Tafsir Surah Kahfi Ayat 23 – 27 (Pemahaman In Sha Allah)

Ayat 23: Ayat iin dipanggil ‘Jumlah Mu’taridah‘. Ayat ini dan ayat 24 ini macam tidak kena mengena dengan ayat sebelumnya. Seperti diselit cerita yang lain pula dalam rentetan kisah sebelum ini.

Dalam Qur’an, banyak ayat yang sebegini. Dalam ayat menceritakan suatu perkara, tiba-tiba ada ayat yang nampak asing. Seorang guru yang mengajar Qur’an perlu memberitahu apakah yang dimaksudkan dengan ayat itu.

وَلا تَقولَنَّ لِشَيءٍ إِنّي فاعِلٌ ذٰلِكَ غَدًا

 Sahih International

And never say of anything, “Indeed, I will do that tomorrow,”

Malay

Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, esok”.

 

وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ

Jangan sekali-kali kamu berkata kepada sesuatu pun:

Ayat ini adalah peringatan kepada Nabi Muhammad dan kita juga. Kita kena sedar yang kita tertakluk kepada qadha dan qadar yang Allah telah tetapkan.

 

إِنِّي فَاعِلٌ ذَٰلِكَ غَدًا

“Sesungguhnya aku akan buat sesuatu perkara itu esok”.

Ingatlah yang hari esok bukan dalam tangan kita tapi dalam kekuasaan Allah.

Apabila orang Musyirikin Mekah bertanya kepada Nabi tentang kisah penghuni gua itu, Nabi kata baginda akan memberitahu jawapannya kepada mereka esok. Kerana selalunya Allah akan memberikan jawapan dengan segera.

Ini menunjukkan bahawa Nabi tidak tahu perkara ghaib. Kalau Nabi tahu perkara ghaib, tentulah Nabi akan terus jawab kepada mereka. Tapi Nabi tidak tahu perkara ghaib dan kerana itu Nabi kena tunggu wahyu dari Allah. Jadi kalau Nabi pun tidak tahu, jangan kita percaya kalau ada tok guru-tok guru yang kata mereka tahu perkara ghaib. Kalau Nabi sendiri pun tidak tahu, takkan mereka boleh tahu pula?

Malangnya, masyarakat kita yang jauh dari wahyu, sampai ada kata kalau tok guru tengok sahaja muka seseorang itu, dia kononnya boleh tahu orang itu baik atau tidak. Berapa banyak wirid dia lakukan semalam, dan macam-macam lagi. Sampai ada anak murid takut untuk berjabat salam dengan guru itu kerana takut dapat tahu semua kesalahan dia. Itu semua syaitan yang ajar. Dan ini berleluasa dalam ajaran tarekat.

Nabi tidak mendapat wahyu tentang perkara ini selama beberapa hari. Ada yang kata sampai 15 hari. Ini adalah kerana Nabi tidak mengucapkan ‘in sha Allah’ (kalau Allah kehendaki). Allah jadikan ini sebagai pengajaran kepada Nabi dan juga kepada kita.

Oleh kerana Nabi tidak terus dapat menjawab, baginda telah digelakkan oleh orang kafir. Mereka kata Nabi telah ditinggalkan oleh Tuhannya. Ini tentulah tidak benar sama sekali. Kerana akhirnya Allah jawab jua.

Ada satu hadis Hadis dari Bukhari & Muslim berkenaan Nabi Sulaiman juga pernah tidak menyebut in sha Allah:

Sulaiman bin Dawud pernah berkata: “Aku akan menggilir 70 orang isteriku dalam satu  malam yang masing-masing akan melahirkan seorang anak lelaki yang berjuang di jalan Allah”. Malaikat berkata kepadanya “Katakanlah Insyaallah (dengan izin Allah) tetapi Sulaiman tidak mengucapkan. Kemudian dia berkeliling mendatangi isterinya-isterinya itu. Maka tiada seorang pun melahirkan anak kecuali seorang wanita saja yang melahirkan setengah manusia (cacat). Dan Nabi SAW bersabda; “Demi Allah, seandainya dia (sulaiman) berkata Insyaallah, nescaya dia tidak berdosa dan demikian itu sudah cukup untuk memenuhi hajatnya. (memperolehi anak)

Dalam ayat ini, Allah mengajar Nabi dan kita, jikalau hendak melakukan sesuatu pada masa akan datang, hendaklah baginda memulangkan hal itu kepada kehendak Allah kerana Allahlah yang Maha Tahu tentang perkara ghaib, perkara yang telah terjadi, yang akan terjadi, yang tidak akan terjadi dan bagaimana akan terjadinya. Jangan pula kita kata kita pasti akan melakukannya kerana mungkin Allah tidak benarkan.


 

Ayat 24: Sambungan ayat ‘jumlah mu’taridah’. Apakah adab kita apabila kita kata kita akan melakukan sesuatu?

إِلّا أَن يَشاءَ اللهُ ۚ وَاذكُر رَبَّكَ إِذا نَسيتَ وَقُل عَسىٰ أَن يَهدِيَنِ رَبّي لِأَقرَبَ مِن هٰذا رَشَدًا

 Sahih International

Except [when adding], “If Allah wills.” And remember your Lord when you forget [it] and say, “Perhaps my Lord will guide me to what is nearer than this to right conduct.”

Malay

Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya Allah”. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”.

 

إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللهُ

Melainkan kamu kata “In sha Allah” – Jika Allah kehendaki;

Segala sesuatu bergantung kepada kehendak Allah. Bukan kita yang tentukan. Walaupun kita sudah cakap in sha Allah pun, tapi kalau Allah tidak mahu ianya terjadi, ianya tidak ada terjadi. Kita cuma boleh merancang dan berharap sahaja.

Kerana kehendak kita dan kehendak Allah mungkin tidak sama. Sepertimana Pemuda Kahfi ini, mereka bukannya mahu tinggal terus dalam gua itu selama 300 tahun. Mereka nak singgah dan kemudian pergi ke tempat lain sahaja. Tapi Allah yang tetapkan mereka tinggal tidur dalam gua itu sampai 300 tahun.

Tidak ada manusia yang boleh mengatakan apa yang terjadi esok hari, tahun depan dan sebagainya. Kalau ada yang kata ada tok guru yang tahu ilmu ghaib, itu adalah syirik kepada Allah. Iaitu ‘syirik dalam ilmu’. Sepatutnya ilmu ghaib itu kepunyaan Allah, tapi kita kata ada manusia yang ada ilmu ghaib pula. Kalau kita cakap macam itu, kita telah berbuat sesuatu yang syirik.

Kita hanya cakap in sha Allah pada perkara yang kita buat sahaja. Bukan kepada perkara yang Allah buat. Contohnya, kita tidak perlu cakap “semoga Allah ampunkan dosa kita, in sha Allah”. Kerana perbuatan mengampunkan itu adalah kerja Allah.

Malangnya, masyarakat kita yang jahil tentang salah gunakan kalimah ini. Pada mereka, kalau mereka tidak mahu lakukan, maka mereka sebut in sha Allah. Ini adalah kerana jahil sungguh dengan agama. Mereka telah tukar pemahaman agama dengan akal yang amat bodoh sekali.

 

وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ

Dan ingatlah Tuhan kamu ketika kamu lupa;

Seperti yang kita telah sebut di awal surah ini, apabila Musyrikin Mekah datang bertanyakan kepada Nabi Muhammad tentang tiga perkara (setelah mereka dapat idea dari Yahudi), maka Nabi beritahu yang baginda akan beritahu esok. Nabi tidak sebut in sha Allah. Nabi Muhammad bukannya tidak tahu untuk sebut ‘in sha Allah’, tapi pada kali ini baginda terlupa. Jadi Allah tegur baginda kerana terlupa sahaja.

Ada pengajaran dalam ayat ini: Kalau kita lupa sesuatu, sebutlah nama Allah, bacalah contohnya ‘subhanallah‘ banyak kali. Mudah-mudahan dengan kita ingat Tuhan itu, Dia akan memberikan kita ingat balik apa yang kita lupakan. Kerana lupa itu disebabkan oleh syaitan, seperti yang disebutkan dalam ayat 63 surah ini. Apabila syaitan telah diusir, in sha Allah, lupa itu akan hilang.

Atau kalau lupa cakap ‘in sha Allah’ selepas kita bercakap dengan seseorang, kita boleh cakap juga dengan diri kita. Tidak perlu cakap balik kepada orang itu. Ini disunatkan kita lakukan. Kerana ianya adalah antara kita dan Allah. Supaya kita sentiasa terikat dengan Allah. Ianya adalah kalimah untuk jaga akidah kita dari rosak. Iaitu kita sedar yang usaha kita ini adalah ikhtiar sahaja, bukan taqdir Allah. Sebagai contoh, selepas bercakap dengan seseorang dalam telefon dan kita berjanji (tapi lupa nak sebut in sha Allah) kita letak telefon. Tiba-tiba kita teringat, maka sebut sahaja pada diri kita: in sha Allah. Tak perlulah telefon orang itu balik.

Dan tidak ada salahnya kalau kita gunakan ‘in sha Allah’ dengan orang bukan Islam pun. Jangan kita malu hendak menggunakannya di depan orang yang tidak faham apakah maksud ‘in sha Allah’ itu. Kalau mereka tanya, kita sudah ada peluang untuk mengajar kepada mereka.

 

وَقُلْ عَسَىٰ أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لِأَقْرَبَ مِنْ هَٰذَا رَشَدًا

Dan katakanlah: mudah-mudahan Tuhanku akan menunjukkan kepadaku petunjuk yang lebih dekat dari ini. 

Kita sentiasa mengharap supaya Allah akan memberikan kita pengetahuan yang lebih mendalam. Contohnya, walaupun kita sudah ada guru yang telah memberikan satu pemahaman kepada kita, kadang-kadang Allah akan memberikan guru yang lain, kawan yang baru atau buku yang lain, supaya kita lebih faham tentang agama.

Kerana itu tidak salah kalau belajar dengan lebih dari satu guru. Kadangkala kita sudah habis belajar dengan satu guru, dan jumpa guru lain yang lebih hebat, maka boleh sahaja kita bertukar guru. Itu maksudnya Allah sudah beri guru yang lebih baik dari guru kita. Guru itu pula janganlah terasa hati. Masalah dengan guru selalunya kecil hati kalau anak murid belajar dengan orang lain. Itu guru yang hatinya kecil, jangan hiraukan.

Maka begitu juga dengan ilmu kita. Kadangkala kita mendapat maklumat yang baru, dalil yang baru atau hujah yang baru. Maka biasalah kalau kita ubah pendapat kita kepada pendapat yang lain setelah kita mendapat maklumat yang lebih tepat.

Dua ayat yang kita sedang belajar ini dipanggil jumlah mu’taridah. Allah tegur Nabi kerana tidak sebut in sha Allah. Di dalam kisah Pemuda Kahfi ini, tiba-tiba Allah menyelit untuk menceritakan sesuatu perkara yang penting. Maka kita pun diingatkan supaya tidak lupa menyebut in sha Allah dalam banyak perkara.

Selepas disebutkan peringatan untuk sebut in sha Allah itu, baru kembali balik kepada kisah Pemuda Kahfi. Oleh itu, kita boleh nampak banyak ayat Qur’an yang perlu tafsiran, tidak boleh dibaca begitu sahaja. Oleh itu kena belajar berdepan – dinamakan belajar secara talaqqi. Barulah kita dapat faham Qur’an dengan sebenarnya. Tidak boleh faham Qur’an sendiri kerana takut tersalah faham kalau baca terjemahan dalam kitab sahaja. Dan kalau tersalah faham, ianya amat bahaya.

Malangnya, orang Melayu kita salah faham dengan konsep ‘in sha Allah’ ini. Mereka gunakan kalimat ini sebagai indikasi yang mereka tak mahu buat pula. Sebagai contoh, kalau ada orang ajak pergi ke sesuatu tempat, orang yang tidak mahu pergi kata: in sha Allah…. nanti aku pergilah….. Orang yang dengar pun sudah tahu: “ini kamu memang tak mahu pergi lah ni.”

Itu adalah cara penggunaan yang salah. Memang jenis orang jahil agama kalau begitu. Mereka lupa bahawa kalimah ini adalah sebagai janji dari kita untuk melakukan sesuatu, cuma tak dapat dilakukan kalau Allah tidak benarkan sahaja. Jadi maksud penggunaan ‘in sha Allah’ kena diperbetulkan dalam masyarakat kita. Mereka kena belajar ayat ini dengan betul.

Ayat ini ada kaitan juga dengan Ashabul Kahfi itu. Kerana mereka telah merancang untuk tinggal sekejap sahaja di gua, tapi Allah takdirkan mereka tinggal selama 300 tahun; mereka merancang untuk beli makanan dengan senyap supaya orang tidak perasan mereka tapi akhirnya Allah takdirkan mereka ditemukan juga oleh masyarakat setempat. Ini mengajar kita yang semua yang terjadi adalah dalam perancangan Allah semata-mata.

Kita hanya boleh merancang sahaja, tapi Allah yang tentukan.


 

Ayat 25: Kembali kepada kisah Ashabul Kahfi.

وَلَبِثوا في كَهفِهِم ثَلٰثَ مِاْئَةٍ سِنينَ وَازدادوا تِسعًا

 Sahih International

And they remained in their cave for three hundred years and exceeded by nine.

Malay

Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dengan tambah sembilan lagi (dengan kiraan kamu).

 

وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلٰثَ مِاْئَةٍ سِنِينَ

Dan mereka tinggal dalam gua itu selama 300 tahun;

Dalam hadis, diceritakan apabila Allah beritahu 300 tahun pemuda Kahfi itu tinggal dalam gua, para sahabat bertanya, 300 tahun tepatkah? Maka Allah tambah ayat seterusnya.

 

وَازْدَادُوا تِسْعًا

dan tambah sembilan tahun;

Maknanya 309 tahun mereka tinggal di gua itu. Jumlah 309 tahun itu adalah Tahun Qamari (yang dipanggil bulan Islam – kalender yang mengikut kiraan perjalanan bulan). Dan 300 Syamsiah (Gregorian Calender – kalender yang mengikut perjalanan matahari).  Setiap seratus tahun syamsiah, tambah tiga tahun kalau pakai kalender qamari.

Maka dalam ayat ini, Allah memberikan jumlah tahun kalau pakai kalender Islam dan juga kalender yang biasa kita pakai itu. Bermakna, Allah iktiraf juga penggunaan kalender Gregorian itu (kalender yang kita biasa pakai).

Apabila diberitahu dalam ayat ini mereka tinggal selama 309 tahun, puak Yahudi kehairanan. Kerana setahu mereka dalam hikayat mereka, Pemuda Kahfi tinggal di gua itu selama 300 tahun sahaja. Memanglah kalau zaman Pemuda Kahfi itu dikira 300 tahun kerana mereka pakai kiraan Tahun Syamsiah tapi orang Arab pakai kaedah lain.

Maka Allah lebih mengetahui berapa lamakah mereka tinggal di dalam gua itu. Jadi, apabila mereka tanya kenapa tambah 9 tahun lagi itu, Allah jawab dalam ayat seterusnya:


 

Ayat 26:

قُلِ اللهُ أَعلَمُ بِما لَبِثوا ۖ لَهُ غَيبُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ أَبصِر بِهِ وَأَسمِع ۚ ما لَهُم مِّن دونِهِ مِن وَلِيٍّ وَلا يُشرِكُ في حُكمِهِ أَحَدًا

 Sahih International

Say, ” Allah is most knowing of how long they remained. He has [knowledge of] the unseen [aspects] of the heavens and the earth. How Seeing is He and how Hearing! They have not besides Him any protector, and He shares not His legislation with anyone.”

Malay

Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNya lah ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Dia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya.

 

قُلِ اللهُ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثُوا

Katakanlah: Allah lah yang paling tahu berapa lama mereka tinggal;

Allah sahaja yang tahu masa yang tepat. Jadi jangan persoalkan kalau Allah sudah beritahu mereka tinggal selama 309 tahun dalam gua itu. Allah tahu dengan tepat berapa hari, berapa jam, berapa bulan, tapi Allah tidak beritahu kepada kita. Masa itu tidak penting untuk diketahui. Yang penting adalah pengajaran yang boleh diambil.

 

لَهُ غَيْبُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

MilikNya lah sahaja ilmu ghaib langit dan bumi;

Allah tahu segala maklumat kerana Allah sahaja yang tahu tentang perkara yang ghaib. Kita tidak akan tahu apa-apa melainkan diberitahu oleh Allah. Kita tahu sikit pun atas izin Allah semata. Maka, kalau ada orang yang kata guru mereka tahu tentang perkara ghaib, maka itu adalah tidak benar.

Ini selalu terjadi kepada golongan tarekat. Pada mereka, guru mereka tahu macam-macam. Tapi memang ahli tarekat senang untuk ditipu oleh guru-guru mereka dan senang untuk ditipu oleh syaitan kerana mereka tidak ada ilmu wahyu. Selalunya yang termasuk dalam ajaran tarekat ini adalah golongan yang jahil agama.

Terjadi juga kepada puak Syiah sekarang ini. Mereka meletakkan imam-imam mereka sampai kepada taraf Allah, kerana mereka kata imam-imam itu tahu segala apa yang terjadi di alam ini.

 

 أَبْصِرْ بِهِ

Alangkah tajam penglihatan Allah

Allah Maha Melihat apakah yang terjadi dalam alam ini. Khusus dalam ayat ini berkenaan kisah pemuda Kahf ini, Allah sahaja yang tahu apakah yang terjadi semasa mereka di dalam gua itu. Allah telah menghalang orang lain dari masuk ke dalam gua itu, maka Dia sahaja yang tahu apa yang akan terjadi.

 

وَأَسْمِعْ

dan alangkah tajam pendengaran Allah;

Allah tahu segala-galanya tentang makhluk Dia. Dia Maha Tahu segala-galanya yang terjadi dalam alam ini. Khusus kepada kisah pemuda Kahf ini, Allah sahaja yang tahu apakah percakapan pemuda Kahf itu sesama mereka.

Tentu banyak percakapan antara mereka, tapi Allah hanya memberitahu kepada kita sedikit sahaja. Kerana yang sedikit itu sahaja yang penting untuk kita ambil pengajaran.

 

 مَا لَهُمْ مِّنْ دُونِهِ مِنْ وَلِيٍّ

Tidak ada bagi mereka selain dariNya sebarang pelindung pun

Keselamatan Pemuda Kahfi itu adalah dalam tangan Allah. Allah lah yang menyelamatkan mereka semasa mereka di dalam gua itu dan Allah lah juga yang menyelamatkan mereka semasa mereka lari ke gua itu dan selepas mereka keluar dari gua itu. Tidak ada pun yang menyelamatkan mereka selain Allah.

Jadi apabila ada manusia yang bertawasul dan mengambil berkat dari Pemuda-pemuda Kahfi itu, amatlah mengarut kerana mereka sendiri tidak kuasa. Mereka sendiri pun berharap kepada Allah, maka bagaimana mereka hendak membantu orang lain?

 

وَلَا يُشْرِكُ فِي حُكْمِهِ أَحَدًا

dan Dia tidak berkongsi dengan sesiapa pun dalam membuat keputusan;

Apabila Allah nak buat sesuatu, Dia tidak perlu tanya kepada sesiapa pun. Dia buat terus sahaja dan ia akan terjadi.

Maka kalau kita perlukan apa-apa, maka berdoa teruslah kepada Allah. Kerana semua keputusan di tangan Allah. Kalau kita perlukan bantuan apa-apa pun, Allah sahaja yang boleh bantu.


 

Ayat 27: Dalil Wahyi.

وَاتلُ ما أوحِيَ إِلَيكَ مِن كِتابِ رَبِّكَ ۖ لا مُبَدِّلَ لِكَلِمٰتِهِ وَلَن تَجِدَ مِن دونِهِ مُلتَحَدًا

 Sahih International

And recite, [O Muhammad], what has been revealed to you of the Book of your Lord. There is no changer of His words, and never will you find in other than Him a refuge.

Malay

Dan bacakanlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya.

 

وَاتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنْ كِتَابِ رَبِّكَ

Dan bacakanlah apa yang telah diwahyukan kepada kamu dari Qur’an ini dari Tuhanmu;

Allah mengarahkan Nabi untuk terus membacakan ayat-ayat Qur’an kepada manusia. Bukan Nabi baru sekarang disuruh untuk baca, tapi baginda disuruh untuk teruskan membaca, terus lakukan apa yang baginda telah lakukan.

Termasuk juga kena bacakan kepada Ahli Kitab. Mereka tidak puas hati kerana Nabi tidak memberikan maklumat seperti yang mereka mahukan. Mereka adalah satu bangsa yang suka maklumat-maklumat yang terperinci. Maklumat-maklumat itu semua tidak penting tapi mereka nak tahu juga.

Jadi jangan jadi seperti mereka nak tahu segala perkara. Kerana kalau ada maklumat yang tidak disebut oleh Allah, itu bermakna maklumat itu tidak penting untuk diketahui. Maka kita kena rasa cukup dengan maklumat yang diberikan oleh Allah taala.

Allah juga memerintah Nabi membacakan ayat-ayat Qur’an dan menyampaikannya kepada manusia. Maknanya, dalam berdakwah, kita kena membacakan kepada manusia ayat-ayat Qur’an. Itulah cara dakwah yang sebenarnya. Semasa Nabi berdakwah dulu, baginda juga berdakwah dengan membacakan ayat Qur’an kepada manusia. Tidaklah baginda pakai nasyid dan qasidah pula.

Terdapat hikmah yang tinggi dalam ayat-ayat Qur’an yang dapat membuka hati manusia. Itulah yang kita kena ajarkan kepada manusia. Selepas mereka telah terima Qur’an, boleh kita teruskan dengan mengajar hadis kepada mereka. Hadis itu boleh dibacakan kepada mereka yang telah terima tauhid.

Kalau mereka belum terima tauhid, mereka akan tanya macam-macam sampai kita sendiri susah nak jawab. Ini kerana hadis itu ada yang sahih, ada yang lemah dan ada yang palsu. Mereka akan timbulkan banyak persoalan-persoalan tentang hadis. Ini adalah kerana hati mereka belum menerima tauhid. Tapi tentang ayat-ayat Qur’an, tidak ada sesiapa yang berani mempersoalkan kerana ianya memang mutawatir dari Allah.

 

لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمٰتِهِ

Tidak ada sesiapapun yang boleh merubah kalimah-kalimahNya;

Ini bermaksud tidak ada sesiapa yang boleh mengubah ayat-ayat Qur’an. Mungkin ada yang hendak menambah maklumat-maklumat yang ada dalam Qur’an tapi mereka tidak boleh langsung.

Ayat ini juga hendak menempelak golongan Ahli Kitab yang telah mengubah kandungan kitab mereka. Allah mengingatkan kepada orang Islam supaya jangan mengubah ayat-ayat Qur’an. Sebenarnya, kalau mereka hendak ubah pun, memang tidak boleh. Kerana Allah telah mengatakan dalam ayat ini dan ayat-ayat lain bahawa tidak ada sesiapa yang boleh ubah Qur’an. Allah akan menjaga kandungan Qur’an sampai bila-bila.

Dan ia juga bermaksud kita tidak boleh mengubah mana-mana keputusan Allah. Allah telah tetapkan sesuatu itu terjadi. Contohnya, kalau Allah sudah tetapkan seseorang itu mati sebagai kafir, kita tidak boleh buat apa-apa pun. Kita kena terima bahawa Allah itu adalah Maha Adil. Jangan kita sekali-kali kita kata Allah tidak berlaku adil bila-bila masa pun.

 

وَلَنْ تَجِدَ مِنْ دُونِهِ مُلْتَحَدًا

Dan kamu tidak akan dapat selain dari Allah tempat berlindung;

Nanti di Padang Mahsyar tidak ada tempat nak berlindung dari Allah. Bukan di akhirat sahaja, di dunia lagi tidak dapat lari dari ketentuan Allah.

Perkataan مُلْتَحَدًا diambil dari katadasar ل ح د (lahad) yang bermaksud suatu tempat yang longgar yang kita dapat bergerak di dalamnya. Allah nak kata bahawa di akhirat kelak tidak ada tempat keluar dan tidak ada ruang untuk melarikan diri. Kita semua akan berada dalam peganganNya.

Dan ada yang menafsirkan bahawa maksud ayat ini adalah: jikalau Nabi tidak membacakan ayat Qur’an kepada manusia, tidak ada tempat berlindung bagi Nabi Muhammad dari Allah Taala kerana baginda tidak menjalankan tugas baginda.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 April 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s