Tafsir Surah Kahfi Ayat 21 (Hukum bina masjid atas kubur)

TEMPAT PERSEMBUNYIAN MEREKA TERBONGKAR

Kahf Ayat 21: Akhirnya mereka diketahui juga

وَكَذٰلِكَ أَعثَرنا عَلَيهِم لِيَعلَموا أَنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ وَأَنَّ السّاعَةَ لا رَيبَ فيها إِذ يَتَنٰزَعونَ بَينَهُم أَمرَهُم ۖ فَقالُوا ابنوا عَلَيهِم بُنيٰنًا ۖ رَّبُّهُم أَعلَمُ بِهِم ۚ قالَ الَّذينَ غَلَبوا عَلىٰ أَمرِهِم لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيهِم مَّسجِدًا

 Sahih International

And similarly, We caused them to be found that they [who found them] would know that the promise of Allah is the truth and that of the Hour, there is no doubt. [That was] when they disputed among themselves about their affair and [then] said, “Construct over them a structure. Their Lord is most knowing about them.” Said those who prevailed in the matter, “We will surely take [for ourselves] over them a masjid.”

Malay

Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”.

 

وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ

Demikianlah Kami perlihatkan ke atas mereka;

Demikianlah (كَذَٰلِكَ), merujuk kepada perbuatan mereka keluar mencari makanan di bandar. Bagaimana keadaan mereka waktu itu? Oleh kerana zaman mereka telah berlalu terlalu lama (309 tahun), maka pakaian mereka sudah lain daripada orang zaman itu. Tentu cara percakapan mereka pun sudah berlainan dengan masyarakat waktu itu.

Meskipun Al-Qur’an tidak menjelaskan secara terperinci keadaan utusan itu ketika masuk ke dalam kota, khayalan kita sendiri pun telah dapat mengagak bagaimana bingungnya dia sesampai di dalam kota. Sedangkan seorang penduduk Ipoh yang meninggalkan kota ini agak setahun, lalu datang kembali, akan tercengang juga melihat berbagai perubahan, apatah lagi kalau dia meninggalkan kota 100 tahun! Mungkin sekali orang datang berkerumun melihat orang ganjil itu ketika dia menilik-nilik makanan yang akan dibawanya ke dalam gua pada satu kedai. Setelah tawar-menawar dan timbul persetujuan harga, nescaya dikeluarkannya wangnya untuk membayar makanan itu. Lalu pasti lama orang kedai menimbang-nimbang dan membolak-balik wang itu. Nescaya si utusan sudah sangat berhati-hati supaya dirinya jangan masuk ke dalam perangkap keganasan hukum raja. Akan tetapi bagaimana dia akan dapat menyembunyikan, padahal wangnya sendiri menjadi saksi.

Maka dengan keadaan mereka itulah yang menyebabkan mereka dikenali. Kalimah أَعْثَرْ bermaksud ‘tergelincir’. Mereka yang keluar itu telah diberi pesanan supaya berhati-hati. Jangan sampai orang bandar perasan mereka. Namun mereka telah ‘tergelincir’. Bukankah kadang-kadang kita hendak simpan rahsia, tetapi kita tersilap cakap dan sebagainya, sampai orang tahu rahsia kita?

Begitulah yang terjadi kepada pemuda-pemuda itu. Oleh kerana keadaan mereka berlainan dengan orang zaman itu, maka perbuatan dan percakapan mereka telah menyebabkan orang pelik dengan mereka. Tambahan pula lelaki itu menggunakan wang yang sudah tidak digunakan sekian lama. Maka pekedai itu sangka dia telah menggali harta karun dan mahu tahu dari mana dia dapat.

Sebenarnya Allah ‎ﷻlah yang menyebabkan mereka tergelincir itu. Semua ini adalah dalam aturan Allah ﷻ. Ada sebab dan ada tujuan Allah ﷻbuat begitu. Iaitu kerana Allah ﷻ hendak memberi pengajaran agama kepada manusia waktu itu dan zaman berzaman.

Ketika hendak membeli makanan dengan duit perak mereka, peniaga zaman itu tentu tidak mahu menerima duit itu kerana duit itu adalah duit purba. Bayangkan kalau sekarang ini ada orang bawa keluar Duit Pisang zaman Jepun. Tentu kecoh pekedai-pekedai. Mereka tanya dari mana dapat duit itu? Ada yang kata pemuda itu sudah menjumpai harta karun dan sudah heboh hal mereka. Akhirnya perihal mereka itu telah sampai ke pengetahuan Raja waktu itu. Pemuda itu telah dibawa kepada Raja dan beliau telah menjelaskan duduk perkara yang sebenarnya.

Oleh kerana semua penduduk waktu itu beragama Nasrani, maka mereka amat berminat kerana mereka mendapat kisah ada penganut Nasrani dari 300 tahun dahulu yang menjaga agamanya. Maka mereka takjub kerana dapat berjumpa dengan mereka.

Akhirnya pemuda itu telah membawa Raja dan rakyat negeri itu untuk pergi ke gua tempat persembunyian mereka. Apabila sampai, beliau suruh mereka tunggu di luar kerana hendak meminta izin daripada rakan-rakannya yang lain untuk membenarkan mereka yang lain masuk.

Ada dikatakan bahawa rombongan Raja itu dapat masuk menemui pemuda-pemuda Kahfi itu dan raja telah mengucapkan salam dan memeluk mereka. Menurut riwayat, nama raja itu adalah Yandusus. Sekali lagi, nama tidak penting. Selepas mereka meluangkan sedikit masa dengan rombongan itu maka mereka kembali ke tempat perbaringan mereka dan Allah ﷻ mewafatkan mereka. Kali ini mereka benar-benar telah mati, bukan tidur mati lagi.

Memang Allah ﷻ bertujuan supaya pemuda-pemuda Kahfi itu diperlihatkan kepada orang-orang di bandar itu. Kerana ada pengajaran yang hendak Allah ﷻ sampaikan kepada mereka. Apakah pengajaran penting yang Allah ﷻ hendak beritahu sampai Allah ﷻ rancang Pemuda Kahfi itu tidur selama 309 tahun?

 

لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللهِ حَقٌّ

agar mereka tahu bahawasanya janji Allah itu benar;

Mereka telah dibawakan kepada Raja dan ketika itu Raja memang sedang dalam kebingungan tentang isu kehidupan selepas mati. Ada yang kata yang dibangkitkan hanyalah roh, bukan jasad sekali. Begitulah menurut keterangan lkrimah رَحِمَهُ اللَّهُ: Dalam negeri itu pada waktu sedang terjadi perselisihan faham di antara dua golongan, tentang manusia akan dibangkitkan kembali di hari kiamat. Ada yang mengatakan bahawa yang akan dihidupkan kembali itu hanyalah Roh! Tubuh tidak! Sedang pertengkaran itu memuncak, tiba-tiba muncullah utusan penduduk Kahfi itu ke tengah kota membeli makanan.

Seperti kita telah sebutkan sebelum ini, antara masalah yang dihadapi oleh manusia adalah fahaman materialisme, atau ‘kebendaan’. Mereka hanya melihat fizikal sahaja. Mereka tidak dapat menerima bahawa mereka akan dihidupkan kembali. Mereka hanya mementingkan dunia yang nyata ini sahaja.

Oleh itu, dengan adanya Pemuda-pemuda itu, telah pasti kepada mereka bahawa memang ada kehidupan selepas mati. Allah ﷻ boleh sahaja tidurkan Pemuda-pemuda Kahfi sekian lama dan boleh sedarkan mereka semula. Maka begitu jugalah nanti keadaan bangkit daripada mati. Maka sedarlah mereka bahawa janji Allah ﷻ untuk menghidupkan kembali makhluk itu adalah benar. Mereka waktu itu percaya kepada kebangkitan semula, tetapi tidak ‘yakin’ kerana tidak dapat melihat sendiri. Sedangkan perkara kebangkitan semula ini kena yakin.

Waktu itu walaupun ramai penduduk telah memeluk agama Nasrani, tetapi masih ada lagi saki baki fahaman syirik zaman dahulu. Macam orang kita juga, walaupun sudah lama beragama Islam, tetapi masih lagi ada fahaman Hindu dan animisme dalam masyarakat kita seperti bersanding dan makan pulut kuning.

Waktu itu fahaman salah tentang kebangkitan semula yang kuat. Sampai ada juga yang langsung tidak percaya kepada kebangkitan semula. Maka Allah ﷻ jadikan kejadian Pemuda Kahfi ini sebagai pengajaran. Allah ﷻ hendak mengajar yang Dia boleh bangkitkan sekali roh dan jasad manusia sekali. Kalau Allah ﷻ boleh hidupkan manusia selepas tiga ratus tahun tidur, maka kalau Allah ﷻ mahu hidupkan kembali manusia adalah amat mudah.

Satu lagi janji yang Allah ﷻ tunaikan di dalam kisah Pemuda Kahfi ini adalah menjaga mereka apabila mereka berusaha menjaga agama dan akidah mereka. Janji Allah ﷻ ini disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ الله عَنْهُمَا قَالَ: كُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فَقَالَ: ( يَا غُلاَم! إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: اِحْفَظِ الله يَحْفَظْكَ، اِحْفَظِ الله تَجِدْهُ تُجَاهَكَ، إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ الله، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاالله، وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ الله لَكَ، وَإِنِ اجْتَمَعُوْا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ الله عَلَيْكَ، رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفُ )
رواه الترمذي وقال حَدِيثٌ حسن صحيح
Daripada Abu ‘Abbas, Abdullah ibn Abbas, رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi ﷺ pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku: Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudaratkan kamu dengan suatu mudarat, nescaya mereka tidak mampu memudaratkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).
Hadith riwayat al-Imam at-Tirmidzi (2440)
Beliau berkata: Ia adalah Hadith Hasan Sohih

 

وَأَنَّ السَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَا

Dan kiamat itu tidak syak padanya;

Lagi satu Allah ﷻ hendak memberi dalil bahawa tidak syak lagi bahawa Dia akan buat Hari Kiamat itu nanti. Allah ﷻ boleh buat apa sahaja. Nah sekarang bukti telah ada di depan mata mereka maka mereka telah beriman dengan kebangkitan semula dan akhirat.

Apakah tindakan kita setelah membaca ini? Sepatutnya kita buat persediaan mulai sekarang untuk menghadapi Kiamat kerana kita sudah tahu ia pasti. Begitulah yang Rasulullah ﷺ ajar para sahabat,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَا أَعْدَدْتَ لِلسَّاعَةِ قَالَ حُبَّ اللَّهِ وَرَسُولِهِ قَالَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بَعْدَ الْإِسْلَامِ فَرَحًا أَشَدَّ مِنْ قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِأَعْمَالِهِمْ
Daripada [Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; “Pada suatu hari seorang laki-laki datang kepada Rasulullah ﷺ seraya bertanya; ‘Ya Rasulullah, bilakah kiamat itu akan datang? ‘ Mendengar pertanyaan laki-laki itu, Rasulullah ﷺ balik bertanya: ‘Apa yang telah engkau siapkan untuk menghadapi kiamat? ‘Laki-laki itu menjawab; ‘Kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.’ Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Tidak ada yang lebih menyenangkan hati kami setelah masuk Islam selain sabda Rasulullah ﷺ yang berbunyi: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Kerana saya mencintai Allah, Rasulullah, Abu Bakar, dan Umar, maka saya berharap kelak akan bersama mereka meskipun saya tidak dapat beramal seperti mereka.’
(Sahih Muslim (4777))

 

إِذْ يَتَنٰزَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ

Ketika mereka (yang hidup) saling berbantah diantara mereka dalam urusan mereka;

Allah ﷻ berikan dalil dan bukti bahawa memang Allah ﷻ boleh menghidupkan kembali manusia yang telah mati pada ketika keimanan mereka telah bercelaru tentang perkara itu. Kalimah يَتَنٰزَعُونَ daripada katadasar ن ز ع yang daripadanya menjadi تنازع yang bermaksud saling tarik menarik. Ini kerana di dalam diskusi dan perdebatan, masing-masing pihak akan cuba menarik pihak yang satu lagi kepada pendapatnya.

Kalimah هم di dalam kalimah بَيْنَهُمْ merujuk kepada orang yang hidup di zaman Raja baru itu. Orang-orang yang hidup pada zaman itu berbantah sesama sendiri tentang hari Kiamat dan kehidupan semula. Ada yang percaya dan ada yang tidak. Maka peristiwa Pemuda Kahfi itu menjadi hujjah dan dalil kepada mereka yang percaya kepada hari Kiamat.

Ada juga pendapat yang mengatakan, yang mereka berbantah itu adalah tentang membina bangunan dan tutup sahaja tempat Para Pemuda Kahfi itu, atau binakan masjid sebagai tempat ibadah. Ini akan disebut selepas ini.

Ada pula yang berpendapat bahawa yang dimaksudkan di sini adalah perbezaan pendapat penduduk negeri tentang pemuda-pemuda Penghuni Gua itu. Misalnya, apakah mereka mati atau tidur, apakah akan hidup terus atau kembali lagi ke gua. Berapa lama keberadaan mereka dalam gua, dan lain-lain. Ada juga yang berpendapat bahawa perbezaan itu bukan berkaitan dengan pemuda-pemuda tersebut, tetapi berkaitan dengan penduduk negeri itu sendiri, berkait dengan apa yang harus mereka lakukan terhadap pemuda-pemuda Ashab al-Kahf itu.

 

فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِمْ بُنْيٰنً

Maka berkatalah satu puak: binakanlah atas mereka satu bangunan;

Satu pendapat mengatakan bahawa yang berkata ini adalah golongan yang beriman. Mereka cadangkan supaya dibina bangunan dengan tujuan untuk menutup gua tempat Pemuda Kahfi itu mati supaya mereka tidak diketahui dan dipuja kemudiannya. Biarkan sahaja mereka dalam keadaan mereka.

Sampai sekarang, kita tidak pasti manakah tempat Gua itu yang sebenarnya. Golongan yang mencadangkan supaya ditutup pandangan kepada Pemuda-pemuda Kahfi itu adalah golongan yang berfahaman tauhid. Mereka tidak ramai kalau dibandingkan dengan orang lain – samalah seperti zaman sekarang juga. Mereka mencadangkan supaya pemuda Kahfi itu dibiarkan dalam keadaan seperti itu. Mereka akhirnya kalah dengan golongan yang ramai yang musyrik.

Inilah yang sepatutnya dilakukan kerana fahaman syirik tebal dalam hati kebanyakan manusia. Kalau mereka tahu di mana kedudukan Pemuda Kahfi itu, maka mereka akan cari dan jadikan tempat persembahan pula. Sekarang walaupun tidak tahu di manakah kedudukan kubur mereka pun, ada orang kita yang bertawasul kepada mereka. Bayangkan kalau memang tahu di mana kubur mereka?

Saya teringat bagaimana kubur Arwah Tok Guru Nik Aziz sampai terpaksa dipagar kerana ada golongan jahil yang mengambil tanah kubur beliau. Memang begitulah yang akan terjadi kalau penyebaran tauhid tidak dikembangkan. Ramai dalam kalangan orang kita ini cenderung untuk membuat amalan syirik kerana jahil agama. Nama sahaja orang Islam, tetapi dalam hati mereka ada fahaman syirik. Nama sahaja Muslim tetapi tidak belajar agama, hanya ikut sahaja apa yang tok nenek dan orang ramai buat.

 

رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ

Tuhan merekalah yang lebih mengetahui tentang mereka;

Tuhanlah yang tahu apa yang patut diperbuat tentang mereka. Kita tidak tahu. Biarkan sahaja kedudukan mereka sebegitu. Jangan didedahkan tempat mati mereka kerana Allah ﷻ sahaja yang tahu kedudukan mereka itu. Kalau diketahui oleh orang yang jahil, tentu akan dijadikan tempat sembah pula.

Ucapan mereka seperti dirakam ayat ini adalah ucapan orang yang telah berputus asa untuk mengetahui dan menemukan hakikat kebenaran, dan kerana itu mereka mengusulkan untuk membuat bangunan buat pemuda-pemuda Penghuni Gua itu.

Atau ia bermaksud kita dapat tahu setakat ini sahaja, kisah penuh yang sebenarnya hanya diketahui oleh Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ beritahu sedikit sahaja maklumat kepada kita.

 

قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَىٰ أَمْرِهِمْ

Maka berkata golongan yang menang ke atas urusan mereka;

Ini pula adalah kata-kata golongan yang berfahaman syirik lagi walaupun mereka beragama Nasrani. Mereka adalah golongan paderi yang memegang tampuk kedudukan agama dalam masyarakat. Mereka adalah golongan yang lebih ramai dan kerana itu kata-kata mereka lebih kuat lagi. Maknanya, merekalah yang berkuasa dan keputusan mereka selalunya diikuti.

Saya pernah bertanya kepada guru saya, kenapa di negeri yang sepatutnya menjaga Sunnah, masih terdapat perkara-perkara bid’ah dan mungkar? Jawapannya kepada saya, “Sejak bila pemimpin ikut cakap ulama’?”

 

لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَّسْجِدًا

Kami pastikan akan jadikan atas mereka itu masjid/gereja;

Mereka hendak mendirikan rumah peribadatan di tempat Pemuda Kahfi itu. Kalau zaman itu, mungkin yang dimaksudkan adalah ‘gereja’. Mereka yang berkuasa itu hendak membina gereja di atas kubur pemuda-pemuda itu. Ini adalah kebiasaan agama Nasrani pada waktu itu kerana mereka telah jauh daripada wahyu.

Kristian sekarang ini pun mereka memang tanam wali-wali (yang mereka lantik sendiri) mereka dalam gereja mereka. Mereka namakan sebagai ‘saints’. Ini adalah perbuatan yang buruk sekali kerana perbuatan ini menyebabkan orang memuja dan beribadat kepada kuburan itu. Mereka menjadikan kubur itu tempat ambil berkat, tempat berdoa dan sebagainya. Manusia membuat syirik dengan cara ini.

Oleh kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ telah melarang membina masjid atas kubur, atau masjid yang mengadap kubur atau di tepi kubur. Kerana ini amat bahaya kerana kuburan itu boleh dijadikan tempat orang membuat syirik. Begitulah yang diajar oleh Nabi ﷺ kita seperti disebut di dalam hadith;

عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ أَنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ وَأُمَّ سَلَمَةَ ذَكَرَتَا كَنِيسَةً رَأَيْنَهَا بِالْحَبَشَةِ فِيهَا تَصَاوِيرُ فَذَكَرَتَا لِلنَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنَّ أُولَئِكَ إِذَا كَانَ فِيهِمُ الرَّجُلُ الصَّالِحُ فَمَاتَ بَنَوْا عَلَى قَبْرِهِ مَسْجِدًا وَصَوَّرُوا فِيهِ تِلْكَ الصُّوَرَ فَأُولَئِكَ شِرَارُ الْخَلْقِ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ *
Daripada ‘Aisyah Ummul Mukminin رضي الله عنها, bahawa Ummu Habibah dan Ummu Salamah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menceritakan kepada Nabi ﷺ bahawa mereka pernah melihat gereja di Habasyah yang di dalamnya terdapat patung-patung. Maka baginda pun bersabda: “Sesungguhnya apabila orang soleh daripada golongan mereka meninggal, maka mereka mendirikan masjid di atas kuburannya dan membuat patungnya di dalamnya. Maka mereka itulah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah pada hari kiamat.”
(Sahih Bukhari (427))

Kerana itu Rasulullah ﷺ pernah melarang dikapur dan dibuat binaan kuburan,

عَنْ جَابِرٍ قَالَ: نَهَى رَسُوْلُ اللهِ أَنْ يُجَصَّصَ الْقَبْرُ وَأَنْ يُقْعَدَ عَلَيْهِ وَ أَنْ يُبْنَى عَلَيْهِ
“Daripada Jarir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Rasulullah ﷺ melarang kuburan dikapur, diduduki dan dibangun di atasnya.”
(Sahih Muslim (2240))

Namun malangnya di masjid kita di Malaysia ini banyak yang dibina berdekatan dengan kubur. Kalau di kawasan luar dan tidak dibina binaan, tidak mengapa. Akan tetapi kalau ada binaan seperti ada kelebihan kepada ahli kubur itu, ini adalah masalah besar. Kalau ada masjid sebegitu, ada masalah tentang akidah. Maka kita elakkan untuk solat di masjid yang sebegitu. Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ sampai mengatakan yang solat di masjid yang ada kubur tidak sah. Ini adalah untuk menjaga akidah manusia.

Menurut satu riwayat lagi tatkala didapati kubur Nabi Daniel عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Iraq oleh Amirul Mu’minin Umar bin Khathab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, adalah sangat menakjubkan kerana tubuh Nabi Allah Daniel عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mulia itu tidak rosak dimakan tanah, padahal sudah ratusan tahun. Lalu Sayidina Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ menyuruh orang menguburkan kembali jenazah yang mulia itu pada tengah malam di tempat yang dirahsiakan.

Sekiranya dibina tempat peribadatan di kuburan, lama-kelamaan akan berlaku perkara syirik di tempat itu. Sepertimana sekarang ini sudah banyak kubur-kubur yang dikatakan kubur Nabi dan wali-wali yang dikerumuni oleh manusia yang jahil wahyu. Mereka menjadikan kubur-kubur itu sebagai tempat ibadat, tempat minta hajat. Sampai kepada tahap ada yang sembah kubur-kubur itu. Sebagai contoh kubur Habib Noh. Itu yang kita tidak mahu.

Mereka yang suka beribadat di kubur itu digelar Golongan Quburiyyun. Antara yang kita kenal sekarang adalah golongan Habib yang datang dari Yaman itu. Mereka memang melakukan ibadat di kuburan para wali (kononnya pada anggapan mereka). Maka mereka telah menghias kuburan orang mati itu dan beribadat di situ.

Mereka berdoa di situ, berqasidah di situ, memukul gendang di situ dan banyak lagi amalan khurafat yang mereka lakukan. Mereka bina binaan pada kuburan itu dan mereka memasang kelambu, letak gambar besar-besar orang yang telah mati itu dan menabur bunga pada kuburan itu.

Memang kalau dilihat tidak jauh bezanya dengan kubur orang Hindu. Namun malangnya inilah golongan yang disanjung di negara ini sekarang. Mereka diberi peluang untuk menghabiskan duit dan masa rakyat kita untuk berjoget qasidah di stadium dan di masjid-masjid. Mereka diberi peluang untuk menyampaikan ajaran sesat mereka di masjid, malah di televisyen pun. Kalau ustaz Sunnah tidak ada tauliah ditangkap, akan tetapi Habib ini satu Malaya dia boleh jelajah bagi ceramah dan kelas padahal mereka pun tidak ada tauliah.

Sepatutnya golongan mereka ini dihalau sebaliknya mereka disanjung pula. Mereka patutnya dihalau kerana mereka akan merosakkan akidah rakyat kita. Semoga kesesatan mereka akan diketahui oleh lebih banyak orang. Maka kerana itu kita terpaksa bongkar kesesatan mereka walaupun ramai juga yang marah apabila kita kata begini.

Nota: ada juga yang terbalik pendapatnya dengan mengatakan golongan mukmin yang hendak membina masjid di atas kuburan Pemuda Kahfi itu. Ini adalah tafsiran yang salah kerana kalau kita lihat dalil-dalil lain yang ada, memang tidak boleh dibina masjid di atas kuburan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Mei 2024

Ringkasan Surah Kahf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Jalalain

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment