KISAH 3: NABI MUSA عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ DAN KHADR
Kahf Ayat 60: Sekarang ini kita masuk ke dalam kisah berkenaan Khadr. Ulama khilaf sama ada beliau seorang Nabi atau tidak. Kisah ini dibawakan kerana ia juga adalah satu syubhah pada manusia. Bermula ayat ini sehingga ke ayat 82 adalah Perenggan Makro Keempat iaitu tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr. Ia tentang ujian kepada orang berilmu. Kisah ini hanya terdapat di dalam rentetan ayat-ayat ini sahaja.
Dalam Surah Kahfi ini, terdapat empat cerita. Semuanya kisah untuk mencungkil apa yang ada dalam hati manusia. Kisah Pemuda Kahfi, Kisah orang kaya, Kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr dan akhir sekali adalah Kisah Dzulkarnain. Sekarang kita masuk kepada kisah ketiga iaitu tentang Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr.
Sebelum ini telah disebut kisah Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan iblis. Iblis tidak mengakui kedudukan dan kemuliaan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekarang dijadikan perbandingan kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Khadr pula di mana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengakui kelebihan yang ada pada Khadr.
Latarbelakang kisah: Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pernah ditanya oleh umatnya, adakah ada orang lain yang lebih pandai daripada baginda? Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ jawab dalam bentuk umum yang memang baginda yang paling pandai kerana memang seorang Nabi adalah orang yang paling alim sekali dalam kalangan umatnya. Maka baginda jawab yang baginda adalah yang paling alim. Namun begitu baginda tidak sertakan dengan kata ‘wallahu a’lam’ (dan Allah ﷻ lebih mengetahui).
Oleh kerana tidak disertakan dengan kalimah itulah, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diuji oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ beritahu baginda bahawa ada lagi yang lebih alim daripada baginda. Iaitu alim dari sudut lain. Bila Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu ada orang yang lebih alim daripadanya, baginda ingin belajar dengan orang itu. Baginda bertanya kepada Tuhan di manakah baginda boleh berjumpa dengan orang itu?
Allah ﷻ beritahu bahawa baginda boleh berjumpa orang itu di pertengahan dua laut. Baginda perlu membawa ikan kering dan ikan kering itu akan membuat satu perbuatan yang pelik. Bila jadi begitu, di situlah tempatnya yang baginda akan bertemu dengan orang yang dicarinya itu.
Maka, begitulah pengajarannya dalam adab berilmu adalah memulangkan kembali ilmu itu kepada Allah ﷻ dengan mengatakan ‘Allahu a’lam’. Bukan hanya dalam ilmu agama sahaja, bahkan dalam segala bentuk ilmu sama ada matematik, geografi dan sebagainya kerana apa sahaja ilmu yang kita ada, tidak semestinya tepat kerana ia hanya setakat apa yang kita ada sahaja.
Bolehkah seorang manusia lebih pandai darpadai Nabi? Boleh, jikalau orang itu juga seorang Nabi. Ini kerana tidak boleh seorang manusia biasa lebih pandai daripada Nabi dalam perkara agama. Kalau dalam perkara kehidupan biasa, tidak mustahil seorang manusia biasa lebih pandai daripada Nabi. Namun secara umumnya, seorang Nabi itu adalah seorang yang bijak. Mereka bersifat fatonah (bijaksana).
وَإِذ قالَ موسىٰ لِفَتٰهُ لا أَبرَحُ حَتّىٰ أَبلُغَ مَجمَعَ البَحرَينِ أَو أَمضِيَ حُقُبًا
Sahih International
And [mention] when Moses said to his servant, “I will not cease [traveling] until I reach the junction of the two seas or continue for a long period.”
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun”.
وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتٰهُ
Dan ketika Nabi Musa berkata kepada pembantunya;
Kalimah فَتٰهُ ialah orang muda, anak muda atau secara ringkas sekarang, pemuda. Dalam bahasa Melayu yang asli, anak muda itu disebut bujang. Iaitu orang yang belum berkahwin. Yang dimaksudkan dengan menyebutkannya anak mudanya itu ialah pembantunya, pengawalnya, penemannya. Kadang-kadang dalam bahasa Arab ada kata lain yang digunakan untuk itu, iaitu khadam. Masyarakat Arab Jahiliyah juga memanggil hamba mereka dengan abd (hamba) dan Rasulullah ﷺ telah melarang penggunaan begitu lagi. Maka di dalam ayat ini telah diberikan contoh kesopanan Islam. Iaitu agar orang muda pembantu itu jangan disebut khadam atau pembantu rumahtangga. Sebutkanlah dia فَتٰهُ orang muda.
Nama pembantu itu adalah Yusha’ bin Nun, bin Ifra’im, bin Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Beliau adalah murid kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ada yang mengatakan beliau adalah anak saudara sebelah ibu kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Waktu itu beliau adalah seorang yang muda dan berkhidmat kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ia mengajar kita untuk ambil pembantu, carilah yang muda. Kalau tua sama dengan kita, buat susah kita pula. Ia juga mengajar kita kalau bermusafir, elok ada teman; jangan pergi jalan seorang diri sahaja.
Ini juga menjadi contoh kepada kita, bahawa elok kalau seorang anak murid membantu gurunya. Akhirnya nanti Yusha’ ini akan menjadi Nabi juga menggantikan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kita boleh lihat dalam sejarah hidup Nabi ﷺ juga, banyak sahabat yang berkhidmat kepada baginda. Sama ada yang tua atau pun yang muda. Mereka berkhidmat supaya memudahkan tugas Nabi ﷺ menjalankan dakwahnya dan menguruskan hal-hal yang lebih penting.
Maknanya, kita selesaikan hal-hal kecil guru supaya dia dapat lebih tumpukan kepada pengajaran dan pemberian ilmu. Dengan berkhidmat dengan guru, kita akan mendapat peluang untuk mendapat ilmu yang lebih lagi. Banyak terjadi ada ulama yang asalnya mereka itu hamba kepada orang alim yang lain. Mereka menjadi pandai kerana mereka meluangkan masa dengan tuan mereka yang alim. Oleh kerana itu, kita kena meluangkan masa bersama guru.
Yusha’ kemudian akan diangkat menjadi Nabi selepas Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ wafat dan menggalas tugas Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menyampaikan agama kepada manusia. Beliaulah nanti yang akan membawa Bani Israil keluar dari tempat sesat mereka di padang pasir selama 40 tahun itu. Seperti kita telah tahu, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bersama kaumnya sesat di padang pasir selama 40 tahun. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun telah ditakdirkan sesat bersama mereka dan tidak dapat keluar dari padang pasir itu. Hanya pada masa Yusya’ menjadi Nabi barulah beliau berjaya membawa Bani Israil untuk mengalahkan puak Amaliqah yang berada di Palestin dan mengambil alih Palestin dan BaitulMaqdis.
Kisah ini bermula dengan ayat ini. Kisah panjangnya kena lihat hadith yang akan disertakan nanti.
لَا أَبْرَحُ
Aku tidak akan berhenti;
Kalimah أَبْرَحُ daripada katadasar ب ر ح yang bermaksud menarik diri, putus asa, berhenti, lemah. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berniat untuk tidak berhenti berjalan untuk mencari tempat pertemuan itu. Baginda tidak akan berhenti.
Ini menunjukkan motivasi dan prihatin baginda terhadap mencari ilmu. Ini adalah adab dalam mencari ilmu. Kalau kita tahu ada guru yang boleh mengajar, kita kena cari dia sampai dapat. Mencari ilmu memerlukan usaha dan pengorbanan kerana itu kalau kita baca kisah-kisah ulama, kita akan tahu yang mereka banyak mengembara untuk mendapatkan ilmu.
Sebaliknya sekarang, kadang-kadang bukan kena cari, sedangkan ustaz dari jauh sudah datang ke tempat kita tetapi masih ada juga yang masih malas lagi datang belajar. Tidak elok begitu kerana Allah ﷻ sudah mudahkan kerana sepatutnya kita yang kena cari guru. Betapa sekarang sudah dimudahkan. Malah tidak perlu keluar rumah pun kerana ilmu sudah boleh didapati secara online, kelas pun boleh dibuat secara online sekarang. Maka apakah lagi alasan kita untuk menjadi bodoh?
Ternyata di sini kita boleh faham tentang kepentingan ilmu. Masalah orang kita sekarang adalah kerana tidak ada ilmu. Sudahlah tidak ada ilmu, sombong pula; sudahlah bodoh, hendak bercakap juga hal-hal agama. Kebanyakan mereka bercakap hanya berlandaskan akal dan nafsu sahaja. Padahal sudah banyak ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith yang menunjukkan kepentingan ilmu.
مَنْ يُرِد اللَّه بِهِ خيْراً يُفَقِّهْهُ في الدِّينِ
“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya Allah akan fahamkan dia dalam urusan agamanya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Begitulah yang kita pelajari daripada kisah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setakat ini. Baginda berusaha mencari ilmu dan bermujahadah padanya. Ini juga adalah saranan daripada Nabi ﷺ,
مَنْ خَرَجَ في طَلَبِ العِلْمِ فَهُوَ في سَبيلِ اللهِ حَتَّى يَرْجِعَ
“Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berada di jalan Allah sehinggalah dia kembali (ke tempat asalnya).”
(Riwayat Tirmidzi daripada hadith Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ)
Kata at-Tirmidzi: “Hadith ini hasan gharib.”
حَتَّىٰ أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ
sehinggalah aku sampai ke tempat pertemuan dua laut;
Baginda tekad tidak akan berhenti sehingga menemui tempat pertemuan dua lautan yang disebut oleh Allah ﷻ sebagai tempat baginda akan bertemu dengan orang yang lebih pandai daripada baginda itu.
Mengikut kisah, ini terdapat di kawasan Laut Mediterranean. Macam-macam tafsiran yang diberikan. Kalau dalam Tafsir Jalalain disebut: Antara Laut Romawi dan Laut Parsi dari sebelah Timurnya. Ada yang mengatakan bahawa dua lautan itu adalah antara laut masin dan tawar. Tambahan pula kalau pertemuan dua lautan, memang ada banyak. Mana yang benar itu tidak penting. Yang penting adalah kisah pengajaran yang hendak disampaikan. Allah ﷻ pun tidak beritahu tentang tempat itu, bermakna ia tidak penting.
Ini adalah dalil mengatakan kalau terpaksa pergi seberang laut untuk belajar pun, kita harus belajar. Namun sekarang, tidak payah seberang laut pun, sudah ada guru banyak di Malaysia ini. Cuma tinggal hendak belajar sahaja lagi.
Maka kita dapat belajar daripada keazaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini yang baginda sendiri walaupun seorang alim, tetapi baginda juga boleh menjadi pelajar. Baginda bersungguh-sungguh mahu belajar. Tidak salah kalau kita menambah ilmu dengan belajar daripada orang lain walaupun kita sudah digelar ustaz.
Tempat pertemuan itu tidaklah disebut secara jelas oleh Allah ﷻ. Sedangkan boleh sahaja Allah ﷻ mudahkan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan beritahu di mana akan berjumpa. Akan tetapi begitulah ujian yang Allah ﷻ telah berikan kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Dalam mencari Khadr itu pun ada banyak ujian-ujian lain. Ia mengajar kita dalam mendapatkan sesuatu yang baik, ia memerlukan proses dan masa dan ia tidak datang mudah begitu sahaja.
أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا
Atau aku terus berjalan untuk masa yang amat panjang;
Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bertekad kerana keinginannya untuk mendapatkan ilmu. Kalimah أَمْضِيَ bermaksud terus dan kalimah حُقُبًا bermaksud masa yang lama. Ia adalah jamak bagi kalimah حُقبَة. Ada ahli bahasa mengatakan satu حُقبَة adalah setahun dan ada juga yang mengatakan ia adalah 80 tahun. Di sini ia bermaksud Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak kisah berapa lama dan berapa jauh untuk baginda sampai ke tempat pertemuan itu. Kita pun seharusnya mempunyai sebegitu. Sekiranya kita terpaksa pergi jauh untuk belajar dan atas ketaatan kepada Allah ﷻ, maka kita harus pergi. Keazaman Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menjadi pengajaran buat kita.
Kita boleh lihat contoh yang diberikan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Walaupun baginda seorang Nabi dan telah diberikan ilmu yang banyak, namun apabila diberitahu ada lagi guru yang lebih pandai, baginda tidak sombong untuk belajar dengan orang itu. Malah baginda sanggup untuk berusaha mencari orang itu untuk belajar.
Inilah yang patut kita contohi. Jangan kita sombong dengan ilmu kita kerana walau bagaimana pandai pun kita, ada lagi orang lain yang lebih pandai daripada kita. Kita kena terus belajar lagi. Para guru pun jangan halang anak murid daripada belajar dengan orang lain. Itulah tanda guru yang benar. Kita sebutkan di sini kerana ada juga kita perasan guru-guru yang tidak suka kalau anak muridnya belajar dengan orang lain.
Di sini juga kita belajar adab baginda dalam melayan pembantunya dengan baik. Baginda beritahu dulu tentang perjalanan mereka dan apa yang mereka akan lakukan. Kalau tuan yang sombong, dia rasa dia tidak perlu beritahu pun kepada pembantunya.
Hadith berkenaan kisah ini ada disebut di dalam Sahih Bukhari di dalam sebuah hadith yang panjang:
سَعِيدُ بْنُ جُبَيْرٍ قَالَ قُلْتُ لِابْنِ عَبَّاسٍ إِنَّ نَوْفًا الْبَكَالِيَّ يَزْعُمُ أَنَّ مُوسَى لَيْسَ بِمُوسَى بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنَّمَا هُوَ مُوسَى آخَرُ فَقَالَ كَذَبَ عَدُوُّ اللَّهِ حَدَّثَنَا أُبَيُّ بْنُ كَعْبٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ مُوسَى النَّبِيُّ خَطِيبًا فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ فَسُئِلَ أَيُّ النَّاسِ أَعْلَمُ فَقَالَ أَنَا أَعْلَمُ فَعَتَبَ اللَّهُ عَلَيْهِ إِذْ لَمْ يَرُدَّ الْعِلْمَ إِلَيْهِ فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَيْهِ أَنَّ عَبْدًا مِنْ عِبَادِي بِمَجْمَعِ الْبَحْرَيْنِ هُوَ أَعْلَمُ مِنْكَ قَالَ يَا رَبِّ وَكَيْفَ بِهِ فَقِيلَ لَهُ احْمِلْ حُوتًا فِي مِكْتَلٍ فَإِذَا فَقَدْتَهُ فَهُوَ ثَمَّ فَانْطَلَقَ وَانْطَلَقَ بِفَتَاهُ يُوشَعَ بْنِ نُونٍ وَحَمَلَا حُوتًا فِي مِكْتَلٍ حَتَّى كَانَا عِنْدَ الصَّخْرَةِ وَضَعَا رُءُوسَهُمَا وَنَامَا فَانْسَلَّ الْحُوتُ مِنْ الْمِكْتَلِ { فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ سَرَبًا } وَكَانَ لِمُوسَى وَفَتَاهُ عَجَبًا فَانْطَلَقَا بَقِيَّةَ لَيْلَتِهِمَا وَيَوْمَهُمَا فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ مُوسَى لِفَتَاهُ { آتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَذَا نَصَبًا } وَلَمْ يَجِدْ مُوسَى مَسًّا مِنْ النَّصَبِ حَتَّى جَاوَزَ الْمَكَانَ الَّذِي أُمِرَ بِهِ فَقَالَ لَهُ فَتَاهُ { أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنْسَانِيهِ إِلَّا الشَّيْطَانُ } قَالَ مُوسَى { ذَلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِي فَارْتَدَّا عَلَى آثَارِهِمَا قَصَصًا } فَلَمَّا انْتَهَيَا إِلَى الصَّخْرَةِ إِذَا رَجُلٌ مُسَجًّى بِثَوْبٍ أَوْ قَالَ تَسَجَّى بِثَوْبِهِ فَسَلَّمَ مُوسَى فَقَالَ الْخَضِرُ وَأَنَّى بِأَرْضِكَ السَّلَامُ فَقَالَ أَنَا مُوسَى فَقَالَ مُوسَى بَنِي إِسْرَائِيلَ قَالَ نَعَمْ قَالَ { هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَى أَنْ تُعَلِّمَنِي مِمَّا عُلِّمْتَ رَشَدًا } قَالَ { إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا } يَا مُوسَى إِنِّي عَلَى عِلْمٍ مِنْ عِلْمِ اللَّهِ عَلَّمَنِيهِ لَا تَعْلَمُهُ أَنْتَ وَأَنْتَ عَلَى عِلْمٍ عَلَّمَكَهُ لَا أَعْلَمُهُ { قَالَ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ صَابِرًا وَلَا أَعْصِي لَكَ أَمْرًا } فَانْطَلَقَا يَمْشِيَانِ عَلَى سَاحِلِ الْبَحْرِ لَيْسَ لَهُمَا سَفِينَةٌ فَمَرَّتْ بِهِمَا سَفِينَةٌ فَكَلَّمُوهُمْ أَنْ يَحْمِلُوهُمَا فَعُرِفَ الْخَضِرُ فَحَمَلُوهُمَا بِغَيْرِ نَوْلٍ فَجَاءَ عُصْفُورٌ فَوَقَعَ عَلَى حَرْفِ السَّفِينَةِ فَنَقَرَ نَقْرَةً أَوْ نَقْرَتَيْنِ فِي الْبَحْرِ فَقَالَ الْخَضِرُ يَا مُوسَى مَا نَقَصَ عِلْمِي وَعِلْمُكَ مِنْ عِلْمِ اللَّهِ إِلَّا كَنَقْرَةِ هَذَا الْعُصْفُورِ فِي الْبَحْرِ فَعَمَدَ الْخَضِرُ إِلَى لَوْحٍ مِنْ أَلْوَاحِ السَّفِينَةِ فَنَزَعَهُ فَقَالَ مُوسَى قَوْمٌ حَمَلُونَا بِغَيْرِ نَوْلٍ عَمَدْتَ إِلَى سَفِينَتِهِمْ فَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا { قَالَ أَلَمْ أَقُلْ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِي بِمَا نَسِيتُ وَلَا تُرْهِقْنِي مِنْ أَمْرِي عُسْرًا } فَكَانَتْ الْأُولَى مِنْ مُوسَى نِسْيَانًا فَانْطَلَقَا فَإِذَا غُلَامٌ يَلْعَبُ مَعَ الْغِلْمَانِ فَأَخَذَ الْخَضِرُ بِرَأْسِهِ مِنْ أَعْلَاهُ فَاقْتَلَعَ رَأْسَهُ بِيَدِهِ فَقَالَ مُوسَى { أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةً بِغَيْرِ نَفْسٍ } { قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكَ إِنَّكَ لَنْ تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا } قَالَ ابْنُ عُيَيْنَةَ وَهَذَا أَوْكَدُ { فَانْطَلَقَا حَتَّى إِذَا أَتَيَا أَهْلَ قَرْيَةٍ اسْتَطْعَمَا أَهْلَهَا فَأَبَوْا أَنْ يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَنْ يَنْقَضَّ فَأَقَامَهُ } قَالَ الْخَضِرُ بِيَدِهِ فَأَقَامَهُ فَقَالَ لَهُ مُوسَى { لَوْ شِئْتَ لَاتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا قَالَ هَذَا فِرَاقُ بَيْنِي وَبَيْنِكَ } قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْحَمُ اللَّهُ مُوسَى لَوَدِدْنَا لَوْ صَبَرَ حَتَّى يُقَصَّ عَلَيْنَا مِنْ أَمْرِهِمَا
[Sa’id bin Jubair] berkata, aku berkata kepada [Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا], “Sesungguhnya Nauf Al Bakali menganggap bahawa Musa bukanlah Musa Bani Isra’il, tetapi Musa yang lain.” Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا lalu berkata, “Musuh Allah itu berdusta, sungguh [Ubay bin Ka’b] telah menceritakan kepada kami daripada Nabi ﷺ: “Musa Nabi Allah عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdiri di hadapan Bani Isra’il memberikan khutbah, lalu baginda ditanya: “Siapakah orang yang paling pandai?” Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab: “Aku.” Maka Allah ﷻ mencelanya kerana baginda tidak diberi pengetahuan tentang itu. Lalu Allah ﷻ mewahyukan kepadanya: “Ada seorang hamba di antara hamba-Ku yang tinggal di pertemuan antara dua lautan lebih pandai darimu.” Lalu Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata, “Wahai Rabb, bagaimana aku boleh bertemu dengannya?” Maka dikatakan padanya: “Bawalah ikan dalam keranjang, bila nanti kamu kehilangan ikan itu, maka itulah petunjuknya.” Lalu berangkatlah Musa bersama pelayannya yang bernama Yusya’ bin Nun, dan keduanya membawa ikan dalam keranjang hingga keduanya sampai pada batu besar. Lalu keduanya meletakkan kepalanya di atas batu dan tidur. Kemudian keluarlah ikan itu dari keranjang (lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu) ‘(Al Kahfi: 61). Kejadian ini menghairankan Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan muridnya, maka keduanya melanjutkan sisa malam dan hari perjalanannya. Hingga pada suatu pagi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata kepada pelayannya, ‘(Bawalah ke mari makanan kita, sesungguhnya kita telah merasa lelah kerana perjalanan kita ini) ‘ (Kahfi: 62). Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak merasakan kelelahan kecuali setelah sampai pada tempat yang dituju sebagaimana diperintahkan. Maka muridnya berkata kepadanya: ‘(Tahukah kamu ketika kita mencari tempat berlindung di batu tadi? Sesungguhnya aku lupa menceritakan ikan itu. Dan tidaklah yang melupakan aku ini kecuali syaitan) ‘ (Kahfi: 63). Musa lalu berkata: ‘(Itulah tempat yang kita cari. Lalu keduanya kembali mengikuti jejak mereka semula) ‘ (Kahfi: 64). Ketika keduanya sampai di batu tersebut, didapatinya ada seorang laki-laki mengenakan pakaian yang lebar, Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lantas memberi salam. Khadr lalu berkata, “Bagaimana cara salam di tempatmu?” Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab, “Aku adalah Musa.” Khadr balik bertanya, “Musa Bani Isra’il?” Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab, “Benar.” Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kemudian berkata: ‘(Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu?) ‘Khadr menjawab: “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersama Aku) ‘(Kahfi: 66-67). Khadr melanjutkan ucapannya, “Wahai Musa, aku memiliki ilmu daripada ilmunya Allah yang Dia mengajarkan kepadaku yang kamu tidak tahu, dan kamu juga punya ilmu yang diajarkan-Nya yang aku juga tidak tahu.” Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata: ‘(Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai orang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun) ‘(Kahfi: 69). Maka keduanya berjalan kaki di tepi pantai sementara keduanya tidak memiliki perahu, lalu melintaslah sebuah perahu kapal. Mereka berbicara agar orang-orang yang ada di perahu itu mahu membawa keduanya. Kerana Khadr telah dikenali maka mereka pun membawa keduanya dengan tanpa bayaran. Kemudian datang burung kecil hinggap di sisi perahu mematuk-matuk di air laut untuk minum dengan satu atau dua kali patukan. Khadr lalu berkata, “Wahai Musa, ilmuku dan ilmumu bila dibandingkan dengan ilmu Allah tidaklah seberapa kecuali seperti patukan burung ini di air lautan.” Kemudian Khadr sengaja mengambil papan perahu lalu merosaknya. Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun berkata, “Mereka telah membawa kita dengan tanpa bayaran, tapi kenapa kamu merosaknya untuk menenggelamkan penumpangnya?” Khadr berkata: ‘(Bukankah aku telah berkata, “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku) ‘Musa menjawab: ‘(Janganlah kamu menghukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku) ‘(Kahfi: 72-73). Kejadian pertama ini kerana Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terlupa. Kemudian keduanya pergi hingga bertemu dengan anak kecil yang sedang bermain dengan dua temannya. Khadr lalu memegang kepala anak itu, mengangkat dan membantingnya hingga mati. Maka Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun bertanya: ‘(Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih, bukan kerana dia membunuh orang lain?) ‘(Kahfi: 74). Khadr menjawab: ‘(Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya kamu tidak akan dapat sabar bersamaku?) ‘(Kahfi: 75). Ibnu ‘Uyainah berkata, “Ini adalah sebuah penegasan. ‘(Maka keduanya berjalan hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka. Kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh. Maka Khadr menegakkan dinding itu) ‘(Kahfi: 77). Rasulullah ﷺ meneruskan ceritanya: “Khadr melakukannya dengan tangannya sendiri. Lalu Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata, ‘(Jikalau kamu mahu, nescaya kamu mengambil upah untuk itu. Khadr menjawab, “Inilah saat perpisahan antara aku dan kamu) ‘(Kahfi: 77-78). Nabi ﷺ bersabda: “Semoga Allah merahmati Musa. Kita sangat berharap sekiranya Musa boleh sabar sehingga akan banyak cerita yang boleh kita dengar tentang keduanya.”
(Sahih Bukhari (119))
Kisah ini bermula kerana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terlanjur mengatakan baginda orang yang paling pandai. Sebenarnya ini kalau terjadi kepada orang lain, ia termasuk perkara khilaf sahaja. Tidak salah sangat pun apa yang baginda katakan itu kerana baginda seorang Nabi, maka tentulah baginda yang paling berilmu. Akan tetapi perbuatan salah baginda sebagai seorang Rasul sudah pasti mendapat teguran daripada Allah ﷻ kerana perbuatan seorang Rasul menjadi ikutan kepada manusia yang lain. Sepatutnya baginda serahkan kepada Allah ﷻ sahaja dengan sebut Allahu a’lam.
Kesimpulannya melalui hadith ini, tiga perkara penting kita telah dapat kepastian:
1. Musa yang dimaksudkan adalah Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ
2. Pembantu baginda bernama Yusha bin Nun
3. Nama orang yang mereka berjumpa itu adalah Khadr
Apakah kedudukan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dibandingkan dengan Khadr? Pertamanya, kedudukan beliau sebagai Nabi pun dipertikaikan kerana ada yang tidak bersetuju mengatakan beliau pasti seorang Nabi. Kalau pun kita terima beliau adalah seorang Nabi, tetapi kedudukan beliau tidaklah lebih lagi daripada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini kerana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memiliki kelebihan-kelebihan lain. Pertamanya, Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberi kelebihan bercakap-cakap dengan Allah ﷻ secara terus. Keduanya, kedudukan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan hanya seorang Nabi, malah seorang Rasul yang lebih tinggi daripada seorang Nabi. Seterusnya Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberikan dengan kitab wahyu dan pengikut yang ramai sedangkan Khadr tidak.
Cuma di sini Allah ﷻ hendak mendidik Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan memberikan seorang guru yang lebih rendah kedudukannya daripada baginda. Ini mengajar kita bahawa tidak salah kita belajar dengan orang yang lebih rendah daripada kita kerana dia mungkin mempunyai ilmu yang kita tidak ada, seperti yang terjadi dengan Khadr ini. Sebelum ini kita telah baca teguran Allah ﷻ terhadap golongan pemuka Musyrikin Mekah yang tidak mahu duduk di dalam majlis ilmu bersama dengan orang kebanyakan yang miskin dan hina. Sekarang Allah ﷻ ajar bagaimana Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang sudah tinggi kedudukannya itu pun tidak canggung untuk belajar dengan orang yang lebih rendah kedudukannya.
Kahf Ayat 61:
فَلَمَّا بَلَغَا مَجمَعَ بَينِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُ ۥ فِى ٱلبَحرِ سَرَبًا
But when they reached the junction between them, they forgot their fish, and it took its course into the sea, slipping away.
Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.
فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا
Apabila mereka sampai pertemuan dua laut;
Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Yusha’ sebenarnya tidak pasti di manakah tempat pertemuan itu. Mereka hanya diberikan isyarat sahaja. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya diberitahu bahawa ikan yang mereka bawa itu akan melakukan perkara yang pelik. Ikan itu adalah ikan kering yang dibawa sebagai bekalan makanan.
Ada yang kata ikan itu adalah ikan sebelah, tetapi bukan. Itu hanya kisah Israiliyyat sahaja. Ikan itu mereka sudah makan sebelahnya dan kemudian mereka masukkan semula ke dalam bekas mereka.
Di manakah pertemuan dua lautan ini? Ada beberapa pendapat. Akan tetapi kerana ia tidak penting, maka kita tidak perlu masukkan di sini dan berbincang tentangnya. Kalau ia penting, tentu Allah ﷻ ataupun Rasulullah ﷺ telah beritahu kita tentang hal itu.
نَسِيَا حُوتَهُمَا
mereka berdua lupa tentang hal ikan itu;
Sebelum ini telah diberitahu yang jikalau mereka berdua kehilangan ikan yang menjadi bekalan makanan mereka itu, maka di sanalah orang yang berilmu itu akan berada. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diperintahkan untuk membawa ikan yang telah dimasinkan. Atau ada yang kata ikan panggang. Ikan itu adalah jenis ikan yang besar. Mereka tahu tentang perkara ini tetapi apabila kejadian ini terjadi mereka kedua-dua terlupa tentang ikan itu.
Sebenarnya yang lupa itu adalah Yusha’ kerana yang melihat kejadian itu adalah beliau manakala Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri tidak nampak. Yusha’ yang nampak ikan itu hidup semula dan melompat keluar tetapi beliau lupa untuk beritahu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pada waktu itu juga. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri telah tertidur kerana kepenatan. Akan tetapi kalimah yang digunakan adalah نَسِيَا yang bermaksud mereka berdua lupa. Ini mungkin kerana mereka itu berdua dan tanggungjawab jatuh ke atas kedua-duanya. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun terlupa mengingatkan pembantunya itu.
فَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُ ۥ فِى ٱلبَحرِ سَرَبًا
lalu ikan itu mengambil jalan ke dalam laut;
Ikan itu hidup kembali dan keluar dari bekasnya dan melompat terjun ke dalam laut. Kalimah سَرَبًا daripada katadasar س ر ب yang bermaksud pergi dengan bebas, melarikan diri, pergi dengan jelas. Kalimah سَرَبًا juga digunakan untuk laluan melalui gunung ganang dan juga terowong bawah tanah. Atau, ia bermaksud lubang atau jurang yang sangat dalam di bawah tanah. Maka ia bermaksud telah dijadikan terowong laluan pada air laut.
Kejadian ini adalah amat pelik sekali: ikan yang sudah mati dan sudah dimakan pun boleh hidup semula dan keluar dari bekas dan masuk ke dalam air laut. Maka kejadian ini termasuk keajaiban yang telah dilakukan oleh Allah ﷻ.
Apabila ikan itu menyentuh sahaja pada air laut, air berhenti dan terjadi lubang di pantai sebagai terowong dan ikan itu masuk ke dalam terowong itu. Atau ikan itu masuk ke dalam air laut dan Allah ﷻ menjadikan air laut itu membeku dan keras dan boleh nampak lorong yang masuk jauh ke dalam laut itu.
Yusha’ nampak kejadian itu, namun disebabkan beliau yang sudah biasa melihat mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ maka beliau tidak teringat untuk menceritakan terus kepada Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kalau kita nampak sekarang, tentu kita akan kelam kabut cerita kepada semua orang. Terus mencapai handphone merakam video dan terus disebarkan ke seluruh dunia agaknya. Waktu itu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedang tidur dan beliau rasa ralat untuk mengejutkan baginda. Oleh kerana Yusha’ itu sudah biasa dengan Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan pernah melihat mukjizat-mukjizat yang pelik-pelik, maka kuranglah sedikit rasa keajaiban terhadap perkara yang terjadi itu.
Kahf Ayat 62:
فَلَمّا جاوَزا قالَ لِفَتٰهُ ءآتِنا غَداءَنا لَقَد لَقينا مِن سَفَرِنا هٰذا نَصَبًا
So when they had passed beyond it, [Moses] said to his boy, “Bring us our morning meal. We have certainly suffered in this, our journey, [much] fatigue.”
Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: “Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini”.
فَلَمَّا جَاوَزَا
Maka apabila mereka melepasi tempat itu;
Oleh kerana tidak sedar tentang keluarnya ikan dari bekas makanan mereka, mereka terus berjalan. Mereka telah terlepas tempat ikan meluncur masuk ke dalam laut. Mereka sepatutnya berhenti di situ, tetapi mereka meneruskan perjalanan. Maknanya mereka telah terlajak melebihi daripada yang sepatutnya.
Semasa kejadian itu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُtelah tidur di situ, dan apabila bangun baginda terus mengajak Yusha’ untuk pergi meneruskan perjalanan. Yusha’ pula tidak memberitahu Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentang kejadian ikan itu tadi kerana beliau sendiri telah terlupa tentang perkara itu.
قَالَ لِفَتٰهُ ءآتِنَا غَدَاءَنَا
Musa berkata kepada pembantunya: bawa datang makan tengahari kita;
Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta bekalan makanan mereka termasuklah ikan itu tadi kerana baginda sangka makanan itu masih ada lagi. Lihatlah bahasa lembut Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda kata bawa kepada kami, bukan bawa kepadaku kerana mereka akan bersama-sama memakan ikan itu.
Di sini satu lagi kita nampak adab baik yang ditunjukkan oleh Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Baginda kata غَدَاءَنَا yang bermaksud makanan tengahari ‘kita’. Iaitu mereka akan makan bersama-sama. Walaupun dengan khadam baginda layan dengan baik, makan bersama-sama. Tidaklah diasingkan makanan seperti yang selalu terjadi dengan pembantu rumah. Selalunya tuan tidak makan bersama dengan khadam atau hamba atau pembantu rumah.
لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَٰذَا نَصَبًا
Sesungguhnya kami dapati perjalanan musafir kali ini sangat memenatkan;
Mereka rasa lain macam kerana selepas mereka melepasi tempat yang sepatutnya mereka berhenti, Allah ﷻ memberikan perasaan letih kepada mereka. Ada mufassir yang mengatakan, mereka menjadi letih kerana mereka melepasi tempat yang sepatutnya mereka berhenti. Padahal sebelum itu mereka cergas sahaja. Kalau mereka telah berhenti di situ seperti yang sepatutnya, mereka tidaklah rasa letih begitu. Apabila mereka letih, mereka berasa lapar.
Atau pun, perasaan lapar itu menjadi isyarat yang mereka telah berjalan jauh dari tempat mereka berehat pada batu itu.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 12 Jun 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)



Alhamdullilah syukur pada Allah SWT terima kasih Ya Allah terima kasih kpd penulis
LikeLike