tidak, mendapat kebaikan atau tidak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Ogos 2023

Ringkasan Surah Hud


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment