Tafsir Surah Baqarah Ayat 190 (Undang-undang perang)

ADAB MEMERANGI MUSUH

Baqarah Ayat 190: Ini ayat berkenaan Jihad fi Sabilillah (jihad di jalan Allah). Ada dua jenis jihad bagi umat Islam. Satu adalah jihad yang angkat senjata, memerangi orang kafir. Ini termasuklah Jihad Pertahan Diri di mana apabila kita diserang oleh orang kafir, maka wajib kita mempertahankan diri. Satu lagi adalah jihad mulut/lisan, iaitu tabligh (menyampaikan) tentang agama Tauhid kepada manusia supaya mereka kembali kepada Islam.

Dari segi terma, perlu kita fahami apakah maksud ‘jihad’ itu. Dari segi bahasa, ‘jihad’ itu bermaksud ‘berusaha bersungguh-sungguh’ dan kerana itu, maksudnya adalah luas. Sebagai contoh, apabila kita bangun malam selepas tidur untuk solat, solat itu dinamakan Solat Tahajjud, kerana kita berusaha melawan nafsu tidur kita. Dakwah juga adalah satu jihad kerana kita berusaha untuk menyampaikan ajaran agama kepada manusia.

Sebelum Jihad Perang, mestilah dimulakan dengan jihad lisan terlebih dahulu kepada manusia. Adakah kita berani hendak jihad peperangan kalau jihad lisan pun kita tidak berani lagi? Hendak tegur manusia daripada mengadakan majlis bersanding pun tidak berani, bagaimana kita sangka kita mampu hendak pergi berjuang menentang orang kafir? Yang lebih menyedihkan kalau ada Muslim yang beriya-iya hendak berjihad, tetapi diri sendiri belum kemas dari segi tauhid.

Tujuan Nabi ﷺ dan pendakwah adalah seperti yang disebut dalam ayat Baqarah: 151 iaitu untuk menyucikan hati manusia daripada syirik kufur dan amalan bid’ah yang mereka amal. Guru mesti baca dan ajar ayat Al-Qur’an untuk menyucikan hati manusia. Kena beritahu apakah kesalahan yang mereka lakukan. Bila sudah tahu manakah perbuatan salah yang mereka lakukan, barulah mereka hendak bertaubat dan buang perbuatan mereka yang salah. Kalau mereka tidak tahu mana yang salah, bagaimana mereka hendak bertaubat? Selalunya, guru agama akan mengajar apa yang kena buat sahaja, tetapi mereka tidak ajar mana yang salah. Oleh itu, anak murid tidak tahu manakah perbuatan mereka yang salah. Selain daripada Al-Qur’an, guru agama juga kena mengajar ‘hikmah’, iaitu hadith. Ajarkan apa yang mereka sebelum itu tidak tahu. Sebelum itu anak murid tidak tahu tentang Islam, mereka hanya terima perbuatan daripada nenek moyang dan apa yang diamalkan masyarakat sahaja. Jadi kena berikan ajaran yang sebenarnya kepada mereka.

Dalam Baqarah: 159, Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa sesiapa yang takut kepada orang kafir sampai menyembunyikan hukum-hukum agama kepada orang ramai, mereka akan dilaknat. Padahal Allah ‎ﷻ telah turunkan Al-Qur’an kepada manusia dengan sejelas-jelasnya. Namun ada yang setelah belajar, mereka tidak sampaikan kepada manusia, tetapi mereka sembunyikan. Mereka simpan sendiri. Mereka yang buat begitu, akan mendapat laknat daripada Allah ‎ﷻ dan laknat daripada orang-orang yang melaknati. Jadi, seorang guru itu mesti mengajar tauhid kepada manusia dalam pengajaran dia. Itu adalah satu kemestian kerana itu adalah perkara yang paling besar. Sebab kalau seorang Muslim itu masih lagi mengamalkan syirik, amal ibadatnya Allah ‎ﷻ tidak terima lagi kerana syarat untuk sesuatu amalan itu diterima, mestilah seseorang itu seorang yang beriman. Kalau buat syirik, bermakna orang itu tidak beriman lagi – tidak beriman sempurna dan amalan yang dibuatnya itu mestilah mengikut sunnah. Maka rugilah segala solat, sedekah, puasa, umrah dan haji mereka kerana tidak diterima lagi amalan ibadah mereka itu. Ini kerana dalam mereka mengamalkan Islam, mereka ada lagi melakukan perkara-perkara syirik. Mereka buat amalan syirik itu kerana mereka tidak tahu pun amalan itu salah kerana tidak diberitahu oleh guru agama mereka.

Dalam Baqarah: 174, Allah ‎ﷻ juga mengutuk perbuatan guru yang menyimpan pengajaran yang ada dalam Al-Qur’an. Mereka tidak menerangkan kepada manusia kerana mereka hendakkan upah. Mereka takut kalau mereka menceritakan kebenaran, mereka tidak lagi mendapat upah dalam pengajaran mereka. Ini kerana orang tidak suka mendengar perkara sebegitu dan mereka tidak lagi dijemput untuk memberi ceramah agama lagi. Maka, apabila mereka tidak dijemput lagi beri ceramah, mereka akan hilang pendapatan mereka. Maka mereka sanggup untuk senyapkan amalan salah yang diamalkan oleh masyarakat. Mereka beli kesesatan dengan menjual hidayah.

Berbalik kepada ayat ini, Allah ‎ﷻ sudah masukkan arahan kepada umat Islam untuk memerangi orang kafir. Jihad dan infaq bukanlah perkara yang utama tetapi ia perlu untuk melakukan perkara yang lebih besar lagi iaitu memperkenalkan Allah ‎ﷻ kepada manusia. Iaitu dakwah untuk memperkenalkan akidah tauhid kepada manusia yang belum mengetahuinya. Ini bukan hendak kenalkan Allah ‎ﷻ sahaja kerana kalau hendak kenalkan Allah ‎ﷻ kepada manusia, Musyrikin Mekah itu memang sudah mengenali Allah ‎ﷻ tetapi mereka dipanggil ‘musyrik’. Jadi kita melakukan jihad untuk memperkenalkan akidah tauhid kepada manusia sejagat.

Ada hadith sahabat bertanya apakah maksud jihad yang sebenarnya kepada Nabi ﷺ. Ini adalah kerana peperangan bukanlah maksud yang utama kerana peperangan adalah perkara biasa sahaja di mana orang kafir pun berperang juga. Maka apa bezanya antara peperangan mereka dan jihad orang Islam? Manusia ada yang berperang untuk mendapatkan harta, meluaskan tanah jajahan mereka ataupun kerana marahkan orang lain dan bukanlah mereka berperang untuk memperkenalkan Allah ‎ﷻ dalam akidah tauhid. Maka itu bukanlah jihad yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ. Jadi sahabat bertanya apakah maksud jihad di ‘Jalan Allah’ itu? Nabi ﷺ menjawab:

مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا، فَهْوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“Barangsiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimatullah – yakni agama Allah itu menjadi tinggi-maka orang sedemikian itulah yang disebut jihad fisabilillah”.
(Sahih al-Bukhari No. 7458)

Kalimah Allah‎ ﷻ itu dikira tinggi apabila ia berada dalam hati manusia. Kalau dalam hati kita masih ada fahaman syirik, maka kalimah Allah‎ ﷻ telah direndahkan.

Peperangan itu bukanlah perkara yang utama tetapi diizinkan kepada umat Islam apabila kita ini dizalimi. Bukannya kita terus sahaja pergi berperang dan membunuh orang-orang kafir. Sampai ada yang kata Islam berkembang kerana berperang dan memaksa manusia yang dijajah itu masuk Islam. Ramai yang beranggapan begitu dan itu adalah fahaman yang salah. Kita hendak menyampaikan dakwah Tauhid kepada manusia dan kalau mereka mati sebelum mereka mendengar dakwah kita, bagaimana pula kita dianggap mencapai objektif yang dikehendaki oleh Allah ‎ﷻ? Sebenarnya kita berjihad perang itu kerana hendak berdakwah. Kalau manusia benarkan kita berdakwah, maka tidak perlu berperang. Yang jadi masalah apabila dakwah Islam dihalang oleh kerajaan kafir.  Selain dizalimi, kita juga dibenarkan untuk memerangi orang kafir jikalau mereka menghalang kita untuk menyampaikan dakwah Tauhid kepada manusia. Ini berkenaan dengan pemimpin negara yang tidak membenarkan dakwah Tauhid dibenarkan dalam negara mereka. Sudahlah dia tidak kenal Allah ‎ﷻ malah dia menghalang pula orang lain untuk kenal Allah ‎ﷻ dan Tauhid, maka mereka sebegitu tidak layak untuk hidup di dunia lagi. Kalau mereka begitu, barulah boleh kita menghantar tentera Islam ke sana untuk membebaskan rakyat negara itu. Akan tetapi sekiranya mereka tidak menghalang, maka umat Islam tidak boleh yang mula mencetuskan peperangan.

Dari segi sejarah, peperangan hanya dibenarkan kepada umat Islam selepas Hijrah ke Madinah. Semasa umat Islam di Mekah lagi para sahabat sudah meminta izin daripada Nabi ﷺ untuk memerangi puak kuffar namun baginda tidak mengizinkannya. Jadi keinginan untuk berperang sudah lama ada tetapi hanya dibenarkan bila sudah berhijrah ke Madinah sahaja. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ mahu fahaman agama yang ada dalam diri umat Islam kukuh terlebih dahulu. Lagi pun kalau perang dibenarkan pada waktu itu, memang umat Islam akan mati katak sahaja kerana bilangan mereka sangatlah sedikit. Seandainya umat Islam menyerang orang kafir pada waktu itu, ia akan memberi kesan negatif kepada golongan yang di atas pagar. Tentu mereka akan memandang Islam sebagai agama yang ganas. Maka sebab itulah Allah ‎ﷻ menahan umat Islam pada awal Islam daripada berperang dan hanya membenarkan peperangan selepas diturunkan lebih kurang 70 ayat Al-Qur’an untuk melarang mereka berperang.

Jadi sekarang kita akan belajar ayat Jihad yang pertama di dalam Surah Baqarah ini.

وَقَـٰتِلُواْ في سَبيلِ اللَّهِ الَّذينَ يُقَـٰتِلُونَكُم وَلا تَعتَدوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ

Sahih International

Fight in the way of Allah those who fight you but do not transgress. Indeed, Allah does not like transgressors.

 

Malay

Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.

 

وَقَـٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Dan berperanglah kamu di jalan Allah;

Allah ‎ﷻ sebut dengan jelas bahawa Jihad yang  dikehendaki adalah jihad di jalan Allah ‎dan bukan peperangan yang biasa. Jadi peperangan yang dibenarkan adalah peperangan untuk menegakkan tauhid di muka bumi. Bukannya berperang untuk mendapatkan harta rampasan perang, meluaskan tanah jajahan, kerana marahkan negara lain atau puak kuffar atau apa-apa sahaja sebab lain.

Kenapa ia dipanggil سَبيلِ اللَّهِ? Kerana ia adalah suruhan daripada Allah ﷻ. Keduanya kerana kalau melakukannya, ia adalah jalan yang membawa kepada keredhaan Allah ﷻ.

Ini adalah ayat yang memberi arahan kepada umat Islam untuk berjihad di atas Jalan Allah. Seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini, Allah ‎ﷻ telah memberi isyarat kepada umat Islam di Madinah yang mereka akan pergi memerangi Musyrikin Mekah. Ayat-ayat sebelum ini adalah sebagai isyarat sahaja tetapi tidak dalam bentuk arahan lagi. Dalam ayat ini barulah ada arahan yang Allah ‎ﷻ berikan.

Kenapa orang Islam mesti memerangi Musyrikin Mekah? Kerana Ka’bah waktu itu berada dalam tangan musuh Islam. Jadi kiranya Ka’bah di dalam tawanan mereka dan umat Islam mesti membebaskan Ka’bah daripada genggaman mereka dan membersihkan Ka’bah daripada unsur-unsur syirik. Selagi mereka tidak buat begitu, orang Islam tidak akan dapat hendak mengerjakan ibadah Haji; selagi tidak dibersihkan Kaabah daripada unsur syirik, selagi itulah umat Islam mengadap kepada kiblat yang penuh dengan berhala. Hati mukmin mana yang tenang begitu?

Ada yang mengatakan ayat ini adalah ayat yang memberi kebenaran untuk berperang. Akan tetapi ada juga yang mengatakan kebenaran pertama telah diberikan di dalam Hajj: 39

أُذِنَ لِلَّذينَ يُقٰتَلونَ بِأَنَّهُم ظُلِموا ۚ وَإِنَّ اللهَ عَلىٰ نَصرِهِم لَقَديرٌ
Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu,

 

الَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَكُم

orang-orang yang memerangi kamu; 

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa orang-orang Musyrikin Mekahlah yang memulakan peperangan ini. Bukanlah orang Islam. Umat Islam di Madinah hanya memerangi orang yang pertama menyerang mereka. Ini penting untuk dijelaskan kerana dalam sejarah dunia, dikatakan bahawa orang Islam yang memulakan perang ini. Ahli sejarah dunia mengatakan yang orang Islam di Madinahlah yang memulakan Perang Badr dan seterusnya mengambil alih Mekah daripada penduduknya. Ini adalah tidak tepat kerana semua itu bermula sebelum Hijrah Nabi ﷺ dan para sahabat ke Madinah lagi. Ingatlah, apabila Nabi Muhammad ﷺ dan orang Islam menyebarkan agama Islam di Mekah, mereka telah ditindas, sampai ada yang dibunuh hanya kerana mereka cuba menyebarkan hidayah kepada manusia. Mereka terpaksa meninggalkan Mekah untuk menyelamatkan diri mereka daripada penindasan dan mereka telah menuju ke Madinah untuk menjaga agama mereka (dan nyawa mereka).

Apabila Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat berhijrah ke Madinah, mereka telah membina sebuah negara Islam. Pusat pentadbiran pada waktu itu adalah di Masjid Nabawi. Dalam masa enam bulan, pembinaan negara Islam telah berjalan. Dalam masa yang sama, Nabi ﷺ telah menghantar pengintip ke Mekah untuk melihat apakah yang dilakukan oleh puak Musyrikin. Orang Musyrik telah menjumpai pengintip Nabi ﷺ dan pertelingkahan telah berlaku. Maka terbunuhlah semua sekali orang musyrik yang berada dalam rombongan perniagaan itu. Kejadian ini tidak disangka dan apabila Nabi ﷺ diberitahu tentangnya, Nabi ﷺ tidak suka namun ia telah terjadi. Maka Nabi ﷺ menyuruh para sahabat untuk bersiap sedia untuk menerima tindak balas daripada kejadian ini.

Sebelum itu, puak Musyrikin Mekah terbahagi kepada dua bahagian. Ada yang boleh menerima kalau pengaruh Nabi Muhammad ﷺ semakin besar kerana baginda pun bukan orang lain, tetapi bangsa Quraisy juga. Mereka tidak ada masalah kalau Nabi Muhammad ﷺ memerintah di satu tempat yang jauh dari Mekah. Abu Sufyan adalah antara orang yang berada di pihak ini. Namun begitu ada juga yang tidak setuju kerana mereka melihat Nabi Muhammad ﷺ membawa ajaran sesat, menentang apa yang mereka sudah biasa amalkan, maka Nabi ﷺ dan orang Islam perlu diserang sebelum fahaman mereka merebak. Yang berpandangan sebegitu adalah Abu Jahal.

Disebabkan oleh kejadian rombongan perniagaan yang terbunuh itu, Abu Jahal telah mendapat sokongan yang kuat daripada Musyrikin Mekah. Ini kerana sudah ada satu sebab yang kukuh untuk mereka menyerang Madinah. Abu Jahal telah berjaya mengumpulkan kekuatan tentera untuk bersedia menyerang orang Islam di Madinah. Melalui sejarah ringkas ini, kita kena ingat kembali bahawa peperangan ini bermula dengan orang Musyrik yang memulakannya dengan menindas orang Islam sampai mereka terpaksa meninggalkan Mekah. Sejarah hanya melihat orang Islam Madinah yang memulakan perang dengan menyerang rombongan dari Mekah. Akan tetapi sebenarnya, ingatlah yang mereka bukan berniat hendak menyerang. Mereka hendak mengintip sahaja. Namun telah ditakdirkan, mereka telah dilihat dan pergelutan telah berlaku. Sebab itulah dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberi arahan untuk berperang dengan mereka ‘yang memerangi kamu’. Maka, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberitahu siapakah yang boleh diperangi itu iaitu mereka yang memerangi kita. Tidak boleh memerangi mereka yang tidak memerangi kita.

 

وَلَا تَعْتَدُوا

dan jangan kamu melampaui batas; 

Walaupun Islam membenarkan peperangan, tetapi Islam telah meletakkan beberapa syarat perang. Antaranya, jangan mulakan perang. Sekiranya sudah berperang, jangan melampaui batas. Dalam peperangan kena ada undang-undang perang, iaitu jangan membunuh orang yang tidak berperang dengan kita iaitu kanak-kanak, wanita, orang tua. Melainkan kalau mereka itu termasuk juga di dalam tentera itu. Jangan seksa orang yang ditawan dalam peperangan. Sebagai contoh, jangan lepas kita tawan musuh kita, tidak diberi makan pula. Apabila telah bunuh mereka, jangan kita kerat-kerat tangan mereka atau kita hina mayat mereka. Jangan musnahkan rumah-rumah kerana rumah tidak melawan kita pun dan mengganggu orang-orang yang berlindung dalam rumah ibadat mereka. Juga tidak boleh bunuh seseorang di hadapan isteri dan anak beranaknya.

Ini semua adalah undang-undang perang yang telah diletakkan dalam Islam. Tidaklah seperti zaman sekarang, ada orang yang bunuh siap letak dalam video semasa seksa atau bunuh orang yang lemah. Yang menyedihkan, dikatakan orang yang membunuh itu adalah pejuang Islam, di mana kita pun tidak dapat pastikan sama ada ia benar atau tidak. Kalau kita lihat video-video itu, semuanya tutup muka, bukan? Ini tidak patut berlaku. Maknanya peperangan yang dibenarkan adalah peperangan antara askar dan askar sahaja. Kecualilah jikalau perempuan itu ada dilatih untuk memerangi kita maka bolehlah kita memerangi mereka dan bunuh mereka di medan peperangan. Dalam peperangan juga kita selalu dengar bagaimana musuh diseksa dan sampai dirogol. Maka kena elakkan semua perkara itu.

Ini adalah satu peringatan yang amat sukar kepada para sahabat. Sebab mereka dahulu telah ditindas, diseksa sampai ada kenalan dan ahli keluarga mereka yang mati di tangan Musyrikin Mekah. Tentulah mereka ada perasaan hendak membalas dendam. Namun Allah ‎ﷻ telah memperingatkan para sahabat supaya jangan melampau. Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan sebuah hadith:

عَنْ بُرَيدة أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ: “اغْزُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، قَاتِلُوا مَنْ كَفَرَ بِالْلَّهِ، اغْزُوا وَلَا تَغُلّوا، وَلَا تَغْدروا، وَلَا تُمَثِّلُوا، وَلَا تَقْتُلُوا وَلِيدًا، وَلَا أَصْحَابَ الصَّوَامِعِ”.
Daripada Buraidah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: “Pergilah di jalan Allah dan perangilah orang yang kafir kepada Allah. Berperanglah kalian, tetapi janganlah kalian curang, jangan khianat, jangan mencincang, dan jangan membunuh anak-anak serta jangan membunuh orang-orang yang ada di dalam gereja-gerejanya.”

 

إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampau;

Kenapa tidak boleh melampau? Kerana Allah ﷻ tidak suka. Para sahabat amat menjaga arahan ini sampaikan mereka takut kalau-kalau mereka melampaui batas sampaikan mereka memberi makanan yang lebih baik daripada makanan mereka sendiri untuk diberikan kepada para tawanan perang dalam Perang Badr. Ini adalah kerana memang banyak pesan Rasulullah ﷺ tentang perang seperti hadith di bawah:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ، أَنَّ امْرَأَةً، وُجِدَتْ، فِي بَعْضِ مَغَازِي رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَقْتُولَةً فَأَنْكَرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَتْلَ النِّسَاءِ وَالصِّبْيَانِ‏.‏
Daripada Abdullah bin Umar
رضي الله عنهما: Bahawa seorang wanita didapati terbunuh dalam suatu peperangan yang diikuti Rasulullah ﷺ lalu baginda mengecam pembunuhan kaum wanita dan anak-anak kecil.
(Sahih Muslim No.1744)

Maka dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memberitahu tujuan berperang yang dibenarkan dan siapakah yang dibenarkan untuk diperangi. Inilah undang-undang peperangan yang perlu kita ikuti. Sistem peperangan ini sebenarnya diperkenalkan oleh Islam tetapi pada zaman sekarang ia juga telah dipakai oleh orang kafir kerana mereka nampak bagaimana sistem inilah sistem yang adil. Namun mungkin orang kita yang tidak belajar agama tidak tahu bahawa ia berasal daripada Islam. Mereka mungkin sangka yang ia adalah daripada pemikiran Barat sahaja.

Jangan ‘melampaui batas’ juga bermaksud jikalau mereka sudah tidak memerangi kita maka kita pun hendaklah berhenti daripada memerangi mereka kerana tuntutan perang sudah tiada. Maknanya perang ini adalah keperluan darurat sahaja iaitu apabila ia perlu. Sekiranya tidak perlu lagi, maka kena berhenti. Maka apabila kita sedang berperang, dan jikalau mereka mengaku untuk masuk Islam, maka kita kena hentikan memerangi mereka serta merta. Walaupun jikalau pedang kita sudah berada di tengkuk mereka. Sebagaimana yang terjadi kepada seorang sahabat. Beliau hampir hendak membunuh seorang kafir, dan tiba-tiba lelaki itu mengucap kalimah syahadah. Sahabat itu tetap membunuh lelaki itu kerana tidak mempercayainya. Sahabat itu sangka yang itu hanyalah helah lelaki itu sahaja. Apabila Nabi ﷺ diberitahu, Nabi ﷺ telah memarahi sahabat itu. Sebab kita tidak tahu apakah yang ada dalam hati manusia. Kita hanya boleh menilai melalui zahir sahaja.

عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ، وَهَذَا، حَدِيثُ ابْنِ أَبِي شَيْبَةَ قَالَ بَعَثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي سَرِيَّةٍ فَصَبَّحْنَا الْحُرَقَاتِ مِنْ جُهَيْنَةَ فَأَدْرَكْتُ رَجُلاً فَقَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ ‏.‏ فَطَعَنْتُهُ فَوَقَعَ فِي نَفْسِي مِنْ ذَلِكَ فَذَكَرْتُهُ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ أَقَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَقَتَلْتَهُ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّمَا قَالَهَا خَوْفًا مِنَ السِّلاَحِ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ أَفَلاَ شَقَقْتَ عَنْ قَلْبِهِ حَتَّى تَعْلَمَ أَقَالَهَا أَمْ لاَ ‏”‏ ‏.‏ فَمَازَالَ يُكَرِّرُهَا عَلَىَّ حَتَّى تَمَنَّيْتُ أَنِّي أَسْلَمْتُ يَوْمَئِذٍ ‏.‏ قَالَ فَقَالَ سَعْدٌ وَأَنَا وَاللَّهِ لاَ أَقْتُلُ مُسْلِمًا حَتَّى يَقْتُلَهُ ذُو الْبُطَيْنِ ‏.‏ يَعْنِي أُسَامَةَ قَالَ قَالَ رَجُلٌ أَلَمْ يَقُلِ اللَّهُ‏ { وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لاَ تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ‏}‏ فَقَالَ سَعْدٌ قَدْ قَاتَلْنَا حَتَّى لاَ تَكُونَ فِتْنَةٌ وَأَنْتَ وَأَصْحَابُكَ تُرِيدُونَ أَنْ تُقَاتِلُوا حَتَّى تَكُونَ فِتْنَةٌ ‏.‏

Daripada Usamah bin Zaid رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah ﷺ mengutuskan kami dalam suatu pasukan. Kami sampai di Huruqat, suatu tempat di daerah Juhainah di pagi hari. Lalu aku menjumpai seorang kafir. Dia mengucapkan: Laa ilaaha illallah, tetapi aku tetap menikamnya. Ternyata kejadian itu membekas dalam jiwaku, maka aku menuturkannya kepada Nabi ﷺ. Rasulullah ﷺ bertanya: ‘Apakah dia mengucapkan: Laa ilaaha illallah dan engkau tetap membunuhnya?’ Aku menjawab: ‘Wahai Rasulullah, dia mengucapkan itu hanya kerana takut pedang’. Rasulullah  ﷺ bersabda: ‘Apakah engkau sudah membelah dadanya sehingga engkau tahu apakah hatinya berucap demikian atau tidak?’ Baginda terus mengulangi perkataan itu kepadaku, hingga aku berharap kalau saja aku baru masuk Islam pada hari itu. Saad berkata: ‘Demi Allah, aku tidak membunuh seorang muslim, hingga dibunuh Dzul Buthain, Usamah’. Seseorang berkata: ‘Bukankah Allah ‎telah berfirman: Dan perangilah mereka, agar tidak ada fitnah dan agar agama itu semata-mata untuk Allah’. Saad berkata: ‘Kami telah berperang, agar tidak ada fitnah. Sedangkan engkau dan pengikut-pengikutmu ingin berperang, agar timbul fitnah’.
(Sahih Muslim No. 96)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 10 Januari 2024

Ringkasan Surah Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Baqarah Ayat 190 (Undang-undang perang)”

Leave a comment